PENGALAMAN UMRAH MK HARAMAIN: Ulasan Pakej Saver Eco 12 Hari 10 Malam

Pengalaman umrah MK Haramain bersama kru AkuIslam 2026. Ulasan pakej Saver Eco 12 hari 10 malam, hotel, mutawwif, Raudhah dan ziarah Taif.

Mohd Hafizi AbdullahDikemas kini 20 Oktober 2026

Memilih pakej umrah bukan sekadar melihat harga, jumlah tempat ziarah atau jarak hotel yang tertera pada poster. Ada perkara yang hanya boleh dinilai apabila kita sendiri sudah sampai di sana.

Bagaimana keadaan bilik selepas seharian penat beribadah? Senangkah laluan ke masjid? Bagaimana jemaah kali pertama dibimbing? Paling penting, siapa yang boleh kita cari apabila memerlukan bantuan? Perkara inilah yang sebenarnya banyak menentukan keselesaan perjalanan.

Dalam perkongsian ini, kru AkuIslam menceritakan sendiri pengalaman umrah bersama MK Haramain Travel & Tours menerusi pakej Saver Eco 12 hari 10 malam pada awal tahun 2026: harga, hotel di Madinah dan Makkah, bimbingan mutawwif, urusan Raudhah, ziarah Taif serta perkara yang perlu diketahui sebelum menempah. Semoga panduan ini membantu anda, InsyaAllah.

Semakan editorial: 20 Oktober 2026 · Sumber: pengalaman kru AkuIslam (awal 2026) dan butiran rasmi pakej Saver Eco MK Haramain (dikemaskini Oktober 2026).

Jawapan ringkas

Saver Eco ialah pakej 12 hari 10 malam yang bermula di Madinah, diteruskan ke Makkah, Taif dan Jeddah. Kekuatan utamanya pada pengalaman kami ialah bimbingan mutawwif dan pengurusan logistik. Ia pakej bilik sahaja, jadi bajet makan perlu disediakan sendiri.

  • Dari RM7,190 seorang. Bilik berempat, musim biasa.
  • Hotel. Deyar Al Eiman (±150 m) di Madinah dan Snood Ajyad (±350 m) di Makkah, atau setaraf.
  • Ziarah Taif termasuk. Badar dan beberapa ziarah lain ialah program tambahan.
  • Penilaian kami: 4.6 / 5. Paling tinggi untuk mutawwif dan pengurusan perjalanan.

Nota AkuIslam

Perkongsian ini berdasarkan perjalanan kru AkuIslam pada awal tahun 2026. Harga dan kemudahan pakej dalam artikel ini telah diselaraskan dengan harga rasmi Saver Eco di laman web MK Haramain (dikemaskini Oktober 2026). Harga sebenar tertakluk musim, jenis bilik dan tarikh berlepas.

Sekilas Saver EcoButiran pakej MK Haramain
AgensiMK Haramain Travel & Tours
Tempoh12 hari 10 malam
LaluanKL, Madinah, Makkah, Taif, Jeddah, KL
PenerbanganSaudia / Malaysia Airlines atau setaraf
Hotel MadinahDeyar Al Eiman atau setaraf (±150 m)
Hotel MakkahSnood Ajyad atau setaraf (±350 m)
MakanBilik sahaja (tidak termasuk makan)
HargaDari RM7,190 seorang (musim biasa, bilik berempat)
Mutawwif MK Haramain memberi taklimat kepada jemaah umrah
Mutawwif MK Haramain memberi taklimat kepada jemaah. Bimbingan seperti ini antara kekuatan utama pengalaman umrah kami.

“Umrah yang tenang bermula dengan pakej yang kita faham sepenuhnya. Harga penting, tetapi bimbingan, hotel dan susunan jadual yang menentukan keselesaan sebenar.”

Bahagian 1 · Pakej dan harga

Mengenali Pakej Umrah Saver Eco MK Haramain

Saver Eco merupakan pakej umrah 12 hari 10 malam yang ditawarkan oleh MK Haramain Travel & Tours. Pakej ini menggabungkan perjalanan ke Madinah dan Makkah, aktiviti ziarah di kedua-dua kota, lawatan ke Taif, serta penginapan satu malam di Jeddah sebelum pulang ke Malaysia.

Jemaah umrah MK Haramain di Jabal Rahmah, Arafah
Jemaah MK Haramain di Jabal Rahmah, Arafah, sebahagian daripada program ziarah pakej Saver Eco.

Berdasarkan poster dan laman rasmi MK Haramain, antara kemudahan yang ditawarkan termasuklah:

  • Penerbangan Saudia / Malaysia Airlines atau setaraf.
  • Penginapan di Madinah dan Makkah.
  • Bas persendirian sepanjang perjalanan.
  • Bimbingan mutawwif berpengalaman.
  • Kursus umrah eksklusif.
  • Program ziarah sekitar Madinah, Makkah dan Taif.
  • Satu malam penginapan di Jeddah.
  • Visa umrah atau visa pelancong (mengikut ketetapan pakej).

Poster Saver Eco juga ada menyebut 25 lokasi ziarah. Cuma kena ingat, jumlah lokasi yang banyak tidak semestinya bermaksud kita akan singgah lama di setiap tempat. Ada kawasan yang kita turun melawat, dan ada juga tempat yang sekadar dilihat dari dalam bas. Susunan sebenar jadual juga boleh berubah bergantung pada keadaan semasa di sana.

Bagi kami, yang lebih penting ialah bagaimana aktiviti itu disusun. Adakah jemaah ada masa yang cukup untuk beribadah dan berehat?

Pakej yang jadualnya paling padat tidak semestinya paling sesuai. Kadang-kadang, jadual yang seimbang antara waktu ibadah, ziarah dan masa peribadi lebih membuatkan jemaah rasa selesa.

Bahagian 1 · Pakej dan harga

Harga Pakej Umrah Saver Eco

Berdasarkan butiran pakej Saver Eco, ini senarai harganya mengikut musim dan jenis bilik.

Musim (RM seorang)BerempatBertigaBerdua
Biasa7,1907,7908,390
Pertengahan7,5908,1908,790
Puncak8,5909,1909,790
TermasukTidak termasuk
Bimbingan mutawwifMakan sepanjang perjalanan
Program ziarah mengikut atur caraPerbelanjaan peribadi
Kursus persediaan umrahSet bagasi dan insurans individu

Harganya berbeza mengikut bilangan orang sebilik. Jika pergi bersama keluarga atau kawan-kawan, bilik berempat memang lebih jimat. Bagi pasangan suami isteri atau sesiapa yang perlukan lebih privasi, bilik berdua mungkin pilihan yang lebih baik.

Satu perkara penting: pakej ini menawarkan penginapan berkonsepkan bilik sahaja (tanpa pakej makanan). Jadi, kos makan minum perlu dimasukkan awal-awal ke dalam bajet, bersama ziarah tambahan, cenderahati, insurans, pengangkutan sendiri dan wang kecemasan. Anggaran ini kasar sahaja, jadi sahkan harga terkini di laman pakej Saver Eco MK Haramain.

Harga juga berbeza mengikut musim. Musim biasa bermula RM7,190, musim pertengahan RM7,590 dan musim puncak RM8,590 seorang (bilik berempat). Bakal jemaah dinasihatkan mendapatkan sebut harga terkini terus daripada pihak MK Haramain.

Tip AkuIslam

Apabila membandingkan harga pakej umrah, jangan lihat jumlah bayaran kepada agensi sahaja. Ambil kira juga kos makan, perbelanjaan peribadi, aktiviti pilihan dan wang kecemasan. Pakej yang nampak murah mungkin memerlukan bajet tambahan untuk perkara-perkara ini.

Poster Rasmi Saver Eco Terkini

Harga dalam artikel ini telah diselaraskan dengan harga rasmi Saver Eco di laman web MK Haramain Travel & Tours (dikemaskini Oktober 2026). Ini poster terkini bagi pakej tersebut.

Poster Pakej Umrah Saver Eco MK Haramain 12 hari 10 malam, harga bermula RM7,190 seorang
Poster terkini Pakej Umrah Saver Eco MK Haramain. Harga bermula RM7,190 seorang (bilik berempat, musim biasa).

Jika anda pernah melihat poster Saver Eco yang lebih awal, mungkin ada beberapa perbezaan. Poster yang kami rujuk sebelum berlepas pada awal 2026 memaparkan harga yang berbeza dan menyenaraikan Safwat Al Madinah sebagai hotel di Madinah.

Dalam butiran terkini, harga dipecahkan mengikut musim (biasa, pertengahan dan puncak), manakala hotel Madinah kini disenaraikan sebagai Deyar Al Eiman atau setaraf. Ini hotel yang sama kru AkuIslam menginap, yang kami eja sebagai Diyar Al Eiman dalam artikel ini.

Perubahan harga sebegini perkara biasa dalam industri umrah. Poster terkini MK Haramain sendiri menyatakan bahawa sebarang perubahan pakej tertakluk kepada pembekal tiket penerbangan dan pembekal penginapan di Arab Saudi mengikut keadaan musim semasa.

Kenapa harga berubah

5 faktor yang mempengaruhi harga pakej umrah

  1. Tiket penerbangan. Harga bahan api, permintaan musim dan kerusi penerbangan terus ke Madinah dan Jeddah.
  2. Kadar hotel di Tanah Suci. Berubah mengikut musim, kuota bilik dan permintaan, terutamanya hotel yang dekat dengan masjid.
  3. Kadar pertukaran mata wang. Kebanyakan kos dibayar dalam riyal, jadi pergerakan nilai ringgit memberi kesan kepada harga akhir.
  4. Caj dan peraturan semasa. Yuran visa, caj perkhidmatan dan keperluan baharu pihak berkuasa Arab Saudi boleh berubah.
  5. Kos operasi dan pengurusan. Pengangkutan darat, mutawwif, petugas di lapangan, kursus umrah dan program ziarah.

Faktor umum dalam industri umrah, bukan senarai rasmi daripada agensi.

Maksudnya, kenaikan harga lebih banyak mencerminkan kos semasa di Tanah Suci, dan bukan semestinya perubahan pada kualiti pakej. Yang penting, kita faham apa yang dibayar dan bandingkan pakej mengikut kemudahan, hotel dan perkhidmatan yang diterima.

Sebelum membuat bayaran, sentiasa rujuk poster atau laman rasmi yang terkini, dan sahkan harga mengikut tarikh berlepas dengan pegawai MK Haramain.

Bahagian 1 · Pakej dan harga

Ringkasan Pengalaman Umrah MK Haramain Selama 12 Hari

Perjalanan kru AkuIslam mengikut susunan asas 12 hari 10 malam, bermula di Madinah sebelum ke Makkah: Madinah 4 malam (hari 1 hingga 4), Makkah 5 malam (hari 5 hingga 9, dengan ziarah Taif pada hari 8), Jeddah 1 malam (hari 10) dan tiba di Kuala Lumpur pada hari 12.

Penerbangan terus Saudia / Malaysia Airlines atau setaraf. Perjalanan Madinah ke Makkah dengan bas, berniat ihram di Miqat Bir Ali. Taif ialah ziarah sehari dari Makkah, dan Jeddah 1 malam sebelum pulang.

HariAktivitiButiran
1Kuala Lumpur → MadinahBerkumpul di KLIA kira-kira 4 jam sebelum penerbangan. Terbang terus bersama Saudia, kemudian daftar masuk di Diyar Al Eiman.
2Ibadah dan kenal laluanIbadah di Masjid Nabawi dan biasakan diri dengan laluan hotel ke masjid. Krew bantu urusan Raudhah melalui aplikasi Nusuk.
3Masa bebas di MadinahIktikaf, baca al-Quran dan solat berjemaah. Ziarah Badar hanya program tambahan.
4Ziarah sekitar MadinahMasjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan ladang kurma.
5Madinah → Makkah, umrah pertamaNiat ihram di Miqat Bir Ali. Tawaf, sa’ie dan tahallul dengan bimbingan mutawwif.
6Masa bebas dan HudaibiyahZiarah miqat Hudaibiyah. Peluang umrah tambahan (sunat) bagi yang larat.
7Ziarah Masyair dan Ja’ranahJabal Thur, Jabal Nur, Arafah, Muzdalifah, Mina dan Ja’ranah.
8Ziarah Kota TaifMasjid Abdullah bin Abbas dan kereta kabel (tertakluk cuaca dan operasi).
9Masa bebas di MakkahTawaf sunat, rehat dan urusan peribadi.
10Makkah → JeddahTawaf wada’, daftar keluar dan bermalam di Jeddah. Singgah Masjid Terapung Al-Rahmah.
11Penerbangan pulangBertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz.
12Tiba di Kuala LumpurAlhamdulillah, perjalanan selesai.

Susunan asas berdasarkan jadual kru AkuIslam (awal 2026). Jadual sebenar boleh berubah mengikut keadaan semasa, dan beberapa aktiviti yang kami sertai (seperti ziarah Badar) dibuat berasingan daripada tentatif biasa ini.

Secara keseluruhan, susunan perjalanan ini sangat seimbang. Ada masa untuk ibadah, ada masa untuk rehat dan ada masa untuk ziarah. Bukan setiap hari penuh dengan lawatan, malah ada hari yang memang dikhaskan untuk jemaah beribadah sendiri. Ini satu kelebihan yang sangat besar bagi kami.

Apabila sudah tahu susunan jadual, mudahlah kita membuat persediaan awal, sama ada untuk ziarah, mengemas barang untuk berpindah hotel atau merancang masa iktikaf di masjid.

Tip AkuIslam

Simpan jadual perjalanan dalam telefon bimbit dan peka dengan waktu berkumpul, lokasi bas serta nombor telefon petugas. Maklumat ini sangat berguna jika anda terpisah dari rombongan.

Bahagian 1 · Pakej dan harga

Pengalaman Umrah MK Haramain Bermula Di KLIA

Sebenarnya, perjalanan umrah sudah bermula sebelum menaiki pesawat lagi. Untuk perjalanan berkumpulan, ada banyak urusan di awal perjalanan seperti dokumen, daftar masuk, bagasi dan taklimat jadual.

Mengikut jadual MK Haramain, kami diminta berkumpul di KLIA sekitar empat jam sebelum penerbangan. Masa yang panjang ini sangat penting, terutamanya apabila rombongan ramai. Ada jemaah yang sudah biasa ke luar negara, tetapi ada juga yang baru pertama kali menaiki penerbangan jauh.

Bagi jemaah kali pertama, suasana lapangan terbang boleh membuatkan rasa kelam-kabut. Perlu berkumpul di kaunter mana? Bagasi bagaimana? Jika ada masalah, perlu cari siapa? Perkara ini nampak kecil, tetapi boleh membuatkan orang risau.

Sebab itulah pentingnya ada pasukan pengurusan yang menguruskan kita dari awal. Apabila mengikut pakej berkumpulan, semuanya sudah tersusun dan kita tidak perlu pening menguruskan semuanya sendiri.

Walaupun begitu, jemaah sendiri perlu membuat persediaan peribadi. Pastikan pasport, ubat-ubatan dan dokumen penting (rujuk checklist umrah lengkap) disimpan rapi. Jangan terlalu bergantung pada petugas sehingga terlupa menjaga barang sendiri.

Kelancaran perjalanan bukan 100% atas bahu agensi, tetapi memerlukan kerjasama dan disiplin jemaah juga. Dari awal di KLIA lagi, kami nampak koordinasi yang baik oleh pasukan MK Haramain yang sangat melancarkan pergerakan rombongan.

Tip AkuIslam

Letakkan satu set pakaian, ubat penting, pengecas telefon dan barang asas dalam beg kabin. Jika bagasi besar lewat sampai, sekurang-kurangnya anda ada baju ganti dan ubat untuk sementara waktu.

Bahagian 2 · Madinah

Ketibaan Di Madinah Dan Perjalanan Ke Hotel

Selesai penerbangan dari KL, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz, Madinah. Dari situ, rombongan terus bergerak ke hotel yang telah diaturkan oleh pihak MK Haramain, iaitu Diyar Al Eiman. Kami menetap di sini selama empat hari sebelum bertolak ke Makkah.

Bagi kami, memulakan perjalanan di Madinah ada kelebihan tersendiri. Kita ada masa untuk berehat selepas penerbangan panjang, menyesuaikan diri dengan cuaca dan meluangkan masa beribadah di Masjid Nabawi sebelum fokus kepada umrah di Makkah. Ini berbeza sedikit berbanding mendarat di Jeddah dan terus menunaikan umrah.

Hari-hari terawal di Madinah boleh digunakan untuk ‘panaskan enjin’. Kita sempat membetulkan waktu tidur, mencari jalan ke masjid, menghafal kawasan sekitar dan memahami rentak kumpulan. Untuk orang yang baru pertama kali menjejak Tanah Suci, tempoh suai kenal ini sangat membantu, kerana teori semasa kursus umrah tidak sama dengan pengalaman sebenar.

Hotel pakej Saver EcoMadinahMakkah
Tempoh4 malam5 malam
HotelDeyar Al Eiman atau setarafSnood Ajyad atau setaraf
Jarak±150 m ke Masjid Nabawi±350 m ke Masjidil Haram
KelebihanBanyak kedai makan di sekitarKawasan Ajyad, ada medan selera
Perlu diambil kiraLaluan ke masjid mudah diingatLaluan agak sesak dan berbukit

Mengikut butiran pakej MK Haramain. Kedua-dua hotel ialah bilik sahaja (tanpa makan).

Nota perjalanan kami

Poster yang kami rujuk sebelum berlepas menyenaraikan Safwat Al Madinah. Rombongan kami menginap di Diyar Al Eiman, hotel yang kini disenaraikan dalam poster terkini (dieja Deyar Al Eiman).

Bahagian 2 · Madinah

Pengalaman Umrah MK Haramain Di Madinah Bersama Diyar Al Eiman

Satu perkara yang kami ingin kongsikan dengan lebih terperinci ialah pengalaman menginap di Diyar Al Eiman, hotel sebenar tempat kru AkuIslam menginap di Madinah.

Semasa kami membuat tempahan, poster Saver Eco ketika itu menyenaraikan Safwat Al Madinah (atau setaraf). Untuk perjalanan kami, penginapan ditukar ke Diyar Al Eiman, iaitu hotel setaraf. Dalam poster dan laman rasmi terkini, hotel ini kini menjadi hotel utama pakej di Madinah, dengan ejaan Deyar Al Eiman (±150 m ke Masjid Nabawi).

Peta hotel Diyar Al Eiman Madinah, pengalaman umrah MK Haramain
Peta lokasi hotel di Madinah yang menunjukkan Diyar Al Eiman (hotel sebenar kami), Safwat Al Madinah (hotel dalam poster lama) dan Masjid Nabawi.

Keadaan Bilik Yang Selesa

Secara keseluruhannya, pengalaman kami di Diyar Al Eiman memang memuaskan. Biliknya sangat selesa dan cukup sesuai untuk berehat selepas penat beraktiviti seharian.

Mungkin ada yang berkata, “Hotel ini sekadar tempat tidur, masa banyak di masjid.” Namun percayalah, selepas beberapa hari di sana, keselesaan bilik inilah yang banyak membantu memulihkan tenaga.

Rutin jemaah umrah tidak sama seperti bercuti. Kadang-kadang kita keluar awal pagi untuk Subuh, pulang sebentar untuk tidur, kemudian keluar semula. Bilik tidak perlu mewah, asalkan tilamnya selesa, bilik air bersih dan suasananya tenang untuk tidur.

Kategori bilik juga memainkan peranan. Jika mengambil bilik berempat, perlu bertolak ansur berkongsi ruang. Jika membawa orang tua atau mahukan lebih privasi, pertimbangkan bilik berdua atau bertiga.

Laluan Dari Hotel Ke Masjid Nabawi

Satu lagi perkara yang kami suka tentang Diyar Al Eiman ialah laluannya yang sangat mudah. Selepas sehari dua, kawasan hotel ini sudah menjadi biasa bagi kami untuk berulang-alik ke Masjid Nabawi.

Bagi jemaah kali pertama, dataran Masjid Nabawi kelihatan sangat luas, dengan banyak bangunan, jalan dan pintu masjid yang hampir sama. Pada mulanya kami mengikut rombongan, tetapi apabila sudah biasa, bergerak sendiri pun tiada masalah.

Cuma, jarak ‘dekat’ bagi orang muda tidak sama dengan orang tua. Jika jemaah sihat, berjalan kaki 10 minit itu perkara biasa. Tetapi bagi jemaah yang ada sakit lutut atau berumur, jarak yang sama memerlukan masa tambahan. Sebab itu, kaji lokasi sebenar hotel anda sebelum pergi, terutamanya jika membawa ibu bapa.

Tip AkuIslam

Pada hari pertama sampai, ambil gambar papan tanda hotel dan ingat nombor pintu Masjid Nabawi yang anda masuk. Untuk lebih selamat, tandakan lokasi hotel di Google Maps supaya mudah mencari jalan pulang.

Kemudahan Mendapatkan Makanan

Urusan mencari makan di sekitar penginapan juga sangat mudah. Perkara ini penting kerana pakej yang kami ambil ialah jenis bilik sahaja. Apabila kawasan sekitar hotel mesra pejalan kaki dan banyak kedai, mudah untuk merancang waktu makan.

Selepas solat, ada yang mahu terus berehat dan ada yang mahu membungkus makanan dahulu sebelum naik ke bilik. Pakej ekonomi memang jimat, tetapi pastikan bajet makan sudah ada dalam perancangan.

Penilaian Kami Terhadap Diyar Al Eiman

Diyar Al Eiman (4 malam)Skor
Keselesaan bilik4.0
Lokasi dan laluan ke Masjid Nabawi4.5
Kemudahan makan di sekitar4.5
Nilai berbanding harga pakej4.0
Keseluruhan4.3 / 5

Lihat gambar bilik dan lobi (Trip.com). Pautan luar dibuka di tab baharu dan memaparkan gambar yang dikongsi oleh pengunjung dan pihak hotel.

Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan Diyar Al Eiman. Bilik yang selesa, laluan yang mudah ke masjid dan lambakan kedai makan berhampiran sangat memudahkan rutin kami. Walaupun hotel yang kami dapat berbeza daripada poster asal, kami menilainya berdasarkan pengalaman sebenar.

Nasihat kami, sentiasa sahkan nama hotel, lokasi dan jenis bilik dengan agensi sebelum berlepas. Jika agensi meletakkan tanda “hotel setaraf”, tanyakan awal-awal pilihan hotel pengganti yang mungkin digunakan supaya jangkaan kita betul.

Bahagian 2 · Madinah

Pengalaman Beribadah Di Masjid Nabawi

Hampir separuh masa kami di Madinah dihabiskan untuk beribadah di Masjid Nabawi.

Kubah Hijau Masjid Nabawi, Madinah
Kubah Hijau Masjid Nabawi. Kebanyakan masa kami di Madinah dihabiskan untuk beribadah di sini.

Apa yang paling kami suka tentang pakej ini ialah kelonggaran masa yang diberikan. Tidak setiap hari ada jadual ziarah yang padat. Ada masa bebas yang memang disediakan supaya jemaah boleh beriktikaf, membaca al-Quran dan solat berjemaah dengan tenang.

Keseimbangan ini sangat penting. Ada jemaah yang mahu melawat semua tempat sejarah, dan ada juga yang mahu fokus sepenuhnya di masjid. Jadual yang lebih santai memberi kita peluang benar-benar merasai kemanisan beribadah.

Bantuan Urusan Raudhah Dalam Pengalaman Umrah MK Haramain

Semua orang yang ke Madinah pasti ingin masuk ke Raudhah. Bagi jemaah kali pertama, prosedurnya boleh membuatkan rasa cemas. Aplikasi apa yang perlu dimuat turun? Masuk ikut pintu mana? Apa perlu dibuat jika aplikasi tersangkut?

Alhamdulillah, pasukan MK Haramain banyak membantu memudahkan urusan kami. Mereka menunjuk ajar cara menggunakan aplikasi Nusuk dan berkongsi panduan masuk ke Raudhah, termasuk bacaan doa di Raudhah. Bantuan teknikal sebegini sangat bermakna untuk jemaah yang kurang mahir menggunakan telefon pintar.

Suasana dalam Raudhah Masjid Nabawi
Suasana dalam Raudhah. Slot masuk perlu ditempah melalui aplikasi Nusuk.

Cuma, masuk Raudhah tetap bergantung kepada kelulusan dan slot kosong daripada kerajaan Arab Saudi. Bantuan agensi tidak bermaksud slot pasti diperoleh secara automatik, tetapi sekurang-kurangnya ada orang yang membantu menguruskannya.

1. Muat turun Nusuk

Siapkan aplikasi Nusuk sebelum berlepas dari Malaysia.

2. Lengkapkan butiran

Masukkan maklumat pasport dan visa dengan betul.

3. Mohon slot Raudhah

Minta bantuan mutawwif jika aplikasi tersangkut.

4. Tunggu kelulusan

Slot bergantung pada sistem Arab Saudi dan tidak dijamin.

5. Hadir mengikut permit

Datang mengikut tarikh, masa dan pintu yang ditetapkan.

Tip AkuIslam

Sebelum berlepas, pastikan anda sudah memuat turun aplikasi Nusuk dan memasukkan butiran yang betul. Minta tolong mutawwif jika tersangkut, tetapi jangan anggap slot pasti diperoleh serta-merta.

Persediaan bacaanDoa di RaudhahBacaan doa di Raudhah dalam rumi

Bantuan Mutawwif Untuk Jemaah Kali Pertama

Selain urusan Raudhah, jemaah yang baru pertama kali pergi memang banyak bergantung pada mutawwif, bermula dari mencari jalan ke masjid dan kedai runcit hinggalah jadual berkumpul keesokan harinya.

Di sinilah kami rasa mutawwif MK Haramain memainkan peranan dengan sangat cemerlang. Mereka mudah didekati dan sentiasa bersedia menjawab soalan jemaah. Sokongan di belakang tabir sebegini jarang kelihatan dalam poster promosi, tetapi impaknya sangat besar apabila kita berada di sana.

Bahagian 2 · Madinah

Program Ziarah Madinah Yang Disediakan

Pakej Saver Eco turut menyelitkan lawatan rasmi sekitar Madinah, seperti ziarah Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan ladang kurma.

Masjid Quba Madinah, pengalaman umrah MK Haramain
Masjid Quba, antara lokasi ziarah rasmi sekitar Madinah dalam pakej Saver Eco.

Kelebihan berjalan berkumpulan ialah kita tidak perlu pening mencari pengangkutan. Ikut sahaja masa berkumpul dan naik bas yang disediakan.

Bagi kami, kualiti lawatan bukan dinilai daripada berapa banyak tempat berhenti, tetapi sejauh mana maklumat yang disampaikan. Penerangan mutawwif dalam bas memang jelas, dan jemaah tahu signifikan tempat-tempat sejarah itu. Lawatan ke ladang kurma pula memberi peluang membeli sedikit buah tangan.

Panduan penuhIbadah dan Ziarah MadinahSenarai lokasi ziarah sekitar Madinah

Bahagian 2 · Madinah

Pengalaman Umrah MK Haramain Menziarahi Badar

Antara kenangan paling manis ialah apabila kru AkuIslam dijemput menyertai lawatan tambahan ke Badar.

Perjalanan ini membawa kami keluar sedikit dari bandar Madinah. Kami sempat singgah di Telaga Syifa sebelum terus ke kawasan bersejarah Badar seperti Jabal Malaikat, Masjid Badar dan perkuburan syuhada Badar. Suasananya sangat berbeza daripada Madinah, dan kami juga sempat merasa makanan tempatan sepanjang perjalanan.

Namun, ziarah Badar ialah program pilihan tambahan, bukan automatik ada dalam semua pakej Saver Eco. Jika anda ingin pergi, tanyakan pihak MK Haramain awal-awal tentang caj dan jadualnya.

Nota AkuIslam

Ziarah Badar ini adalah program tambahan dan bukan standard untuk semua jemaah. Sila semak dengan agensi jika mahu menyelitkannya dalam perjalanan anda.

Ziarah tambahan ke Badar bersama MK Haramain
Gambar hiasan bagi perjalanan ziarah tambahan ke Badar, di luar jadual standard pakej Saver Eco.

Ziarah Tambahan Di Sekitar Madinah

Selain Badar, kami sempat melawat beberapa kawasan yang jarang dikunjungi sekitar Madinah seperti Telaga Ghars, kawasan Telaga Salman al-Farisi, Masjid Tujuh dan beberapa tempat di kawasan Uhud (termasuk gua al-Maharis).

Bukit Uhud dan kawasan Syuhada Uhud di Madinah
Bukit Uhud dan kawasan Syuhada Uhud, antara lokasi ziarah sekitar Madinah.

Ziarah tambahan sebegini sangat sesuai untuk mereka yang suka mendalami sejarah dengan lebih terperinci, dan berbaloi bagi sesiapa yang larat dan berminat. Namun, jika anda memilih untuk berehat di hotel atau beribadah di Masjid Nabawi pun tiada masalah. Kedua-dua pilihan ada ganjarannya tersendiri.

Bahagian 3 · Makkah, Taif dan Jeddah

Persediaan Menunaikan Umrah Dari Madinah Ke Makkah

Masuk hari kelima, tibalah masa untuk beralih ke Makkah. Rombongan menaiki bas dan singgah di Miqat Bir Ali untuk berniat ihram.

Miqat Bir Ali Madinah
Masjid Miqat Bir Ali, tempat jemaah berniat ihram sebelum bergerak ke Makkah.

Hari perpindahan ini sangat kritikal kerana fokus sudah beralih kepada pelaksanaan ibadah umrah. Bagi jemaah kali pertama, suasana di miqat boleh menjadi agak kelam-kabut.

Di sinilah mutawwif memainkan peranan besar membimbing jemaah tentang apa yang perlu dibuat, bila berniat dan pantang larang ihram. Penerangan langkah demi langkah mereka sangat menenangkan, supaya semua beribadah dengan ilmu, bukan sekadar ikut-ikutan.

Perjalanan darat ke Makkah mengambil masa berjam-jam. Jadi, sediakan air botol, snek, ubat dan bantal leher di dalam bas supaya selesa.

Tip AkuIslam

Sebelum daftar keluar dari Madinah, pastikan keperluan ihram mudah dicapai. Untuk jemaah lelaki, sediakan kain ihram awal-awal supaya tidak gelabah memunggah beg besar apabila sampai di miqat.

Bahagian 3 · Makkah, Taif dan Jeddah

Pengalaman Umrah MK Haramain Di Makkah Bersama Snood Ajyad

Di Makkah pula, kami menginap di Snood Ajyad Hotel, hotel sebenar yang memang ada dalam poster promosi Saver Eco.

Dalam poster, jaraknya ditulis lebih kurang 350 meter dari Masjidil Haram. Tetapi kami ingin berpesan awal-awal, angka 350 meter di atas kertas tidak sama dengan realiti apabila kita berjalan nanti.

Pintu masuk Hotel Snood Ajyad, pengalaman umrah MK Haramain
Pintu masuk Hotel Snood Ajyad, penginapan kru AkuIslam di Makkah. Hotel ini disenaraikan dalam butiran pakej Saver Eco (Snood Ajyad atau setaraf, ±350 m ke Masjidil Haram).

Laluan Dari Snood Ajyad Ke Masjidil Haram

Di Makkah, perkara paling penting ialah praktikaliti berulang-alik dari hotel ke masjid. Laluan di hadapan Snood Ajyad inilah yang menjadi laluan harian kami.

Suasana sekitar Masjidil Haram sangat padat, lebih-lebih lagi menjelang waktu solat. Kadang-kadang hotel nampak dekat di Google Maps, tetapi apabila jalannya berbukit, sesak dengan jemaah dan perlu mencari pintu masjid yang sesuai, terasa jauh juga.

Peta hotel Snood Ajyad Makkah, pengalaman umrah MK Haramain
Peta lokasi Hotel Snood Ajyad berbanding Masjidil Haram. Jarak atas peta kelihatan dekat, tetapi laluannya sesak dan sedikit berbukit.

Untuk orang muda, ini bukan masalah langsung, anggap sahaja sebagai senaman ringan. Tetapi jika membawa warga emas atau mereka yang tidak tahan berjalan jauh, cabaran laluan ini perlu diambil kira. Jadi, jangan nilai Snood Ajyad semata-mata dari segi “350 meter”. Nilai sekali kecerunan jalan dan pintu masjid yang paling dekat.

“350 meter” atas kertasRealiti di lapangan
Jalan berbukitLaluan ke masjid tidak rata sepenuhnya.
Lautan jemaahSesak terutama menjelang waktu solat.
Cari pintu masukPintu terdekat kadang ditutup atau penuh.
Usia dan staminaJarak sama terasa berbeza bagi warga emas.

Tip AkuIslam

Semasa memilih hotel di Makkah, jangan tanya berapa meter sahaja. Tanya sekali sama ada jalannya berbukit, mesra kerusi roda dan pintu masjid mana yang paling dekat. Sangat penting jika membawa jemaah berumur.

Keadaan Bilik Dan Masa Berehat

Apabila sudah masuk ke Makkah, masa rehat menjadi semakin penting. Tenaga banyak digunakan untuk tawaf, sa’ie, ziarah dan berulang-alik ke masjid.

Bagi kami, bilik di Snood Ajyad sangat penting sebagai tempat berehat dan memulihkan tenaga setiap hari. Bilik tidak perlu mewah, asalkan selesa, air laju dan boleh menyimpan barang dengan selamat. Seperti biasa, bilik berempat perlu dikongsi dengan bertolak ansur, dan bilik berdua atau bertiga mungkin lebih berbaloi jika mahu lebih selesa.

Kemudahan Mendapatkan Makanan

Sama seperti di Madinah, Snood Ajyad berkonsepkan bilik sahaja (tanpa makan). Ini memberi kebebasan untuk anda makan apa yang diingini, sama ada nasi Arab, kebab atau makanan segera selepas solat, mengikut pilihan dan bajet masing-masing.

Hidangan nasi Arab di Makkah
Hidangan nasi Arab. Dengan pakej bilik sahaja (tanpa makan), jemaah bebas memilih makanan mengikut selera dan bajet.

Cuma, rancang masa supaya tidak bersesak ketika mencari makanan. Mutawwif juga sedia menunjukkan lorong kedai makan atau medan selera yang mudah dicapai dari hotel.

Tip AkuIslam

Asingkan terus wang untuk makan dan wang membeli-belah. Jika tidak, dikhuatiri terlebih belanja sehingga bajet makan pun terpakai sekali.

Penilaian Kami Terhadap Snood Ajyad

Snood Ajyad (5 malam)Skor
Keselesaan bilik3.5
Lokasi dan laluan ke Masjidil Haram3.5
Kemudahan makan di sekitar4.0
Nilai berbanding harga pakej4.0
Keseluruhan3.8 / 5

Lihat gambar hotel (Google Maps) dan gambar bilik dan lobi (Hotels.com). Pautan luar dibuka di tab baharu.

Secara amnya, Snood Ajyad sangat menepati piawaian pakej ekonomi. Asalkan anda mengutamakan fungsi hotel untuk berehat dan larat berjalan, hotel ini sangat sesuai.

Memilih hotel umrah bukan setakat melihat bintang. Yang lebih penting ialah praktikaliti lokasi dan sejauh mana ia memudahkan ibadah harian kita. Pengalaman bersama MK Haramain memang mendidik kami untuk memahami konsep ini.

Bahagian 3 · Makkah, Taif dan Jeddah

Pengalaman Umrah MK Haramain Bersama Bimbingan Mutawwif

Kemuncak perjalanan semestinya pelaksanaan ibadah umrah itu sendiri. Setibanya di Makkah, mutawwif terus membimbing rombongan kami menyelesaikan umrah pertama, bermula dari tawaf, sa’ie hinggalah tahallul.

Tawaf umrah pertama di Masjidil Haram, pengalaman umrah MK Haramain
Umrah pertama di Masjidil Haram dengan bimbingan mutawwif MK Haramain, dari tawaf hingga tahallul.

Bagi jemaah kali pertama, saat melihat Kaabah di depan mata bersama lautan manusia sangat mengharukan dan mendebarkan. Perlu memikirkan rukun, dan pada masa yang sama mengelak berlanggar dengan orang lain.

Di sinilah kami nampak betapa bernilainya mutawwif yang cekap memimpin jemaah. Bukan setakat menjadi ketua rombongan, mutawwif MK Haramain sangat pakar menenangkan jemaah supaya dapat beribadah dengan tertib dan tidak gopoh.

Mutawwif juga menjadi tempat rujukan pada bila-bila masa. Walaupun sudah pulang ke hotel, jika ada jemaah yang was-was tentang tawaf mereka, boleh terus menghantar mesej atau berjumpa mutawwif untuk mendapatkan kepastian.

Walaupun begitu, kami nasihatkan bakal jemaah supaya tetap mempelajari ilmu asas umrah di Malaysia dahulu. Jangan pergi tanpa ilmu langsung dan menyerahkan 100% kepada mutawwif. Jika kita sudah ada ilmu asas, penerangan mutawwif di sana jauh lebih mudah difahami.

Tip AkuIslam

Khatamkan sekurang-kurangnya bab rukun dan wajib umrah sebelum berlepas. Apabila kita faham apa yang dibuat, ibadah terasa lebih khusyuk dan kita tidak panik jika terpisah daripada rombongan.

Panduan penuhPanduan UmrahRukun, wajib dan tatacara umrah langkah demi langkah

Peluang Menunaikan Umrah Tambahan

Pakej ini turut menyertakan lawatan ke miqat seperti Hudaibiyah dan Ja’ranah, yang memberi peluang kepada jemaah untuk menunaikan umrah kedua atau ketiga. Pengangkutan sudah disediakan, jadi urusannya sangat mudah.

Pada pandangan kami, tidak wajib memaksa diri melakukan semua umrah tambahan itu. Jika badan sudah letih, lebih baik duduk di masjid, melakukan tawaf sunat atau berehat di bilik. Ibadah yang berkualiti lebih afdal daripada kuantiti yang memudaratkan kesihatan.

Nota AkuIslam

Umrah tambahan itu sunat. Jika mahu melakukannya, pastikan anda faham tatacara ihram dan minta panduan mutawwif. Jangan paksa diri jika tidak larat.

Bahagian 3 · Makkah, Taif dan Jeddah

Program Ziarah Di Sekitar Makkah

Jadual Saver Eco menyelitkan ziarah biasa di Makkah seperti melihat Jabal Thur, Jabal Nur, padang Arafah, Muzdalifah, Mina dan Ja’ranah.

Khemah di Mina, Makkah
Khemah di Mina, antara lokasi Masyair yang dilawati dalam program ziarah Makkah.

Semuanya menggunakan bas pakej, jadi jemaah boleh duduk santai mendengar sirah yang dikongsi oleh mutawwif dari dalam bas, atau mengambil gambar kenangan di tempat persinggahan.

Ziarah Tambahan Yang Kami Ikuti

Seperti di Madinah, kru AkuIslam juga berpeluang menyertai lawatan tambahan ke perkuburan al-Ma’la (makam Saidatina Khadijah RA), Jabal Khandamah dan meninjau kawasan Jabal Nur dari dekat. Kami juga mengikuti program sedekah semasa di Makkah.

Aktiviti sebegini memberi kelainan dan suasana yang sangat istimewa pada perjalanan kami. Namun, ini program tambahan, bukan wajib ada dalam setiap jadual. Jika mahu, tanyakan mutawwif anda sama ada mereka menganjurkannya semasa perjalanan anda nanti.

Jemaah memandang Kota Makkah dari atas bukit ketika ziarah tambahan
Pemandangan Kota Makkah dari atas bukit ketika program ziarah tambahan bersama kru AkuIslam.

Bahagian 3 · Makkah, Taif dan Jeddah

Pengalaman Umrah MK Haramain Menziarahi Kota Taif

Satu perkara yang sangat menarik tentang pakej Saver Eco ialah ziarah ke Taif memang termasuk secara rasmi dalam jadual.

Selepas berhari-hari dalam kesibukan Kota Makkah, perjalanan bas ke Taif memberi kami ketenangan melihat pemandangan gunung-ganang yang sejuk dan damai. Kami dibawa melawat Masjid Abdullah bin Abbas, mendengar sirah dan, yang paling seronok, menaiki kereta kabel.

Pengalaman Menaiki Kereta Kabel

Menaiki kereta kabel di Taif memang satu pengalaman yang menyegarkan. Dapat melihat pemandangan lembah Taif dari atas, terasa seperti bercuti di tempat lain. Bagi jemaah yang membawa anak-anak, ini memori yang akan mereka ingat.

Cuma, aktiviti kereta kabel tertakluk pada cuaca dan kelancaran operasi. Jika anda benar-benar mahu menaikinya, semak dengan mutawwif awal-awal sama ada tiketnya disediakan.

Lawatan Ke Masjid Abdullah Bin Abbas

Masjid ini antara mercu tanda sejarah utama di Taif. Dapat menjejak kaki ke kawasan yang banyak kaitan dengan sirah Rasulullah SAW membuatkan kita rasa sebak dan insaf.

Kesimpulannya, ziarah Taif menjadikan pakej ini terasa sangat berbaloi. Cuma perjalanannya agak jauh, jadi bawa air dan sediakan ubat untuk sesiapa yang mudah mabuk darat.

Tip AkuIslam

Ziarah Taif mengambil masa seharian. Pakai kasut yang selesa untuk berjalan, bawa snek dan semak sama ada tiket kereta kabel memerlukan bayaran berasingan.

Kereta kabel Taif, pengalaman umrah MK Haramain pakej Saver Eco
Kereta kabel di pergunungan Taif, antara aktiviti paling diingati dalam ziarah Kota Taif.

Bahagian 3 · Makkah, Taif dan Jeddah

Masa Bebas Di Makkah Yang Kami Hargai

Di celah-celah program ziarah dan umrah, ada hari-hari di mana jemaah dibiarkan bebas tanpa program rasmi.

Ruang solat di bahagian perluasan Masjidil Haram
Ruang solat di bahagian perluasan Masjidil Haram. Masa bebas memberi peluang untuk iktikaf dan ibadah sendiri.

Bagi kami, inilah keistimewaan sebenar pakej ini. Setiap orang ada sasaran ibadah yang berbeza. Ada yang mahu bertawaf sunat, ada yang mahu membeli jubah dan ada yang mahu mengganti tidur selepas kepenatan.

Apabila ada masa bebas, kita tidak terikat. Asalkan sudah biasa dengan jalan ke Masjidil Haram, anda bebas menguruskan pergerakan sendiri. Cuma, selalu maklumkan kepada rakan sebilik atau mutawwif jika mahu berjalan jauh sedikit.

Bahagian 3 · Makkah, Taif dan Jeddah

Penutup Pengalaman Umrah MK Haramain Dengan Bermalam Di Jeddah

Selesai program di Makkah dan tawaf wada’, rombongan daftar keluar dan menaiki bas menuju ke Jeddah.

Menariknya, pakej ini menyediakan satu malam penginapan di Jeddah sebelum penerbangan pulang ke Malaysia. Kita tidak perlu kelam-kabut terus ke lapangan terbang selepas penat bersesak di Makkah. Boleh berehat dahulu, menyusun bagasi dan bersedia dari segi mental untuk penerbangan panjang keesokan harinya.

Kami juga sempat melalui kawasan Masjid Terapung Al-Rahmah untuk bersantai sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz.

Pengurusan babak akhir perjalanan inilah yang menentukan perasaan jemaah ketika pulang. Alhamdulillah, pihak MK Haramain menguruskan fasa ini dengan sangat lancar.

Tip AkuIslam

Pada malam di Jeddah, timbang dan kemas beg dengan betul. Asingkan air zamzam atau barang yang tidak dibenarkan dibawa ke kabin. Pasport sentiasa disimpan dekat dengan badan.

Bahagian 4 · Penilaian kami

Kelebihan Pengalaman Umrah MK Haramain Berdasarkan Penilaian Kami

Selepas melalui sendiri 12 hari, inilah rumusan kelebihan pengalaman umrah MK Haramain yang bukan sekadar tertulis di poster, tetapi kualiti yang kami rasai sendiri di lapangan.

Penilaian kami

Enam kelebihan yang kami rasai sendiri

  1. Pengurusan logistik yang sangat mudah. Dari KL, Madinah, Makkah, Taif hingga Jeddah, urusan pindah-randah, beg dan bas semuanya diuruskan. Jemaah hanya membawa diri dan fokus beribadah.
  2. Mutawwif dan krew yang sangat responsif. Sama ada soal agama atau sekadar bertanya kedai gunting rambut, krew MK Haramain sangat membantu dan mesra, lebih-lebih lagi dalam menguruskan jemaah warga emas.
  3. Bantuan padu untuk Raudhah dan umrah. Prosedur di Tanah Suci semakin ketat, terutama penggunaan aplikasi Nusuk. Panduan krew sangat membantu menghilangkan rasa gementar, terutamanya ketika masuk Raudhah dan tawaf kali pertama.
  4. Hotel yang praktikal dan selesa. Walaupun bukan taraf 5 bintang, Diyar Al Eiman dan Snood Ajyad menepati ciri hotel rehat yang praktikal, dekat dengan kedai makan dan jalan yang jelas ke masjid.
  5. Kepelbagaian ziarah. Ziarah Taif sudah termasuk dalam pakej, malah ada tawaran program Badar dan ziarah tambahan untuk jemaah yang mahukan pengalaman lebih.
  6. Fleksibiliti ibadah. Jadual yang tidak terlalu padat. Keseimbangan antara aktiviti wajib dan masa bebas menjadikan jemaah tidak berasa dikawal sepenuhnya.

Bahagian 4 · Penilaian kami

Perkara Yang Perlu Diketahui Sebelum Memilih Saver Eco

Walaupun ulasan kami sangat positif, kami mahu bersikap telus. Ini beberapa realiti yang kami alami sendiri, supaya tiada rasa terkilan kemudian.

Perlu berjaga-jaga

  • Pakej bilik sahaja. Makanan tidak disediakan. Jika membawa warga emas yang tidak larat berjalan mencari makan setiap kali selepas solat, pertimbangkan pakej penuh (termasuk makan).
  • Hotel mungkin berubah. Hotel dalam poster boleh bertukar mengikut kuota. Hotel Madinah kami sendiri pernah ditukar daripada poster asal. Tanyakan agensi pilihan hotel ganti mereka.
  • Faham erti “jarak berjalan”. 350 meter atas peta nampak dekat, tetapi jalan yang sesak dan berbukit memerlukan stamina.
  • Ziarah tambahan bersyarat. Lawatan seperti ke Badar ialah program luar jadual. Tanyakan mutawwif awal-awal tentang kos tambahan.
  • Banyakkan bertolak ansur. Dalam satu bas, ada yang lambat siap dan ada yang tertinggal barang. Banyakkan sabar dan raikan jemaah lain.
  • Kenal tahap stamina. Jangan kejar semua umrah sunat dan ziarah sehingga jatuh sakit. Utamakan umrah wajib, selebihnya mengikut kudrat badan.

Tip AkuIslam

Sebelum membuat bayaran tempahan, minta jadual penuh (tentatif), nama hotel rasmi dan senarai perkara yang termasuk dan tidak termasuk. Simpan sebagai rujukan jika ada sebarang perubahan.

A. Sebelum tempahan

Tandakan yang sudah siap.

  • Minta jadual penuh (tentatif) perjalanan
  • Sahkan nama hotel rasmi dan pilihan hotel ganti
  • Semak apa yang termasuk dan tidak termasuk
  • Dapatkan harga terkini mengikut tarikh berlepas
  • Tanya kos ziarah tambahan (contohnya Badar dan kereta kabel)
  • Sediakan bajet makan (pakej tanpa makan)

B. Sebelum berlepas

Persediaan peribadi.

  • Muat turun dan daftar aplikasi Nusuk
  • Ulang kaji rukun dan wajib umrah
  • Beg kabin berisi baju ganti, ubat dan pengecas
  • Simpan jadual dan nombor telefon petugas
  • Tanda lokasi hotel di Google Maps
  • Simpan salinan pasport dan dokumen penting

Rujukan lanjutChecklist UmrahSenarai semak umrah lengkap

Bahagian 4 · Penilaian kami

Adakah Pakej Saver Eco Sesuai Untuk Jemaah Kali Pertama?

Jawapan ringkas kami: sangat sesuai, dengan syarat anda tahu apa yang anda bayar.

Untuk jemaah kali pertama, bimbingan penuh daripada mutawwif dan krew MK Haramain memang sangat membantu. Anda tidak perlu memikirkan bas atau menempah tiket apa-apa, dan boleh fokus beribadah.

Cuma, kerana ia pakej ekonomi, sediakan wang poket tambahan untuk makan setiap hari dan pastikan kaki kuat berulang-alik ke masjid. Jika anda sihat tubuh badan, pakej ini sangat berbaloi dengan harganya.

Tip AkuIslam

Pilih pakej mengikut kudrat badan, bukan harga paling murah semata-mata. Agensi seperti MK Haramain yang menjaga jemaah di lapangan, nilainya lebih besar daripada harga pakej itu sendiri.

Soal jawab

Soalan Lazim Tentang Pengalaman Umrah MK Haramain

Berapa lama tempoh Pakej Umrah Saver Eco?

Pakej ini berjalan selama 12 hari 10 malam (KL, Madinah, Makkah, Taif, Jeddah dan pulang ke KL).

Berapakah harga Pakej Umrah Saver Eco?

Harga musim biasa bermula RM7,190 (berempat), RM7,790 (bertiga) dan RM8,390 (berdua). Musim pertengahan dan puncak lebih tinggi, sehingga RM9,790 (berdua). Sahkan harga terkini terus dengan pihak agensi.

Hotel manakah yang digunakan kru AkuIslam di Madinah?

Kami menginap di Diyar Al Eiman selama 4 malam. Hotel ini kini disenaraikan dalam poster Saver Eco terkini (dieja Deyar Al Eiman).

Bagaimana pula dengan hotel di Makkah?

Kami menginap di Snood Ajyad Hotel, sama seperti yang disenaraikan dalam poster.

Adakah makanan termasuk dalam pakej?

Tidak. Pakej ini berkonsepkan bilik sahaja (tanpa makan), jadi jemaah perlu menyediakan bajet makan berasingan.

Adakah MK Haramain membantu urusan Raudhah?

Ya, krew banyak membantu mengajar penggunaan aplikasi Nusuk dan berkongsi panduan masuk. Namun, kelulusan slot tetap daripada sistem Arab Saudi.

Adakah ziarah Badar termasuk dalam pakej?

Tidak semestinya. Bagi kami, ia program tambahan.

Adakah terdapat lawatan ke Taif?

Ya, ziarah Taif sudah termasuk dalam tentatif rasmi, termasuk lawatan ke Masjid Abdullah bin Abbas dan kereta kabel.

Adakah mutawwif membimbing jemaah ketika umrah?

Ya. Mutawwif membimbing secara langsung untuk umrah pertama hingga selesai tahallul.

Adakah pakej ini sesuai untuk warga emas?

Bergantung pada tahap kesihatan. Jika berkerusi roda atau kurang larat berjalan, pertimbangkan faktor jarak hotel ke masjid dan ketiadaan pakej makanan.

Penutup

Kesimpulan Pengalaman Umrah MK Haramain Bersama Kru AkuIslam

Rangkuman keseluruhan untuk perjalanan awal tahun 2026 ini, kru AkuIslam sangat gembira dapat merasai sendiri kualiti perkhidmatan MK Haramain Travel & Tours di Tanah Suci.

Menara Jam dan Masjidil Haram pada waktu malam
Masjidil Haram dan Menara Jam pada waktu malam, penutup pengalaman umrah MK Haramain bersama kru AkuIslam.

Fasa demi fasa, dari Madinah ke Makkah, Taif hinggalah malam terakhir di Jeddah, semuanya diuruskan dengan teratur dan profesional.

Penilaian keseluruhan Saver EcoSkor
Bimbingan mutawwif5.0
Pengurusan perjalanan dan logistik5.0
Program ziarah4.5
Penginapan hotel4.0
Nilai berbanding harga4.5
Keseluruhan4.6 / 5

Bintang utama pakej ini pada pandangan kami ialah mutawwif dan barisan krew mereka. Layanan dan keprihatinan mereka melangkaui apa yang dicetak dalam poster. Bantuan ketika jemaah buntu, bimbingan ibadah dan respons pantas mereka menjadikan perjalanan yang memenatkan ini sangat tenang.

Gabungan hotel yang mesra lokasi, masa lapang yang cukup serta selitan ziarah Taif dan Badar menjadikan pakej Saver Eco ini bukan pakej ‘asal boleh’, tetapi sarat dengan kualiti.

Nasihat terakhir kami, pilihlah pakej yang sepadan dengan bajet, tahap kesihatan dan keperluan keluarga anda. Jika Saver Eco sesuai dengan anda, lawati laman web MK Haramain Travel atau hubungi terus pihak mereka untuk menempah tempat bagi musim terbaru.

Tawaran terkini

Semak tawaran terkini di laman rasmi MK Haramain

Harga, hotel dan atur cara tertakluk pada musim dan tarikh berlepas. Sahkan dengan pegawai MK Haramain sebelum membuat bayaran.

Semoga coretan ikhlas kru AkuIslam ini memberi pencerahan untuk anda yang sedang membuat tinjauan pakej umrah. Mudah-mudahan Allah SWT mempermudahkan urusan kita semua untuk ke sana dan mengurniakan umrah yang mabrur. Amin.

Sumber

Rujukan Dan Bacaan Lanjut

KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Mohd Hafizi Abdullah

Pengurus dan ketua koordinasi web AkuIslam. Berpengalaman dalam dunia digital, kembara dan pengurusan pemasaran.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.