CHECKLIST HAJI 1448H: Barang Jemaah TH, Mina & Arafah

Checklist haji 1448H khusus jemaah Tabung Haji, merangkumi dokumen, kesihatan, beg Mina dan Arafah serta bagasi pulang. Tanda terus di telefon.

Muhamad Naim Abd ManafDikemas kini 24 Oktober 2026

Persiapan haji jauh lebih panjang daripada umrah: urusan kesihatan dengan Tabung Haji, beberapa hari di Mina dan Arafah, serta cuaca panas yang mencabar. Ramai jemaah risau terlupa barang penting yang perlu dibawa ke Mina dan Arafah.

Checklist haji ini ialah senarai tambahan khusus untuk jemaah haji Tabung Haji: urusan kesihatan dan vaksin, beg kecil untuk Mina, Arafah dan Muzdalifah, perlindungan haba serta bagasi dan CCI sebelum pulang. Untuk barang asas, tandakan dahulu Checklist Umrah. Semoga panduan ini membantu persiapan anda, InsyaAllah.

Semakan editorial: 16 Oktober 2026 · Semakan fiqh pakar: dalam proses · Rujukan: Lembaga Tabung Haji (musim 1446H dan 1447H), keperluan kesihatan haji Kementerian Kesihatan Arab Saudi 1447H, pekeliling GACA (Mei 2026) dan SFDA.

Ringkasan

Untuk haji, tanda dahulu Checklist Umrah sebagai senarai asas: dokumen, ihram, pakaian, mandian, ubat dan elektronik. Halaman ini hanya memuatkan tambahan haji: urusan kesihatan dan vaksin TH, beg kecil untuk Mina, Arafah dan Muzdalifah, perlindungan haba, serta bagasi dan CCI sebelum pulang.

Musim 1447H, jemaah TH dibenarkan 2 beg dengan jumlah tidak melebihi 30 kg, dan air zamzam tidak boleh dibawa dalam beg. Haji 1448H dijangka pada pertengahan Mei 2027, dalam cuaca panas. Ikut ketetapan TH musim 1448H apabila diumumkan.

Tanda satu demi satu

Checklist Haji: Tambahan untuk Jemaah TH

Senarai asasSudah tanda Checklist Umrah?Itu senarai asas. Di bawah ini hanya tambahan haji.

Senarai tambahan ini mengikut urutan masa: sebelum berangkat, di Makkah, di Masyair, dan sebelum pulang. Jumlahnya 54 barang dan urusan dalam 5 kumpulan. Klik pada barang untuk menandanya. Tanda disimpan dalam pelayar telefon ini sahaja dan hilang jika data pelayar dipadam.

Jika berlaku

  • Bagasi melebihi 30 kg ketika CCI? Keluarkan barang lebihan dan hantar melalui perkhidmatan pos di bangunan penginapan.
  • Terlupa ubat dalam beg besar ketika di Mina? Maklumkan ketua rombongan atau petugas kesihatan TH segera. Jangan mengambil ubat preskripsi orang lain.
  • Terpisah daripada rombongan di Mina? Tunjukkan tag atau kad pengenalan jemaah kepada petugas, dan hubungi ketua rombongan.
  • Terpakai sabun atau tisu berwangi kerana lupa semasa ihram? Bilas sebaik teringat. Tiada dam (hukum wangian).
  • Power bank atau kipas berbateri tertinggal dalam beg CCI? Maklumkan petugas sebelum beg diambil.

A. Urusan TH atau PJH sebelum berangkat

Ikut ketetapan TH musim 1448H. Senarai ini berdasarkan ketetapan musim 1446H dan 1447H. Tanda anda ialah alat bantu peribadi dan disimpan dalam telefon ini sahaja.

  • Surat tawaran haji dijawab Dalam tempoh yang dinyatakan dalam surat.
  • Pemeriksaan kesihatan di hospital atau klinik panel TH Bawa kad pengenalan dan salinan surat tawaran.
  • Vaksin meningokokal ACYW Wajib. Ambil selepas lulus pemeriksaan kesihatan, sebelum serahan pasport.
  • Vaksin influenza dan Covid-19 Jika berkenaan. Wajib bagi umur 65 tahun ke atas, komorbid atau imuniti lemah (TH 1446H).
  • Vaksin pneumokokal Jika berkenaan. Digalakkan.
  • Rekod kesihatan dan vaksin disemak dalam MySejahtera Musim 1446H: rekod digital, buku BRRJH tidak digunakan lagi.
  • Tanya doktor tentang ubat yang perlu dilaras dalam cuaca panas Jika berkenaan. Contohnya ubat diuretik (KKM Arab Saudi).
  • Pasport diserahkan kepada TH Ikut jadual dan cawangan yang dimaklumkan.
  • Kursus Asas Haji dihadiri Nota kursus boleh dibaca semula di laman TH.
  • Dam haji Tamattu’ atau Qiran dibayar Jika berkenaan. Musim 1447H: RM810 seekor kibas, melalui THiJARI atau kaunter TH. Panduan dam.
  • Ubat untuk seluruh tempoh haji, dengan surat doktor Ubat mengandungi bahan narkotik atau psikotropik perlu permit SFDA (cds.sfda.gov.sa) sebelum terbang.
  • Nombor ketua rombongan dan maktab disimpan Juga Pusat Panggilan TH (THCC): +603-6207 1919.
  • Jemaah PJH: senarai apa yang disediakan agensi Jika berkenaan. Tanya tentang kain ihram, beg, alas tidur di Masyair dan pengangkutan.

B. Cuaca panas dan tempoh panjang

Haji 1448H dijangka pada pertengahan Mei 2027. Utamakan barang pelindung haba. Baju panas tebal dan beg tidur tebal tidak diperlukan. Sebahagian barang di bawah sudah ada dalam senarai asas; ia diulang kerana lebih penting ketika haji.

  • Payung putih Boleh dibeli di sana. Lelaki berihram dibolehkan berteduh di bawah payung (soalan lazim).
  • Kipas mudah alih berbateri Kabin sahaja. Simpan dalam beg kabin ketika terbang.
  • Botol semburan air untuk muka
  • Tuala kecil untuk dibasahkan Letak di tengkuk ketika panas. Lelaki berihram: jangan letak di atas kepala.
  • Garam rehidrasi dan glukosa
  • Tali ampaian dan penyepit baju
  • Sabun basuh pakaian saiz kecil Tanpa pewangi jika digunakan semasa ihram.
  • Pakaian yang cepat kering

Panduan penuhMelepas & Menyambut JemaahDoa, adab dan hukum walimatul hujjaj

Panduan penuhKursus Asas Haji 1448HJadual, 11 modul dan panduan ulang kaji

Panduan penuhPenerbangan Haji THFasa Madinah dan Jeddah, dan bila berniat ihram

Peraturan semasa

Info Terkini Musim 1448H

Peraturan semasa · Disemak 16 Oktober 2026

Ikut ketetapan TH musim 1448H

  • Vaksin (Arab Saudi, haji 1447H): meningokokal ACYW wajib bagi semua jemaah. Jenis konjugat dalam tempoh 5 tahun, jenis polisakarida dalam tempoh 3 tahun, sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tiba; sijil tanpa nama vaksin dianggap sah 3 tahun sahaja. Influenza musim 2025-2026 disyorkan. Bukti Covid-19 bagi kumpulan tertentu.
  • Vaksin (TH 1446H): meningokokal wajib. Influenza dan Covid-19 wajib bagi umur 65 tahun ke atas, komorbid atau imuniti lemah. Pneumokokal digalakkan. Semua vaksin selesai sebelum serahan pasport. Rekod kesihatan dalam MySejahtera.
  • Tarikh haji: Hari Arafah 1448H dijangka Sabtu, 15 Mei 2027, ikut kalendar Hijrah tabular. Tarikh sebenar ikut rukyah dan boleh berbeza sehari.
  • Bagasi dan CCI (1447H): 2 beg, jumlah tidak melebihi 30 kg seorang. Bagasi diserahkan di bangunan penginapan kira-kira 48 jam sebelum berlepas. Barang lebihan dihantar melalui perkhidmatan pos di bangunan penginapan.
  • Air zamzam: jemaah haji TH tidak dibenarkan membawa pulang zamzam dalam beg atau menghantarnya melalui pos. Setiap jemaah menerima 5 liter setibanya di Malaysia. Beg yang disyaki berisi zamzam akan dibuka dan diperiksa.
  • Power bank: pekeliling GACA (Mei 2026): maksimum 2 unit seorang, dalam beg kabin sahaja. jangan cas atau guna dalam pesawat. Dilarang dalam bagasi di semua lapangan terbang Saudi.
  • Ubat: TH mengingatkan ubat yang mengandungi bahan terlarang tidak boleh dibawa tanpa pengesahan perubatan (April 2025). Ubat mengandungi bahan narkotik atau psikotropik perlu permit SFDA (cds.sfda.gov.sa) sebelum terbang. Ubat seperti diuretik mungkin perlu dilaras doktor kerana cuaca panas (KKM Arab Saudi).
  • Dam haji 1447H: RM810 seekor kibas bagi haji Tamattu’ dan Qiran. Harga 1448H belum diumumkan (panduan dam).

Sumber dan tarikh setiap perkara ada dalam rujukan. Ketetapan TH musim 1448H mungkin berbeza. Rujuk taklimat TH, Kursus Asas Haji dan ketua rombongan anda.

Garis masaKalendar Haji 1448HTarikh penting dari tawaran hingga pulang, termasuk tarikh jangkaan Arafah

Mina, Arafah, Muzdalifah

Beg Mina, Arafah dan Muzdalifah

Dari 8 hingga 12 Zulhijjah (Nafar Awal) atau 13 Zulhijjah (Nafar Thani), anda bergerak antara Mina, Arafah dan Muzdalifah dengan satu beg galas ringan. Beg besar ditinggalkan di hotel Makkah. Bawa hanya yang perlu dan yang boleh anda pikul sendiri.

C. Beg Masyair: Mina dan Arafah

Satu beg galas ringan untuk 8 hingga 12 Zulhijjah (Nafar Awal) atau 13 Zulhijjah (Nafar Thani). Beg besar kekal di hotel Makkah. Semak dengan TH atau PJH apa yang sudah disediakan di khemah.

  • Beg galas ringan
  • Kain ihram ganti, sepasang Lelaki.
  • Pakaian ganti yang menutup aurat, sepasang Wanita.
  • Pakaian ganti untuk selepas tahallul awal Apa yang dibenarkan selepas tahallul awal.
  • Ubat harian untuk tempoh di Masyair Selebihnya dalam beg besar di hotel.
  • Gunting kecil untuk bergunting di Mina
  • Botol air dan makanan ringan dalam beg zip
  • Tisu tandas dan tisu basah tanpa pewangi
  • Pembersih tangan tanpa pewangi
  • Cangkuk lekap (suction) untuk bilik mandi Untuk menyangkut kain ihram dan tuala.
  • Power bank Untuk telefon di Masyair.
  • Kabel sambungan berbilang soket Soket di khemah terhad dan dikongsi ramai.
  • Penutup telinga Untuk tidur di khemah Mina.
  • Pelitup muka untuk debu Wanita berihram tidak boleh menutup muka. Lihat hukumnya.
  • Sejadah lipat
  • Buku nota doa untuk Hari Arafah
  • Selipar atau sandal yang selesa, dengan beg uncang Lelaki berihram: menampakkan tumit dan jari kaki.
  • Tag atau kad pengenalan jemaah dipakai Yang dibekalkan oleh TH atau PJH.

D. Malam Muzdalifah dan melontar

Mabit di Muzdalifah di kawasan terbuka. Bawa satu alas sahaja. Amalan malam itu: panduan mabit di Muzdalifah dan Mina.

  • Alas tidur ringan Tikar atau tilam angin nipis. Semak sama ada TH atau PJH menyediakannya.
  • Selimut nipis atau kain Lelaki berihram: jangan tutup kepala dengan selimut.
  • Bantal tiup kecil
  • Penutup mata Lampu di Muzdalifah terang sepanjang malam. Wanita berihram tidak boleh memakainya kerana ia menutup sebahagian muka. Lelaki: pilih tali yang nipis.
  • Lampu suluh kecil Untuk mengutip batu pada waktu malam. Lampu telefon juga boleh.
  • Beg kecil atau botol untuk batu melontar Cara melontar jamrah.

Bawa dalam beg mana?

BarangBeg MasyairBeg kabin (terbang)
Ubat harianUntuk 8 hingga 12 atau 13 Zulhijjah. Stok lain kekal di hotelDos perjalanan
Kain atau pakaian ihramSepasang gantiSepasang, jika terus ke Jeddah
Power bankBolehBoleh Maksimum 2. Tidak dalam bagasi
Kipas berbateriBolehBoleh
Gunting kecilBoleh Untuk berguntingTidak Masukkan dalam bagasi
Alas tidur, selimut nipisBolehTidak perlu
Air zamzamBotol kecil untuk diminumTidak Bagasi juga tidak
Cecair dan krimSaiz kecilBersyarat 100 ml setiap bekas

Beg kabin mengikut peraturan penerbangan yang sama dengan umrah: jadual beg kabin atau bagasi.

Panduan penuhMabit di Muzdalifah dan MinaWaktu, cara mabit, kutip batu dan doa

Panduan penuhMelontar JamrahWaktu, cara melontar dan bacaannya

Sebelum pulang

Bagasi TH, CCI dan Sebelum Pulang

City Check-In (CCI) bermaksud bagasi diserahkan di bangunan penginapan, kira-kira 48 jam sebelum penerbangan pulang. Selepas itu anda tidak lagi memegang beg besar, jadi asingkan barang untuk dua hari terakhir lebih awal.

E. Bagasi, CCI dan pulang

Ikut ketetapan TH musim 1448H. Angka di bawah ialah ketetapan musim 1447H (Jun 2026).

  • Bagasi 2 beg, jumlah tidak melebihi 30 kg Contoh: 12 kg dan 18 kg.
  • Label nama dan nombor jemaah pada setiap beg
  • Tiada air zamzam dalam beg Beg yang disyaki akan dibuka dan diperiksa. TH memberi 5 liter zamzam setibanya di Malaysia.
  • Power bank, bateri ganti dan kipas berbateri dikeluarkan ke beg kabin
  • Barang lebihan dihantar melalui perkhidmatan pos di bangunan penginapan Jika berkenaan.
  • Beg kecil untuk 2 hari selepas CCI Pakaian ganti, ubat, barang mandian, telefon dan pengecas.
  • Bagasi diserahkan untuk CCI Kira-kira 48 jam sebelum berlepas, di bangunan penginapan. Ikut jadual maktab.
  • Dam dan fidyah sudah dibayar atau diwakilkan Semak sebelum pulang.
  • Tawaf wada sejurus sebelum bas bertolak meninggalkan Makkah Ikut jadual maktab. Keluar dari Makkah dalam 8 jam selepas tiba semula di penginapan (24 jam jika kenderaan lewat). Wanita yang masih haid atau nifas ketika bertolak dikecualikan. Panduan tawaf wada.

Panduan penuhTawaf WadaTawaf terakhir sebelum meninggalkan Makkah

Panduan penuhDam Haji dan UmrahJenis dam, harga semasa dan cara bayar

Soal jawab

Soalan Lazim

Berapa kg bagasi jemaah haji Tabung Haji?

Musim 1447H: dua beg dengan jumlah tidak melebihi 30 kg seorang, contohnya 12 kg dan 18 kg (kenyataan TH, Jun 2026). TH pernah menyatakan had ini termasuk kerusi roda, tongkat dan kerusi duduk. Ikut ketetapan TH musim 1448H apabila diumumkan.

Apa yang perlu dibawa ke Mina dan Arafah?

Satu beg galas ringan: kain ihram ganti (lelaki) atau pakaian ganti (wanita), ubat harian untuk tempoh di Masyair, botol air, makanan ringan, tisu tanpa pewangi, power bank, kabel sambungan, penutup telinga, payung, sejadah dan buku nota doa untuk Hari Arafah. Semak dengan TH atau PJH apa yang sudah disediakan di khemah.

Perlukah tilam atau beg tidur untuk Muzdalifah?

Cukup satu alas ringan, seperti tikar atau tilam angin nipis, dan selimut nipis. Muzdalifah ialah kawasan terbuka dan haji 1448H jatuh pada musim panas, jadi beg tidur tebal tidak diperlukan. Tanya TH atau agensi sama ada alas disediakan.

Vaksin apa yang wajib untuk haji?

Meningokokal ACYW wajib bagi semua jemaah. Menurut TH (musim 1446H), influenza dan Covid-19 wajib bagi jemaah berumur 65 tahun ke atas, komorbid atau imuniti lemah, dan pneumokokal digalakkan. Vaksin diambil selepas lulus pemeriksaan kesihatan dan sebelum serahan pasport.

Boleh bawa air zamzam dalam beg?

Tidak. Jemaah haji TH tidak dibenarkan membawa pulang zamzam dalam beg atau menghantarnya melalui pos. Beg yang disyaki akan dibuka dan diperiksa. Setiap jemaah menerima 5 liter zamzam setibanya di Malaysia.

Bolehkah lelaki yang berihram memakai payung?

Boleh. Yang dilarang bagi lelaki ialah menutup kepala dengan sesuatu yang dipakai, seperti kopiah, topi atau kain. Berteduh di bawah payung, khemah atau bumbung tidak termasuk larangan itu. Ketika haji wada’, Bilal atau Usamah RA mengangkat kain di atas kepala Nabi SAW bagi meneduhkan baginda daripada matahari selepas melontar Jamrah Aqabah (Sahih Muslim, no. 1298a).

Sumber

Rujukan

  1. Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Hajj Health Requirements 1447H (2026): vaksin, ubat, haba. moh.gov.sa
  2. Lembaga Tabung Haji, Soalan Lazim Pemeriksaan Kesihatan Bakal Haji Musim Haji 1446H/2025M: vaksin, MySejahtera, BRRJH.
  3. Berita RTM, Bakal haji wajib ambil vaksin Meningococcal (15 Februari 2025). rtm.gov.my
  4. Malay Mail (Bernama), 3 Jun 2026: bagasi 30 kg, CCI 48 jam, zamzam dalam beg. malaymail.com
  5. Utusan Malaysia, 4 Jun 2026: CCI di bangunan penginapan dan perkhidmatan pos. utusan.com.my
  6. The Rakyat Post, 29 Mei 2025: jemaah haji Malaysia tidak dibenarkan membawa pulang zamzam; 5 liter diberi setibanya di Malaysia. therakyatpost.com
  7. Bernama, 28 April 2025: TH mengingatkan had bagasi, power bank dan ubat terlarang. bernama.com
  8. Gulf News, 23 Mei 2026: pekeliling GACA tentang power bank. gulfnews.com
  9. KAUST, makluman SFDA tentang ubat terkawal, berkuat kuasa 1 November 2025. kaust.edu.sa
  10. Berita RTM, 15 Februari 2026: dam haji 1447H RM810 seekor kibas. rtm.gov.my
  11. Islamic.app, jangkaan Hari Arafah 1448H (kalendar tabular). islamic.app
  12. Sahih Muslim, no. 1298a: Nabi SAW diteduhkan dengan kain selepas melontar Jamrah Aqabah. sunnah.com
  13. Sahih al-Bukhari, no. 1838: larangan niqab dan sarung tangan bagi wanita berihram. sunnah.com
  14. Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/374: makruh menyikat rambut ketika ihram. islamqa.info
KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim Abd Manaf

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.