Bagaimana cara Solat Taubat dan Doa Taubat?
Ini adalah panduan lengkap untuk melakukan Solat Sunat Taubat dan doa taubat nasuha.
Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah sehingga selesai dan panduan ini diringkaskan agar mudah difahami.
Apa yang penting:
Panduan cara Solat Taubat ini juga dipermudahkan dengan ejaan Rumi dan juga audio untuk membantu sesiapa yang mengalami kesukaran membaca tulisan arab.
Tanpa buang masa, mari kita mulakan..
Pengenalan
Apakah sifat orang beriman?
Salah satu sifat orang yang beriman adalah segera bertaubat kepada Allah SWT apabila mereka terlanjur melakukan kesalahan atau dosa.
Apabila kita melakukan kesalahan, kita seharusnya memperbanyakkan istighfar, yakni memohon keampunan kepada Allah SWT dan bertaubat dengan taubat nasuha.
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu.
— Surah Ghafir ayat 60
Dalam Tafsir al-Qurtubi, taubat nasuha merujuk kepada perbuatan bertaubat dengan rasa tulus, menyesali kesalahannya dari lubuk hatinya, beristighfar dengan lidahnya, meninggalkan kesalahan tersebut dan menenangkan hati agar tidak kembali mengulangi kesalahan yang sama.
Dan di antara rahmat Allah SWT kepada hambaNya yang berdosa adalah dengan membuka pintu taubat untuknya agar dia kembali kepada khaliq-Nya dalam keadaan penuh pengharapan hanya kepadaNya sahaja tempat kembali.
Maksud Solat Taubat
Solat sunat taubat adalah solat yang disunatkan dilakukan apabila seseorang melakukan dosa atau merasakan diri telah berbuat dosa dan ingin bertaubat kepada Allah. Selain dari istighfar dan menyesali segala kesalahannya, taubat nasuha juga boleh disempurnakan dengan melakukan Solat Sunat Taubat sebanyak dua rakaat.
Kita sebagai manusia biasa, tidak terlepas dari melakukan kesilapan, khilaf dan dosa. Dan sebaik-sebaik orang yang berbuat salah dan pendosa adalah mereka yang bersegera bertaubat.
Oleh itu, perlaksanaan Solat Sunat Taubat ini menzahirkan kesungguhan seorang hamba untuk benar-benar bertaubat yakni taubatan nasuha kepada penciptanya lantaran ibadah solat merupakan sebaik-baik ibadat dan wasilah yang dapat menghubungkan diri seseorang kepada Allah SWT.
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menzalimi dirinya sendiri, mereka bersegera ingat kepada Allah lantas memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada sesiapa yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah
— Surah Ali Imran ayat 135
Maka, cara yang terbaik untuk kembali taat kepada Allah SWT adalah melalui solat yang disertai dengan zikir istighfar dan doa taubat selepas solat tersebut.
Syarat-Syarat Taubat
Solat sunat taubat ini dilakukan sesudah seseorang itu menginsafi kesalahan dirinya sendiri lantas memohon keampunan daripada Allah.
Antara syarat-syarat taubat adalah:
- Benar-benar menyesal terhadap perbuatan atau dosa yang lalu
- Meninggalkan perbuatan yang membawa dosa tersebut
- Bercita-cita tidak akan melakukan perbuatan dosa itu lagi
Tetapi apabila kita melakukan perbuatan dosa terhadap manusia seperti mencuri, mengumpat, memukul dan sebagainya..
… maka hendaklah ditambah lagi satu syarat, iaitu memulangkan semula barang yang dicuri dan memohon maaf atas kesalahan yang telah dilakukan.
Bacaan Cadangan
Panduan Melakukan Taubat Nasuha
Ingin melakukan taubat nasuha?
Jika anda buntu dan tidak tahu caranya, panduan ini akan membimbing anda melakukan taubat nasuha secara lengkap.
Waktu Solat Taubat
Solat sunat taubat boleh dikerjakan pada bila-bila masa sahaja. Tidak ada waktu yang dikhususkan untuk mengerjakan Solat Sunat Taubat ini. Ia boleh dilakukan sekalipun dalam waktu tahrim (waktu yang diharamkan solat sunat) kerana solat ini mempunyai sebab, iaitu segera bertaubat kepada Allah SWT.
Namun, solat ini lebih baik dilakukan selepas tengah malam sewaktu Qiamullai (bangun pada 2/3 malam untuk beribadat kepada Allah) kerana suasana pada waktu ini sunyi dan kurang gangguan agar solat lebih khusyuk.
Cuma, apabila kita berasa bersalah dan mahu kembali kepada Allah, maka lebih baik kembali yang dimulai dengan amalan serta-merta.
Dan amal yang paling baik bagi umat manusia tidak lain tidak bukan adalah solat.
Niat Solat Taubat
Niat Solat Sunat Taubat adalah seperti berikut:
Usolli Sunnata Taubati Rak’ataini Lillahi Ta’ala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala
Bilangan Rakaat
Tidak ada keterangan khusus berkenaan rakaat solat sunat taubat secara terperinci.
Mengikut pandangan kebanyakkan ulamak, solat sunat taubat boleh dikerjakan sebanyak dua, empat dan enam rakaat
Perlaksanaan cara solat taubat ini adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain.
Cara Solat Taubat
Ringkasan Cara Melakukan Solat Taubat
- Solat Taubat dimulakan dengan takbiratul ihram sambil niat dalam hati “Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala”.
- Bacalah surah al-Fatihah dan surah lazim dalam setiap rakaat. Untuk surah lazim, anda boleh memilih mana-mana surah seperti al-Ikhlas, al-Falaq, atau an-Nas.
- Lakukan rukuk, kemudian sujud dua kali. Pastikan anda menjaga tuma’ninah (ketenangan) dalam setiap gerakan.
- Bangun untuk rakaat kedua dengan membaca takbir. Bacalah al-Fatihah dan surah lazim yang lain. Kemudian lakukan lagi rukuk dan sujud.
- Setelah selesai rakaat kedua, duduk untuk tahiyyat akhir. Akhiri solat dengan memberi salam.
- Setelah selesai solat, berdoalah dengan khusyuk memohon keampunan dari Allah SWT atas segala dosa.
Penting untuk diingat, solat taubat dilakukan dengan rasa penyesalan yang mendalam atas dosa-dosa yang telah dilakukan dan niat untuk tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut di masa depan.
Di bawah ini panduan melakukan solat sunat taubat secara langkah demi langkah:
Rakaat Pertama
1. Solat Dimulakan Dengan Takbiratul ihram.
Niat Solat Taubat
Semasa mengangkat takbir, bacakan niat Solat Sunat Taubat dalam hati:
Usolli Sunnata Taubati Rak’ataini Lillahi Ta’ala
Atau boleh juga berniat dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Taala
2. Kemudian, Bacalah Doa Iftitah.
Hukum membaca Iftitah adalah sunat hai’ah.
Solat Sunat Taubat ini tetap sah jika doa ini tidak dilakukan. Namun, jika dibaca akan mendapat pahala.
Allaahu Akbaru Kabiiraa-walhamdu Lillaahi Katsiiran, Wa Subhaanallaahi Bukrataw-wa’ashiila.
Wajjahtu Wajhiya Lilladzii Fatharas-samaawaati Wal Ardha Haniifam-muslimaw-wamaa Anaa Minal Musyrikiina.
Inna Solaatii Wa Nusukii Wa Mahyaaya Wa Mamaatii Lillaahi Rabbil ‘Aalamiina.
Laa Syariikalahu Wa Bidzaalika Umirtu Wa Ana Minal Muslimiin
3. Seterusnya Bacalah Surah al-Fatihah.
Surah al-Fatihah adalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam solat.
Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
4. Kemudian, Baca Surah al-Kafirun
Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula ayat daripada mana-mana surah al-Quran seperti surah al-Kafirun.
Qul yaa ayyuhal-kafirun. La a’budu maa ta’buduun. Wa la antum ‘Abiduna maa a’bud. Wa laa ana ‘Aabidum maa ‘abattum. Wa laa antum ‘abiduuna maa a’bud. Lakum diinukum wa liya diin.
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.
Pemilihan surah adalah bebas. Anda juga baca surah-surah yang lain.
5. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk
Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.
Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:
SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih
6. Kemudian Bangun Iktidal
Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:
Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh
7. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud
Semasa sujud bacakan bacaan sujud:
Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
8. Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud
Baca bacaan antara dua sujud:
Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni
9. Kemudian Lakukan Sujud Kedua
Semasa sujud bacakan bacaan sujud:
Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
10. Duduk Istirahat Seketika Sebelum Bangun Untuk Rakaat Kedua.
Sebelum bangun ke rakaat kedua, duduk istirahat sebentar (lebih kurang 3 saat) sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya.
Rakaat Kedua
11. Rakaat Kedua Dimulai Dengan Lafaz Takbir intiqalat
Selepas bangun dari duduk istirahah, maka bertakbirlah untuk rakaat kedua.
(Takbir intiqalat bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).
12. Baca Surah al-Fatihah
Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah.
Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah.
Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
13. Membaca Surah al-Ikhlas
Selesai membaca al-Fatihah, maka bacalah pula surah al-ikhlas.
Qul huwallahu ahad. Allahus-samad. Lam yalid wa lam yuulad. Wa lam yakul lahuu kufuwan ahad.
Maksudnya:
Katalah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”
- Seperti rakaat pertama, kita bebas untuk membaca mana-mana surah yang kita mahu dan ingat.
14. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk
Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.
Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:
SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih
15. Kemudian Bangun Iktidal
Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:
Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh
16. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud
Semasa sujud bacakan bacaan sujud:
Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
17 Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud
Baca bacaan antara dua sujud:
Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni
18 Kemudian Lakukan Sujud Kedua
Semasa sujud bacakan bacaan sujud:
Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
Bacaan Dalam Sujud Akhir
Semasa sujud akhir (sebelum bangun untuk tahiyat), ucapkanlah sebagaimana berikut sebanyak 40 kali:
Laa ilaaha illa Anta Subhanaka Inni Kuntu Minazzolimin
Maksudnya:
Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim
19 Bangun Dari Sujud, Terus Lakukan tahiyyat akhir
20 Selesai Tahiyat, Solat Diakhiri Dengan Memberi Salam.
Akhir solat dengan memberi salam dua kali, bermula dari kanan kemudian memalingkan muka ke kiri.
Palingkan muka ke sebelah kanan, dan ucapkan salam seperti berikut:
Assalamualaikum Warahmatullah
Maksudnya:
Salam sejahtera untuk kamu, juga rahmat Allah dan berkatNya
… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:
Assalamualaikum Warahmatullah
21 Maka Selesailah Solat Taubat Tersebut.
Selepas salam, bacalah surah Al-Fatihah dan wirid-wirid. Perbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada Allah.
Seterusnya, lakukan Doa Taubat seperti yang dinyatakan pada bahagian di bawah
Bacaan Zikir Dan Istighfar Selepas Solat Taubat
Sesudah salam, perbanyakkan istigfar dan memohon keampunan kepada Allah (sambil menyesali dosa-dosa yang dilakukan)
Maka ucapkanlah istighfar berulang kali:
Bacaan Istighfar Solat Taubat
Astagfirullah Hal ‘Azim Allazi Laa ilaaHa illa Hu alHayyul-Qoyyum Wa AtuuBu ilaih
Maksudnya:
Aku memohon keampunan daripada Allah, Tuhan Yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Allah. Dia hidup, berdiri dengan sendirinya, dan aku memohon keampunan daripadaNya.
Amalan ini sesuai dengan firman Allah:
Dan mereka itu apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka, maka mereka mengingati Allah lalu beristighfar ke atas dosa-dosa mereka. Dan siapakah yang mengampunkan dosa selain Allah. Serta mereka tidak berterusan terhadap apa yang telah mereka lakukan dalam keadaan mereka mengetahui.
— Surah Ali Imraan: 135
Istighfar boleh sahaja dilakukan dengan mengucapkan lafaz ‘’Astaghfirullah’’, ataupun istighfar dalam ertikata lain adalah bertaubat kepada Allah SWT
Iaitu seseorang itu benar-benar menyesal terhadap maksiat yang dilakukan, berhenti dari melakukannya, serta berazam untuk tidak mengulanginya kembali buat selamanya.
Bacaan Zikir Taubat
Sebagai tambahan:
Boleh juga diamalkan zikir taubat ini selepas solat atau bila-bila masa sahaja.
Doa Taubat
Akhir sekali adalah doa taubat. Bagaimana untuk doa solat taubat?
Berdoalah mengikut luahan hati mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah.
Namun jika anda buntu, anda boleh membaca doa khusus di bawah ini untuk memohon keampunan Allah.
Doa ini juga boleh dibaca terus jika anda tidak dapat melakukan solat, seperti sedang haid atau lain-lain keuzuran.
1. Membaca Doa Taubat
Antara doa taubat ringkas yang boleh dibaca adalah seperti berikut:
Doa Taubat
Allahumma inni Zholamtu Nafsi Zull-man Katsiran Walaa Yagh-Firu ZunuuBa illa Anta, Fagh-firli Min indika Magfirotan innaka Antal Rgho-fuu Rur-rahim.
Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar. Dan tiada siapa yang akan mengampuni dosa-dosaku melainkan Engkau. Maka ampunilah aku dengan keampunan yang besar daripada sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.
2. Sujud Dan Membaca Sayyidul Istighfar
Selepas selesai berdoa, maka lakukan sujud dengan membaca Sayyidul Istighfar:
Sayyidul Istighfar
Allaahumma Annta Rabbii Laa iLaaHa ilLaa AnnTa Kholaq-tanii Wa Anaa ‘Abduka Wa Anaa ‘Ala ‘Ahdika Wawa’ Dika Maas-Tatha-Tu ‘A-Uudzu-Bika Min Syarrimaa Sona’-tu, Abuu-U-Laka Bini’matika Alayya, Wa Abuu-U BiDzanmmBi, Fagh-Fir-Lii Fa-innahu Laa Yagh-Firudz-DzunuuBa ilLaa Annta.
Maksudnya:
Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali Engkau, Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hambaMu, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuanMu, janji-janjiMu sesuai kemampuanku. Aku meminta penjagaanMu dari buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang Engkau berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan. Tidak ada yang mengampuni dosa-dosa kecuali engkau.
Rujuk juga doa-doa lain selepas solat pada pautan ini: WIRID & DOA SELEPAS SOLAT
Hikmah Solat Taubat
Apakah maksud hikmah?
Hikmah ertinya adalah kebaikan yang tersembunyi.
Semua peraturan yang digariskan Allah SWT mempunyai hikmah atau kebaikannya. Kebaikan yang dimaksudkan bukan untuk Allah SWT, tetapi bagi manusia.
Namun banyak diantara yang ditetapkan Allah SWT itu tidak disebutkan hikmahnya didalam al-Quran atau hadis. Dalam keadaan sedemikian, maka para ulama’ lah yang menerangkan apa hikmahnya.
Begitu juga dengan Solat Taubat, disuruh kita mengerjakannya kerana ada hikmah yang tersembunyi.
Hikmah Solat Taubat ialah untuk membersihkan dosa-dosa kita.
Memang dengan mengucap istighfar sahaja pun (kalau kita betul-betul bertaubat), Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa kita.
Namun supaya kita nampak lebih sungguh-sungguh bertaubat, perlulah kita mengerjakan Solat Sunat Taubat.
Ada orang yang mengucap istighfar (minta ampun), setiap selesai mengerjakan solat fardu tetapi dosa yang selalu dia kerjakan belum dia tinggalkan dan tidak ada perasaan menyesal.
Pernyataan minta ampunnya itu hanya di bibir belaka.
Orang seperti itu sudah pasti lebih baik mengerjakan Solat Taubat supaya nampak lebih serius taubatnya.
Cara yang lebih baik ialah mengerjakan Solat Taubat dirumah tengah malam atau menjelang sahur.
Ketika sujud yang terakhir, sujudnya dipanjangkan dan direnungkan segala dosa yang terlanjur dikerjakan dan direnungkan pula bagaimana dahsyatnya seksa Allah SWT.
Begitu juga setelah memberi salam tangan diangkat sambil memohon keampunan daripada Allah SWT.
Hendaklah diingat-ingat segala kesalahan yang dilakukan, hendaklah direnungkan bagaimana beraninya kita melanggar perintah Allah SWT dan kita bayangkan betapa hebatnya seksa Allah SWT.
Di samping itu hendaklah kita yakin bahawa Allah SWT sebenarnya redha memaafkan kesalahan kita asalkan kita betul-betul bertaubat. Bererti perlu ada khauf (rasa takut) dan raja’ (rasa harap).
Maksudnya, perlu takut terhadap seksa Allah SWT dan perlu pula yakin bahawa Allah SWT yang Maha Pengampun akan mengampuni segala dosa dosa kita.
Kesungguhan bertaubat dengan taubat nasuha diikuti dengan Solat Sunat Taubat merupakan satu-satunya jalan untuk mendapatkan keampunan Allah SWT.
InsyaaAllah, dengan izin Allah segala dosa kita akan diampuni.
Soal Jawab Masalah Berkaitan Solat Taubat
Berikut adalah beberapa soal jawab lazim yang sering timbul berkaitan dengan Solat Sunat Taubat:
Penutup: Allah Itu Maha Penerima Taubat
Yakinlah bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.
InsyaAllah, setiap dosa-dosa kita, kecil atau besar, pasti akan diampunkan oleh Allah.
Semoga panduan ini dapat membantu kita dalam melakukan solat sunat taubat dengan sebaik mungkin.
Semoga Allah SWT menerima taubat kita dan membersihkan jiwa-jiwa kita daripada kegelapan dosa dan maksiat.
InsyaaAllah.
Nota Rujukan:
- Indahnya Hidup Bersyariat — Allahyarham Dato’ Ismail Kamus [Pautan]
- Ensiklopedia Solat — Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif
- Ensiklopedia A-Z Tentang Solat — Dr Nik Yusri Musa
- Ensiklopedia Solat: Solat Taubat — TV3 Official [Pautan]
- Bimbingan Lengkap Solat Sunat — Dato’ Dr. Mahmood Haji Abdul Majib, Rohidzir Rais [Pautan]
- Solat Sunat Harian — Ustaz Mohd Faez B. Mohd Shah al-Hashimi
- 1157 Persoalan Solat — Ustaz Muhadir Haji Joll [Pautan]
Tinggalkan Komen Anda..
Website adalah salah satu laman web yg terbaik dalam membicarakan hal² solat sunat, tahniah kepada admin semoga mendapat pahala jariah berpanjangan, insyaallah
Assalammualaikum…maaf nak bertanya…ada yang bagi tahu,selagi kita tak qada habis hutang solat fardhu yang tertinggal,kita diharamkan solat taubat dan hajat..ada masa lalu saya tertinggal solat🥺jadi saya qada dan buat solat taubat juga,tapi ada yang cakap diharamkan solat sunat taubat kalau belum habis qada solat..sedih rasa🥺sebab saya usaha qada setiap waktu yang tertinggal dan dalam masa yang sama saya usaha solat sunat taubat setiap hari selepas tahajud..jadi adakah solat sunat taubat saya tidak diterima kerana saya belum selesai qada solat fardu saya…mohon pencerahan…terima kasih…
Terima kasih sebab bina website ni, sejak form 5/6 saya jadikan akuislam ni sebagai rujukan solat-solat sunat saya.
assalammualikum ustaz, saya dan bekas teman lelaki saya sudah terlanjur berzina dan saya benar” mahu bertaubat namun, apakah masih di terima taubat saya jika saya masih berharap dia kembali dan bertanggungjawab atas perbuatan yang telah kami berdua lakukan? mohon penjelasan ustaz.
Moga dapat memberi menafaat
Assalam Ustaz,
Terima kasih atas perkongsian ilmu yg bermanfaat ini.
Di sini saya ada satu kemusykilan berkenaan dgn turutan solat sunat.
Yg mana lebih afdhal, sunat solat taubat dahulu ke sunat solat tahajut jika kita ingin melakukan solat.
Terima kasih.
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih atas soalan yang diberikan. Berkenaan turutan antara solat sunat tahajjud dan solat sunat taubat, kedua-duanya boleh dilakukan mengikut susunan mana-mana terlebih dahulu.
Susunan ini tidak akan menjejaskan sahnya solat tersebut, asalkan dilakukan dengan niat yang ikhlas dan memenuhi syarat-syarat solat.
1. Pandangan Ulama tentang Turutan:
Melakukan Solat Tahajjud Dahulu
Terdapat pandangan yang mengatakan lebih baik mendahulukan solat tahajjud kerana ia adalah solat malam yang sangat dianjurkan dan berkaitan langsung dengan waktu malam (empunya waktu). Ini menunjukkan penghormatan terhadap waktu yang mustajab untuk solat malam.
Melakukan Solat Taubat Dahulu
Sebaliknya, ada juga ulama yang menyarankan agar solat taubat dilakukan terlebih dahulu. Ini kerana solat taubat bertujuan memohon keampunan kepada Allah SWT, yang dapat membersihkan hati dan jiwa sebelum meneruskan solat tahajjud. Dengan bertaubat dahulu, diharapkan solat tahajjud yang dilakukan akan lebih khusyuk dan diterima.
2. Kesimpulan
Lakukan mana yang lebih sesuai dengan keadaan hati puan ketika itu. Jika merasakan keperluan untuk memohon keampunan terlebih dahulu, mulakan dengan solat taubat. Jika ingin segera menunaikan solat malam, mulakan dengan tahajjud. Yang penting adalah niat dan keikhlasan dalam melaksanakan kedua-dua ibadah tersebut.
Semoga penjelasan ini membantu puan melaksanakan ibadah dengan lebih tenang dan yakin. Jika ada lagi persoalan, jangan segan untuk bertanya.
Wallahu a‘lam.
Alhamdulillah..
Terima kasih atas penjelasan Ustaz..
Ya betul mengikut pendapat ulamak kita mendahulukan solat mlm sbb kita dah bangun malam.
Solat taubat boleh dilakukan pada bila2 masa. Seeloknya dilakukan solat taubat segera mengikut Keperluan kita.
Insya-Allah akan terus istiqamah sementara hayat kita masih ada utk mencari keredhaan Allah..
Aaamiin
Alhamdulillah, sama-sama ツ
kena buat juga ke sujud dan sayyidul istighfar
Sunat sahaja untuk dilakukan (tidak wajib).
Assalamualaikum ustaz.
Jazakallahu khairan katsira atas segala panduan dan pengajaran yang penuh hikmah. Semoga Allah membalas kebaikan ustaz dengan lebih banyak lagi dan sentiasa dilindungi-Nya.
Saya adalah seorang yang jahil dan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam, tetapi hati terdetik untuk bertaubat. Jadi saya ingin bertanya beberapa soalan;
Maaf jika soalan saya terlalu panjang / banyak. Terima kasih ustaz.
Walaikumsalam,
Alhamdulillah, puan telah mengambil langkah besar untuk kembali kepada Allah SWT dengan niat bertaubat dan memperbaiki diri. Langkah ini sangat besar dalam Islam, kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat.
Berikut adalah penjelasan berkenaan soalan yang diajukan:
1/
Pertama, bagi solat yang telah bertahun-tahun ditinggalkan, langkah terbaik adalah menganggarkan jumlah hari solat yang tertinggal dengan sebaik mungkin. Walaupun puan tidak dapat memastikan jumlah sebenar, buatlah anggaran yang paling hampir berdasarkan pengetahuan dan ingatan. Setelah itu, mulakan mengganti solat tersebut secara beransur-ansur. Tidak ada had tertentu untuk jumlah solat yang boleh diqada dalam sehari. Apa yang penting ialah puan terus istiqamah melaksanakannya sehingga selesai.
2/
Jika ajal tiba sebelum sempat mengganti kesemuanya, Allah menilai niat dan usaha puan, dan insyaAllah, Dia Maha Pengampun kepada hamba-Nya yang bersungguh-sungguh ingin bertaubat.
3/
Bagi solat yang dilakukan sambil merujuk kepada buku atau telefon kerana belum hafal bacaan, ini adalah dibolehkan, terutama bagi mereka yang masih dalam proses belajar. Solat puan tetap sah selagi bacaan yang dirujuk itu betul dan puan berusaha membaca dengan penuh penghayatan. Namun, adalah lebih baik jika puan mula menghafal bacaan-bacaan asas seperti surah Al-Fatihah dan surah-surah pendek seperti Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas. Hafalan ini akan memudahkan solat tanpa perlu merujuk. Islam memberi ruang dan kelonggaran kepada mereka yang dalam proses belajar, maka lakukan usaha ini secara beransur-ansur sehingga puan dapat melafazkan bacaan dengan yakin.
4/
Berkenaan kesalahan sebutan dalam bacaan solat, ia tidak membatalkan solat selagi kesalahan tersebut tidak mengubah makna ayat atau bacaan. Bagi mereka yang masih belajar, Allah SWT memahami keadaan tersebut, dan usaha puan untuk terus memperbaiki bacaan adalah sesuatu yang sangat dihargai di sisi-Nya. Oleh itu, teruskan berlatih mendengar bacaan yang betul melalui rakaman qari atau bimbingan guru agar bacaan menjadi lebih tepat dari masa ke masa.
5/
Seterusnya, untuk puasa yang telah ditinggalkan bertahun-tahun, langkah pertama ialah menganggarkan jumlah hari yang tertinggal dan mula menggantinya secara beransur-ansur. Sekiranya puasa tersebut tidak diganti hingga masuk Ramadan berikutnya, puan juga perlu membayar fidyah sebagai denda. Fidyah biasanya berupa secupak makanan atau nilai semasa bagi setiap hari yang tidak diganti. Jumlah fidyah ini bergantung kepada tempoh kelewatan dan perlu dirujuk kepada pihak berautoriti seperti pejabat agama untuk pengiraan yang tepat.
6/
Akhir sekali, berkaitan isu fitnah, kemaafan yang telah puan berikan adalah sah di sisi Allah SWT walaupun hati puan masih berasa berat. Dalam Islam, memaafkan adalah akhlak yang sangat mulia, dan Allah akan membalas kebaikan tersebut dengan pahala yang besar. Walau bagaimanapun, jika perasaan tersebut masih mengganggu, teruskanlah berdoa kepada Allah agar memberikan ketenangan hati dan menunjukkan kebenaran kepada pemfitnah. Sebagai pemfitnah, tanggungjawab mereka adalah untuk memohon maaf dengan ikhlas, membetulkan tuduhan yang dilemparkan, dan bertaubat kepada Allah SWT.
Semoga Allah SWT menerima taubat puan, memberikan kekuatan untuk terus istiqamah, dan melimpahkan rahmat serta keberkatan dalam hidup puan. Jangan terlalu khuatir dengan kelemahan masa lalu; fokuslah pada usaha perbaikan hari ini. Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penyayangi.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum kak.
terima kasih amat sangat dengan persoalan ini,situasi saya sama dengan apa kak dan semua soalan2 yang ditujukan amat tepat dan selalu bermain di fikiran saya, cuma malu dan tidak tahu nk bertnya kepada siapa. semoga kita berusaha ke arah yang lebih baik amin
assalamualaikum ustaz, boleh ke doa nabi yunus 40 kali dibaca ketika selesai habis solat taubat? kerana saya mempunyai masalah sukar pernafasan ketika sujud yang lama
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Terima kasih atas soalan awak.
Ya, tidak ada halangan untuk membaca Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali selepas solat taubat sebagai ikhtiar untuk memohon pertolongan dan kelapangan daripada Allah SWT. Doa Nabi Yunus ini adalah doa yang sangat baik untuk memohon keampunan dan memohon agar Allah SWT menghilangkan kesulitan.
Bagi masalah pernafasan semasa sujud yang lama, awak boleh melakukan selepas solat. Dalam Islam, Allah SWT tidak membebankan seseorang di luar kemampuannya.
Semoga Allah SWT menghilangkan kesulitan yang awak hadapi dan memberikan kesembuhan serta kelapangan dalam ibadah.
Wallahu a’lam.
the www. that I visit almost everyday to help me with my ibadah. May Allah swt bless all those who created this blog with all the goodness in life and akhirah. Ameen.
Thank you so much for your kind words and support. Alhamdulillah, it brings us great joy to know that the content here is helping you with your ibadah.
May Allah SWT bless you abundantly and grant all of us His guidance, mercy, and blessings in this life and the hereafter. Ameen.