DOA DEPAN KAABAH: Doa Melihat Kaabah, Multazam & Hijir Ismail

Panduan lengkap doa depan Kaabah ketika pertama kali melihatnya, di Multazam, Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail, dalam Arab, rumi dan maksud.

Muhamad Naim Abd ManafDikemas kini 25 Oktober 2026

Saat pertama kali melihat Kaabah sering menjadi detik yang paling menyentuh hati. Ramai jemaah ingin berdoa sebaik mungkin, tetapi tidak pasti doa apa yang patut dibaca, di mana tempat yang dianjurkan berdoa dan sama ada doa yang tersebar benar-benar ada asasnya.

Panduan ini menghimpunkan doa depan Kaabah mengikut urutan tempat, dari melihat Kaabah, Multazam, Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail hingga minum air zamzam, lengkap dengan teks Arab, rumi, maksud dan status riwayatnya. Semoga panduan ini membantu anda, InsyaAllah.

Semakan editorial: 14 Oktober 2026 · Semakan fiqh pakar: dalam proses · Rujukan utama: Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Tirmizi, serta al-Majmu’ dan al-Idah karya Imam al-Nawawi.

Ringkasan

Doa yang lazim dibaca ketika pertama kali melihat Kaabah ialah Allahumma zid haadzal-baita tasyriifan wa ta’ziiman wa takriiman wa mahaabatan hingga akhir, iaitu memohon Allah menambah kemuliaan Kaabah dan orang yang menziarahinya. Riwayatnya mursal (sanad terputus), tetapi dianjurkan ulama mazhab Syafi’e.

Selepas itu, ikut kad Tempat 1 hingga 6 di bawah: melihat Kaabah, tawaf, Multazam, Maqam Ibrahim, Hijir Ismail dan air zamzam. Setiap kad menunjukkan apa yang perlu dibuat dan doa yang boleh dibaca. Anda juga boleh berdoa dengan hajat sendiri, dalam bahasa sendiri.

Ikut langkah ini

Doa Depan Kaabah: Ikut Urutan Tempat

Ikut kad di bawah satu demi satu, mengikut tempat yang anda lalui dalam Masjidil Haram. Doa dalam kad ialah cadangan. Bacalah dengan suara perlahan. Jika sesuatu tempat terlalu sesak, langkau dan teruskan ke kad seterusnya.

Jika berlaku di sekitar Kaabah

  • Multazam terlalu sesak? Berdoalah dari tempat anda sambil menghadap ke arahnya. Berdoa dari jauh sudah memadai. Jangan berasak.
  • Tidak dapat solat di belakang Maqam Ibrahim? Solat di mana-mana dalam Masjidil Haram. Solat anda tetap sah.
  • Selesai tawaf selepas Subuh atau Asar? Solat sunat tawaf tetap boleh didirikan. Ia tidak termasuk larangan solat pada waktu makruh.
  • Tidak dapat masuk Hijir Ismail? Tidak mengapa. Ia amalan sunat, dan masuk kini ikut jadual berasingan lelaki dan wanita.
  • Terpisah daripada rombongan? Pergi ke titik pertemuan yang dipersetujui, contohnya nombor pintu masjid. Setiap pintu utama Masjidil Haram bernombor.
Infografik enam tempat berdoa di sekitar Kaabah: pintu masjid, dataran tawaf, Multazam, Maqam Ibrahim, Hijir Ismail dan zamzam
Enam tempat berdoa ikut urutan yang anda lalui. Klik untuk besarkan.

Lompat ke tempat123456

1

Tempat 1 daripada 6

Masuk masjid dan pertama kali melihat Kaabah

Di pintu Masjidil Haram

Ingat nombor pintu yang anda masuki. Setuju dengan rombongan di mana untuk bertemu jika terpisah.

Masuk dengan kaki kanan. Baca:

Doa masuk masjidSahih

اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ

Allahummaftah lii abwaaba rahmatik.

Ya Allah, bukakanlah untukku pintu-pintu rahmat-Mu.

Sahih Muslim, no. 713

Ketika pertama kali melihat Kaabah

Berhenti di tepi supaya tidak menghalang laluan. Hadap Kaabah dan angkat kedua-dua tangan.

Jika mahu, mulakan dengan takbir dan zikir ini:

Zikir pembukaGabungan doa

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. أَعُوذُ بِرَبِّ الْبَيْتِ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَضِيقِ الصَّدْرِ. وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ

Allaahu akbar, Allaahu akbar, Allaahu akbar. Laa ilaaha illallaahu wahdahu laa syariika lah, lahul-mulku wa lahul-hamdu, wa huwa ‘alaa kulli syai’in qadiir. A’uudzu birabbil-baiti minal-kufri wal-faqri, wa min ‘adzaabil-qabri wa dhiiqis-sadri. Wa sallallaahu ‘alaa Muhammadin wa ‘alaa aalihi wa sahbihi wa sallam.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Tiada tuhan melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Aku berlindung kepada Tuhan Rumah ini (Kaabah) daripada kekufuran, kemiskinan, azab kubur dan kesempitan dada. Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda.

Susunan buku bimbingan haji, bukan sebahagian daripada riwayat doa melihat Kaabah. Zikir tahlil ini sabit daripada Nabi SAW dalam ibadah haji (Sahih Muslim, no. 1218).

Kemudian baca doa melihat Kaabah:

Doa melihat KaabahDaif

اللَّهُمَّ زِدْ هَذَا الْبَيْتَ تَشْرِيفًا وَتَعْظِيمًا وَتَكْرِيمًا وَمَهَابَةً، وَزِدْ مَنْ شَرَّفَهُ وَكَرَّمَهُ مِمَّنْ حَجَّهُ أَوِ اعْتَمَرَهُ تَشْرِيفًا وَتَكْرِيمًا وَتَعْظِيمًا وَبِرًّا

Allahumma zid haadzal-baita tasyriifan wa ta’ziiman wa takriiman wa mahaabatan, wa zid man syarrafahu wa karramahu mimman hajjahu awi’tamarahu tasyriifan wa takriiman wa ta’ziiman wa birraa.

Ya Allah, tambahkanlah kemuliaan, keagungan, kehormatan dan kehebatan bagi Rumah ini (Kaabah). Dan tambahkanlah bagi orang yang memuliakan dan menghormatinya, daripada kalangan yang mengerjakan haji atau umrah ke sini, kemuliaan, kehormatan, keagungan dan kebaikan.

Riwayat al-Syafi’e dan al-Baihaqi daripada Ibnu Juraij. Sanadnya terputus (daif), tetapi dianjurkan ulama mazhab Syafi’e kerana maknanya baik. Penjelasan status.

Atau baca bacaan ringkas ini, yang dibaca Umar RA ketika melihat Kaabah:

Bacaan Umar al-Khattab RADaif

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ، وَمِنْكَ السَّلَامُ، فَحَيِّنَا رَبَّنَا بِالسَّلَامِ

Allahumma antas-salaam, wa minkas-salaam, fahayyinaa rabbanaa bis-salaam.

Ya Allah, Engkaulah al-Salam (Yang Maha Sejahtera) dan daripada-Mu datangnya kesejahteraan, maka hidupkanlah kami, wahai Tuhan kami, dalam kesejahteraan.

Athar Umar al-Khattab RA, riwayat al-Baihaqi daripada Sa’id bin al-Musayyib. Bukan sabda Nabi SAW; al-Nawawi menyatakan sanadnya tidak kuat.

Selepas itu, mohonlah hajat dunia dan akhirat anda dalam bahasa sendiri.

Sudah berdoa? Tempat 1 selesai. Seterusnya tawaf. Tempat 2 ↓

2

Tempat 2 daripada 6

Dataran tawaf: tujuh pusingan

Lakukan tawaf

Niat, cara dan doa setiap pusingan ada dalam panduan Niat dan Cara Tawaf: Pusingan 1 hingga 7. Buka panduan itu dan ikut kadnya.

Tawaf selesai apabila anda kembali ke garisan Hajarul Aswad selepas pusingan ketujuh. Kemudian kembali ke halaman ini.

Sudah tujuh pusingan? Tempat 2 selesai. Tempat 3 ↓

3

Tempat 3 daripada 6

Multazam: jika mudah, tanpa berasak

Di Multazam

Multazam ialah dinding Kaabah antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah.

Multazam boleh dilakukan sebelum atau selepas solat sunat tawaf. Jika sesak sekarang, solat dahulu dan kembali kemudian, atau langkau.

Jika lapang dan anda tidak lagi berihram, lekapkan dada, pipi dan tangan pada dinding itu. Jika anda masih berihram, jangan sentuh dinding atau kiswah kerana ia lazimnya diwangikan; cukup berdiri berhampiran dan berdoa. Jika sesak, berdiri di tempat anda dan hadap ke arahnya.

Baca:

Doa di MultazamGabungan doa

اللَّهُمَّ يَا رَبَّ الْبَيْتِ الْعَتِيقِ، أَعْتِقْ رِقَابَنَا وَرِقَابَ آبَائِنَا وَأُمَّهَاتِنَا وَإِخْوَانِنَا وَأَوْلَادِنَا مِنَ النَّارِ، يَا ذَا الْجُودِ وَالْكَرَمِ وَالْفَضْلِ وَالْمَنِّ وَالْعَطَاءِ وَالْإِحْسَانِ. اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ. اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدِكَ، وَاقِفٌ تَحْتَ بَابِكَ، مُلْتَزِمٌ بِأَعْتَابِكَ، مُتَذَلِّلٌ بَيْنَ يَدَيْكَ، أَرْجُو رَحْمَتَكَ، وَأَخْشَى عَذَابَكَ، يَا قَدِيمَ الْإِحْسَانِ. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنْ تَرْفَعَ ذِكْرِي، وَتَضَعَ وِزْرِي، وَتُصْلِحَ أَمْرِي، وَتُطَهِّرَ قَلْبِي، وَتُنَوِّرَ لِي فِي قَبْرِي، وَتَغْفِرَ لِي ذَنْبِي، وَأَسْأَلُكَ الدَّرَجَاتِ الْعُلَى مِنَ الْجَنَّةِ

Allahumma yaa Rabbal-baitil-‘atiiq, a’tiq riqaabanaa wa riqaaba aabaa’inaa wa ummahaatinaa wa ikhwaaninaa wa aulaadinaa minan-naar, yaa dzal-juudi wal-karami wal-fadhli wal-manni wal-‘ataa’i wal-ihsaan. Allahumma ahsin ‘aaqibatanaa fil-umuuri kullihaa, wa ajirnaa min khizyid-dunyaa wa ‘adzaabil-aakhirah. Allahumma innii ‘abduka wabnu ‘abdika, waaqifun tahta baabika, multazimun bi a’taabika, mutadzallilun baina yadaika, arjuu rahmataka, wa akhsyaa ‘adzaabaka, yaa qadiimal-ihsaan. Allahumma innii as’aluka an tarfa’a dzikrii, wa tadha’a wizrii, wa tusliha amrii, wa tutahhira qalbii, wa tunawwira lii fii qabrii, wa taghfira lii dzanbii, wa as’alukad-darajaatil-‘ulaa minal-jannah.

Ya Allah, wahai Tuhan pemilik Baitul ‘Atiq (Kaabah), bebaskanlah kami, bapa-bapa kami, ibu-ibu kami, saudara-saudara kami dan anak-anak kami daripada api neraka, wahai Tuhan yang Maha Pemurah, Maha Mulia, memiliki kelebihan, anugerah, pemberian dan kebaikan. Ya Allah, perelokkanlah kesudahan kami dalam semua urusan, dan lindungilah kami daripada kehinaan di dunia dan azab di akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku hamba-Mu dan anak hamba-Mu, berdiri di bawah pintu-Mu, berpaut pada ambang-Mu, merendah diri di hadapan-Mu. Aku mengharapkan rahmat-Mu dan takut akan azab-Mu, wahai Tuhan yang sentiasa berbuat kebaikan. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar Engkau tinggikan sebutanku, gugurkan dosaku, perelokkan urusanku, sucikan hatiku, terangi kuburku dan ampunkan dosaku. Aku memohon kepada-Mu darjat yang tinggi di syurga.

Susunan buku bimbingan haji dan umrah. Ayat Allahumma ahsin ‘aaqibatanaa… ialah doa Nabi SAW riwayat Ahmad (Musnad, no. 17628). Doa umum, bukan doa khusus Multazam. Doa ini juga terdapat dalam buku doa Tabung Haji, dengan sedikit perbezaan: versi TH tidak menyebut wal-mann dan wa tushliha amrii, dan diakhiri dengan aamiin.

Kemudian mohonlah hajat anda dalam bahasa sendiri.

Sudah berdoa, atau Multazam terlalu sesak? Tempat 3 selesai. Tempat 4 ↓

4

Tempat 4 daripada 6

Maqam Ibrahim: solat sunat tawaf

Cari tempat solat

Lelaki: tutup semula bahu kanan. Bahu tidak dibiarkan terbuka ketika solat.

Paling afdal di belakang Maqam Ibrahim, dengan Maqam di antara anda dan Kaabah. Jika sesak, solat di mana-mana dalam Masjidil Haram. Jangan solat di laluan tawaf.

Maqam Ibrahim di hadapan Kaabah dikelilingi jemaah
Maqam Ibrahim, binaan berbingkai keemasan di hadapan pintu Kaabah.

Solat dua rakaat

Berniat dalam hati ketika takbiratul ihram. Jika mahu, lafazkan niat ini dengan perlahan:

Niat solat sunat tawafLafaz niat

أُصَلِّي سُنَّةَ الطَّوَافِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usallii sunnatat-tawaafi rak’ataini lillaahi ta’aalaa.

Sahaja aku solat sunat tawaf dua rakaat kerana Allah Taala.

Lafaz lazim dalam panduan manasik mazhab Syafi’e. Niat dalam hati ketika takbiratul ihram sudah memadai.

Rakaat pertama: al-Fatihah dan surah al-Kafirun. Rakaat kedua: al-Fatihah dan surah al-Ikhlas.

Selepas salam, berdoa

Angkat tangan dan baca:

Doa Panduan TH

Versi buku doa Tabung Haji lebih panjang daripada doa di bawah. Baca mana-mana satu.

Doa selepas solat sunat tawafGabungan doa

اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ سِرِّي وَعَلَانِيَتِي فَاقْبَلْ مَعْذِرَتِي، وَتَعْلَمُ حَاجَتِي فَأَعْطِنِي سُؤْلِي، وَتَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي ذَنْبِي. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ إِيمَانًا يُبَاشِرُ قَلْبِي، وَيَقِينًا صَادِقًا حَتَّى أَعْلَمَ أَنَّهُ لَا يُصِيبُنِي إِلَّا مَا كَتَبْتَ لِي، وَرِضًا مِنْكَ بِمَا قَسَمْتَ لِي، أَنْتَ وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ. اللَّهُمَّ لَا تَدَعْ لَنَا فِي مَقَامِنَا هَذَا ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ، وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ، وَلَا حَاجَةً إِلَّا قَضَيْتَهَا وَيَسَّرْتَهَا، فَيَسِّرْ أُمُورَنَا، وَاشْرَحْ صُدُورَنَا، وَنَوِّرْ قُلُوبَنَا، وَاخْتِمْ بِالصَّالِحَاتِ أَعْمَالَنَا. اللَّهُمَّ تَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ، وَأَحْيِنَا مُسْلِمِينَ، وَأَلْحِقْنَا بِالصَّالِحِينَ، غَيْرَ خَزَايَا وَلَا مَفْتُونِينَ.

Allahumma innaka ta’lamu sirrii wa ‘alaaniyatii faqbal ma’dziratii, wa ta’lamu haajatii fa a’thinii su’lii, wa ta’lamu maa fii nafsii faghfir lii dzanbii. Allahumma innii as’aluka iimaanan yubaasyiru qalbii, wa yaqiinan shaadiqan hattaa a’lama annahuu laa yushiibunii illaa maa katabta lii, wa ridhan minka bimaa qasamta lii, anta waliyyii fid-dunyaa wal-aakhirah, tawaffanii musliman wa alhiqnii bish-shaalihiin. Allahumma laa tada’ lanaa fii maqaaminaa haadzaa dzanban illaa ghafartah, wa laa hamman illaa farrajtah, wa laa haajatan illaa qadhaitahaa wa yassartahaa, fa yassir umuuranaa, wasyrah shuduuranaa, wa nawwir quluubanaa, wakhtim bish-shaalihaati a’maalanaa. Allahumma tawaffanaa muslimiin, wa ahyinaa muslimiin, wa alhiqnaa bish-shaalihiin, ghaira khazaayaa wa laa maftuuniin.

Maksud dan sumber

Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui yang tersembunyi dan yang nyata daripadaku, maka terimalah keuzuranku. Engkau mengetahui hajatku, maka kurniakanlah permintaanku. Engkau mengetahui apa yang ada dalam diriku, maka ampunilah dosaku. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu iman yang meresap ke dalam hatiku, dan keyakinan yang benar sehingga aku tahu bahawa tiada yang menimpaku melainkan apa yang telah Engkau tetapkan bagiku, serta reda terhadap apa yang Engkau bahagikan kepadaku. Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat. Matikanlah aku sebagai Muslim dan himpunkanlah aku bersama orang yang soleh. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan di tempat kami ini satu dosa pun melainkan Engkau ampunkan, satu kesedihan pun melainkan Engkau lapangkan, dan satu hajat pun melainkan Engkau tunaikan dan mudahkan. Maka mudahkanlah urusan kami, lapangkanlah dada kami, terangilah hati kami, dan akhirilah amalan kami dengan kebaikan. Ya Allah, matikanlah kami sebagai Muslim, hidupkanlah kami sebagai Muslim, dan himpunkanlah kami bersama orang yang soleh, tanpa kehinaan dan tanpa terfitnah.

Bahagian awalnya doa Nabi Adam AS selepas solat dua rakaat di Kaabah (al-Tabarani, al-Mu’jam al-Awsat, no. 5974; sanad daif), dan anta waliyyii… daripada Surah Yusuf 12:101. Selebihnya susunan ulama. Lafaz Arab mengikut buku Himpunan Doa-Doa Terpilih di Tanah Suci, Lembaga Tabung Haji (2018). Rumi dan maksud disediakan oleh AkuIslam.

Doa selepas solat sunat tawafGabungan doa

اللَّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ سِرِّي وَعَلَانِيَتِي فَاقْبَلْ مَعْذِرَتِي وَتَعْلَمُ حَاجَتِي فَأَعْطِنِي سُؤْلِي وَتَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي ذَنْبِي. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ إِيمَانًا يُبَاشِرُ قَلْبِي وَيَقِينًا صَادِقًا حَتَّى أَعْلَمَ أَنَّهُ لَا يُصِيبُنِي إِلَّا مَا كَتَبْتَ لِي وَأَرْضِنِي بِمَا قَسَمْتَ لِي. أَنْتَ وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Allahumma innaka ta’lamu sirrii wa ‘alaaniyatii faqbal ma’dziratii, wa ta’lamu haajatii fa’tinii su’lii, wa ta’lamu maa fii nafsii faghfir lii dzanbii. Allahumma innii as’aluka iimaanan yubaasyiru qalbii, wa yaqiinan saadiqan hattaa a’lama annahu laa yusiibunii illaa maa katabta lii, wa ardhinii bimaa qasamta lii. Anta waliyyii fid-dunyaa wal-aakhirah, tawaffanii musliman wa alhiqnii bis-saalihiin.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui yang tersembunyi dan yang nyata daripadaku, maka terimalah keuzuranku. Engkau mengetahui hajatku, maka kurniakanlah permintaanku. Engkau mengetahui apa yang ada dalam diriku, maka ampunkanlah dosaku. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu iman yang meresap ke dalam hatiku, dan keyakinan yang benar sehingga aku tahu bahawa tiada yang menimpaku melainkan apa yang telah Engkau tetapkan untukku, dan jadikanlah aku reda dengan apa yang Engkau bahagikan untukku. Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat. Matikanlah aku dalam keadaan Muslim dan himpunkanlah aku bersama orang yang soleh.

Doa Nabi Adam AS selepas solat dua rakaat di Kaabah, riwayat al-Tabarani (al-Mu’jam al-Awsat, no. 5974; sanad daif). Ayat penutup daripada surah Yusuf, 12:101. Gabungan ini susunan buku bimbingan.

Tutup dengan doa ini:

Lihat sumber

اللَّهُمَّ تَوَفَّنَا مُسْلِمِينَ، وَأَحْيِنَا مُسْلِمِينَ، وَأَلْحِقْنَا بِالصَّالِحِينَ، غَيْرَ خَزَايَا وَلَا مَفْتُونِينَ

Allahumma tawaffanaa muslimiin, wa ahyinaa muslimiin, wa alhiqnaa bis-saalihiin, ghaira khazaayaa wa laa maftuuniin.

Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan Muslim, hidupkanlah kami dalam keadaan Muslim, dan himpunkanlah kami bersama orang yang soleh, tanpa kehinaan dan tanpa terfitnah.

Doa Nabi SAW, riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, no. 699.

Sudah solat dan berdoa? Tempat 4 selesai. Tempat 5 ↓

5

Tempat 5 daripada 6

Hijir Ismail: jika dapat masuk

Sebelum masuk

Hijir Ismail ialah kawasan separuh bulatan berdinding rendah di sisi Kaabah, di bawah pancuran emas (Mizab).

Masuk hanya pada waktu yang dibenarkan. Waktu lelaki dan wanita berbeza (jadual terkini). Jika tidak berpeluang, langkau ke Tempat 6.

Di dalam Hijir Ismail

Solat sunat dua rakaat. Berniat dalam hati: Usallii sunnatan rak’ataini lillaahi ta’aalaa (Sahaja aku solat sunat dua rakaat kerana Allah Taala). Baca surah yang pendek.

Jika anda belum solat sunat tawaf kerana belakang Maqam sesak, anda boleh solat sunat tawaf di sini.

Selepas salam, baca:

Doa Panduan TH

Versi buku doa Tabung Haji menggabungkan kedua-dua doa di bawah dan menambah beberapa lafaz. Baca mana-mana satu.

Doa selepas solat di Hijir IsmailGabungan doa

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ. اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ بِهِ عِبَادُكَ الصَّالِحُونَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا اسْتَعَاذَكَ مِنْهُ عِبَادُكَ الصَّالِحُونَ. اللَّهُمَّ بِأَسْمَائِكَ الْحُسْنَى وَصِفَاتِكَ الْعُلْيَا، طَهِّرْ قُلُوبَنَا مِنْ كُلِّ وَصْفٍ يُبَاعِدُنَا عَنْ مُشَاهَدَتِكَ وَمَحَبَّتِكَ، وَأَمِتْنَا عَلَى السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ وَالشَّوْقِ إِلَى لِقَائِكَ، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ. اللَّهُمَّ نَوِّرْ قَلْبِي بِالْعِلْمِ، وَاسْتَعْمِلْ بِطَاعَتِكَ بَدَنِي، وَخَلِّصْ مِنَ الْفِتَنِ سِرِّي، وَاشْغَلْ بِالِاعْتِبَارِ فِكْرِي، وَقِنِي شَرَّ وَسَاوِسِ الشَّيْطَانِ، وَأَخْرِجْنِي مِنْهُ يَا رَحْمَنُ حَتَّى لَا يَكُونَ لَهُ عَلَيَّ سُلْطَانٌ. رَبَّنَا إِنَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

Allahumma anta rabbii, laa ilaaha illaa ant, khalaqtanii wa ana ‘abduk, wa ana ‘alaa ‘ahdika wa wa’dika mastatha’t, a’uudzu bika min syarri maa shana’t, abuu’u laka bini’matika ‘alayya, wa abuu’u bidzanbii, faghfir lii, fa innahuu laa yaghfirudz-dzunuuba illaa ant. Allahumma innii as’aluka min khairi maa sa’alaka bihii ‘ibaadukas-saalihuun, wa a’uudzu bika min syarri mas-ta’aadzaka minhu ‘ibaadukas-saalihuun. Allahumma bi asmaa’ikal-husnaa wa shifaatikal-‘ulyaa, thahhir quluubanaa min kulli washfin yubaa’idunaa ‘an musyaahadatika wa mahabbatik, wa amitnaa ‘alas-sunnati wal-jamaa’ati wasy-syauqi ilaa liqaa’ik, yaa dzal-jalaali wal-ikraam. Allahumma nawwir qalbii bil-‘ilm, wasta’mil bithaa’atika badanii, wa khallish minal-fitani sirrii, wasy-ghal bil-i’tibaari fikrii, wa qinii syarra wasaawisisy-syaithaan, wa akhrijnii minhu yaa Rahmaan, hattaa laa yakuuna lahuu ‘alayya sulthaan. Rabbanaa innanaa aamannaa faghfir lanaa dzunuubanaa wa qinaa ‘adzaaban-naar.

Maksud dan sumber

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan melainkan Engkau. Engkau menciptakan aku dan aku hamba-Mu. Aku berpegang pada perjanjian dan janji-Mu sedaya upayaku. Aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan perbuatanku. Aku mengakui nikmat-Mu ke atasku dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikan yang dipohon oleh hamba-hamba-Mu yang soleh, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang hamba-hamba-Mu yang soleh memohon perlindungan daripadanya. Ya Allah, dengan nama-nama-Mu yang indah dan sifat-sifat-Mu yang tinggi, sucikanlah hati kami daripada setiap sifat yang menjauhkan kami daripada menyaksikan kebesaran-Mu dan mencintai-Mu. Matikanlah kami di atas sunnah dan jemaah, dalam keadaan rindu untuk bertemu dengan-Mu, wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Ya Allah, terangilah hatiku dengan ilmu, gunakanlah tubuhku untuk taat kepada-Mu, bersihkanlah batinku daripada fitnah, sibukkanlah fikiranku dengan mengambil iktibar, peliharalah aku daripada keburukan bisikan syaitan, dan keluarkanlah aku daripadanya, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, sehingga ia tidak berkuasa ke atasku. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka.

Bahagian pertama ialah Sayyidul Istighfar (Sahih al-Bukhari, no. 6306), dan penutupnya Surah Ali ‘Imran 3:16. Selebihnya susunan ulama. Lafaz Arab mengikut buku Himpunan Doa-Doa Terpilih di Tanah Suci, Lembaga Tabung Haji (2018). Rumi dan maksud disediakan oleh AkuIslam.

Doa di Hijir IsmailSahih

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

Allahumma anta rabbii, laa ilaaha illaa anta, khalaqtanii wa ana ‘abduka, wa ana ‘alaa ‘ahdika wa wa’dika mastata’tu, a’uudzu bika min syarri maa sana’tu, abuu’u laka bini’matika ‘alayya, wa abuu’u laka bidzanbii, faghfir lii, fa innahu laa yaghfirudz-dzunuuba illaa anta.

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan melainkan Engkau. Engkau menciptakan aku dan aku hamba-Mu. Aku berpegang pada perjanjian dan janji-Mu sedaya upayaku. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan perbuatanku. Aku mengakui nikmat-Mu ke atasku dan aku mengakui dosaku, maka ampunkanlah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau.

Sayyidul Istighfar, Sahih al-Bukhari, no. 6306 (hadis sahih). Doa istighfar umum, bukan doa khusus Hijir Ismail.

Sambung dengan:

Gabungan doa

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ بِهِ عِبَادُكَ الصَّالِحُونَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا اسْتَعَاذَكَ مِنْهُ عِبَادُكَ الصَّالِحُونَ. رَبَّنَا إِنَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Allahumma innii as’aluka min khairi maa sa’alaka bihi ‘ibaadukas-saalihuun, wa a’uudzu bika min syarri masta’aadzaka minhu ‘ibaadukas-saalihuun. Rabbanaa innanaa aamannaa faghfir lanaa dzunuubanaa wa qinaa ‘adzaaban-naar.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikan yang dipohon oleh hamba-hamba-Mu yang soleh, dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan yang hamba-hamba-Mu yang soleh berlindung daripadanya. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka.

Bahagian pertama susunan buku bimbingan haji. Ayat penutup daripada surah Ali Imran, 3:16.

Jangan berlama-lama. Beri ruang kepada jemaah lain.

Sudah, atau tidak dapat masuk? Tempat 5 selesai. Tempat 6 ↓

6

Tempat 6 daripada 6

Air zamzam, kemudian ke Safa

Minum air zamzam

Ambil air di tong zamzam yang disediakan di serata masjid.

Ucapkan Bismillah, kemudian baca:

Doa minum air zamzamDaif

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا وَاسِعًا، وَشِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ

Allahumma innii as’aluka ‘ilman naafi’an, wa rizqan waasi’an, wa syifaa’an min kulli daa’.

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan penyembuhan daripada segala penyakit.

Amalan Ibnu Abbas RA, riwayat al-Daraqutni (no. 2738) dan al-Hakim. Athar sahabat, sanadnya lemah; maknanya baik.

Doa lain dan adabnya ada dalam panduan Doa Minum Air Zam Zam.

Teruskan ke saie

Ikut papan tanda Safa. Anda boleh berehat dahulu jika penat.

Lelaki: buka semula bahu kanan (idtiba’) untuk saie.

Niat dan doa setiap perjalanan ada dalam panduan Saie: Perjalanan 1 hingga 7.

Sudah minum zamzam? Tempat 6 selesai. Seterusnya saie. Panduan saie →

Langkah seterusnyaNiat & Cara TawafNiat, cara dan bacaan bagi setiap pusingan

Panduan penuhDoa Masuk Masjidil Haram & Masjid NabawiDoa masuk dan keluar masjid, serta tawaf atau solat dahulu

Info terkini

Peraturan Semasa di Sekitar Kaabah

Multazam, Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail terletak di dataran mataf yang kini dikawal ketat. Semak peraturan ini sebelum merancang untuk berdoa atau solat di sana.

Info terkini · Masjidil Haram · Oktober 2026

Peraturan semasa di sekitar Kaabah

  • Dataran mataf untuk jemaah umrah. Tingkat bawah di sekeliling Kaabah dikhaskan untuk jemaah yang sedang mengerjakan umrah. Syarat berihram bagi lelaki dikuatkuasakan semula mulai 14 Jun 2026, selepas dilonggarkan sementara pada musim haji. Lelaki berpakaian biasa diarahkan bertawaf di tingkat atas atau bumbung. Jangan memakai ihram semata-mata untuk masuk ke mataf.
  • Semak kesesakan sebelum memilih tingkat. Tawaf di tingkat atas dibenarkan mengikut kapasiti. Kepadatan mataf dan tempat saie boleh dilihat secara langsung melalui kod QR di masjid atau portal rasmi Masjidil Haram. Di tingkat atas, titik mula tawaf yang selari dengan Hajarul Aswad ditandai lampu hijau.
  • Waktu masuk Hijir Ismail. Sejak Jun 2026, waktu masuk diasingkan: wanita setiap hari pukul 6.00 hingga 9.00 pagi, lelaki pukul 10.00 malam hingga 1.00 pagi (waktu Makkah).
  • Hajarul Aswad: jangan berhenti. Kementerian Haji dan Umrah menasihatkan jemaah supaya tidak berhenti atau berasak di Hajarul Aswad kerana menyentuh atau menciumnya tidak diwajibkan untuk sah tawaf. Cukup beristilam dengan isyarat tangan ke arahnya sambil terus berjalan, tanpa melawan arus.
  • Multazam dan Maqam Ibrahim. Kedua-duanya terletak di dataran mataf, jadi lelaki yang bertawaf tanpa ihram di tingkat atas tidak dapat menghampirinya. Jika sesak, berdoalah dari tempat anda. Jangan solat di laluan tawaf; solat sunat tawaf boleh dilakukan di mana-mana dalam Masjidil Haram.
  • Kerusi roda dan kereta elektrik. Kerusi roda manual percuma disediakan di dataran timur (Bab al-Salam) dan dataran barat (Jambatan Shubaikah). Kereta golf elektrik untuk tawaf dan saie dikhaskan untuk warga emas dan OKU, dan perlu ditempah awal di carts.alharamain.gov.sa atau aplikasi Tanaqol. Sejak Ogos 2026, tempahan boleh dibuat dengan e-mel peribadi. Percuma untuk OKU.

Peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dan boleh berubah tanpa notis. Sumber: Kementerian Haji dan Umrah (Mac 2026, Ogos 2025), Pihak Berkuasa Masjidil Haram dan Masjid Nabawi melalui SPA (Jun 2026) dan Ajel (Ogos 2026), PPIH Arab Saudi (Jun 2026).

Untuk yang ingin tahu

Status Doa Depan Kaabah

Hampir semua doa di sekitar Kaabah ialah susunan ulama dan buku bimbingan, bukan lafaz khusus daripada Nabi SAW. Doa dalam kad di atas dipilih kerana maknanya baik, dan sumber setiap satu dinyatakan di bawahnya. Anda boleh berdoa dengan hajat sendiri, dalam bahasa sendiri.

Kaabah di Masjidil Haram dengan jemaah berihram dan menara jam Makkah di belakang

Doa melihat Kaabah

Doa Allahumma zid haadzal-baita… diriwayatkan oleh Imam al-Syafi’e (al-Musnad dan al-Umm) dan al-Baihaqi (al-Sunan al-Kubra, 5/73) daripada Ibnu Juraij, bahawa Nabi SAW mengangkat tangan dan membaca doa ini apabila melihat Kaabah.

Sanadnya terputus kerana Ibnu Juraij tidak bertemu Nabi SAW. Al-Baihaqi menilainya munqati’, manakala al-Nawawi (al-Majmu’) menilainya mursal mu’dal. Ulama mazhab Syafi’e tetap menganjurkannya kerana maknanya baik.

Bacaan Allahumma antas-salaam pula athar Umar RA, diriwayatkan oleh al-Baihaqi daripada Sa’id bin al-Musayyib. Ibnu Abi Syaibah (al-Musannaf) meriwayatkan Sa’id sendiri membacanya. Zikir pembuka (takbir, tahlil, ta’awwuz dan selawat) ialah tambahan buku bimbingan, bukan sebahagian daripada riwayat doa ini.

Benarkah doa ketika melihat Kaabah pasti dimakbulkan?

Hadis yang menyebut doa dimakbulkan ketika melihat Kaabah diriwayatkan oleh al-Tabarani dan al-Baihaqi daripada Abu Umamah RA. Sanadnya sangat lemah, dan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ menyatakan ia tidak sahih. Jadi, berdoalah dengan bersungguh-sungguh pada saat itu, tetapi jangan meyakini ada jaminan khusus bahawa doa pertama kali melihat Kaabah pasti dimakbulkan.

Amalan di Multazam

Nama Multazam bermaksud “tempat yang didakap”, kerana para sahabat melekapkan dada, pipi dan tangan mereka pada dinding ini sambil berdoa. Abdullah bin Amr RA pernah melakukannya ketika bertawaf, lalu berkata beginilah beliau melihat Rasulullah SAW melakukannya (Sunan Abi Dawud, no. 1899).

Ada juga riwayat bahawa Nabi SAW dan para sahabat melekapkan pipi pada dinding Kaabah pada hari pembukaan Makkah (no. 1898). Kedua-dua sanad ini dinilai lemah, namun amalan ini diterima ulama.

Imam al-Syafi’e menganjurkannya, terutama ketika tawaf wada. Tiada lafaz doa khusus daripada Nabi SAW di Multazam.

Iltizam hukumnya sunat, sedangkan menyakiti orang lain kerana berasak hukumnya haram. Jika tidak dapat sampai, berdoa dari jauh sudah memadai.

Doa di Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail

Doa selepas solat sunat tawaf ialah doa Nabi Adam AS riwayat al-Tabarani (al-Mu’jam al-Awsat, no. 5974) daripada Aisyah RA. Sanadnya daif, tetapi ia dimuatkan dalam buku bimbingan dan boleh diamalkan sebagai doa umum. Tiada lafaz doa khusus yang sahih untuk Hijir Ismail. Sayyidul Istighfar dipilih kerana Nabi SAW menyebutnya penghulu istighfar (Sahih al-Bukhari, no. 6306).

Penerangan

Tentang Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail

Maqam Ibrahim dan solat sunat tawaf

Maqam Ibrahim ialah batu tempat Nabi Ibrahim AS berdiri ketika membina Kaabah, dengan kesan tapak kaki Baginda (Sahih al-Bukhari, no. 3364). Kini batu itu dilindungi bekas kaca berbingkai keemasan, kira-kira 10 hingga 11 meter di hadapan pintu Kaabah. Ia bukan 150 meter seperti yang pernah disebut dalam sesetengah tulisan.

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِّلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى

“Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah itu (Kaabah) tempat tumpuan bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim tempat solat.”

Surah al-Baqarah, ayat 125

Selepas tawaf, Nabi SAW pergi ke Maqam Ibrahim, membaca ayat ini, lalu solat dua rakaat dengan Maqam berada di antara Baginda dan Kaabah. Baginda membaca surah al-Kafirun dan al-Ikhlas dalam dua rakaat itu (Sahih Muslim, no. 1218).

Dalam mazhab Syafi’e, solat sunat tawaf hukumnya sunat muakkad menurut pendapat yang lebih sahih. Ia bukan rukun dan bukan syarat sah tawaf. Tempat paling afdal ialah di belakang Maqam Ibrahim. Jika sesak, di Hijir Ismail, kemudian di mana-mana bahagian Masjidil Haram, kemudian di Tanah Haram atau di tempat lain (al-Nawawi, al-Idah).

Hijir Ismail

Hijir Ismail, juga disebut Hatim, berada di bawah pancuran emas (Mizab). Sebahagian kawasannya asalnya termasuk dalam binaan Kaabah. Ia ditinggalkan di luar ketika Quraisy membina semula Kaabah kerana kekurangan belanja (Sahih al-Bukhari, no. 1584). Kerana itu, tawaf mesti dilakukan di luar dinding Hijir Ismail.

صَلِّي فِي الْحِجْرِ إِنْ أَرَدْتِ دُخُولَ الْبَيْتِ، فَإِنَّمَا هُوَ قِطْعَةٌ مِنَ الْبَيْتِ

“Solatlah di Hijr jika engkau mahu masuk ke dalam Baitullah, kerana ia sebahagian daripada Baitullah.”

Sabda Nabi SAW kepada Aisyah RA, Sunan al-Tirmizi, no. 876 (hasan sahih)

Ada dua jenis solat di Hijir Ismail yang sering bercampur:

  1. Solat sunat mutlak. Tidak terikat dengan tawaf. Ia boleh didirikan pada bila-bila masa yang dibenarkan, seperti solat di dalam Kaabah, berdasarkan hadis Aisyah RA di atas.
  2. Solat sunat tawaf. Jika tidak dapat solat di belakang Maqam Ibrahim, Hijir Ismail ialah tempat kedua terbaik menurut Imam al-Nawawi dalam al-Idah.

Jadi, solat di Hijir Ismail tidak semestinya berkaitan dengan tawaf, tetapi ia juga boleh menjadi tempat solat sunat tawaf.

Elakkan

Adab di Sekitar Kaabah

  1. Jangan berasak untuk sampai ke Multazam, Hajarul Aswad atau Hijir Ismail. Amalan di tempat itu sunat, manakala menyakiti orang lain haram. Berdoa dari jauh sudah memadai.
  2. Jangan solat di laluan tawaf. Solat tepat di belakang Maqam Ibrahim ketika sesak menyekat jemaah yang sedang bertawaf. Solat sunat tawaf sah di mana-mana dalam masjid.
  3. Berdoa dengan suara perlahan. Jangan membaca doa beramai-ramai dengan suara kuat sehingga mengganggu kekhusyukan orang lain.
  4. Beri ruang. Di Multazam dan Hijir Ismail, berdoa secukupnya, kemudian beri peluang kepada jemaah lain.
  5. Jangan berhenti di tengah laluan untuk mengambil gambar. Ia menyekat laluan dan menjejaskan khusyuk.

Panduan penuh umrah

Selepas saie ialah tahallul. Untuk tatacara penuh dari ihram hingga tahallul, rujuk Cara Mengerjakan Umrah (Panduan Lengkap).

Soal jawab

Soalan Lazim

Apakah doa pertama kali melihat Kaabah?

Doa yang dianjurkan ulama mazhab Syafi’e ialah Allahumma zid haadzal-baita tasyriifan wa ta’ziiman wa takriiman wa mahaabatan hingga akhir. Sanadnya terputus (mursal), jadi bacalah sebagai doa yang baik maknanya tanpa menisbahkannya secara pasti kepada Nabi SAW. Hadis yang menyebut doa dimakbulkan ketika melihat Kaabah pula sangat lemah.

Wajibkah solat sunat tawaf di belakang Maqam Ibrahim?

Tidak. Belakang Maqam Ibrahim ialah tempat paling afdal. Jika sesak, solatlah di Hijir Ismail, di mana-mana bahagian Masjidil Haram atau di luar masjid. Solat sunat tawaf juga bukan syarat sah tawaf.

Bolehkah solat sunat tawaf selepas Asar atau Subuh?

Boleh. Nabi SAW melarang Bani Abdul Manaf menghalang sesiapa yang bertawaf dan solat di Baitullah pada bila-bila masa, siang atau malam (Sunan al-Tirmizi, no. 868). Dalam mazhab Syafi’e, solat yang ada sebab seperti solat sunat tawaf tidak termasuk dalam larangan solat pada waktu makruh.

Adakah sah tawaf jika berjalan di dalam Hijir Ismail?

Pusingan itu tidak sah, kerana Hijir Ismail sebahagian daripada Kaabah. Orang yang melaluinya tidak mengelilingi seluruh Kaabah, jadi pusingan itu perlu diulang. Lihat Niat dan Cara Tawaf untuk syarat sah tawaf.

Bolehkah berdoa dalam bahasa Melayu di depan Kaabah?

Boleh. Di luar solat, doa boleh dibaca dalam apa-apa bahasa. Lafaz Arab dalam artikel ini hanya panduan. Sebutkan hajat anda dengan yakin dan khusyuk.

Sumber

Rujukan

  1. Al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 125; Ali Imran, ayat 16; Yusuf, ayat 101. quran.com
  2. Sahih al-Bukhari, no. 1584: Hijr sebahagian daripada Kaabah. sunnah.com
  3. Sahih al-Bukhari, no. 3364: Nabi Ibrahim AS berdiri di atas batu ketika membina Kaabah. sunnah.com
  4. Sahih al-Bukhari, no. 6306: Sayyidul Istighfar. sunnah.com
  5. Al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad, no. 699: doa Allahumma tawaffanaa muslimiin. sunnah.com
  6. Sahih Muslim, no. 713: doa masuk masjid. sunnah.com
  7. Sahih Muslim, no. 1218: hadis Jabir RA tentang haji Nabi SAW dan solat di Maqam Ibrahim. sunnah.com
  8. Sunan Abi Dawud, no. 1898 dan 1899: amalan di Multazam. sunnah.com
  9. Sunan al-Tirmizi, no. 868 dan 876: solat selepas tawaf pada bila-bila masa dan solat di Hijr. sunnah.com
  10. Al-Syafi’e, al-Musnad dan al-Umm; al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, 5/73: doa melihat Kaabah dan athar Umar RA.
  11. Ibnu Abi Syaibah, al-Musannaf, Kitab al-Hajj: athar doa ketika melihat Kaabah.
  12. Ahmad, al-Musnad, no. 17628: doa Allahumma ahsin ‘aaqibatanaa.
  13. Al-Tabarani, al-Mu’jam al-Awsat, no. 5974: doa Nabi Adam AS.
  14. Al-Daraqutni, Sunan, no. 2738: doa Ibnu Abbas RA ketika minum air zamzam.
  15. Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab, jil. 8: status riwayat doa melihat Kaabah.
  16. Al-Nawawi, al-Idah fi Manasik al-Hajj: hukum dan tempat solat sunat tawaf.
  17. Arab News, 6 Julai 2022: Maqam Ibrahim kira-kira 10 hingga 11 meter dari Kaabah. arabnews.com
  18. Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, 10 Mac 2026: peraturan tawaf dan dataran mataf. haj.gov.sa
  19. Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Umrah Guide for Domestic Pilgrims: pintu bernombor Masjidil Haram. haj.gov.sa
  20. The Siasat Daily, 25 Jun 2026: jadual masuk Hijir Ismail. siasat.com
KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim Abd Manaf

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

2 Komen

  1. Terima kasih ilmunya bermanafaat serta menjadi panduan saya mengerjakan haji 2025..Terima kasih tuan.. Terimakasih Allah

    Balas
    • Alhamdulillah, syukur jika perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada tuan.

      Semoga Allah mempermudahkan segala urusan haji tuan pada tahun 2025 dan menerima setiap amal ibadah yang dilakukan.

      Terima kasih atas doa dan kata-kata yang baik. Aamiin ya Rabb.

      Balas

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.