Bagaimana niat solat Jumaat?
Dan bagaimana pula cara mengerjakan solat jumaat?
Ini adalah panduan mudah untuk melakukan sembahyang fardu jumaat.
Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah sehingga selesai dan panduan ini diringkaskan agar mudah difahami.
Apa yang menarik:
Panduan cara solat jumaat ini juga dipermudahkan dengan bacaan bahasa RUMI untuk membantu sesiapa yang mengalami kesukaran membaca tulisan arab.
- Pengenalan
- Lafaz Niat Solat Jumaat
- Cara Mengerjakan Solat Jumaat
- Syarat Wajib Solat Jumaat
- Syarat Sah Solat Jumaat
- Perkara Sunat pada Hari Jumaat
- Permasalahan & Hukum Berkaitan Solat Jumaat
-
- Solat Jumaat untuk orang yang musafir
- Solat Jumaat untuk orang yang bermukim
- Solat Jumaat untuk Polis dan Tentera yang sedang bertugas
- Solat Jumaat untuk orang yang bermastautin
- Solat Jumaat untuk golongan yang tidak diwajibkan
- Melangkah tengkuk orang ketika di dalam masjid
- Makmum masbuk dalam solat Jumaat
- Hukum solat ketika khutbah Jumaat
Pengenalan
Solat Jumaat wajib bagi lelaki muslim yang baligh tetapi tidak wajib ke atas perempuan.
Sembahyang Jumaat juga tidak wajib sekiranya dalam keadaan musafir.
Solat ini ditunaikan pada hari Jumaat menggantikan sembahyang fardu Zohor.
Ianya dikerjakan di masjid dan wajib dikerjakan secara berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal secara tetap di kawasan itu.
Sembahyang jumaat mestilah didahului dengan dua khutbah dan diikuti dengan solat dua rakaat.
Lafaz Niat Solat Jumaat
Lafaz niat untuk makmum ialah:
Usolli Fardol Jum’ati Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala
Cara Mengerjakan Solat Jumaat
Sesudah pembacaan dua khutbah oleh imam atau khatib dan sesudah iqamat, maka berdirilah sebagai persediakan mengerjakan solat.
Lafaz niat adalah seperti yang dinyatakan di atas.
Rakaat Pertama
1. Sesudah imam mengangkat Takbiratul Ihram, maka makmum (kita) turut mengangkat takbiratul ihram dengan niat sebagaimana maksud lafaz niat di atas.2. Bacalah doa iftitah dan selepas habis dibaca doa tersebut, berdiamlah seketika sehingga imam habis membaca surah al-Fatihah.
3. Apabila imam habis membaca ayat akhir surah al-Fatihah, para makmum secar serentak mengucapkan “Aamiiiinn”.
4. Sesudah itu, bacalah surah al-Fatihah secara perlahan hingga akhirnya sementara imam membaca ayat/surah dari Al-Quran.
5. Setelah selesai dibaca ayat/surah al-Quran oleh imam, maka ikutlah segala gerak dan perbuatan imam bermula dari rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan sujud kedua.
Makmum jangan mendahului imam dari segi perbuatan.
Rakaat Kedua
1. Sehabis sujud kedua, bangun berdiri tegak kembali dengan tangan diletakkan di atas pusat untuk rakaat kedua.2. Ulangi langkah 3-5 seperti yang dinyatakan pada rakaat pertama di atas.
3. Bangun dari sujud kedua dan duduk tahiyat akhir.
4. Selepas imam memberi salam, makmum juga perlu turut memberi salam.
5. Sehabis salam, amat baik jika kita mengikut imam bertasbih, tahmid, takbir dan berdoa.
Syarat Wajib Solat Jumaat
Berikut adalah beberapa syarat yang mewajibkan seseorang itu untuk mengerjakan sembahyang Jumaat:
- Islam
- Baligh
- Merdeka
- Berakal
- Lelaki
- Untuk perempuan hukumnya harus
Syarat Sah Solat Jumaat
Berikut adalah syarat sah solat fardu Jumaat:
1. Ditunaikan di satu tempat atau bangunan di dalam kawasan kediaman tetap, pekan atau kampung walaupun tidak di dalam masjid.2. Ditunaikan pada waktu Zuhur pada hari Jumaat.
3. Ditunaikan secara berjemaah sekurang-kurangnya 40 orang ahli jemaah termasuk imam dan mereka adalah penduduk yang bermastautin di kawasan itu.
4. Tidak ada kumpulan lain yang mendahului atau melakukan sembahyang jumaat di dalam kawasan yang sama. Maksudnya, tidak boleh mendirikan dua sembahyang Jumaat di dalam satu tempat atau kawasan walaupun di masjid yang berlainan.
Kecuali untuk kawasan penempatan kampung atau pekan yang terlalu besar dan penduduknya sukar untuk berkumpul di satu tempat, maka sembahyang Jumaat boleh dibuat lebih daripada satu tempat.
5. Didahului dengan dua khutbah
Perkara Sunat pada Hari Jumaat
Perkara-perkara yang disunatkan pada hari Jumaat khusus untuk mereka yang hendak menunaikan solat Jumaat.
- Mandi sebelum pergi ke masjid, sebaik-baiknya ketika hendak berangkat ke masjid.
- Memakai pakaian yang bersih, elok dan kemas, seeloknya berwarna putih.
- Memakai bau-bauan.
- Memendekkan kuku, merapikan misal, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari dan bersugi.
- Bersegera ke masjid dengan tujuan mendapatkan saf hadapan.
- Perbanyakkan zikir, istigfar, doa dan terutama sekali selawat. Rasulullah SAW menyatakan, pada hari jumaat ada satu waktu mustajab yang diperkenankan doa orang yang berdoa pada waktu itu.
- Memberi perhatian pada khutbah yang disampaikan oleh khatib. Makruh menggunakan telefon bimbit atau benda-benda lain termasuk tasbih ketika khatib sedang berkhutbah.
Permasalahan Berkaitan Solat Jumaat
- Berikut dikumpulkan beberapa permasalahan lazim yang berlaku ketika solat fardu Jumaat:
1. Solat Jumaat untuk orang yang musafir
Apabila bermusafir selepas terbit fajar hari Jumaat, wajib untuknya menunaikan solat Jumaat sama ada ketika masih dalam perjalanan atau sudah tiba di tempat yang dituju.
Sebaliknya apabila musafir sebelum terbit fajar hari Jumaat, maka tidak wajib untuknya menunaikan solat Jumaat.
Bagaimanapun, sekiranya mereka mengerjakannya, itu adalah lebih utama.
2. Solat Jumaat untuk orang yang bermukim
Orang yang bermukim ialah orang yang tinggal di suatu tempat lebih dari tempoh musafir iaitu tempat hari empat malam, tetapi tidak berniat untuk menetap di situ.
Seperti orang yang datang kerana berniaga, belajar dan sebagainya.
Mereka wajib menunaikan solat Jumaat, tetapi tidak boleh dikira sebagai bilangan ahli Jumaat.
Iaitu mereka dikecualikan dari bilangan 40 orang ahli Jumaat yang diwajibkan.
3. Solat Jumaat untuk Polis dan Tentera yang sedang bertugas
Harus bagi polis dan tentera meninggalkan solat Jumaat kerana menjalankan tugas-tugas keselamatan yang dikira uzur syari’e disebabkan mereka terpaksa bertugas dengan syarat tidak meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut.
4. Solat Jumaat untuk orang yang bermastautin
Orang yang bermastautin ialah orang yang tinggal tetap di sesuatu tempat sama ada dilahirkan di situ atau sudah membeli tanah atau rumah atau menyewa rumah dan menetap di tempat itu.
Mereka wajib solat Jumaat dan mereka dikira sebagai bilangan ahli Jumaat.
5. Solat Jumaat untuk golongan yang tidak diwajibkan
Golongan yang tidak diwajibkan solat jumaat adalah wanita, kanak-kanak dan orang yang musafir sebelum terbit fajar hari Jumaat.
Tetapi sekiranya mereka ingin mengerjakan solat Jumaat, maka solat mereka adalah sah dan tidak perlu lagi mendirikan solat fardu zohor pada hari itu.
6. Melangkah tengkuk orang ketika di dalam masjid
Orang yang datang lewat untuk bersolat Jumaat perlu duduk di saf yang belakang.
Makruh hukumnya apabila dia mencelah dan menyelit sehingga melangkah tengkuk jemaah lain kerana mahu duduk di saf hadapan kerana perbuatan ini menunjukkan kesombongan dan akan mengguris hati ahli jemaah yang lain.
Sebaik-baiknya datang lebih awal jika mahu duduk di saf hadapan.
7. Makmum masbuk dalam solat Jumaat
Untuk makmum yang masbuk, makmum perlu mengikut imam sekurang-kurangnya sempat membaca al-Fatihah dan rukuk bersama imam dalam rakaat kedua.
Sekiranya tidak sempat rukuk bersama imam dalam rakaat kedua, dikira tidak dapat bersolat Jumaat pada hari itu.
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud:
Sesiapa yang sempat satu rakaat dalam solat Jumaat maka dia sempat dengan solat itu.
— Riwayat Bukhari dan Muslim
8. Hukum solat ketika khutbah Jumaat
Apabila khatib sedang berkhutbah di atas mimbar, maka diharamkan untuk solat walaupun solat itu adalah solat qada kecuali solat sunat tahiyatul masjid dan diwajibkan untuk meringankan (mempercepatkan) solat tahiyatul masjid itu dan tidak boleh menambah dua rakaat lagi selain daripada solat sunat tahiyatul masjid yang tadi.
Penutup
Saya berharap agar panduan ini dapat membantu memudahkan anda dalam melaksanan solat fardu Jumaat.
Jika terdapat sebarang persoalan atau kemusykilan, anda boleh tinggalkan perkara tersebut pada ruangan di bawah.
Terima kasih.
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum ustaz.
1.Saya nak tanya apabila mengucap kalimah syahadah sewaktu takhiyah akhir dan awal. Mana satu yang betul disebut “asyhadu an laa” ke atau “asyhadu allaa”.
2. Ini juga tentang kalimah syahadah. Apabila mengucap kalimah syahadah, mana satu yang betul “Wa’asyhadu anna Muhammadar Rasulullah” atau “Wa’asyhadu anna Muhammadan Rasulullah”.
3. Bolehkah saya membaca Allahumma solli’ala Muhammad wa’ala ali Muhammad sewaktu takhiyat awal dan akhir. Ini kerana saya melihat takhiyat awal dan akhir di atas berbeza sedikit.
1. Yg betul ‘ asyhadu allaa ilahaillallah’
2. Yg betul ‘ waasyhadu anna muhammaDAR rasulullah’..
3. Tahiyat awal bacaannya sampai Allahumma solli’ala Muhammad je..tahiyat akhir sambung wa’ala ali Muhammad..(selebihnya 2 adalah sunat sahaja,tetapi lebih baik jika dapat dibaca semuanya)
Oh, Terima kasih ya
Jadi kalau tak baca wa’ala ali muhammad pun takpelah
Ye,takpe tapi untuk tahiyat awal je la..untuk tahiyat akhir kena la baca..
Ye,takpe tapi untuk tahiyat awal je la.. untuk tahiyat akhir kena la baca
Assalamualaikum Ustaz. Bolehkah saya bertanya, adakah wajib kita mendengar khutbah solat jumaat.
Assalamualaikum ust pertanyaan…wajib ke kita mengejarkan solat zohor pada hari jumaat
Wassalam,
Pada hari jumaat, kita wajib mengerjakan solat jumaat bagi menggantikan solat fardu fardu zohor pada hari tersebut
Assalamualaikum, Ustaz . Bolehkah saya tahu macam mana nak solat berjemaah sebab saya ni baru belajar solat
Wassalam.
Tatacara pergerakan solat berjemaah ini sama sahaja dengan solat bersendirian.
Cuma yang berbeza adalah niat, iaitu imam kena berniat sebagai imam dan makmum kena berniat sebagai makmum.
Makmum pula wajib mengikut pergerakan solat imam (selagi bukan pergerakan yang membatalkan solat)
Awak boleh baca lanjut mengenai panduan solat berjemaah disini ya: https://akuislam.com/blog/ibadah/solat-berjemaah/
Satu lagi ustaz, adakah kita wajib mendengar khutbah solat jumaat.
Hukumnya tidak wajib, tetapi siapa yang tidak dengar khutbah tidak dapat pahala datang jumaat.
Terima kasih ustaz
assalammualaikum, ustaz
bila solat sunat jumaat dilakukan?
Wassalam,
Dilakukan pada waktu zohor pada hari Jumaat sebagai ganti solat Zohor.
maksudnya, selepas azan dilaungkan? terima kasih membalas secepat mungkin.
maksudnya, selepas azan pertama dilaungkan? terima kasih membalas secepat mungkin.
Selepas azan kedua, akan ada khutbah. Selepas khutbah itulah baru kita lakukan solat Jumaat.