NIAT & CARA SOLAT JAMAK QASAR (Panduan Lengkap)

Panduan niat Solat Jamak & cara Solat Jamak Qasar (Takdim & Takhir) secara lengkap untuk solat Zohor Asar dan Maghrib Isyak.

Muhamad Naim Abd ManafDikemas kini 7 November 2026
solat jamak

Solat jamak qasar adalah suatu kemudahan dalam Islam yang membolehkan orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) menghimpunkan dua waktu solat fardu ke dalam satu waktu (jamak) serta memendekkan solat empat rakaat menjadi dua rakaat (qasar).1

Jika anda sedang merancang perjalanan jauh, mungkin anda tertanya-tanya: bagaimana lafaz niatnya, solat mana yang boleh dipendekkan, dan berapa hari kemudahan ini boleh digunakan?

Jangan risau, kerana caranya sebenarnya mudah. Panduan ini memberikan niat solat jamak qasar bagi setiap pasangan waktu, lengkap dengan tulisan Arab, rumi, audio dan maksud, berserta cara mengerjakannya langkah demi langkah. Syarat dan hukumnya pula diterangkan menurut Mazhab Syafi’e.

Semoga panduan ini membantu anda, InsyaAllah.

Jawapan Ringkas

Musafir yang perjalanannya mencapai dua marhalah, iaitu kira-kira 81 km sehala, untuk tujuan yang harus, boleh menjamak dan mengqasar solat selepas keluar dari sempadan kawasan tempat tinggalnya.

  1. Solat yang boleh diqasar: Zohor, Asar dan Isyak dipendekkan daripada empat rakaat kepada dua rakaat. Maghrib kekal tiga rakaat dan Subuh kekal dua rakaat.
  2. Pasangan jamak: Zohor dihimpunkan dengan Asar, dan Maghrib dihimpunkan dengan Isyak.
  3. Jamak taqdim: Kedua-dua solat dikerjakan dalam waktu pertama. Solat waktu pertama didahulukan, dan solat kedua dikerjakan sejurus selepasnya. Ia juga disebut jamak Asar ke Zohor atau jamak Isyak ke Maghrib.
  4. Jamak takhir: Kedua-dua solat dikerjakan dalam waktu kedua, dan ia juga disebut jamak Zohor ke Asar atau jamak Maghrib ke Isyak. Anda wajib berniat untuk melewatkan solat pertama ketika waktunya masih berbaki.
  5. Niat qasar: Niat memendekkan solat mesti hadir dalam hati ketika takbiratul ihram bagi setiap solat yang diqasarkan.
  6. Tempoh: Kemudahan ini kekal selagi anda tidak berniat menetap di destinasi lebih daripada tiga hari penuh, tidak termasuk hari tiba dan hari keluar.

Pilih pasangan solat anda di bawah untuk terus ke niat dan langkahnya.

Surau di KLIA, tempat musafir menunaikan solat sebelum berlepas

Jamak ialah menghimpunkan dua solat dalam satu waktu. Qasar pula memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat. Setiap solat tetap mempunyai niat dan salamnya sendiri.

Pada setiap rakaat, baca al-Fatihah dan sempurnakan rukun solat dengan tertib serta tumakninah. Bacaan surah tambahan adalah sunat. Bagi Maghrib, bacaan surah tambahan lazimnya pada dua rakaat awal. Ikuti panduan khusus di bawah mengikut pasangan solat yang anda perlukan.2

Niat Solat Jamak

Bezakan niat solat dan qasar daripada niat menghimpunkan waktu:

  • Qasar: hadirkan niat memendekkan solat ketika takbiratul ihram bagi solat yang hendak diqasarkan.3
  • Jamak taqdim: niat menjamakkan solat dilakukan dalam solat pertama. Jika belum berniat pada awalnya, niat masih boleh dihadirkan ketika solat pertama sebelum selesai salam.4
  • Jamak takhir: niat menangguhkan solat pertama mesti dibuat dalam waktu pertama, sebelum baki waktunya kurang daripada kadar satu rakaat. Sebaiknya berniat seawal mungkin. Jangan tunggu sehingga waktunya hampir habis.5

Lafaz Arab dan Rumi di bawah membantu anda memahami niat, tetapi niat yang diambil kira ialah niat di dalam hati.

Di bawah ini disediakan panduan niat solat Jamak & Qasar berserta cara langkah demi langkah untuk mengerjakan solat jamak & qasar (taqdim dan takhir) untuk setiap jenis solat fardu:

Jamak taqdim Zohor dan Asar juga dikenali sebagai jamak Asar ke Zohor, kerana solat Asar dibawa ke dalam waktu Zohor.

Cara solat Jamak Taqdim Zohor dan Asar adalah seperti berikut:

1

Setelah masuk waktu zohor dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berwuduk dan bersedialah untuk solat.

2

Lafaz niat solat jamak taqdim bagi Solat Zohor adalah seperti berikut:

Niat Solat Jamak Taqdim Zohor

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardoz Zuhri Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Zohor, qasar dua rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

3

Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

4

Kerjakanlah solat fardu zohor tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

5

Selesai sahaja salam, segera bangun berdiri untuk Solat Fardu Asar tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat. Jangan pisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut (muwalat).

Terus bangun selepas memberi salam
6

Lafaz niat untuk solat jamak fardu Asar:

Niat Solat Jamak Taqdim Asar

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol ‘Asri Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

7

Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

8

Kerjakan solat fardu Asar tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

9

Dengan demikian, kita tidak perlu lagi mengerjakan Solat Fardu Asar di waktu Asar nanti.

Mahu senarai semak untuk dibawa semasa perjalanan? Lihat cara solat jamak qasar Zohor dan Asar langkah demi langkah, lengkap dengan bacaan dan audio.

Jamak takhir Zohor dan Asar juga dikenali sebagai jamak Zohor ke Asar, kerana solat Zohor dilewatkan ke dalam waktu Asar.

Solat mana dahulu? Kedua-dua susunan sah, sama ada Zohor atau Asar dahulu. Yang sunat ialah mendahulukan Zohor.6 Contoh langkah di bawah mengikut susunan sunat ini, iaitu Zohor dahulu kemudian Asar.

Cara solat Jamak Takhir Zohor dan Asar adalah seperti berikut:

1

Setelah masuk waktu zohor dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berniatlah kita untuk mengerjakan solat fardu Zohor di waktu Asar nanti.

2

Niatnya lebih kurang begini, “Sahaja aku akan mengerjakan solat fardu Zohor jamak takhir di waktu Asar nanti”. 

Niat ini adalah syarat untuk jamak takhir. Jika tidak diniatkan dalam waktu Zohor, jamak tersebut tidak sah.

Jika waktu Zohor telah tamat tanpa niat jamak takhir, solat Zohor perlu ditunaikan sebagai qada apabila teringat. Kelupaan tidak menjadikan niat takhir berlaku secara automatik. Jika solat itu tertinggal ketika musafir dan diqada ketika masih memenuhi syarat musafir, qada secara qasar dibenarkan. Jika sudah bermukim, tunaikan empat rakaat. Rujuk penjelasan terlupa niat takhir di bahagian FAQ.

3

Apabila masuk waktu Asar, bersedialah untuk solat. Mulakan dengan solat fardu Zohor dahulu. Dalam keadaan berdiri dan mengadap kiblat, ucapkanlah lafaz niatnya:

Niat Solat Jamak Takhir Zohor

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardoz Zuhri Qosron Rak’ataini Jam’a Takhirin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Zohor, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.

4

Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

5

Kerjakanlah solat fardu Zohor tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

6

Selepas salam, tunaikan solat yang satu lagi dalam waktu yang sama. Disunatkan melakukannya secara berturut-turut, tetapi muwalat bukan syarat sah jamak takhir. Pastikan syarat jamak takhir, termasuk kekal berstatus musafir hingga selesai kedua-dua solat, dipenuhi.7

Tunaikan solat yang satu lagi dalam waktu yang sama
7

Lafaz niat untuk solat jamak fardu Asar:

Niat Solat Jamak Takhir Asar

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.

8

Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

9

Kerjakanlah solat fardu Asar tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

Mahu senarai semak untuk dibawa semasa perjalanan? Lihat cara jamak takhir Zohor dan Asar langkah demi langkah, lengkap dengan bacaan dan audio.

Jamak taqdim Maghrib dan Isyak juga dikenali sebagai jamak Isyak ke Maghrib, kerana solat Isyak dibawa ke dalam waktu Maghrib.

Cara solat Jamak Taqdim Maghrib dan Isyak adalah seperti berikut:

1

Setelah masuk waktu maghrib dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berwuduk dan bersedialah untuk solat.

2

Berdiri lurus dan mengadap kiblat. Lafaz niat solat jamak taqdim bagi Solat Maghrib adalah seperti berikut:

Niat Solat Jamak Taqdim Maghrib

أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Maghribi TsaLaTsa Raka’atin Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Maghrib, tiga rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

Nota

Tiada Qasar (memendekkan) untuk Solat Fardu Maghrib. Hanya Jamak sahaja.

3

Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

4

Kerjakanlah solat fardu Maghrib tersebut sebanyak tiga rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

5

Selesai sahaja salam, segera bangun berdiri untuk Solat Fardu Isyak tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat. Jangan pisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut (muwalat).

Terus bangun selepas memberi salam
6

Lafaz niat untuk solat jamak Fardu Isyak:

Niat Solat Jamak Taqdim Isyak

أُصَلِّي فَرْضَ العِشَاءِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Isya’i Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

7

Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

8

Kerjakanlah solat fardu Isyak tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

9

Dengan demikian, kita tidak perlu mengerjakan solat fardu Isyak di waktu Isyak nanti.

Mahu senarai semak untuk dibawa semasa perjalanan? Lihat cara solat jamak qasar Maghrib dan Isyak langkah demi langkah, lengkap dengan bacaan dan audio.

Jamak takhir Maghrib dan Isyak juga dikenali sebagai jamak Maghrib ke Isyak, kerana solat Maghrib dilewatkan ke dalam waktu Isyak.

Solat mana dahulu? Kedua-dua susunan sah, sama ada Maghrib atau Isyak dahulu. Yang sunat ialah mendahulukan Maghrib. Contoh langkah di bawah mengikut susunan sunat ini, iaitu Maghrib dahulu kemudian Isyak.

Cara solat Jamak Takhir Maghrib dan Isyak adalah seperti berikut:

1

Setelah masuk waktu Maghrib dan ketika itu kita sudah berada dalam perjalanan bermusafir, maka berniatlah kita untuk mengerjakan solat fardu Maghrib di waktu Isyak nanti.

2

Niatnya lebih kurang begini, “Sahaja aku akan mengerjakan solat fardu Maghrib jamak takhir di waktu Isyak nanti”.

Niat ini adalah syarat untuk jamak takhir. Jika tidak diniatkan dalam waktu Maghrib, jamak tersebut tidak sah.

Jika waktu Maghrib telah tamat tanpa niat jamak takhir, solat Maghrib perlu ditunaikan sebagai qada apabila teringat. Kelupaan tidak menjadikan niat takhir berlaku secara automatik. Maghrib tetap ditunaikan tiga rakaat. Rujuk penjelasan terlupa niat takhir di bahagian FAQ.

3

Apabila masuk waktu Isyak, bersedialah untuk solat. Mulakan dengan solat fardu Maghrib dahulu. Dalam keadaan berdiri dan mengadap kiblat, ucapkanlah lafaz niatnya:

Niat Solat Jamak Takhir Maghrib

أُصَلِّي فَرْضَ المغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Maghribi Salasa Raka’atin Jam’a Takhirin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Maghrib tiga rakaat jamak takhir kerana Allah Taala

4

Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

5

Kerjakanlah solat fardu Maghrib tersebut sebanyak tiga rakaat (tiada qasar untuk Maghrib) dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

6

Selepas salam, tunaikan solat yang satu lagi dalam waktu yang sama. Disunatkan melakukannya secara berturut-turut, tetapi muwalat bukan syarat sah jamak takhir. Pastikan syarat jamak takhir, termasuk kekal berstatus musafir hingga selesai kedua-dua solat, dipenuhi.8

Tunaikan solat yang satu lagi dalam waktu yang sama
7

Lafaz niat untuk solat fardu Isyak:

Niat Solat Jamak Takhir Isyak

أُصَلِّي فَرْضَ العِشَاءِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Isya’i Qosron Rak’ataini Jama’a Takhirin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.

8

Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

9

Kerjakanlah solat fardu Isyak tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan surah al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

Mahu senarai semak untuk dibawa semasa perjalanan? Lihat cara jamak takhir Maghrib dan Isyak langkah demi langkah, lengkap dengan bacaan dan audio.

Cara solat jamak taqdim Jumaat dan Asar adalah seperti berikut:

1

Orang bermusafir yang memulakan perjalanan sebelum terbit fajar subuh pada hari jumaat tidak diwajibkan Solat Jumaat. Walaupun begitu, jika kita hendak melakukan Solat Jumaat dan Solat Fardu Asar secara jamak, ianya dibolehkan dan sah.

2

Menurut mazhab Syafi’e, harus dijamakkan dengan jamak taqdim sahaja dan tidak harus dengan  jamak takhir kerana Solat Jumaat tidak harus dilewatkan dari waktunya.9

Imam al-Khatib asy-Syarbini di dalam al-Iqna’ berkata: “Jumaat adalah seumpama Zohor dalam jamak taqdim. Ditegah jamak takhir kerana solat Jumaat tidak mungkin dilewatkan dari waktunya.

3

Untuk menjamakkan Solat Jumaat dengan Asar, pertama sekali lakukan Solat Jumaat seperti biasa. Niatnya adalah:

Niat Solat Fardu Jumaat

أُصَلِّي فَرْضَ الْجُمُعَةِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Jum’ati Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala

Sewaktu takbiratul ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas.

Niat jamak: Ketika solat Jumaat, hadirkan juga niat dalam hati untuk menjamakkan Asar dengannya secara taqdim. Niat ini boleh dihadirkan ketika takbiratul ihram atau dalam solat Jumaat sebelum salam.

4

Selesai sahaja salam, segera bangun berdiri untuk Solat Fardu Asar tanpa membaca wirid, doa atau solat sunat. Jangan pisahkan terlalu lama antara kedua solat fardu tersebut (muwalat).

Terus bangun selepas memberi salam
5

Lafaz niat untuk solat jamak fardu Asar:

Niat Solat Jamak Taqdim Asar

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol ‘Asri Qosron Rak’ataini Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

6

Sewaktu Takbiratul Ihram, niatkanlah di dalam hati sebagaimana maksud lafaz niat di atas. Kerjakan solat fardu Asar tersebut sebanyak dua rakaat dengan pembacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti surah-surah lain.

7

Dengan demikian, kita tidak perlu lagi mengerjakan Solat Fardu Asar di waktu Asar nanti.

Niat Solat Qasar Sahaja (Tanpa Jamak)

Gunakan niat ini jika anda bermusafir tetapi menunaikan solat dalam waktunya sendiri tanpa menghimpunkannya. Contohnya, anda singgah di hentian rehat ketika waktu Asar dan solat Asar sahaja. Qasar tanpa jamak adalah harus.10

Niat Solat Qasar Zohor

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardoz Zuhri Qosron Rak’ataini Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Zohor, qasar dua rakaat kerana Allah Taala.

Niat Solat Qasar Asar

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol ‘Asri Qosron Rak’ataini Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Asar, qasar dua rakaat kerana Allah Taala.

Niat Solat Qasar Isyak

أُصَلِّي فَرْضَ العِشَاءِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Isya’i Qosron Rak’ataini Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Isyak, qasar dua rakaat kerana Allah Taala.

Niat Solat Jamak Tanpa Qasar (Jamak Tamam)

Musafir boleh memilih untuk tidak mengqasar dan menunaikan solat dengan bilangan rakaat penuh (tamam), walaupun mengqasarkannya lebih elok.11 Jika anda menjamak tanpa qasar, gunakan niat di bawah. Bagi Maghrib, gunakan niat jamak Maghrib di atas kerana Maghrib tetap tiga rakaat.

Langkahnya sama seperti cara jamak taqdim dan cara jamak takhir di atas. Bezanya hanya pada niat dan bilangan rakaat: Zohor, Asar dan Isyak dikerjakan empat rakaat.

Jamak taqdim tanpa qasar (dalam waktu Zohor atau Maghrib):

Niat Jamak Taqdim Zohor (4 Rakaat)

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardoz Zuhri Arba’a Raka’atin Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

Niat Jamak Taqdim Asar (4 Rakaat)

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol ‘Asri Arba’a Raka’atin Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

Niat Jamak Taqdim Isyak (4 Rakaat)

أُصَلِّي فَرْضَ العِشَاءِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Isya’i Arba’a Raka’atin Jam’a Takdiimin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat jamak taqdim kerana Allah Taala.

Jamak takhir tanpa qasar (dalam waktu Asar atau Isyak):

Ingat, niat untuk melewatkan solat pertama mesti dibuat semasa waktunya masih berbaki.

Niat Jamak Takhir Zohor (4 Rakaat)

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardoz Zuhri Arba’a Raka’atin Jam’a Takhirin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.

Niat Jamak Takhir Asar (4 Rakaat)

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol ‘Asri Arba’a Raka’atin Jam’a Takhirin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.

Niat Jamak Takhir Isyak (4 Rakaat)

أُصَلِّي فَرْضَ العِشَاءِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Usolli Fardol Isya’i Arba’a Raka’atin Jam’a Takhirin Lillahi Taala

Maksudnya:

Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.

Rujukan Pantas: Jamak dan Qasar Mengikut Pasangan

PasanganWaktu dan bilangan rakaat
Zohor & AsarTaqdim: kedua-duanya dalam waktu Zohor (Asar ke Zohor)
Takhir: kedua-duanya dalam waktu Asar (Zohor ke Asar)
Rakaat: 2 + 2 jika qasar, 4 + 4 jika tamam
Maghrib & IsyakTaqdim: kedua-duanya dalam waktu Maghrib (Isyak ke Maghrib)
Takhir: kedua-duanya dalam waktu Isyak (Maghrib ke Isyak)
Rakaat: Maghrib 3 + Isyak 2 jika qasar, 3 + 4 jika tamam
Jumaat & AsarTaqdim sahaja: Asar dikerjakan sejurus selepas solat Jumaat
Takhir: tidak boleh
Rakaat: Jumaat 2 + Asar 2 jika qasar, Asar 4 jika tamam
SubuhTidak boleh dijamak dan tidak boleh diqasar. Kekal 2 rakaat pada waktunya.

Niat qasar dihadirkan dalam hati ketika takbiratul ihram bagi setiap solat yang diqasarkan. Bagi jamak takhir, niat melewatkan solat pertama mesti dibuat semasa waktunya masih berbaki.

Sebelum Bertolak

  1. Rancang waktu solat sepanjang perjalanan. Jika anda akan berada di jalan ketika waktu Zohor, pilih sama ada jamak taqdim di hentian rehat atau jamak takhir di destinasi, selagi anda masih berstatus musafir sehingga selesai kedua-dua solat.
  2. Jika memilih jamak takhir, berniat untuk melewatkan solat pertama sebelum waktunya tamat.
  3. Jika mahu, kerjakan solat sunat musafir dua rakaat sebelum keluar rumah.
  4. Baca doa naik kenderaan apabila memulakan perjalanan.
  5. Ingat bahawa kemudahan jamak dan qasar hanya bermula selepas anda keluar dari sempadan kawasan tempat tinggal.

Jika terpaksa solat di dalam bas atau kereta api, rujuk panduan solat dalam kenderaan darat.

Pengenalan Rukhsah Solat

Allah Yang Maha Pemurah tidak membebankan hamba-hambaNya dengan kewajipan yang tidak dapat dipikul.

Apabila perjalanan kita mencapai dua marhalah serta memenuhi syarat musafir yang lain, kita diberi kelonggaran untuk menjamak (menghimpun) dan mengqasar (memendekkan) solat. Perkara ini dipanggil rukhsah (kemudahan).

Kemudahan ini tertakluk kepada syarat musafir. Dua marhalah diselaraskan oleh Muzakarah MKI kepada 81 km secara anggaran. Rujuk penerangan jarak dan ketetapan autoriti negeri di bawah.

Ertinya, kita boleh menjamakkan dua solat serta mengqasarkannya sekali gus.

Musafir di balai berlepas KLIA sebelum memulakan perjalanan jauh

Ringkasnya: jamak ialah menghimpunkan dua solat fardu dalam satu waktu, manakala qasar ialah memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat. Jamak terbahagi kepada dua jenis, iaitu jamak taqdim (dikerjakan dalam waktu solat pertama) dan jamak takhir (dikerjakan dalam waktu solat kedua).

Solat jamak qasar adalah gabungan dua rukhsah (kemudahan) yang diberikan kepada umat Islam ketika bermusafir.

  • ‘Jamak’ membolehkan penghimpunan dua waktu solat fardu (contohnya, Zohor dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak) dan dilaksanakan dalam satu waktu solat.
  • ‘Qasar’ pula adalah pengurangan bilangan rakaat dalam solat fardu dari empat rakaat kepada dua rakaat, khusus untuk solat Zohor, Asar, dan Isyak.

Apabila digabungkan, seorang musafir boleh menghimpunkan dua waktu solat dan pada masa yang sama memendekkan bilangan rakaatnya.

Maksud Jamak

Jamak bermaksud menghimpunkan. Dari segi bahasa, jamak adalah perkataan Arab yang bermaksud menghimpunkan atau mengumpulkan sesuatu yang berselerak. Dalam hal solat, ia bermaksud menghimpunkan dua waktu solat fardu dengan melakukannya dalam satu waktu.

Infografik beza jamak taqdim dan jamak takhir bagi Zohor dan Asar: taqdim kedua-dua solat dalam waktu Zohor dengan Zohor wajib dahulu, takhir niat lewatkan Zohor dalam waktunya dan kedua-dua solat dalam waktu Asar
Tekan imej untuk besarkan.

Maksud Qasar

Qasar bermaksud memendekkan solat. Contohnya daripada empat rakaat dipendekkan menjadi dua rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi dua rakaat ialah Solat Isyak, Zohor dan Asar. Solat Qasar juga boleh digabungkan dengan Jamak, iaitu dengan memendekkan jumlah rakaat serta menghimpun solat-solat tersebut.

Maksud Solat Tamam

Solat tamam merujuk kepada melaksanakan solat dengan lengkap tanpa mengambil rukhsah (kemudahan) qasar. Ini bermakna melaksanakan solat dengan bilangan rakaat yang penuh seperti yang telah ditetapkan, contohnya empat rakaat untuk solat Zohor, Asar, dan Isyak apabila seseorang itu tidak dalam keadaan musafir.

Solat tamam adalah bertentangan dengan solat qasar, di mana dalam solat qasar, bilangan rakaat akan dipendekkan menjadi dua rakaat bagi solat-solat tertentu ketika bermusafir.

Infografik semakan 5 syarat kelayakan jamak dan qasar: jarak sehala sekurang-kurangnya 81 km, tujuan harus, destinasi jelas, sudah keluar sempadan kawasan, tidak berniat menetap 4 hari penuh
Rancang tinggal 4 hari penuh atau lebih? Anda masih boleh jamak dan qasar sepanjang perjalanan. Rukhsah hanya terhenti sebaik tiba di destinasi. Jika destinasi ialah tempat tinggal sendiri, jamak dan qasar tidak dibenarkan di situ. Tekan imej untuk besarkan.

Permulaan musafir bermula apabila seseorang melepasi batas kawasan tempat tinggalnya, seperti sungai, parit, kawasan perumahan, atau kawasan tanpa bangunan dan tanda penduduk. Sebaik sahaja seseorang meninggalkan kawasan ini, dia dianggap sebagai musafir dan layak mendapat keringanan (rukhsah) dalam ibadah, seperti solat jamak dan qasar.12

Perjalanan musafir pula dianggap tamat apabila seseorang kembali ke kawasan asal tempat dia memulakan perjalanan. Pada waktu itu, segala keringanan yang dibenarkan semasa musafir, seperti solat jamak dan qasar, tidak lagi sah. Seseorang perlu kembali menunaikan solat secara sempurna (tamam) seperti biasa.

Perjalanan yang membolehkan qasar hendaklah mencapai jarak dua marhalah serta memenuhi syarat musafir yang lain. Muzakarah MKI Kali Ke-118 menyelaraskan kadar dua marhalah kepada 81 km secara anggaran (taqribi). Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor turut menetapkan kadar tidak kurang daripada 81 km.13

Perjalanan tersebut mesti dilakukan dengan niat yang jelas sejak awal, tidak bertujuan maksiat, dan memenuhi syarat-syarat lain seperti tidak berniat menetap lebih daripada tiga hari penuh di lokasi.

Pensyariatan qasar disokong oleh dalil al-Quran dan hadis. Ayat berikut menerangkan keringanan qasar, bukan bilangan kilometer tertentu. Antaranya firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 101 yang menyebut, “Dan apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu menqasarkan solat.”14

Seterusnya, Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ solat Zohor empat rakaat di Madinah, kemudian solat Asar dua rakaat di Zul Hulaifah setelah memulakan perjalanan.15

Jarak perjalanan dikira sehala, bukan dengan mencampurkan perjalanan pergi dan balik.16 Rukhsah juga bermula selepas keluar dari sempadan kawasan tempat tinggal, bukan semata-mata kerana berniat hendak berjalan jauh. Rujuk ketetapan pihak berkuasa agama negeri bagi pelaksanaan setempat. Keputusan Muzakarah MKI ialah penyelarasan di peringkat kebangsaan. Pelaksanaannya di setiap negeri tertakluk kepada keputusan jawatankuasa fatwa dan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Contoh:

  1. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka (kira-kira 145 km): boleh mengambil rukhsah musafir jika semua syarat lain dipenuhi.
  2. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Klang (kira-kira 40 km): tidak mencapai jarak dua marhalah untuk rukhsah musafir yang diterangkan di atas.

Berapa Hari Boleh Solat Jamak Qasar?

Dalam Mazhab Syafi’e, solat jamak dan qasar dibolehkan selama 3 hari penuh di lokasi (tidak termasuk hari tiba dan hari pulang) jika seseorang tidak berniat menetap lebih dari 3 hari penuh.17 Jika berniat tinggal lebih dari 3 hari penuh, keringanan jamak dan qasar tidak dibenarkan sejak hari pertama tiba di lokasi.

Infografik tempoh jamak dan qasar: maksimum 3 hari penuh di destinasi, hari tiba dan hari keluar tidak dikira, dengan contoh tiba Isnin pulang Jumaat dan tiba Isnin pulang Sabtu
Had 18 hari hanya terpakai jika urusan dijangka selesai pada bila-bila masa dan anda akan terus pulang sebaik ia selesai. Tekan imej untuk besarkan.
Contoh Situasi

Ahmad merancang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru (jarak lebih dari 300 km) untuk menghadiri seminar. Ahmad berniat untuk menetap selama 3 hari penuh atau kurang di Johor Bahru sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Situasinya seperti berikut:

  • Ahmad mengekalkan status musafir sepanjang berada di Johor Bahru kerana beliau hanya berniat menetap selama 3 hari penuh atau kurang. Oleh itu, solat jamak dan qasar sah dilakukan semasa perjalanan ke lokasi, semasa berada di lokasi, dan semasa perjalanan pulang.

Jika dari awal anda berniat menetap empat hari penuh atau lebih, tidak termasuk hari tiba dan hari keluar, rukhsah musafir di destinasi terhenti sebaik anda tiba. Anda masih boleh mengambil rukhsah ketika perjalanan yang memenuhi syarat. Bezakan keadaan dalam perjalanan daripada keadaan selepas sampai di destinasi.18

Hari dan keadaanStatus jamak & qasar
Isnin, masih dalam perjalanan sebelum tibaBoleh jamak dan qasar jika semua syarat dipenuhi.
Isnin, selepas tiba di destinasiTidak lagi mengambil rukhsah musafir di destinasi.
Selasa hingga JumaatEmpat hari penuh menetap. Solat secara tamam dan pada waktunya.
Sabtu, sebelum memulakan perjalanan pulangMasih dalam keadaan menetap di destinasi.
Sabtu, selepas keluar dari sempadan kawasan dan bermula musafir pulangBoleh mengambil rukhsah semula jika semua syarat dipenuhi.
Contoh: berniat menetap empat hari penuh, tiba pada hari Isnin dan pulang pada hari Sabtu. Hijau boleh jamak dan qasar. Terakota solat tamam pada waktunya.

Jika Urusan Belum Selesai

  • Jika urusan dijangka selesai pada bila-bila masa dan anda akan bertolak sebaik ia selesai, tetapi urusan itu tertangguh dari sehari ke sehari, jamak dan qasar boleh diteruskan sehingga 18 hari menurut pendapat al-asah dalam Mazhab Syafi’e.19 Kelonggaran ini tidak terpakai jika sejak awal anda tahu urusan memerlukan empat hari penuh atau lebih.

Syarat-Syarat Solat Jamak Taqdim & Takhir

solat sunat zuhur

Solat jamak adalah keringanan (rukhsah) yang diberikan kepada musafir untuk menggabungkan dua solat dalam satu waktu, sama ada melalui Jamak Taqdim (mendahulukan solat dalam waktu pertama) atau Jamak Takhir (melewatkan solat ke waktu kedua). Setiap jenis jamak ini mempunyai syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

Syarat Solat Jamak Taqdim

Solat jamak taqdim dilakukan dengan mendahulukan solat pertama dalam waktunya. Contohnya, Zohor dilaksanakan dalam waktu Zohor sebelum Asar, atau Maghrib dilaksanakan dalam waktu Maghrib sebelum Isyak.

Berikut adalah syarat-syaratnya:

1. Tertib dalam Melakukan Solat
Solat pertama mesti dilakukan terlebih dahulu sebelum solat kedua. Contohnya, solat Zohor mesti dilakukan sebelum solat Asar, dan solat Maghrib mesti dilakukan sebelum solat Isyak. Jika tertib ini tidak dipatuhi, jamak taqdim tidak sah.

2. Niat Jamak pada Solat Pertama
Niat untuk menggabungkan dua solat (jamak) mesti dibuat pada solat pertama. Niat ini boleh dilakukan ketika permulaan takbiratul ihram. Jika terlupa, niat masih sah jika dilakukan semasa solat pertama dan sebelum memberi salam.

3. Berturut-turut antara Dua Solat (Muwalat)

  • Solat pertama dan kedua mesti dilakukan secara berterusan tanpa selang masa yang lama.20
  • Jika selang antara dua solat itu lama menurut uruf, jamak taqdim tidak lagi sah dan solat kedua ditunaikan pada waktunya sendiri.
  • Selang yang singkat, seperti untuk iqamah atau mengambil wuduk, tidak menjejaskannya. Sebahagian ulama menganggarkan selang yang lama sebagai melebihi tempoh solat dua rakaat yang ringan.

4. Status Musafir Berterusan
Seseorang mesti masih berstatus musafir sekurang-kurangnya sehingga dia takbiratul ihram untuk solat kedua. Tidak diwajibkan untuk mengekalkan status musafir sehingga selesai kedua-dua solat.21

Syarat ini khusus untuk jamak. Qasar pula mensyaratkan status musafir kekal sepanjang solat yang diqasarkan. Jika anda tiba di tempat tinggal ketika solat kedua masih berlangsung, sempurnakan solat itu empat rakaat.

Syarat Solat Jamak Takhir

Solat jamak takhir dilakukan dengan melewatkan solat pertama ke dalam waktu solat kedua. Contohnya, Zohor dilaksanakan dalam waktu Asar, atau Maghrib dilaksanakan dalam waktu Isyak.

Berikut adalah syarat-syaratnya:

1. Niat Jamak dalam Waktu Solat Pertama
Seseorang mesti berniat untuk melewatkan solat pertama ke dalam waktu solat kedua semasa waktu solat pertama masih berbaki sekurang-kurangnya kadar satu rakaat. Sebagai contoh, jangan menunggu sehingga waktu Zohor tamat untuk berniat menangguhkan Zohor ke waktu Asar.

2. Kekal dalam Status Musafir
Seseorang mesti masih berstatus musafir sehingga kedua-dua solat selesai.22 Jika status musafir tamat sebelum selesai kedua-dua solat, maka rukhsah untuk melakukan jamak tidak lagi sah.

3. Melakukan Solat dalam Waktu Kedua
Kedua-dua solat mesti dilaksanakan dalam waktu solat kedua. Sebagai contoh, solat Zohor dan Asar mesti dilakukan dalam waktu Asar.

Contoh Situasi

Contoh Jamak Taqdim:
Ali seorang musafir yang sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor. Apabila tiba waktu Zohor, dia berhenti rehat di sebuah kawasan R&R dan mendirikan solat Zohor diikuti dengan solat Asar (jamak taqdim). Dia memastikan:

  • Niat jamak dibuat pada permulaan solat Zohor.
  • Solat Zohor dan Asar dilakukan secara berturut-turut tanpa sela masa yang panjang.
  • Status musafirnya masih kekal sehingga dia selesai takbiratul ihram solat Asar.

Contoh Jamak Takhir:
Ahmad pula seorang musafir yang tidak sempat melaksanakan solat Zohor dalam waktunya kerana kesuntukan masa di tengah perjalanan. Dia berniat untuk melewatkan solat Zohor ke dalam waktu Asar (jamak takhir). Dalam waktu Asar, dia mengerjakan Solat Zohor dahulu diikuti dengan Solat Asar, sambil memastikan:

  • Niat jamak dibuat dalam waktu Zohor sebelum waktu tersebut tamat.
  • Kedua-dua solat dilakukan dalam waktu Asar.
  • Status musafirnya kekal sehingga selesai kedua-dua solat.

Syarat-Syarat Melakukan Solat Secara Qasar

solat dhuha

Solat qasar adalah rukhsah (keringanan) yang diberikan kepada musafir untuk memendekkan solat fardu yang empat rakaat menjadi dua rakaat. Namun, terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi memastikan solat qasar itu sah.

Berikut adalah syarat-syaratnya yang diperincikan:

Niat qasar ketika takbiratul ihram: niat qasar hendaklah hadir ketika takbiratul ihram. Jika niat qasar tidak dihadirkan, sempurnakan solat empat rakaat.23

Syarat-syarat lain adalah seperti berikut:

1. Musafir Tidak Bertujuan Maksiat

Perjalanan musafir mestilah dengan tujuan yang dibenarkan syarak. Jika perjalanan itu bertujuan maksiat, seperti merompak, berjudi, atau apa-apa perkara yang dilarang oleh agama, maka solat qasar tidak dibenarkan.24

2. Jarak Perjalanan Tidak Kurang Daripada Dua Marhalah

Perjalanan musafir hendaklah mencapai dua marhalah. Rujuk penerangan 81 km secara anggaran, jarak sehala dan ketetapan autoriti negeri di atas, serta penuhi syarat musafir yang lain.

3. Solat yang Boleh Diqasarkan

  • Hanya solat fardu empat rakaat sahaja yang boleh diqasarkan, iaitu Zohor, Asar, dan Isyak.
  • Solat fardu dua rakaat seperti Subuh dan tiga rakaat seperti Maghrib tidak boleh diqasarkan.
  • Solat empat rakaat yang tertinggal ketika bermukim hendaklah diqada empat rakaat.
  • Solat yang tertinggal ketika musafir boleh diqada secara qasar jika masih memenuhi syarat musafir ketika mengqadanya. Jika sudah bermukim ketika qada, tunaikan empat rakaat.25

4. Sempurnakan Empat Rakaat Apabila Mengikut Imam Tamam

Musafir boleh solat berjemaah bersama imam yang menunaikan empat rakaat. Apabila mengikut imam tersebut, makmum musafir juga hendaklah menyempurnakan empat rakaat dan tidak memberi salam selepas dua rakaat sebagai qasar.26

5. Destinasi Perjalanan Mestilah Ditetapkan

  • Tempat yang dituju oleh musafir mesti jelas dan ditentukan.27
  • Jika tempat yang dituju tidak pasti atau tidak tetap (contohnya, seseorang yang hanya berjalan tanpa arah tertentu), maka solat qasar tidak sah dilakukan.

6. Perjalanan Berterusan Sehingga Selesai Solat

Status musafir perlu kekal sepanjang solat yang diqasarkan. Jika rukhsah qasar terhenti semasa solat, misalnya tiba di tempat bermukim, sempurnakan solat itu menjadi empat rakaat.28

7. Mengetahui Keizinan untuk Qasar

Seseorang musafir perlu tahu bahawa syarak membenarkan dia untuk mengerjakan solat qasar. Jika dia tidak mengetahui perkara ini dan hanya melakukannya tanpa kefahaman, maka solat qasar itu tidak sah.


Contoh Situasi

  • Sah Qasar: Ahmad melakukan perjalanan yang mencapai dua marhalah untuk menghadiri majlis perkahwinan saudaranya. Selepas melepasi sempadan kawasan tempat tinggal dan memenuhi syarat musafir yang lain, dia berhenti di kawasan rehat untuk mengerjakan solat Zohor dua rakaat qasar.
  • Tidak Sah Qasar: Ali berjalan-jalan tanpa tujuan jelas di kawasan kampungnya, yang jaraknya hanya 50 km dari rumahnya. Dalam keadaan ini, solat qasar tidak sah dilakukan kerana jarak perjalanan tidak mencukupi dan tempat tujuan tidak jelas.
Pemandangan dari tingkap kapal terbang ketika bermusafir

Beza utama: jamak berkaitan dengan waktu, iaitu dua solat dikerjakan dalam satu waktu. Qasar pula berkaitan dengan bilangan rakaat, iaitu empat rakaat dipendekkan menjadi dua. Seorang musafir boleh menjamak tanpa mengqasar, mengqasar tanpa menjamak, atau melakukan kedua-duanya serentak.

Solat jamak dan qasar adalah dua rukhsah (kemudahan) yang berbeza dalam ibadah solat bagi orang yang bermusafir:

  1. Solat Jamak mengizinkan penggabungan dua waktu solat fardu ke dalam satu waktu. Contohnya, solat Zohor dan Asar boleh digabung dan dilaksanakan sama ada pada waktu Zohor atau Asar.
  2. Solat Qasar adalah memendekkan bilangan rakaat dalam solat. Ia melibatkan pengurangan bilangan rakaat dari empat kepada dua untuk solat Zohor, Asar, dan Isyak bagi orang yang bermusafir.

Solat jamak sering dikaitkan dengan solat qasar bagi memudahkan pelaksanaan solat ketika bermusafir, tetapi kedua-duanya mempunyai definisi dan aplikasi yang berbeza.

Ringkasan perbezaan antara solat jamak dan qasar adalah seperti berikut:

KriteriaSolat JamakSolat Qasar
DefinisiMenggabungkan dua solat fardu dalam satu waktu (contoh: Zohor dan Asar, atau Maghrib dan Isyak).Memendekkan solat fardu empat rakaat (Zohor, Asar, dan Isyak) kepada dua rakaat.
Syarat Utama
  1. Musafir yang mencapai dua marhalah. Lihat rujukan jarak dan autoriti negeri.
  2. Tidak berniat menetap lebih dari 3 hari penuh di lokasi.
  3. Perjalanan bukan untuk maksiat.
  1. Musafir yang mencapai dua marhalah. Lihat rujukan jarak dan autoriti negeri.
  2. Tidak berniat menetap lebih dari 3 hari penuh di lokasi.
  3. Perjalanan bukan untuk maksiat.
Jenis Jamak / Qasar
  1. Jamak Taqdim: Solat dilakukan dalam waktu solat pertama (contoh: Zohor & Asar dalam waktu Zohor).
  2. Jamak Takhir: Dilakukan dalam waktu kedua.
Tiada jenis berbeza. Semua solat qasar hanya boleh dilakukan pada solat fardu empat rakaat sahaja (Zohor, Asar, dan Isyak).
Rakaat SolatRakaat tidak berubah. Zohor, Asar dan Isyak kekal 4 rakaat, Maghrib 3 rakaat. Rakaat hanya berkurang jika turut mengambil qasar.Rakaat dipendekkan kepada dua bagi solat empat rakaat sahaja (Zohor, Asar, dan Isyak). Solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan.
NiatTaqdim: niat jamak dalam solat pertama sebelum selesai salam. Takhir: niat menangguhkan dalam waktu pertama, sebelum baki waktunya kurang daripada kadar satu rakaat.Niat qasar mesti dilakukan ketika takbiratul ihram.
KeutamaanJamak ialah rukhsah. Musafir boleh memilih untuk tidak menjamakkan dan menunaikan setiap solat pada waktunya.Qasar ialah rukhsah yang lebih elok diambil, terutamanya apabila perjalanan mencapai tiga marhalah (kira-kira 121.5 km). Musafir tetap boleh memilih solat tamam.29
Keadaan Boleh Dilakukan
  1. Dalam perjalanan musafir yang memenuhi syarat dua marhalah.
  2. Ketika bermukim dalam keadaan darurat (contoh: hujan yang membasahi pakaian, atau sakit berat menurut pandangan yang mengharuskannya).
Hanya boleh dilakukan semasa perjalanan musafir yang memenuhi syarat dua marhalah. Tidak boleh dilakukan dalam keadaan bermukim.
Kedudukan Imam dan MakmumSolat jamak boleh dilakukan di belakang orang yang tidak menjamakkan solat.Musafir boleh mengikut imam tamam, tetapi hendaklah menyempurnakan empat rakaat dan tidak mengqasarkan solat itu.
Contoh Aplikasi
  • Dalam perjalanan jauh (contoh: Kuala Lumpur ke Johor Bahru, 300 km).
  • Ketika bermukim, jika hujan lebat yang membasahi pakaian.
  • Dalam perjalanan jauh (contoh: Kuala Lumpur ke Johor Bahru, 300 km).
  • Tidak berlaku semasa mukim.
Nota
  • Solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan kerana bilangan rakaatnya tetap.
  • Solat jamak boleh digabungkan dengan qasar untuk lebih memanfaatkan rukhsah (contoh: Zohor dan Asar, 2 rakaat setiap solat, dalam waktu Zohor atau Asar).
  • Bagi rukhsah musafir, perjalanan hendaklah tidak bertujuan maksiat serta memenuhi syarat jarak dua marhalah dan syarat musafir yang lain. Rujuk penerangan jarak dan autoriti negeri di atas.
  • Menurut Mazhab Syafi’e, solat jamak kerana hujan hanya dibolehkan jika dilakukan secara berjemaah di masjid, dengan syarat: hujan membasahi pakaian dan menyukarkan perjalanan ke masjid, hanya dalam bentuk jamak taqdim dengan solat kedua ditunaikan berjemaah di masjid atau surau, dan tidak sah jika dilakukan di rumah. Dalam konteks moden, ia tetap relevan di kawasan yang mengalami kesulitan akibat hujan lebat, namun perlu merujuk kepada fatwa terkini dari mufti dinegeri masing-masing.

Solat Jamak Yang Dibenarkan Selain Dari Musafir

Jamak tanpa qasar juga dibincangkan bagi keuzuran tertentu. Hukum jamak kerana sakit mempunyai perbezaan pandangan ulama. Sebahagian ulama mengharuskannya apabila sakit menimbulkan kesukaran berat untuk bersuci atau menunaikan setiap solat pada waktunya. Ini bukan kebenaran umum untuk menjamakkan solat kerana kesibukan biasa.30

Menurut pandangan muktamad mazhab Syafi’e, jamak tanpa musafir hanya diharuskan kerana hujan. Namun, pejabat mufti mengharuskan jamak tanpa qasar dalam keadaan kesukaran berat tertentu, berdasarkan pandangan yang dikuatkan oleh Imam al-Nawawi. Antara contoh yang dibincangkan:

  1. Wanita yang hendak bersalin dan sukar berwuduk serta menunaikan solat pada setiap waktu.
  2. Petugas kesihatan, contohnya doktor yang sedang membedah pesakit, apabila syifnya meliputi sekurang-kurangnya dua waktu solat, tiada pilihan syif lain dan pakaian perlindungan tidak boleh ditanggalkan.31
  3. Bidan yang bimbang kelewatannya akan menyebabkan kematian anak yang dilahirkan atau mendatangkan mudarat kepada ibu yang mahu melahirkan.

Bagi keadaan lain, contohnya pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis atau wanita yang mengalami istihadah sehingga sukar menunaikan solat, dapatkan pandangan pejabat agama negeri.

Soal Jawab Berkaitan Solat Jamak Qasar (FAQ)

Perjalanan jauh di jalan raya ketika matahari terbenam

Berikut dikumpulkan soalan-soalan yang sering ditanyakan oleh para pembaca. Ia amat berguna untuk anda yang memerlukan jawapan yang pantas dan lengkap.

Dimanakah Tempat Permulaan Qasar Bagi Orang Yang Hendak Musafir?

Seseorang musafir hanya boleh mengqasarkan solat apabila telah keluar dari kawasan permukimannya (keluar dari sempadan kariah tempat tinggalnya).

Jika dia mengqasarkan solat semasa hendak keluar dari rumah atau belum keluar dari sempadan kariah, maka tidak sah solat yang diqasarnya.

Dalam Jamak Takhir, Solat Mana Perlu Didahulukan?

Kedua-dua susunan sah. Dalam jamak takhir Zohor dan Asar, anda boleh mendahulukan Zohor atau Asar. Dalam jamak takhir Maghrib dan Isyak, anda boleh mendahulukan Maghrib atau Isyak.

Yang sunat ialah mendahulukan solat waktu pertama, iaitu Zohor atau Maghrib. Ini berbeza dengan jamak taqdim, di mana solat waktu pertama wajib didahulukan.

Bolehkah Jamak Asar Dengan Maghrib, Atau Subuh Dengan Zohor?

Tidak boleh. Jamak hanya dibenarkan bagi dua pasangan sahaja: Zohor dengan Asar, dan Maghrib dengan Isyak.

Asar tidak boleh dijamakkan dengan Maghrib, dan Subuh tidak boleh dijamakkan dengan mana-mana solat. Subuh dan Maghrib juga tidak boleh diqasarkan.

Bolehkah Melaksanakan Solat Qasar dan Jamak Semasa Berada di Kampung Sendiri?

Pertama

Jika kampung tersebut masih menjadi watan (tempat mukim) anda, contohnya terdapat rumah milik anda yang didiami keluarga anda, maka tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar di situ.

Ini kerana kampung tersebut adalah watan asal baginya, iaitu dia tidak dianggap sebagai seorang musafir ketika berada di kampung tersebut (seperti berada di rumah atau di kampung sendiri atau seperti tidak bermusafir ke mana-mana).

Kedua

Jika dia telah bermastautin atau bermukim di tempat lain (mencari kehidupan dan membina rumah tangga sendiri) dan hanya pulang bercuti atau berziarah sahaja, walaupun tempat yang dikunjungi itu adalah kampung asalnya, maka keharusan qasar diberikan berdasarkan tempoh keberadaan / permukiman di tempat tersebut.32

Jika dia menetap selama tiga hari penuh di situ, statusnya masih seorang musafir dan diberi keharusan  melaksanakan solat secara jamak dan qasar.

Jika dia menetap lebih tiga hari atau empat hari penuh atau lebih (tidak termasuk hari sampai dan hari bertolak semula), maka status musafirnya telah hilang dan dia menjadi orang yang telah bermukim (tidak boleh melakukan solat secara jamak dan qasar)

Bolehkah Melakukan Jamak Qasar Ketika Berada di Kampung Mertua?

Suami dan isteri sama dari segi hukum musafirnya.

Jika isteri berada di kampung suami (mertua) dan jika pada ketika itu suami diharuskan solat jamak dan qasar, isteri juga akan mengambil hukum yang sama, iaitu diharuskan solat jamak dan qasar walaupun dia bukan berada di kampung kedua-dua ibu bapanya.

Jika Suami Pulang Ke Tempat Isteri Bolehkah Dia Jamak Qasar Solat Jika Tidak Sampai Empat Hari?

Sekiranya suami dan isteri tinggal berjauhan kerana sebab-sebab yang diharuskan syarak, umpamanya terpisah disebabkan tempat kerja yang berlainan, sekiranya suami pulang ke tempat isteri atau sebaliknya dan jarak antara kedua-dua pihak diharuskan qasar solat ketika dalam perjalanan sahaja.

Mereka tidak dibenarkan qasar setelah sampai, kerana kedua-dua pihak telah bertukar status menjadi orang yang bermukim. Ini kerana tempat tinggal suami juga adalah dikira tempat tinggal isteri, begitu juga sebaliknya. Mereka dikira mempunyai dua watan menurut kriteria Ibn Hajar al-Haitami.33

Begitu juga jika suami memiliki ramai isteri dan isteri-isteri tersebut tinggal berjauhan darinya melebihi dua marhalah.

Bolehkah Orang Yang Sentiasa Dalam Keadaan Musafir Melakukan Jamak Qasar?

Orang yang sentiasa berada dalam musafir perlu dilihat dari dua sudut.

Sama ada mereka membawa bersama anak isteri dan keperluan hidup mereka di atas kapal sepanjang masa (seolah-olah kenderaan adalah rumah kediaman mereka) atau mereka sentiasa bermusafir tetapi tidak menjadikan kapal atau kenderaan sebagai rumah mereka.

Jika mereka membawa bersama anak dan isteri serta keperluan hidup di atas kapal tersebut (seperti makanan dan pakaian) dan menjadikan kapal atau kenderaan yang dinaiki sebagai rumah kediaman, menurut mazhab Syafi’e mereka masih harus mengqasarkan solat apabila memenuhi syarat musafir. Namun, menyempurnakan solat (tamam) lebih afdal bagi mereka.

Manakala jika mereka yang kerjanya sentiasa di atas kapal dan sentiasa bermusafir tetapi tidak membawa bersama di atas kapal itu anak isteri serta keperluan hidup mereka, sebaliknya mereka mempunyai watan (tanah air yang menjadi tempat tinggal), diharuskan qasar solat  setiap kali mereka memulakan perjalanan.

Pemandu bas ekspress boleh menqasarkan solat mereka setiap kali mereka bermusafir untuk memandu bas.

Bolehkah Melakukan Solat Sunat Qabliyyah & Ba’diyyah Semasa Musafir?

Ulama berbeza pandangan tentang solat sunat rawatib (qabliyyah dan ba’diyyah) ketika musafir. Ibnu Umar RA, yang bermusafir bersama Rasulullah ﷺ, tidak menambah solat sunat selepas fardu yang diqasarkan.34

Dalam mazhab Syafi’e, solat sunat rawatib tetap sunat dilakukan ketika musafir. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa Imam al-Syafi’e, para ulama mazhabnya dan jumhur ulama menggalakkannya.35

Antara yang paling wajar dijaga ialah dua rakaat sebelum Subuh dan solat sunat witir, kerana Rasulullah ﷺ tetap melakukannya ketika musafir.

Apakah Keharusan Jamak Untuk Orang Bekerja Luar Kawasan Outstation?

Bagi tugasan luar kawasan, kira hari penuh di destinasi tanpa memasukkan hari tiba dan hari keluar. Jika berniat menetap empat hari penuh atau lebih, rukhsah musafir di destinasi terhenti sebaik tiba. Jika tiga hari penuh atau kurang, rukhsah boleh diteruskan apabila syarat musafir lain dipenuhi.

Bolehkah Solat Jamak Jika Memiliki Rumah Di Kawasan Tempat Kerja?

Memiliki rumah atau bekerja di sesuatu kawasan tidak semestinya menjadikan anda mukim di situ. Hukumnya bergantung pada niat dan tempat tinggal sebenar.

Jika kawasan itu tempat anda tinggal paling lama, atau tempat keluarga anda menetap, ia dikira watan dan jamak qasar tidak dibenarkan di situ.

Jika anda sekadar datang bertugas dan berniat pulang ke tempat tinggal lain, semak syarat jarak dan tempoh menetap seperti biasa.

Bolehkah Solat Jamak Jika Menziarahi Rumah Milik Sendiri Yang Tidak Didiami?

Seseorang yang telah membeli rumah di suatu tempat, tetapi tidak didiaminya.

Sebaliknya rumah tersebut dicadangkan sebagai rumah yang akan didudukinya pada masa akan datang (umpamanya setelah dia pencen atau apabila dia berpindah tempat kerja).

Jika setiap kali dia ke lokasi rumahnya itu bukan kerana dia bekerja di situ (contohnya hanya berziarah sahaja), maka dia dianggap musafir.

Bolehkah Solat Jamak Qasar Jika Berulang-alik Ke Tempat Kerja Yang Jauh?

Seseorang yang berulang-alik setiap hari ke tempat kerja sejauh dua marhalah dari rumahnya dianggap musafir sepanjang perjalanan itu.

Dia juga masih boleh mengambil rukhsah jamak dan qasar di tempat kerja, dengan syarat tempat kerja itu berada di luar kawasan mastautinnya dan syarat-syarat jamak yang lain dipenuhi.36

Jika tempat kerja itu masih dalam kawasan mastautinnya, rukhsah tersebut tidak diharuskan.

Bolehkah Solat Jamak Qasar Jika Pulang Ke Rumah Sewa?

Seseorang tinggal di suatu tempat atau rumah (walaupun hanya menyewa, pinjam atau menumpang), jika rumah tersebut adalah dianggap tempat tinggal yang tetap baginya bersama keluarganya dan akan pulang ke situ setelah bermusafir atau keluar bekerja, dia dianggap bermukim di situ.

Bolehkah Solat Jamak Jika Pulang Ke Rumah Keluarga Sekali-Sekala?

Seseorang yang tinggal di sebuah rumah bersama keluarganya, walaupun dia hanya pulang dan tinggal di rumah itu pada setiap hujung minggu sahaja atau berada di situ pada hari cuti atau hari-hari tertentu sahaja.

Maka dia dianggap mukim ketika berada di rumah itu.

Bolehkah Solat Jamak Jika Saya Berpindah Ke Tempat Baru?

Seorang yang berpindah ke tempat lain kerana pekerjaannya, tempat baru itu menjadi tempat mukim yang baru baginya, sama ada dia memiliki rumah di situ ataupun tidak.

Bolehkah Solat Jamak Qasar Jika Bermusafir Untuk Menonton Perlawanan Bola Sepak?

Asal sesuatu hukum itu adalah harus selagi tidak terdapat dalil yang mengharamkannya dan tidak terdapat perkara-perkara yang mengeluarkannya daripada batasan keharusan itu seperti melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak.

Jika demikian, maka bermusafir untuk menonton bola sepak adalah diharuskan dan boleh melakukan rukhsah solat.

Terlupa Niat Jamak Takhir Sehingga Habis Waktu Solat Pertama

Jika waktu pertama telah tamat tanpa niat jamak takhir, solat pertama perlu ditunaikan sebagai qada. Kelupaan tidak menjadikan niat takhir itu berlaku secara automatik. Tunaikan solat yang tertinggal apabila teringat.

Bagi solat empat rakaat yang tertinggal ketika musafir dan diqada ketika masih memenuhi syarat musafir, qada secara qasar dibenarkan menurut pandangan mazhab Syafie yang dihuraikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Jika tertinggal ketika bermukim atau diqada selepas tamat musafir, tunaikan empat rakaat.

Bagaimana Jika Tidak Tahu Imam Solat Jamak Qasar atau Solat Biasa?

Jika anda tahu atau menyangka imam itu musafir tetapi tidak pasti sama ada dia qasar, anda boleh mentaklikkan niat: “Sekiranya imam ini qasar, aku qasar. Sekiranya dia tamam, aku tamam.” Jika anda tidak tahu sama ada imam itu musafir atau bermukim, berniatlah solat tamam dan sempurnakan empat rakaat.

Jika anda berniat tamam lalu didapati imam solat qasar, bangun dan tambah dua rakaat lagi setelah imam memberi salam (tambah rakaat yang tidak cukup bagi melengkapkan bilangan rakaat solat seperti makmum yang masbuk)

Terlupa Sedang Solat Qasar Sehingga Bangun Ke Rakaat Ketiga

Jika dia teringat yang dia telah tertambah rakaat ketiga, dia hendaklah segera turun dan duduk semula ke rakaat kedua dan sujud sahwi pada akhir solat sebelum memberi salam kerana terlupa.

Solat Jumaat Atau Solat Zohor Yang Lebih Afdal Dilakukan Semasa Musafir?

Musafir tidak diwajibkan solat Jumaat, maka dia boleh memilih sama ada solat Jumaat atau Zohor. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan tiada satu pun yang diutamakan.

Jika dia solat Jumaat dan mahu menjamakkan Asar, lakukannya secara jamak taqdim.

Bacaan Perlahan (sirr) Atau Kuat (jahar) Dalam Solat Jamak Qasar?

Sama seperti solat tamam, jika solat waktu malam maka dijaharkan (dibaca nyaring), jika solat waktu siang maka disirrkan (dibaca perlahan)

Adakah Dibenarkan Solat Jamak Qasar Jika Singgah Sebentar Di Rumah Tempat Bermukim Tanpa Niat Untuk Tinggal Di Situ?

Menurut Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, dia tidak harus mengqasar solat dan hendaklah solat secara tamam walaupun dia sekadar berhenti sebentar untuk memenuhi keperluannya, kerana tempat tersebut adalah tempat yang telah ditentukan atau ditetapkan untuk bermukim dan sebab untuk qasar (iaitu bermusafir) telah hilang ketika berada di situ.

Contohnya, Ali menetap bersama keluarganya di Kuantan tetapi bekerja di Subang. Ali juga ada menyewa sebuah rumah di Bangsar.

Dalam perjalanan dari Kuantan ke Subang, Ali boleh melakukan qasar solat, tetapi jika Ali singgah sebentar di rumah sewanya di Bangsar, maka dia telah hilang kelayakan untuk melakukan qasar kerana dia telah tiba ke tempat bermukim yang kedua baginya (watan kedua)

Bolehkah Solat Jamak Takdim Dipisahkan Dengan Tempoh Waktu Yang Lama?

Syarat jamak takdim adalah muwalat (berturut-turut).

Jika jarak waktu antara dua solat itu pendek (berdasarkan adat kebiasaan atau uruf), ia tidak membatalkan jamak.

Contohnya jangka masa yang diambil untuk azan, iqamat, bersuci, mengambil wuduk, mencari air yang tidak lama dan sebagainya.

Bagaimana contoh jarak waktu yang membatalkan muwalat?

Contohnya seperti pengsan, lupa yang lama (dari segi uruf) dan sebagainya. Ada yang meletakkan tanda aras sekadar tidak lebih daripada dua rakaat solat.

Bolehkah Solat Jamak Qasar Jika Bermusafir Dengan Tujuan Maksiat?

Tidak boleh dan tidak sah.

Perjalanan bertujuan maksiat seperti menuju ke suatu tempat untuk merompak, mencari perempuan simpanan, bermain judi di rumah perjudian dan sebagainya.

Termasuk juga perjalanan maksiat bagi isteri nusyuz yang melarikan diri daripada suaminya.

Apakah Ciri-Ciri Sakit Yang Membolehkan Jamak Solat?

Menurut pandangan muktamad Mazhab Syafi’e, sakit semata-mata tidak mengharuskan jamak. Keharusan bagi sakit yang berat ialah pandangan yang dikuatkan Imam al-Nawawi dan dipilih oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menurut pandangan ini, sakit yang mengharuskan jamak solat ialah sakit yang menimbulkan kesulitan dan kepayahan untuk menunaikan solat pada setiap waktu. Contohnya sakit lumpuh, pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis yang mengambil keseluruhan masa salah satu waktu solat.

Bolehkah Orang Tua Melakukan Solat Jamak Akibat Terlalu Uzur?

Usia lanjut semata-mata tidak memberikan kebenaran automatik untuk jamak. Jika seseorang mengalami penyakit atau keuzuran berat sehingga sangat sukar bersuci dan menunaikan setiap solat pada waktunya, terdapat pandangan ulama yang membenarkan jamak tanpa qasar kerana masyaqqah tersebut. Dapatkan panduan pejabat agama bagi keadaan pesakit berkenaan.

Jamak suri pula ialah menunaikan solat pertama pada penghujung waktunya dan solat kedua pada awal waktunya. Setiap solat masih dilaksanakan dalam waktunya sendiri.

Bolehkah Para Doktor dan Jururawat Melakukan Solat Jamak Qasar?

Doktor dan jururawat adalah harus menjamakkan solat sekiranya keseluruhan masa bagi salah satu solat fardu itu digunakan sepenuhnya di dalam bilik bedah / merawat kecemasan yang kritikal (yakni melibatkan nyawa).

Mereka boleh melakukan solat secara jamak takdim atau jamak takhir mengikut mana satu yang sesuai.

Kelonggaran ini hanya untuk jamak sahaja tanpa qasar.

Bolehkah Qada’ Solat Secara Qasar Semasa Dalam Musafir?

Diharuskan untuk qadha solat yang ditinggalkan sewaktu musafir secara qasar, dengan syarat dia masih dalam keadaan musafir.

Adapun jika dalam keadaan mukim, maka dia perlu qadha secara penuh.

Begitu juga jika dia meninggalkan solat sewaktu dalam keadaan mukim dan ingin mengqadhanya sewaktu bermusafir, hendaklah qadha secara penuh.

Penutup: Islam Itu Agama Yang Memudahkan

Kenderaan meneruskan perjalanan di bawah langit yang mula cerah

Rasulullah ﷺ bersabda:

«رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ»

“Pokok segala urusan ialah Islam, tiangnya ialah solat dan kemuncaknya ialah jihad.”

– Riwayat al-Tirmizi, no. 2616 (hasan sahih)37

Begitulah pentingnya solat dalam Islam.

Walau di mana jua kita berada, solat mesti ditunaikan.

Disebabkan itu lah Islam memudahkannya agar kita tidak terlepas daripada menunaikan tanggungjawab kita.

Semoga panduan ini dapat membantu memudahkan anda di dalam perjalanan.

Nota Kaki & Rujukan

  1. Mufti Selangor mentakrifkan qasar sebagai memendekkan solat fardu empat rakaat kepada dua rakaat, dan jamak sebagai menggabungkan dua solat fardu (Zohor dengan Asar, Maghrib dengan Isyak) secara taqdim atau takhir. Kedua-duanya rukhsah yang berasingan. Anas bin Malik RA meriwayatkan: «إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ أَنْ تَزِيغَ الشَّمْسُ أَخَّرَ الظُّهْرَ إِلَى وَقْتِ الْعَصْرِ» (apabila baginda berangkat sebelum matahari tergelincir, baginda melewatkan Zohor ke waktu Asar). Rujuk: Jabatan Mufti Negeri Selangor, Taudhih al-Hukmi #99: Hukum Orang Yang Solat Qasar Dan Jamak Tapi Tidak Berniat Qasar Dan Jamak. [Pautan] Sahih al-Bukhari, no. 1111. [Pautan] ↩︎
  2. Rujuk: Jabatan Mufti Negeri Selangor, Taudhih al-Hukmi #99: Hukum Orang Yang Solat Qasar Dan Jamak Tapi Tidak Berniat Qasar Dan Jamak. [Pautan] ↩︎
  3. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Hukum Siri ke-953: Bolehkah Membatalkan Solat Kerana Terlupa Niat Jamak dan Qasar Ketika Takbiratul Ihram. [Pautan] Rujuk juga: Jabatan Mufti Negeri Selangor, Taudhih al-Hukmi #99: Hukum Orang Yang Solat Qasar Dan Jamak Tapi Tidak Berniat Qasar Dan Jamak. [Pautan] ↩︎
  4. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa niat qasar wajib diadakan ketika takbiratul ihram, manakala niat jamak taqdim boleh dihadirkan pada bila-bila masa dalam solat pertama hingga ketika memberi salam, berdasarkan Minhaj al-Talibin dan Raudhah al-Talibin karya Imam al-Nawawi. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Hukum Siri ke-953: Bolehkah Membatalkan Solat Kerana Terlupa Niat Jamak dan Qasar Ketika Takbiratul Ihram. [Pautan] ↩︎
  5. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa niat jamak takhir wajib dibuat dalam waktu solat pertama, sebelum bakinya kurang daripada kadar satu rakaat. Jika tidak berniat dalam waktu itu, dia berdosa dan solat pertama menjadi qada. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Hukum Siri ke-953: Bolehkah Membatalkan Solat Kerana Terlupa Niat Jamak dan Qasar Ketika Takbiratul Ihram. [Pautan] ↩︎
  6. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa tertib hanya wajib dalam jamak taqdim. Dalam jamak takhir, memulakan dengan solat waktu pertama adalah sunat dan kedua-dua solat juga tidak wajib dilakukan berturut-turut, berdasarkan Mughni al-Muhtaj dan al-Muhazzab. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Hukum Siri ke-875: Susunan Tertib Solat Ketika Solat Jamak. [Pautan] ↩︎
  7. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Hukum Siri ke-875: Susunan Tertib Solat Ketika Solat Jamak. [Pautan] ↩︎
  8. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Hukum Siri ke-875: Susunan Tertib Solat Ketika Solat Jamak. [Pautan] ↩︎
  9. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa musafir tidak diwajibkan solat Jumaat, dan harus menjamakkan Jumaat dengan Asar secara jamak taqdim kerana Jumaat ialah ganti Zohor, berdasarkan al-Majmu‘ dan al-Mu‘tamad. Al-Khatib al-Syarbini dalam al-Iqna‘ (1/174-175) menyebut: «والجمعة كالظهر في جمع التقديم» (Jumaat sama seperti Zohor dalam jamak taqdim). Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #365: Isu Menjamak Solat Jumaat Dengan Fardu Asar. [Pautan] NU Online, Hukum Menjamak Shalat Jumat dan Shalat Ashar (nukilan al-Iqna‘). [Pautan] ↩︎
  10. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa harus bagi musafir mengqasarkan solat tanpa menjamakkannya, berdasarkan Surah an-Nisa’ ayat 101 dan amalan Rasulullah ﷺ yang solat dua rakaat pada setiap waktu dalam perjalanan. Jika masa terhad, menjamakkan solat lebih memudahkan. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1219: Bolehkah Solat Qasar Tanpa Jamak. ↩︎
  11. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa qasar ialah rukhsah, maka musafir diberi pilihan sama ada mengqasarkan solat atau menunaikannya secara tamam. Namun mengqasarkannya lebih elok. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1217: Tidak Solat Secara Qasar Ketika Musafir. ↩︎
  12. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa qasar hanya dibenarkan apabila musafir sudah pasti keluar dari kawasan bangunan tempat tinggalnya, berdasarkan al-Majmu‘ (4/346) dan al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i (1/470). Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1688: Starting One’s Travel After the Time for Prayer Has Begun: Is It Permissible to Perform Jamak Qasar? [Pautan] ↩︎
  13. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-118 (16 hingga 17 Februari 2021) memutuskan penyelarasan kadar dua marhalah ialah 81 km secara anggaran (taqribi). Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-2/2021 (9 Mac 2021) pula memutuskan kadar dua marhalah tidak kurang daripada 81 km. Rujuk: i-FIQH JAKIM, Hukum Penentuan Kadar Dua Marhalah, Qaryah dan Balad dari Perspektif Fiqh Semasa. [Pautan] Jabatan Mufti Negeri Selangor, Penentuan Kadar Dua Marhalah, Qaryah dan Balad dari Perspektif Fiqh Semasa (PDF). [Pautan] ↩︎
  14. Apabila Saidina Umar RA bertanya tentang ayat ini, Rasulullah ﷺ bersabda: «صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ» (ia sedekah yang Allah kurniakan kepada kamu, maka terimalah sedekah-Nya). Mufti Selangor menukil ayat ini sebagai dalil qasar dan menyatakan ulama sepakat bahawa qasar ialah rukhsah. Rujuk: Sahih Muslim, no. 686. [Pautan] Jabatan Mufti Negeri Selangor, Taudhih al-Hukmi #99: Hukum Orang Yang Solat Qasar Dan Jamak Tapi Tidak Berniat Qasar Dan Jamak. [Pautan] ↩︎
  15. Anas bin Malik RA meriwayatkan: «صَلَّى الظُّهْرَ بِالْمَدِينَةِ أَرْبَعًا وَصَلَّى الْعَصْرَ بِذِي الْحُلَيْفَةِ رَكْعَتَيْنِ» (baginda solat Zohor di Madinah empat rakaat dan solat Asar di Zul Hulaifah dua rakaat). Hadis ini juga menjadi dalil bahawa qasar bermula selepas keluar dari kawasan tempat tinggal. Rujuk: Sahih Muslim, no. 690. [Pautan] Sahih al-Bukhari, no. 1089. [Pautan] ↩︎
  16. Jabatan Mufti Selangor menjelaskan bahawa jarak perjalanan mesti cukup dua marhalah, iaitu 81 km atau lebih, dan dikira sehala, bukan pergi balik. Rujuk: Jabatan Mufti Negeri Selangor, e-Musykil, jawapan no. 3971. [Pautan] ↩︎
  17. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa tempoh menetap dikira tanpa hari sampai dan hari keluar. Sesiapa yang berniat menetap empat hari atau lebih menjadi mukim sebaik tiba, dan jika dia tetap jamak dan qasar, solat itu wajib diganti, berdasarkan al-Fiqh al-Manhaji dan al-Majmu‘ (4/359). Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1289: Perlukah Qadha’ Solat Musafir Yang Dibuat Tidak Cukup Syarat Sah. [Pautan] ↩︎
  18. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1289: Perlukah Qadha Solat Musafir Yang Dibuat Tidak Cukup Syarat Sah. [Pautan] ↩︎
  19. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa musafir yang tertahan kerana urusan yang dijangka selesai pada bila-bila masa boleh terus mengqasarkan solat hingga 18 hari menurut pendapat al-asah, berdasarkan al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i (1/473) dan al-Taqrirat al-Sadidah. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1690: Performing Jama’ Prayer for up to 18 Days. [Pautan] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1289: Perlukah Qadha’ Solat Musafir Yang Dibuat Tidak Cukup Syarat Sah. [Pautan] ↩︎
  20. Mufti Selangor menyenaraikan syarat jamak taqdim: tertib, niat jamak sebelum selesai solat pertama, berturut-turut tanpa selang yang lama, dan kekal musafir hingga takbiratul ihram solat kedua, berdasarkan Fath al-Qarib dan Mughni al-Muhtaj. Rujuk: Jabatan Mufti Negeri Selangor, Taudhih al-Hukmi #99: Hukum Orang Yang Solat Qasar Dan Jamak Tapi Tidak Berniat Qasar Dan Jamak. [Pautan] ↩︎
  21. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa untuk jamak taqdim, musafir mesti kekal musafir hingga takbiratul ihram solat kedua. Jika dia menjadi mukim sebelum itu, jamaknya terbatal. Jika dia menjadi mukim ketika atau selepas solat kedua, jamaknya tidak terbatal menurut pendapat yang sahih. Qasar pula mensyaratkan dia kekal musafir sepanjang solat yang diqasarkan, maka solat yang sedang diqasarkan perlu disempurnakan empat rakaat jika dia menjadi mukim di tengah solat, berdasarkan al-Fiqh al-Manhaji dan Mughni al-Muhtaj. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1596: Adakah Sah Solat Jamak Taqdim Sekiranya Tiba di Rumah Sebelum Habis Waktu Solat Kedua. [Pautan] ↩︎
  22. Mufti Selangor menjelaskan bahawa syarat jamak takhir ialah berniat dalam waktu solat pertama dan kekal musafir sehingga selesai kedua-dua solat. Rujuk: Jabatan Mufti Negeri Selangor, Taudhih al-Hukmi #99: Hukum Orang Yang Solat Qasar Dan Jamak Tapi Tidak Berniat Qasar Dan Jamak. [Pautan] ↩︎
  23. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa jika niat qasar tidak dibuat ketika takbiratul ihram, solat itu wajib disempurnakan empat rakaat. Membatalkan solat untuk mengulanginya dengan niat qasar adalah haram, dan jika dibatalkan juga, ia wajib diulang secara tamam, berdasarkan al-Majmu‘ dan al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Hukum Siri ke-953: Bolehkah Membatalkan Solat Kerana Terlupa Niat Jamak dan Qasar Ketika Takbiratul Ihram. [Pautan] ↩︎
  24. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa perjalanan yang harus, termasuk melancong dan berhibur, membolehkan qasar, tetapi perjalanan bertujuan maksiat seperti berjudi tidak membolehkannya, berdasarkan al-Taqrirat al-Sadidah, al-Majmu‘ dan Mughni al-Muhtaj. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1197: Adakah Berhibur dan Melancong Boleh Dianggap Rukhsah Untuk Jamak dan Qasar. [Pautan] ↩︎
  25. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa solat yang tertinggal ketika musafir harus diqada secara qasar selagi masih musafir. Jika diqada ketika mukim, atau jika ia tertinggal ketika mukim, ia diqada empat rakaat, berdasarkan Minhaj al-Talibin, Raudhah al-Talibin dan al-Taqrirat al-Sadidah. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1093: Cara Qadha Solat Yang Tertinggal Sewaktu Musafir. [Pautan] ↩︎
  26. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa tidak sah solat qasar di belakang imam yang solat tamam. Makmum musafir wajib menyempurnakan empat rakaat, berdasarkan Mughni al-Muhtaj (1/525), al-Mu‘tamad dan ijmak yang dinukil oleh Ibn al-Munzir. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1084: Tidak Sah Solat Qasar di Belakang Imam Tamam. [Pautan] ↩︎
  27. Mufti Selangor menyenaraikan syarat qasar: perjalanan sekurang-kurangnya dua marhalah, mengetahui destinasi sejak awal, perjalanan diharuskan syarak, tidak berimamkan orang yang solat tamam atau yang tidak diketahui status musafirnya, niat qasar ketika takbiratul ihram, kekal musafir sepanjang solat, dan mengetahui keharusan qasar serta tatacaranya. Rujuk: Jabatan Mufti Negeri Selangor, Taudhih al-Hukmi #99: Hukum Orang Yang Solat Qasar Dan Jamak Tapi Tidak Berniat Qasar Dan Jamak. [Pautan] ↩︎
  28. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menukil Mughni al-Muhtaj (1/528) bahawa orang yang mengqasarkan solat disyaratkan kekal musafir sepanjang solatnya. Jika dia menjadi mukim ketika solat, contohnya tiba di tempat tinggalnya, dia wajib menyempurnakannya empat rakaat kerana sebab rukhsah telah hilang. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1596: Adakah Sah Solat Jamak Taqdim Sekiranya Tiba di Rumah Sebelum Habis Waktu Solat Kedua. [Pautan] ↩︎
  29. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa qasar ialah rukhsah yang boleh dipilih atau ditinggalkan, namun lebih elok musafir mengqasarkan solat, berdasarkan al-Majmu‘ dan al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Mufti Selangor pula menggalakkan perjalanan mencapai tiga marhalah (121.5 km). Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1217: Tidak Solat Secara Qasar Ketika Musafir. [Pautan] Jabatan Mufti Negeri Selangor, Taudhih al-Hukmi #99: Hukum Orang Yang Solat Qasar Dan Jamak Tapi Tidak Berniat Qasar Dan Jamak. [Pautan] ↩︎
  30. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa pandangan muktamad mazhab Syafi‘i tidak mengharuskan jamak kerana sakit, tetapi Imam al-Nawawi menguatkan keharusannya berdasarkan hadis Ibnu Abbas RA: «صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ ﷺ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ جَمِيعًا فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ سَفَرٍ» (Rasulullah ﷺ solat Zohor dan Asar secara jamak, serta Maghrib dan Isyak secara jamak, bukan kerana takut dan bukan kerana musafir). Jamak ini tanpa qasar, dan jamak suri juga dibenarkan bagi yang memerlukan. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Hukum Siri ke-867: Solat Jamak Ketika Hendak Bersalin. [Pautan] Sahih Muslim, no. 705. [Pautan] ↩︎
  31. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengharuskan petugas kesihatan menjamakkan solat secara tamam (tanpa qasar), taqdim atau takhir mengikut syif, dengan syarat syif meliputi sekurang-kurangnya dua waktu solat, tiada pilihan syif lain dan pakaian perlindungan tidak boleh ditanggalkan. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Fatwa Siri ke-455: Hukum Solat Jamak Bagi Petugas COVID-19. [Pautan] ↩︎
  32. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa jika kampung itu masih dianggap rumah sendiri, jamak dan qasar tidak dibenarkan di situ, tetapi jika sekadar menziarahi ibu bapa sedangkan sudah mempunyai rumah sendiri di tempat lain, ia dibenarkan. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #56: Jamak and Qasar When One Is Travelling Back to His Hometown. [Pautan] Jabatan Mufti Negeri Selangor, e-Musykil, jawapan no. 3971. [Pautan] ↩︎
  33. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menukil kriteria Ibn Hajar al-Haitami (al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah) bahawa bagi orang yang mempunyai dua tempat tinggal, watannya ialah tempat dia paling lama menetap, dan jika sama, tempat isteri dan anak-anaknya. Oleh itu suami tidak boleh jamak dan qasar ketika pulang ke rumah isterinya, tetapi boleh sepanjang perjalanan. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1004: Musafir Prayers (Jamak and Qasar) for Those With Two Homes. [Pautan] ↩︎
  34. Ibnu Umar RA, yang bermusafir bersama Rasulullah ﷺ, Abu Bakar, Umar dan Uthman RA, menyatakan mereka tidak menambah melebihi dua rakaat ketika musafir, lalu berkata: «لَوْ كُنْتُ مُسَبِّحًا لأَتْمَمْتُ صَلاَتِي» (sekiranya aku mahu solat sunat, tentu aku sempurnakan sahaja solat fardu itu). Ibn al-Qayyim menyimpulkan bahawa baginda ﷺ tidak solat sunat sebelum atau selepas fardu yang diqasarkan, kecuali dua rakaat sebelum Subuh dan witir. Rujuk: Sahih Muslim, no. 689. [Pautan] Fadl al-Rahim al-Wadud, 13/144 (nukilan Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma‘ad). [Pautan] ↩︎
  35. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa ulama sepakat solat sunat mutlak digalakkan ketika musafir, tetapi berbeza pandangan tentang sunat rawatib. «اسْتَحَبَّهَا الشَّافِعِيُّ وَأَصْحَابُهُ وَالْجُمْهُورُ» (Imam al-Syafi‘i, para ulama mazhabnya dan jumhur ulama menggalakkannya). Al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/198. Rujuk: al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, Dorar al-Saniyyah: al-Sunan al-Rawatib fi al-Safar. [Pautan] ↩︎
  36. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa jamak taqdim atau takhir di pejabat adalah sah jika perjalanan mencapai dua marhalah (melebihi 81 km) dan pejabat itu berada di luar kawasan mastautin. Jika masih dalam kawasan mastautin, jamak tidak sah. Bagi jamak taqdim, dia mesti kekal musafir hingga memulakan solat kedua, dan bagi jamak takhir hingga selesai kedua-dua solat, berdasarkan al-Fiqh al-Manhaji. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1409: Jamak and Qasar in the Office. [Pautan] ↩︎
  37. Hadis «الصلاة عماد الدين» (solat itu tiang agama) diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (no. 2550) dengan sanad yang daif, dan Imam al-Nawawi menilainya munkar batil. Tambahan “sesiapa mendirikannya maka dia mendirikan agama …” tidak ditemui dalam kitab hadis. Maknanya disokong oleh hadis al-Tirmizi (no. 2616) di atas, yang dinilai hasan sahih oleh al-Tirmizi. Rujuk: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Hadith Siri ke-379: Solat Merupakan Tiang Agama. [Pautan] Sunan al-Tirmizi, no. 2616. [Pautan] HadithAnswers, status hadis «الصلاة عماد الدين». [Pautan] ↩︎

Bibliografi Tambahan

  • Abu Usamah Mohd Hanifiah Haji Hussin, Soal Jawab Fiqh Ibadah: Bab Solat Musafir.
  • Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait.
  • Allahyarham Dato’ Ismail Kamus, Indahnya Hidup Bersyariat.
  • Rohidzir Rais, Fuad Ismail dan Mohd Wahid Abd Hanif, Ensiklopedia Solat.
  • Dr. Nik Yusri Musa, Ensiklopedia A-Z Tentang Solat.
  • Muhadir Haji Joll, 1157 Persoalan Solat.
  • Zulkarnain Dollah, Panduan Solat Jamak & Qasar Untuk Para Musafir.
  • Syeikh Ahmad Faisol Haji Omar, Solat Ketika Keuzuran.
KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim Abd Manaf

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

562 Komen

  1. Salam tuan. Kalau kita niat ‘usolli fardhaz zuhri qasra jam’a taqdimin’ memadai kah? Terasa susah dengan niat yang panjang tu.

    Balas
    • Waalaikumussalam, tuan Abdul Hadi. Boleh gunakan lafaz ringkas itu. Lafaz Arab tidak wajib. Ketika takbiratul ihram, cukup tuan berniat dalam hati untuk menunaikan solat fardu Zohor secara qasar. Niat menghimpunkan Zohor dengan Asar dalam waktu Zohor boleh dibuat ketika takbir atau semasa solat Zohor itu, paling lewat ketika memberi salam.

      Balas
  2. Assalammualaikum.. saya ingin bertanya.. saya bercadang bercuti ke luar negara selama 6h 5 malam di negara A. pada hari 4 saya menetap dia wilayah lain lebih 2 marhalah. dan esoknya saya kembali ke negara A. adakah saya boleh jamak & qasar sepanjang percutian saya?

    Balas
    • Waalaikumussalam, puan Intan. Jika puan tiba di tempat pertama pada hari pertama, bertolak untuk bermalam di wilayah kedua pada hari keempat, kembali pada hari kelima dan pulang pada hari keenam, puan boleh jamak dan qasar selagi perjalanan itu memenuhi syarat musafir. Perjalanan dua marhalah atau lebih ke wilayah kedua dikira perjalanan baharu.

      Kira tempoh tinggal bagi setiap persinggahan. Jika jadual berubah dan puan berniat tinggal empat hari penuh atau lebih di satu destinasi, rukhsah terhenti apabila tiba di situ. Hari tiba dan hari keluar tidak termasuk dalam kiraan itu. Wallahu a‘lam.

      Balas
  3. Waalaikumussalam puan.

    Dalam mazhab Syafi‘e, penentu utamanya ialah niat tempoh menetap di destinasi (dikira “hari penuh”), bukan semata-mata bilangan “hari bercuti” yang disebut secara umum.

    Ringkasnya begini:

    1/ Jika puan berniat menetap di destinasi 4 hari penuh atau lebih (“hari penuh” = tidak termasuk hari sampai dan hari bertolak/pulang) maka status musafir putus sebaik puan tiba di destinasi, maka solat wajib dibuat secara penuh (tamam) di tempat tersebut (tiada qasar).

    Namun, semasa dalam perjalanan menuju destinasi / pulang, puan masih boleh jamak & qasar selagi syarat musafir cukup.

    2/ Jika puan berniat menetap 3 hari penuh atau kurang maka puan kekal musafir, maka boleh jamak & qasar semasa berada di destinasi dan juga ketika perjalanan (dengan syarat-syaratnya).

    Cara kira mudah (contoh):

    Bergerak Isnin, sampai Isnin; balik Jumaat maka hari penuh di destinasi: Selasa, Rabu, Khamis = 3 hari penuh → masih musafir (boleh jamak/qasar).Bergerak Isnin, sampai Isnin; balik Sabtu maka hari penuh: Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat = 4 hari penuh → musafir putus sebaik tiba (solat di destinasi dibuat penuh).
    Jadi, untuk soalan puan: bukan “dua hari yang tidak terkira itu mesti solat penuh”, tetapi lihat sama ada puan niat menetap 4 hari penuh atau tidak. Jika niat menetap 4 hari penuh atau lebih, maka solat di destinasi dibuat penuh sejak mula sampai; jika tidak, boleh jamak/qasar.

    Wallahu a‘lam.

    Balas
    • Assalamualaikum, boleh saya tanyakan mengenai jikalau kita terlupe niat dan artikel ini mengatakan harus qada solat, adakah kita patut qada solat penuh 4 rakaat atau setakat dua rakaat sahaja?

      Contoh, saya terlupa untuk berniat untuk solat Zohor di waktu Asar bila waktu Zohor menjelang, jadi adakah saya perlu qada solat 4 rakaat Zuhur penuh di waktu Asr, atau tetap 2, ketika saya sedang musafir? (menetap dalam sebuah negara untuk 3 hari penuh atau kurang sahaja).

      Harap soalan ini tidak begitu membingungkan. Terima kasih.

      Balas
      • Waalaikumussalam warahmatullah.

        Soalan ini jelas, tidak membingungkan.

        Jika puan terlupa berniat jamak ta’khir bagi solat Zohor ketika masih dalam waktu Zohor, kemudian waktu Zohor telah habis, maka solat Zohor itu tidak lagi dikira jamak ta’khir. Ia perlu dilakukan sebagai solat qada.

        Tentang bilangan rakaat pula, jika solat Zohor itu tertinggal ketika puan masih musafir, dan puan mengqadanya ketika masih dalam keadaan musafir yang dibenarkan qasar, maka boleh qada secara qasar, iaitu dua rakaat sahaja.

        Jadi dalam contoh puan: apabila masuk waktu Asar, puan boleh qada Zohor dua rakaat secara qasar, kemudian solat Asar dua rakaat secara qasar, selagi puan masih memenuhi syarat musafir.

        Namun jika solat itu tertinggal ketika bermukim, atau puan sudah sampai ke tempat mukim/tamat musafir ketika hendak qada, maka solat tersebut perlu diqada secara penuh empat rakaat.

        Ringkasnya:

        Jika tertinggal ketika musafir dan qada ketika masih musafir: boleh dua rakaat.

        Jika tertinggal ketika musafir tetapi qada ketika sudah mukim: empat rakaat.

        Jika tertinggal ketika mukim walaupun qada ketika musafir: empat rakaat.

        Wallahu a‘lam.

        Balas
  4. Salam. Saya ingin memahami dengan lebih lanjut.

    Jikalau kita bercuti di negeri lain selama lima hari, abeh artikel ini mengatakan bahawa jama’ qasr dibolehkan jikalau kurang daripade tiga hari, tidak termasuk hari berangkat dan hari kepulangan. Jadi, untuk ke dua hari itu yang tidak terkira, adakah kita patut melakukan solat penuh seperti biasa apabila sampai ke tempat destinasi?

    Balas
  5. Salam. Saya ingin memahami dengan lebih lanjut.

    Jikalau kita bercuti di negeri lain selama lima hari, abeh artikel ini mengatakan bahawa jama’ qasr dibolehkan jikalau kurang daripade tiga hari, tidak termasuk hari berangkat dan hari kepulangan. Jadi, untuk ke dua hari itu yang tidak terkira, adakah kita patut melakukan solat penuh seperti biasa apabila sampai ke tempat destinasi?

    Balas
    • Waalaikumussalam puan.

      Dalam mazhab Syafi‘e, penentu utamanya ialah niat tempoh menetap di destinasi (dikira “hari penuh”), bukan semata-mata bilangan “hari bercuti” yang disebut secara umum.

      Ringkasnya begini:

      1/ Jika puan berniat menetap di destinasi 4 hari penuh atau lebih (“hari penuh” = tidak termasuk hari sampai dan hari bertolak/pulang) maka status musafir putus sebaik puan tiba di destinasi, maka solat wajib dibuat secara penuh (tamam) di tempat tersebut (tiada qasar).

      Namun, semasa dalam perjalanan menuju destinasi / pulang, puan masih boleh jamak & qasar selagi syarat musafir cukup.

      2/ Jika puan berniat menetap 3 hari penuh atau kurang maka puan kekal musafir, maka boleh jamak & qasar semasa berada di destinasi dan juga ketika perjalanan (dengan syarat-syaratnya).

      Cara kira mudah (contoh):

      • Bergerak Isnin, sampai Isnin; balik Jumaat maka hari penuh di destinasi: Selasa, Rabu, Khamis = 3 hari penuh → masih musafir (boleh jamak/qasar).
      • Bergerak Isnin, sampai Isnin; balik Sabtu maka hari penuh: Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat = 4 hari penuh → musafir putus sebaik tiba (solat di destinasi dibuat penuh).

      Jadi, untuk soalan puan: bukan “dua hari yang tidak terkira itu mesti solat penuh”, tetapi lihat sama ada puan niat menetap 4 hari penuh atau tidak. Jika niat menetap 4 hari penuh atau lebih, maka solat di destinasi dibuat penuh sejak mula sampai; jika tidak, boleh jamak/qasar.

      Wallahu a‘lam.

      Balas
  6. Assalamualaikum. Izinkan saya untuk bertanya. Contoh, saya hantar adik saya ke universiti di Tapah. Niat jamak takdim sebab sampai universiti dia memang nak dekat Zohor. Cuma saya tak berapa faham, bila kita dah sampai ke destinasi yang kita nak tuju, automatik kita dah tak boleh nak jamak dan qasar ye?

    Balas
    • Waalaikumussalam puan.

      Tidak semestinya bila sudah sampai tempat dituju terus “auto” tak boleh jamak dan qasar. Hukum itu bergantung pada status musafir puan masih kekal atau sudah putus.

      1. Jika puan hanya singgah urus sekejap (contoh hantar adik), kemudian terus balik / tidak berniat menetap 4 hari penuh, puan masih dikira musafir. Maka jamak dan qasar masih boleh selagi syarat musafir mencukupi (jarak 2 marhalah, perjalanan bukan maksiat, dan sebagainya).
      2. Jika puan sampai dan memang berniat menetap 4 hari penuh atau lebih, sebaik tiba status musafir dianggap putus. Maka puan wajib solat tamam (tidak qasar), dan jamak pula hanya boleh jika ada uzur lain (bukan kerana musafir).

      Nota untuk jamak taqdim: Pastikan puan masih musafir ketika mula solat kedua (takbiratul ihram solat kedua), dan jangan dilengahkan lama antara dua solat.

      Semoga jelas, puan.
      Wallahu a‘lam.

      Balas

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.