DAM HAJI & UMRAH: Jenis Dam, Harga Semasa dan Cara Bayar

Terlanggar larangan ihram? Semak sama ada anda dikenakan dam haji atau umrah, jenis dam, harga semasa dan cara bayar. Rujukan JAWHAR dan Tabung Haji.

Muhamad NaimDikemas kini 24 Oktober 2026

Terpakai wangian, tertutup kepala atau tergunting rambut ketika berihram? Situasi begini sering berlaku, terutama kepada jemaah yang baru pertama kali mengerjakan haji atau umrah. Tanpa panduan yang jelas, ada yang membayar dam walaupun tidak perlu, dan ada pula yang terlepas dam yang sebenarnya wajib.

Panduan dam haji dan umrah ini membantu anda menyemak situasi sendiri: sama ada ia dikenakan dam, jenis dam yang terlibat, harga semasa dan cara membayarnya. Setiap hukum dirujuk kepada Manual Pengurusan Dam Haji (JAWHAR), Soal Jawab Haji TH-JAKIM dan kitab Mazhab Syafi’e. Semoga panduan ini membantu anda, InsyaAllah.

Senarai wajib haji yang dikenakan dam jika ditinggalkan, beserta turutan haji hari demi hari, ada dalam Panduan Haji Lengkap.

Semakan editorial: 24 Oktober 2026 · Semakan fiqh pakar: dalam proses · Rujukan utama: Manual Pengurusan Dam Haji (JAWHAR), Soal Jawab Haji, Umrah dan Ziarah (TH-JAKIM), Nota Kursus Asas Haji Tabung Haji, Minhaj al-Talibin karya Imam al-Nawawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan keputusan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.

Ringkasan

Dam ialah denda wajib kerana melanggar larangan ihram, meninggalkan perkara wajib haji atau umrah, atau kerana mengerjakan haji Tamattu’ atau Qiran. Kesalahan paling lazim, seperti memotong rambut atau kuku, memakai wangian dan pakaian berjahit, dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir: pilih seekor kambing, atau 2 cupak makanan kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin (12 cupak semuanya, kira-kira 8 kg beras), atau puasa 3 hari.

Harga dam haji Tabung Haji musim 1447H: RM810 seekor kibas, dibayar melalui THiJARI atau kaunter TH. Harga musim 1448H belum diumumkan. Cari situasi anda dalam pencari keputusan di bawah, kemudian ikut cara bayar.

Cari situasi anda

Apa Kesalahan yang Dikenakan Dam? Cari Situasi Anda

Pencari keputusan dam

Apa yang berlaku kepada anda?

rambut, kuku, wangi, pelitup, gunting, miqat, haid, tawaf wada

Pakaian, kepala dan muka

lelaki terpakai baju, seluar atau kopiah kerana lupa, atau masih berpakaian biasa selepas niat Tiada dam jika lupa

Tanggalkan atau tukar kepada kain ihram sebaik teringat. Jika kerana lupa atau tidak tahu: tiada dam dan tidak berdosa, kerana ia larangan jenis bersenang-senang (taraffuh). Hukum sama jika kain ihram atau tuala tertutup ke kepala ketika tidur tanpa disedari.

Jika dilengahkan selepas teringat, dam dikenakan. Kadar: pilih seekor kambing, atau 2 cupak makanan kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin (12 cupak semuanya), atau puasa 3 hari.

Cara bayar dam ↓

Senarai larangan ihram

lelaki sengaja memakai pakaian bersarung atau menutup kepala Dam Takhyir & Taqdir

Tanggalkan segera. Berdosa dan dikenakan dam. Kadar: pilih seekor kambing, atau 2 cupak makanan kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin (12 cupak semuanya), atau puasa 3 hari.

Cara bayar dam ↓

lelaki memakai pelitup muka (face mask) Tiada dam

Dalam mazhab Syafi’e, lelaki dibolehkan menutup muka. Yang dilarang ialah menutup kepala (kenyataan TH, Jun 2022).

wanita memakai pelitup muka, purdah atau niqab Dam jika sengaja

Ketika wabak, apabila pelitup muka perlu dipakai untuk mencegah jangkitan (seperti musim haji 2022): tiada dam, menurut keputusan Muzakarah Haji ke-37. Pengecualian ini bagi pelitup muka perubatan, bukan purdah atau niqab (Irsyad Haji dan Korban Siri 68).

Jika kerana lupa dan dibuka sebaik teringat: tiada dam. Menutup muka ialah larangan ihram wanita (JAWHAR, hlm. 19; TH Modul 5).

Jika dipakai kerana hajat, seperti sakit: tidak berdosa, tetapi dam tetap dikenakan.

Jika dipakai atas pilihan sendiri dengan sengaja: berdosa dan dikenakan dam. Kadar: pilih seekor kambing, atau 2 cupak makanan kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin (12 cupak semuanya), atau puasa 3 hari.

Cara bayar dam ↓

wanita memakai sarung tangan Dam jika sengaja

Tanggalkan segera. Menutup kedua-dua tapak tangan ialah larangan ihram wanita (JAWHAR, hlm. 19). Jika lupa dan ditanggalkan sebaik teringat: tiada dam. Jika sengaja: dam. Kadar: pilih seekor kambing, atau 2 cupak makanan kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin (12 cupak semuanya), atau puasa 3 hari.

Cara bayar dam ↓

lelaki tua perlu memakai lampin pakai buang Rujuk ustaz

Tanya pembimbing ibadah sebelum berniat. Lampin membalut tubuh seperti seluar. Jika dipakai kerana hajat, ia tidak berdosa, tetapi mungkin dikenakan dam. Soal Jawab Haji TH-JAKIM menyebut perca kain yang diikat pada kemaluan penghidap kencing tidak lawas tidak dikenakan dam. Wanita tiada masalah memakai lampin.

Wangian dan minyak

memakai wangian sebelum niat, dan baunya masih ada Tiada dam

Tiada dam. Memakai wangian pada badan sebelum ihram ialah sunnah (Sahih Muslim, no. 1189), dan baunya yang kekal selepas niat tidak menjadi masalah. Wangian pada kain ihram sebelum niat juga dibolehkan menurut pendapat muktamad mazhab Syafi’e (Minhaj al-Talibin; Irsyad Haji dan Korban Siri 25).

Namun, jika kain berwangi itu ditanggalkan kemudian dipakai semula selepas niat, fidyah dikenakan (Minhaj). Lebih selamat, sapu wangian pada badan sahaja.

menggunakan sabun, losyen atau pembersih tangan (hand sanitiser) berbau wangi Tiada dam jika lupa

Jika kerana lupa: basuh segera sebaik teringat. Tiada dam (taraffuh, Irsyad Haji dan Korban Siri 109).

Jika sengaja digunakan untuk membersihkan badan: Soal Jawab Haji TH-JAKIM (soalan 22.12) mengharuskan ubat gigi, minyak ubat dan sabun mandi walaupun berbau wangi, kerana penggunaannya bukan untuk berwangi-wangian.

Irsyad Haji dan Korban Siri 25 juga memetik Dar al-Ifta’ Mesir dan Wahbah al-Zuhaili yang membolehkan sabun untuk membersih. Namun ada ulama yang tidak membenarkannya, jadi gunakan sabun, syampu dan pembersih tangan tanpa pewangi untuk keluar daripada khilaf.

Losyen, krim atau minyak berwangi pula bukan pembersih. Ia dikira wangian: jika sengaja dipakai, dam dikenakan. Minyak ubat yang dipakai untuk rawatan tidak termasuk (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 22.12). Kadar: pilih seekor kambing, atau 2 cupak makanan kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin (12 cupak semuanya), atau puasa 3 hari.

Cara bayar dam ↓

kain ihram dibasuh dengan pelembut kain berbau wangi selepas niat Dam jika sengaja

Basuh semula dengan air atau sabun tanpa bau, kerana pelembut berbau wangi dikira wangian. Jika tidak tahu, kemudian dibasuh sebaik tahu: tiada dam. Jika sengaja dipakai: dam. Kadar: pilih seekor kambing, atau 2 cupak makanan kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin (12 cupak semuanya), atau puasa 3 hari.

Cara bayar dam ↓

sengaja memakai minyak wangi atau minyak rambut selepas niat Dam Takhyir & Taqdir

Basuh segera. Minyak pada rambut kepala dan janggut juga dilarang walaupun tidak berbau (TH Modul 5). Berdosa dan dikenakan dam. Kadar: pilih seekor kambing, atau 2 cupak makanan kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin (12 cupak semuanya), atau puasa 3 hari.

Cara bayar dam ↓

Rambut dan kuku

rambut gugur sendiri ketika mandi atau berwuduk, tanpa digosok Tiada dam

Tiada dam, kerana gugurnya bukan dengan perbuatan anda. Jirus air sahaja dan jangan menggosok kepala dengan kuat.

Ternampak rambut di lantai tetapi tidak pasti rambut siapa? Tiada dam, kecuali anda yakin ia rambut anda dan gugur kerana digosok.

rambut tercabut kerana menyikat, menggaru atau menggosok kepala Cupak atau dam

Tidak berdosa jika tidak sengaja, tetapi fidyah tetap dikenakan kerana ia larangan jenis merosakkan (itlaf). Kadar: 1 helai = 1 cupak, 2 helai = 2 cupak, 3 helai atau lebih sekali gus = Dam Takhyir dan Taqdir. Secupak dinilai SR5 mengikut kadar rujukan TH (TH Modul 5; Irsyad Haji dan Korban Siri 109).

Cara bayar dam ↓

Itlaf dan taraffuh

sengaja mencabut bulu hidung, misai atau bulu ketiak Cupak atau dam

Berdosa, dan dikenakan fidyah mengikut bilangan. Kadar: 1 helai = 1 cupak, 2 helai = 2 cupak, 3 helai atau lebih sekali gus = Dam Takhyir dan Taqdir.

Cara bayar dam ↓

memotong kuku, sengaja atau kerana lupa Cupak atau dam

Berdosa jika sengaja. Tidak berdosa jika lupa, tetapi fidyah tetap wajib. Kadar: 1 kuku = 1 cupak, 2 kuku = 2 cupak, 3 kuku atau lebih sekali gus = Dam Takhyir dan Taqdir.

Cara bayar dam ↓

mencabut sehelai, kemudian dua helai lagi pada masa lain 3 cupak

Kerana berlainan masa, setiap helai dikira berasingan: 3 cupak, bukan seekor kambing. Dam penuh hanya bagi 3 helai atau lebih dalam satu masa dan tempat (Minhaj; Soal Jawab Haji TH-JAKIM).

Cara bayar dam ↓

kuku patah atau tertanggal sendiri Tiada dam

Tiada dam. Jika bahagian yang patah itu menyakitkan, ia boleh dipotong tanpa dam (Soal Jawab Haji TH-JAKIM).

bergunting sebelum saie umrah selesai Dam Takhyir & Taqdir

Sempurnakan saie, kemudian bergunting semula. Guntingan pertama dikira melanggar larangan ihram. Bagi 3 helai atau lebih: Dam Takhyir dan Taqdir. Kadar: pilih seekor kambing, atau 2 cupak makanan kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin (12 cupak semuanya), atau puasa 3 hari.

Ini bagi umrah, kerana tahallul umrah hanya selepas saie. Bagi haji, bercukur atau bergunting ialah salah satu amalan tahallul awal, jadi ia boleh dibuat sebelum tawaf ifadah dan saie, asalkan sudah masuk waktunya, iaitu selepas separuh malam 10 Zulhijjah (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 33.1; Minhaj).

Cara bayar dam ↓

Kesilapan lazim ketika saie

suami isteri saling menggunting rambut untuk tahallul Tiada dam jika sudah masuk waktu

Tiada dam jika orang yang digunting sudah masuk waktu bergunting. Bagi umrah, selepas selesai saie. Bagi haji, selepas separuh malam 10 Zulhijjah. Anda boleh menggunting rambut pasangan sebelum menggunting rambut sendiri, walaupun lebih afdal bergunting untuk diri sendiri dahulu (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 33.3).

Jika orang yang digunting belum masuk waktu, dam ditanggung oleh orang yang menggunting. Namun, jika dia sendiri mengizinkan rambutnya digunting, dam itu atas dirinya (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 40.23). Kadarnya ikut bilangan helai.

Menggunting rambut orang lain

Ihram dan miqat

terlepas miqat tanpa berniat (tertidur dalam pesawat, atau baru berniat di Jeddah) Dam jika tidak kembali

Berniat sebaik sedar, di mana anda berada. Jangan masuk ke Makkah tanpa ihram. Jeddah bukan miqat bagi jemaah yang terbang terus dari Malaysia; miqat dilintasi di udara sebelum mendarat.

Jika anda kembali ke miqat dalam keadaan berihram sebelum memulakan tawaf, dam gugur (Minhaj). Jika tidak, dam dikenakan. Kadar: seekor kambing; jika tidak mampu, puasa 10 hari (cara puasa).

Orang yang tertidur tidak berdosa, tetapi dam tetap wajib jika tidak kembali ke miqat.

Cara bayar dam ↓

Terlepas miqat: penjelasan penuh

mendarat di Jeddah tetapi ke Madinah dahulu Tiada dam

Tidak perlu berniat ketika mendarat. Berniat di Bir Ali (Dzulhulaifah) ketika bertolak dari Madinah ke Makkah.

Miqat dari Madinah

berniat lebih awal, di rumah atau di KLIA Tiada dam

Ihram sah. Larangan ihram terus terpakai sejak saat berniat. Berniat di miqat lebih baik kerana itulah sunnah (Al-Kafi #844).

masuk ke Makkah tanpa ihram kerana sakit, dan berniat selepas sembuh Dam Tertib & Taqdir

Maklumkan pembimbing ibadah. Dam dikenakan kerana tidak berihram di miqat (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 40.6). Ini bagi orang yang memang menuju haji atau umrah ketika melintasi miqat.

Orang yang masuk ke Makkah untuk urusan lain, tanpa niat haji atau umrah, tidak dikenakan dam (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 42.1). Kadar: seekor kambing; jika tidak mampu, puasa 10 hari (cara puasa).

Cara bayar dam ↓

Bermalam dan melontar (haji)

tidak bermalam di Muzdalifah tanpa uzur Dam Tertib & Taqdir

Mabit di Muzdalifah ialah wajib haji. Berada di sana walaupun seketika selepas separuh malam (dikira dari Maghrib hingga Subuh) sudah memadai. Jika langsung tidak berada di sana pada separuh kedua malam tanpa uzur: dam. Kadar: seekor kambing; jika tidak mampu, puasa 10 hari (cara puasa).

Cara bayar dam ↓

Panduan mabit di Muzdalifah dan Mina

tidak bermalam di Mina pada malam-malam Tasyrik Dam ikut bilangan malam

Jika meninggalkan semua malam Mina tanpa uzur: dam. Kadar: seekor kambing; jika tidak mampu, puasa 10 hari (cara puasa).

Jika hanya satu malam: secupak makanan; dua malam: dua cupak (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 34.6).

Cara bayar dam ↓

Panduan mabit di Muzdalifah dan Mina

tertinggal atau tersilap melontar jamrah Tiada dam jika diganti

Ganti lontaran itu pada hari Tasyrik yang berbaki, sebelum terbenam matahari hari terakhir. Lontar bagi hari yang tertinggal dahulu mengikut tertib jamrah (Ula, Wusta, Aqabah; bagi 10 Zulhijjah, Jamrah Aqabah sahaja), kemudian barulah lontaran hari itu. Jika diganti, tiada dam (Minhaj).

Jika tidak diganti, dam dikenakan. Jika yang tertinggal 1 biji: secupak makanan; 2 biji: dua cupak (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 36.1). Bagi 3 biji atau lebih: dam penuh. Kadar: seekor kambing; jika tidak mampu, puasa 10 hari (cara puasa).

Cara bayar dam ↓

Cara melontar jamrah

tidak mampu melontar kerana uzur Wakilkan

Wakilkan kepada orang lain untuk melontar bagi pihak anda. Anda tidak boleh terus membayar dam selagi ada orang yang sanggup menggantikan anda, sama ada sukarela atau dengan upah (Soal Jawab Haji TH-JAKIM).

mengambil Nafar Awal dan tidak melontar pada hari Tasyrik ketiga Tiada dam jika cukup syarat

Tiada dam jika cukup lima syarat Nafar Awal (Nota Kursus Asas Haji 1448H, Minggu 6):

1. Sudah bermalam di Mina pada malam 11 dan 12 Zulhijjah.
2. Sudah melontar ketiga-tiga jamrah pada 11 dan 12 Zulhijjah.
3. Berniat (qasad) Nafar Awal selepas melontar Jamrah Kubra, ketika masih dalam kawasan Mina (bukan di Jamrah Aqabah itu sendiri; SJH 37.1).
4. Keluar dari Mina sebelum Maghrib 12 Zulhijjah.
5. Berazam untuk tidak kembali ke Mina pada 13 Zulhijjah dengan tujuan bermalam atau melontar ketiga-tiga jamrah.

Jika matahari terbenam ketika anda masih di Mina dan belum bergerak keluar, wajib bermalam dan melontar keesokannya (Minhaj). Jika anda sudah dalam perjalanan keluar tetapi belum melepasi sempadan Mina, Nafar Awal tetap sah (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 37.2). Jika anda masih berkemas ketika itu, ada khilaf ulama (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 37.6); rujuk pembimbing ibadah.

Tawaf wada

meninggalkan Makkah tanpa tawaf wada Dam Tertib & Taqdir

Tawaf wada wajib bagi orang yang meninggalkan Makkah sejauh dua marhalah atau lebih, atau untuk bermukim di tempat lain (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 39.7). Dam dikenakan jika ia ditinggalkan tanpa uzur.

Jika anda kembali dan bertawaf sebelum melepasi jarak dua marhalah, dam gugur. Jika sudah melepasi jarak itu, dam tetap wajib (Minhaj). Kadar: seekor kambing; jika tidak mampu, puasa 10 hari (cara puasa).

Cara bayar dam ↓

Hukum tawaf wada dan dam

haid atau nifas pada hari bertolak Tiada dam

Anda dikecualikan daripada tawaf wada dan boleh terus bertolak tanpa dam (Sahih al-Bukhari, no. 1755). Jika darah berhenti sebelum anda keluar dari Makkah, mandi wajib dan lakukan tawaf wada. Pengecualian ini bagi tawaf wada sahaja; tawaf ifadah dan tawaf umrah tidak gugur kerana haid.

Wanita haid dan tawaf wada

masih di Makkah lebih 12 jam selepas tawaf wada Semak sebab kelewatan

Jika lewat bukan kerana urusan perjalanan: tempohnya 12 jam, dikira dari masa tiba di penginapan selepas tawaf. Selepas itu, ulang tawaf wada sebelum bertolak.

Jika lewat kerana urusan perjalanan, seperti kenderaan lewat: tempohnya 24 jam (TH Modul 10; Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 39.6).

Jika tawaf wada wajib diulang tetapi tidak diulang, dam dikenakan. Kadar: seekor kambing; jika tidak mampu, puasa 10 hari (cara puasa).

Cara bayar dam ↓

Perkara yang membatalkan tawaf wada

membeli bekalan atau menunggu kenderaan selepas tawaf wada Tiada dam

Tawaf wada tidak batal jika anda membeli bekalan makanan untuk perjalanan, mengemas beg, solat berjemaah atau menunggu kenderaan, termasuk tertidur kerana menunggu (Irsyad Haji dan Korban Siri 100).

Singgah membeli barang dalam perjalanan pulang ke penginapan tidak digalakkan, tetapi menurut Tabung Haji ia tidak membatalkan tawaf wada, selagi anda keluar dari Makkah dalam 12 jam (24 jam jika kenderaan lewat).

Jika anda sengaja tinggal atau keluar semula untuk urusan yang tiada kaitan dengan perjalanan, seperti membeli-belah atau menziarahi kenalan, ulang tawaf wada. Elakkan juga berlama-lama untuk bergambar.

Perkara yang dibolehkan selepas tawaf wada

jemaah umrah tidak melakukan tawaf wada Dam jika tanpa uzur

Menurut pendapat yang lebih kuat (asah) dalam mazhab Syafi’e, tawaf wada wajib juga bagi jemaah umrah, dan dam dikenakan jika ditinggalkan tanpa uzur. Mazhab Hanafi dan Maliki berpendapat sunat. Maklumkan pembimbing anda. Kadar: seekor kambing; jika tidak mampu, puasa 10 hari (cara puasa).

Cara bayar dam ↓

Khilaf tawaf wada bagi jemaah umrah

Hubungan suami isteri

bersetubuh dalam ihram umrah sebelum bergunting Rosak, dam unta

Umrah rosak, tetapi wajib diteruskan hingga selesai, kemudian diqada. Isteri juga wajib mengqada umrahnya.

Dam Tertib dan Ta’dil atas suami: seekor unta; jika tidak mampu, seekor lembu; kemudian 7 ekor kambing; kemudian makanan senilai seekor unta untuk fakir miskin Tanah Haram; kemudian puasa sehari bagi setiap cupak (JAWHAR, hlm. 17).

Hukum ini bagi yang sengaja, tahu haramnya dan tidak dipaksa (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 40.14). Jika kerana jahil, ibadah tidak rosak. Rujuk ustaz.

bersetubuh dalam ihram haji sebelum tahallul awal Rosak, dam unta

Haji rosak. Wajib disempurnakan hingga selesai dan diqada pada tahun berikutnya. Dam Tertib dan Ta’dil seperti di atas, atas suami (JAWHAR, hlm. 17; TH Modul 5).

Hukum ini bagi yang sengaja, tahu haramnya dan tidak dipaksa (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 41.1). Jika kerana jahil, haji tidak rosak. Rujuk ustaz.

bersetubuh selepas tahallul awal, sebelum tahallul thani Dam Takhyir & Taqdir

Haji tidak rosak. Sempurnakan baki haji hingga tahallul thani. Dam dikenakan ke atas suami. Kadar: pilih seekor kambing, atau 2 cupak makanan kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin (12 cupak semuanya), atau puasa 3 hari.

Cara bayar dam ↓

suami sudah tahallul thani tetapi isteri belum Rujuk ustaz

Menurut Soal Jawab Haji TH-JAKIM, jika isteri sudah tahallul awal, hajinya tidak rosak dan tiada dam atas kedua-duanya, tetapi berdosa jika sengaja. Jika isteri belum tahallul awal, hukumnya berbeza. Rujuk ustaz dengan butiran.

bercumbu atau bersentuhan dengan syahwat Dam jika tanpa lapik

Tanpa lapik, iaitu kulit bersentuh kulit, seperti mencium atau memeluk dengan syahwat: berdosa dan dikenakan dam, walaupun tanpa persetubuhan.

Berlapik, seperti memegang tangan yang berlapik kain: haram dan berdosa, tetapi tiada dam (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 25.34).

Jika kerana lupa atau tidak tahu haramnya, dan dihentikan sebaik sedar: tiada dam. Rujuk pembimbing ibadah jika keadaan anda berbeza. Kadar: pilih seekor kambing, atau 2 cupak makanan kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin (12 cupak semuanya), atau puasa 3 hari.

Cara bayar dam ↓

bermimpi, atau keluar mani kerana melihat atau berkhayal Tiada dam

Tiada dam. Mandi wajib seperti biasa (Soal Jawab Haji TH-JAKIM).

akad nikah semasa ihram Nikah tidak sah

Tiada dam, tetapi akad itu tidak sah dan berdosa (Sahih Muslim, no. 1409; TH Modul 5). Ulang akad selepas tahallul.

Haji Tamattu’ dan Qiran

mengerjakan haji Tamattu’ atau Qiran Dam Tertib & Taqdir

Dam ini wajib apabila cukup syarat Tamattu’ atau Qiran, walaupun anda tidak melakukan sebarang kesalahan. Bagi Tamattu’: umrah dibuat dalam bulan haji, haji pada tahun yang sama, anda bukan penduduk Tanah Haram, dan anda tidak kembali ke miqat untuk berniat haji (Minhaj).

Jemaah TH membayar RM810 (musim 1447H) melalui THiJARI atau kaunter TH. Bayaran ini kini pra-syarat visa haji (RTM, 15 Februari 2026).

Jika tidak mampu: puasa 3 hari dalam tempoh haji dan 7 hari selepas pulang (cara puasa).

Harga dan cara bayar

tidak pasti dam Tamattu’ sudah dibayar (pakej swasta, atau bertahun dahulu) Semak rekod dahulu

Semak resit, atau tanya agensi sama ada dam termasuk dalam pakej. Jangan anggap ia sudah termasuk.

Jika dipastikan belum dibayar, ia kekal dalam tanggungan (zimmah) sehingga ditunaikan (JAWHAR, hlm. 16), walaupun bertahun lamanya. Bayar sekarang melalui wakil yang menyembelih di Tanah Haram.

Cara bayar melalui wakil

mengerjakan haji Ifrad Tiada dam

Tiada dam Tamattu’ atau Qiran bagi haji Ifrad. Namun, dam kesalahan lain tetap dikenakan jika berlaku. Jika TH sudah menolak bayaran dam, ia dipulangkan selepas pengesahan (RTM, 15 Februari 2026).

haid datang sebelum tawaf umrah Tamattu’, hampir waktu wukuf Niat haji, jadi Qiran

Haji anda tidak bertukar kepada Qiran secara automatik. Jangan tanggalkan ihram. Berniat haji sebelum wukuf, mengikut bimbingan Pembimbing Ibadah. Dengan niat itu, haji anda menjadi Qiran, dan Dam Qiran menggantikan Dam Tamattu’. Maklumkan kaunter kewangan TH (TH Modul 9).

Bukan isu dam

wuduk batal ketika tawaf Tiada dam

Keluar, ambil wuduk, kemudian sambung dari tempat wuduk terbatal.

Syarat sah tawaf

tersentuh lawan jantina ketika sesak, tanpa syahwat Tiada dam

Ini isu wuduk, bukan larangan ihram.

Sentuhan ketika tawaf

aurat wanita terbuka, seperti rambut atau lengan Tiada dam

Tiada dam (Soal Jawab Haji TH-JAKIM). Tutup segera. Jika ia berlaku ketika tawaf, semak syarat sah tawaf.

Syarat sah tawaf

luka berdarah, mencabut gigi atau kulit mengelupas Tiada dam

Tiada dam. Ia tidak termasuk larangan ihram.

membunuh nyamuk, lalat atau lipas Tiada dam

Tiada dam. Yang dilarang ialah memburu binatang buruan darat yang liar dan halal dimakan.

was-was sama ada terlanggar larangan Tiada dam

Tiada dam atas was-was. Dam hanya bagi perkara yang anda yakin berlaku.

ragu sama ada umrah bertahun dahulu sah (haid, aurat, kiraan pusingan) Rujuk ustaz

Jangan buat kesimpulan sendiri, dan jangan anggap diri masih dalam ihram tanpa bertanya. Bawa butirannya kepada ustaz atau kaunselor ibadah Tabung Haji.

kanak-kanak melanggar larangan ihram Rujuk ustaz

Hukumnya bergantung sama ada kanak-kanak itu sudah mumayyiz dan sama ada dia sengaja, serta siapa yang menanggung dam. Rujuk ustaz.

berniat bersyarat kerana haid, kemudian pulang tanpa bergunting Ikut lafaz syarat

Jika syarat itu berlaku, tiada dam kecuali anda mensyaratkan tahallul dengan dam. Jika lafaz anda “aku menjadi halal”, anda halal serta-merta. Jika “aku bertahallul”, bergunting dengan niat tahallul (Irsyad Haji dan Korban Siri 32).

Panduan niat bersyarat

Situasi anda tiada di sini, atau masih tidak pasti? Jangan teka. Tanya pembimbing ibadah, mutawwif atau kaunter Tabung Haji sebelum meninggalkan Makkah. Pencari ini memadankan situasi dengan jenis dam menurut Manual Pengurusan Dam Haji (JAWHAR) dan Nota Kursus Asas Haji TH. Ia bukan fatwa. Maksud setiap jenis dam ada dalam jadual empat jenis dam di bawah.

Kenali jenis dam

Empat Jenis Dam dan Kadarnya

Nama setiap jenis dam menerangkan cara membayarnya. Tertib: mesti ikut urutan; pilihan kedua hanya jika tidak mampu yang pertama. Takhyir: boleh memilih. Taqdir: gantiannya sudah ditetapkan syarak. Ta’dil: gantiannya dinilai mengikut harga.

Jenis damContoh kesalahanCara bayar
Tertib & Taqdir
Ikut urutan. Gantian ditetapkan syarak.
Haji Tamattu’ atau Qiran; tidak berniat ihram di miqat; luput wukuf; tidak bermalam di Muzdalifah atau Mina; tidak melontar; meninggalkan tawaf wada tanpa uzur; melanggar nazar.Seekor kambing, atau 1/7 bahagian lembu atau unta. Jika tidak mampu: puasa 10 hari. Jika tidak mampu berpuasa kerana tua atau sakit kronik: 10 cupak makanan kepada 10 fakir miskin Makkah. Jika tidak mampu langsung: kekal sebagai hutang.
Tertib & Ta’dil
Ikut urutan. Gantian dinilai ikut harga.
Persetubuhan yang merosakkan umrah, atau haji sebelum tahallul awal.
Ihsar: terhalang menyempurnakan haji atau umrah selepas berihram.
Persetubuhan: seekor unta; jika tidak mampu, seekor lembu; kemudian 7 ekor kambing; kemudian makanan senilai seekor unta; kemudian puasa sehari bagi setiap cupak.
Ihsar: seekor kambing di tempat terhalang; jika tidak mampu, makanan senilai seekor kambing; kemudian puasa sehari bagi setiap cupak (cara dam ihsar).
Takhyir & Taqdir
Boleh pilih. Gantian ditetapkan syarak.
3 helai rambut atau 3 kuku atau lebih sekali gus; lelaki memakai pakaian bersarung atau menutup kepala; wanita menutup muka atau memakai sarung tangan; wangian; minyak pada rambut dan janggut; bercumbu dengan syahwat; bersetubuh selepas tahallul awal; persetubuhan kedua.Pilih satu: seekor kambing, atau 2 cupak kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin (12 cupak semuanya), atau puasa 3 hari.
Takhyir & Ta’dil
Boleh pilih. Gantian dinilai ikut harga.
Memburu binatang buruan darat yang halal dimakan; memotong atau mencabut pokok di Tanah Haram.Pilih satu: binatang ternakan yang setara, atau makanan senilainya, atau puasa sehari bagi setiap cupak.

Sumber: Manual Pengurusan Dam Haji (JAWHAR), hlm. 16 hingga 19; Nota Kursus Asas Haji 1448H, Modul 5.

Kurang daripada 3 helai rambut atau kuku: secupak bagi setiap satu (Minhaj al-Talibin). Dam Tertib dan Ta’dil kerana persetubuhan ditanggung oleh suami sahaja (JAWHAR, hlm. 17).

Dam ihsar juga Tertib dan Ta’dil, tetapi bermula dengan seekor kambing (JAWHAR, hlm. 17; Minhaj). Susunan Tertib dan Taqdir ikut JAWHAR (hlm. 16). Nota kursus TH meringkaskannya dengan susunan sedikit berbeza; ikut arahan Pembimbing Ibadah anda.

Infografik empat jenis dam haji dan umrah: tertib dan taqdir, tertib dan ta'dil, takhyir dan taqdir, takhyir dan ta'dil
Ringkasan visual jadual di atas. Klik untuk besarkan.

Cara puasa ganti dam

  1. Dam Takhyir dan Taqdir: 3 hari. Boleh di mana-mana, sama ada di Tanah Suci atau di Malaysia. Tidak perlu berturut-turut.
  2. Dam Tertib dan Taqdir: 10 hari. 3 hari semasa di Tanah Suci, dan 7 hari selepas pulang ke tanah air.
    Bagi haji Tamattu’ dan Qiran, 3 hari itu dalam tempoh haji, iaitu selepas berniat ihram haji, dan sunat sebelum Hari Arafah (Surah al-Baqarah 2:196; Minhaj).
    Jangan berpuasa pada 10 Zulhijjah dan hari Tasyrik (11 hingga 13 Zulhijjah), kerana hari Tasyrik ialah hari makan dan minum (Sahih Muslim, no. 1141). Jika 3 hari itu belum dibuat sebelum 10 Zulhijjah, gantikan di tanah air bersama 7 hari.
  3. Tidak sempat berpuasa 3 hari di Tanah Suci? Puasa kesemua 10 hari di Malaysia. Puasa 3 hari dahulu, kemudian berhenti sekurang-kurangnya 4 hari ditambah tempoh perjalanan pulang, barulah puasa 7 hari lagi (Minhaj; Soal Jawab Haji TH-JAKIM).
  4. Dam Ta’dil: sehari bagi setiap cupak. Kira berapa cupak makanan yang boleh dibeli dengan harga binatang itu.

Di mana dam dilaksanakan

Penyembelihan dan pembahagian daging dilakukan di Tanah Haram Makkah, untuk fakir miskin di sana. Sedekah makanan juga begitu. Hanya dam ihsar dilaksanakan di tempat terhalang. Bagi wanita haid atau pesakit yang terpaksa pulang ke tanah air, Tabung Haji menetapkan dam ihsar dilaksanakan setelah keluar dari Makkah sekurang-kurangnya dua marhalah (81 km) (Nota KAH 1448H, Modul 5). Pembayaran boleh dibuat dari Malaysia, asalkan wakil anda menyembelih di Tanah Haram. Orang yang membayar dam tidak boleh memakan daging damnya sendiri menurut mazhab Syafi’e (JAWHAR, hlm. 20; Minhaj).

Ikut langkah ini

Cara Bayar Dam Haji dan Umrah

Ikut empat langkah ini selepas anda tahu jenis dam. Sembelihan dan sedekah makanan mesti dilaksanakan di Tanah Haram Makkah, kecuali dam ihsar. Puasa boleh dibuat di mana-mana (JAWHAR, hlm. 19 dan 20).

Harga dam haji semasa

Harga semasa · Disemak 19 Oktober 2026

Dam haji dan umrah musim 1447H

  • Jemaah haji Tabung Haji: RM810 seekor kibas, bagi haji Tamattu’ dan Qiran. Harga musim 1448H belum diumumkan.
  • Cara bayar: aplikasi THiJARI atau kaunter TH, mulai 1 Ramadan. Mulai 1 Syawal, TH membekukan jumlah itu dalam akaun jemaah yang belum membayar, kemudian mendebitnya.
  • Pra-syarat visa: kerajaan Arab Saudi mensyaratkan bayaran dam sebelum visa haji Tamattu’ dan Qiran dikeluarkan.
  • Haji Ifrad: tiada dam. Jumlah yang sudah didebit dipulangkan selepas pengesahan TH.
  • Jemaah umrah atau haji swasta: kupon hady Adahi musim 1447H berharga SR720 seekor. Cara bayar di Langkah 3.
  • Secupak makanan: kira-kira 675 gram beras. TH menilainya SR5.00 (kadar rujukan sejak musim 1432H). Jika anda membeli sendiri, ukur ikut berat beras, bukan ikut harga.

Sumber: Berita RTM, 15 Februari 2026; Nota Kursus Asas Haji 1448H, Modul 5. Harga musim 1448H lazimnya diumumkan sekitar Februari. Semak harga semasa dengan TH sebelum membayar.

Lompat ke langkah1234

1

Langkah 1 daripada 4

Kenal pasti kesalahan

Cari situasi anda

Buka pencari keputusan di atas. Cari situasi anda dan catat jenis damnya.

Catat butiran: apa yang berlaku, bila, berapa helai atau kuku, dan sama ada sengaja atau tidak.

Jangan bayar kerana was-was. Dam hanya bagi perkara yang anda yakin berlaku.

Sudah tahu jenis dam anda? Langkah 1 selesai. Langkah 2 ↓

2

Langkah 2 daripada 4

Maklumkan pembimbing

Jemaah haji Tabung Haji

Maklumkan Pembimbing Ibadah di maktab anda. Mereka mengesahkan jenis dam dan menunjukkan saluran bayaran TH.

Jika jenis haji anda berubah, contohnya daripada Tamattu’ kepada Qiran, maklumkan kaunter kewangan TH (TH Modul 9).

Jemaah umrah atau haji swasta (PJH)

Maklumkan mutawwif atau ketua rombongan agensi anda. Tanya sama ada agensi menguruskan dam, dan berapa kosnya.

Jemaah haji melalui PJH: tanya agensi sama ada dam Tamattu’ sudah termasuk dalam harga pakej, dan minta resitnya.

Sudah pulang ke Malaysia

Dam tidak gugur. Dam yang belum dibayar kekal dalam tanggungan (zimmah) sehingga ditunaikan (JAWHAR, hlm. 16).

Hubungi agensi anda, atau Pusat Panggilan TH (THCC) di +603-6207 1919 bagi jemaah TH.

Sudah maklumkan pembimbing? Langkah 2 selesai. Langkah 3 ↓

3

Langkah 3 daripada 4

Pilih cara bayar

Sembelih melalui wakil (paling lazim)

Jemaah TH: bayar melalui saluran TH. Resit bayaran sudah memadai sebagai akad wakil, kerana akad sah dengan perbuatan (Soal Jawab Haji TH-JAKIM).

Jemaah umrah atau swasta: tanya agensi dahulu. Jika agensi tidak menguruskan, bayar sendiri melalui saluran rasmi Arab Saudi, Adahi (adahi.org), yang beroperasi sepanjang tahun dan menyembelih di Makkah. Simpan resit atau kupon digital.

Harga kupon hady (dam binatang) musim haji 1447H ialah SR720 (Ajel, 12 Mei 2026). Harga di luar musim haji mungkin berbeza; semak di laman atau aplikasi sebelum membayar.

Di laman atau aplikasi Adahi, pilih jenis kupon yang betul: Hady bagi dam Haji Tamattu’ atau Qiran, dan Fidyah bagi dam kerana melanggar larangan ihram atau meninggalkan perkara wajib, seperti miqat dan tawaf wada. Jangan pilih Sadaqah atau Udhiyah, kerana kupon itu dikira sedekah atau korban, bukan dam.

Ketika menyerahkan bayaran, niatkan dalam hati jenis dam itu. Jika mahu, lafazkan dalam bahasa sendiri: “Saya wakilkan kepada anda untuk menyembelih seekor kambing sebagai dam (sebutkan sebabnya) bagi pihak saya.”

Berhati-hati dengan tawaran dam yang meragukan. Pastikan pihak itu berdaftar dan benar-benar menyembelih di Tanah Haram (amaran TH, Mei 2024).

Atau sedekah makanan

Dam Takhyir dan Taqdir: 12 cupak, iaitu 2 cupak kepada setiap seorang daripada 6 fakir miskin Tanah Haram. Secupak lebih kurang 675 gram beras (Pejabat Mufti Perak), jadi setiap orang menerima kira-kira 1.35 kg, dan jumlahnya kira-kira 8.1 kg. Dengan nilai rujukan TH SR5 secupak, jumlahnya kira-kira SR60.

1 atau 2 helai rambut atau kuku: secupak bagi setiap satu, iaitu kira-kira 675 gram beras (nilai rujukan TH: SR5).

Makanan itu mesti sampai kepada fakir miskin yang berada di Tanah Haram Makkah. Anda boleh memberikannya sendiri, contohnya kepada petugas kebersihan Masjidil Haram yang miskin. Berikan makanan seperti beras atau roti.

Jika penerima tidak mahu menerima makanan, boleh diberi wang senilai harga makanan itu, iaitu SR5 bagi secupak (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 40.19). Tiada resit diperlukan. Cukup catat tarikh, jumlah dan jenis dam.

Jika tidak sempat, wakilkan pembelian dan pengagihan makanan kepada agensi atau mutawwif.

Atau puasa

Dam Takhyir dan Taqdir: puasa 3 hari, di mana-mana, termasuk di Malaysia.

Dam Tertib dan Taqdir: puasa hanya jika tidak mampu menyembelih. Bilangannya 10 hari (cara puasa).

Berniat pada malam hari sebelum fajar, kerana ini puasa wajib. Contoh lafaz: “Sahaja aku berpuasa esok hari sebagai ganti dam kerana Allah Taala.”

Sudah membayar atau mula berpuasa? Langkah 3 selesai. Langkah 4 ↓

4

Langkah 4 daripada 4

Catat apa yang sudah dibayar

Catat dan simpan bukti

Resit bukan syarat sah dam. Ia berguna apabila anda membayar melalui wakil, supaya anda pasti dam itu benar-benar ditunaikan: simpan resit THiJARI, kupon Adahi atau resit agensi.

Jika anda sendiri memberi makanan kepada fakir miskin di Tanah Haram, cukup catat tarikh, jumlah dan jenis dam.

Jika belum sempat membayar sebelum pulang, wakilkan secepat mungkin. Melambatkan dam tanpa uzur adalah makruh (JAWHAR, hlm. 20).

Semak sebelum meninggalkan Makkah

Senarai ini membantu anda mencatat tindakan. Tanda semak bukan pengesahan bahawa dam telah selesai; semak jenis dam, baki puasa atau bukti pelaksanaan oleh wakil. Tanda disimpan dalam telefon anda sahaja.

  • Semua kesalahan sudah saya maklumkan kepada pembimbing
  • Dam Tamattu’ atau Qiran sudah dibayar, jika berkenaan Jemaah TH: semak resit THiJARI
  • Dam kesalahan lain sudah dibayar atau diwakilkan
  • Bayaran sudah dicatat Resit atau kupon jika melalui wakil; catatan sendiri jika anda memberi makanan terus
  • Jika memilih puasa: tarikh puasa sudah dirancang Bilangan hari dan tempatnya ikut jenis dam

Sudah dicatat? Semak baki tindakan mengikut jenis dam. Seterusnya ↓

Mencari agensi untuk perjalanan akan datang? Semasa memilih agensi umrah, atau menyemak senarai PJH berlesen, tanya sama ada agensi membantu urusan dam.

Dosa & dam

Sengaja, Lupa atau Tidak Tahu: Berdosa dan Dam

Larangan ihram terbahagi kepada dua jenis. Jenis inilah yang menentukan sama ada dam gugur kerana lupa atau tidak tahu:

  • Bersenang-senang (taraffuh): wangian, minyak rambut, pakaian bersarung, menutup kepala bagi lelaki, menutup muka dan memakai sarung tangan bagi wanita. Jika kerana lupa atau tidak tahu, dan dihentikan sebaik sedar: tidak berdosa dan tiada dam.
  • Merosakkan (itlaf): membuang rambut atau bulu, memotong kuku, memburu dan memotong pokok di Tanah Haram. Jika kerana lupa atau tidak tahu: tidak berdosa, tetapi dam atau fidyah tetap wajib.

Sumber: Nota Kursus Asas Haji 1448H, Modul 5; Irsyad Hukum Khas Haji dan Korban Siri ke-109 (13 Mei 2026), yang memetik al-Majmu’ dan Mughni al-Muhtaj.

HukumContoh
Tidak berdosaTiada damLarangan taraffuh kerana lupa, jahil atau terpaksa. Lelaki memakai seluar kerana tiada kain ihram (Sahih al-Bukhari, no. 1841). Perca kain bagi penghidap kencing tidak lawas. Membunuh binatang buruan yang menyerang.
BerdosaTiada damAkad nikah (akadnya tidak sah). Memandang dengan syahwat. Membantu orang lain memburu, walaupun dengan menunjukkan arah.
Tidak berdosaDamLarangan itlaf kerana lupa atau jahil, seperti rambut dan kuku. Memakai pakaian berjahit, atau wanita menutup muka, kerana hajat seperti sakit. Bercukur kerana sakit (Surah al-Baqarah 2:196).
BerdosaDamMelanggar mana-mana larangan dengan sengaja, tanpa hajat.

Dam menampung kekurangan ibadah, tetapi tidak menghapuskan dosa. Orang yang melanggar dengan sengaja perlu bertaubat, selain membayar dam.

Terhalang

Dam Ihsar: Terhalang Menyempurnakan Haji atau Umrah

Ihsar ialah keadaan orang yang sudah berniat ihram tetapi dihalang daripada menyempurnakan haji atau umrah oleh halangan luar, seperti musuh atau pihak berkuasa. Dalam mazhab Syafi’e, sakit atau haid sahaja tidak membolehkan tahallul, kecuali jika disyaratkan ketika berniat (Minhaj al-Talibin: وَلَا تَحَلُّلَ بِالمَرَضِ).

Namun, bagi jemaah haji yang masih haid dan terpaksa pulang sebelum tawaf ifadah, Nota Kursus Asas Haji 1448H, Modul 9 menyenaraikan lima pilihan: menangguhkan penerbangan, tawaf ketika naqa’, berpegang kepada pendapat bahawa cecair kuning dan keruh bukan haid, tahallul dengan dam ihsar, atau bertaklid kepada mazhab Hanafi dengan dam seekor unta. Bagi jemaah umrah, sahkan dengan pembimbing ibadah sama ada kaedah ini terpakai.

Cara membayar dam ihsar, ikut urutan ini:

  1. Sembelih seekor kambing di tempat terhalang, dan bahagikan dagingnya kepada fakir miskin di situ. Kemudian bercukur atau bergunting dengan niat tahallul. Contoh lafaz niat: “Aku menyembelih kambing ini sebagai dam ihsar untuk tahallul daripada ihram haji (atau umrah) aku.”
  2. Jika tidak mampu, beli makanan senilai seekor kambing dan bahagikan kepada fakir miskin di tempat itu, kemudian bercukur atau bergunting dengan niat tahallul. Lafaz: “Aku bersedekah makanan ini sebagai ganti dam ihsar untuk tahallul aku.”
  3. Jika tidak mampu juga, berpuasa sehari bagi setiap cupak makanan yang boleh dibeli dengan nilai seekor kambing, dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul. Lafaz: “Aku berpuasa esok hari sebagai ganti dam ihsar untuk tahallul aku.” Anda boleh bertahallul serta-merta walaupun puasa belum selesai (Minhaj: وَلَهُ التَّحَلُّلُ فِي الحَالِ فِي الْأَظْهَرِ).

Susunan ini ikut Minhaj al-Talibin dan JAWHAR (hlm. 18). Tempat dan masa tahallul ini perlu disahkan dengan Pembimbing Ibadah sebelum anda bertolak. Jika haji atau umrah itu yang wajib, ia perlu disempurnakan semula apabila mampu.

Dam ihsar berbeza daripada niat bersyarat. Orang yang berniat bersyarat, kemudian syaratnya berlaku (contohnya sakit atau haid), bertahallul tanpa dam kecuali dia mensyaratkan dam. Namun bagi ihsar sebenar, iaitu dihalang oleh pihak luar, dam ihsar tetap wajib walaupun dia berniat bersyarat (panduan niat bersyarat).

Binatang dam

Syarat Binatang Dam

Syaratnya sama seperti binatang korban:

  • Jenis: unta, lembu, kerbau, kambing atau kibas (biri-biri).
  • Umur: unta cukup 5 tahun masuk 6; lembu, kerbau dan kambing cukup 2 tahun masuk 3; kibas cukup 1 tahun masuk 2, atau sudah bersalin gigi hadapan.
  • Sihat: tidak cacat, tidak terlalu kurus, tidak tempang, dan tidak terputus telinga, ekor atau lidah.
  • Bahagian: seekor kambing atau kibas untuk satu dam. Seekor lembu atau unta boleh dikongsi untuk 7 dam yang masing-masing bernilai seekor kambing.

Berniat dam dan jenisnya ketika binatang disembelih, atau ketika menyerahkan bayaran kepada wakil.

Dam, hadyu & korban

Beza Dam, Hadyu dan Korban Semasa Haji

Ketiga-tiganya melibatkan sembelihan binatang pada musim haji, jadi istilahnya sering bercampur. Hukum, tempat dan cara mengagihkan dagingnya berbeza.

Hadyu ialah binatang ternakan yang dihadiahkan ke Tanah Haram untuk disembelih sebagai ibadah. Al-Quran menamakan dam haji Tamattu’ dan Qiran sebagai hadyu: “maka (wajiblah) hadyu yang mudah didapati” (al-Baqarah: 196). Sebab itu kupon dam Tamattu’ di Adahi dinamakan Hady.

PerkaraDamKorban
HukumWajib: haji Tamattu’, Qiran, atau kerana kesalahanSunat muakkad, termasuk bagi jemaah haji
Tempat sembelihTanah Haram MakkahDi mana-mana, termasuk di Malaysia melalui wakil
WaktuTamattu’: afdal Hari Nahar. Kesalahan: segera, jangan dilambatkanPagi 10 hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah
DagingSemua untuk fakir miskin Tanah Haram. Yang membayar tidak boleh makanSunat makan sedikit, selebihnya disedekahkan

Sumber jadual: Minhaj al-Talibin (Kitab al-Hajj dan Kitab al-Udhiyah); Mukhtasar Tuhfat al-Muhtaj, 1/590; Mughni al-Muhtaj, 2/310; JAWHAR, Manual Pengurusan Dam Haji, hlm. 19 hingga 20.

Dam tidak menggantikan korban. Jemaah haji Tamattu’ yang sudah membayar dam masih disunatkan berkorban. Al-Nawawi menegaskan bahawa korban sunat bagi jemaah haji di Mina sama seperti orang lain (al-Majmu’, 8/383). Korban boleh diwakilkan kepada keluarga di Malaysia. Pada musim 1447H, TH juga menawarkan korban di Tanah Suci pada kadar RM810 seekor kibas, dibuka kepada semua pendeposit TH melalui saluran yang sama dengan dam (Berita RTM, 15 Februari 2026).

Hadyu sunat pula ialah binatang yang dihadiahkan ke Tanah Haram secara sukarela. Ia sunat bagi sesiapa yang menuju ke Makkah, lebih-lebih lagi jemaah haji, dan tidak menjadi wajib kecuali dinazarkan (I’anat al-Talibin, 2/375). Berbeza dengan dam, pemiliknya boleh makan daripada hadyu sunat. Amalan ini jarang dilakukan oleh jemaah Malaysia hari ini.

Ketika membayar

  • Bayaran korban tidak menunaikan dam Tamattu’, dan bayaran dam tidak dikira korban. Bayar kedua-duanya secara berasingan.
  • Di Adahi, kupon Udhiyah ialah korban. Untuk dam, pilih Hady atau Fidyah (lihat cara bayar dam).
  • Niatkan jenis ibadah itu, sama ada dam atau korban, ketika menyerahkan bayaran kepada wakil.

Panduan penuhIbadah KorbanLafaz niat, hukum, syarat dan waktu korban

Soal jawab

Soalan Lazim

Berapa harga dam haji tahun ini?

Bagi jemaah Tabung Haji musim 1447H (2026), RM810 seekor kibas, dibayar melalui THiJARI atau kaunter TH mulai 1 Ramadan. Ia pra-syarat visa bagi haji Tamattu’ dan Qiran. Harga musim 1448H belum diumumkan pada 19 Oktober 2026.

Wanita memakai pelitup muka ketika ihram, kena dam?

Ketika wabak, apabila pelitup muka perlu dipakai untuk mencegah jangkitan, tiada dam (Muzakarah Haji ke-37, 2022). Jika dipakai kerana hajat lain seperti batuk atau sakit, tidak berdosa, tetapi dam tetap dikenakan. Jika dipakai dengan sengaja atas pilihan sendiri, berdosa dan dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir.

Bolehkah menggunakan sabun atau pembersih tangan (hand sanitiser) berbau ketika ihram?

Jika terpakai kerana lupa, basuh segera dan tiada dam. Soal Jawab Haji TH-JAKIM (soalan 22.12) dan sebahagian ulama semasa mengharuskan sabun mandi berbau untuk membersih kerana tujuannya bukan berwangi-wangian. Gunakan sabun dan pembersih tangan tanpa pewangi untuk keluar daripada khilaf.

Rambut gugur ketika mandi semasa ihram, kena dam?

Jika gugur sendiri tanpa digosok, tiada dam. Jika gugur kerana digosok atau disikat: secupak bagi sehelai, dua cupak bagi dua helai, dan Dam Takhyir dan Taqdir bagi tiga helai atau lebih, walaupun tidak sengaja.

Saya tertidur ketika pesawat melintasi miqat. Apa perlu dibuat?

Berniat sebaik sedar. Jika anda kembali ke miqat dalam keadaan berihram sebelum memulakan tawaf, dam gugur. Jika tidak, dikenakan Dam Tertib dan Taqdir: seekor kambing, atau puasa 10 hari jika tidak mampu.

Saya lupa membayar dam Tamattu’ bertahun dahulu. Masih wajib?

Ya. Dam yang belum dibayar kekal dalam tanggungan (zimmah) sehingga ditunaikan (JAWHAR, hlm. 16). Wakilkan kepada pihak yang menyembelih di Tanah Haram Makkah, seperti agensi yang dipercayai atau saluran rasmi Adahi.

Bolehkah membayar dam dengan wang atau mengupah orang?

Boleh membayar wang kepada wakil, seperti TH, agensi atau Adahi, yang membeli dan menyembelih binatang, atau membeli makanan, bagi pihak anda. Ini akad wakalah dan sah.

Bagi dam makanan, asalnya diberi makanan. Jika fakir miskin di Tanah Haram tidak mahu menerima makanan, anda boleh memberi wang senilai harga makanan itu terus kepadanya, contohnya petugas kebersihan Masjidil Haram yang miskin (Soal Jawab Haji TH-JAKIM, soalan 40.19).

Bolehkah puasa dam dibuat di Malaysia?

Boleh. Puasa 3 hari bagi Dam Takhyir dan Taqdir boleh dibuat di mana-mana. Bagi Dam Tertib dan Taqdir, 7 hari dibuat selepas pulang; jika 3 hari tidak sempat dibuat di Tanah Suci, kesemua 10 hari dibuat di Malaysia dengan selang selepas 3 hari pertama.

Saya mengulangi kesalahan yang sama beberapa kali sebelum membayar dam. Berapa dam?

Jika kesalahan sejenis dilakukan berturut-turut dalam satu masa dan tempat, ia dikira satu dam. Jika dilakukan pada masa berlainan, setiap satu boleh dikira berasingan, termasuk rambut dan kuku. Sahkan bilangannya dengan pembimbing ibadah.

Saya membuat beberapa umrah sebelum haji Tamattu’. Berapa kali dam Tamattu’?

Sekali sahaja, walaupun umrah dibuat berkali-kali. Umrah sunat selepas haji juga tidak menambah dam Tamattu’.

Bolehkah dam Tamattu’ menampung kesalahan lain?

Tidak. Setiap dam berasingan. Dam Tamattu’ tidak menampung dam bagi kesalahan lain (Soal Jawab Haji TH-JAKIM).

Saya sudah bayar dam Tamattu’. Perlukah berkorban lagi?

Tidak wajib, tetapi masih sunat. Dam ialah kewajipan haji Tamattu’, manakala korban ialah ibadah sunat yang berasingan (al-Majmu’, 8/383). Korban boleh diwakilkan kepada keluarga di Malaysia atau dibuat melalui TH di Tanah Suci.

Sumber

Rujukan

  1. Al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 196. quran.com
  2. Sahih Muslim, no. 1189 (wangian sebelum ihram), sunnah.com; no. 1409 (larangan akad nikah), sunnah.com; no. 1141 (hari Tasyrik hari makan dan minum), sunnah.com
  3. Sahih al-Bukhari, no. 1841 (seluar bagi yang tiada kain ihram), sunnah.com; no. 1755 (wanita haid dan tawaf wada), sunnah.com
  4. Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Manual Pengurusan Dam Haji, hlm. 14 hingga 23 dan glosari. jawhar.gov.my
  5. Lembaga Tabung Haji, Nota Kursus Asas Haji 1448H, Modul 5: jenis dam, kadar secupak SR5.00, itlaf dan taraffuh. e-Bimbingan Haji TH (log masuk sebagai pelawat)
  6. Lembaga Tabung Haji, Nota Kursus Asas Haji 1448H, Modul 9: wanita haid dan tawaf ifadah (lima pilihan), Tamattu’ kepada Qiran. e-Bimbingan Haji TH (log masuk sebagai pelawat)
  7. Lembaga Tabung Haji, Nota Kursus Asas Haji 1448H, Modul 10: tawaf wada, tempoh 12 dan 24 jam. e-Bimbingan Haji TH (log masuk sebagai pelawat)
  8. Berita RTM, Bayaran Dam Haji Ditetapkan RM810 bagi Seekor Kibas, Mula Bayar 1 Ramadan (15 Februari 2026). berita.rtm.gov.my
  9. Lembaga Tabung Haji, kenyataan media Perkhidmatan Bayaran Dam dan Qurban melalui THiJARI (7 Mei 2024).
  10. Projek Adahi (Projek Arab Saudi bagi Pemanfaatan Hady dan Adahi), About Adahi. adahi.org; harga kupon hady 1447H: Ajel, 12 Mei 2026. ajel.sa
  11. The Vibes, No penalty for women wearing face mask in ihram: TH (9 Jun 2022): keputusan Muzakarah Haji ke-37. thevibes.com
  12. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Hukum Khas Haji dan Korban Siri ke-109: Melanggar Larangan Ihram kerana Terlupa (13 Mei 2026). muftiwp.gov.my
  13. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Fatwa Haji dan Korban Siri 25: Kain Ihram yang Dibasuh dengan Pelembut (8 Ogos 2019). muftiwp.gov.my
  14. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Fatwa Haji dan Korban Siri ke-32: Niat Bersyarat Ketika Mengerjakan Ibadah Umrah. muftiwp.gov.my
  15. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #844: Niat Ihram di Rumah Sendiri. muftiwp.gov.my
  16. Al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, Kitab al-Hajj: larangan ihram, kadar sehelai rambut, miqat, mabit, melontar, tawaf wada, dam Tamattu’ dan ihsar. alminhaji.com
  17. Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-JAKIM), Soal Jawab Haji, Umrah dan Ziarah, edisi kemas kini 2018: soalan 22.12, 25.34, 33.1, 33.3, 39.6, 39.7, 40.6, 40.14, 40.19, 40.23, 41.1 dan 42.1.
  18. Lembaga Tabung Haji, Nota Kursus Asas Haji 1448H, Minggu 6: syarat Nafar Awal. tabunghaji.gov.my
  19. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Fatwa Khas Haji dan Korban Siri ke-68: Hukum Memakai Pelitup Muka ketika dalam Ihram. muftiwp.gov.my
  20. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Hukum Khas Haji dan Korban Siri ke-100: Hukum Tertidur selepas Mengerjakan Tawaf Wada. muftiwp.gov.my
  21. Pejabat Mufti Negeri Perak, Fidyah Puasa (Minda Mufti, Mac 2017): satu cupak bersamaan 675 gram. mufti.perak.gov.my
  22. Saudi Post, Hajj Meat (Adahi): jenis kupon Hady, Fidyah, Udhiyah dan Sadaqah. splonline.com.sa
  23. Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/383: korban sunat bagi jemaah haji di Mina, dinukil dalam Dar al-Ifta Mesir, fatwa no. 7708 (19 Jun 2023). dar-alifta.org
  24. Al-Bakri al-Dimyati, I’anat al-Talibin, 2/375: sunat hadyu bagi yang menuju ke Makkah. al-Maktabah al-Syamilah
  25. Al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 2/310: larangan memakan dam, dinukil dalam Dar al-Ifta Mesir, fatwa no. 8625 (14 April 2025). dar-alifta.org
  26. Dar al-Ifta Mesir, fatwa no. 8603 (25 Mac 2025): memakan hadyu sunat. dar-alifta.org
KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

209 Komen

  1. Assalamu’alaikum,

    Saya telah berniat ihram umrah. Setibanya di pintu masuk Masjidil Haram, dalam kesesakan tersebut, bahu saya telah disentuh oleh seorang wanita. Sememangnya saya telah berniat awal, dengan wuduk yang ada, saya mengikut mazhab hanafi (maaf jika tersalah) yang tidak batal wuduk jika tersentuh lelaki & perempuan.

    Saya terus melakukan umrah dengan tawaf, saei & tahallul selepas itu.

    Persoalan saya;

    Adakan sah umrah saya setelah kejadian sentuhan oleh wanita tersebut?

    Sekiranya tidak sah, apakah dam yang dikenakan?

    Mohon pencerahan, terima kasih.

    Balas
    • Waalaikumussalam Tuan Tajuddin.

      Berdasarkan situasi yang tuan ceritakan, umrah tuan sah, insya-Allah, dan tidak dikenakan dam.

      Jika sentuhan pada bahu itu berlapik kain ihram, wuduk tidak batal menurut Mazhab Syafi‘i. Sekiranya berlaku sentuhan kulit tanpa lapik sekalipun, sentuhan yang tidak disengajakan dan tanpa syahwat dalam keadaan sesak mendapat keringanan. Muzakarah Haji juga membenarkan penggunaan pandangan dalam Mazhab Syafi‘i yang menyatakan wuduk tidak batal dalam keadaan masyaqqah seperti kesesakan ketika tawaf.

      Pandangan tersebut turut selaras dengan Mazhab Hanafi, yang menyatakan sentuhan antara lelaki dengan wanita semata-mata tidak membatalkan wuduk.

      Oleh itu, wuduk dan tawaf tuan dikira sah. Sa‘i serta tahallul selepasnya juga sah. Sentuhan yang tidak disengajakan itu bukan pelanggaran ihram yang mewajibkan dam.

      Tuan tidak perlu mengulang umrah atau membayar dam atas kejadian tersebut.

      Wallahu a‘lam.

      Balas
        • Alhamdulillah, sama-sama Tuan Tajuddin. Semoga penjelasan tersebut membantu menenangkan hati tuan. Semoga Allah menerima ibadah umrah tuan serta mengurniakan peluang untuk kembali menjadi tetamu-Nya. Amin.

          Balas
  2. Saya nak tanya tentang jika sebelum melakukan umrah ada buat niat bersyarat di miqat, namun ketika niat ada rasa cecair keluar, (keputihan ) selepas itu terus buat tawaf , saei dan bertahalul.Setelah pulang ke hotel, ada kesan coklat/spot di seluar. Adakah tawaf tu sah atau tidak?

    Adakah tawaf tu batal ? Adakah cairan tu dikira najis kerana selepas ada cairan keluar tu tak berisinjak. Adakah dikenakan dam unta? Berlaku pada tahun 2016 (Umrah pertama dan kedua -alhamdulillah) yang ada masalah Umrah ke-3 dan pada 2019 ada buat umrah lagi (Alhamdulillah ok). Tapi tak pasti bila keluar cairan berwarna coklat tu sebelum tawaf, ketika tawaf atau lepas tahalul. Ya saya mmg berdosa sgt.

    Jika sudah lama semua pantang larang ihram dan di langgar kena bayar setiap kesalahan ke ustaz?

    Terima kasih ustaz, mohon berikan jawapan berapa byk perlu dibayar dam kerana sudah lama. Macam mana nak kira semua dam 13 larangan ihram tu ustaz setelah bertahun. Kalau bertakliq dengan mazhab imam hanafi sekarang boleh ke ustaz Dan saya kena bayar dam ke? Nak bayar dimana? Ketika itu saya berihram ke? Selamat beberapa tahun?

    Balas
    • Waalaikumussalam Puan Ieda.

      Kes ini tidak boleh diputuskan hanya berdasarkan kesan coklat yang ditemui selepas pulang ke hotel. Status umrah puan bergantung pada beberapa perkara, termasuk jenis cecair tersebut, bila ia benar-benar keluar, kedudukannya dalam kitaran haid, lafaz sebenar niat bersyarat dan sama ada syarat yang disebut dalam niat itu benar-benar berlaku.

      Kesan coklat yang hanya ditemui kemudian tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa puan telah berhaid atau bernajis ketika tawaf. Pada masa yang sama, niat bersyarat juga tidak secara automatik menjadikan seseorang keluar daripada ihram hanya kerana terasa ada cecair.

      Oleh sebab perkara ini melibatkan kemungkinan sah atau tidak tawaf, status tahallul dan hukum dam, puan perlu merujuk terus kepada Unit Bimbingan Ibadat Tabung Haji atau Pejabat Mufti. Sediakan maklumat berikut: lafaz sebenar niat bersyarat, tarikh dan kebiasaan haid, bila cecair mula dirasakan, bila kesan coklat ditemui, sama ada puan yakin ia keluar dari bahagian dalam sebelum tawaf, dan larangan ihram yang benar-benar dilakukan.

      Jangan terus menganggap puan berada dalam ihram selama bertahun-tahun, mengira kesemua 13 larangan atau membayar dam unta berdasarkan andaian. Jenis dan jumlah dam hanya boleh ditentukan selepas status tawaf serta tahallul dipastikan. Bertaklid kepada mazhab lain selepas sesuatu kejadian juga mempunyai syarat dan tidak wajar diputuskan sendiri.

      Semoga Allah memudahkan puan mendapatkan penjelasan yang tepat dan menenangkan hati puan. Wallahu a‘lam.

      Balas
  3. Waalaikumussalam puan.

    1/ Dalam mazhab Syafi‘e, menutup muka (seperti memakai mask) ketika ihram termasuk larangan bagi wanita. Jika puan pakai kerana hajat (batuk/sakit), ia dibenarkan tetapi tetap wajib fidyah/dam (tanpa dosa kerana ada keperluan).

    2/ Boleh, kerana fidyah/dam bagi larangan ini termasuk takhyir & taqdir: pilih salah satu iaitu sembelih seekor kambing, atau beri makan 6 orang fakir miskin (2 cupak setiap seorang), atau puasa 3 hari.

    Wallahu a‘lam.

    Balas
  4. Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh puan Ana.Maksud “bukan isu dam ihsar” ialah ihsar berlaku apabila seseorang yang sudah berihram benar-benar terhalang daripada menyempurnakan manasik (contoh: dihalang oleh pihak berkuasa atau halangan keselamatan; dalam mazhab Syafi‘e, sakit semata-mata tidak termasuk ihsar kecuali disyaratkan ketika berniat). Dalam kes puan, isu utamanya bukan “terhalang”, tetapi sah atau tidak sahnya tawaf kerana persoalan wuduk.1/ Jika puan sekadar syak/waswas (tidak ada keyakinan jelas wuduk memang batal ketika tawaf), maka pegang kaedah fiqh: yakin tidak hilang dengan syak. Umrah puan dikira sah, puan sudah keluar daripada ihram, dan puan tidak tertanggung dam. Jika puan sudah buat sembelihan/infak yang puan niatkan sebagai “dam ihsar”, ia tidak merosakkan apa-apa; ia jatuh sebagai sedekah (insyaAllah berpahala), cuma bukan dam wajib.2/ Jika (dan hanya jika) puan benar-benar yakin wuduk memang batal semasa tawaf dan puan meneruskan tawaf, maka tawaf itu tidak sah. Dalam mazhab Syafi‘e, sa‘i bergantung kepada tawaf, maka puan perlu kembali ke Makkah apabila berkemampuan untuk ulang tawaf dan sa‘i, kemudian bertahallul (bergunting) dengan betul. Selagi belum disempurnakan, larangan ihram masih terpakai. Dalam keadaan begini, “ihsar” biasanya tidak dipakai melainkan memang ada halangan syarie yang benar-benar menghalang puan kembali; perkara ini elok disahkan dengan pembimbing bertauliah/Tabung Haji kerana bergantung pada butiran keadaan puan.Kalau puan tidak pasti (sekadar syak), jangan anggap puan masih ihram. Pegang pada yang pasti, dan jangan hukum diri dengan sangkaan.Wallahu a‘lam.

    Balas
  5. 1.Seorg wanita memakai mask kerana batuk semasa dlm ihram adakah dikenakan dam
    2. Bolehkah membayar dam secara berinfak makanan

    Balas

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.