Ini adalah panduan lengkap tentang haid.
Segala perkara berkaitan haid seperti warna darah haid, usia haid, tempoh masa haidh dan masa suci, dan sebagainya akan diterangkan secara lengkap dalam panduan ini.
Panduan ini sedaya upaya menggunakan bahasa yang mudah agar difahami oleh semua orang.
Semoga bermanfaat.
- Pengenalan: Penerangan Haid Secara Ringkas
- Takrif Haid
- Warna Darah Haid
- Kaedah Kiraan Tempoh Haid
- Tanda Haid Telah Berhenti (Waktu Suci)
- Adakah Perlu Tunggu Kering Darah Sehari Semalam Sebelum Mandi Wajib?
- Tempoh Masa Antara Dua Haid (TEMPOH SUCI)
- Perkara Yang Diharamkan Semasa Haid
- Cara Mandi Wajib Haid
- Darah Keluar Ketika Hamil
- Usia Putus Haid (Menopaus)
- Penutup
Pengenalan: Penerangan Haid Secara Ringkas
Apakah yang dimaksudkan dengan haid?
Darah haid adalah darah yang keluar daripada rahim perempuan yang sihat, yang tidak ada sesuatu sebab.
Menurut kebiasaan, perempuan akan didatangi haidh apabila dia meningkat umur 9 tahun, biasanya waktu berumur 12 tahun.
Tempoh keluar darah haid berlaku minimum sehari semalam dan maksimum 15 hari 15 malam.
Pada kebiasaannya (tempoh normal) ialah tujuh hari tujuh malam.
Apabila sudah lebih daripada 15 hari 15 malam, maka itu bukanlah darah haid lagi, tetapi dikenali sebagai darah istihadah (darah penyakit).
Sekurang-kurangnya tempoh suci antara dua haid adalah 15 hari dan tiada tempoh berapa lama waktu suci.
Jika seorang perempuan berhenti haidnya, maka wajiblah dia mandi wajib.
Daripada Aisyah dia berkata:
Fatimah binti Abi Hubaisy mendatangi Nabi SAW seraya berkata; “Wahai Rasulullah, aku adalah seorang perempuan berdarah istihadah, maka aku tidak suci, apakah aku harus meninggalkan solat?
Maka baginda bersabda; “Darah tersebut adalah darah penyakit bukan haidh, apabila kamu didatangi haid hendaklah kamu meninggalkan solat. Apabila darah haid berhenti dari keluar, hendaklah kamu mandi dan mendirikan solat”
(Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, kalau darah itu darah istihadah, maka solat tetap wajib dikerjakan.
Caranya dibersihkan darah (mandi) itu terlebih dahulu kemudian berwuduk, dipakai tuala wanita dan kemudian solat.
Tiba suatu masa, semua perempuan akan mengalami putus haid, yakni tidak lagi mengalami haid.
Menurut pendapat sebahagian ulama menyatakan perempuan putus haidh apabila mencapai umur 60 tahun dan ada juga yang mengatakan seawal umur 50 tahun.
Beginilah penerangan secara ringkas mengenai haid.
Perbincangan ini akan dibahaskan secara panjang lebar pada bahagian di bawah.
Takrif Haid
Dari Sudut Bahasa
Haid ialah perkataan dasar yang berasal daripada kata kerja hada (حَاضَ), yang bermaksud mengalir.
Kata tunggal bagi haid (حيضة), dan jamaknya adalah haidh (حيض) atau haidat (حيضات). Perkataan hiyad (حياض) pula bermaksud darah haid.
Dari Sudut Istilah
Haid ialah darah kotor yang keluar daripada seorang perempuan yang sihat, bukan kerana melahirkan anak.
Darh ini berasal daripada rahim wanita yang baligh dan ia datang pada setiap bulan.
Usia Bermula Haid
Umur wanita didatangi haid sekurang-kurangnya sembilan tahun.
Ertinya tidak ada wanita yang berumur dibawah sembilan tahun yang datang haid.
Ini berdasarkan dalil berikut:
Hadis Mauquf dari Aisyah r.a. yang mengatakan:
Apabila kanak-kanak perempuan sudah berumur sembilan tahun bererti dia sudah termasuk imraah (wanita baligh)
Wanita belum bersedia hamil dan belum sanggup mendidik anak jika kurang dari sembilan tahun.
Demikianlah kajian yang dijalankan terhadap kaum wanita yang didatangi darah haid.
Dan berdasarkan kajian ini juga wanita yang melihat darah keluar dari kemaluannya sedangkan umurnya belum mencapai sembilan tahun, maka darah itu tidak dikira sebagai darah haidh.
Warna Darah Haid
Bagaimanakah warna darah haid?
Menurut ulamak; warna-warna darah haidh ada lima, iaitu;
- Hitam
- Merah.
- Asyqar (warna antara merah dan kuning) / Perang
- Kuning.
- Keruh.
Darah haid tidak bermula dan berakhir dengan satu sifat tertentu sahaja kerana kadangkala ianya berlaku perubahan warna dari satu tahap ke satu tahap.
Menurut ulama-ulama mazhab Syafi’e, terdapat 5 warna bagi darah haid: hitam, merah, warna antara keemasan dan merah, kuning dan keruh (warna antara kuning dan putih).
Menurut ulama Hanafi pula, terdapat 6 warna darah haid: hitam, merah, kuning, keruh, hijau, dan warna seperti tanah.
Kebiasaannya, mula-mula datang haid berwarna hitam, kemudian berubah kepada merah, kemudian antara merah dan kuning, kemudian kuning dan akhirnya keruh (yakni antara putih dan hitam).
Warna Kuning Atau Keruh, Adakah Dikira Sebagai Haid?
Tanda habisnya haid ialah warna putih atau tiada sebarang warna (jernih).
Apabila hilang semua warna-warna tadi sama ada kelihatan warna putih (seperti kapur putih yang disebut oleh Aisyah r.a. dalam hadisnya) atau tidak kelihatan sebarang warna, maka itu tandanya darah haidh telah habis.
Ketika itu, barulah ia boleh mandi dan melakukan ibadah sebagaimana wanita yang suci.
Kebanyakan ulama berpendapat dengan pendapat sohih di kalangan fuqaha’ Syafi’e, warna kuning dan keruh tidak dianggap sebagai haid JIKA kedatangannya BUKAN pada waktu haid.
Berlainan pula JIKA kedatangannya PADA waktu haid, maka ia (warna kuning atau keruh) dikira sebagai darah haid.
Abu Yusuf mengatakan:
Warna kuning adalah haid sementara warna keruh bukannya haid kecuali jika didahului oleh darah.”
Ini bermakna:
— Jika ia (warna kuning atau keruh) datang sebelum haid, maka ia bukannya haid.
Menurut pendapat Abu Thaur, jika warna kuning atau keruh itu didahului oleh darah maka kedua-duanya dikira sebagai haidh.
Warna kuning dan keruh hanya dianggap haid pada hari-hari kebiasaan haid.
Ini berpandukan kepada hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; para wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid*
*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh
Lalu ‘Aisyah menjawab;
Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”.
(Riwayat Imam al-Bukhari)
Adapun selepas hari kebiasaan haid (yakni pada hari-hari suci), maka warna kedua-duanya tidak dianggap darah haid.
Ini berdasarkan kenyataan Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menyebutkan;
Kami tidak menghitung warna keruh dan juga kuning selepas suci (yakni setelah habis haidh) sebagai sesuatu (dari darah haidh)”.
(Riwayat Imam Bukhari dan Abu Daud)
Kaedah Kiraan Tempoh Haid
Seperti yang dijelaskan, tempoh maksimum haid adalah 15 hari 15 malam.
Dan tempoh minimum haid ialah sehari semalam.
Bagaimana yang dikatakan darah keluar sehari semalam itu?
Adakah darah perlu keluar secara berterusan dalam tempoh tersebut sehingga mencukupi syarat untuk dikatakan sebagai darah haid?
Atau kiraannya adalah lain?
Baiklah, disini akan diterangkan berkaitan kaedah kiraan tempoh haid:
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, pandangan muktamad dalam Mazhab Syafi’e berkenaan tempoh minimum haid ialah keluar darah yang kadarnya sebanyak sehari semalam (24 jam).
Hal ini dinyatakan dalam beberapa kitab seperti berikut:
1. Kitab Mughni al-Muhtaj juz. 2 halaman 28:Sekurang-kurang tempoh haid ialah sehari semalam, yakni dengan kadar sehari semalam
2. Kitab Hashiyah al-Bujairami ‘Ala al-Khatib juz 3 halaman 220:
Iaitu 24 jam pengiraan falak
Pertama: Jika Darah Keluar Secara Berterusan
Jika darah tersebut keluar secara berterusan tanpa henti, maka kaedah pengiraan sehari semalamnya bermula sejak darah keluar sehingga cukup 24 jam.
Contoh:
Aina mendapati darah haidnya mula keluar pada hari Ahad jam 8.00 pagi. Maka pada jam 8.00 pagi hari Isnin, cukuplah tempoh sehari semalam darahnya keluar.
Sekiranya dalam tempoh tersebut darahnya keluar berterusan tanpa henti, maka darah tersebut dihukumkan sebagai darah haid kerana ia telah mencapai tempoh minimum haid iaitu 24 jam.
Namun jika darah Aina berhenti pada jam 7.00 pagi pada hari Isnin, maka darah tersebut bukanlah darah haid kerana belum mencapai tempoh minimum iaitu 24 jam.
Dari sudut hukum, darah yang keluar selama 23 jam itu dikira darah fasad atau dipanggil juga darah istihadah.
Maka Aina wajib mengerjakan solat ketika itu tanpa perlu mandi hadas disamping wajib qada semula solat yang ditinggalkan dalam tempoh 23 jam itu.
Kedua: Jika Darah Keluar Secara Putus-Putus
Jika darah tersebut keluar secara putus-putus dan tidak berterusan, maka kaedah pengiraannya ialah dengan mengumpulkan keseluruhan tempoh darah keluar sepanjang 15 hari.
Seandainya tempoh keseluruhannya cukup sehari semalam, maka darah tersebut dihukumkan sebagai darah haid.
Akan tetapi, jika tidak mencapai tempoh minimum tersebut, maka darah tersebut tidak dikira darah haid, tetapi darah fasad ataupun istihadah.
Contoh:
Farah mendapati ada darah keluar pada hari Ahad bermula jam 8.00 pagi sehingga 2.00 petang (6 jam).
Kemudian darah tersebut berhenti sementara dan keluar semula pada bermula jam 8.00 pagi Isnin sehingga pukul 5.00 petang (9 jam).
Sejurus selepas itu, darah tersebut berhenti dan keluar semula pada hari Selasa bermula jam 9.00 pagi hingga pukul 6.00 petang (9 jam).
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, tindakan yang perlu dilakukan untuk mengenalpasti sama ada darah tersebut haid atau sebaliknya ialah dengan mengumpulkan keseluruhan tempoh masa darah keluar.
Ini bermakna, 6 jam pada hari Ahad + 9 jam pada hari Isnin + 9 Jam pada hari Selasa dan mencapai cukup 24 jam.
Justeru, darah tersebut dikira sebagai darah haid.
Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa kitab seperti berikut:
1. Imam al-Haramain menyatakan dalam kitab Nihayah al-Matlab Fi Dirayah al-Mazhab juz 1 halaman 4202. Kitab Hawasyi al-Syarawani Wa al-‘Abadi juz 1 halaman 385:Adapun darah-darah dihimpunkan dalam tempoh 15 hari 15 malam itu sampai tempoh minimum haidh (24 jam) meskipun setiap satu tempoh keluar darah itu sendiri tidak sampai tempoh minimum tersebut, maka pandangan yang sahihnya adalah darah-darah tersebut dihukumkan sebagai haidh.
Jika jumlah tempoh darah-darah yang keluar secara putus-putus itu mencapai kadar sehari semalam, maka kesemuanya dikira darah haidh.. namun jika tempohnya tidak cukup sehari semalam, maka darah tersebut bukanlah haidh secara mutlak (tanpa ada pengecualian).
3. Kitab Mughni al-Muhtaj juz 2 halaman 28:
Bahkan maknanya ialah apabila seorang wanita melihat darah-darah keluar yang tempohnya tidak cukup sehari semalam akan tetapi apabila dikumpulkan nescaya cukup sehari semalam secara bersambung, maka memadailah keadaan tersebut untuk menghasilkan sekurang-kurang (tempoh minumum) haidh.
Tanda Haid Telah Berhenti (Waktu Suci)
Antara tanda atau alamat seseorang wanita itu suci daripada haid atau nifas ada dua:
- Kering daripada darah
- Keluar cecair putih
Kering daripada darah itu bukanlah ditentukan dengan sekadar melihat tiada darah di permukaan faraj, tetapi dengan memasukkan kapas ke dalamnya.
Jika warnanya putih bersih setelah dikeluarkan, maka ia tanda bersih daripada darah.
Namun jika warnanya berubah dengan warna lain seperti kekuningan atau kemerahan, maka ia dikira masih haid atau nifas.
Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah juz 18 halaman 310:
Suci daripada haid itu tercapai dengan salah satu daripada dua perkara; iaitu berhenti darah dan melihat ada cecair putih. Dimaksudkan dengan berhenti darah ialah kering daripada darah, iaitu kapas yang dikeluarkan (dari faraj) tidak tercemar dengan darah, warna keruh atau kuning.
Ini pula merupakan pendapat yang dipegang dalam mazhab Hanafi, Syafi’e dan Maliki:
- Menurut Al-Imam al-Nawawi r.h, tanda terputusnya haidh dan wujudnya suci adalah apabila berhentinya darah yang keluar dan cairan kuning dan keruh. Apabila terputus darah yang keluar maka wanita itu menjadi suci sama ada selepasnya keluar lembapan berwarna putih (keputihan) ataupun tidak.
- Menurut Aisyah isteri Rasulullah saw (kisah): Pernah beberapa orang wanita menghantar kepada Aisyah perca kain yang didalamnya terdapat kapas yang mempunyai kesan warna kuning, lalu Aisyah berkata: “Janganlah kamu gopoh melainkan setelah mendapati qissah (kapas) putih”.
- Menurut Asma’ binti Abu Bakar r.a, beliau pernah ditanyakan tentang sedikit warna kuning, lalu beliau berkata: “Tinggalkan sembahyang selagi mereka (kaum wanita) masih mendapati yang demikian sehinggalah ia tidak melihat melainkan seperti susu yang bersih”.
Cara Memastikan Darah Haid Telah Benar-Benar Berhenti / Habis
Cara untuk memastikan darah haid telah berhenti adalah:
Hendaklah dilakukan pemeriksaan terhadap faraj, iaitu dengan memasukkan cebisan kain, kapas atau sebagainya ke dalam faraj dan melihat sama ada masih terdapat kesan darah haid atau tidak.
Jika tidak ada kesan darah haid sama ada tidak nampak sebarang warna pada kain/kapas tersebut atau nampak warna putih seperti kapur, maka ketika itu barulah diharuskan mandi.
Jika masih ada sebarang kesan warna darah atau warna kuning atau keruh, tidak harus mandi lagi kerana darah haidh belum habis.
Kaedah pemeriksaan di atas diambil daripada amalan wanita-wanita sahabat sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.;
Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid.
Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”
(HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik).
Adakah Perlu Tunggu Kering Darah Sehari Semalam Sebelum Mandi Wajib?
Timbul beberapa persoalan berkaitan waktu haid berhenti:
- Jika hendak mandi wajib, benarkah perlu tunggu sehari semalam selepas haid berhenti?
- Adakah boleh jika kita terus mandi sebaik sahaja darah berhenti?
- Benarkah wanita haid dalam ihram tidak boleh mengerjakan tawaf kecuali selepas 24 jam berhenti haid.
- Adakah solat dan ibadah lain boleh dilakukan dalam tempoh naqa’?
JAWAPAN
Secara umumnya, wanita yang keluar darah haid atau nifas dapat mengetahui darah tersebut telah berhenti apabila kapas yang dimasukkan ke dalam farajnya tidak ada apa-apa kesan darah termasuklah warna keruh.
Menurut istilah fiqh, keadaan sebegini dinamakan sebagai naqa’
Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab Raudah al-Talibin juz 1 halaman 163:
Naqa’: Sekiranya wanita itu memasukkan kapas ke dalam farajnya dan warnanya masih putih setelah dikeluarkan. Penetapan makna naqa’ ini adalah penetapan yang telah dibuat oleh Imam al-Syafi’e dalam kitab al-Umm, dan juga penetapan oleh syeikh-syeikh yang tiga.
Apabila terjadi naqa’ yakni bersih daripada haid dan nifas, maka wajib ke atas wanita tersebut mengerjakan solat fardu.
Adalah suatu kesalahan jika seseorang wanita itu menunggu sehingga tempoh yang tertentu untuk mandi wajib, solat, puasa dan tawaf sedangkan ketika itu darahnya sudah pun berhenti (naqa’), lebih-lebih lagi sehingga menyebabkan dia meninggalkan perkara yang fardu atas dirinya.
Hal ini kerana perkara yang mengharamkan mereka daripada mengerjakan solat, puasa dan tawaf hanyalah haid dan nifas.
Haid dan nifas adalah darah sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Justeru, jika tiada ada darah, maka tidak adalah haid dan nifas.
Allah SWT mensifatkan haidh di dalam al-Quran dengan perkataan al-aza yakni kotor sebagaimana firmanNya:
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang haid. Katakanlah, ‘Haid itu adalah kotor…”
(Surah al-Baqarah 2 : 222)
Berpandukan firman tersebut, kita dapat simpulkan bahawa jika tidak ada darah, maka wanita itu tidak kotor.
Bukankah suatu yang pelik jika wanita yang tidak kotor (tiada darah) padanya, tetapi tetap diberikan hukum kotor, iaitu perlu menanti tempoh yang tertentu dahulu untuk mandi, solat dan tawaf.
Tambahan pula, alasan takut-takut darah keluar semula bukanlah suatu alasan yang boleh diterima.
Hal ini kerana ia adalah suatu andaian dan khayalan yang menyalahi perkara yang zahir.
Dalam kaedah fiqh ada menyebut: لا عبرة بالتوهم
Maksudnya: “Tidak diambil kira suatu andaian atau suatu khayalan”
Dari suatu sudut, benar dan tidak dinafikan berkemungkinan darah akan keluar semula setelah berhenti, tetapi dalam masa yang sama juga, ada kemungkinan darah akan berhenti terus.
Antara dua kemungkinan ini, kemungkinan darah berhenti terus adalah lebih kuat berbanding kemungkinan darah akan keluar semula.
Hal ini kerana tidak ada darah itu adalah zahir yang dapat dilihat, malah ia adalah hakikat asal, sedangkan keluarnya darah itu adalah hal yang baharu.
Justeru, secara zahirnya jika darah telah berhenti, ia tidak akan kembali semula.
Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzah juz 2 halaman 502-503:
Apabila seorang wanita melihat naqa’ (tiada darah) pada hari yang kedua, maka dia perlu mengerjakan pekerjaan (kewajipan) wanita-wanita yang suci tanpa ada khilaf. Hal ini kerana kita tidak mengetahui bahawasanya dia adalah wanita talfiq kerana berkemungkinan berterusan berhenti darah tersebut. Kata ulama mazhab Syafi’e, ‘maka wajib ke atasnya mandi, puasa dan solat. Dan dia juga boleh membaca al-Quran, menyentuh mashaf, bertawaf, beriktikaf dan bersama dengan suaminya. Tiada sedikit pun khilaf dalam hal ini.
KESIMPULAN
Para ulama empat mazhab bersepakat mengatakan wanita yang telah pun suci daripada haid atau nifas tidak perlu tunggu sehari semalam untuk mandi wajib.
Tempoh Masa Antara Dua Haid (TEMPOH SUCI)
Masa suci yang dimaksudkan disini ialah masa antara dua haid.
Seperti dimaklumi, wanita sihat dan normal akan mengalami haid setiap bulan.
Yang akan diterangkan disini adalah selang masa antara haid yang datang setiap bulan itu.
Masa suci itu berlainan menurut ulama, iaitu seperti berikut:
1. Menurut Imam Ahmad, sekurang-kurangnya masa suci (masa antara dua haid) ialah 13 hari.Menurut beliau, seseorang wanita mungkin sahaja selesai iddahnya dalam masa satu bulan, berdasarkan kes seorang wanita yang menemui Ali bin Abi Talib.
Seorang wanita datang menjumpai Ali, katanya dia telah diceraikan oleh suaminya dan dia haidh tiga kali setiap bulan.
Setiap dia suci bererti sudah dikira satu quruk.
Ali menuruh Syuraih untuk menanyakan yang sebenarnya kepada wanita itu, Syuraih berkata kepada Ali:
Kalau ada keluarga yang menyaksikannya dan saksi itu diakui agamanya dan amanahnya tentu kenyataan itu boleh diterima. Kalau tidak bererti apa yang dia katakan itu bohong.
Mendengar yang demikian Abi bin Abu Talib berkata:
Engkau benar
2. Menurut satu pendapat lagi, masa suci itu dilihat dari lamanya seseorang itu haid setiap bulannya.
Bermaksud, sekurang-kurangnya masa suci adalah berdasarkan sebanyak-banyak masa haid.
Orang yang masa haidnya yang paling lama 15 hari bererti masa sucinya yang paling sedikit 15 hari.
Orang yang haidnya paling lama 17 hari bererti masa sucinya yang paling sedikit 13 hari.
3. Pendapat ketiga mengatakan tidak ada batasannya yang paling lama.
Perkara Yang Diharamkan Semasa Haid
Semasa seseorang wanita itu sedang haidh, terdapat beberapa perkara yang diharamkan terhadapnya.
Antaranya adalah:
Bersuci Untuk Mengangkat Hadas
Orang yang sedang haid atau nifas tidak boleh bersuci.
Maksudnya, apa yang dilarang adalah bersuci dengan niat untuk mengangkat (menghilangkan) hadas.
Pada waktu haid dan nifas tidak boleh mandi wajib untuk mengangkat hadas, yakni selama darah belum berhenti.
Yang dibolehkan mandi hanya setakat untuk membersihkan badan daripada bau atau kotoran, yakni mandi biasa.
Kalau ada orang mandi untuk menghilangkan hadas, haid atau nifas, maka hadasnya tidak akan hilang atau terangkat.
Orang yang haid atau nifas juga haram mandi untuk niat ibadat.
Mandi untuk ibadat banyak dijumpai ketika mengerjakan haji. Misalnya mandi untuk ihram, mandi untuk memasuki Kota Makkah, mandi untuk wuquf di Arafah, mandi untuk melontar jamrah dan sebagainya.
Itu semua disunatkan berdasarkan arahan Rasulullah SAW kepada Aisyah r.a ketika beliau haid.
Dari Aisyah r.a bahawa Nabi SAW pernah menemuinya ketika berada di Sarif sebelum masuk ke Makkah, baginda mendapatinya sedang menangis kerana datang bulan, lalu baginda bertanya: “Kenapa, apakah kamu sedang haidh?”
Aisyah menjawab: “Ya”
Wuduk Untuk Solat
Orang yang sedang haid atau nifas tidak boleh berwuduk atau solat.
Kalau orang yang sedang haid atau nifas itu berwuduk, bererti ada yang menafikan, iaitu haid dan nifas.
Haid dikatakan menafikan kerana pada asalnya pun wuduk tidak sah selama ada yang membatalkannya.
Namun demikian dikecualikan juga orang yang istihadah dan orang yang sulusulbaul.
Istihadah bermaksud orang yang berterusan keluar darah dari farajnya, manakala orang sulusulbaul ialah bermaksud orang yang berterusan keluar air kencing dari zakarnya.
Istihadah dan sulusulbaul tidak membatalkan wuduk, bahkan tidak membatalkan solat.
Berpuasa
Orang yang datang haidh diharamkan berpuasa.
Ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diterima dari Abu Sa’id al-Khudri, katanya Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
Apabila (seorang wanita) sedang mengalami haidh, maka dia tidak solat dan tidak puasa. Yang demikian itu menunjukkan kurangnya kewajipan agamanya.
(Hadis riwayat Bukhari)
Namun demikian, wanita-wanita yang meninggalkan puasa kerana haid, mereka wajib mengqada puasa (ganti puasa) itu pada hari yang lain.
Diriwayatkan dari Aisyah r.a, beliau berkata:
Kami dahulu juga mengalami haid, maka kami diperintahkan untuk mengqada puasa dan tidak diperintahkan untuk mengqada solat
(Hadis riwayat Bukhari)
Bersetubuh (Berjimak)
Orang yang sedang haid atau nifas tidak boleh bersetubuh.
Ijmak (sepakat) semua ulama tentang haramnya menyetubuhi wanita haid atau nifas.
Segala perkara dan masalah berkaitan bab ini akan diulas secara lebih terperinci dalam artikel ini
Menceraikan Isteri Yang Haid
Di antara perkara yang haram bagi orang haidh termasuklah talak.
Maksudnya, seorang suami berdosa menceraikan isterinya yang sedang haid.
Ini berdasarkan firman Allah, maksudnya:
Wahai Nabi, apabila engkau menceraikan isteri-isterimu, maka hendaklah engkau ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) idahnya
(Surah at-Talaq 65: 1)
Ertinya apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu ceraikan mereka waktu telah suci dari haid atau nifas dan belum disetubuhi.
Ini adalah rahmat dan kurnia Allah kepada kaum wanita yang diceraikan.
Setelah retak dan renggang hubungan suami isteri, dan tidak mungkin lagi untuk hidup bersama, bolehlah si suami menjatuhkan talak tetapi jangan ketika haid.
Ini kerana baki hari-hari haidh itu belum dikira sebagai masa iddah.
Tetapi kalau diceraikan pada masa suci, saat itu juga sudah dikira satu kali masa suci.
Oleh itu hendaklah diceraikan pada masa suci yang belum pernah bersetubuh dengannya semenjak dia suci.
Kalau sudah disetubuhi tentunya tidak jelas apakah wanita itu hamil atau tidak.
Dan juga tidak tahu cara mengira idahnya, sama ada perlu dengan cara idah quru atau idah wanita hamil.
Ini tentulah akan menyusahkan wanita tersebut.
- Bab ini juga akan ulas secara lanjut di dalam artikel ini.
Cara Mandi Wajib Haid
Bagaimana cara mandi wajib haid?
Mandi wajib, mandi junub, atau disebut juga dengan mandi hadas besar. Hukumnya adalah wajib kepada wanita yang telah berhenti haidnya.
Kaedah mandi wajib boleh dirujuk pada panduan lengkap mandi wajib ini: Panduan Cara Mandi Wajib Yang Betul (Langkah-Demi-Langkah)
Seandainya seseorang itu belum mandi wajib atau mandi junub, maka haramlah dia mengerjakan solat, menyentuh, membaca dan membawa al-Quran, haram mengerjakan tawaf dan lain-lain lagi.
Oleh itu, wajiblah dia mandi agar dia suci daripada hadas dan kemudian boleh mengerjakan pelbagai macam ibadat.
Darah Keluar Ketika Hamil
Adakah darah yang keluar dari kemaluan wanita hamil dikira sebagai darah haid?
Terdapat pelbagai pendapat ulama berkaitan perkara ini.
Antaranya:
1. Menurut Imam Ahmad dan jumhur ulama-ulama Tabiin yang terdiri daripada Sa’id bin Musayyab, Ata’, al-Hasan, Jabir bin Zaid, Ikrimah, al-Tsaury, al-Auza’iy, Abu Hanifah dan Abu Tsaur, — wanita yang hamil tidak mungkin haid.Seandainya keluar darah dari kemaluannya semasa hamil, bererti darah itu adalah darah penyakit.
2. Menurut Imam Malik, Syafie, al-Zuhri dan Qatadah, darah yang keluar dari kemaluan wanita ketika hamil mungkin darah haidh dan mungkin darah kerana penyakit.
Jika darah ini sesuai sesuai ciri-cirinya dengan darah haid dan sama waktunya, bermakna ia adalah darah haidh.
Menurut kami, pendapat pertama lebih kuat berdasarkan alasan-alasan dalam hadis berikut:
Dari Salim bin Abdullah dari Ibnu Umar bahawa ia menceraikan isterinya ketika dia dalam keadaan haid.
Kemudian hal tersebut dilaporkan kepada Nabi SAW, lalu baginda bersabda:
“Perintahkan dia agar kembali kepadanya, kemudian menceraikannya ketika dia dalam keadaan suci atau hamil
(Hadis riwayat an-Nasa’i)
Berdasarkan hadis ini, kehamilan adalah tanda bahawa seseorang itu tidak haid.
Berdasarkan kata-kata Aisyah r.a;
Orang yang sedang hamil tidak haidh. Kalau ada wanita hamil melihat darah keluar dari kemaluannya, hendaklah dia mandi dan hendaklah dia solat”
Aisyah r.a mengatakan bahawa wanita yang hamil tidak mungkin haid. Aisyah r.a menyuruh mandi dan mengerjakan solat, bererti beliau yakin bahawa darah itu bukan darah haid.
Namun demikian, darah yang keluar dari faraj wanita yang sudah dekat masa melahirkan anak, misalnya satu hari atau dua hari sebelum tarikh yang dijangkakan, maka darah itu dikira sebagai darah nifas.
Wanita yang sedang nifas bererti tidak boleh mengerjakan solat dan puasa.
Seandainya wanita yang keluar darah itu melahirkan anak dua hari kemudian, maka solat yang ditinggalkan itu tidak wajib diqada.
Jika tidak melahirkan juga setelah dua hari, maka solat dan puasa yang ditinggalkan itu sama-sama wajib diqada kerana ketika meninggalkannya itu dia bukan dikira nifas, tetapi darah yang keluar itu adalah darah yang disebabkan suatu penyakit.
Penjelasan Dari Sudut Perubatan Moden
Punca sebenar pendarahan semasa hamil sukar dikenalpasti melainkan melalui pemeriksaan perubatan.
Ini kerana bekalan darah ke kawasan serviks dan pelvis meningkat dalam waktu kehamilan ini.
Oleh itu, pendarahan yang sedikit boleh berlaku selepas seorang wanita melakukan pemeriksaan Pap Smear, pemeriksaan dalaman atau selepas melakukan hubungan seks.
Antara punca-punca yang mungkin menyebabkan pendarahan adalah:
- Pendarahan Implantasi
- Jangkitan Kuman
- Keguguran atau kehamilan ektopik
- Masalah plasenta atau kesakitan tidak matang
Usia Putus Haid (Menopaus)
Sebagaimana adanya batas usia wanita datang haid, maka ada juga batas usia putus haid.
Menopous atau putus haid adalah proses semulajadi yang mesti dialami oleh setiap wanita.
Keadaan ini berlaku apabila ovari berhenti atau kurang mengeluarkan hormon estrogen dan progesteron.
Kesannya adalah putaran haid menjadi tidak tetap atau tidak datang langsung.
Waktu usia putus atau berhenti haidh ada berbagai-bagai pendapat.
Untuk lebih jelas, marilah kita lihat pendapat dibawah ini:
1. Menurut jumhur ulama, wanita yang datang haidh itu mempunyai batasan usia.Ertinya jika seseorang itu sudah sampai pada usia tertentu, maka tidak didatangi haid lagi.
Batas usia wanita didatangi haid menurut mereka adalah 60 tahun.
jika seorang wanita sudah berumur 60 tahun, bererti dia tidak haidh lagi.
Wanita berumur 60 tahun yang melihat darah keluar dari kemaluannya, maka darah itu bukanlah darah haid. Sebaliknya darah kerana ada penyakit.
Kerana darah itu bukan darah haid, ini bererti wanita berkenaan boleh mengerjakan puasa dan solat.
Jumhur ulama mengatakan adanya masa putus haid bagi wanita berdasarkan firman Allah:
Dan perempuan yang tidak ada haid lagi diantara perempuan-perempuan kamu
(at-Talaq 65:4)
2. Menurut sebahagian ulama lagi, tidak ada batasan usia untuk berhentinya haid.
Darah haid mungkin sahaja berterusan sampai akhir hayat seseorang.
Menurut golongan di atas tadi bukanlah menerangkan batasan usia wanita didatangi haid.
Sayid Sabiq sendiri termasuk diantara ulama yang mengatakan tidak ada batasan usia haid.
3. Dari sudut perubatan moden
Wanita dianggap sebagai menopaus apabila tidak didatangi haid selama enam bulan berturut-turut.
Bagaimanapun, pemeriksaan darah boleh mengenal pasti dengan lebih tepat sama ada ia putus haid atau tidak.
Melalui ujian darah ini, sekiranya paras hormon estrogen berada dibawah paras normal, sementara hormon FSH dan LH pula mendadak naik, bererti ia putus haid.
RUMUSAN
- Tidak ada sebarang nas yang jelas menyebut usia putus haidh dengan tepat, sebagaimana tidak ada nas yang menetapkan usia awal wanita didatangi haid.
- Setiap mazhab menggunakan ‘uruf setempat dalam menentukan usia putus haid. Berdasarkan pemerhatian terhadap kebiasaan wanita di tempatnya putus haid, usia ini diputuskan. Perbezaan iklim, bangsa, makanan asasi dan zaman memberi kesan kepada perbezaan usia putus haid.
- Statistik menunjukkan wanita Malaysia putus haid secara puratanya sekitar usia 45-55 tahun. Berdasarkan ‘uruf Malaysia tidak salah untuk menetapkan usia menopaus wanita Malaysia bermula pada usia 45 tahun.
- Untuk menentukan dengan lebih tepat status darah yang keluar selepas menopaus, ujian darah boleh dilakukan untuk menentukan paras hormon estrogen, FSH dan LH. Sekiranya ujian mendapati wanita ini menopaus, darah yang keluar hendaklah dianggap sebagai darah istihadah. Begitulah juga sebaliknya.
Penutup
Haid ialah suatu keadaan fisiologi yang tetap dan teratur.
Ia dialami oleh wanita yang berada dalam lingkungan umur yang berupaya untuk mengandung.
Selain menjadi medium transformasi seorang kanak-kanak perempuan kepada wanita dewasa, ia juga bertindak sebagai aras pengukur peningkatan tanggungjawab dalam aspek ibadah.
Wanita yang mendapati dirinya haidh, bertanggungjawab untuk melakukan semua ibadah yang diwajibkan ke atas orang yang mukallaf seperti solat, puasa, haji dan sebagainya.
Oleh itu, diharapkan agar panduan ini dapat memberi kefahaman kepada kita semua berkaitan darah haid.
Terima kasih.
Nota rujukan:
- Indahnya hidup bersyariat — Dato’ Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid
- Kaifiat Mandi Hadas — Ust Uzair al-Aziz
- Soal Jawab Fiqh Ibadah Jilid 1, Bab Taharah, Darah Wanita & Solat — Ustaz Abu Usamah @ Mohd Hanafiah Haji Hussin
- Ensiklopedia Solat — Rohizir Rais, Fuad Ismail & Mohd Wahid Abd Hanif
- Panduan Syar’i Tatacara Bersuci, Bab Haid — Asy-Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman bin Shalih Alu Bassam
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum tuan…pd hri ke 5,masih ade warna keruh jdi hari ke 6,sy pastikan drh berhenti dan mndi wajib,hri seterusnye sy bersama suami dan dapati darah keluar,kemudian esoknye darah tiada..slps hmpir 4hari,keluar drh yg ade ketulan kecil drh beku spt drh haid…soalan sy,adakah itu drh haid atau istihadah..sbb bingung nk solat pn rasa was2..hrp jwpn tuan dpt menyelesaikn mslh sy…terima kasih
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Dalam Mazhab Syafi’i, tempoh maksimum haid adalah 15 hari. Jika darah keluar dalam tempoh ini dan sifatnya menyerupai darah haid (seperti warna merah gelap, coklat, atau hitam), ia masih dianggap sebagai darah haid.
Namun, jika darah keluar selepas tempoh 15 hari, ia dikira sebagai darah istihadah. Dalam kes puan, darah yang keluar pada hari ke-5 dan ke-6 selepas mandi wajib masih dianggap haid kerana masih dalam tempoh maksimum haid.
Jika darah berhenti selama hampir 4 hari tetapi kemudian keluar semula dalam tempoh 15 hari dan sifatnya seperti darah haid, ia tetap dianggap sebagai haid. Namun, jika darah keluar selepas 15 hari, ia adalah istihadah, dan puan wajib menunaikan solat dengan mengambil wuduk setiap kali masuk waktu, walaupun darah masih keluar.
Sekiranya darah itu adalah darah istihadah, puan perlu membersihkan darah, memakai pelapik seperti tuala wanita, dan mengambil wuduk selepas masuk waktu solat. Namun, jika darah itu haid, puan tidak wajib solat sehingga darah benar-benar berhenti. Jika puan masih ragu-ragu, sebaiknya rujuk kepada ustaz atau ahli fiqh yang lebih arif untuk kepastian.
Semoga penjelasan ini membantu puan dalam menyelesaikan kekeliruan dan mempermudahkan urusan ibadah puan.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum ustaz. Pd hari ke-8, ada kuar lendir putih waktu maghrib, tp bila check guna kapas msh ada lg kesan keruh, maka sy pun x mandi wajib lg sbb sy pk sy msh haid. Dan sy betul2 suci 2 hari selepas itu, iaitu hari ke-10. Adakah sy kena qada blk solat drpd hari ke-8 smpi hari ke-10?
Wa’alaikumussalam,
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Situasi ini berkaitan dengan penentuan suci daripada haid, yang memerlukan sedikit perincian mengikut fiqh Mazhab Syafi’i.
1/ Dalam Mazhab Syafi’i, haid dianggap berakhir apabila seorang wanita melihat tanda suci, iaitu salah satu daripada berikut:
Jika masih terdapat kesan keruh atau kekuningan, ia dianggap sebagai darah haid selagi belum melebihi tempoh maksimum haid, iaitu 15 hari.
2/ Berdasarkan maklumat yang diberikan, lendir putih muncul pada hari ke-8, tetapi masih ada kesan keruh ketika diperiksa. Dalam hal ini:
Apa yang Perlu Dilakukan?
1. Qada Solat
2. Pemeriksaan yang Lebih Teliti
—
Berdasarkan penjelasan di atas, puan tidak perlu qada solat dari hari ke-8 hingga ke-10 kerana masih terdapat kesan keruh pada waktu tersebut, yang dianggap sebagai darah haid. Solat hanya diwajibkan setelah puan benar-benar suci, iaitu pada hari ke-10.
Semoga penjelasan ini membantu dan memudahkan puan dalam memahami perkara ini. Jika masih ada kekeliruan, jangan segan untuk bertanya.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum. Semoga Allah beri rahmatnya kepada awak yg tlg jwbkan soalan ini. Berdosa tak kalau kita tahu pendapat rajih(kuat) bagi tempoh suci min 15 Hari. Tapi kita nak ambil pendapat imam Ahmad yg berkata 13 hari min tempoh suci tanpa sebab ii lain. Adakah benda ni fasiq ke atau berdosa??
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Dalam isu tempoh minimum suci antara dua haid, terdapat perbezaan pendapat antara mazhab-mazhab fiqh. Mazhab Syafi’i menetapkan tempoh minimum suci adalah 15 hari, manakala Mazhab Hanbali menetapkan 13 hari.
Dalam fiqh, seseorang dibenarkan untuk mengikuti pendapat mazhab lain dalam keadaan tertentu, terutama jika terdapat keperluan atau kesulitan. Namun, adalah penting untuk tidak memilih pendapat yang lebih ringan semata-mata untuk kemudahan tanpa alasan yang kukuh. Ini kerana tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai talfiq, iaitu menggabungkan pendapat-pendapat mazhab secara sembarangan tanpa asas yang jelas.
Hukum Mengikuti Pendapat yang Berbeza Tanpa Sebab:
Jika seseorang mengetahui bahawa pendapat yang rajih (kuat) dalam mazhabnya menetapkan tempoh minimum suci adalah 15 hari, tetapi memilih untuk mengikuti pendapat yang menetapkan 13 hari tanpa sebab yang dibenarkan, tindakan ini boleh dianggap ‘bermudah-mudah’. Ia menunjukkan sikap meremehkan urusan agama dan boleh membawa kepada dosa jika dilakukan tanpa alasan yang kukuh.
Mengikuti pendapat mazhab lain dalam isu tempoh minimum suci dibenarkan jika terdapat keperluan atau alasan yang kukuh. Namun, memilih pendapat yang lebih ringan tanpa sebab yang dibenarkan boleh dianggap berdosa kerana menunjukkan sikap tidak serius dalam beragama. Oleh itu, adalah penting untuk berpegang kepada pendapat yang diyakini berdasarkan dalil dan tidak bermudah-mudah dalam memilih pendapat yang lebih ringan tanpa alasan yang sah.
Semoga penjelasan ini membantu.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum…sy puan Roehaiza nak tanya,sy baru 2 bln lahirkan anak.soalanya darah haid sy masa 7 hari ok je…tapi masih Kuar lg sekarang dah 12 hari tapi sikit je.
Waalaikumussalam Puan Roehaiza,
Tahniah atas kelahiran anak Puan. Berdasarkan panduan dalam mazhab Syafie, tempoh maksimum bagi darah haid adalah 15 hari. Jika darah masih keluar walaupun sedikit selepas 15 hari, ia dikira sebagai darah istihadah (darah penyakit) dan bukan haid.
Dalam kes Puan, kerana darah masih keluar tetapi jumlahnya sedikit dan tempoh belum melebihi 15 hari, ia masih dikira sebagai haid. Namun, jika ia berlanjutan lebih daripada 15 hari, Puan perlu menganggap darah tersebut sebagai istihadah dan Puan boleh melakukan ibadah seperti solat dan puasa selepas mandi wajib dan mengambil wuduk sebelum setiap kali solat.
Jika keadaan ini terus berulang atau Puan merasa bimbang, adalah disarankan untuk merujuk kepada doktor untuk memastikan kesihatan Puan dalam keadaan baik.
Semoga Puan Roehaiza sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Jika ada sebarang soalan lagi, jangan segan untuk bertanya.
Terima kasih.
assalamu allaikum,,saya ingin brtanya,,haid saya tdk teratur kadang 2 bln baru haid kadang jg smpai 4 bln baru haid.tpi saya baru mengalami flek kecoklatan sdh 6 hari,,tp fleknya siang ada kadang malam tidak ada jdi lepas hari ke 6 saya memutuskan untk mandi wajib,,setelah mandi wajib fleknya ada lgi sdgkn malamnya fleknya tidak ada.jadi mna ya,,apakah saya harus mandi wajib lgi atau tidak perlu??krna sudah 3 bulan ini saya belum mendapat haid.mohon penjelasannya biar saya tidak kebingungan.karna sudah ingin shalat dan puasa.
Waalaikumussalam,
Terima kasih atas soalan anda. Dalam situasi haid yang tidak teratur, penting untuk memahami beberapa konsep asas dalam fiqh haid dalam mazhab Syafie.
1. Tempoh Haid dan Istihadah
2. Flek atau Spotting
Jika flek berlaku dalam tempoh haid (tidak melebihi 15 hari), ia masih dikira sebagai haid. Namun, jika ia berlaku di luar tempoh haid biasa dan berterusan lebih dari 15 hari, ia dikira sebagai istihadah.
3. Tindakan Selepas Mandi Wajib
Jika Puan mandi wajib kerana menganggap haid telah berhenti tetapi kemudian flek muncul semula, Puan perlu menganggapnya sebagai darah haid jika masih dalam tempoh 15 hari. Jika tidak, flek tersebut adalah istihadah, dan Puan perlu mandi wajib sekali lagi dan boleh terus melakukan ibadah dengan membersihkan diri dan mengambil wuduk sebelum setiap solat.
Berdasarkan situasi Puan:
Puan mengalami flek selama 6 hari dan mandi wajib selepas itu. Jika flek terus berlaku selepas mandi wajib, dan belum melebihi 15 hari, ia masih dikira sebagai haid. Puan tidak perlu mandi wajib lagi setiap kali flek muncul dalam tempoh tersebut.
Namun, jika flek berterusan lebih dari 15 hari, ia adalah istihadah dan Puan perlu mandi wajib sekali lagi dan boleh menunaikan solat dan puasa selepas setiap kali membersihkan diri dan mengambil wuduk sebelum setiap solat.
Jika keadaan ini berterusan atau Puan masih ragu-ragu, disarankan untuk merujuk kepada doktor atau pakar perubatan bagi memastikan keadaan kesihatan Puan dalam keadaan baik.
Semoga penjelasan ini membantu. Jika ada sebarang soalan lagi, jangan segan untuk bertanya.
Terima kasih.
Assalamualaikum saya ingin bertanya, pada bulan seterusnya, pada hari ke 6 hiadh saya, darah haid saya tidak keluar untuk 1 hari makan malam tersebut saya mandi wajib tapi keesokkan harinya ada darah yang muncul Adakah itu darah haid atau bukan darah haid?,
Waalaikumussalam,
Dalam situasi yang anda nyatakan, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan menurut fiqh haid dalam mazhab Syafie:
1. Tempoh Haid
Tempoh maksimum haid adalah 15 hari. Jika darah keluar dalam tempoh ini, ia dikira sebagai darah haid.
2. Kehadiran Darah Selepas Mandi Wajib
Jika darah berhenti pada hari ke-6 dan anda mandi wajib, tetapi darah muncul semula keesokan harinya, darah tersebut masih boleh dikira sebagai darah haid jika tempoh keseluruhan haid belum melebihi 15 hari
3. Panduan Praktikal
– Jika darah muncul semula selepas mandi wajib tetapi dalam tempoh 15 hari, ia masih dikira sebagai haid. Anda perlu meneruskan tempoh haid tersebut sehingga darah benar-benar berhenti atau sehingga mencapai 15 hari.
– Jika darah muncul semula selepas 15 hari, darah tersebut dikira sebagai istihadah (darah penyakit), dan anda perlu mandi wajib sekali lagi dan boleh terus menunaikan ibadah solat dan puasa dengan membersihkan diri dan mengambil wuduk sebelum setiap solat
Untuk menjelaskan, jika tempoh haid belum mencapai 15 hari dan darah muncul semula selepas mandi wajib, darah tersebut masih dianggap sebagai darah haid. Anda tidak perlu mandi wajib setiap kali darah muncul semula dalam tempoh ini.
Sebaliknya, jika tempoh sudah melebihi 15 hari, maka darah tersebut adalah istihadah, dan anda perlu mandi wajib sekali lagi serta boleh terus melakukan ibadah dengan membersihkan diri dan mengambil wuduk sebelum setiap solat.
Semoga penjelasan ini membantu anda memahami situasi tersebut dengan lebih baik.
Jika ada sebarang soalan lagi, jangan segan untuk bertanya.
Assalamualaikum. Saya ingin mohon pencerahan kerana saya keliru dengan hari suci dari haid saya. Pada tahun sebelumnya, saya mengalami haid yg jelas tandanya, sebagai contoh period pada 1st of the month, dan berakhir pada 10th of the month, dan tiada tanda tanda haid berwarna kuning mahupun keruh pada ketika itu, cuma putih. Tetapi sejak 7 bulan yg lalu, saya mengalami haid darah berwarna merah selama 10 hari dan disusuri dengan warna kuning mahupun keruh selama 5 hari. Jadi saya mengambil kira jumlah haid saya sebanyak 15 hari kerana perubahan tersebut. Tetapi bulan ini amat mengelirukan saya kerana, saya period pada 1st of the month dan darah berhenti dengan tanda yg jelas kerana kapas putih tiada kesan kekuningan dan ia berhenti pada tarikh 10th of the month. Maka saya mandi wajib dan melaksanakan solat. Tetapi selepas dua hari, iaitu tarikh 12th mula keluar kekuningan yg jelas warnanya. Persoalannya apakah kekuningan itu termasuk haid saya ataupun tidak? Terima kasih.
Waalaikumussalam,
Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan panduan dalam mazhab Syafie, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira berkaitan dengan tanda-tanda kesucian haid.
1. Tempoh Haid dan Istihadah
Tempoh maksimum haid adalah 15 hari. Semua jenis warna darah, termasuk kuning atau keruh, yang keluar dalam tempoh 15 hari tersebut masih dianggap sebagai haid. Hanya darah yang keluar selepas tempoh 15 hari akan dikira sebagai istihadah (darah penyakit).
2. Tanda Kesucian
Tanda kesucian dari haid dalam mazhab Syafie adalah apabila darah haid berhenti sepenuhnya dan keluar lendir putih atau jernih. Jika masih terdapat kekuningan atau keruh dalam tempoh 15 hari, ia masih dikira sebagai haid.
3. Dalam situasi anda, haid bermula pada 1hb dan darah merah berhenti pada 10hb. Anda telah mandi wajib selepas melihat kapas putih tanpa kesan kekuningan. Walau bagaimanapun, pada 12hb terdapat kembali kekuningan yang jelas.
Berdasarkan panduan mazhab Syafie, kekuningan tersebut masih dalam tempoh 15 hari dari permulaan haid, jadi ia masih dianggap sebagai haid. Anda perlu terus menganggap diri anda dalam keadaan haid sehingga tiada lagi tanda kekuningan atau keruh dalam tempoh tersebut. Anda tidak perlu mandi wajib lagi sehingga yakin darah haid telah benar-benar berhenti dan hanya keluar lendir putih atau jernih.
Semoga penjelasan ini membantu anda. Jika ada sebarang soalan lagi, jangan segan untuk bertanya.
Terima kasih.
assalamualaikum wbt.. saya ingin bertanya.. katakanlah saya dah beri yempoh untuk memastikan darah haid itu telah habis keluar dan sebelum mandi juga saya telah memasukan kapas untuk memastikan darah haid telah habis dan pada kapas tersebut bersih.. tetapi 2 hari kemudian, keluar seperti lendiran warna kuning keputihan.. adakah itu dikira haid? kerana cara saya selain daripada itu menggunakan bau.. seperti yg kita tahu bau haid agak kuat dan busuk.. tetapi apabila lendiran kuning itu keluar baunya hanya seperti lendiran biasa.. saya selalu akan keluar lendiran seperti ini walaupun di luar waktu haid.. lendiran seperti keputihan.. atau itu dikira keputihan ya? mohon pencerahan.. terima kasih.. assalamualaikum..
Waalaikumussalam,
Terima kasih atas soalan anda. Dalam mazhab Syafie, terdapat beberapa panduan untuk mengenal pasti darah haid dan membezakan antara haid dan keputihan.
1. Tempoh Haid dan Tanda Kesucian
– Tempoh maksimum haid adalah 15 hari. Warna darah haid boleh berubah-ubah, termasuk merah, coklat, kekuningan, atau keruh. Semua warna ini dikira sebagai haid jika ia muncul dalam tempoh haid.
– Tanda kesucian adalah apabila darah haid berhenti sepenuhnya dan keluar lendir putih atau jernih. Jika masih terdapat kekuningan atau keruh dalam tempoh 15 hari, ia masih dikira sebagai haid.
2. Keputihan. Keputihan (leucorrhea) adalah lendiran normal yang keluar dari vagina dan biasanya tidak berbau busuk. Keputihan ini boleh berlaku di luar waktu haid dan tidak dianggap sebagai haid jika ia tidak disertai dengan tanda-tanda haid lain
3. Jika anda telah memastikan darah haid berhenti dengan memasukkan kapas dan kapas tersebut keluar bersih, dan dua hari kemudian terdapat lendiran kuning keputihan, lendiran tersebut tidak dikira sebagai haid jika ia keluar di luar tempoh haid dan tidak disertai dengan bau busuk yang biasa pada darah haid.
Lendiran kuning keputihan yang tidak berbau busuk seperti haid adalah keputihan biasa dan bukan haid. Anda tidak perlu menganggapnya sebagai haid dan boleh meneruskan ibadah seperti biasa.
Berdasarkan panduan ini, lendiran kuning keputihan yang keluar selepas anda memastikan darah haid telah berhenti dan kapas keluar bersih adalah keputihan biasa jika ia tidak mempunyai bau busuk seperti haid. Oleh itu, ia tidak dikira sebagai haid, dan anda boleh meneruskan ibadah seperti biasa.
Semoga penjelasan ini membantu anda.
Assalamualaikum, saya nk ty…
Saya biasa dtg haid 9 hari. Kemudian, ada 1 bln ni, lps saya mandi wajib (hari ke 9), esoknya ada keluar warna kuning n keruh. Waktu tu, saya tk tahu yng warna haid ada 5 n tempoh maksimum haid 15. Jadi, saya pun biarkan dan tk mandi wajib sedangkan saya perlu mandi wajib sb warna kuning n keruh tu masih dlm tempoh maksimum haid 15 hari.
Soalan 1 : mcm mana nk kira tempoh suci 15 dan tempoh maksimum haid 15 yng betul
klu saya tk tahu bila warna kuning n keruh tu berhenti dan saya tk mandi
wajib?
Soalan 2 : blh ke klu saya nk kira tempoh suci 15 / 13 ikut bila haid pertama saya dtg?
Maksudnya, klu haid saya dtg 3 hari lebih awal n darah tu keluar dlm tempoh
akhir suci 15 hari, saya pilih utk guna tempoh suci 13 hari.
Soalan 3 : klu nk kira tempoh suci hari pertama tu, kena start kira waktu hari kita
mandi wajib / hari esok slps kita mandi wajib?
Soalan 4 : btl ke tempoh suci blh kira selama 28 hari dari sambungan haid terakhir
kita? Maksudnya mcm ni, haid saya habis waktu hari ke 15, n then saya
sambung kira 16 – 28 hari. So, hari ke 28 tu kemungkinan saya akan dtg haid.
Sb, saya ada ty ustzh saya, dia kata dia kira mcm tu. Tapi, ustzh saya ada
juga kata klu nk kira tempoh suci 15 hari tu pun blh. Maknanya blh kira
tempoh suci sambung dari haid terakhir sampai hari ke 28 / kira 15 hari.
Waalaikumussalam,
Soalan 1: Tempoh Suci dan Haid
Tempoh Haid:
Tempoh Suci:
Tempoh suci minimum antara dua haid adalah 15 hari. Tempoh suci bermula dari hari pertama selepas darah haid berhenti dan selepas mandi wajib dilakukan.
—-
Soalan 2: Mengira Tempoh Suci
Tempoh suci diukur dari hari pertama selepas haid berhenti dan selepas mandi wajib. Tidak perlu mengira tempoh suci berdasarkan kedatangan haid yang terdahulu atau dengan mengurangkan hari tertentu. Tempoh suci minimum adalah 15 hari dan boleh lebih panjang bergantung kepada kitaran haid seseorang.
—-
Soalan 3: Permulaan Kira Tempoh Suci
Kiraan tempoh suci bermula dari hari pertama selepas haid berhenti dan selepas mandi wajib dilakukan. Contohnya, jika haid berhenti pada hari ke-9 dan anda mandi wajib pada hari ke-10, maka tempoh suci bermula pada hari ke-10
—-
Soalan 4: Tempoh Suci Mengikut Kitaran 28 Hari
Ada pandangan yang menyatakan kitaran haid biasa adalah sekitar 28 hari, tetapi tempoh suci minimum dalam mazhab Syafie tetap 15 hari. Anda boleh menggunakan panduan tempoh 15 hari sebagai tempoh suci minimum antara dua haid
Jika tempoh haid anda adalah 9 hari, maka anda akan mula kira tempoh suci selepas mandi wajib pada hari ke-10 dan tempoh suci minimum adalah sehingga hari ke-24 sebelum haid berikutnya boleh bermula.
Semoga penjelasan ini membantu. Jika ada sebarang soalan lagi, jangan segan untuk bertanya.
Wallahu a’lam
Assalamualaikum, saya ingin brtanya…jika kitaran haid saya blm cukup 28 hari, darah haid yg dtg tu di kira darah haid atau darah istihadah? Sebab saya sudah dtg period di pertengahan bulan..slma 15 hri,..selepas itu, saya boleh solat sperti biasa..namun tak lama selepas itu, saya dapati ada tompokan darah ketika hendak membuang air…IA trjadi putus2..tak lama keesokannya, saya dapati ad tompokan darah kehitaman…jadi in dikira darah haid atau x..
Waalaikumussalam,
Terima kasih atas soalan anda. Berikut adalah penjelasan mengenai darah haid dan istihadah mengikut panduan mazhab Syafie.
Kitaran Haid dan Istihadah
1. Tempoh Haid:
2. Darah yang Muncul Selepas Tempoh Haid:
Jika darah haid berhenti selepas 15 hari dan kemudian ada tompokan darah yang keluar sebelum kitaran haid 28 hari lengkap, darah ini dianggap sebagai darah istihadah. Ini kerana tempoh suci minimum antara dua haid adalah 15 hari
Situasi Anda
Anda menyatakan bahawa haid anda selama 15 hari, kemudian anda solat seperti biasa selepas tempoh tersebut. Selepas itu, ada tompokan darah yang keluar semasa hendak membuang air dan darah kehitaman pada hari berikutnya.
Berdasarkan panduan di atas, kerana kitaran haid belum mencapai 28 hari dan tempoh suci minimum 15 hari belum dipenuhi, tompokan darah yang keluar dianggap sebagai darah istihadah dan bukan haid
Anda boleh terus melakukan solat seperti biasa dan menganggap tompokan darah tersebut sebagai darah istihadah. Anda perlu membersihkan diri dan mengambil wuduk sebelum setiap kali solat.
Semoga penjelasan ini membantu. Jika ada sebarang soalan lagi, jangan segan untuk bertanya.
Wallahu a’lam