ISTIHADAH: Hukum & Penjelasan Lengkap (Berserta Contoh)

darah istihadah

Apakah maksud darah istihadah?

Ini adalah panduan lengkap tentang istihadah

Segala perkara berkaitan istihadah seperti cara mengenalpasti sifat darah, kaedah pengiraan hari, dan sebagainya akan diterangkan secara lengkap dalam panduan ini.

Panduan ini sedaya upaya menggunakan bahasa yang mudah agar difahami oleh semua orang.

Semoga bermanfaat.

Pengenalan

Para ilmuan Islam dan pakar perubatan mengesahkan ketiga-tiga darah haid, istihadah dan nifas mempunyai fungsi serta peranan besar kepada wanita.

Mereka berpendapat melalui pemerhatian dan kajian bahawa wanita yang teratur pusingan haidnya setiap bulan adalah wanita yang sihat dan subur.

Sedangkan wanita yang menghadapi masalah kitaran haid yang tidak menentu setiap bulan adalah petunjuk kepada masalah kesihatan yang dihadapinya.

Dengan itu secara tidak langsung, aliran darah haid sebenarnya menjadi ujian perubatan semulajadi untuk menentukan kesihatan wanita setiap bulan.

Sementara itu, wanita yang mengalami pendarahan diluar waktu haid juga menunjukkan masalah kesihatan. Darah ini dikenali sebagai darah istihadah atau darah penyakit.

Selain itu, Islam juga meletakkan hukum berbeza kepada wanita yang mengalami pendarahan ini berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.

Takrif Maksud Istihadah

Dari Sudut Bahasa

Istihadah berasal daripada perkataan haid (حيض)

Dari Sudut Syarak

Istihadah ialah darah yang mengalir daripada faraj wanita di luar waktu haid atau nifas.

Ia adalah darah penyakit atau darah kotor yang keluar daripada saluran darah di bahagian bawah rahim.

Hukum Darah Istihadah

Persamaan Larangan Dengan Haid Dan Nifas

Fuqaha keempat-empat mazhab sepakat menyatakan bahawa perempuan yang istihadah adalah hadas yang berterusan sama seperti orang tidak lawas kencing, air mazi, tahi, atau angin, dalam keadaan mereka yang menghadapi penyakit ini tidak dapat mengawalnya.

Sementara Hanafiah dan Hanabilah menyamakannya dengan orang yang berdarah hidung dan orang yang lukanya tidak berhenti keluar darah.

Oleh itu, sebagaimana hukumnya dalam masalah hadas yang berterusan seperti ini, perempuan yang didatangi darah istihadah dikecualikan melakukan perkara-perkara yang diharamkan ke atas perempuan haid atau nifas.

Dalil-Dalil Berkaitan Hukum Istihadah

1. Sayyidatina Aisyah r.ha. pernah meriwayatkan bahawa Fatimah binti Hubaisy r.ha. bertanya kepada Rasulullah SAW katanya:

“Saya ialah seorang wanita yang sering istihadah dan tidak pernah bersih. Adakah saya perlu meninggalkan solat?”

Baginda SAW bersabda: “Jangan, kerana ia ialah darah yang keluar daripada saluran darah dan bukan haid. Jika kamu haid hendaklah kamu meninggalkan solat dan apabila telah selesai (kering haid) hendaklah kamu membasuh darah tersebut dan bersolat”

— Riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i, Haid dan Istihadah
2. Rasulullah SAW pernah memerintahkan Hamnah binti Jahsy r.ha. agar bersolat dan berpuasa ketika dia dalam keadaan istihadah (Riwayat al-Bukhari, al-Nasa’i dan Abu Daud)

3. Abu Daud meriwayatkan daripada ‘Ikrimah, daripada Hamnah bin Jahsy r.ha. bahawa dia berada dalam keadaan istihadah ketika bersetubuh denan suaminya.

Katanya, Ummu Habibah juga dalam keadaan istihadah apabila suaminya menggaulinya. Hamnah adalah isteri Talhah dan Ummu Habibah adalah isteri Abdul Rahman al-‘Auf (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan al-Tirmizi)

Cara Mengenal Pasti Darah Istihadah

Darah istihadah boleh dikenalpasti dari beberapa perkara berikut:

  • Darah yang keluar daripada wanita yang belum baligh
  • Darah yang keluar daripada wanita hamil mengikut mazhab Hanafi dan Hanbali.
  • Darah yang keluar dalam tempoh yang kurang daripada tempoh paling singkat haid seorang wanita sehari semalam (24 jam).
  • Darah yang keluar melebihi tempoh haid paling lama seorang wanita (15 hari).
  • Darah yang keluar melebihi tempoh paling lama darah nifas (60 hari).

Perkara Yang Harus Dilakukan Oleh Perempuan Istihadah

Hukum darah istihadah adalah tidak sama dengan hukum darah haid, oleh itu wanita yang mengalami istihadah perlu:

  • Bersolat, sama ada solat fardu atau sunat.
  • Berpuasa, sama ada yang wajib atau sunat.
  • Tawaf.
  • Membaca al-Quran.
  • Menyentuh mashaf
  • Masuk ke dalam masjid.
  • Beriktikaf di dalam masjid.

Keadaan Darah Istihadah

Kadar Tempoh Dan Cara Mengenali

Terdapat tiga kaedah untuk mengenal pasti darah istihadah dan membezakannya daripada haid atau nifas.

Kaedah 1: Meneliti Ciri-Ciri Darah (Tamyiz)

Sekiranya darah tersebut kehitaman, bererti ia adalah darah haid. Jika sebaliknya, ia adalah darah istihadah.

Sekiranya seorang perempuan dapat membezakan darah yang keluar sama ada darah haid atau istihadah melalui pemerhatian terhadap kebiasaannya, dia boleh menggunakan kaedah ini untuk menentukan hukum.

Ini berdasarkan apa yang berlaku ke atas Fatimah binti Hubaisy r.ha. ketika didatangi darah istihadah.

Rasululullah SAW memberikan panduan untuk mengklasifikasikan darah haid atau istihadah.

Jika darah haid, ia adalah berwarna hitam yang biasa dikenali. Jika darah haid itu keluar hendaklah kamu berhenti dan jangan kamu menunaikan solat. Jika ia (darah) yang lain (bukan darah haid), hendaklah kamu berwuduk dan bersolat, justeru ia adalah darah yang keluar daripada saluran darah (darah istihadah).

— Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Taharah: Bab sesiapa yang berkata apabila haid hendaklah meninggalkan solat.
Contoh Kes

Seorang wanita yang mengalami pendarahan secara berterusan, tetapi pada hari kesepuluh kelihatan perbezaan sifat darah:

WARNA

Sehingga hari kesepuluh, darah berwarna hitam (merah kehitaman) manakala selepas itu, ia berwarna merah. Maka darah yang berwarna hitam adalah haid, darah yang berwarna merah adalah istihadah.

KEPEKATAN

Sehingga hari kesepuluh, darah bersifat pekat manakala selepas itu menjadi cair. Maka darah yang pekat adalah haid, darah yang cair adalah istihadah.

BAU

Sehingga hari kesepuluh, darah memiliki bau manakala selepas itu, tiada lagi bau. Maka darah yang berbau itu adalah haid, dan darah yang tidak berbau adalah istihadah.

Kaedah 2: Berdasarkan Kebiasaan Seorang Perempuan

Ini berdasarkan riwayat Aisyah r.ha. tentang Fatimah binti Hubaisy r.ha yang bertanya kepada Rasulullah berkaitan masalah istihadah, adalah dia perlu meninggalkan solat. Baginda menjawab:

Tidak, kerana ia adalah darah yang keluar daripada saluran darah (darah istihadah). Tinggalkanlah solat pada tempoh haid yang biasa bagi kamu, kemudian hendaklah kamu mandi dan mendirikan solat.

(Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab Haid)

Perkara yang sama berlaku kepada Ummu Habibah r.ha, isteri Abdul Rahman bin al-‘Auf, apabila dia mengadu kepada Rasulullah SAW tentang istihadah.

Rasulullah berkata kepadanya:

Duduklah (tanpa perlu bersolat) selama tempoh yang biasanya kamu haid. Selepas itu mandilah (mandi junub). (Berikutan itu) dia mandi setiap kali mahu bersolat

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Haid: Bab perempuan istihadah, mandinya dan solatnya)
Contoh Kes

Sekiranya kebiasaan tempoh haid seorang perempuan adalah lima hari setiap bulan, kemudian suci selama 14 hari dan kemudian keluar darah lebih daripada kedua-dua masa tersebut, maka darah tersebut adalah darah istihadah.

Kaedah 3: Berdasarkan Kebiasaan Wanita Lain

Wanita yang tidak memiliki masa (tempoh dan putaran) haid yang tetap dan tidak juga memiliki sifat-sifat darah yang dapat dibezakan antara haid dan istihadah, maka baginya masa haid diukur berdasarkan kebiasaan kaum wanita terdekat, waktu selebihnya dikira sebagai istihadah.

Misalnya wanita yang menghadapi kes seperti ini melihat darah keluar secara berterusan bermula pada hari Khamis yang pertama dalam bulan tersebut.

Maka dia hendaklah melihat kebiasaan para wanita yang lain yang dekat dengannya dan menjadikan tempoh haid mereka sebagai ukuran ke atas dirinya.

Jika pada kebiasaannya mereka didatangi haid selama enam atau tujuh hari, maka demikianlah juga ukuran ke atas dirinya.

Oleh itu enam atau tujuh hari yang pertama pendarahan, bermula daripada hari Khamis, dianggap sebagai haid. Hari-hari seterusnya dianggap sebagai istihadah.

Kaedah yang dicetuskan para fuqaha sejak berabad lamanya ini mempunyai landasan yang tepat berdasarkan kajian saintifik moden.

Berdasarkan pemerhatian, ritma putaran haid seorang wanita berubah berdasarkan pelbagai faktor seperti pemakanan, jenis pekerjaan dan bangsa.

Perbezaan Darah Haid Dan Istihadah

Perbezaan keadaan darah bagi menentukan darah haid atau istihadah adalah seperti berikut:

Darah Pekat (Kuat) Dianggap Sebagai Darah haidDarah Cair (Lemah) Dianggap Sebagai Darah Istihadah
Merah Pekat (Kehitaman)Merah
Merah PekatMerah Muda
MerahKuning
Merah MudaKeruh

Perbezaan Sifat Antara Darah Kuat Dan Darah Lemah

Keadaan Darah Kuat Keadaan Darah Lemah
Darah kental atau likatDarah cair
Darah berbau kuatDarah kurang baunya

Kaedah Pengiraan Darah Istihadah

Bagaimanakah kaedah pengiraan untuk membezakan haid dan istihadah?

Adakah sekadar kurang 15 hari 15 malam dikira haid, dan jika lebih dikira sebagai istihadah?

Sebagaimana yang kita sedia maklum, sebanyak-banyak tempoh haid ialah 15 hari 15 malam menurut mazhab Syafi’e.

Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyah halaman 51:

Sekurang-kurang (tempoh) haid sehari semalam. Sebanyak-banyak (tempoh) haid 15 hari 15 malam.

Justeru itu, maka difahami bahawa darah yang keluar dalam tempoh 15 hari 15 malam dan berhenti sebelum masuk hari ke-16 adalah darah haid, walaupun kiraannya menyalahi adat dan kebiasaan sebelum ini.

Dijelaskan dalam kitab al-Najmu al-Wahhaj Fi Syarhi al-Minhaj juz 1 halaman 498:

Seorang wanita melihat (keluar darah) dalam tempoh umur haid (sembilan tahun dan ke atas) sekurang-kurangnya (sehari semalam) dan tidak melepasi sebanyak-banyaknya (15 hari 15 malam), maka kesemuanya adalah haid, sama ada bersamaan tempoh tersebut dengan adat sebelum ini atau sebaliknya, juga sama ada sama warnanya atau berbeza. Ini kerana syarat-syarat haid telah berkumpul padanya.

Ini bermakna, darah yang keluar semula pada hari yang ke-16 meskipun telah berhenti sekejap sebelumnya, ia dihukumkan sebagai darah istihadah.

Hal ini kerana ia keluar sebelum cukup sekurang-kurangnya tempoh suci, iaitu 15 hari 15 malam.

Contoh Situasi

Untuk memahami permasalahan ini dengan lebih jelas, sila teliti contoh-contoh berikut:

PertamaKhadijah mendapati darahnya mula keluar pada jam 10.00 pagi 1 Muharam. Justeru, tempoh 15 hari 15 malam bagi beliau ialah pada jam 10.00 pagi 16 Muharam. Sekiranya darah Khadijah berhenti sebelum melepasi jam 10.00 pagi 16 Muharam, maka kesemua darah tersebut dikira sebagai darah haid.

Katakanlah darah Khadijah berhenti tepat pada jam 10.00 pagi 16 Muharam, maka darah yang keluar sejak jam 10.00 pagi 1 Muharam sehingga 10.00 pagi 16 Muharam masih dikira sebagai haid. Kadarnya ialah 15 hari 15 malam, iaitu kadar maksimum tempoh haid.

Namun jika darahnya keluar semula sebelum cukup tempoh suci 15 hari 15 malam, maka darah tersebut dihukumkan sebagai darah istihadah.
KeduaAsma’ mula keluar darah pada jam 10.00 pagi 1 Muharam. Justeru, tempoh 15 hari 15 malam bagi beliau ialah pada jam 10.00 pagi 16 Muharam.

Jika darahnya keluar berterusan tanpa henti sehingga melepasi jam 10.00 pagi 16 Muharam, maka perlu dilihat dan dikenalpasti semula dimanakah status dan posisi dirinya antara tujuh kategori wanita mustahadah (sila rujuk bahagian seterusnya di bawah).

Setelah mengetahui perkara tersebut dengan jelas, maka ketika ini boleh ditentukan tempoh haid yang sebenar, dan begitu juga tempoh istihadah.

Golongan Wanita Mustahadah

Mustahadah (مستحاضة) bermaksud wanita yang mengalami istihadah.

Memahami anda berada pada golongan yang mana adalah penting bagi menentukan hukum yang akan terpakai terhadap diri anda.

Berikut adalah penjelasan berserta contoh bagi setiap golongan wanita mustahadah.

1. Mubtadaah Mumayyizah

Iaitu wanita yang kali pertama keluar darah haid dan dia mampu membezakan sifat-sifat darah yang tiga;

  • Warna darah (hitam, merah, perang, kuning, keruh)
  • Bau darah (hanyir kuat, hanyir tidak kuat)
  • Kepekatan darah

Darah yang bersifat kuat dihukumkan sebagai darah haid, manakala darah yang bersifat lemah dikira istihadah dengan dua syarat, iaitu:

  1. Darah yang bersifat kuat itu keluar tidak kurang sehari semalam.
  2. Darah yang bersifat kuat itu keluar tidak lebih 15 hari 15 malam.

Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab Minhaj al-Tholibin Wa ‘Umdatu al-Muftiin halaman 19, terjemahannya:

Jika darah tersebut melepasi sebanyak-banyak tempoh haid (15 hari 15 malam), maka perlu dilihat sama ada wanita tersebut kali pertama datang haid dan dia mampu membezakan sifat darah; yang kuat dan yang lemah. Darah yang lemah itu merupakan darah istihadah, manakala darah yang kuat itu ialah haid dengan syarat (tempoh keluarnya) tidak kurang sehari semalam dan tidak lebih 15 hari 15 malam.

Contoh Situasi

Ain baru sahaja datang haid buat pertama kalinya pada bulan Ramadan.

Pada jam 7.00 pagi 1 Ramadan, darahnya mula keluar. Sifat darah yang keluar adalah pekat berwarna hitam serta kuat baunya dan berterusan sehingga jam 9.00 pagi 8 Ramadan.

Selepas itu, warna darah kian bertukar kemerahan sehinggalah jam 7.00 pagi 19 Ramadan.

Justeru itu, tempoh haid Ain ialah selama tujuh hari dua jam, iaitu tempoh darah hitam bermula dari 7.00 pagi 1 Ramadan sehingga 9.00 pagi 8 Ramadan.

Manakala darah merah yang keluar selepas jam 9.00 pagi 8 Ramadan sehingga 7.00 pagi 19 Ramadan adalah darah istihadah.

Ini kerana darah hitam itu adalah darah yang bersifat kuat, manakala darah merah adalah darah yang lemah sifatnya.

2. Mubtadaah Ghair Mumayyizah

Iaitu wanita yang kali pertama keluar darah haid namun dia tidak mampu membezakan sifat-sifat darah yang tiga itu.

Justeru itu, hukum yang terpakai padanya ialah tempoh haidnya sehari semalam sahaja dan tempoh sucinya selama 29 hari.

Maka, darah yang keluar dalam tempoh suci itu dihukumkan sebagai darah istihadah.

Daur (kitaran haid dan sucinya) adalah sebanyak 30 hari sekiranya darah masih keluar tanpa henti melebihi 30 hari.

Imam al-Nawawi menjelaskan hal ini dalam kitab Minhaj al-Tolibin Wa ‘Umdatu al-Muftiin halaman 19-20, terjemahannya:

Atau wanita yang pertama kali datang haid namun dia tidak mampu membezakan sifat darah seperti dia melihat darah hanya satu sifat sahaja, atau tidak ada satu pun syarat tamyiz, maka menurut pandangan yang lebih zahir ialah haidnya sehari semalam dan tempoh sucinya sebanyak 29 hari.

Contoh Situasi

Habsah datang haid buat pertama kalinya.

Darahnya bewarna hitam pekat serta berbau kuat bermula jam 7.00 pagi 1 Ramadan sehinggalah 15 Syawal.

Meskipun panjang tempohnya, namun warna darah, bau dan pekatnya sama sahaja.

Dalam keadaan ini, tempoh haid Habsah hanyalah sehari semalam sahaja, iaitu bermula jam 7.00 pagi 1 Ramadan sehingga 7.00 pagi 2 Ramadan.

Selepas tempoh tersebut (jam 7.00 pagi 2 Ramadan sehingga jam 7.00 pagi 1 Syawal), darah yang keluar dihukumkan sebagai darah istihadah.

Kemudian, bermula dari jam 7.00 pagi 1 Syawal sehingga 7.00 pagi 2 Syawal, darah tersebut dikira kitaran haid yang baharu baginya.

Selepas jam 7.00 pagi 2 Syawal sehinggalah 15 Syawal, darah yang masih keluar dianggap darah istihadah.

3. Mu’tadah Mumayyizah

Iaitu wanita yang pernah keluar darah haid sebelum ini dan dia mampu membezakan sifat-sifat darah yang tiga, iaitu:

  • Warna darah (hitam, merah, perang, kuning, keruh)
  • Bau darah (hanyir kuat, hanyir tidak kuat)
  • Kepekatan darah

Hukumnya sama seperti hukum mustahadah bagi kategori wanita pertama; mubtadaah mumayyizah

Justeru itu, haidnya ialah darah yang sifatnya kuat dan istihadahnya ialah darah yang sifatnya lemah berasaskan dua syarat yang telah dinyatakan sebelum ini (tempohnya tidak kurang sehari semalam dan tidak lebih 15 hari 15 malam).

Imam al-Nawawi menjelaskan hal ini dalam kitab Minhaj al-Tolibin Wa ‘Umdatu al-Muftiin halaman 20, terjemahannya:

Dihukumkan bagi mu’tadah mumayyizah dengan tamyiznya (sifat darah; kuat ialah haid, lemah ialah istihadah), bukannya dengan adat sebelumnya. Ini menurut padangan yang lebih sahih.

4. Mu’tadah Ghair Mumayyizah

Iaitu wanita yang pernah datang haid sebelum ini namun tidak mampu membezakan sifat-sifat darah yang tiga.

Justeru itu, hukum haidnya adalah sama tempoh dan kadarnya sebagaimana bulan sebelumnya.

Dalam erti kata lain, kaedah menghukumkannya adalah berpandukan tempoh kebiasaan haidnya pada bulan-bulan sebelum dari sudut nisbah kadar dan waktunya.

Contoh Situasi

Pada bulan lepas, Dayah datang haid pada jam 10.00 pagi 3 Syaaban sehinggalah 1.00 petang 10 Syaaban.

Ini bermakna, kadar haidnya ialah tujuh hari tiga jam. Waktunya adalah pada awal bulan.

Menjelang 1 Ramadan pada jam 8.00 pagi, dia mendapati ada darah berwarna merah cair dan berbau keluar sehingga jam 8.00 pagi 20 Ramadan.

Sepanjang tempoh tersebut, sifat-sifat darah sama sahaja, tidak ada perbezaan walaupun sedikit.

Justeru itu, haidnya dikira bermula jam 10.00 pagi 3 Ramadan sehingga 1.00 petang 10 Ramadan sebagaimana adat dan kebiasaannya pada bulan lepas (Syaaban).

Darah yang keluar bermula jam 8.00 pagi 1 Ramadan sehingga jam 10.00 pagi 3 Ramadan dihukumkan sebagai darah istihadah.

Begitu juga darah yang masih keluar selepas jam 1.00 petang 10 Ramadan sehingga jam 8.00 pagi 20 Ramadan, ia juga dikira darah istihadah.

5. Mutahiyyarah Zakirah Lil Wakti Dun al-Kadr

Iaitu wanita yang pernah keluar darah haid sebelum ini.

Namun pada bulan ini, darah keluar melebihi 15 hari 15 malam dan dia tidak mampu membezakan sifat-sifat darah tersebut.

Adapun tempoh haidnya pada bulan lepas, dia hanya ingat waktunya sahaja dan lupa kadarnya.

6. Mutahiyyarah Zakirah Lil Kadr Dun al-Wakt

Iaitu wanita yang pernah keluar darah haid sebelum ini.

Namun pada bulan ini, darah keluar melebihi 15 hari 15 malam dan dia tidak mampu membezakan sifat-sifat darah tersebut.

Adapun tempoh haidnya pada bulan lepas, dia hanya ingat kadarnya sahaja dan lupa waktunya.

7. Mutahiyyarah Muthlaqah

Iaitu wanita yang pernah keluar darah haid sebelum ini.

Namun pada bulan ini, darah keluar melebihi 15 hari 15 malam dan dia tidak mampu membezakan sifat-sifat darah tersebut.

Adapun tempoh haidnya pada bulan lepas, dia terlupa kadar dan waktunya.

Sejujurnya, tiga kategori terakhir ini (golongan 5, 6 & 7) melibatkan perbahasan yang panjang oleh para ulama.

Justeru itu, untuk memahami perbahasannya dengan jelas, maka perlu bertalaqqi dengan guru yang alim dan mahir dalam bab haid dan istihadah.

Hukum Taharah Untuk Wanita Istihadah

Jumhur fuqaha sepakat menyatakan bahawa wanita istihadah WAJIB berwuduk setiap kali solat.

Tetapi sebelum itu, perempuan tersebut hendaklah membersihkan farajnya daripada darah dan menutup farajnya dengan kain, kapas atau lebih baik dengan tuala wanita untuk menghalang darah mengalir keluar.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Hamnah ketika dia mengadu tentang darah istihadah yang terlalu banyak.

Baginda SAW bersabda, maksudnya:

Elok untuk kamu gunakan kapas, kerana ia menghilangkan (menyerap) darah

(Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Dalil yang menyatakan perempuan istihadah wajib berwuduk untuk setiap solat fardu adalah berdasarkan ulasan Rasulullah SAW tentang wanita istihadah.

Baginda SAW bersabda, maksudnya:

(Perempuan tersebut) hendaklah meninggalkan solat pada (kebiasaan) waktu haidnya. Kemudian mandi dan berwuduk pada setiap solat, dan berpuasa dan bersolat (seperti biasa).

(Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan al-Tirmizi, kitab Taharah Rasulullah SAW: Bab tentang perempuan istihadah berwuduk pada setiap solat)

Ini kerana wuduk perempuan haid hanya taharah darurat, dan ia bergantung dengan waktu, seperti tayamum.

Niat Wuduk Perempuan Istihadah

Wuduk yang diambil oleh perempuan istihadah hanya untuk membolehkannya menunaikan solat kerana darurat, sedangkan ia tidak mengangkat hadas besar.

Oleh itu, dia hendaklah berniat wuduk atau niat mengharuskan solat dan sebagainya:

niat wuduk istihadah

Maksudnya: “Aku berwuduk”

niat wuduk istihadah

Maksudnya: “Aku berniat untuk mengharuskan apa yang memerlukan kepada wuduk”

niat wuduk istihadah

Maksudnya: “Aku berniat untuk mengharuskan solat”

Keempat-empat mazhab juga sepakat menyatakan bahawa perempuan istihadah hanya wajib mandi sekali sahaja.

Penutup

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada para pembaca.

InsyaAllah, tulisan ini saya akan kemaskini dari masa ke semasa agar ia menjadi semakin lengkap, dan memudahkan anda mencari maklumat yang diperlukan mengenai istihadah.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan topik, anda boleh tinggalkan komen pada ruangan di bawah.

(Jangan lupa untuk sahkan persetujuan menerima notifikasi dalam emel anda)

InsyaaAllah saya akan menjawab setiap soalan yang ditinggalkan.

Nota Rujukan:

  • Indahnya hidup bersyariat — Dato’ Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid
  • Soal Jawab Fiqh Ibadah Jilid 1, Bab Taharah, Darah Wanita & Solat — Ustaz Abu Usamah @ Mohd Hanafiah Haji Hussin
  • Ensiklopedia Solat — Rohizir Rais, Fuad Ismail & Mohd Wahid Abd Hanif
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

66 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Aisyah
Aisyah
2 bulan yang lalu

Assalam ustaz, kitaran haid sy betubah dari 29 ke 26 dan kini 23 . Ia menyebabkan tempoh suci sy kurang 15 hari selama 3 bulan berturut-turut. Ciri ii darah yg keluar serupa dgn darah haid . Adakah ia dikira darah istihadhah ?

Rai
Rai
2 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz
Mohon pencerahan . Saya haid 19.9 . Kemudian 27.9 saya dah solat. Tetapi 30.9 darah pekat , hitam dan bercampur merah telah keluar dan ia semakin banyak berterusan pada hari berikutnya . Darah ini tidak berhenti dan sifat nya sama seperti darah haid.

WAJIB kah saya melaksanakan solat sekiranya darah masih keluar deras walaupun selepas tamat tempoh haid 15 hari 15 malam?

Adakah ini darah haid atau stihadah kerana sifat darah nya seperti darah haid ?
Mohon bantuan ustaz.

Rai
Rai
Reply to  Muhamad Naim
2 bulan yang lalu

Alhamdulillah terima kasih atas pencerahan nya ustaz.

Ngah
Ngah
2 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz,
bolehkan perempuan yang istihazah solat sunat dahulu di ikuti solat fardhu .. dengan wuduk yang sama . Contoh spt solat sunat subuh n solat fardhu subuh . Terima kasih.

Mira
Mira
3 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz maaf bertanya jika tidak letak kapas sebelum solat adakah solat itu tidak sah

Mira
Mira
Reply to  Muhamad Naim
3 bulan yang lalu

Baik terima kasih ustaz

eli
eli
6 bulan yang lalu

assalamualaikum, izinkan sy bertanya, bagaimana cara untuk tahu istihadhah telah pun berhenti? jazakallahu khairan kathira

aishah
aishah
8 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz…saya nak tanya selepas cukup 15 hari 15 malam keluar haid tu kita kena Mandi wajib dulu ke walaupun Ada darah lagi keluar selepas 15 hari 15 malam tu iaitu darah istihadah ?

Harap ustaz balas sekian terima kasih.

Atul
Atul
8 bulan yang lalu

Assalamualaikum,

Kalau qada solat, adakah satu wudhu untuk satu qada solat sama seperti solat fardhu, atau satu wudhu boleh guna untuk banyak kali qada solat?

Terima kasih:)

yuna
yuna
9 bulan yang lalu

adakah perempuan istihadah perlu mandi wajib lg sekali selepas mendapati darah istihadh nya telah bethenti?

Huda
Huda
10 bulan yang lalu

Salam ustaz, sy nak tanya, adakah terbatal solat saya selama ini (ketika waktu sy mengalami istihadah),apabila saya hanya berniat wuduk “sengaja aku mengambil wuduk krn Allah taala” kerana sy langsung tidak tahu ada niat khas wuduk utk org istihadah.terima kasih

Huda
Huda
Reply to  Muhamad Naim
10 bulan yang lalu

Terima kasih ustaz atas penjelasannya.utk makluman ustaz, sy bertanyakan soalan yg sama kpd seorang ustazah tetapi jawapannya solat saya spjg sy istihadah itu, automatik terbatal kerana niat wuduk saya salah (tidak berniat wuduk utk org istihadah).sy cuba bertanyakan pd ustaz semula disini utk kepastian.

Nur
Nur
1 tahun yang lalu

Salam, bolehkan solat dengan pakaian yg ada terkena darah istihadah?