PANDUAN UMRAH: Cara Mengerjakan Umrah Langkah demi Langkah

Panduan lengkap cara mengerjakan umrah dari niat di miqat hingga bergunting, berserta bacaan Arab dan rumi. Bimbingan penuh langkah demi langkah.

Muhamad Naim Abd ManafDikemas kini 24 Oktober 2026

Terus ke: Enam Langkah Mengerjakan Umrah Niat Umrah di Miqat Panduan Saie Panduan Tahallul

Pertama kali ke Tanah Suci? Ramai jemaah risau tersilap langkah ketika mengerjakan umrah, dari niat di miqat hingga bergunting. Di tengah orang ramai, dengan doa yang panjang dan istilah yang belum biasa didengar, mudah sekali hilang fokus atau tertinggal sesuatu.

Panduan ini menyusun cara mengerjakan umrah langkah demi langkah, lengkap dengan bacaan Arab, rumi dan maksud, berdasarkan Nota Kursus Asas Haji Tabung Haji dan Mazhab Syafi’e. Semoga panduan ini memudahkan umrah anda, InsyaAllah.

Semakan editorial: 16 Oktober 2026 · Semakan fiqh pakar: dalam proses · Rujukan utama: Nota Kursus Asas Haji 1448H Tabung Haji (Modul 10: Ibadat Umrah), Minhaj al-Talibin dan al-Azkar karya Imam al-Nawawi, Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Ringkasan

Umrah ada lima rukun: niat ihram, tawaf tujuh pusingan, saie tujuh kali antara Safa dan Marwah, bercukur atau bergunting, dan tertib, iaitu dibuat mengikut urutan ini. Niat ihram dibuat di miqat. Lafaz niat umrah: Nawaitul ‘umrata wa ahramtu bihaa lillaahi ta’aalaa, maksudnya: Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala.

Ibadahnya biasanya selesai dalam beberapa jam, manakala pakej dari Malaysia lazimnya sekitar 12 hari 10 malam. Ikut kad Langkah 1 hingga 6 di bawah, dari miqat hingga bergunting. Setiap kad menunjukkan apa yang perlu dibuat dan dibaca, dengan pautan ke panduan penuh bagi langkah itu.

Ikut langkah ini

Cara Mengerjakan Umrah: Langkah demi Langkah

Ikut enam kad di bawah satu demi satu. Kad ini ringkasan bagi setiap langkah: apa yang dibuat, di mana, dan apa yang dibaca. Doa cadangan bagi setiap pusingan tawaf dan saie ada dalam panduan penuh yang dipautkan dalam kad itu.

Infografik enam langkah umrah: ihram di miqat, tawaf, solat sunat tawaf, minum zamzam, saie dan bergunting
Enam langkah umrah dengan status rukun dan sunat. Klik untuk besarkan.

Jika berlaku sepanjang umrah

  • Haid atau nifas sebelum tawaf? Berihram seperti biasa, atau kekal dalam ihram jika sudah berniat, dan teruskan bertalbiah. Jangan masuk masjid dan jangan tawaf. Tunggu sehingga suci, kemudian sambung dari langkah 2 (penjelasan). Jika haid berterusan sehingga tarikh pulang, ikut lafaz syarat jika anda berniat bersyarat. Jika tidak, jangan buka ihram sendiri; rujuk pembimbing ibadah sebelum pulang.
  • Haid datang ketika tawaf? Berhenti dan keluar dari masjid. Jangan saie dan jangan bergunting. Selepas suci dan mandi wajib, sempurnakan tawaf (boleh disambung dari pusingan yang terhenti), kemudian saie dan bergunting. Jika haid datang selepas tawaf selesai, teruskan saie dan bergunting.
  • Tertidur atau terlepas pengumuman miqat dalam pesawat? Berniat sebaik sedar. Jika tidak kembali ke miqat sebelum tawaf, dam dikenakan (penjelasan).
  • Wuduk terbatal? Ketika tawaf: keluar, ambil wuduk, kemudian sambung dari tempat wuduk terbatal. Ketika saie: teruskan sahaja, kerana suci bukan syarat sah saie.
  • Ragu sudah pusingan atau perjalanan ke berapa semasa melakukannya? Ambil bilangan yang paling sedikit, kemudian sempurnakan hingga tujuh. Ragu yang timbul selepas selesai tidak diambil kira.
  • Tidak larat berjalan? Tawaf dan saie dengan kerusi roda atau skuter adalah sah. Lihat panduan jemaah uzur.

1

Langkah 1 daripada 6

Ihram di miqat

Bersiap sebelum miqat

Potong kuku, gunting misai dan buang bulu yang perlu dibuang. Selepas berniat, semua ini dilarang.

Mandi sunat ihram. Sapu wangian pada badan, bukan pada kain ihram.

Lelaki: pakai dua helai kain ihram. Ikut cara memakai kain ihram bergambar.

Wanita: pakai pakaian biasa yang menutup aurat, tanpa sarung tangan dan tanpa purdah.

Jika ada peluang dan bukan waktu larangan, solat sunat ihram dua rakaat. Jika tiada peluang, tinggalkan sahaja.

Berniat di miqat

Terbang terus ke Jeddah: berniat dalam pesawat apabila krew kabin mengumumkan pesawat menghampiri miqat.

Dari Madinah: berniat di Masjid Bir Ali. Wanita haid atau nifas berniat di luar masjid.

Lafazkan niat ini sambil berniat dalam hati bahawa anda mengerjakan umrah:

Niat ihram umrahLafaz niat

نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لِلّٰهِ تَعَالَى

Nawaitul ‘umrata wa ahramtu bihaa lillaahi ta’aalaa.

Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala.

Lafaz susunan ulama mazhab Syafi’e; maksud ikut Nota Kursus Asas Haji 1448H Tabung Haji. Niat dalam hati ialah rukun umrah; melafazkannya sunat. Jika berniat bersyarat, syarat itu mesti dilafazkan.

Sebaik berniat, anda berada dalam ihram. Pantang larang ihram mula terpakai.

Bertalbiah

Baca talbiah sebaik berniat, kemudian ulang sepanjang perjalanan ke Makkah. Lelaki menguatkan suara tanpa memaksa diri, wanita perlahan:

TalbiahSahih

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ، لَا شَرِيكَ لَكَ

Labbaika Allahumma labbaik, labbaika laa syariika laka labbaik, innal hamda wan ni’mata laka wal mulk, laa syariika lak.

Aku datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah, aku datang menyahut panggilan-Mu. Aku datang menyahut panggilan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu, aku datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan kerajaan adalah milik-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu.

Sahih al-Bukhari, no. 1549; Sahih Muslim, no. 1184

Panduan penuhNiat Ihram UmrahCara memakai ihram bergambar, miqat dan pantang larang

Sudah berniat dan bertalbiah? Langkah 1 selesai. Langkah 2 ↓

2

Langkah 2 daripada 6

Tawaf tujuh pusingan

Masuk Masjidil Haram

Berwuduk dahulu. Masuk dengan kaki kanan dan baca:

Doa masuk masjidSahih

اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Allahummaftah lii abwaaba rahmatik.

Ya Allah, bukakanlah untukku pintu-pintu rahmat-Mu.

Sahih Muslim, no. 713

Ketika pertama kali melihat Kaabah, angkat tangan dan berdoa. Lafaz doanya ada dalam panduan Doa Depan Kaabah.

Bersedia untuk tawaf

Berhenti bertalbiah. Talbiah umrah tamat apabila tawaf bermula.

Lelaki: buka bahu kanan (idtiba’). Bahagian tengah kain ihram atas di bawah ketiak kanan, hujungnya di atas bahu kiri.

Pergi ke titik permulaan. Ikut papan tanda permulaan tawaf ke arah yang sejajar dengan Hajarul Aswad. Penandanya lampu hijau di dinding masjid. Berdiri sedikit sebelum garisan sejajar itu.

Semak dahulu peraturan semasa di dataran tawaf:

Info terkini · Masjidil Haram · Oktober 2026

Peraturan semasa di sekitar Kaabah

  • Dataran mataf untuk jemaah umrah. Tingkat bawah di sekeliling Kaabah dikhaskan untuk jemaah yang sedang mengerjakan umrah. Syarat berihram bagi lelaki dikuatkuasakan semula mulai 14 Jun 2026, selepas dilonggarkan sementara pada musim haji. Lelaki berpakaian biasa diarahkan bertawaf di tingkat atas atau bumbung. Jangan memakai ihram semata-mata untuk masuk ke mataf.
  • Semak kesesakan sebelum memilih tingkat. Tawaf di tingkat atas dibenarkan mengikut kapasiti. Kepadatan mataf dan tempat saie boleh dilihat secara langsung melalui kod QR di masjid atau portal rasmi Masjidil Haram. Di tingkat atas, titik mula tawaf yang selari dengan Hajarul Aswad ditandai lampu hijau.
  • Waktu masuk Hijir Ismail. Sejak Jun 2026, waktu masuk diasingkan: wanita setiap hari pukul 6.00 hingga 9.00 pagi, lelaki pukul 10.00 malam hingga 1.00 pagi (waktu Makkah).
  • Hajarul Aswad: jangan berhenti. Kementerian Haji dan Umrah menasihatkan jemaah supaya tidak berhenti atau berasak di Hajarul Aswad kerana menyentuh atau menciumnya tidak diwajibkan untuk sah tawaf. Cukup beristilam dengan isyarat tangan ke arahnya sambil terus berjalan, tanpa melawan arus.
  • Multazam dan Maqam Ibrahim. Kedua-duanya terletak di dataran mataf, jadi lelaki yang bertawaf tanpa ihram di tingkat atas tidak dapat menghampirinya. Jika sesak, berdoalah dari tempat anda. Jangan solat di laluan tawaf; solat sunat tawaf boleh dilakukan di mana-mana dalam Masjidil Haram.
  • Kerusi roda dan kereta elektrik. Kerusi roda manual percuma disediakan di dataran timur (Bab al-Salam) dan dataran barat (Jambatan Shubaikah). Kereta golf elektrik untuk tawaf dan saie dikhaskan untuk warga emas dan OKU, dan perlu ditempah awal di carts.alharamain.gov.sa atau aplikasi Tanaqol. Sejak Ogos 2026, tempahan boleh dibuat dengan e-mel peribadi. Percuma untuk OKU.

Peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dan boleh berubah tanpa notis. Sumber: Kementerian Haji dan Umrah (Mac 2026, Ogos 2025), Pihak Berkuasa Masjidil Haram dan Masjid Nabawi melalui SPA (Jun 2026) dan Ajel (Ogos 2026), PPIH Arab Saudi (Jun 2026).

Infografik laluan tawaf: tujuh pusingan lawan arah jam mengelilingi Kaabah, bermula dan berakhir di garisan Hajarul Aswad
Kaabah sentiasa di sebelah kiri. Klik gambar untuk besarkan.

Sejajar Hajarul Aswad, berniat

Hadap Hajarul Aswad dan baca niat ini sebelum melangkah:

Niat tawaf umrahLafaz niat

اللَّهُمَّ إِنِّي أُرِيدُ طَوَافَ بَيْتِكَ الْحَرَامِ سَبْعَةَ أَشْوَاطٍ طَوَافَ الْعُمْرَةِ، فَيَسِّرْهُ لِي وَتَقَبَّلْهُ مِنِّي لِلَّهِ تَعَالَى

Allahumma innii uriidu tawaafa baitikal haraami sab’ata asywaatin tawaafal ‘umrati, fayassirhu lii wa taqabbalhu minnii lillaahi ta’aalaa.

Ya Allah, aku hendak tawaf di Baitullah al-Haram tujuh pusingan sebagai tawaf umrah, maka permudahkanlah ia bagiku dan terimalah ia daripadaku kerana Allah Taala.

Lafaz niat tawaf, Nota Kursus Asas Haji 1448H Tabung Haji, Modul 3.

Kemudian angkat tangan kanan ke arah Hajarul Aswad, kucup tapak tangan dan baca Bismillaahi wallaahu akbar. Pusingkan badan supaya Kaabah di sebelah kiri, dan mula berjalan.

Tujuh pusingan

Setiap kali sejajar semula dengan Hajarul Aswad (lampu hijau), palingkan muka (dada kekal dengan Kaabah di sebelah kiri), angkat tangan kanan ke arahnya, kucup tapak tangan, dan baca:

بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ

Bismillaahi wallaahu akbar.

Dengan nama Allah, dan Allah Maha Besar.

Jangan masuk ke dalam Hijir Ismail (kawasan separuh bulatan berdinding rendah di sisi Kaabah), jangan memijak syazarwan (binaan rendah di kaki dinding Kaabah), dan jangan memegang dinding Kaabah sambil berjalan. Jika berlaku, pusingan itu tidak sah dan perlu diulang.

Kaabah sentiasa di sebelah kiri. Lelaki: jalan cepat dengan langkah pendek (ramal) pada pusingan 1 hingga 3 jika tidak sesak. Wanita berjalan biasa.

Antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad, baca berulang kali:

Al-Quran

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Rabbanaa aatinaa fid-dunyaa hasanah, wa fil-aakhirati hasanah, wa qinaa ‘adzaaban-naar.

Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka.

Sunan Abi Dawud, no. 1892; Surah al-Baqarah 2:201

Di bahagian lain laluan, baca zikir, doa atau al-Quran dengan suara perlahan. Pusingan ketujuh tamat apabila sejajar dengan Hajarul Aswad.

Panduan penuhNiat dan Cara TawafDoa cadangan pusingan 1 hingga 7, syarat sah dan isu wuduk

Sudah tujuh pusingan? Langkah 2 selesai. Langkah 3 ↓

3

Langkah 3 daripada 6

Solat sunat tawaf dan berdoa

Solat dua rakaat

Lelaki: tutup semula bahu kanan. Bahu tidak dibiarkan terbuka ketika solat.

Paling utama di belakang Maqam Ibrahim, jika tidak menyekat laluan tawaf. Jika sesak, solat di mana-mana dalam masjid.

Berniat dalam hati ketika takbiratul ihram. Jika mahu, lafazkan:

Niat solat sunat tawafLafaz niat

أُصَلِّي سُنَّةَ الطَّوَافِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usallii sunnatat-tawaafi rak’ataini lillaahi ta’aalaa.

Sahaja aku solat sunat tawaf dua rakaat kerana Allah Taala.

Lafaz lazim panduan manasik mazhab Syafi’e; niat dalam hati sudah memadai.

Rakaat pertama: al-Fatihah dan surah al-Kafirun. Rakaat kedua: al-Fatihah dan surah al-Ikhlas.

Berdoa

Selepas salam, berdoalah dengan hajat anda.

Jika tidak sesak, berdoa di Multazam, sama ada sebelum atau selepas solat ini.

Panduan penuhDoa Depan KaabahDoa di Multazam, Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail

Sudah solat dua rakaat? Langkah 3 selesai. Langkah 4 ↓

4

Langkah 4 daripada 6

Minum air zamzam

Minum dan berdoa

Ambil air zamzam di tong atau paip yang disediakan di sekitar masjid.

Hadap kiblat. Baca Bismillah, minum sehingga puas dalam tiga nafas, dan baca Alhamdulillah selepasnya.

Berdoalah dengan hajat anda. Doa ini lazim dibaca:

Doa minum air zamzamDaif

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا وَاسِعًا، وَشِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ

Allahumma innii as’aluka ‘ilman naafi’an, wa rizqan waasi’an, wa syifaa’an min kulli daa’.

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan penyembuhan daripada segala penyakit.

Amalan Ibnu Abbas RA, riwayat al-Daraqutni (no. 2738) dan al-Hakim. Athar sahabat, sanadnya lemah; maknanya baik.

Langkah ini sunat. Jika sesak atau penat, anda boleh terus ke saie.

Panduan penuhDoa Minum Air ZamzamLafaz doa, adab minum dan hukum membawa pulang

Sudah minum? Langkah 4 selesai. Langkah 5 ↓

5

Langkah 5 daripada 6

Saie tujuh kali, Safa ke Marwah

Pergi ke Safa

Ikut papan tanda Safa dari dataran tawaf. Anda boleh berehat dahulu jika penat.

Lelaki: buka semula bahu kanan (idtiba’).

Infografik laluan saie: ulang-alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah, tujuh perjalanan, berlari-lari anak di antara lampu hijau
Safa ke Marwah dikira satu, Marwah ke Safa dikira dua. Klik gambar untuk besarkan.

Ketika menghampiri Safa, baca bacaan ini sekali sahaja:

Sahih

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ أَبْدَأُ بِمَا بَدَأَ اللَّهُ بِهِ

Innas-safaa wal-marwata min sya’aa’irillaah. Abda’u bimaa bada’allaahu bih.

Sesungguhnya Safa dan Marwah itu sebahagian daripada syiar (lambang agama) Allah. Aku mulakan dengan apa yang Allah mulakan.

Surah al-Baqarah 2:158; Sahih Muslim, no. 1218

Di Safa, berniat

Hadap Kaabah. Sunat berniat saie dalam hati. Jika mahu, lafazkan:

Niat saie umrahLafaz niat

نَوَيْتُ السَّعْيَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ سَبْعَةَ أَشْوَاطٍ لِلْعُمْرَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Nawaitus sa’ya bainas Safaa wal Marwati sab’ata asywaathin lil’umrati lillaahi ta’aalaa.

Sahaja aku bersaie antara Safa dan Marwah tujuh kali bagi umrah kerana Allah Taala.

Lafaz susunan ulama. Dalam mazhab Syafi’e, saie umrah tidak memerlukan niat khusus untuk sah kerana ia sebahagian daripada umrah yang diniatkan ketika berihram (al-Nawawi, al-Majmu’).

Tujuh perjalanan

Setiap kali sampai di Safa atau Marwah, hadap Kaabah, angkat kedua-dua tangan dan baca:

Susunan ulama

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ

Allaahu akbar, Allaahu akbar, Allaahu akbar, wa lillaahil-hamd.

Sahih

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ، أَنْجَزَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ

Laa ilaaha illallaahu wahdahu laa syariika lah, lahul-mulku wa lahul-hamdu, wa huwa ‘alaa kulli syai’in qadiir. Laa ilaaha illallaahu wahdah, anjaza wa’dah, wa nasara ‘abdah, wa hazamal-ahzaaba wahdah.

Tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Dia telah menunaikan janji-Nya, menolong hamba-Nya dan mengalahkan tentera bersekutu (al-Ahzab) dengan sendiri-Nya.

Sahih Muslim, no. 1218

Di antara dua lampu hijau: lelaki berlari-lari anak, wanita berjalan biasa. Baca berulang kali:

Athar sahabat

رَبِّ اغْفِرْ وَارْحَمْ، إِنَّكَ أَنْتَ الْأَعَزُّ الْأَكْرَمُ

Rabbighfir warham, innaka antal-a’azzul-akram.

Wahai Tuhanku, ampunilah dan rahmatilah. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia.

Musannaf Ibn Abi Syaibah, no. 30263 (athar Ibnu Mas’ud RA)

Cara mengira: Safa ke Marwah dikira satu, Marwah ke Safa dikira dua. Perjalanan ketujuh tamat di Marwah.

Panduan penuhNiat dan Cara SaieDoa cadangan perjalanan 1 hingga 7 dan doa lampu hijau

Sudah sampai di Marwah kali ketujuh? Langkah 5 selesai. Langkah 6 ↓

6

Langkah 6 daripada 6

Bercukur atau bergunting

Selepas saie tamat di Marwah

Sebelum saie tamat, jangan potong walau sehelai rambut.

Lelaki: bercukur seluruh kepala lebih afdal. Bergunting juga sah.

Wanita: gunting sahaja, jangan bercukur. Ambil sejemput rambut dan gunting hujungnya sekadar seruas jari, di tempat tertutup.

Minimum: tiga helai rambut kepala.

Ada doa sunat ketika dan selepas bergunting. Lafaznya dalam panduan di bawah.

Umrah selesai

Alhamdulillah, umrah anda selesai. Semua larangan ihram terangkat. Anda boleh memakai pakaian biasa dan wangian.

Panduan penuhDoa Tahallul UmrahDoa ketika bergunting, cara bergunting bergambar dan syaratnya

Sudah bercukur atau bergunting? Umrah anda selesai. Seterusnya ↓

Panduan penuhTalbiahLafaz, maksud, bila mula dan bila berhenti

Selepas umrah

Selepas Umrah Selesai

  1. Perbanyak tawaf sunat sementara berada di Makkah. Tawaf sunat tidak memerlukan ihram. Lihat panduan tawaf sunat.
  2. Mahu umrah lagi? Keluar ke tanah halal seperti Tan’im atau Ji’ranah, berniat ihram di sana, kemudian ulang langkah 2 hingga 6. Pastikan umrah sebelumnya sudah selesai dengan bergunting.
  3. Ziarah Madinah jika ada dalam jadual. Lihat panduan ibadah dan ziarah Madinah.
  4. Sebelum meninggalkan Makkah, lakukan Tawaf Wada. Hukumnya bagi jemaah umrah dan tempoh selepasnya ada dalam panduan Tawaf Wada.

Rukun & wajib

Rukun dan Wajib Umrah

Rukun ialah perkara yang menentukan sah umrah. Wajib ialah perkara yang mesti dibuat, tetapi jika ditinggalkan, umrah tetap sah dan dam dikenakan. Perkara lain, seperti doa dan talbiah, adalah sunat.

Jemaah umrah bertawaf mengelilingi Kaabah di dataran mataf Masjidil Haram
Jemaah umrah bertawaf di dataran mataf. Tawaf ialah rukun kedua umrah selepas niat ihram.
PerkaraStatusJika ditinggalkan
Niat ihram umrahRukunTanpa niat ihram, umrah tidak bermula. Tidak boleh diganti dengan dam.
Tawaf tujuh pusinganRukunUmrah belum selesai. Anda kekal dalam ihram sehingga tawaf dibuat.
Saie tujuh kaliRukunUmrah belum selesai. Anda kekal dalam ihram sehingga saie dibuat.
Bercukur atau berguntingRukunUmrah belum selesai. Anda kekal dalam ihram sehingga bergunting.
Tertib: ihram, tawaf, saie, berguntingRukunRukun yang dibuat sebelum gilirannya tidak dikira. Contohnya, saie sebelum tawaf mesti diulang selepas tawaf.
Berniat ihram di miqatWajibUmrah sah, tetapi berdosa jika sengaja dan dikenakan dam.
Menjauhi larangan ihramWajibDam atau fidyah mengikut jenis larangan (lihat jadual di bawah).

Senarai rukun dan wajib ini ikut Nota Kursus Asas Haji 1448H Tabung Haji, Modul 10. Perlu diingat: dam hanya menampung perkara wajib. Rukun yang tertinggal mesti disempurnakan sendiri.

Hukum & syarat

Hukum Umrah dan Syarat Wajib

Hukum umrah

Adakah umrah wajib?

Pendapat muktamad mazhab Syafi’e

Umrah wajib sekali seumur hidup bagi orang yang mampu, sama seperti haji. Ini pendapat yang lebih kuat (al-azhar) dalam mazhab Syafi’e, sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam Minhaj al-Talibin.

Dalilnya firman Allah: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah” (Surah al-Baqarah 2:196). Juga hadis Aisyah RA: apabila ditanya sama ada wanita wajib berjihad, Nabi SAW menjawab: “Ya, jihad yang tiada peperangan padanya, iaitu haji dan umrah” (Sunan Ibn Majah, no. 2901, sahih).

Pandangan lain

Mazhab Maliki dan kebanyakan ulama Hanafi berpendapat umrah sunat muakkad, iaitu sangat dituntut tetapi tidak wajib.

Bagi umat Islam di Malaysia, pegangan ialah mazhab Syafi’e: umrah wajib sekali bagi yang mampu. Umrah tidak menggantikan haji.

Jemaah haji Tamattu’ sudah mengerjakan umrah sebelum haji, dan bagi haji Qiran, umrah dikira selesai bersama haji. Jemaah haji Ifrad pula mengerjakan umrah selepas selesai haji (Nota Kursus Asas Haji 1448H Tabung Haji, Modul 7). Umrah kali kedua dan seterusnya adalah sunat.

Syarat wajib umrah

  1. Islam. Umrah juga tidak sah tanpa Islam.
  2. Baligh. Kanak-kanak yang berumrah, umrahnya sah, tetapi tidak menggugurkan kewajipan umrah apabila dia baligh kelak.
  3. Berakal.
  4. Merdeka, iaitu bukan hamba.
  5. Mampu (istita’ah) dari segi tubuh badan, belanja perjalanan, keselamatan dan kenderaan.

Senarai ini ikut Minhaj al-Talibin: syarat wajib ialah Islam, mukalaf (baligh dan berakal), merdeka dan berkemampuan. Bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz, walinya berniat ihram bagi pihaknya.

Wanita dan mahram

  • Umrah pertama (umrah wajib): wanita dibolehkan pergi tanpa suami atau mahram, dengan syarat ditemani sekurang-kurangnya dua orang wanita yang boleh dipercayai, dan perjalanannya selamat.
  • Umrah kali kedua dan seterusnya (umrah sunat): perlu ditemani suami atau mahram, menurut pandangan jumhur ulama.
  • Wanita dalam iddah tidak keluar bermusafir untuk menunaikan umrah sehingga iddahnya tamat.

Ini kesimpulan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam Bayan li al-Haj Siri ke-39, merujuk al-Fiqh al-Manhaji. Isu ini ada khilaf: sebahagian ulama mazhab Syafi’e memadai dengan perjalanan yang selamat, manakala mazhab Hanafi dan Hanbali mensyaratkan suami atau mahram. Kesimpulan di atas mengambil jalan yang berhati-hati.

Sejak 2022, Arab Saudi tidak lagi mensyaratkan mahram bagi jemaah wanita. Namun itu peraturan perjalanan; hukum di atas tetap menjadi panduan dari sudut syarak. Jika ragu tentang keadaan sendiri, rujuk pejabat mufti negeri anda.

Panduan penuhBadal UmrahUmrah bagi pihak arwah atau orang yang uzur kekal

Panduan penuhUmrah Kanak-kanakNiat wali, pakaian ihram, tawaf sambil mendukung anak dan dam

Panduan penuhKelebihan UmrahFadhilat dalam hadis sahih, dengan status setiap riwayat

Waktu

Waktu Mengerjakan Umrah

Umrah boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang tahun (al-Nawawi, Minhaj al-Talibin). Mengerjakannya berulang kali, walaupun beberapa kali dalam setahun, adalah sunat menurut mazhab Syafi’e (al-Nawawi, al-Majmu’; Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Fatwa Siri ke-255).

Bagi jemaah haji: Tabung Haji menasihatkan jemaah Haji Tamattu’ supaya tidak melakukan umrah sunat apabila masuk 1 Zulhijjah, sehingga selesai ibadah haji. Ikut jadual dan nasihat pembimbing ibadah anda.

Panduan penuhUmrah Kedua dari MakkahMiqat Tan’im atau Ji’ranah, permit Nusuk, langkah demi langkah

Perbandingan

Perbezaan Haji dan Umrah

UmrahHaji
WaktuSepanjang tahunMusim haji sahaja (berihram dari 1 Syawal hingga sebelum fajar 10 Zulhijjah)
RukunLima: ihram, tawaf, saie, bergunting, tertibEnam: ihram, wukuf di Arafah, Tawaf Ifadah, saie, bergunting, tertib
Wukuf di ArafahTiadaRukun haji yang paling utama
Mabit dan melontarTiadaWajib haji: bermalam di Muzdalifah dan Mina, melontar jamrah
TempohBeberapa jamBeberapa hari, dari 8 hingga 13 Zulhijjah

Panduan haji ada dalam Checklist Haji, Tawaf Ifadah dan Mabit di Muzdalifah dan Mina.

Sebelum berangkat

Persediaan Sebelum Berangkat

  1. Barang. Semak Checklist Barang Umrah, termasuk kain ihram, ubat peribadi dan dokumen.
  2. Ilmu. Baca kad Langkah 1 hingga 6 di atas sekali dari awal hingga akhir sebelum berangkat. Simpan halaman ini dalam telefon untuk dirujuk di sana.
  3. Kesihatan. Buat pemeriksaan kesihatan dan dapatkan nasihat doktor bagi penyakit kronik. Wanita yang mahu menangguhkan haid perlu berbincang dengan doktor lebih awal.
  4. Niat bersyarat. Jika bimbang sakit atau terhalang, pelajari niat bersyarat yang dibuat ketika berihram.
  5. Dokumen semasa. Visa, vaksin dan permit umrah mengikut peraturan Arab Saudi yang terkini. Peraturan ini berubah dari semasa ke semasa, jadi semak dengan agensi anda.
  6. Hati. Bertaubat, minta maaf, selesaikan hutang dan hak orang lain, dan luruskan niat kerana Allah.
Jemaah lelaki berpakaian ihram berjalan menuju masjid
Persediaan yang baik memudahkan anda memberi tumpuan kepada ibadah.

Jika tersilap

Melanggar Larangan Ihram dan Dam

Sebaik berniat ihram sehingga bergunting, larangan ihram terpakai: antaranya memakai wangian, memotong rambut dan kuku, lelaki menutup kepala dan memakai pakaian berjahit, wanita menutup muka dan memakai sarung tangan, serta hubungan suami isteri. Senarai penuh ada dalam pantang larang ihram.

KeadaanHukumnya
Melanggar dengan sengajaBerdosa dan dikenakan dam.
Hubungan suami isteri dengan sengaja sebelum berguntingUmrah rosak. Wajib disempurnakan dan diqada, dan dikenakan dam seekor unta. Jika tidak mampu, diganti mengikut tertib Dam Ta’dil.
Terlupa atau jahil, jenis yang merosakkan (itlaf), contohnya memotong rambut atau kukuTidak berdosa, tetapi dikenakan dam.
Terlupa atau jahil, jenis berseronok (taraffuh), contohnya memakai wangian atau pakaian berjahitTidak berdosa dan tiada dam. Hentikan sebaik teringat.

Sumber jadual: Nota Kursus Asas Haji 1448H Tabung Haji, Modul 10. Jenis dam dan cara membayarnya ada dalam panduan Dam Haji dan Umrah.

Soal jawab

Soalan Lazim

Umrah berapa hari dan berapa lama masa mengerjakannya?

Ibadah umrah itu sendiri, iaitu tawaf, solat sunat tawaf, saie dan bergunting, biasanya selesai dalam beberapa jam selepas tiba di Masjidil Haram. Tempohnya bergantung kepada kesesakan, tingkat tawaf yang digunakan dan keadaan fizikal anda. Perjalanan umrah dari Malaysia pula lazimnya sekitar 12 hari 10 malam, termasuk beberapa hari di Madinah. Tiada had masa untuk menyiapkan umrah, tetapi selagi belum bergunting, anda masih dalam ihram.

Bolehkah mengerjakan umrah lebih daripada sekali dalam satu perjalanan?

Boleh, dan ia sunat menurut mazhab Syafi’e. Selesaikan umrah pertama dengan bergunting, kemudian keluar ke tanah halal seperti Tan’im atau Ji’ranah untuk berniat ihram umrah yang baharu.

Adakah umrah menggantikan haji?

Tidak. Dalam mazhab Syafi’e, haji dan umrah masing-masing wajib sekali seumur hidup bagi yang mampu. Orang yang sudah berumrah tetap wajib menunaikan haji apabila mampu.

Wanita haid: bolehkah dia berihram umrah?

Boleh. Dia mandi sunat ihram, berniat dan bertalbiah seperti biasa, tetapi tidak solat sunat ihram dan tidak masuk masjid. Dia menunggu sehingga suci untuk tawaf. Saie dan bergunting dibuat selepas tawaf. Jika haid berterusan sehingga tarikh pulang, dia mengikut lafaz syarat jika berniat bersyarat. Jika tidak, dia kekal dalam ihram dan perlu merujuk pembimbing ibadah sebelum pulang.

Saya tidak pandai membaca al-Quran atau bahasa Arab. Sahkah umrah saya?

Sah. Rukun umrah ialah perbuatan: berniat dalam hati, tawaf, saie dan bergunting, mengikut urutan. Niat boleh dibuat dalam bahasa sendiri. Doa dan zikir sepanjang umrah adalah sunat, dan boleh dibaca dalam bahasa Melayu. Bacaan Rumi dalam setiap kad di atas disediakan untuk membantu anda.

Adakah saie sunat seperti tawaf sunat?

Tiada. Saie hanya disyariatkan dalam ibadah haji atau umrah. Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menukilkan ijmak bahawa saie secara sunat tanpa haji atau umrah tidak disyariatkan. Jika mahu menambah ibadah di Makkah, perbanyak tawaf sunat, atau kerjakan umrah baharu dari tanah halal.

Saya sudah bertahallul selepas tawaf dan saie. Perlukah saya ulang kerana rukun tertib?

Tidak perlu. Tertib bermaksud rukun dibuat mengikut urutan: ihram, tawaf, saie, kemudian bergunting. Jika anda sudah membuatnya mengikut urutan itu, umrah anda sempurna. Ulang hanya jika ada rukun yang dibuat di luar urutan, contohnya saie dibuat sebelum tawaf.

Adakah umrah kanak-kanak sah?

Sah. Bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz, walinya berniat ihram bagi pihaknya. Umrah itu tidak menggugurkan kewajipan umrah apabila dia baligh kelak.

Rujukan pantasGlosari Haji & Umrah63 istilah dari afaqi hingga ziarah, diterangkan ringkas

Sumber

Rujukan

  1. Al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 196. quran.com
  2. Sunan Ibn Majah, no. 2901: jihad wanita ialah haji dan umrah. sunnah.com
  3. Sahih al-Bukhari, no. 1549, dan Sahih Muslim, no. 1184: lafaz talbiah. sunnah.com
  4. Al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, Kitab al-Hajj: hukum umrah, syarat wajib dan waktu umrah. alminhaji.com
  5. Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/147-148: umrah berulang kali.
  6. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayan li al-Haj Siri ke-39: Hukum Seorang Wanita Menunaikan Umrah tanpa Mahram. muftiwp.gov.my
  7. WION, Saudi Arabia: Woman pilgrims no longer need to be accompanied by mahram (11 Oktober 2022). wionews.com
  8. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Fatwa Siri ke-255: Hukum Umrah Berulang Kali dalam Satu Perjalanan. muftiwp.gov.my
  9. Lembaga Tabung Haji, Nota Kursus Asas Haji 1448H, Modul 10: ibadat umrah, rukun dan wajib umrah, jenis dam. e-Bimbingan Haji TH (log masuk sebagai pelawat)
  10. Lembaga Tabung Haji, Nota Kursus Asas Haji 1448H, Modul 7: jenis haji (Tamattu’, Ifrad, Qiran) dan cara mengerjakannya. tabunghaji.gov.my
  11. Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Manual Pengurusan Dam Haji, seksyen 3.3 dan 3.5: dam yang merosakkan umrah. jawhar.gov.my
  12. Lembaga Tabung Haji, Nota Kursus Asas Haji 1448H, Modul 3: tawaf dan lafaz niat tawaf. e-Bimbingan Haji TH (log masuk sebagai pelawat)
  13. Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, 3/499: ijmak bahawa saie secara sunat tanpa haji atau umrah tidak disyariatkan; dinukil dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Dorar. dorar.net
  14. Sumber setiap doa dalam kad langkah dinyatakan di bawah doa itu, dan dihuraikan dalam panduan penuh bagi langkah berkenaan.
KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim Abd Manaf

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

43 Komen

    • Waalaikumussalam Puan Diana. Buat masa ini, belum ada lagi buku atau e-buku untuk panduan ini. Terima kasih.

      Balas

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.