NIAT SOLAT FARDU & SUNAT: Lafaz Arab, Rumi dan Maksud (Senarai Lengkap)

Lafaz niat solat 5 waktu, Jumaat, qada, jamak qasar, jenazah dan solat sunat, lengkap Arab, rumi, maksud dan audio. Mengikut Mazhab Syafi’e.

Muhamad Naim Abd ManafDikemas kini 4 November 2026
Lelaki mengangkat tangan ketika takbiratul ihram, saat niat solat dihadirkan dalam hati

Ramai yang sudah bertahun-tahun solat, tetapi masih ragu setiap kali mengangkat takbir. Betulkah lafaz niat tadi? Perlukah disebut “ma’mūman”? Bagaimana pula niat jamak ketika musafir, atau niat qada untuk solat yang tertinggal?

Keraguan kecil ini mudah membesar. Ada yang mengulang takbir berkali-kali, ada yang risau solatnya tidak sah hanya kerana lidah tersasul, dan ada yang terlepas niat yang benar-benar wajib, seperti niat makmum, kerana menyangka lafaz di mulut itulah yang paling penting.

Hakikatnya, niat ialah rukun pertama solat. Tempatnya di hati, dan ia hadir ketika anda menyebut takbiratul ihram “Allāhu akbar”.1 Lafaz “Uṣallī…” sebelum takbir hanyalah sunat untuk membantu hati.2 Panduan ini menghimpunkan lafaz niat solat fardu lima waktu, Jumaat, qada, jamak dan qasar, jenazah serta solat sunat, lengkap dengan tulisan Arab, rumi, maksud dan audio, mengikut Mazhab Syafi’e.

Mula dari Mana?

SOLAT FARDU · 2 RAKAAT

Niat Solat Subuh

أُصَلِّي فَرْضَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaṣ-ṣubḥi rak‘ataini adā’an lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Subuh dua rakaat tunai kerana Allah Taala.

Cara solat Subuh langkah demi langkah →

SOLAT FARDU · 4 RAKAAT

Niat Solat Zohor

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin adā’an lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat tunai kerana Allah Taala.

Cara solat Zohor langkah demi langkah →

SOLAT FARDU · 4 RAKAAT

Niat Solat Asar

أُصَلِّي فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-‘aṣri arba‘a raka‘ātin adā’an lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat tunai kerana Allah Taala.

Cara solat Asar langkah demi langkah →

SOLAT FARDU · 3 RAKAAT

Niat Solat Maghrib

أُصَلِّي فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-maghribi ṡalāṡa raka‘ātin adā’an lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Maghrib tiga rakaat tunai kerana Allah Taala.

Cara solat Maghrib langkah demi langkah →

SOLAT FARDU · 4 RAKAAT

Niat Solat Isyak

أُصَلِّي فَرْضَ الْعِشَاءِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-‘isyā’i arba‘a raka‘ātin adā’an lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat tunai kerana Allah Taala.

Cara solat Isyak langkah demi langkah →

Lafaz di atas dibaca perlahan sejurus sebelum takbiratul ihram. Daripada keseluruhan lafaz itu, hanya tiga perkara yang wajib hadir dalam hati: solat, nama solatnya dan fardu. Bilangan rakaat, “tunai” dan “kerana Allah Taala” ialah tambahan yang sunat.3

Solat berjemaah? Lihat niat makmum dan imam. Menggantikan solat yang tertinggal? Lihat niat solat qada.

Niat ialah rukun pertama solat, berdasarkan sabda Nabi SAW bahawa setiap amalan bergantung pada niat.4 Tempatnya di hati, bukan di lidah, dan ia mesti hadir ketika takbiratul ihram.1

Tiga perkara yang wajib hadir dalam hati

  • Qasad: sengaja hendak melakukan solat.
  • Ta‘yin: menentukan solat itu, contohnya Zohor atau Maghrib.
  • Fardu: menyatakan bahawa solat itu fardu (bagi solat fardu).

Yang lain, seperti bilangan rakaat, tunai atau qada, menghadap kiblat dan “kerana Allah Taala”, hukumnya sunat.3 Namun jangan sengaja berniat dengan bilangan rakaat yang salah, kerana solat menjadi tidak sah.5

Langkah berniat ketika takbiratul ihram

  1. Berdiri menghadap kiblat. Sebelum takbir, lafazkan niat perlahan, contohnya “Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin adā’an lillāhi ta‘ālā”. Lafaz ini sunat, dan boleh juga dalam bahasa Melayu.2
  2. Berhenti seketika. Jangan sambung terus hujung lafaz niat dengan “Allāhu akbar”.6
  3. Ketika mengangkat tangan dan menyebut “Allāhu akbar”, hadirkan dalam hati: aku solat fardu Zohor. Itu sahaja yang wajib, dan memadai menurut kebiasaan tanpa perlu terlalu teliti.7
  4. Jika solat berjemaah, makmum mesti berniat menjadi makmum ketika takbir ini.8
  5. Teruskan solat. Tidak perlu mengulang takbir kerana ragu-ragu, kerana takbir yang diulang boleh membawa anda keluar masuk solat.9

Lidah Tersasul?

Jika lidah tersebut “Asar” sedangkan hati berniat Zohor, solat tetap sah sebagai Zohor. Yang dikira ialah niat dalam hati.10

Perbahasan lebih mendalam tentang niat, termasuk dalil dan pandangan ulama tentang lafaz “uṣallī”, ada dalam panduan cara niat solat yang betul.

Makmum wajib berniat mengikut imam bersama takbiratul ihram. Jika tidak, lalu dia sengaja menunggu untuk mengikut perbuatan imam, solatnya batal.8 Imam pula disunatkan berniat menjadi imam supaya mendapat pahala jemaah. Niat imam menjadi wajib dalam solat Jumaat, solat yang diulang (mu‘adah) dan solat kedua dalam jamak taqdim kerana hujan.11

Caranya mudah: tambah “ma’mūman” (makmum) atau “imāman” (imam) sebelum “lillāhi ta‘ālā”. Contoh bagi solat Zohor:

MAKMUM

Niat Makmum (Contoh Solat Zohor)

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin adā’an ma’mūman lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat tunai menjadi makmum kerana Allah Taala.

IMAM

Niat Imam (Contoh Solat Zohor)

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً إِمَامًا لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin adā’an imāman lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat tunai menjadi imam kerana Allah Taala.

Pola yang sama digunakan untuk Subuh, Asar, Maghrib dan Isyak. Wanita menggunakan lafaz yang sama. Ada yang menyebut “ma’mūmatan” mengikut tatabahasa Arab, dan kedua-duanya tidak menjejaskan solat kerana yang dikira ialah niat dalam hati.10

JUMAAT · MAKMUM

Niat Solat Jumaat (Makmum)

أُصَلِّي فَرْضَ الْجُمُعَةِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-jumu‘ati rak‘ataini ma’mūman lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat menjadi makmum kerana Allah Taala.

Panduan lengkap solat Jumaat →

JUMAAT · IMAM

Niat Solat Jumaat (Imam)

أُصَلِّي فَرْضَ الْجُمُعَةِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-jumu‘ati rak‘ataini imāman lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Jumaat dua rakaat menjadi imam kerana Allah Taala.

Jemaah ialah syarat sah solat Jumaat. Oleh itu makmum wajib berniat makmum, dan imam wajib berniat menjadi imam, bersama takbiratul ihram.12 Makmum yang terlewat dan hanya sempat bersama imam selepas rukuk rakaat kedua tetap berniat Jumaat, kemudian menyempurnakannya sebagai Zohor empat rakaat.13

QADA · 2 RAKAAT

Niat Qada Solat Subuh

أُصَلِّي فَرْضَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ قَضَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaṣ-ṣubḥi rak‘ataini qaḍā’an lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Subuh dua rakaat qada kerana Allah Taala.

QADA · 4 RAKAAT

Niat Qada Solat Zohor

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ قَضَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin qaḍā’an lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat qada kerana Allah Taala.

QADA · 4 RAKAAT

Niat Qada Solat Asar

أُصَلِّي فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ قَضَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-‘aṣri arba‘a raka‘ātin qaḍā’an lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qada kerana Allah Taala.

QADA · 3 RAKAAT

Niat Qada Solat Maghrib

أُصَلِّي فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ قَضَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-maghribi ṡalāṡa raka‘ātin qaḍā’an lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Maghrib tiga rakaat qada kerana Allah Taala.

QADA · 4 RAKAAT

Niat Qada Solat Isyak

أُصَلِّي فَرْضَ الْعِشَاءِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ قَضَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-‘isyā’i arba‘a raka‘ātin qaḍā’an lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada kerana Allah Taala.

Menyebut tunai atau qada sebenarnya sunat. Yang penting hati tahu solat apa yang sedang diganti, dan tidak perlu menyebut hari solat itu ditinggalkan.14 Cara mengira dan menyusun solat yang tertinggal diterangkan dalam panduan cara qada solat.

  • Qasar: niat qasar wajib ketika takbiratul ihram. Hanya solat empat rakaat, iaitu Zohor, Asar dan Isyak, boleh diqasar.15
  • Jamak taqdim: niat jamak dibuat dalam solat pertama, paling baik ketika takbiratul ihram.16
  • Jamak takhir: semasa masih dalam waktu solat pertama, berniat dalam hati untuk melewatkannya ke waktu solat kedua.17
QASAR SAHAJA

Niat Qasar Tanpa Jamak (Contoh Zohor)

Tukar “Zohor” kepada Asar atau Isyak. Subuh dan Maghrib tidak boleh diqasar.

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri qaṣran rak‘ataini lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Zohor dua rakaat secara qasar kerana Allah Taala.

Jamak Zohor dan Asar

JAMAK TAKDIM · SOLAT PERTAMA

Niat Jamak Takdim Zohor

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلّٰهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri qaṣran rak‘ataini jam‘a taqdīmin lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Zohor dua rakaat secara qasar dan jamak takdim, kerana Allah Taala.

JAMAK TAKDIM · SOLAT KEDUA

Niat Jamak Takdim Asar

أُصَلِّي فَرْضَ الْعَصْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلّٰهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-‘aṣri qaṣran rak‘ataini jam‘a taqdīmin lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Asar dua rakaat secara qasar dan jamak takdim, kerana Allah Taala.

JAMAK TAKHIR · DALAM WAKTU ZOHOR

Niat Takhir (Dibaca Dalam Waktu Zohor)

Dibuat dalam hati semasa masih dalam waktu Zohor.

نَوَيْتُ تَأْخِيرَ صَلَاةِ الظُّهْرِ إِلَى وَقْتِ الْعَصْرِ لِأَجْمَعَ بَيْنَهُمَا

Nawaitu ta’khīra ṣalātiẓ-ẓuhri ilā waqtil-‘aṣri li’ajma‘a bainahumā

Sahaja aku melewatkan solat Zohor ke waktu Asar untuk menghimpunkan kedua-duanya.

JAMAK TAKHIR · SOLAT PERTAMA

Niat Jamak Takhir Zohor

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلّٰهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri qaṣran rak‘ataini jam‘a ta’khīrin lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Zohor dua rakaat secara qasar dan jamak takhir, kerana Allah Taala.

JAMAK TAKHIR · SOLAT KEDUA

Niat Jamak Takhir Asar

أُصَلِّي فَرْضَ الْعَصْرِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلّٰهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-‘aṣri qaṣran rak‘ataini jam‘a ta’khīrin lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Asar dua rakaat secara qasar dan jamak takhir, kerana Allah Taala.

Panduan penuh jamak qasar Zohor dan Asar →

Jamak Maghrib dan Isyak

JAMAK TAKDIM · SOLAT PERTAMA

Niat Jamak Takdim Maghrib

أُصَلِّي فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلّٰهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-maghribi ṡalāṡa raka‘ātin jam‘a taqdīmin lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Maghrib tiga rakaat secara jamak takdim, kerana Allah Taala.

JAMAK TAKDIM · SOLAT KEDUA

Niat Jamak Takdim Isyak

أُصَلِّي فَرْضَ الْعِشَاءِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلّٰهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-‘isyā’i qaṣran rak‘ataini jam‘a taqdīmin lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Isyak dua rakaat secara qasar dan jamak takdim, kerana Allah Taala.

JAMAK TAKHIR · DALAM WAKTU MAGHRIB

Niat Takhir (Dibaca Dalam Waktu Maghrib)

Dibuat dalam hati semasa masih dalam waktu Maghrib.

نَوَيْتُ تَأْخِيرَ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ إِلَى وَقْتِ الْعِشَاءِ لِأَجْمَعَ بَيْنَهُمَا

Nawaitu ta’khīra ṣalātil-maghribi ilā waqtil-‘isyā’i li’ajma‘a bainahumā

Sahaja aku melewatkan solat Maghrib ke waktu Isyak untuk menghimpunkan kedua-duanya.

JAMAK TAKHIR · SOLAT PERTAMA

Niat Jamak Takhir Maghrib

أُصَلِّي فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلّٰهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-maghribi ṡalāṡa raka‘ātin jam‘a ta’khīrin lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Maghrib tiga rakaat secara jamak takhir, kerana Allah Taala.

JAMAK TAKHIR · SOLAT KEDUA

Niat Jamak Takhir Isyak

أُصَلِّي فَرْضَ الْعِشَاءِ قَصْرًا رَكْعَتَيْنِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلّٰهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍal-‘isyā’i qaṣran rak‘ataini jam‘a ta’khīrin lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat fardu Isyak dua rakaat secara qasar dan jamak takhir, kerana Allah Taala.

Panduan penuh jamak qasar Maghrib dan Isyak →

Musafir yang solat Jumaat boleh menjamak taqdim Asar selepasnya, dengan niat jamak dibuat dalam solat Jumaat. Solat Jumaat tidak boleh dijamak takhir.18 Syarat jarak, tempoh dan susunan jamak qasar ada dalam panduan solat jamak dan qasar.

JENAZAH LELAKI

Niat Solat Jenazah Lelaki

أُصَلِّي عَلَىٰ هٰذَا الْمَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ فَرْضَ الْكِفَايَةِ مَأْمُومًا لِلّٰهِ تَعَالَى

Uṣallī ‘alā hāżal-mayyiti arba‘a takbīrātin farḍal-kifāyati ma’mūman lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat ke atas jenazah lelaki ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala.

JENAZAH PEREMPUAN

Niat Solat Jenazah Perempuan

أُصَلِّي عَلَىٰ هٰذِهِ الْمَيِّتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ فَرْضَ الْكِفَايَةِ مَأْمُومًا لِلّٰهِ تَعَالَى

Uṣallī ‘alā hāżihil-mayyitati arba‘a takbīrātin farḍal-kifāyati ma’mūman lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat ke atas jenazah perempuan ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala.

Cara solat jenazah lengkap →

Memadai berniat fardu, tidak wajib menyebut “kifayah”. Tidak perlu mengenali atau menyebut nama mayat, cukup “jenazah ini”. Jika anda menyebut nama lalu tersilap, solat tidak sah.19 Imam menggantikan “ma’mūman” dengan “imāman”, dan yang solat bersendirian tidak menyebutnya.

Solat sunat yang ada waktu atau sebab, seperti rawatib, Dhuha, Tarawih, Witir dan solat hari raya, wajib disebut namanya dalam niat. Solat sunat mutlak pula memadai dengan niat hendak solat. Tidak wajib menyebut perkataan “sunat”.20

Sunat rawatib

SUNAT RAWATIB

Niat Solat Sunat Qabliyah Subuh

أُصَلِّي سُنَّةَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnataṣ-ṣubḥi rak‘ataini qabliyyatan lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat qabliyah Subuh dua rakaat kerana Allah Taala.

SUNAT RAWATIB

Niat Solat Sunat Qabliyah Zohor

أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnataẓ-ẓuhri rak‘ataini qabliyyatan lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat qabliyah Zohor dua rakaat kerana Allah Taala.

SUNAT RAWATIB

Niat Solat Sunat Ba’diyah Zohor

أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnataẓ-ẓuhri rak‘ataini ba‘diyyatan lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat ba’diyah Zohor dua rakaat kerana Allah Taala.

SUNAT RAWATIB

Niat Solat Sunat Ba’diyah Maghrib

أُصَلِّي سُنَّةَ الْمَغْرِبِ رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-maghribi rak‘ataini ba‘diyyatan lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat ba’diyah Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.

SUNAT RAWATIB

Niat Solat Sunat Ba’diyah Isyak

أُصَلِّي سُنَّةَ الْعِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-‘isyā’i rak‘ataini ba‘diyyatan lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat ba’diyah Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.

Panduan solat sunat rawatib →

Solat sunat harian dan bersebab

SUNAT MALAM

Niat Solat Sunat Tahajjud

أُصَلِّي سُنَّةَ التَّهَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatat-tahajjudi rak‘ataini lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala.

Panduan solat Tahajjud →

SUNAT

Niat Solat Sunat Taubat

أُصَلِّي سُنَّةَ التَّوْبَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatat-taubati rak‘ataini lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala.

Panduan solat sunat taubat →

SUNAT PAGI

Niat Solat Sunat Dhuha

أُصَلِّي سُنَّةَ الضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnataḍ-ḍuḥā rak‘ataini lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala.

Panduan solat Dhuha →

SUNAT

Niat Solat Sunat Hajat

أُصَلِّي سُنَّةَ الْحَاجَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-ḥājati rak‘ataini lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Taala.

Panduan solat sunat hajat →

SUNAT

Niat Solat Sunat Istikharah

أُصَلِّي سُنَّةَ الاِسْتِخَارَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-istikhārati rak‘ataini lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Taala.

Panduan solat istikharah →

SUNAT

Niat Solat Sunat Tahiyatul Masjid

أُصَلِّي سُنَّةَ تَحِيَّةِ الْمَسْجِدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnata taḥiyyatil-masjidi rak‘ataini lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat tahiyatul masjid dua rakaat kerana Allah Taala.

Panduan solat tahiyatul masjid →

SUNAT MUTLAK

Niat Solat Sunat Mutlak

Untuk solat sunat tanpa waktu atau sebab tertentu.

أُصَلِّي سُنَّةً رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatan rak‘ataini lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat dua rakaat kerana Allah Taala.

Panduan solat sunat mutlak →

Tahiyatul masjid sudah terhasil jika anda terus solat fardu atau sunat lain sebaik masuk masjid. Namun berniatlah tahiyatul masjid supaya pahalanya lebih pasti diperoleh.21

Tarawih dan Witir

TARAWIH · MAKMUM

Niat Solat Tarawih (Makmum)

Dibaca bagi setiap dua rakaat.

أُصَلِّي سُنَّةَ التَّرَاوِيحِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatat-tarāwīḥi rak‘ataini ma’mūman lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Tarawih dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.

TARAWIH · IMAM

Niat Solat Tarawih (Imam)

أُصَلِّي سُنَّةَ التَّرَاوِيحِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatat-tarāwīḥi rak‘ataini imāman lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Tarawih dua rakaat sebagai imam kerana Allah Taala.

Panduan solat Tarawih →

WITIR · 2 RAKAAT

Niat Solat Witir 2 Rakaat

أُصَلِّي سُنَّةَ الْوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-witri rak‘ataini lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Witir dua rakaat kerana Allah Taala.

WITIR · 1 RAKAAT

Niat Solat Witir 1 Rakaat

أُصَلِّي سُنَّةَ الْوِتْرِ رَكْعَةً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-witri rak‘atan lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Witir satu rakaat kerana Allah Taala.

Panduan solat witir →

WITIR · 3 RAKAAT SEKALIGUS

Niat Solat Witir 3 Rakaat 1 Salam

أُصَلِّي سُنَّةَ الْوِتْرِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-witri ṡalāṡa raka‘ātin lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Witir tiga rakaat kerana Allah Taala.

Cara solat witir 3 rakaat 1 salam →

Tarawih mesti diniatkan dengan namanya bagi setiap dua rakaat.22 Witir pula diniatkan sebagai witir, bukan sunat Isyak.23

Solat sunat hari raya

HARI RAYA · MAKMUM

Niat Solat Sunat Aidilfitri

أُصَلِّي سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnata ‘īdil-fiṭri rak‘ataini ma’mūman lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Aidilfitri dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.

Panduan solat sunat Aidilfitri →

HARI RAYA · MAKMUM

Niat Solat Sunat Aidiladha

أُصَلِّي سُنَّةً لِعِيْدِ الأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatan li‘īdil-aḍḥā rak‘ataini ma’mūman lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Aidiladha dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.

Panduan solat sunat Aidiladha →

Salah fahamPenjelasan
Mesti lafaz “uṣallī” baru solat sahLafaz hanya sunat. Niat dalam hati sudah memadai.2
Niat mesti dalam bahasa ArabNiat berlaku dalam hati. Lafaz yang membantu hati boleh dalam bahasa Melayu.10
Cukup berniat sebelum takbirNiat mesti hadir bersama takbiratul ihram, menurut kebiasaan orang ramai.1,7
Tersasul sebut solat lain, kena ulangSolat tetap sah. Yang dikira ialah hati.10
Ulang takbir sampai benar-benar yakinTidak perlu. Takbir yang diulang boleh membawa keluar masuk solat dan membuka pintu was-was.9
Makmum cukup ikut imam, tak perlu niatNiat makmum wajib. Tanpanya, menunggu dan mengikut imam membatalkan solat.8
Boleh gabung niat fardu Zohor dengan sunat qabliyahnyaTidak sah. Kedua-duanya ibadah yang berdiri sendiri.24
Wajib sebut “sunat” dalam niat solat sunatTidak wajib. Yang wajib ialah nama solat itu jika ia ada waktu atau sebab.20
Adakah wajib melafazkan niat solat?

Tidak wajib. Melafazkan niat sebelum takbir hukumnya sunat dalam Mazhab Syafi’e untuk membantu hati. Solat sah dengan niat dalam hati walaupun tanpa lafaz.2

Bolehkah berniat solat dalam bahasa Melayu?

Boleh. Niat berlaku dalam hati dan tidak terikat dengan bahasa. Lafaz “Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat kerana Allah Taala” juga membantu hati sebagaimana lafaz Arab.10

Bilakah masa yang tepat untuk berniat?

Ketika takbiratul ihram, iaitu semasa menyebut “Allāhu akbar”. Lafaz niat dibaca sejurus sebelumnya, manakala niat dalam hati dihadirkan bersama takbir.1,7

Bagaimana jika saya tersalah sebut nama solat atau bilangan rakaat?

Jika hanya lidah yang tersasul sedangkan hati betul, solat tetap sah. Jika hati sengaja berniat bilangan rakaat yang salah, solat tidak sah.10,5

Adakah wanita menggunakan lafaz niat yang sama?

Ya. Wanita boleh menggunakan lafaz yang sama. Ada yang menyebut “ma’mūmatan” ketika menjadi makmum mengikut tatabahasa Arab, tetapi “ma’mūman” pun tidak menjejaskan solat kerana yang dikira ialah niat dalam hati.

Perlukah imam berniat menjadi imam?

Dalam solat biasa, niat imam hanya sunat, tetapi ia penting untuk mendapat pahala jemaah. Dalam solat Jumaat, niat imam wajib.11

Perlukah solat tahiyatul masjid berasingan jika terus solat fardu?

Tidak perlu, kerana tahiyatul masjid terhasil dengan solat fardu. Namun berniatlah tahiyatul masjid bersama solat itu supaya pahalanya diperoleh.21

Penutup

Niat ialah amalan yang paling ringan dilakukan, tetapi paling menentukan. Ia tidak menuntut hafalan yang panjang, cukup hati yang sedar solat apa yang sedang didirikan. Lafaz di atas hanyalah pembantu supaya hati lebih tenang dan tidak diganggu was-was.

Semoga panduan ini membantu anda, InsyaAllah.

Nota Kaki & Rujukan

  1. Niat ialah rukun pertama solat dan tempatnya di hati. Niat wajib disertakan bersama takbiratul ihram. [al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, hlm. 25] ↩︎
  2. Melafazkan niat sejurus sebelum takbir hukumnya sunat, supaya lidah membantu hati dan lebih jauh daripada was-was. [Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 12. Syamsuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 457] ↩︎
  3. Bagi solat fardu, wajib qasad melakukan solat, menentukan solat itu (ta‘yin) dan berniat fardu. Menyandarkan niat kepada Allah, menyebut tunai atau qada, menghadap kiblat dan bilangan rakaat hukumnya sunat. [al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, hlm. 25. Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 5-9] ↩︎
  4. “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan setiap orang mendapat apa yang dia niatkan.” [Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1, dan Muslim, no. 1907] ↩︎
  5. Sengaja berniat dengan bilangan rakaat yang salah, contohnya Zohor lima rakaat, menyebabkan solat tidak sah. [al-Nawawi, al-Majmu‘, jil. 3, hlm. 280. Syamsuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 453] ↩︎
  6. Disunatkan tidak menyambung lafaz sebelum takbir, seperti “ma’mūman”, dengan hamzah pada lafaz “Allāhu akbar”. [Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 14] ↩︎
  7. Imam al-Nawawi memilih pandangan Imam al-Haramain dan al-Ghazali bahawa memadai muqaranah ‘urfiyyah, iaitu pada kebiasaan orang ramai dia dikira sedang menghadirkan solatnya ketika bertakbir, tanpa ketelitian yang membawa kepada was-was. [al-Nawawi, al-Majmu‘, jil. 3, hlm. 277-278. Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 19] ↩︎
  8. Makmum wajib berniat mengikut imam bersama takbiratul ihram. Jika dia tidak berniat lalu sengaja menunggu untuk mengikut perbuatan imam, solatnya batal. [al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, hlm. 41. Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 325-327] ↩︎
  9. Orang yang bertakbir berulang kali dengan niat memulakan solat akan masuk ke dalam solat pada takbir yang ganjil dan keluar daripadanya pada takbir yang genap. Was-was yang tidak dapat dikawal pula tidak membatalkan solat. [Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 14-15. al-Nawawi, al-Majmu‘, jil. 3, hlm. 282] ↩︎
  10. Jika hati berniat Zohor tetapi lidah tersebut Asar, solat Zohornya sah kerana yang diambil kira ialah niat dalam hati. [al-Nawawi, al-Majmu‘, jil. 3, hlm. 277. al-Bakri al-Dimyati, I‘anat al-Talibin, jil. 1, hlm. 152] ↩︎
  11. Niat menjadi imam tidak disyaratkan tetapi disunatkan supaya mendapat pahala jemaah. Ia menjadi wajib dalam solat Jumaat, solat yang diulang (mu‘adah) dan solat kedua dalam jamak taqdim kerana hujan. [al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, hlm. 42. Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 331. al-Bakri al-Dimyati, I‘anat al-Talibin, jil. 2, hlm. 26] ↩︎
  12. Dalam solat Jumaat, makmum wajib berniat makmum dan imam wajib berniat menjadi imam bersama takbiratul ihram. [Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 18-19, 326 dan 331] ↩︎
  13. Makmum yang mendapati imam selepas rukuk rakaat kedua tetap berniat fardu Jumaat, kemudian menyempurnakannya sebagai Zohor. [al-Bakri al-Dimyati, I‘anat al-Talibin, jil. 1, hlm. 151] ↩︎
  14. Niat tunai atau qada hukumnya sunat. Jika tersilap kerana uzur seperti cuaca mendung, solat tetap sah. Jika sengaja dalam keadaan tahu, solat tidak sah. Tidak wajib menyebut hari solat yang ditinggalkan. [Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 9. al-Nawawi, al-Majmu‘, jil. 3, hlm. 279-280] ↩︎
  15. Niat qasar disyaratkan ketika takbiratul ihram. [al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, hlm. 45. Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 390] ↩︎
  16. Niat jamak taqdim tempatnya dalam solat pertama. Paling afdal ketika takbiratul ihram, dan masih sah selagi belum selesai salam solat pertama. [al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, hlm. 46. Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 395-396] ↩︎
  17. Bagi jamak takhir, wajib berniat dalam waktu solat pertama untuk melewatkannya bagi dijamakkan dalam waktu solat kedua. Jika tidak berniat, dia berdosa dan solat itu dikira qada. [al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, hlm. 46. Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 398-399] ↩︎
  18. Solat Jumaat boleh dijamak taqdim dengan Asar bagi musafir menurut pendapat muktamad, tetapi tidak boleh dijamak takhir. [Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 393-394. Syamsuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 273] ↩︎
  19. Dalam solat jenazah memadai niat fardu tanpa menyebut kifayah, dan tidak wajib menentukan atau mengenali mayat. Jika menyebut nama lalu tersilap, solat tidak sah. [al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, hlm. 58-59. Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 3, hlm. 131-133] ↩︎
  20. Solat sunat yang mempunyai waktu atau sebab wajib ditentukan namanya dalam niat. Solat sunat mutlak memadai dengan niat melakukan solat. Tidak wajib berniat “sunat”. [al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, hlm. 25. Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 10-11] ↩︎
  21. Tahiyatul masjid terhasil dengan solat fardu atau sunat lain. Menurut Ibn Hajar, pahalanya bergantung pada niat. Menurut al-Ramli, pahalanya tetap diperoleh selagi tidak diniatkan sebaliknya. [Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 235. Syamsuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 119-120] ↩︎
  22. Tarawih wajib diniatkan sebagai Tarawih atau qiyam Ramadan, dan diberi salam setiap dua rakaat. [Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 241. Syamsuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 127] ↩︎
  23. Witir diniatkan dengan nama witir, bukan sunat Isyak. Jika dipisahkan dengan beberapa salam, setiap dua rakaat diniatkan sebagai sebahagian daripada witir. Perbezaan susunan lafaznya hanya soal mana yang lebih afdal. [al-Nawawi, al-Majmu‘, jil. 3, hlm. 281. Zainuddin al-Malibari, Fath al-Mu‘in, jil. 1, hlm. 92] ↩︎
  24. Menggabungkan niat dua ibadah yang dimaksudkan secara tersendiri, seperti fardu Zohor bersama sunat Zohor, tidak sah. Tahiyatul masjid berbeza kerana ia terhasil bersama solat lain. [Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, jil. 2, hlm. 235. Syamsuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 457] ↩︎

Bibliografi Tambahan

  • al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin.
  • al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, jilid 3.
  • Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj, jilid 2-3.
  • Syamsuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, jilid 1-2.
  • Zainuddin al-Malibari, Fath al-Mu‘in, dan al-Bakri al-Dimyati, I‘anat al-Talibin, jilid 1-2.
  • al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, dan Muslim, Sahih Muslim.
KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim Abd Manaf

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

19 Komen

  1. Assalamualaikum ustaz. Selepas takbiratul ihram, saya ada ragu niat, tapi cepat2 yakinkan segera saya niat solat apa. Tiba2 terlintas dalam hati “aku solat fardu subuh”selepas takbir, dan lintasan hati kata saya niat selepas takbir, tapi saya abaikan dan teruskan solat sebab saya tak sengaja, adakah sah atau batal solat saya jika terlintas niat dalam hati tanpa sengaja untuk nak yakinkan saya solat apa?

    Balas
    • Waalaikumussalam, Mun.

      Jika ketika takbiratul ihram Mun sudah sedar dan bermaksud menunaikan solat fardu Subuh, kemudian terlintas semula “aku solat fardu Subuh”, lintasan itu tidak bermakna niat asal baru bermula selepas takbir.

      Niat ialah tujuan dalam hati; tidak perlu menyusun ayat niat satu persatu dalam fikiran. Keraguan seketika yang kemudian hilang apabila Mun kembali yakin dengan niat asal tidak membatalkan solat.

      Berdasarkan keadaan tersebut, teruskan solat dan tidak perlu mengulangnya semata-mata kerana lintasan itu. Wallahu a‘lam.

      Balas
  2. Assalamualaikum ustaz. Ketika solat isyak, saya tak boleh niat semasa takbir, maka saya niat sebelum takbir dan melafazkan takbir dengan betul. Ketika pada rakaat ketiga, lintasan hati kata perkataan isyak x masuk dalam niat, tp sy abaikan sbb mungkin bisikan syaitan. Tapi saya yakin ada perkataan isyak dalam niat solat td. Tp keyakianan sy tu x pasti sama ada cepat atau lambat. Selepas solat pun sy yakin dah niat isyak, cuma samar2 sbb hanya gerakan hati je. Solat saya sah ke ustaz jika biarkan keraguan niat itu, dan kalau keyakinan tu lambat, adakah batal solat saya?

    Balas
    • Waalaikumussalam puan,

      Solat puan sah dan tidak perlu diulang.

      1/ Niat sebelum takbir:
      Asalkan ketika mula lafaz “Allahu Akbar” hati puan sedar sedang mahu solat fardu Isyak empat rakaat kerana Allah, niat sudah mencukupi. Niat memang tempatnya di hati, bukan pada lafaz semata-mata.

      2/ Lintasan di rakaat ketiga:
      Bisikan “perkataan Isyak tak masuk” itu termasuk dalam was-was. Puan sendiri kata masih yakin telah niat Isyak, cuma samar. Dalam keadaan ini, kita ikut kaedah:

      Yakin tidak hilang dengan ragu.

      Selagi ada asas yakin bahawa niat solat Isyak sudah hadir ketika takbir, solat tidak batal hanya kerana lintasan ragu di rakaat ketiga.

      3/ Keyakinan datang lewat:
      Tidak memudaratkan. Yang penting: ketika takbiratul ihram tadi, memang sudah terdetik di hati “aku sedang solat fardu Isyak”. Keyakinan yang datang kemudian cuma menyedarkan apa yang memang sudah berlaku, bukan mencipta niat baru.

      Wallahu a‘lam.

      Balas
      • Assalamualaikum ustaz. Ketika solat zohor, ketika duduk tahiyyat akhir, saya yakin saya telah niat zohor ketika munculnya keraguan. Selepas solat, dia ragu sama ada perkataan zohor tu betul ejaan atau tidak, contohnya huruf zho (zhohor) tapi tersebut dalam hati huruf zai (zuhri) dalam perkataan zohor. Adakah sah solat saya ustaz?

        Balas
        • Waalaikumussalam warahmatullah.

          Solat puan sah, insya-Allah.

          Dalam solat, tempat niat yang sebenar ialah di dalam hati. Yang penting ialah hati mengetahui dan menentukan bahawa solat yang sedang dikerjakan itu ialah solat fardu Zohor. Ia tidak bergantung kepada ejaan perkataan atau bayangan huruf dalam hati seperti “zho”, “zai” dan seumpamanya.

          Tambahan pula, keraguan itu datang selepas solat dan puan sendiri menyebut bahawa ketika solat puan yakin telah berniat Zohor. Maka keraguan yang datang kemudian tidak membatalkan solat.

          Nasihat saya, jangan dilayan keraguan seperti ini kerana ia boleh membuka pintu was-was. Cukup pegang pada keyakinan asal bahawa puan telah berniat solat Zohor dengan betul.

          Wallāhu a‘lam.

          Balas
  3. Assalamualaikum ustaz. Jika semasa solat, sy yakin niat solat dh betul. Lepas solat jadi ragu sama ada saya ada niat “sahaja aku” atau “aku” atau tidak. Tp yakin dah niat “solat fardu asar”, cuma sy x brp ingat ada niat perkataan aku atau tidak. Sah ke solat sy ustaz. Ke kena ulang or qada semula solat?

    Balas
    • Waalaikumussalam puan,

      Solat puan sah dan tidak perlu diulang.

      • Niat tempatnya di hati. Melafazkan “sahaja aku…” hanyalah sunnah untuk membantu hati, bukan syarat sah solat.
      • Keraguan yang datang selepas selesai solat tidak membatalkan apa-apa kerana “yakin tidak hilang dengan syak.”
      • Selagi puan telah hadirkan niat solat fardu Asar ketika takbiratul ihram, solat sudah mencukupi rukun niat.

      Abaikan was-was dan teruskan ibadah dengan yakin. Wallahu a‘lam.

      Balas
  4. Assalamualaikum ustaz. Ketika solat maghrib, belum rakaat pertama tiba-tiba dah azan isyak. Dan solat maghrib yang dilakukan ini dikira qada kan ustaz? Adakah perlu perbaharui niat solat fardu kpd qada jika kita teruskan solat, atau tidak perlu?

    Balas
    • Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

      Dalam situasi ini, jika seseorang memulakan solat Maghrib dan azan Isyak berkumandang sebelum rakaat pertama selesai, solat Maghrib tersebut masih sah dan tidak perlu diqadakan. Ini kerana solat Maghrib telah dimulakan dalam waktunya, dan selagi niat telah betul dan solat dimulakan dalam waktu Maghrib, solat itu tetap dikira sebagai solat dalam waktunya.

      Berkenaan dengan niat, tidak perlu memperbaharui niat solat fardu Maghrib kepada qada, kerana solat yang dilakukan itu masih dianggap solat dalam waktunya, walaupun azan Isyak berkumandang semasa solat. Niat solat fardu Maghrib yang telah dimulakan dalam waktu Maghrib adalah mencukupi.

      Kesimpulannya, tiada keperluan untuk memperbaharui niat solat kepada qada dan solat Maghrib yang sedang dilakukan itu sah.

      Wallahu a’lam.

      Balas
  5. Tuan,bolehkah saya dapatkan nota2 doa, wirid & cara solat yg lengkap dlm bentuk cetakan atau adakah tuan bukukan? JIKA ada saya berminat nk beli. Memandangkan saya lbh senang utk merujuk menggunakan buku berbanding telefon

    Balas
    • Walaikumsalam Hajah Wan Zaleha,

      Buat masa sekarang, pihak saya tidak mengeluarkan apa-apa bentuk cetakan. Saya memohon maaf berhubung perkara ini.

      Balas
  6. Assalamualaikum saudara,

    Terima kasih alhamdulillah saudara telah byk membantu saya dlm soal sembahyang syukur apa yang saudara sampaikan ini saya guna kan untuk 5 waktu dan solat taubat lah yang paling saya hargai kerana saudara telah berkongsi ilmu dengan saya. Saya doakan allah tempatkan saudara disisi orang2 yang beriman semasa di alam barzakh nti.

    Sekali lagi terima kasih byk2 saudara,

    Assalamualaikum
    Farudee Nurjab

    Balas
    • Waalaikumsalam,

      Alhamdulillah, saya sangat berbesar hati mendengar bahawa panduan dan ilmu yang dikongsikan dapat membantu tuan dalam ibadah harian, terutamanya dalam solat lima waktu dan solat taubat. Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua dan memberikan ganjaran yang besar di dunia dan akhirat.

      Terima kasih atas doa yang baik, dan saya doakan agar saudara/saudari juga ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman di sisi Allah SWT, serta diberikan kekuatan dan keikhlasan dalam melaksanakan segala ibadah. Amin, ya Rabbal Alamin.

      Jika ada sebarang pertanyaan atau memerlukan panduan lanjut mengenai apa-apa aspek dalam Islam, jangan segan untuk bertanya. Saya sentiasa sedia untuk membantu.

      Terima kasih sekali lagi, dan semoga kita semua sentiasa dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT.

      Assalamualaikum.

      Balas
  7. terima kasih. kalau boleh, mohon betulkan niat solat asar dalam rumi.

    Balas

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.