NIAT & CARA SOLAT JENAZAH (Panduan Lengkap Rumi)

panduan solat jenazah

Bagaimana niat dan cara mengerjakan Solat Jenazah?

Ini adalah panduan lengkap tatacara mengerjakan solat jenazah secara langkah demi langkah dalam Bahasa Melayu dan boleh difahami oleh semua orang.

Apa yang penting:

Panduan ini juga dipermudahkan dengan transliterasi rumi untuk membantu anda yang sukar membaca tulisan arab.

Maksud Solat Jenazah

Solat jenazah bermaksud solat yang dilakukan oleh orang yang masih hidup kepada orang yang mati. Tujuan solat ini adalah untuk memohon keampunan, keredhaan serta rahmat Allah untuk si mati.

Jenazah berasal daripada perkataan dasar janaza ( جَنَزَ ) yang bermaksud menutupi, mengumpul atau meletakkan. Oleh itu, jenazah ( جنازة ) pula bermaksud orang yang telah mati yang diletakkan di dalam usungan, dan akan dibawa ke kubur untuk dikebumikan.

Hukum Solat Jenazah

hukum solat jenazah

Menurut ijmak ulama, solat jenazah ke atas jenazah yang bukan mati syahid adalah fardu kifayah, iaitu bagi orang yang masih hidup di kawasan tersebut. Sekiranya ada pihak yang telah melakukannya, walaupun seorang, maka terlepaslah kewajipan ke atas orang lain.

Ia sunat dilakukan secara berjemaah, namun sah apabila dibuat seorang diri.

Rasulullah SAW pernah mengarahkan sahabat-sahabatnya untuk sembahyang jenazah apabila ada kematian. Berkata Salamah bin Al-Akwa’ RA:

Pada suatu ketika kami sedang duduk di sisi Nabi SAW, lalu ketika itu dibawa jenazah. Baginda berkata: Solatlah sahabat kamu itu”

— Riwayat Bukhari

Solat jenazah dilakukan oleh orang hidup ke atas orang yang meninggal dunia untuk meringankan bebanannya. Ini kerana dalam solat ini mengandungi banyak doa-doa yang ke semuanya kembali untuk kebaikan si mati.

Oleh sebab itu, seharusnya kepada mereka yang mendirikan solat sembahyang mayat ini dirikanlah dengan ikhlas, penuh khusyuk serta berharap pengampunan Allah SWT kepada si mati. Inilah tujuan terbesar solat jenazah yang kita lakukan

Rukun Solat Jenazah

Rukun Solat Jenazah

Ringkasan rukun solat jenazah adalah seperti berikut

  • Niat
  • Berdiri bagi orang yang mampu
  • Empat kali takbir
  • Membaca al-Fatihah
  • Selawat ke atas Nabi Muhammad
  • Mendoakan keampunan buat si mati
  • Memberi salam

Solat jenazah terdiri daripada 7 rukun yang mana jika salah satu daripada 7 rukun ini ditinggalkan – maka tidak sah sembahyang jenazah tersebut, bahkan tidak sempurna tuntutan fardu kifayah.

Penjelasan lengkap mengenai tujuh rukun solat jenazah tersebut adalah seperti di bawah ini:

Pertama: Niat

Wajib niat untuk melaksanakan Sembahyang Jenazah sebagaimana diwajibkan niat bagi setiap jenis solat.

Niat solat jenazah merangkumi perkara-perkara berikut:

  1. Niat solat hendaklah diqasadkan di dalam hati seiringan ketika mengangkat takbiratul ihram, yakni takbir yang pertama.
  2. Disyaratkan agar menyebut “fardu” sahaja di dalam niat sembahyang jenazah tanpa menyebut kifayah. Namun, terdapat juga sebahagian pendapat dalam mazhab al-Shafi’e mensyaratkan agar menyebut fardu kifayah di dalam niat sembahyang jenazah bagi membezakannya dengan fardu ain.
  3. Tidak menjadi syarat untuk menyebut nama si mati di dalam niat sembahyang jenazah, seperti; “Sahaja aku solat ke atas jenazah si fulan bin fulan ini”
  4. Jika jenazah tersebut ramai, maka memadai niat sembahyang jenazah ke atas mereka semua sekalipun tidak diketahui bilangannya, seperti niatnya; “Sahaja aku solat ke atas seluruh jenazah ini…”

    Imam Khatib al-Syarbini berkata jika ditentukan niat untuk sembahyang jenazah ke atas sepuluh orang jenazah tetapi ternyata jenazahnya ada sebelas orang, maka tidak sah solat tersebut dan perlu diulangi semula kepada semua jenazah tersebut.

    Sebaliknya jika ditentukan niat solat jenazah ke atas sebelas orang jenazah tetapi ternyata jenazahnya hanya ada sepuluh orang sahaja, maka sah sembahyang jenazah tersebut kerana sudah merangkumi semua.
  5. Bagi sembahyang jenazah secara berjemaah, makmum wajib berniat untuk mengikuti imam meskipun niat imam dan makmum berbeza.

    Misalnya, imam berniat dengan menyebut fardu kifayah sedangkan makmum hanya berniat fardu sahaja; atau makmum berniat seperti; “Sahaja aku solat mengikut apa yang diniatkan oleh imam…”, maka sah niat seperti ini.

Kedua: Berdiri Bagi Orang Mampu

Berdiri bagi orang yang mampu merupakan salah satu daripada rukun solat jenazah sebagaimana berdiri juga menjadi rukun kepada solat fardu. Jika mengalami keuzuran dan tidak mampu berdiri, maka diberi kelonggoran untuk solat secara duduk sama ada di atas kerusi atau di lantai.

Ketiga: Empat Kali Takbir

Sembahyang jenazah adalah solat yang tidak mempunyai rukuk, sujud dan tasyahud. Maka, rukun utama sembahyang jenazah adalah empat takbir termasuk takbiratul ihram. Empat takbir boleh dianggap sebagai rakaat bagi sembahyang jenazah kerana setiap takbir memisahkan bacaan-bacaan yang tertentu.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa sebaik sahaja Nabi ﷺ mendengar kematian raja Najasyi, Baginda keluar ke perkuburan Baqi’ lalu mengangkat empat takbir.

Oleh kerana empat takbir ini menempati rakaat dalam solat jenazah, maka jika salah satu daripada empat takbir ini tertinggal, sembahyang jenazah tersebut wajib diganti atau diulang semula.

Disunatkan mengangkat kedua-dua tangan sejajar dengan kedua-dua bahunya pada setiap takbir. Lafaz takbir adalah Allahu Akbar.

Keempat: Membaca Surah al-Fatihah

Bacaan surah al-Fatihah merupakan bacaan yang menjadi rukun dalam semua jenis solat sama ada fardu, sunat, qada, jenazah dan solat-solat yang lain. Kefarduan bacaan surah al-Fatihah sebagai rukun solat berdasarkan hadis Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah bin al-Samit RA:

Tidak ada solat (tidak sah) bagi orang yang tidak membaca surah al-Fatihah”

– Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ibn Abbas RA membaca surah al-Fatihah di dalam sembahyang jenazah dan beliau berkata; Agar kamu semua mengetahui semua bacaan itu adalah sunnah Nabi ﷺ

Bacaan surah al-Fatihah dalam solat jenazah dibaca perlahan dan tidak dibaca kuat. Tidak perlu membaca surah selepas surah al-Fatihah kerana hal itu tidak disunatkan.

Selain itu, disunatkan agar dapat membaca ta’awudz sebelum memulakan surah al-Fatihah dan menyebut “amin” selepasnya.

Kelima: Membaca Selawat Ke Atas Nabi ﷺ

Membaca selawat ke atas Nabi ﷺ merupakan rukun dalam sembahyang jenazah dan tidak sah sembahyang jenazah tanpa membaca selawat.

Disyaratkan membaca selawat ke atas Nabi ﷺ adalah selepas takbir yang kedua dan sebelum takbir yang ketiga. Justeru itu, tidak sah sembahyang jenazah jika selawat tidak dibaca selepas takbir yang kedua.

Bacaan selawat yang paling minimum:

اللّٰهُمَّ صَلِّ عَلَي مُحَمَّدٍ

Bacaan ke atas keluarga Nabi ﷺ tidak diwajibkan sebagaimana dalam solat-solat yang lain juga.

Bacaan selawat yang sempurna adalah Selawat Ibrahimiyah sebagaimana yang dibaca dalam tasyahud akhir.

Keenam: Mendoakan Keampunan Buat Si Mati

Mendoakan keampunan yang khusus buat si mati adalah rukun solat jenazah. Inilah tujuan dan maksud utama pelaksanaan sembahyang jenazah iaitu mendoakan keampunan dan kebaikan buat jenazah tersebut agar dosa-dosanya diampuni Allah SWT dan diterima segala amalnya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“Apabila kamu bersolat ke atas jenazah, maka ikhlaskan berdoa untuk si mati”

– Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah

Doa hendaklah khusus disebutkan untuk jenazah tersebut. Oleh itu, tidak memadai jika menyebut doa untuk kaum muslimin dan muslimat secara umum.

Bacaan doa khusus buat si mati:

i) Jenazah Lelaki

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاغْفُ عَنْهُ

ii) Jenazah Perempuan

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاغْفُ عَنْهَا

Disyaratkan bacaan doa hendaklah dibaca selepas takbir yang ketiga dan tidak sah sembahyang jenazah jika doa buat si mati dibaca pada takbir yang lain.

Ketujuh: Memberi Salam

Memberi salam selepas empat takbir merupakan rukun sembahyang jenazah sebagaimana salam menjadi rukun dalam solat-solat yang lain.

Ucapan salam dengan memalingkan muka ke arah kanan dan arah kiri.

Memberi salam adalah wajib sebagai tanda untuk keluar dari solat sebagaimana memasuki solat dengan takbiratul ihram.

Sunat memberi salam dengan suara yang nyaring (kuat).

Rukun solat jenazah

Niat Solat Jenazah

Niat untuk Solat Jenazah harus dinyatakan di dalam hati semasa melakukan takbiratul ihram, iaitu takbir yang pertama dalam sembahyang jenazah.

Berikut di bawah ini beberapa niat sembahyang jenazah mengikut status mayat yang bakal disolatkan:

Niat Solat Jenazah Lelaki

niat solat jenazah lelaki

  Usolli ‘Ala Hazal-Mayyiti Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala  

Sahaja aku solat ke atas jenazah lelaki ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala.


Niat Solat Jenazah Perempuan

naiat solat jenazah perempuan

  Usolli ‘Ala Hazihil-Mayyitati Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala 

Sahaja aku solat ke atas jenazah perempuan ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala.


Niat Solat Jenazah Kanak-Kanak Lelaki

Niat Solat Jenazah kanak-kanak lelaki

  Usolli ‘Ala Hazal-Mayyiti al-Tifli Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala 

Sahaja aku solat jenazah di atas mayat kanak-kanak lelaki ini empat takbir fardu kifayah, sebagai makmum kerana Allah Taala


Niat Solat Jenazah Kanak-Kanak Perempuan

Niat solat jenazah kanak-kanak perempuan

  Usolli ‘Ala Hazal-Mayyitati al-Tifli Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala 

Sahaja aku solat jenazah di atas mayat kanak-kanak perempuan ini empat takbir fardu kifayah, sebagai makmum kerana Allah Taala


Niat Solat Jenazah Yang Tidak Diketahui Statusnya

Contohnya jika kita melakukan Solat Jenazah di Masjidil Haram, Mekah, kita tidak tahu status mayatnya. Oleh itu, kita boleh berniat dengan niat seperti di bawah ini:

Niat solat jenazah yang tidak diketahui jantinanya

  Usolli ‘Ala Hazal-Mayyiti Man Solla ‘Alayhil Imamu Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala 

Sahaja aku solat jenazah di atas mayat yang disolatkan oleh imam empat takbir fardu kifayah, makmum kerana Allah Taala

Tatacara mengerjakan Solat Jenazah

Cara Mengerjakan Solat Jenazah

Ringkasan Cara Melakukan Solat Jenazah

  • Mulakan Solat Jenazah dengan niat dalam hati. Contoh niatnya adalah “Sahaja aku solat ke atas jenazah lelaki ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala”.
  • Takbir Pertama. Selepas takbiratul ihram (takbir permulaan), bacalah Al-Fatihah.
  • Takbir Kedua. Selepas takbir kedua, bacalah selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, “Allahumma Solli A’la Sayyidina Muhammad”
  • Takbir Ketiga. Selepas takbir ketiga, bacalah doa untuk si mayat. “Allahumagfirlahu Warhamhu Wa ‘Aafihi Wagfu ‘Anhu”
  • Takbir Keempat. Selepas takbir keempat, bacalah doa seperti berikut, “Allahumma Laa Tahrimnaa Ajrohu WaLaa TafTinNaa Ba’Dahu”
  • Akhiri solat jenazah dengan memberi salam.

Cara mengerjakan sembahyang Jenazah adalah BERBEZA dari solat biasa. Perlu diketahui bahawa solat ini TIADA rukuk dan sujud. Ia dilakukan secara berdiri sahaja dari awal sehingga akhir.

Untuk rujukan yang lebih lengkap dan terperinci termasuk transliterasi bacaannya, sila ikuti panduan langkah demi langkah di bawah ini.

1. Berdiri tegak dan berniat untuk solat jenazah

takbiratul ihram solat jenazah

Berdiri dengan tegak dan selesa. Mata memandang ke arah tempat sujud.

Semasa mengangkat takbir, bacakan niat solat dalam hati serentak, Sahaja aku solat ke atas jenazah lelaki / perempuan ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala”

Jika anda sukar niat serentak dengan takbir, anda boleh niat dahulu sejurus sebelum takbiratul ihram1

Niat boleh diucapkan dalam Arab mahupun Bahasa Melayu.


2. Membaca al-Fatihah.

Selepas selesai mengangkat takbiratul ihram, letakkan tangan di atas perut. Kemudian bacalah surah al-Fatihah.

Surah al-Fatihah

Bismillāhir-Raḥmānir-Raḥīm. Al-Ḥamdu Lillāhi Rabbil-‘Ālamīn. Ar-Raḥmānir-Raḥīm. Māliki Yaumid-Dīn. Iyyāka Na‘Budu Wa Iyyāka Nasta‘Īn. Ihdinaṣ-Ṣirāṭal-Mustaqīm. Ṣirāṭallażīna An‘Amta ‘Alaihim, Gairil-Magḍūbi ‘Alaihim Wa Laḍ-Ḍāllīn

Maksudnya:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


3. Angkat Takbir Kedua & Selawat

Setelah selesai membaca al-Fatihah, maka angkat takbir kedua.

Takbir kedua solat jenazah

Selepas takbir kedua, letakkan tangan kembali di atas perut.

Kemudian baca selawat ke atas Rasulullah SAW sekurang-kurangnya:

selawat ke atas nabi

  Allahumma Solli A’la Sayyidina Muhammad 

Selawat yang paling baik yang boleh dibaca adalah Selawat Ibrahimiyyah.


4. Angkat Takbir Ketiga & Baca Doa Minta Ampun Untuk Jenazah

Setelah selesai membaca selawat, maka angkat takbir ketiga.

Takbir keempat solat jenazah

Selesai takbir ketiga, bacalah doa minta ampun untuk jenazah sekurang-kurangnya:

Doa Solat Jenazah Lelaki

doa untuk jenazah lelaki dalam solat jenazah

  Allahumagfirlahu Warhamhu Wa ‘Aafihi Wagfu ‘Anhu 

Maksudnya:

Ya Allah ampunilah dia dan rahmatilah dia, afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya

Doa Solat Jenazah Perempuan

*Sekiranya jenazah perempuan tukarkan “hu” kepada “ha”

doa untuk jenazah perempuan dalam solat jenazah

  Allahumagfirlaha Warhamha Wa ‘Aafiha Wagfu ‘Anha  

Maksudnya:

Ya Allah ampunilah dia dan rahmatilah dia, afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya


5. Angkat Takbir Keempat & Membaca Doa

Setelah selesai membaca doa jenazah, maka lakukanlah takbir keempat

Solat jenazah takbir

Selesai takbir keempat, disunatkan membaca doa berikut:

*Tulisan hijau dalam kurungan adalah untuk jenazah perempuan

Doa untuk memohon keampunan untuk jenazah dalam solat jenazah

  Allahumma Laa Tahrimnaa Ajrohu (AjRaHaa) WaLaa TafTinNaa Ba’Dahu (Ba’DaHaa) 

Maksudnya: 

Ya Allah janganlah Engkau mencegah kami mendapat pahalanya, jangan Engkau datangkan keresahan kepada kami sesudahnya, ampunilah kami dan si mati.


6. Memberi Salam

Selesai membaca doa di atas, akhiri sembahyang jenazah dengan memberi salam.

Kemudian bacalah doa selepas solat jenazah seperti yang dinyatakan pada bahagian di bawah

Doa Selepas Solat Jenazah

Selepas selesai memberi salam, maka disunatkan membaca doa ini:

Bacaan dalam kurungan (……) dengan tanda ‘*‘ adalah untuk jenazah wanita

doa selepas solat jenazah

Bismillahi Rahmanirrahim

Alhamdulillahi Robbil ‘Alamin. Wassolatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil ‘Anbiya’i Wal Mursalin Wa ‘Ala Alihi Wa Sohbihi Ajmain.

Allahumma Bihaqqi Muhammadin Wa Ali Muhammadin Ala Tuazziba Hazal Mayyiti *(Mayyitati).

Allahummaj-‘Al Qobrohu *(Qobraha) Raudhotan Min Riyadhil Jannati Walaa Taj’al Qobrohu *(Qobraha) Hufratan Min Hufarinniirani.

Wasollallahu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala  Alihi Wa Ashaabihi Ajmain Walhamdulillahi Robbil ‘Alamin.

Maksudnya:

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad semulia-mulia rasul dan ke atas kaum keluarga serta para Sahabat sekalian. Ya Allah, dengan kemuliaan Nabi Muhammad dan ahli keluarganya, janganlah Engkau siksa jenazah ini. Ya Allah jadikan kuburnya sebagai taman daripada taman-taman syurga dan janganlah Engkau jadikan kuburnya sebagai lubang daripada lubang neraka. Selawat dan salam Allah ke atas Junjungan kami Muhammad, dan ke atas keluarganya serta para sahabatnya. Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam.

Boleh dikatakan, Solat Jenazah pasti akan dikerjakan pada setiap masa sebaik sahaja tamat solat fardu di Masjidil Haram (Mekah) dan Masjid Nabawi (Madinah).

Jika kita sedang berada di dua tanah suci ini, janganlah lepaskan peluang beribadat, terutama di tempat yang tinggi ganjarannya.

Tangguhkan dahulu Solat Sunat Rawatib (Ba’diyyah) dan utamakan Solat Jenazah kerana pahalanya sebesar Bukit Uhud.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tsauban R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‏ مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirath. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirath, dan satu qirath itu ganjaranya sebesar bukit Uhud.” (Riwayat Muslim no. 946)

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Ahmad, Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain”. [Riwayat Ahmad (15271)] 

Hadis ini menunjukkan keutamaan solat di Masjidil Haram, termasuk solat jenazah.

Disebabkan kebanyakkan daripada kita tidak memahami Bahasa Arab dan tidak mengetahui status mayat, maka berniatlah seperti berikut:

Niat solat jenazah yang tidak diketahui jantinanya

Usolli ‘Ala Hazal-Mayyiti Man Solla ‘Alayhil Imamu Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala

Sahaja aku solat jenazah di atas mayat yang disolatkan oleh imam empat takbir fardu kifayah, makmum kerana Allah Taala

Tatacara Mengerjakan Solat Jenazah Di Mekah Dan Madinah

Tatacara mengerjakan solat jenazah di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi adalah sama seperti tatacara yang dinyatakan pada ruangan di atas.

Cuma dari segi doa, pada takbir ketiga dan keempat hendaklah membaca:

Takbir Ketiga

Allahummaghfirlahum warhamhum wa ‘aafihum wa‘fu ‘anhum.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ وَعَافِهُمْ وَاعْفُ عَنْهُمْ

“Ya Allah, ampunilah mereka, rahmatilah mereka, sejahterakanlah mereka, dan maafkanlah mereka.”

Takbir Keempat

Allahumma La Tahrimna Ajrahum Wa La Taftinna Ba’-dahum

اللَّهُمَّ لا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُمْ وَلا تُفْتِنَّا بَعْدَهُمْ

“Ya Allah, janganlah Engkau halangi kami dari pahala mereka dan janganlah Engkau uji kami setelah mereka”

Solat Jenazah Ghaib

Solat Jenazah Ghaib ialah solat ke atas jenazah yang tidak ditemui atau jauh tempatnya serta sukar untuk pergi ke sana. Solat jenazah ghaib berserta doa merupakan penghormatan terakhir daripada waris dan kenalan yang tidak dapat menatap wajah individu berkenaan.

Menurut ulama mazhab asy-Syafi’e, jika mayat sudah dikebumikan dan seseorang itu masih belum melakukan sembahyang jenazah ke atas mayat tersebut, maka sunat baginya melakukan solat ghaib untuk mayat tersebut.

Panduan mengerjakan Solat Jenazah Ghaib boleh dilihat pada pautan ini: NIAT & CARA SOLAT JENAZAH GHAIB

Perkara Sunat Dalam Solat Jenazah

Ini adalah beberapa perkara sunat semasa melaksanakan Solat Jenazah

  • Mengangkat kedua-dua belah tangan ketika bertakbir
  • Disunatkan membaca ta’awwuz, tetapi tidak disunatkan membaca Doa Iftitah
  • Membaca semua bacaan dengan suara rendah.
  • Mengucapkan “Amin” selepas membaca surah al-Fatihah
  • Berdiri dalam tiga saf atau lebih, sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW ketika menyembahyangkan raja al-Najasyi.
  • Tahmid sebelum selawat ke atas Nabi SAW
  • Doa ke atas muslimin dan muslimat selepas selawat ke atas Nabi
  • Sunat mendirikan sembahyang jenazah secara berjemaah, tetapi diharuskan melakukannya seorang diri.

Hukum Menyebut Kebaikan & Keburukan Jenazah

Menjadi amalan kebanyakkan orang yang sembahyang jenazah, apabila selesai sembahyang, mereka memberi kesaksian mayat dengan kebaikan. Misalnya, seorang daripada mereka berkata kepada yang lain: “Apa kata kamu kepada jenazah ini?”

Mereka menjawab: “Baik atau ahli kebaikan.” Diulang-ulang penyaksian itu sebanyak tiga kali.

Pertanyaan akan timbul di kalangan kita, bolehkah penyaksian seperti ini dilakukan lebih-lebih lagi jika si mati terkenal dengan kefasikan dan kejahatannya semasa hidup?

Menurut al-Allamah Saiyid Muhammad Abdullah al-Jardani dalam kitab Fathu al-Allah, perkara ini ada asasnya daripada sunnah Nabi.

Tetapi kebanyakkan orang awam menolak penyaksian kebaikan kepada setiap mayat. Mereka enggan menyaksikan kebaikan kepada mayat yang terkenal melakukan maksiat kerana dia tidak layak mendapat penyaksian tersebut.

Malah mereka lebih suka menyebut kejahatan mereka supaya menjadi peringatan kepada orang yang hidup supaya tidak melakukan kejahatan sepertinya.

Sebenarnya setiap mayat berhak mendapat penyaksian kebaikan walau apa pun keadaannya sama ada dia seorang yang diketahui baik atau jahat semasa hayatnya. Bahkan dilarang menyebut kejahatannya.

Dalam hal ini Rasulullah bersabda yang maksudnya:

Janganlah kamu sebutkan perihal orang yang mati di kalangan kamu kecuali yang baik-baik sahaja 

— Riwayat Nasa’i

Sabda baginda lagi:

Sebutkanlah kebaikan-kebaikan orang-orang yang mati di kalangan kamu dan tutuplah kejahatan-kejahatan mereka

— Riwayat Abu Dawud

Soal Jawab Masalah Berkaitan Solat Jenazah

Berikut adalah beberapa persoalan mengenai masalah yang berkaitan solat jenazah ini:

Apa Itu Solat Jenazah?

Solat jenazah bermaksud solat yang dilakukan oleh orang yang masih hidup kepada orang yang mati.

Apakah Hukum Solat Jenazah?

Menurut ijmak ulama, solat jenazah ke atas jenazah yang bukan mati syahid adalah fardu kifayah, iaitu bagi orang yang masih hidup di kawasan tersebut.

Sekiranya ada pihak yang telah melakukannya, walaupun seorang, maka terlepaslah kewajipan ke atas orang lain.

Apa Tujuan Solat Jenazah?

Tujuan solat jenazah adalah untuk memohon keampunan, keredhaan serta rahmat Allah untuk si mati.

Bagaimana Niat Jika Tidak Tahu Jenazah Lelaki atau Perempuan?

Dalam keadaan begini, tunaikanlah hajat mereka dan niatkan dalam hati:
Sahaja aku solat ke atas jenazah yang disolatkan imam, 4 takbir fardu kifayah sebagai makmum kerana Allah Taala.

Solat Jenazah Perlu Dilakukan Kepada Siapa?

Jenazah yang wajib disolatkan adalah jenazah orang Islam. Ia termasuklah jenazah yang keislamannya hanya dilihat daripada ibu bapanya yang Islam atau salah seorang daripada mereka Islam. Boleh juga dilihat dari negeri tempat tinggalnya.

Begitu juga wajib didirikan solat ke atas orang Islam yang melakukan dosa besar dan orang yang dihukum mati oleh pemerintah

Apakah Hikmah Solat Jenazah?

Sembahyang jenazah dilakukan oleh orang hidup ke atas orang yang meninggal dunia untuk meringankan bebanannya. Ini kerana dalam solat ini mengandungi banyak doa-doa yang ke semuanya kembali untuk kebaikan si mati.

Oleh sebab itu, seharusnya kepada mereka yang mendirikan solat sembahyang mayat ini dirikanlah dengan ikhlas, penuh khusyuk serta berharap pengampunan Allah SWT kepada si mati. Inilah hikmah solat yang kita lakukan

Apakah Rukun Solat Jenazah?

1. Niat
2. Berdiri bagi orang yang mampu
3. Takbir empat kali
4. Membaca al-Fatihah
5. Membaca selawat
6. Mendoakan keampunan buat si mati
7. Memberi salam

Hukum Menjadi Makmum Masbuk Dalam Sembahyang Jenazah

Makmum yang masuk lewat ketika imam sudah melakukan takbir sekali atau lebih daripada sekali takbir, makmum perlu bertakbir dan terus membaca al-Fatihah walaupun ketika itu imam bukan dalam takbir pertama.

Apabila imam memulakan takbir berikutnya sedangkan makmum belum sempat membaca al-fatihah, maka makmum perlu mengikut imam mengangkat takbir dan tidak perlu membaca al-Fatihah.

Apabila imam selesai dan memberi salam, makmum masbuk tadi perlu menambah bilangan takbir dan bacaan-bacaannya.

Bilakah Waktu Mengerjakan Solat Jenazah?

Diharuskan solat jenazah pada semua waktu kerana solat ini adalah solat yang mempunyai sebab.

Hukum Mengerjakan Solat Jenazah Selepas Waktu Subuh Dan Asar

Para fuqaha al-Syafi’eyyah menyebutkan bahawa solat jenazah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dari sudut ia tidak terhad kepada waktu-waktu yang tertentu.

Oleh itu, hukum mengerjakan sembahyang jenazah selepas subuh ataupun asar adalah dibolehkan.

Bolehkah Solat Jenazah Dilakukan Seorang Diri?

Ia sunat dilakukan secara berjemaah, namun sah apabila dibuat seorang diri.

Hukum Wanita Mendirikan Solat Jenazah

Hukumnya harus untuk wanita mendirikan solat jenazah. Tetapi tidak memadai (tidak tergugur kefarduan) apabila hanya orang perempuan yang melakukannya sedangkan terdapat orang lelaki ketika itu.

Hukum Solat Jenazah Selepas Mayat Dikebumikan

Apabila jenazah sudah dikebumikan sedangkan jenazah belum disolatkan lagi, maka harus disolatkannya di atas kubur. Akan tetapi apabila jenazah yang belum disolatkan itu sudah dimasukkan ke dalam kubur tetapi belum ditimbus lagi, maka perlu dikeluarkan jenazah dan disolatkan.

Bagaimanakah Cara Solat Jenazah Ghaib?

Solat Jenazah Ghaib ialah solat ke atas jenazah yang tidak ditemui atau jauh tempatnya serta sukar untuk pergi ke sana. Solat Jenazah Ghaib dilakukan sama seperti sembahyang jenazah biasa.

Menurut ulama mazhab asy-syafi’e seperti Imam an-Nawawi, jika mayat sudah dikebumikan dan seseorang itu masih belum melakukan sembahyang jenazah ke atas mayat tersebut, maka sunat baginya melakukan solat ghaib untuk mayat tersebut.

Tetapi adalah makruh jika dilakukan solat ghaib itu di atas kubur, melainkan jika kubur itu adalah kubur para nabi dan orang yang mati syahid dalam peperangan.

Ibnu Qudamah (ulama mazhab Hanbali) mengatakan hukumnya adalah harus melakukan solat ghaib di atas kubur mayat tersebut.

Adakah Solat Jenazah Mempunyai Rukuk Dan Sujud?

Solat jenazah adalah solat yang tidak mempunyai rukuk, sujud dan tasyahud.

Rukun utama sembahyang jenazah adalah empat takbir termasuk takbiratul ihram. Empat takbir boleh dianggap sebagai rakaat bagi solat jenazah kerana setiap takbir memisahkan bacaan-bacaan yang tertentu.

Mengapa Tiada Rukuk dan Sujud Dalam Solat Jenazah?

Solat jenazah adalah satu-satunya solat yang tiada rukuk dan sujud.

Hikmah tidak disyariatkan rukuk dan sujud padanya adalah supaya orang yang jahil tidak menyangka rukuk dan sujud itu untuk jenazah disebabkan kedudukan jenazah berada di hadapan orang yang solat.

Siapakah Orang Yang Afdal Menjadi Imam Solat Jenazah?

Menurut mazhab Syafi’e, wali kepada jenazah lebih aula (utama) mensolatkan jenazah, kerana sembahyang jenazah adalah doa untuk si mati.

Doa kaum kerabat dan waris adalah lebih mudah dimakbulkan Allah Taala.

Susunannya seperti berikut:
1. Bapa
2. Datuk dan ke atas
3. Anak lelaki
4. Cucu dan ke bawah
5. Saudara lelaki seibu sebapa
6. Saudara lelaki sebapa
7. Anak lelaki saudara seibu sebapa
8. Anak lelaki saudara seibu.
9. Seterusnya mengikut tertib ‘asobah dalam ilmu faraid.

Bagaimanakah Kedudukan Jenazah Dalam Solat Jenazah?

Kedudukan jenazah dalam solat jenazah adalah seperti di bawah:

Jenazah perlu diletakkan melintang di hadapan Imam. Manakala imam dan makmum menghadap kiblat.

Kedudukan kepala jenazah adalah seperti berikut:
— Sebelah kanan bagi jenazah perempuan.
— Jika jenazah lelaki, kepalanya diletakkan disebelah kiri imam.

Sekiranya jenazah itu lelaki, imam perlu berdiri setentang dengan kepalanya dan sekiranya jenazah itu perempuan, imam perlu berdiri  sententang dengan pinggangnya.

kedudukan jenazah

Bagaimana Kedudukan Saf Solat Jenazah Mengikut Bilangan Makmum?

Berikut pula adalah kedudukan saf sembahyang jenazah mengikut bilangan makmum yang hadir:kedudukan saf solat jenazah

Pengurusan Jenazah Islam

Solat Jenazah adalah salah satu perkara yang terkandung dalam Fardu Kifayah, iaitu pengurusan jenazah. Selain daripada Solat Jenazah, saya menggalakkan anda untuk mengambil lanjut mengenai bab-bab lain dalam pengurusan jenazah, seperti:

Penutup

Ambillah pengajaran daripada setiap kematian yang berlaku. Jangan hanya melihat dengan pandangan kosong, pandanglah dengan penuh keinsafan dan carilah hikmah disebaliknya.

  • Adakah kita bersedia mengikut jejaknya?
  • Adakah kita boleh berasa lega dengan anak cucu yang ditinggalkan?
  • Adakah ada dalam kalangan mereka yang boleh alirkan pahala jika kita meninggal dunia?

Selain itu apabila berlaku kematian dituntut kepada kita untuk menguruskan jenazah. Lebih-lebih lagi kepada saudara-mara terdekat. Berterima kasihlah kerana kita masih dikurniakan orang ‘masjid’ yang sudi menjadi pengurus kepada sesuatu kematian, biarpun bukan daripada kaum kerabatnya.

Semoga panduan ini dapat memberi manfaat kepada semua.

Rujukan

  1. Kitab Jihazul Madihah (Persiapan yang terpuji) — Ustaz Azhar Idrus
  2. Praktik Solat Jenazah & Pengurusannya — Zul Amran Omar
  3. Panduan Solat Jenazah & Talqin — Ust Mohd Faez Mohd Shah al-Hashimi
  4. Ensiklopedia Solat – Rohidzir Rais, Fuad Ismail & Mohd Wahid Abd Hanif
  5. Ensiklopedia Solat: A-Z Tentang Solat — Dr. Nik Yusri Musa
  6. Al-Kafi #1559: Hukum Mengerjakan Solat Jenazah Selepas Subuh Dan Asar, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan [Pautan]
  7. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-130: Ganjaran Solat Di Masjid Al-Haram, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan [Pautan]
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

79 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
helmyteridi
helmyteridi
7 bulan yang lalu

salam saya mintak izin untuk ambil ilmu dalam ni, dan sebarkan

Azrien
Azrien
8 bulan yang lalu

Assalamualaikum…izinkan Sya download UTK panduan Sya mempelajari solat jenazah…terima kasih tuan… Alhamdulillah aku Islam ni byk membantu sya..

muhammad chemohd
muhammad chemohd
8 bulan yang lalu

mohon izin belajar dan menyampaikan

Abd Latif bin Budin
Abd Latif bin Budin
1 tahun yang lalu

Assalammualaikum,..Izinkan saya untuk kongsikan setiap ilmu yang tuan curahkan, semoga ianya bermanafaat.

Soalan saya, bolehkah bacaan doa untuk takbir ke 3 dan ke 4 dibaca sebanyak 3 kali, mohon pencerahan.

Terima Kasih

Sahibudin kassim
Sahibudin kassim
1 tahun yang lalu

Assalammualaikum,..izinkan saya beramal dgn ilmu yang di ajarkan melalui laman ini..

Sahibudin kassim
Sahibudin kassim
Reply to  Muhamad Naim
10 bulan yang lalu

Terima kasih saudaraku…m

Insyirah
Insyirah
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum, saya nak tanya, macam mana nak baca doa-doa yang ditulis untuk takbir 3 dan 4 sekiranya saya tak tahu jenazah itu adalah lelaki atau perempuan?

Terima kasih.

Zidi
Zidi
1 tahun yang lalu

Assalam ust.. terima ksh dgn perkongsian ini..izin sy beramal dgn ilmu yg ust bg ini..Qobiltu ya ust…lg satu, ada tak panduan solat jenazah utk imam..terima ksh ust.

Shahrin
Shahrin
2 tahun yang lalu

Assalamualaikum tuan Admin.

Bacaan selepas takbir ke 4; “…tahrimna ajrahu”. Ni huruf “Ha” atau “Kho” ( تَحْرِمْنَا atau تَخْرِمْنَا). Mohon pencerahan. T.Kasih

Ahmad
Ahmad
2 tahun yang lalu

Ada teks bacaan talkin? Maaf jika terlepas pandang.

Roma
Roma
2 tahun yang lalu

Salam Ustaz….saya ada dua soalan ;

  1. Bolehkah kita membaca Allahumagfirlaha atau Allahumagfirlahu sahaja sekiranya saya tak dapat hafal pada rakaat ketiga. Dan sekiranya saya tidak tahu jenazah lelaki atau perempuan……apa yg harus saya baca
  2. Pada rakaat ke empat boleh tak saya membaca rabbana atina fidduniya…. dan seterusnya menberi salam.