
Bagaimana cara solat fardu?
Ini adalah panduan asas solat fardu yang lengkap.
Panduan ini ditulis khas secara langkah demi langkah sebagai pengenalan untuk mengerjakan solat.
Perkara-perkara lain yang berkaitan dengan ibadah solat juga turut disertakan bagi memudahkan urusan ibadah anda.
Oleh itu, panduan ini amat sesuai bagi mereka yang ingin belajar solat.
Jika anda memerlukan manual panduan solat yang lengkap, maka ini adalah jawapannya..
Mengapa Orang Islam Perlu Solat?

Mengapa kita semua perlu solat?
Ini kerana solat adalah tiang agama. Kedudukan solat di dalam agama diibaratkan sebagai kepala kepada jasad.
Jasad manusia jika tidak bertangan, masih boleh hidup. Jasad manusia, jika tidak berkaki, masih boleh meneruskan hidup.
Akan tetapi jika jasad manusia itu tidak berkepala, maka jasad itu sendiri tidak bermakna lagi kerana jasad itu mati. Biar sempurna mana pun jasad itu, jika tidak berkepala, jasad tadi tidak dipandang pun.
Begitu jugalah perihal solat..
Jika seseorang itu tidak solat, maka amalan lain tidak ada gunanya. Puasanya, zakatnya dan hajinya tidak dipandang di sisi Allah Taala.
Beginilah yang difahami dari mafhum hadis Nabi yang bermaksud:
Yang pertama dihisab dari amalan hamba pada hari kiamat adalah solatnya
– Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah
Solat juga dikira tiada jika kesempurnaan solat itu tidak dijaga.
Tamakninahnya wajib dijaga.
Peristiwa ini dirakamkan dalam hadis teguran Nabi terhadap seorang sahabat yang solatnya tiada tamakninah.
Semoga panduan solat ini dapat membantu para pembaca untuk menunaikan solat dengan baik dan sempurna.
InsyaaAllah.
Maksud Solat
Apakah maksud solat?
Dari segi bahasa, solat adalah doa.
Apabila seseorang hamba Allah mendirikan solat, bererti dia berdoa kepada Allah SWT.
Dari segi syarak, solat ialah amalan yang mengandungi perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.
Ketika solat, seluruh jasad dihadapkan kepada Allah SWT. Lidah memuji-muji dan memohon kepadaNya.
Akal mengingati Allah, selari dengan ucapan lidah.
Hati pula berasa kebesaran dan kekuasaan Allah SWT sebagai Tuhan yang disembah.
Cara Solat (Langkah Demi Langkah Asas)
Berikut adalah cara asas mengerjakan solat secara langkah demi langkah.
1. Menghadap Kiblat
Keadaan berdiri ini disebut qiyam dalam bahasa Arab.
Berdiri lurus dan hadapkan badan ke arah kiblat (Ke arah Kaabah). Mata memandang ke arah tempat sujud.

Orang yang hendak menunaikan solat, wajib mengetahui arah kiblat dengan yakin sebelum menunaikan solat.
Pada zaman sekarang, pelbagai apps menentukan arah kiblat boleh digunakan. Antaranya adalah Qibla Finder
2. Niat Untuk Solat
Ucapkan niat didalam hati dengan niat solat yang anda ingin lakukan.
Contohnya: Sahaja Aku Solat Fardu Zohor 4 Rakaat Tunai Kerana Allah Taala
Rasakan di dalam hati kita sedang berhadapan dengan Allah SWT.
? Antara boleh rujuk senarai niat solat pada pautan ini: Panduan Niat Solat Rumi
3. Angkat Takbir
Angkat kedua belah tangan separas telinga.
Kemudian sebutkan “Allahuakbar!”
Maksudnya “Allah Maha Besar”


Perbuatan ini dalam solat dipanggil Takbiratul Ihram
3. Letakkan Tangan Di Atas Perut
Selepas mengangkat takbir, tangan diletakkan diatas perut.

Letakkan tangan kanan di atas tangan kiri dan wajah memandang ke arah tempat sujud.
Kemudian bacalah doa iftitah:

Allaahu Akbaru kabiiraa-walhamdu lillaahi katsiiran, wa subhaanallaahi bukrataw-wa’ashiila.
Wajjahtu wajhiya lilladzii fatharas-samaawaati wal ardha haniifam-muslimaw-wamaa anaa minal musyrikiina.
Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiina.
Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin
Maksud Doa Ifitah
Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang.
Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya.
Tidak ada bersekutu denganNya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.
4. Baca Al Fatihah Dan Seterusnya Surah Lain
Selesai membaca doa iftitah, seterusnya baca pula surah al-Fatihah.
Surah al-Fatihah adalah rukun dalam solat.
Ini bermakna, jika al-Fatihah wajib dibacakan. Jika tidak dibaca solat kita tidak akan sah.

Al hamdu lil lahi rabbil ‘alamin. Arrahmanir rahim. Maliki yawmiddin. Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in. Ihdinas siratal mustaqim. Siratal ladhina an’amta’alaihim, ghairil maghdubi’alaihim wa lad dhallin. (Amin)
Surah al-Fatihah mesti dibaca adalam setiap rakaat.
Selesai al-Fatihah, seterusnya bacalah surah lain.
Antara surah yang mudah adalah surah al-Ikhlas.

Qul hu wal lahu ahad, allahus samad, lam yalid wa lam yulad, wa lam ya kul lahu kufuwan ahad.”
5. Kemudian Rukuk
Langkah seterusnya adalah rukuk.
Semasa rukuk, ucapkan takbir (Allahuakbar) dan letakkan kedua belah tangan di atas lutut.

Semasa rukuk:
Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.
Bacaan tasbih semasa rukuk adalah:

Subhaa Na Rabbiyal A’zim Wabihamdih
Maksudnya:
Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifatNya yang terpuji
6. Berdiri Dari Rukuk (Iktidal)
Setelah selesai rukuk, seterusnya kita akan bangun berdiri tegak (iktidal).
Ucapan semasa iktidal adalah seperti berikut:


Sami Allahu liman hamidah. Rabbana lakal hamdh
Maksudnya:
Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.
7. Sujud Pertama
Setelah iktidal, seterusnya kita akan sujud.

Cara sujud adalah:
Bertakbir (Allahuakhbar) dan turunkan badan dengan dahi, hidung, kedua belah tapak tangan dan ibu jari kaki menyentuh lantai. (rujuk gambar)
Buka lengan dari sisi badan dan lantai.
Bacaan semasa sujud adalah:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
Maksudnya:
Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.
Tasbih ini diulangi sebanyak tiga (3) kali.
8. Duduk Antara Dua Sujud
Setelah itu, bangun (duduk) dari sujud sambil menyebut “Allahuakbar” (tanpa mengangkat tangan).

Fasa ini dipanggil “duduk di antara dua sujud”
Bacaan paling mudah semasa duduk antara dua sujud adalah:
Rabbighfir li.”
Maksudnya:
Wahai Tuhanku, ampunilah aku
Jika anda mampu menghafal, bacalah bacaan penuh duduk antara dua sujud.
Bacaan penuh adalah seperti berikut:

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa a’fini Wa’fu Anni
Maksudnya:
Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.
9. Sujud Kedua
Selesai membaca tasbih di atas, maka sujudlah sekali lagi (sujud kedua)
Bertakbir (Allahuakbar) lalu sujud sekali lagi.
Kedudukan dan bacaan tasbihnya adalah sama seperti sujud pertama.
Dengan ini, sudah selesai bahagian rakaat pertama dalam solat.
10. Sekarang bangun berdiri untuk Rakaat Kedua.
Pergerakan dalam rakaat kedua sama seperti rakaat pertama, kecuali selepas sujud kedua anda tidak perlu terus bangun tetapi duduklah pada kedudukan tasyahud (Tahiyat awal)

Cara duduk tasyahud adalah seperti berikut:
- Duduk di atas kaki kiri dengan ibu jari kaki kanan ditegakkan.
- Telapak tangan kanan digenggam melainkan jari telunjuk kanan diluruskan.
Bacaan Tahiyat Awal adalah seperti berikut:

Attahiyyatul Mubarakaatush sholawaatuth thayyibatu lillaah,
Assalaamu’alaika ayyuhan nabiyyu warahmatullaahi wabarakaatuh,
Assalaamu’alaina wa’alaa ‘ibaadillaahish shoolihiin.
Asyhadu an laa ilaaha illallaah,
Waasyhadu anna Muhammadan rasuulullaah.
Allahhumma sholli ‘alaa Saidina Muhammad
Wa ‘ala aalihi Saidina Muhammad
Makna bacaan Tahiyat Awal:
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.
Untuk solat tiga rakaat (Maghrib) dan solat empat rakaat (Zohor, Asar dan Isyak), anda perlu bangun berdiri kembali selepas selesai baca tahiyat awal, untuk meneruskan rakaat seterusnya.
Untuk solat dua rakaat, teruskan duduk tasyahud dan bacalah tahiyat akhir.


Bacaan Tahiyat Akhir adalah seperti berikut:

Bacaan Tahiyat Akhir Dalam Rumi:
Attahiyatul mubarakatus solawatut taiyibatu lillah.
Assalamu’alaika aiyuhan nabiyu warahmatullayhi wabarakatuh.
Assalamu’alaina wa’la ‘ibadillahis salihin.
Asyahadu anla illaha illallah. Wa’asyhadu anna Muhammadar Rasulullah.
Allahumma solli’ala Muhammad wa’ala ali Muhammad.
Kama sollaita’ala Ibrahim wa’ala aliIbrahim.
Wabarik ‘ala Muhammad wa’ala ali Muhammad.
Kama barakta ‘ala Ibrahim wa’ala aliIbrahim.
Fil ‘alamina innaka hamidum-majid.
Maksudnya:
Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah.
Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Sayidina Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad dan keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad.
Sebagaimana Engkau memberkati Sayidinia Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.
11. Beri Salam
Selesai membaca tahiyat akhir, palingkan muka ke sebelah kanan dan ucapkan: “Assalamu alaikum wa rahmatullah”
kedua ulangi salam dengan memalingkan muka ke sebelah kiri dengan ayat yang sama.

Maka Solat Dua Rakaat Telah Selesai
Untuk solat tiga atau empat rakaat, prosedur semua pergerakan solat diulangi pada rakaat seterusnya, kecuali pada rakaat ketiga & keempat tidak dibaca surah selepas al-Fatihah.
Semua pergerakan dan bacaan lain adalah sama.
Semua solat mesti diakhiri dengan tahiyat akhir dan salam.
Kenapa Kita Perlu Solat?
Solat ialah rukun Islam yang kedua.
Ia menjadi amalan praktikal yang pertama sebagai bukti keislaman seseorang.
Selepas mengerjakan rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah, seorang muslim mesti mendirikan solat.
Kemudian, baru diikuti dengan mengerjakan amalan-amalan yang lain.

Solat menjadi penghubung secara langsung antara manusia dengan Allah SWT.
Tidak ada ibadah lain yang lebih utama daripada solat dalam menghubungkan hamba dengan Tuhannya.
Melalui solat, hamba itu mengagungkan Allah, sekaligus memohon rahmatNya.
Apabila solat ditinggalkan, hubungan dengan Allah akan terputus.
Apabila hubungan dengan Allah SWT terputus, seolah-olah kita tidak memerlukan Allah dan tidak mengharapkan rahmatNya.
Sedangkan setiap manusia amat memerlukan rahmat Allah SWT dalam setiap detik kehidupannya.
Kesannya, manusia dapat hidup dengan selamat di dunia dan di akhirat.
Dan, rahmat Allah hanya diberikan kepada orang yang mengerjakan solat.
Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran:
Dan dirikan oleh kamu akan solat serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat
— Surah an-Nur 24:56

Syarat Wajib Solat
Allah SWT memerintahkan supaya solat didirikan mengikut syarat dan kaedah (kaifiat) yang tertentu.
Namun Allah SWT memberi kelonggaran dalam keadaan tertentu supaya umat Islam tetap dapat mendirikan solat dalam sebarang keadaan.
Antara Syarat-Syarat Wajib Solat adalah:
- Islam
- Baligh
- Berakal
- Suci daripada haid dan nifas
- Sempurna pendengaran dan penglihatan.
Di bawah ini saya akan huraikan setiap syarat yang mewajibkan seseorang itu untuk solat:
1. Islam
Orang Islam wajib menunaikan solat.
Tidak ada kewajipan solat kepada orang yang belum Islam.
Mereka juga tidak perlu menggantikan solat semasa belum Islam sekiranya masuk Islam.
2. Baligh
Dari segi bahasa bermaksud “telah mencapai”.
Daripada segi istilah, bermaksud seseorang yang mencapai tahap kematangan daripada segi umur.
Baligh ialah sampai umur untuk seseorang itu menanggung kewajipan syarak iaitu peraturan syariat Islam.
Mereka akan mendapat pahala apabila melakukannya dan berdosa apabila meninggalkannya.
LELAKI |
PEREMPUAN |
|
|
3. Berakal
Orang yang berakal wajib menunaikan solat.
Walau bagaimana pun, kewajipan solat gugur ke atas orang yang hilang akal disebabkan gila, terencat akal, pitam dan pengsan.
Menurut jumhur ulama, solat tidak wajib kepada orang gila, terencat akal dan seumpamanya.
Begitu juga orang yang pengsan atau koma, kecuali sekiranya dia sedar dan masih ada lagi waktu solat.
Hal ini disebabkan berakal adalah tanda (mukalaf), sebagaimana hadis Rasulullah SAW.
Terangkat qalam (catatan) dalam tiga keadaan: Orang yang tidur sehingga dia sedar daripada tidurnya, kanak-kanak sehingga dia mimpi (baligh) dan orang gila sehingga dia kembali berakal.
— Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Hakim.
4. Suci Daripada Haid & Nifas
Wanita yang berada dalam keadaan haid atau nifas diharamkan solat dalam tempoh berkenaan.
Mereka juga tidak perlu menggantikan semula solat yang ditinggalkan.
5. Sempurna Pendengaran & Penglihatan
Orang yang buta dan pekak sejak lahir atau sebelum mumaiyiz tidak wajib menunaikan solat.
Hal ini disebabkan mereka tidak mampu menerima ilmu dan seruan dakwah, sama ada dengan mendengar pengajaran atau melihat contoh solat yang diajar.
Sekiranya hanya mengalami kecacatan pada salah satu daripadanya sama ada cacat pendengaran atau cacat penglihatan, solat tetap wajib dilaksanakan kerana masih ada kemampuan untuk menerima tunjuk ajar.
Nota
- Apabila hilang semua sebab yang menjadi penghalang kepada kewajipan menunaikan solat seperti yang telah dijelaskan, maka wajib untuk mereka menunaikan solat sebagaimana biasa.
- Sunat bagi orang yang gila, pengsan dan mabuk untuk qada solat yang ditinggalkan sepanjang tempoh mereka hilang akal. Bagaimana pun, apabila mereka gila, mabuk atau pengsan semasa murtad, wajib bagi mereka menggantikan solat selama mereka hilang akal dalam keadaan murtad.
- Tidak ada dosa untuk orang yang tertidur sebelum masuk waktu solat hingga terlepas satu atau lebih waktu solat. Bagaimana pun, solat itu wajib diqada apabila bangun daripada tidur.
- Menurut sebahagian ulama, menggantikan solat yang ditinggalkan kerana haid dan nifas hukumnya adalah makruh. Bahkan berdosa apabila menyesali takdir kerana tidak dibolehkan solat pada waktu tersebut.

Syarat Sah Solat
Sebelum mendirikan solat, ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi supaya solat sah dan menjadi sebab solat diterima oleh Allah SWT.
Antara syarat sah solat adalah:
- Suci daripada hadas
- Suci daripada najis
- Menghadap kiblat
- Menutup aurat
- Mengetahui masuk waktu solat
Di bawah ini saya jelaskan secara ringkas setiap syarat-syarat yang dinyatakan di atas:
1. Suci Daripada Hadas
Hadas terbahagi kepada dua; hadas kecil dan hadas besar.
Hadas kecil ialah perkara yang membatalkan wuduk.
Cara menyucikan diri daripada hadas kecil adalah dengan berwuduk.
Apabila tidak ada air, diganti dengan tayamum.
Rasulullah SAW bersabda:
Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwuduk. Dan tidak sempurna wuduk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah Taala atasnya
— Riwayat Abu Dawud
2. Suci Daripada Najis
Suci daripada najis yang tidak dimaafkan pada tubuh badan, pakaian dan tempat solat.
Pengertian najis daripada sudut bahasa ialah sesuatu yang cemar, kotor dan jijik.
Pengertian najis dari sudut hukum syarak pula ialah kekotoran yang menghalang daripada sah solat.
Terdapat tiga jenis najis, iaitu:
- Najis Mukhaffafah (najis ringan)
- Najis Mughallazah (najis berat)
- Najis Mutawassitah (najis pertengahan)
Penjelasan lanjut mengenai topik najis ini akan dibahaskan dalam artikel ini: Panduan Taharah: Memahami Jenis Najis
3. Menutup Aurat
Aurat ialah bahagian yang menjadi aib pada tubuh badan yang wajib ditutup dan haram dilihat oleh orang lain.
Memakai pakaian yang menutup aurat ketika mengerjakan solat menjadi syarat solat diterima oleh Allah Taala.
Bagi lelaki, aurat wajib ditutup ialah kawasan di antara pusat dan lutut.
Aurat perempuan pula meliputi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Aurat berasal daripada perkataan arab yang bermaksud keaiban.
Menurut istilah fekah, aurat ialah bahagian tubuh badan yang wajib ditutup atau dilindungi daripada pandangan.
Dinamakan aurat kerana mendedahkan dan melihatnya adalah sesuatu yang tercela.
4. Mengetahui Arah Kiblat
Arah kiblat ialah arah terletaknya Kaabah di Mekah.
Orang yang hendak solat, wajib mengetahui arah kiblat terlebih dahulu.
Semasa mengerjakan solat, dada wajib dihadapkan ke arah kiblat.
Mereka yang bersolat berdekatan Kaabah, diwajibkan menghadap tepat ke bangunan Kaabah.
Manakala mereka yang jauh dari Kaabah, memadai dia yakin mengadap ke arah Kaabah dengan mengambil kira ilmu, pengalaman atau maklumat semasa.
Baca lanjut panduan mengenai kaedah menentukan arah kiblat pada artikel ini:
5. Mengetahui Masuk Waktu Solat
Solat perlu dilakukan setelah yakin masuk waktunya.
Tidak sah solat yang ditunaikan selain pada waktunya.
Masuknya waktu solat fardu dapat diketahui dengan cara:
- Mendengar azan dari masjid berdekatan atau melalui siaran radio dan televisyen tempatan.
- Menggunakan jadual waktu solat yang dikeluarkan oleh jabatan-jabatan agama Islam negeri.
- Melihat tanda-tanda alam yang menunjukkan masuknya waktu solat fardu

Panduan Mengerjakan Solat Fardu Lima Waktu
Di bawah adalah panduan lengkap bagi setiap solat fardu yang dipecahkan mengikut waktu.
Saya menyarankan anda mengikuti setiap panduan agar anda memahami dengan jelas kaedah perlaksanaan dan perbezaan diantara setiap solat.
Solat Fardu Zohor
Solat Zohor dilakukan pada waktu tengah hari. Waktu Zohor bermula daripada gelincir matahari dari kedudukan tengah langit hingga bayang-bayang suatu benda menyamai panjangnya.
Secara umumnya, zohor bermula apabila bayang-bayang sudah cenderung ke arah barat.
Solat Fardu Asar
Waktu untuk bersolat Asar bermula selepas berakhirnya waktu solat Zohor, iaitu apabila tergelincir matahari sehingga bayang-bayang sesebuah objek lebih panjang daripada tinggi objek tersebut.
Solat Fardu Maghrib
Perkataan maghrib ialah istilah bahasa Arab bagi matahari senja; daripada perkataan غَرَبَ (gharaba), yang bermaksud “terbenam”; “akan disembunyikan”.
Solat ini terdiri daripada 3 rakaat dan dilakukan ketika senja.
Solat Fardu Isyak
Waktu Isyak bermula apabila hilang cahaya merah di kaki langit hingga terbit fajar sadiq.
Waktu isya adalah waktu solat yang paling lama iaitu sepanjang malam.
Solat Fardu Subuh
Solat Subuh terdiri daripada 2 rakaat.
Waktu Solat Subuh ialah ketika terbitnya fajar sadiq:
— iaitu dari munculnya warna putih yang merata (horizontal) di ufuk (horizon), dan waktu yang dibolehkan untuk melakukan solat ini terus berlangsung hingga nampak timbulnya bulatan terawal matahari.
Masa yang tersedia dianggarkan kira-kira 2 jam.
Bagi mazhab Syafie, solat subuh dilakukan beserta dengan Doa Qunut.
Solat fardu di atas wajib ditunaikan oleh seorang Islam yang masih waras dan hidup.
Solat fardu tidak boleh ditinggalkan sama sekali dalam apa keadaan sekali pun kerana ia termasuk dalam dosa-dosa besar.
Hatta dalam keadaan seseorang sakit teruk sekali pun jika hanya mata yang boleh bergerak maka solat wajib dilaksanakan dalam waktunya iaitu dengan menggunakan isyarat mata.
Jika tertinggal, kita mesti qada solat.
Panduan Solat Berjemaah
Solat berjemaah bermaksud solat yang dilakukan lebih daripada seorang, atau secara beramai-ramai, dengan diketuai seorang imam.
Ini berdasarkan Sabda Nabi SAW:
Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat”
— HR Bukhari dan Muslim
Solat berjemaah terdiri daripada seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang makmum.
Solat secara berjemaah sangat dituntut dalam Islam.
Bagi Mazhab Syafie hukumnya ialah fardu kifayah, manakala sesetengah pendapat mengatakan solat berjemaah hukumnya sunat muaakad atau sunat yang sangat dituntut dalam Islam.
Menurut Imam As-Syafi’e, orang yang bersolat mendapat pahala berjemaah walaupun hanya sempat mengikut imam seketika iaitu ketika selesai mengangkat takbir, imam memberi salam.
Orang yang bersolat mendapat pahala yang sempurna apabila dia dapat mengikut imam daripada takbiratulihram sehingga salam.
Pahala atau darjatnya 27 kali ganda daripada solat bersendirian.
Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda:
Solat jemaah lebih afdal daripada solat bersendirian dengan 27 kali ganda
— Riwayat Bukhari dan Muslim
Ikuti panduan solat berjemaah ini pada pautan ini: Panduan Lengkap Solat Berjemaah
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum, sah ke solat orang yang bersolat ketika hujung waktu yang diharamkan, contohnya minit terakhir sempat baca Alfatihah dan masa rakaat ke 2 dah masuk waktu maghrib?
Waalaikumussalam,
Berdasarkan mazhab Syafi’i, terdapat tiga waktu yang diharamkan untuk bersolat sunat yang tiada sebab, iaitu:
1. Setelah terbit fajar hingga matahari benar-benar terbit.
2. Apabila matahari berada di tengah-tengah (zawal) sebelum masuk waktu zuhur.
3. Apabila matahari hampir terbenam sehingga benar-benar terbenam.
Jika seseorang itu memulakan solat sunat di saat-saat akhir waktu yang diharamkan itu, contohnya dia mulai solat Asar di minit-minit terakhir sebelum masuk waktu Maghrib dan solatnya sempat hingga masuk waktu Maghrib, maka solatnya adalah sah tetapi tidak digalakkan melakukannya kerana sudah berada dalam waktu yang diharamkan.
Namun, jika solat tersebut adalah solat fardhu (seperti solat Asar), maka adalah wajib bagi seseorang itu untuk melaksanakannya sebelum masuk waktu Maghrib. Jika solat Asar belum dilakukan hingga masuk waktu Maghrib, maka solat Asar itu menjadi qada’.
Sebagai umat Islam, kita perlu mengelakkan dari bersolat pada ketiga-tiga waktu di atas kecuali untuk solat-solat yang mempunyai sebab, seperti solat jenazah, solat taubat, atau solat qada’.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum Ustaz. Saya nk tau sah ker solat saya kalau saya tk baca doa iftitah dan tk blh hafal sampai habis?
Waalaikumussalam.
Dalam mazhab Syafi’i, doa iftitah (“Subhanakallahumma wa bihamdika…” atau yang lain-lainnya) adalah sunat, bukan wajib. Ini bermakna jika seseorang itu tidak membaca doa iftitah atau terlupa membacanya, solatnya tetap sah, tetapi dia kehilangan kebaikan atau pahala sunat tersebut.
Jadi, jika anda tidak dapat hafal doa iftitah atau terlupa membacanya, solat anda tetap sah. Namun, adalah lebih baik untuk anda berusaha menghafal dan mempraktikkannya dalam solat agar mendapatkan kebaikan dan pahala penuh.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum, Ustaz. Saya nak tanya kalau Solat pakai perfume boleh ke? Saya perempuan pakai perfume kat rumah je
Waalaikumussalam,
Tidak ada masalah untuk solat dengan memakai perfume selagi perfume tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang haram atau najis. Sebagai contoh, jika perfume mengandungi alkohol yang diperoleh daripada sumber yang tidak halal (seperti alkohol yang berasal daripada anggur), maka ia patut dielakkan.
Namun, untuk kebanyakan perfume yang berada di pasaran, alkohol yang digunakan biasanya adalah sintetik atau bukan dari sumber yang haram, maka ia boleh digunakan.
Sebagai seorang perempuan, memakai perfume di rumah (khususnya jika tidak keluar atau berhadapan dengan lelaki yang bukan mahram) adalah diterima dan tidak ada masalah dari segi Syariah.
Tetapi, adalah lebih baik bagi perempuan untuk mengelakkan memakai perfume yang berbau kuat ketika keluar rumah supaya tidak menarik perhatian lelaki yang bukan mahram.
Semoga penjelasan ini membantu!
Okay faham, terima kasih Ustaz
Sama-sama
Saya nak tanya , kalau semasa baca Al Fatihah semasa solat Jemaah tapi tak sempat habis , Imam turun satu rukun saya teruskan sampai habis dan imam pula turun rukun ke 2 dan mahu masuk ke 3 , masa saya dah habis dan rukuk , baru imam masuk rukun ke 3 , dan saya kejar sehingga rukun ke 3 , adakah Sah solat saya itu?
Dan juga disebabkan saya lambat satu rakaat , saya kena bangun lah habiskan satu rakaat , tapi saya bangun masa salam kedua , adakah dikira sah solat saya tu?
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.
1. Lewat semasa Al-Fatihah: Mengikut pendapat mazhab Syafi’i, solat jemaah dianggap sah jika seorang makmum berjaya menyertai imam dalam satu rukun dari rakaat yang dia lewatkan. Jadi, jika awak berjaya menyertai imam dalam salah satu rukun (seperti rukuk, sujud pertama atau sujud kedua) sebelum imam bergerak ke rukun seterusnya, maka rakaat itu sah bagi awak. Dalam situasi yang awak nyatakan, awak berjaya menyertai imam dalam rukun ketiga, jadi rakaat tersebut sah bagi awak.
2. Bangun selepas salam kedua: Dalam hal ini, jika awak terlewat dan tidak bangun sebaik sahaja imam memberi salam yang pertama dan baru bangun selepas salam kedua, solat tersebut dianggap sah tetapi kurang sempurna (disunnahkan untuk diqada’ atau diulang). Namun, ada juga pendapat yang mengatakan solat tetap sah dan tidak perlu diulang atau diqada’ asalkan niat awak pada awalnya adalah benar.
Dari segi hukum, solat awak dianggap sah berdasarkan keterangan yang awak berikan.
Semoga Allah menerima segala amalan kita dan memberi kita kefahaman yang lebih mendalam dalam agama.
Waalaikumussalam,
1. Mengenai tak sempat habis baca Al-Fatihah:
Dalam mazhab Syafi’i, membaca Al-Fatihah adalah rukun dalam solat. Jadi, jika seorang makmum belum sempat menyelesaikan bacaan Al-Fatihah ketika Imam sudah bergerak ke rukun seterusnya, makmum tersebut perlu melengkapkan bacaannya. Namun, makmum harus memastikan dia tidak ketinggalan lebih dari satu rukun daripada Imam. Jika dia ketinggalan lebih dari satu rukun, solatnya dianggap batal dan perlu diulang.
Dalam situasi yang awak ceritakan, anda sudah ketinggalan satu rukun ketika menyelesaikan Al-Fatihah, namun berjaya mengejar Imam sebelum beliau masuk ke rukun yang ketiga. Oleh itu, solat awak dianggap sah.
2. Mengenai lambat satu rakaat:
Jika seorang makmum ketinggalan satu rakaat atau lebih, dia perlu melengkapkan rakaat yang tertinggal setelah Imam memberi salam. Jika awak tersedar untuk melengkapkan rakaat yang tertinggal setelah Imam memberi salam kedua, seharusnya awak berdiri untuk melengkapkan rakaat yang tertinggal segera tanpa memberi salam. Setelah melengkapkan rakaat tersebut, baru awak memberi salam. Dalam hal ini, solat awak dianggap sah.
Penting untuk diingat bahawa usaha yang ikhlas dan tulus untuk membetulkan solat adalah kunci, dan Allah Maha Mengetahui dan Maha Pengampun. Jadi, selalu berdoa memohon keampunan dan kesempurnaan solat dariNya.
Semoga menjawab soalan awak!
salam ustaz.
saya nak tanya..bacaan tahiyat akhir tu selawat nabi.
dibaca Allahumma Solli’Alaa Muhammad atau Allahumma Solli’Alaa Muhammadin?
terima kasih
Waalaikumussalam.
Bacaan dalam tahiyat akhir atau tahiyyatul mursalah (selawat Nabi) adalah:
“Allahumma salli ‘ala Muhammadin, wa ‘ala aali Muhammadin, kama sallaita ‘ala Ibrahima, wa ‘ala aali Ibrahima, innaka Hamidun Majid. Allahumma barik ‘ala Muhammadin, wa ‘ala aali Muhammadin, kama barakta ‘ala Ibrahima, wa ‘ala aali Ibrahima, innaka Hamidun Majid.”
Dalam bahasa Arab, bentuk “Muhammadin” digunakan untuk mengikuti tatabahasa Arab yang disebut ‘i’rab (perubahan akhiran kata), yang di sini menunjukkan status ‘nasab’ atau objek bagi kata kerja. Jadi, “Allahumma salli ‘ala Muhammadin” adalah paling betul.
Namun jika dibaca ‘Muhammad’ sahaja juga dikira sah bacaan itu.
Wallahu A’lam. Semoga penjelasan ini membantu anda.
Alhamdulillah…
syukur atas nikmat yang di berikan…
minta izin belajar sekaligus menggunakan panduan ini untuk simpanan nota saya, terima kasih atas perkongsian ini…
doakan saya istiqomah dalam mengamalkannya…
Wassalam,
Ya silakan. Semoga tuan istiqamah dakam belajar solat.
Assalamualaikum, saya nak tanya bagaimana nak menanam perasaan cinta kepada Allah SWT dan Rasullullah SAW
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh,
Menanam cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah proses yang memerlukan masa dan usaha. Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda cuba:
1. Belajar tentang Islam: Membaca Al-Quran, hadis, dan buku-buku tentang sejarah dan ajaran Islam dapat membantu anda memahami dan menghargai kebijaksanaan dan kasih sayang Allah dan Rasulullah SAW.
2. Melakukan ibadah dengan khusyuk: Seringkali, cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW tumbuh melalui ibadah. Solat, berpuasa, zakat, dan ibadah lainnya dapat membantu anda merasa lebih dekat dengan Allah dan lebih menghargai ajaran Rasulullah SAW.
3. Memperbanyakkan zikir dan doa: Mengingat Allah dan berdoa kepadaNya adalah cara yang baik untuk merasa lebih dekat denganNya. Zikir dan doa juga membantu untuk menenangkan hati dan pikiran.
4. Membaca Sirah Nabawiyyah: Dengan membaca tentang kehidupan Rasulullah SAW, kita dapat belajar tentang kebaikan, keberanian, dan kasih sayang beliau. Ini akan membantu kita untuk mencintai dan menghormati beliau lebih dalam.
5. Bersyukur dan bersabar: Allah sangat menyukai hambaNya yang bersyukur dan bersabar. Dengan bersyukur dan bersabar, kita dapat merasa lebih dekat dengan Allah dan lebih menghargai kasih sayang dan rahmatNya.
6. Bergaul dengan orang yang baik: Orang yang kita gauli mempengaruhi kita. Jika kita bergaul dengan orang yang mencintai Allah dan Rasulullah SAW, kita juga akan merasa termotivasi untuk mencintai mereka.
Ingatlah, cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW bukanlah sesuatu yang terjadi segera. Ia adalah proses yang memerlukan masa dan usaha.
Tetapi jika kita berusaha dengan ikhlas dan konsisten, insyaAllah kita akan merasakan cinta yang tulus dan mendalam kepada Allah dan Rasulullah SAW.
Semoga Allah membantu dan memudahkan usaha kita.
Saya nak tanya , ketika Tahiyat Akhir, saya kadang ter kuatkan baris bawah contohnya ALLAHUMMASOLLIALAMUHAMMAD , masa SOLLI tu kadang saya tersebut SOLLI’ atau SOLLIQ dalam nada perlahan hujung hujung macam dengar seakan akan langgar ain ketika nak cepat dan kadang kadang bacaan saya normal je , adakah dikira sah bacaan saya tu dan adakah sehingga mengubah makna? Saya was was jadinya sebab bacaan saya sebelum ni betul je , seolah olah saya tambah huruf baru pula bunyinya pada hujung tapi saya tak rasa sebut , tapi dengar seperti langgar ain , saya tak sure , bagaimana ibadah saya sebelum ni sebab saya tak sedar kadang sebab bacaan saya laju untuk kejar iman dan kadang laju bila nak cepat, tapi kalau normal memang ok sahaja bacaan saya , ni kalau saya nak cepat lagi lagi tahan kentut
Update : Saya juga dengar bacaan di atas dan test dengan adik beradik , untuk bacaan di atas lebih kurang sahaja dengan bacaan saya cuma bahagian Solli hujung tu memang laju cam saya baca , dan juga adik saya juga kata betul je bacaan saya , sekarang saya tunggu jawapan orang lain pula
Waalaikumsalam,
Dalam situasi seperti ini, penting untuk tidak terlalu was-was.
Bacaan dalam solat adalah penting, tetapi kebanyakan ulama berpendapat bahawa kesalahan kecil dalam pengucapan tidak akan membatalkan solat asalkan niat dan usaha untuk membaca dengan betul ada. Allah SWT tahu bahawa kita manusia dan kita akan membuat kesilapan, dan Dia Maha Pengampun.
Apabila membaca doa tahiyyat, sebaiknya kita cuba untuk membaca dengan perlahan dan jelas. Namun, jika ada kesilapan kecil dalam pengucapan kerana tergesa-gesa atau sebab-sebab lain (seperti yang anda sebutkan tentang “menggejar imam”), solat anda masih dianggap sah.
Jika anda merasa was-was tentang bacaan anda, cuba untuk berlatih membaca doa-doa dengan perlahan dan jelas ketika anda tidak sedang solat. Ini mungkin membantu anda merasa lebih yakin tentang bacaan anda ketika solat.
Ingatlah, was-was adalah bisikan syaitan yang bertujuan untuk mengganggu ibadah kita dan membuat kita merasa tidak yakin tentang hubungan kita dengan Allah. Jangan biarkan was-was ini menguasai anda. Allah Maha Mengetahui niat kita dan Dia Maha Pengampun.
Saya harap penjelasan ini dapat membantu anda.
Semoga Allah memberkati dan memudahkan ibadah anda.
Assalamualaikum, saya nak tanya ,
kadang bila dah lama solat tu , saya dah terbiasa tangan saya ni tapak tangan dia , kadang tak semua jejak tanah , jari tangan lak kadang kadang satu jari tak sentuh tanah , sebab bila bergerak tu kan nak tahan beban badan ready nak duduk antara dua sujud , saya akan tekan jari saya semua , so akan ada sebahagian tapak tangan tak sentuh tanah , sah tak solat saya selama ni , baru terlintas nak tanya pasal ni lepas dah lama lama 😅
Lagi , kalau jari bergerak ketika takbiratul ihram , sah tak solat
Dan kalau rukuk memang kena betul betul 90 darjah ke baru sah?
Kalau berhenti dengan kadar lama sebelum Baca Al Fatihah sah tak solat maksudnya selepas takbiratul ihram , kadang juga saya tarik nafas semasa baca Al Fatihah tapi secara sekejap sahaja dan tak terputus lama , sah tak bacaan?
Ouh dan juga , kalau kita solat sorang sorang kan semasa iktidal , bacaan nya adakah wajib atau sunat?
Ouh ya berkenaan Muzik , ada yang kata haram , harus , sebagainya , tapi terhadap pemahaman saya, lagu tu haram bila ada unsur tak elok , lucah , syirik dan maksiat . Tapi kalau unsur unsur percintaan seperti lagu Spiderman yang bertajuk “Calling” lagu yang saya ragu juga akan maksiat tak seperti lagu Kamen Rider Saber “Almighty” , ia berkenaan memupuk rajin membaca etc , dan kekuatan Ilmu , tapi setiap verse akan ulang “ALMIGHTY” , Dan juga apa Hukum lagu “Immortal” dari movie Big Hero 6 . Dan juga satu lagu ni oleh David Kushner – Daylight , berkenaan penyesalan seorang itu terhadap dosa yang pernah dilakukan , tapi saya ragu sebab penyanyi itu non muslim , verse yang saya ragu ialah “Two sinner’s can’t atone from a lone prayer” tetapi lyric nya juga seperti berdoa kepada tuhan agar ampun kan dosa dosa yang lalu , Kalau kita meminta ampun kepada Allah , lyricnya seperti general kepada semua agama saya rasa la sebab takda unsur dari agama lain tapi saya masih tak pasti. Last sekali apa hukum lagu cinta yang tak mengandungi unsur lucah , tapi ada unsur kemesraan macam date dan sebagainya. Jika saya dah berkahwin boleh ke dengar unsur dating macam lagu dari spiderman juga “another dimension”
Waalaikumsalam.
Terima kasih atas soalan-soalan anda. Saya akan cuba jawab mengikut urutan soalan anda:
1. Menurut pandangan majoriti ulama, sentuhan tapak tangan dan jari tangan ke tanah semasa sujud adalah wajib dan tidak menjejaskan sah solat asalkan sebahagian daripada tapak tangan telah menyentuh tanah. Namun, adalah lebih baik dan sunat untuk seluruh tapak tangan menyentuh tanah semasa sujud.
2. Bergerak-gerak jari semasa Takbiratul Ihram tidak membatalkan solat asalkan gerakannya tidak terlalu banyak yang boleh dianggap sebagai banyak bergerak (bahasa Arabnya “Amal Kathir”) yang membatalkan solat.
3. Mengenai rukuk, yang penting adalah badan (terutama bahagian atas badan) dalam keadaan tenang dan menunduk. Tidak semestinya harus tepat 90 darjah, namun sebaik-baiknya rata. Selagi bahagian atas badan dalam keadaan menunduk, itu sudah memadai.
4. Mengambil nafas semasa bacaan Al-Fatihah dan berhenti sekejap sebelum membacanya tidak membatalkan solat.
5. Bacaan semasa iktidal (berdiri dari rukuk) adalah sunat. Ia tidak wajib dan tidak menjejaskan sah solat jika tidak dibaca. Antara boleh rujuk perkara wajib dan sunat dalam solat pada pautan ini: https://akuislam.com/blog/ibadah/rukun-solat/
Mengenai lagu dan muzik, pendapat ulama berbeza-beza. Ada yang memandangnya haram secara mutlak, dan ada yang memandangnya boleh diterima selagi ia tidak membawa kepada sesuatu yang haram atau maksiat. Dalam konteks soalan anda, lagu-lagu yang tidak mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam (seperti lucah, maksiat, atau syirik) dan tidak membawa kepada sesuatu yang haram, boleh didengar.
Namun, kita harus selalu ingat bahawa segala-galanya harus dilakukan dengan sederhana dan tidak melampau. Jangan sampai mendengar lagu atau muzik menjadi sesuatu yang mengganggu ibadah kita atau mengambil masa yang sepatutnya digunakan untuk melakukan sesuatu yang lebih bermanfaat.
Mengenai lagu-lagu yang spesifik yang anda sebutkan, saya tidak dapat memberikan pandangan yang pasti kerana saya tidak mendengar lagu-lagu tersebut dan tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang liriknya. Oleh itu, adalah lebih baik untuk anda merujuk kepada seseorang yang lebih memahami dalam hal ini.
Semoga penjelasan ini membantu.
Ouh Terima Kasih Ustaz , akan penjelasan yang lengkap , ouh ya soalan no 2 saya nak tahu kadar gerakan jari tu bagaimana adakah jangan lebih 3 Kali , sebab saya selalu gerakkan jari satu gerakan sahaja contohnya kedepan satu satu jari, sebab saya susah nak terbitkan niat dalam hati tanpa “tiang” , so saya gerakkan satu jari untuk “Aku” kemudian “solat” , dan kemudian “fardhu” dan sekiannya termasuk untuk semua solat , saya hanya gerakkan sendi antara dua jari.
Dan ouh ya adakah kesan tapak kaki anjing kena disertu, saya was was akan memory saya yang berlaku rasanya tahun lepas , ada anjing lalu belakang saya tapi ia jauh dan tak kena pakaian tapi saya rasa kering je bulu anjing tu tapi tak ingat tapak kaki dia ada meninggalkan jejak atau tak , saya juga lupa adakah waktu tu hujan atau tak , tapi anjing tu seingat saya memang kering , dan juga tapak kaki anjing tu saya tak ingat basah ke tak , tapi memory saya juga rasanya ingat yang lantai tu kering je , tapi keyakinan saya memang takda pijak tapak kaki anjing , bagaimana tu ustaz . Ini ketika berada di kedai milik owner non muslim
1. Mengenai pergerakan jari dalam solat: Menurut mazhab Syafi’i, pergerakan jari (pergerakan kecil) adalah jangan melebihi 3 kali secara berturut-turut. Jika tidak berturut-turut, maka tidak mengapa jika banyak kali.
2. Mengenai soalan awak tentang tapak kaki anjing: Menurut mazhab Syafi’i, air liur anjing adalah najis mughallazah. Jika air liur anjing itu bersentuhan dengan pakaian atau badan seseorang, maka perlu dilakukan sertu (pembersihan dengan tanah dan air) bagi membersihkannya. Walau bagaimanapun, jika hanya bulu atau tapak kaki anjing yang kering dan tidak ada air liur, maka tidak dianggap sebagai najis. Jadi, jika anjing yang lalu di belakang awak itu tidak menyentuh awak dan tidak meninggalkan air liur, maka awak tidak perlu melakukan sertu.
Jika ada keraguan tentang apakah sesuatu itu najis atau tidak, prinsip asas dalam Islam adalah sesuatu itu dianggap suci sehingga ada bukti yang menunjukkan sebaliknya.
Jadi, jika awak tidak yakin apakah anjing itu telah meninggalkan air liur atau tidak, maka awak boleh menganggapnya suci dan tidak perlu melakukan sertu.
Semoga ini menjawab soalan awak.
Ouh maksudnya untuk 1 jari itu lah ya , jangan gerak 3 kali berturut untuk 1 jari sahaja , jadi betullah cara saya dimana semasa takbiratul ihram saya gerakkan jari jemari saya 4 jari dalam satu arah gerakan sahaja untuk tandakan tiang “aku solat fardhu zohor” misalnya,
Dan terima kasih juga ya untuk balasan ustaz berkenaan isu anjing jadi kesimpulannya tapak kaki anjing tidak perlu disertulah ya lagi pun saya rasa takda
ouh ya jikalau kita menggunakan barang yang menggunakan perkataan god misalnya pada barang itu , misalnya GodHand Nipper , ia salah satu brand alat perkakasan , dan juga barang barang lain yang menggunakan God sebagai barang jenama mereka , saya ada salah satu alat ini , apa yang perlu dibuat dengan barang ini?
Dan juga bila seseorang itu bertaubat dari melakukan lucky draw yang tak ikut syarak misalnya ada event event macam phone brand , beli voucher ni dan kemungkinan dapat sebuah phone , atau pun hadiah lain , ataupun skin skin dalam game yang menggunakan sistem gacha , apa perlu dibuat dengan barang barang itu setelah agak lama menggunakannya ? Kerana saya juga terlanjur dalam melakukan perkara ini , banyak juga skin skin dalam game yang saya guna dahulu menggunakan gacha , dan dulu ada terjebak dengan lucky draw phone jenama OnePlus , dimana kena beli dulu lucky ticket itu dan kemungkinan dapat phone , malah saya dapat cable untuk charge yang saya gunakan selama 2 tahun lebih?
Waalaikumsalam,
1) Mengenai penggunaan nama “God” dalam jenama atau produk, dari segi syarak, tidak ada masalah menggunakan produk tersebut selagi produk itu sendiri tidak melanggar hukum Islam. Sebagai contoh, jika produk itu adalah alat perkakasan seperti yang disebutkan, tidak ada masalah untuk menggunakannya. Namun, sebagai Muslim, kita perlu menjauhkan diri dari segala bentuk syirik dan kita perlu pastikan bahawa kita tidak mempercayai atau memandang sesuatu entiti atau objek selain Allah sebagai Tuhan.
2) Mengenai isu lucky draw dan sistem gacha, prinsip asasnya adalah, dalam Islam, segala bentuk judi adalah haram. Jika sesuatu aktiviti itu memerlukan anda untuk membayar sejumlah wang dan mendapatkan sesuatu secara rawak (tanpa jaminan apa yang akan anda dapat), ini boleh dianggap sebagai judi.
Tetapi, setelah barang-barang itu telah menjadi milik anda dan anda telah menggunakannya, hukumnya bergantung kepada beberapa faktor. Jika barang tersebut adalah halal untuk digunakan (misalnya, telefon atau skin dalam permainan), dan anda telah menyesali dan bertaubat atas tindakan anda sebelumnya, maka boleh dianggap bahawa anda boleh terus menggunakan barang tersebut. Anda juga boleh menebus dosa anda dengan lebih banyak beribadat dan beramal soleh, serta berusaha untuk menjauhi perilaku tersebut di masa depan.
Yang terpenting adalah untuk menyesali dan bertaubat atas perbuatan tersebut, serta berusaha untuk tidak mengulanginya lagi. Allah Maha Pengampun dan sentiasa menerima taubat hamba-hambaNya yang benar-benar menyesali dan meninggalkan dosa mereka.
Wallahu a’lam.
Assalammualaikum ustaz,sy nak tanya,sah ke solat bila selepas takbiratul Islam terus bc Al-Fatihah dulu,baru bc doa iftitah.mohon pencerahan ustaz. terima kasih
Wassalam,
Ya sah. Cuma apabila sudah baca al-Fatihah, maka tidak perlu lagi ulang baca doa iftitah.