IBADAH KORBAN: Lafaz Niat, Hukum & Syarat Korban (Lengkap)

ibadah korban

Ini adalah panduan lengkap mengenai niat korban dan perkara berkaitan dengan ibadah korban semasa Hari Raya Aidiladha.

Dalam tulisan ini, saya akan menjelaskan semua perkara yang harus diketahui oleh anda secara lengkap dan mudah. Setiap teks arab juga akan dipermudahkan dengan transliterasi rumi untuk membantu anda.

Semoga membantu dan diberikan kefahaman kepada kita semua.

Ibadah korban merupakan salah satu amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam, khususnya sempena Hari Raya Aidiladha.

Ibadah ini melibatkan penyembelihan haiwan ternakan seperti kambing, lembu, atau unta sebagai tanda ketaatan dan pengorbanan kepada Allah SWT. Kepentingan ibadah korban bukan sahaja terletak pada aspek ibadah, tetapi juga dari sudut keimanan dan sosial.

Ia melambangkan keikhlasan dan ketakwaan seseorang Muslim dalam mengikuti perintah Allah SWT serta menghidupkan semangat saling membantu dengan golongan yang memerlukan.

Hari Raya Aidiladha, yang juga dikenali sebagai Hari Raya Haji, diraikan pada 10 Zulhijjah setiap tahun, menandakan berakhirnya ibadah Haji. Perayaan ini diabadikan sebagai penghormatan kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang bersedia untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s. sebagai ketaatan kepada perintah Allah SWT. Namun, Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas sebagai bukti kasih sayang dan rahmatNya.

Sejarah ibadah korban bermula dari kisah agung ini, di mana ia menjadi simbol ketundukan sepenuhnya kepada kehendak Ilahi. Dalam konteks sejarah ini, ibadah korban bukan sahaja menjadi peringatan terhadap ketaatan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, tetapi juga mengajar umat Islam tentang nilai pengorbanan, kesabaran, dan ketaatan yang tinggi terhadap Allah SWT.

Dengan melaksanakan ibadah korban, umat Islam di seluruh dunia berpeluang untuk menzahirkan rasa syukur atas nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT serta memperkukuhkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan melalui pembahagian daging korban kepada golongan yang memerlukan.

niat korban

Sebenarnya tiada bacaan khusus untuk niat korban. Malah dibolehkan menyebutkannya di dalam hati sahaja.

Disyaratkan berniat melakukan korban semasa menyembelih binatang kerana korban adalah ibadah. Setiap ibadah hanya dianggap sah apabila berniat melakukannya.

Niat hendaklah disertakan ketika penyembelihan kecuali jika binatang korban itu telah ditentukan untuk dijadikan korban. Dalam keadaan ini, sudah memadai apabila diniatkan korban semasa menentukan binatang itu sebagai korban.

Jika individu yang melakukan korban mewakilkan kepada orang lain untuk menyembelih binatang korban, maka dia mempunyai dua pilihan:

  1. Dia boleh terus berniat korban semasa mewakilkan kepada wakil untuk menyembelih binatang korbannya.
  2. Dia boleh berniat semasa wakilnya menyembelih binatang yang dikorbankan.

Lafaz niat korban untuk diri sendiri adalah lafaz yang dilakukan oleh individu yang ingin melaksanakan ibadah korban tersebut.

Sebenarnya tiada lafaz khusus untuk ibadah korban. Anda boleh meniatkan korban dengan pelbagai lafaz, sama ada dalam bahasa arab atau bahasa melayu (atau dalam bahasa yang difahami).

Antara contoh lafaznya ialah:

نَوَيْتُ أَنْ أُضَحِّيَ لِلَّهِ تَعَالَى

Nawaitu an uḍḥiya lillāhi ta‘ālā

Maksud:

“Sahaja aku berkorban kerana Allah Ta’ala.”

Lafaz niat korban
Contoh Lafaz Niat Lain
  • “Kerana Allah ke atasku menyembelih lembu ini sebagai korban”
  • “Ke atasku menyembelih binatang ini sebagai korban”
  • “Sahaja aku melakukan korban, kerana Allah SWT”

Tiada lafaz khusus. Dalam situasi ini, apa yang penting adalah di antara wakil dan yang berkorban sudah bersetuju dengan rela dan reda.

Antara contoh lafaz niat korban wakil:

“Saya (nama yang berkorban) telah bersetuju untuk mewakilkan tuan menguruskan korban saya pada tahun ini (tahun hijrah) kerana Allah Taala”.

Jika ibadah korban dilaksanakan oleh seseorang bagi pihak orang lain, niat juga perlu disertakan. Orang yang melakukan sembelihan hendaklah berniat bagi pihak individu yang diwakilinya.

Contoh lafaznya ialah:

Sahaja aku berkorban bagi pihak (nama individu) kerana Allah Ta’ala.”

Dalam situasi ini, dua kaedah berniat boleh digunakan:

  1. Berniat Semasa Mewakilkan:
    Orang yang hendak melakukan korban boleh berniat semasa dia mewakilkan kepada wakil untuk menyembelih binatang korbannya. Contohnya, “Aku niat melakukan korban ini bagi pihak (nama) kerana Allah Ta’ala.”
  2. Berniat Semasa Penyembelihan:
    Wakil yang menyembelih boleh berniat semasa penyembelihan dilakukan. Contohnya, “Aku niat menyembelih binatang korban ini bagi pihak (nama) kerana Allah Ta’ala.”

Niat ini biasanya dilafazkan dalam bentuk akad sebelum korban dilakukan.

Inilah korbanku dan aku mewakili 1/ 2 / 3 /4 / 5 / 6 bahagian dengan ini mewakilkan tuan untuk melakukan sembelihan korban kami kerana allah ta’ala

hukum ibadah korban

Hukum melakukan ibadah korban adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut bagi orang yang berkemampuan.

Korban diwajibkan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan tidak diwajibkan kepada kita sebagai umatnya.

Baginda ﷺ bersabda:

Difardukan kepadaku ibadah korban tetapi tidak diwajibkan kepada kamu.

(Riwayat ad-Darqutni)

Dalam sabda yang lain:

Aku diperintahkan menyembelih korban sedangkan ia hanyalah sunat kepada kamu.

(Riwayat Tirmizi)

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa:

  • Hukum mengadakan ibadah korban bagi umat Nabi Muhammad ﷺ adalah sunat muakkad.
  • Dalam keluarga, menjadi sunat kifayah sekiranya ahli keluarga ramai. Jika salah seorang daripada mereka melaksanakannya, maka sudah memadai.
  • Sekiranya setiap ahli keluarga mengadakannya tercapailah hukum sunat muakkad bagi setiap orang.
  • Jika seseorang itu tidak berkeluarga, maka hukum korban ke atasnya adalah sunat ain.

Korban tidak diwajibkan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ kerana yang demikian boleh menimbulkan kesukaran kepada mereka melakukannya.

Terdapat atsar (أثر) Sahabat bahawa Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar tidak pernah menyembelih korban kerana bimbang orang ramai menganggapnya sebagai wajib.

Walau bagaimanapun, dalam kes-kes berikut korban menjadi wajib apabila:

1

Korban menjadi wajib apabila seseorang menetapkan binatang tertentu untuk dijadikan korban. Contohnya dia berkata:

  • “Lembu ini adalah korbanku.”
  • “Unta ini adalah korbanku.”
  • “Lembu ini aku akan jadikan korban.”

Perkataan ‘Insya-Allah’, ‘mungkin’, ‘boleh jadi’, ‘tengoklah’ dan seumpamanya yang dikaitkan dengan korban dikecualikan daripada hukum wajib. Contohnya:

  • “Insya-Allah, lembu ini aku akan jadikan korban.”
  • “Insya-Allah, aku akan korbankan lembu ini.”
  • “Lembu ini berkemungkinan besar akan aku jadikan korban.”
  • “Boleh jadi lembu ini akan aku korbankan.”
  • “Tengoklah, lembu ini kalau tidak ada apa-apa akan aku jadikan korban.”

Seseorang yang tidak bercadang mewajibkan korban ke atas dirinya tetapi ingin mengadakan korban sebagai korban sunat sahaja, eloklah memilih perkataan-perkataan yang dinyatakan ini sekiranya ingin melafazkan keinginan melakukan korban.

Jika ditanya kepada seseorang mengenai binatang yang dia miliki, adakah akan dijadikan korban? Maka jawapannya mungkin menunjukkan wajib atau sunat. Contohnya:

  • “Adakah lembu ini akan dijadikan korban?” Jika dijawab: “Ya, saya akan jadikan lembu ini sebagai korban.” Atau, “Ya, inilah korban saya,” maka menyembelih lembu itu sebagai korban adalah wajib.
  • “Adakah lembu ini akan dijadikan korban?” Jika dijawab: “Insya-Allah, boleh jadi, belum tentu lagi, tengoklah, mungkin,” dan seumpamanya, maka jawapan itu tidak menunjukkan wajib. Terpulanglah kepada pemilik binatang itu sama ada menyembelihnya sebagai korban atau dibiarkan sahaja. Jika disembelih sebagai korban, hukumnya sunat sahaja dan jika tidak disembelih, maka ia tidak meninggalkan apa-apa kesan dari sudut hukum kepada pemilik binatang itu.

Penentuan ibadah korban menjadi wajib jika dilafazkan seperti lafaz-lafaz yang telah dinyatakan.

Akan tetapi, jika seseorang itu hanya berniat hendak menjadikan korban bagi binatang tertentu yang dimilikinya, maka niat itu tidak mewajibkan korban sehinggalah dilafazkan.

2

Jika seseorang itu bernazar untuk melakukan ibadah korban, maka korban yang dilakukannya itu adalah wajib.

Ini kerana dia telah mewajibkan dirinya melaksanakan amalan taqarrub iaitu mendekatkan diri kepada Allah. Contoh nazar seperti berikut:

  • “Kerana Allah wajiblah atasku melakukan ibadah korban.”
  • “Wajiblah atasku menyembelih korban.”
  • “Jika sembuh penyakitku, aku akan melaksanakan ibadah korban.”
  • “Jika aku dikurniakan anak lelaki, akan aku jadikan lembu ini sebagai korban.”

Korban tidak menjadi wajib jika seseorang itu berniat melakukannya semasa membeli binatang. Ini bermakna apabila binatang itu telah dibeli, terpulanglah kepada pembelinya sama ada hendak menyembelihnya sebagai korban atau sebaliknya. Dalam keadaan ini penyembelihan korban tidak diwajibkan kerana perpindahan hak milik ke atas binatang belum berlaku disebabkan binatang tersebut belum dimiliki.

Sebaliknya apabila seseorang itu bernazar hendak melakukan korban sekiranya dia membeli binatang, maka wajib kepadanya melakukan korban apabila binatang telah dibeli. Contohnya dia berkata:

“Sekiranya saya membeli kambing, maka kerana Allah wajiblah atasku mengorbankannya.”

Jika selepas itu dia membeli kambing, wajiblah dia mengorbankan kambing itu bagi menunaikan nazarnya.

Sekiranya binatang yang ditentukan sebagai korban atau yang dinazarkan sebagai korban melahirkan anak, maka anak itu wajib dikorbankan juga kerana hukumnya adalah sama dengan hukum ibunya sama ada binatang itu bunting semasa ia ditentukan sebagai korban atau semasa dinazarkan untuk dijadikan korban atau bunting selepas ditentukan sebagai korban atau selepas dinazarkan untuk dijadikan korban.

Ibadah korban adalah lebih afdal daripada sedekah sunat. Alasannya kerana terdapat perbezaan pendapat mengenai hukumnya, ada yang mengatakan wajib dan ada yang mengatakan sunat. Sungguhpun begitu, kebanyakan ulama bersepakat bahawa ibadah korban adalah sunat kecuali apabila seekor binatang itu ditentukan sebagai korban atau dinazarkan untuk dijadikan korban. Sedekah sunat pula kurang afdal berbanding ibadah korban kerana tiada perbezaan pendapat mengenai hukumnya.

Jika korban nazar, waktu melaksanakannya ialah tahun semasa kecuali jika nazar itu berlaku selepas hari Tasyriq terakhir tahun semasa. Contohnya, apabila seseorang itu berkata:

“Wajiblah atasku kerana Allah menyembelih lembu ini sebagai korban.”

Atau dia berkata:

“Wajiblah atasku menyembelih lembu ini sebagai korban kerana Allah.”

Jika lafaz tersebut diucapkan sebelum berakhir 13 Zulhijjah, maka wajiblah dia menyembelih lembu itu sebagai korban pada tahun itu juga. Jika dilaksanakan pada tahun berikutnya, hukumnya adalah haram. Sebaliknya jika nazar itu dilafazkan selepas 13 Zulhijjah, maka wajiblah dilaksanakan korban pada tahun berikutnya.

Penyembelihan korban sah dilakukan dalam tempoh empat hari, bermula dari 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah.

  1. 10 Zulhijjah: Hari Raya Aidiladha.
  2. 11, 12, dan 13 Zulhijjah: Hari-hari Tasyriq.

Penyembelihan bermula apabila matahari terbit pada 10 Zulhijjah setinggi segalah, dengan syarat dilakukan selepas Solat Sunat Aidiladha dan khutbahnya. Penyembelihan sebelum khutbah hari raya tidak sah sebagai korban, tetapi hanya dianggap sebagai sembelihan biasa yang halal dimakan.

Dalil Hadith:

1

“Perkara pertama yang kami lakukan pada hari ini (Aidiladha) ialah solat Aidiladha. Selepas itu kami pulang ke rumah dan melakukan penyembelihan korban. Sesiapa yang melakukan seperti yang kami lakukan, maka dia telah melakukan perkara yang betul mengikut sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih binatang sebelum solat Aidiladha, maka sembelihan itu hanyalah daging biasa yang dia berikan kepada ahli keluarganya. Sembelihan itu sedikit pun tidak menjadi korban.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)
2

“Sesiapa yang menyembelih binatang sebelum solat Aidiladha, maka sembelihan itu hanyalah untuk dirinya sendiri. Sesiapa yang menyembelihnya selepas solat dan khutbah Aidiladha, maka dia telah menyempurnakan ibadah korbannya serta berbetulan dengan sunnah umat Islam.”

(Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Nasa’i, Baihaqi dan Ahmad)

Penyembelihan sah jika dilakukan selepas solat dan khutbah Aidiladha.

Namun, orang yang melaksanakan korban tidak diwajibkan solat dan mendengar khutbah Aidiladha.

Korban tetap sah walaupun dilakukan oleh mereka yang tidak menunaikan solat Aidiladha dan tidak mendengar khutbahnya, seperti individu yang membuat korban, tukang sembelih, tukang lapah, dan sesiapa sahaja di tempat penyembelihan.

Mereka hanya perlu memastikan solat dan khutbah Aidiladha telah disempurnakan sebelum memulakan penyembelihan.

Walau bagaimanapun, lebih afdal jika mereka turut serta dalam solat dan mendengar khutbah Aidiladha.

Dengan berbuat demikian, mereka mendapat pahala tambahan kerana menunaikan solat Aidiladha dan mendengar khutbah serta melakukan ibadah korban.

Ini selari dengan firman Allah dalam surah Al-Kautsar, ayat 2:

“Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Waktu akhir untuk menyembelih korban ialah apabila matahari terbenam pada 13 Zulhijjah. Penyembelihan selepas waktu ini tidak sah sebagai korban, dan daging itu hanya boleh dimakan sebagai daging sembelihan biasa.

Menyembelih pada waktu siang disunatkan kerana banyak faedah, antaranya memudahkan kerja-kerja penyembelihan, mengumpulkan orang ramai terutama fakir miskin, dan memudahkan pengagihan daging korban.

Menyembelih pada waktu malam adalah makruh kerana banyak kesukaran, termasuk risiko kesilapan penyembelihan dalam gelap dan kelewatan pengagihan daging korban.

Ibadah korban sama ada sunat atau wajib hanya sah dilakukan oleh setiap individu yang memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Islam

Jika dilakukan oleh orang kafir, maka tidak sah korbannya sama ada dia seorang kafir asli atau murtad. Selagi seseorang itu Islam, maka sah korbannya sama ada dia bermukim atau bermusafir, sedang mengerjakan ibadah haji atau tidak mengerjakannya.

2. Baligh

Kanak-kanak yang belum baligh tidak sah korbannya kerana dia tidak ditaklifkan untuk melaksanakan segala perintah agama.

3. Berakal

Seperti kanak-kanak, orang gila juga tidak sah korbannya kerana terkecuali daripada taklif untuk melaksanakan perintah agama sama ada yang fardu atau sunat.

4. Berkemampuan

Hanya seseorang Muslim yang mampu memiliki binatang korban atau nilainya yang ditaklifkan untuk melakukan ibadah korban.

Kemampuan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

  • Mempunyai nilai tambahan daripada keperluannya dan keperluan semua tanggungannya selama empat hari. Empat hari tersebut ialah hari raya (Aidiladha) dan tiga hari Tasyriq. Keperluan yang dimaksudkan ialah perbelanjaan makan minum.
  • Sekiranya seseorang itu memiliki perbelanjaan yang tidak melebihi keperluannya dan tanggungannya selama empat hari yang dimaksudkan, maka dia sebenarnya tidak mampu. Oleh itu tidak sunat kepadanya melakukan ibadah korban.

Memandangkan korban merupakan ibadah, maka ia tertakluk kepada syarat-syarat yang wajib dipenuhi. Jika tidak dipenuhi kesemuanya atau salah satu daripadanya, maka korban yang dilakukan adalah tidak sah.

Syarat-syarat sah korban adalah seperti berikut:

1. Binatang yang Dikorbankan ialah Binatang Ternakan (الأنعام)

Binatang ternakan yang dimaksudkan ialah unta, lembu, kerbau, kambing, dan biri-biri atau kibasy. Termasuk dalam kategori ini ialah kacukan antara jenis an‘aam seperti kacukan di antara lembu dan kerbau atau kacukan di antara kambing dan biri-biri.

Penentuan binatang-binatang yang dinyatakan adalah berdasarkan firman Allah:

Dan bagi tiap-tiap satu umat, Kami syariatkan ibadah menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu …

(Al-Hajj 22:34)

2. Binatang yang Dikorbankan Cukup Umur

Disyaratkan pada binatang yang dikorbankan tidak kurang daripada umur yang ditetapkan. Penetapan umur berbeza mengikut jenis-jenis binatang iaitu:

  • Unta disyaratkan berumur lima tahun ke atas.
  • Lembu, kerbau dan kambing disyaratkan berumur dua tahun ke atas.
  • Biri-biri atau kibasy disyaratkan berumur setahun ke atas.

Walau bagaimanapun, terdapat sedikit pengecualian pada biri-biri. Adalah sah jika dikorbankan biri-biri yang belum mencapai umur setahun dengan syarat telah gugur giginya.

Ini bermakna biri-biri sah dikorbankan sekiranya gugur keseluruhan giginya atau telah cukup umur setahun sekiranya belum gugur keseluruhan giginya.

Rasulullah ﷺ bersabda:

Janganlah kamu menyembelih binatang sebagai korban kecuali yang cukup umur, melainkan jika menjadi kesukaran kepada kamu mendapatkan binatang yang cukup umur, maka bolehlah kamu menyembelih sebagai korban biri-biri yang gugur gigi-giginya.

(Riwayat Muslim)

3. Binatang Korban Tidak Mengalami Kecacatan

Hanya sah dikorbankan binatang yang sejahtera atau bebas daripada sebarang kecacatan yang boleh menyebabkan kekurangan dagingnya sama ada segera atau mengambil masa.

Ini kerana tujuan korban untuk mendapatkan dagingnya.

Jika terdapat kecacatan-kecacatan berikut, maka binatang tersebut tidak sah dijadikan korban:

  1. Buta sebelah mata.
  2. Buta kedua-dua mata.
  3. Capik atau tempang.
  4. Terlalu kurus.
  5. Gila.
  6. Tiada gigi.
  7. Terputus separuh telinga.
  8. Terputus keseluruhan telinga.
  9. Tiada telinga sejak dilahirkan.
  10. Terputus separuh lidah atau kesemuanya.
  11. Sakit yang berat.
  12. Menghidap penyakit kurap.
  13. Terputus ekor.
  14. Terputus pundi susu (tetek binatang).

Apabila seseorang bernazar mengorbankan binatang yang telah ditentukan sebagai korban, sedangkan pada binatang itu terdapat kecacatan yang menyebabkan tidak sah korban, maka dia wajib menyembelihnya dan mendapat pahala.

Pahala yang diperoleh hanyalah pahala biasa dan bukannya pahala korban. Daging binatang yang telah disembelih itu diagihkan sebagai sedekah biasa, bukannya agihan daging korban.

Jika binatang yang tidak cacat direbahkan ke tanah untuk disembelih, tiba-tiba ia menggelupur dengan kuat lalu patah kakinya atau menjadi tempang, maka binatang itu tidak sah dijadikan korban kerana terlebih dahulu mengalami kecacatan sebelum disembelih.

Binatang yang mengalami kecacatan tidak serius, sah dijadikan korban. Kecacatan tidak serius ialah kecacatan yang tidak menyebabkan berkurangnya daging. Antara kecacatan tidak serius ialah:

  • Dilahirkan tidak bertanduk.
  • Patah tanduk.
  • Telinga berlubang.
  • Telinga koyak atau carik.
  • Telinga kecil.
  • Dilahirkan tanpa pundi susu.
  • Dilahirkan tanpa ekor.
  • Kehilangan sebahagian gigi.

Binatang yang mengalami kecacatan sebegini sah dijadikan korban tetapi makruh. Oleh itu, binatang yang terbaik dijadikan korban ialah binatang yang tidak mengalami sebarang kecacatan pada tubuh badannya sama ada kecacatan serius atau tidak serius.

Menyembelih binatang yang dikasi (dimandulkan) sebagai korban adalah harus dan sah. Kebiasaannya tujuan seseekor binatang dikasi untuk menjadikannya bertambah gemuk dan membanyakkan daging.

syarat sah haiwan korban

Menyembelih binatang an‘aam sebagai korban dengan mengikut keutamaan adalah lebih afdal dan banyak pahalanya.

Susunan keutamaan serta alasannya adalah seperti berikut:

  1. Unta adalah binatang yang paling afdal dijadikan korban. Ini kerana dagingnya lebih banyak daripada binatang yang lain. Dengan itu ramailah orang fakir dan miskin dapat menerimanya.
  2. Jika tidak mampu menyembelih unta, maka afdal dikorbankan lembu atau kerbau.
  3. Selepas lembu dan kerbau, maka afdal disembelih biri-biri atau kibasy sebagai korban.
  4. Selepas biri-biri atau kibasy barulah disembelih kambing sebagai korban. Walaupun kambing lebih besar daripada biri-biri tetapi keutamaannya adalah selepas biri-biri. Alasannya kerana daging biri-biri lebih sedap berbanding daging kambing.

Keutamaan binatang-binatang yang dinyatakan adalah berdasarkan hadis berikut:

مَنْ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ غُسْلَ الْجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الأُولَى فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَدَنَةً وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الْخَامِسَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً

Sesiapa yang mandi junub pada hari Jumaat, kemudian terus ke masjid pada waktu yang pertama, dia mendapat pahala seperti memberi sedekah seekor unta. Sesiapa yang menghadapinya pada waktu kedua, dia mendapat pahala seperti memberi sedekah seekor lembu. Sesiapa yang ke masjid pada waktu ketiga dia mendapat pahala seperti memberi sedekah seekor kibasy. Sesiapa yang ke sana pada waktu keempat, dia mendapat pahala seperti memberi sedekah seekor ayam dan sesiapa yang pergi ke masjid pada waktu kelima, dia mendapat pahala seperti memberi sedekah sebiji telur.

(Riwayat Bukhari)
berkongsi haiwan korban

1. Unta, Lembu dan Kerbau

  • Boleh dikongsi oleh tujuh orang untuk dijadikan korban. Ini bermakna setiap binatang tersebut boleh dibahagikan dagingnya kepada tujuh bahagian, di mana setiap orang mendapat satu bahagian.
  • Seseorang boleh mengambil lebih daripada satu bahagian tetapi tidak melebihi enam bahagian. Jika melebihi enam bahagian, ia tidak lagi dianggap perkongsian kerana individu tersebut mengorbankan seekor binatang secara berseorangan.

2. Bahagian Korban

Tujuh orang yang berkongsi binatang tidak semestinya menjadikan bahagian masing-masing sebagai korban. Bahagian-bahagian binatang boleh dijadikan:

  • Korban
  • Akikah
  • Daging sembelihan biasa

Ini bergantung kepada niat dan kehendak individu yang memiliki bahagian tersebut.

3. Kambing dan Biri-biri:

Tidak boleh dikongsi. Seekor kambing atau biri-biri hanya sah dijadikan korban untuk seorang sahaja.

Dalil Hadith:
Daripada Jabir r.a. dia berkata:

Kami telah keluar bersama Rasulullah ﷺ selepas selesai bertahalul haji. Baginda menyuruh kami berkongsi mengorbankan unta dan lembu. Setiap seorang daripada tujuh orang mendapat satu bahagian daripada unta yang dikorbankan.

(Riwayat Muslim)

Keutamaan dalam Berkongsi

Keutamaan dalam berkongsi haiwan korban adalah seperti berikut:

  • Mengorbankan tujuh ekor kambing atau biri-biri lebih afdal daripada mengorbankan seekor unta atau lembu kerana banyak darah yang ditumpahkan dan daging kambing serta biri-biri lebih sedap daripada daging unta dan lembu.
  • Berkorban seekor kambing atau biri-biri lebih afdal daripada berkongsi seekor unta atau lembu kerana menumpahkan darah secara berseorangan adalah lebih baik.
  • Mengorbankan seekor unta atau lembu lebih afdal jika seseorang itu mengambil lebih daripada satu bahagian pada unta atau lembu yang dikorbankan.

Korban Binatang Kacukan

Binatang yang lahir melalui kacukan unta dan kambing atau kacukan lembu dan kambing hanya sah dijadikan korban untuk seorang sahaja. Jika dikongsi lebih daripada seorang, korban itu tidak sah.

Dengan memahami hukum dan keutamaan dalam berkongsi haiwan korban, umat Islam dapat melaksanakan ibadah ini dengan lebih sempurna dan memperoleh pahala yang lebih besar.

Binatang korban boleh disembelih di mana-mana tempat yang sesuai.

Walau bagaimanapun ia sunat disembelih di rumah individu yang berkorban. Tujuannya supaya penyembelihan korban itu dapat disaksikan oleh ahli keluarganya. Mereka dapat bergembira menyaksikan penyembelihan itu di samping dapat menikmati daging korban.

Tempat penyembelihan korban ialah tempat bagi individu yang berkorban berada pada ketika itu sama ada tempat itu tempat pemukiman atau pemastautinannya atau tempat persinggahannya kerana bermusafir.

Walau bagaimanapun, sah ibadah korban jika dilakukan di tempat lain di mana orang yang mengadakan korban tidak berada di situ.

Namun, lebih afdal dilakukan di tempat dia berada kerana dapat menyembelih sendiri binatang korban atau dapat menyaksikan binatang yang disembelih jika dia mewakilkan kepada orang lain untuk menyembelihnya.

Sunat korban tidak menjejaskan pahala korban jika ditinggalkan. Jika dilakukan akan menambahkan pahala ibadah korban.

Antara sunat korban ialah:

1

Disunatkan kepada individu yang ingin melakukan ibadah korban supaya tidak menggunting atau mencukur rambut dan memotong kuku apabila masuknya 1 Zulhijjah, dan berkekalan sehinggalah dia menyempurnakan penyembelihan korban.

Rasulullah ﷺ bersabda:

Sesiapa yang memiliki binatang korban yang ingin disembelihnya, kemudian dia melihat anak bulan Zulhijjah, maka janganlah dia menggunting rambut dan memotong kukunya walaupun sedikit sehinggalah dia menyembelih korban terlebih dahulu.

(Riwayat Muslim)

Larangan menggunting rambut dan memotong kuku dalam hadis tersebut bukanlah larangan haram, sebaliknya hanya larangan makruh.

Hikmah di sebalik larangan itu supaya individu yang ingin melaksanakan ibadah korban dapat menyerupai orang yang sedang berihram haji iaitu penyamaan dari segi wajah kerana tidak bercukur rambut dan memotong kuku.

2

Jika tidak mampu, harus diwakilkan kepada orang lain untuk menyembelihnya. Adalah sunat diwakilkan untuk menyembelih binatang korban kepada orang yang alim mengenai hukum-hakam korban.

3

Ia bertujuan untuk tidak menyeksa binatang yang disembelih di samping memudahkan binatang korban mati setelah disembelih.

4

Menyembelih dengan cepat dengan melalukan pisau secara pergi balik iaitu ke atas dan ke bawah kerana cara seperti ini mempercepatkan kematian binatang yang disembelih.

Jika binatang yang disembelih itu unta, maka disunatkan menyembelihnya dalam keadaan unta itu berdiri dengan tiga kaki. Kaki yang satu lagi iaitu kaki bahagian hadapan diikat lututnya.

Binatang selain unta, sunat direbahkan dalam keadaan rusuk kirinya di atas tanah atau lantai. Sunat diikat ketiga-tiga kaki binatang itu kecuali kaki kanan bahagian hadapan.

Cara seperti ini memudahkan penyembelihan.

5

Begitu juga tukang sembelih turut menghadapkan dirinya ke arah kiblat.

6

Membaca بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ semasa memulakan penyembelihan. Jika tidak membacanya kerana terlupa.

7

Berselawat ke atas Nabi ﷺ semasa menyembelih dengan berkata اللهم صل على سيدنا محمد. Selawat dilafazkan selepas membaca bismillah.

8

Bertakbir dengan berkata الله أكبر selepas membaca bismillah dan berselawat. Sebaik-baik takbir ialah sekali sebelum penyembelihan dan tiga kali selepasnya.

Berikut adalah panduan membaca bismillah, selawat dan takbir mengikut pilihan tukang sembelih:

  • Membaca ketiga-tiganya secara lengkap iaitu:
    بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ، اللهم صل على سيدنا محمد، الله أكبر. Selepas itu terus menyembelih. Selepas penyembelihan disambung dengan bertakbir sebanyak tiga kali lagi.
  • Meringkaskan bacaan bismillah dan disambung dengan selawat dan takbir iaitu,
    بِسْمِ اللَّهِ، اللهم صل على سيدنا محمد، الله أكبر.
  • Membaca bismillah dan takbir tanpa selawat atau membaca bismillah dan selawat tanpa takbir.
9

Lafaz doa selepas sembelihan ialah:

اللَّهُمَّ هَذَا مِنْكَ وَلَكَ فَتَقَبَّلْ مِنِي

Ya Allah, binatang korban ini adalah anugerah-Mu dan dipersembahkan kepada-Mu, maka terimalah ibadah korbanku.

Maksud doa ini ialah, binatang korban yang disembelih adalah pemberian dan anugerah Allah. Orang yang menyembelihnya bertujuan mendekatkan diri kepada Allah lalu dia berdoa sambil berharap Allah menerima ibadah korbannya.

Sekiranya binatang korban tidak disembelih sendiri oleh individu yang berkorban, maka wakil yang menyembelihnya hendaklah membaca doa seperti berikut:

اللَّهُمَّ هَذَا مِنْكَ وَلَكَ فَتَقَبَّلْ مِنْ فُلَانٍ

Ya Allah, binatang korban ini adalah anugerah-Mu dan dipersembahkan kepada-Mu, maka terimalah korban si polan (niatlah nama individu yang berkorban).

10

Hal ini berdasarkan hadis berikut:

رَوَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ الله عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَحَّى عَنْ نِسَائِهِ بَدَنَةً فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ

Sayidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi ﷺ telah melaksanakan ibadah korban untuk isteri-isterinya di Mina pada tahun haji Wada’.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)
11

Menyembelih binatang korban yang gemuk kerana banyak dagingnya.

12

Menyembelih binatang korban yang tidak patah tanduk.

13

Menyembelih pada waktu siang.

14

Merebahkan binatang yang disembelih di tempat yang lembut seperti di atas tanah. Cara demikian memudahkan penyembelihan di samping tidak menyakitkan binatang.

15

Memotong dua urat darah binatang yang disembelih selain halkum dan mari’.

Perkara-perkara makruh tidak menjejaskan sahnya ibadah korban, tetapi mengelaknya adalah terlebih baik dan mendapat pahala.

Perkara-perkara makruh berkaitan korban ialah:

  • Menyembelih binatang cacat yang tidak serius. Maksudnya, walaupun binatang itu cacat, tetapi sah jika dikorbankan. Binatang yang dimaksudkan ialah binatang tidak bertanduk semenjak asal, patah tanduk, carik telinga, telinga berlubang dan telinga kecil. Cacat seperti ini tidak mengurangkan daging dan sah jika dikorbankan tetapi makruh.
  • Menyembelih binatang korban pada waktu malam kecuali jika tidak dapat dielakkan.
  • Tidak membaca bismillah semasa menyembelih.
  • Menajamkan pisau di hadapan binatang yang akan disembelih.
  • Menyembelih binatang korban di hadapan binatang lain yang akan disembelih kemudian.
  • Menggunting rambut dan memotong kuku apabila masuknya 1 Zulhijjah dan sebelum disembelih binatang korban.

Pembahagian daging korban terbahagi kepada dua jenis, iaitu sembelihan korban wajib (nazar) dan sembelihan sunat seperti yang berikut:

Jika korban wajib iaitu korban yang dilakukan kerana nazar atau korban kerana binatang yang disembelih telah ditentukan sebagai korban, maka keseluruhan dagingnya wajib disedekahkan.

Individu yang membuat korban itu serta semua tanggungannya, haram memakan daging korban tersebut. Jika binatang korban itu betina, anak yang dilahirkannya wajib disembelih, tetapi dagingnya boleh dimakan oleh individu yang berkorban dan semua tanggungannya, sama ada dimakan sebahagiannya atau kesemuanya.

Hukum ini diqiyaskan kepada hukum meminum susu binatang yang ditentukan sebagai korban. Adalah boleh meminum susu binatang yang ditentukan sebagai korban dengan syarat susu binatang itu diminum terlebih dahulu oleh anaknya. Lebihannya boleh diminum oleh orang yang berkorban. Sungguhpun begitu, hukumnya makruh.

Alasan yang membenarkan memakan daging anak binatang yang dikorbankan sebagai korban wajib ialah kerana hukum wajib sedekah daging korban hanya tertakluk kepada binatang yang dikorbankan.

Adapun anaknya tidak termasuk dalam senarai binatang korban kerana tidak cukup umur. Tetapi ia wajib disembelih kerana mengikut hukum ibunya (disembelih).

Daging korban yang telah dimakan kerana tidak tahu hukumnya, tersilap ambil, terlupa dan sebagainya wajib diganti mengikut kadar yang telah dimakan. Daging yang diganti itu wajib disedekahkan kesemuanya. Boleh juga dinilai daging yang telah dimakan itu dengan mata wang. Kadar nilainya wajib disedekahkan.

Selain daging, kulit binatang korban wajib adalah haram diambil manfaat oleh individu yang membuat korban itu. Kesemuanya wajib disedekahkan.

Jika korban sunat, individu yang berkorban mempunyai beberapa pilihan berikut:

  1. Mengambil sepertiga daripada daging korban untuk dimakan sendiri bersama ahli keluarga yang menjadi tanggungan. Sepertiga lagi disedekahkan kepada fakir dan miskin dan sepertiga berikutnya diberikan kepada orang-orang kaya sebagai hadiah.
  2. Mengambil sepertiga daripadanya untuk dimakan bersama ahli keluarga dan selebihnya disedekahkan kepada fakir dan miskin.
  3. Mengambil sedikit sahaja untuk dimakan bersama ahli keluarga dan selebihnya disedekahkan kepada fakir dan miskin. Tujuan mengambil sedikit sahaja untuk dimakan adalah untuk mendapatkan keberkatan.

Pilihan ketiga adalah paling afdal kerana bersedekah adalah perbuatan yang paling dekat kepada takwa dan paling jauh daripada mengutamakan diri sendiri. Manakala memakan sedikit sahaja daripada daging korban adalah kerana mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

Sebenarnya hukum memakan sedikit daripada daging korban adalah sunat di samping mengambil keberkatan daripadanya.

Firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

…dengan yang demikian, makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir miskin.

(Al-Hajj 22: 28)

Daging korban yang disedekahkan kepada fakir miskin disyaratkan sebahagiannya atau keseluruhannya daging mentah yang belum dimasak.

Ini kerana daging mentah yang diterima oleh fakir miskin boleh dilakukan apa sahaja mengikut kemahuannya. Dia boleh menjualnya, memberi kepada orang lain dan memakannya.

Adalah tidak sah memberi sedekah kepada fakir miskin daging korban yang telah dimasak kerana hak mereka yang sebenarnya mendapatkan daging, bukannya memakan atau menerima lauk yang telah dimasak.

Jika sebahagian daging mentah disedekahkan kepada mereka dan sebahagian lagi dijadikan lauk dan dijamu mereka makan, maka perbuatan yang demikian adalah sah dan mendapat pahala.

Sungguhpun begitu, menyedekahkan keseluruhan daging korban secara mentah adalah lebih afdhal kerana itulah sebenarnya kemahuan orang fakir dan miskin.

Juga tidak sah korban jika yang disedekahkan kepada fakir dan miskin hanyalah bahagian-bahagian binatang korban selain daging iaitu kulit, tulang, perut dalam, usus, hati, limpa, tanduk, ekor dan sebagainya.

Juga tidak sah korban sekiranya sedikit sahaja dagingnya yang disedekahkan sedangkan selebihnya dimakan sendiri. Sebanyak-banyak daging korban yang boleh dimakan oleh individu yang berkorban ialah separuh. Separuh lagi wajib disedekahkan.

Kulit binatang korban boleh diambil manfaat oleh individu yang berkorban dengan syarat korban itu korban sunat.

Jika korban wajib, haram diambil manfaat daripada kulit binatang korban itu. Ia wajib disedekahkan.

Kulit itu boleh dibuat kasut, bekas air, hamparan, gendang, dompet, baju kulit dan sebagainya. Jika disedekah adalah lebih afdhal.

Tukang sembelih mempunyai pilihan sama ada menyembelih binatang korban secara suka rela atau mengenakan upah.

Jika orang yang berkorban hendak mengupah seseorang, maka haram baginya memberikan daging korban atau organ-organ yang lain kepada tukang sembelih sebagai upah.

Sebagai membalas jasa tukang sembelih, sunat disedekahkan kepadanya daging korban dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan binatang korban sekiranya dia seorang miskin dan dihadiahkan kepadanya daging korban dan apa-apa yang berkaitan dengan binatang korban sekiranya dia seorang kaya.

Jika ada kemampuan di pihak orang yang berkorban, boleh baginya memberi wang atau apa-apa yang bernilai kepada tukang sembelih sebagai upah.

Mengadakan kenduri sempena ibadah korban sudah menjadi kelaziman di negara kita. Daging korban dimasak, dan tetamu dijemput untuk menjamu selera. Tetamu yang diundang termasuk orang miskin dan juga yang kaya.

Kebolehan Mengadakan Kenduri Korban

  • Adat mengadakan kenduri korban tidak salah kerana ia masih dalam lingkungan yang dibenarkan syariat, iaitu menjamu makan kepada tetamu, terutamanya orang miskin selain orang kaya.
  • Selain menjamu tetamu, faedah lain yang diperoleh ialah mengukuh silaturrahim antara tuan rumah dan tetamu.

Matlamat Korban

  • Walau bagaimanapun, matlamat sebenar korban tidak akan tercapai jika semua daging korban dimasak untuk dijadikan jamuan tetamu. Jika ini berlaku, sembelihan korban itu tidak sah dan hanya menjadi sembelihan biasa yang halal dimakan.
  • Oleh itu, hanya sebahagian daging korban yang dimasak sebagai jamuan kenduri. Sebahagian lagi wajib dikekalkan mentah dan disedekahkan kepada penerima yang layak, terutama fakir dan miskin.

Keutamaan Sedekah Daging Mentah

  • Terlebih baik dan afdhal adalah tidak mengadakan kenduri korban kerana daging korban afdhal disedekahkan kesemuanya kepada fakir dan miskin. Orang miskin lebih berhajat kepada daging mentah kerana mereka bebas menjadikannya sebagai lauk, memberi kepada orang lain, atau menjualnya.

Cadangan Mengadakan Kenduri

  • Jika ingin memasak daging korban, sebaiknya hanya ambil sebahagian untuk dimasak dan dimakan bersama ahli keluarga untuk mengambil keberkatan dan mengikut sunnah Rasulullah ﷺ.
  • Jika ingin mengadakan kenduri, eloklah dilaksanakan pada masa lain selain Hari Raya Korban (Aidiladha) dan hari-hari Tasyriq.

Dengan memahami dan mematuhi panduan ini, ibadah korban dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna, memastikan matlamat sebenar korban tercapai dan mendatangkan manfaat yang lebih besar kepada mereka yang memerlukan.

Berikut adalah beberapa soalan lazim berkaitan ibadah korban

Apakah bacaan niat korban?

Tiada lafaz khusus. Namun untuk memudahkan, secara ringkasnya lafaz niat korban adalah, “Sahaja aku melakukan korban sunat / wajib / nazar aku”

Apakah daging korban sunat wajib diberikan kepada fakir miskin?

Ya, wajib disedekahkan sebahagian daripadanya.

Apakah hukum melaksanakan korban bagi pihak lain?

Wali seperti bapa atau datuk boleh melakukan korban daripada hartanya untuk orang di bawah tanggungannya seperti anak dan isteri mereka walaupun tanpa izin mereka. Tidak boleh bagi orang yang masih hidup kecuali dengan izin mereka. 
Tidak boleh bagi orang yang sudah meninggal melainkan terdapat wasiat untuk berkorban.

Bilakah waktu berniat korban?

Sewaktu penyembelihan dan harus juga sebelum penyembelihan sekiranya sudah ditentukan binatang korbannya dan sudah masuk waktu untuk berkorban

Jika bernazar untuk korban, adakah ia wajib dilaksanakan?

Ya, wajib dilaksanakan sekiranya sudah berniat nazar korban. Malah digalakkan untuk berkorban dalam masa terdekat setelah dia bernazar. Jika terluput masa tanpa sembelih korban nazar, maka wajib atasnya untuk menyembelih pada tahun hadapan sebagai qadha yang luput tersebut.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments