Teks Bacaan Talqin & Doa Selepas Talqin

bacaan talqin

Bagaimanakah perlaksanaan bacaan talqin selepas pengebumian jenazah?

Panduan ini akan menerangkan secara lengkap bacaan talqin yang diamalkan di Malaysia (serta kawasan nusantara), berserta doa selepas bacaan talqin.

Semoga panduan ini membantu anda, insyaAllah.

Pengenalan

Topik ini adalah kesinambungan daripada panduan utama iaitu Pengurusan Jenazah Orang Islam

Membaca talqin sesudah dikebumikan jenazah adalah sesuatu yang amat baik.

Kebanyakkan ulama’ mazhab asy-Syafi’e dan mazhab-mazhab lainnya memandang perkara ini sesuatu yang amat baik untuk dilakukan dan ia tidak termasuk dalam erti kata bidaah kerana asas atau sandarannya sedangkan bidaah yang sebenar ialah yang tidak mempunyai apa-apa asas atau sandaran sekalipun lemah.

Antara yang menyokong bacaan talqin ialah Imam al-Qurtubi (pengarang Tafsir al-Qurtubi), al-Marhum Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili (pengarang Tafsir al-Manir dan Fiqh Islami Wa Adillatuh), dan ramai lagi ulama-ulama mazhab yang lain.

Imam Abu ‘Amru pernah ditanya mengenai talqin, lalu beliau menjawab di dalam fatwanya:

Talqin itu memang perkara yang telah kami pilih dan kami melakukannya. Kami telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Umamah tetapi sanadnya tidak kuat

Namun beliau berpegang dengan hujah bahawa talqin itu pernah dilakukan oleh penduduk Syam.

Perhatian

Bacaan talqin tidak dianjurkan dibaca kepada jenazah kanak-kanak kerana tidak ada apa-apa asas dan sandaran tentang itu.

Definisi Dan Maksud Talqin

Apakah maksud talqin?

Talqin berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu Laqqana (لَقَّنَ) yang bermaksud mengajar ataupun memberi peringatan.

Dalam kamus Dewan edisi ke-4, talqin bermaksud petunjuk atau peringatan tentang soal jawab di dalam kubur yang dibacakan kepada jenazah orang Islam selepas sahaja ia dikebumikan.

Namun realitinya, talqin merupakan peringatan dan pengajaran buat orang yang hadir semasa upacara pengkebumian tersebut supaya mereka menyedari bahawa kematian itu adalah pasti dan janji-janji Allah SWT itu juga pasti.

Jika diizinkan dan dikehendaki oleh Allah SWT, pasti jenazah yang berada di dalam kubur itu juga mendengar peringatan yang disampaikan.

Intipati bacaan talqin mengandungi peringatan, amaran, pengajaran dan kesedaran bahawa kehidupan dunia tidak akan kekal, akhirnya semua makhluk akan menemui Khaliqnya iaitu Allah.

Semua kesenangan kenikmatan dan kemewahan dunia akan ditinggalkan buat selama-lamanya, hanya amal-amal soleh sahaja yang akan dibawa sebagai bekalan menuju ke akhirat.

Soalan munkar dan nakir, nikmat dan azab kubur adalah benar sama sekali.

Hukum Bacaan Talqin

Ulama-ulama mazhab al-Shafi’i berpendapat bahawa hukum membaca talqin selepas jenazah dikebumikan adalah sunat.

Berikut adalah beberapa pendapat ulama mazhab al-Shafi’i berkenaan dengan hukum talqin:

  1. Imam al-Nawawi di dalam kitab Raudah al-Talibin: Sunat membaca talqin kepada mayat setelah ia dikebumikan. Bacaan talqin ini disunatkan oleh sahabat-sahabat kami.
  2. Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’: Para sahabat kami berpendapat, sunat membaca talqin buat si mati selepas mengkebumikannya dengan duduk di sisi kepalanya.
  3. Imam Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj: Sunat hukumnya mentalqinkan jenazah yang mukallaf selepas dikebumikannya.
  4. Imam Abu Qasim al-Qazwini di dalam kitabnya Fath al-‘Aziz: Disunatkan mentalqinkan mayat sebaik sahaja ia dikebumikan.

Menurut Imam al-Nawawi, talqin sunat dibacakan kepada jenazah yang mukallaf tetapi tidak disunatkan kepada jenazah kanak-kanak.

Sandaran kepada pendapat-pendapat para ulama mazhab al-Shafi’i di atas adalah berdasarkan dalil hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Sa’id al-Azdiy daripada Abu Umamah RA:

Sa’id al-Azdiy berkata:

Aku telah menyaksikan Abu Umamah dalam keadaan nazak. Beliau telah berkata kepadaku: Wahai Sa’id, jika aku mati nanti, hendaklah kamu semua melakukan sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Rasulullah di mana Baginda bersabda: Jika salah seorang daripada saudara kamu meninggal dunia, lalu setelah kamu meratakan tanah di atas kuburnya, maka berdirilah salah seorang di sisi kepala kuburnya kemudian bertalqin: Wahai fulan bin fulanah (nama ibunya), sebab mayat itu mendengar tetapi dia fidak boleh menjawab.

Kemudian bertalqin lagi: Wahai fulan bin fulanah, sebab mayat itu akan bangun dan duduk. Kemudian bertalqin lagi: Wahai fulan bin fulanah, sebab mayat itu akan berkata: Berilah petunjuk kepada kami, semoga Allah Ta’ala merahmati kamu tetapi kamu tidak menyedarinya.

Kemudian, dia bertalqin lagi: Sebutlah sesuatu yang telah kamu bawa keluar dari dunia iaitu persaksian sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhammad itu ialah hamba dan utusan-Nya. Sesungguhnya kamu reda bahawa Allah itu tuhan kamu, Islam adalah agamamu, Nabi Muhammad itu nabi Nya dan al-Quran itu adalah imammu. Maka sesungguhnya malaikat Munkar dan Nakir saling berpegangan tangan kedua-duanya sambil berkata: Marilah kita pergi, tidak ada gunanya kita duduk di samping orang yang sudah diajarkan (ditalqinkan) hujjahnya.

Lalu, seorang sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami tidak mengenali ibunya.

Baginda pun bersabda: Nasabkanlah dia dengan ibunya iaitu Hawa (isteri nabi Adam) Wahai fulan bin Hawa.

— Hadis riwayat al-Tabrani

Menurut Imam al-Nawawi, meskipun sanad hadis ini dhaif tetapi ianya diperkuatkan dengan penyaksian penyaksian daripada hadis-hadis yang sahih, malahan ia menjadi amalan masyarakat terdahulu sehingga kini.

Oleh yang demikian, tidak timbul isu bid’ah dalam perkara ini kerana amalan membaca talqin selepas pengkebumian diperakui dan diterima sebagai amalan yang sunat oleh mazhab al-Shafi’e sebagai mazhab yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Justeru itu, amalan membaca talqin ini merupakan perkara yang baik dan sama sekali tidak bercanggah dengan hukum syarak kerana kandungan talqin adalah satu peringatan, pengajaran dan kesedaran buat orang yang masih hidup bahawa dunia ada hanyalah tempat yang sementara dan mati itu adalah pasti.

Contoh Teks Bacaan Talqin

Berikut adalah teks bacaan talqin yang menjadi amalan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia:

bacaan talqin

Maha Suci Allah Tuhan yang Maha Gagah, tunggal dengan kekuasaan dan kekal selama lamanya. Allah yang telah menggagahi hamba hamba-Nya dengan mati dan binasa untuk menilai kedudukan amal bakti mereka jika ada sesiapa di antara kamu yang lebih berjasa dan berjaya. Sesungguhnya amal dan usaha kamu itu kelak pada hari akhirat akan diperlihatkan oleh Allah SWT.

Segala sesuatu pasti akan binasa, hanya sahaja yang tidak binasa dan tetap kekal hanyalah dzat Allah tuhan yang Maha Esa, bagi-Nya segala bentuk hukuman dan kepada-Nya kamu semua akan berbicara.

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 185:

bacaan talqin

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada api neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Daripada tanah Kami telah jadikan kamu, ke dalam tanah Kami akan kembalikan kamu dan dari dalam tanah pula Kami akan keluarkan kamu nanti pada suatu ketika.

Daripada tanah, Kami telah jadikan kamu iaitu untuk mencari ganjaran dan pahala. Ke dalam tanah, Kami akan kembalikan kamu iaitu untuk habuan ulat ulat dan tanah juga.

Dengan nama Allah dan dengan keagungan Allah, berpunca daripada Allah dan berbalik kepada Allah dan di atas agama Nabi Muhammad Rasulullah . Inilah yang dinamakan Kiamat iaitu sesuatu yang telah dijanjikan oleh Allah dan sungguh benarlah rasul-rasul itu bahawa tiadalah kiamat itu melainkan tempikan yang sekali sahaja, maka sekonyong konyong manusia itu semuanya mati.

Wahai hamba Allah, anak daripada dua hamba Allah, semoga kamu dikurniakan rahmat oleh Allah SWT. Dunia ini telah pergi meninggalkan kamu dan kamu pula telah meninggalkan segala perhiasan, kemewahan dan kesenangan dunia. Sekarang kamu telah berada di alam barzakh iaitu satu daripada beberapa banyak lagi alam bagi menunggu akhirat.

Oleh yang demikian, janganlah kamu lupa ikatan janji taat setiamu yang telah kamu ikrarkan semasa kamu meninggalkan kami sewaktu menuju ke alam akhirat iaitu pengakuan Laa ilaha illallah Muhammadur rasulullah, tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu ialah utusan Allah.

Apabila datang kepadamu dua Malaikat iaitu Munkar dan Nakir yang mana kedua-duanya itu sebagai wakil daripada Allah untuk menyoal kamu dan orang-orang lain yang mati seumpama kamu, maka janganlah kamu menjadi terkejut, merasa gerun dan gentar kerana kedua-duanya itu adalah makhluk Allah jua sama seperti kamu.

Apabila tiba kedua-dua Malaikat itu dan bertanya kepadamu:

  • Man rabbuka – Siapa Tuhanmu?
  • Man nabiyyuka – Siapa Nabimu?
  • Ma dinuka – Apa agamamu?
  • Man imamuka – Siapa imammu?
  • Ma qiblatuka – Apa kiblatmu?
  • Man ikhwanuka – Siapa saudara-saudaramu?
  • Apa keyakinan semasa kamu mati?

Maka jawablah: Allah Tuhanku. Apabila kedua dua Malaikat itu bertanya lagi, maka jawablah: Allah tuhanku dan apabila kedua-dua Malaikat itu bertanya lagi untuk kali yang ketiga iaitu pertanyaan akhir yang menentukan kebaikan, maka jawablah dengan lancar:

Allah Tuhanku, Muhammad nabiku, Islam agamaku, al-Quran imamku, Kaabah kiblatku dan orang-orang Islam seluruhnya adalah saudaraku. Aku telah hidup dan telah pun mati tetapi aku tetap dengan pengakuan Laa ilaha illallah iaitu tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu sebenar benarnya ialah utusan Allah.

Peganglah wahai hamba Allah dengan keterangan ini dan ketahuilah sesungguhnya engkau akan tetap tinggal di alam barzakh ini sehingga ke suatu masa apabila sekalian penghuni kubur akan dibangkitkan bagi berbicara di hadapan Tuhannya.

Justeru itu, apabila ditanya tentang seorang lelaki yang telah dilantik untuk kamu dan makhluk-makhluk yang lain sekaliannya, maka katakanlah bahawa orang itu ialah Nabi Muhammad Rasulullah yang telah mengemukakan kepada kami penjelasan penjelasan yang nyata daripada Tuhannya. Kami telah mengikuti dan percaya kepadanya, malah kami telah memperakui ianya betul dan benar dengan kerasulannya.

Maka, sebaik-baik sahaja masing-masing berundur, katakanlah حَسْبِيَ الله yang bermaksud cukuplah untukku hanya Allah, tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Dia, kepada-Nya aku berserah, Dia-lah Tuhan yang memiliki pemerintahan yang Maha Besar.

Ketahuilah wahai hamba Allah, sesungguhnya mati itu benar, masuk ke liang kubur itu benar, soalan Munkar dan Nakir itu benar, bangkit semula dari kubur itu benar, berbicara kerana mengira buruk atau baiknya amalan yang telah dilakukan adalah benar, timbangan yang menentukan mana yang lebih banyak antara amalan-amalan yang baik daripada amalan-amalan yang buruk juga benar, meniti siratal mustaqim yang menentukan ke syurga atau neraka adalah benar, syurga adalah benar, neraka juga adalah benar dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan semula penghuni-penghuni kubur.

Semoga Allah menetapkan kamu dengan perkataan yang tetap (ulang 3 kali).

Ditetapkan oleh Allah akan orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap iaitu kalimah tauhid di dunia mahupun di akhirat.

Firman Allah berbunyi:

bacaan talqin al fajr

Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tenteram. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku!

— Surah al-Fajr: 27-30

Justeru itu, sekalian yang hadir marilah sama sama kita memanjatkan doa ke hadrat Allah agar dengan limpah kurnia-Nya, Allah memberikan keampunan, kebaikan dan rahmat kepada almarhum /almarhumah ini. Semoga Allah menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beruntung dan berbahagia. Armin….amin ya Rabbal ‘alamin…. al-Fatihah.

Doa Selepas Bacaan Talqin

Setelah selesai membaca talqin, sebaik-baiknya upacara pengkebumian diakhiri dengan bacaan doa buat si mati sebelum meninggalkan tanah perkuburan:

Berikut doa yang boleh dibaca di atas kubur:

Bagi Jenazah Lelaki
doa talqin lelaki
Bagi Jenazah Perempuan
doa talqin perempuan

Maksud Doa

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Ya Allah, telah diserahkan si mati kepada-Mu oleh orang-orang yang mempunyai rasa kasih sayang kepadanya iaitu dari kalangan anaknya, isterinya, kaum kerabatnya dan saudara-maranya.

Si mati telah berpisah dengan orang-orang yang mencintainya dan keluar dari keluasan rumah tangga dan kemewahan hidup menuju ke liang kubur yang gelap dan sempit. Dia telah menuju kepada-Mu ya Allah sedangkan Engkau sebenarnya adalah sebaik-baik tempat yang ditujui.

Jika Engkau menyeksa si mati ini, maka itu adalah kerana dosanya. Tetapi, jika Engkau mengampuninya, maka hanya Engkau sahaja yang berhak mengampuninya. Ya Allah, Engkau terkaya daripada menyeksakannya padahal si mati benar benar berhajat kepada limpah rahmat-Mu.

Ya Allah, limpahkanlah kebaikan buat si mati, ampunilah dosa-dosanya, kurniakan syafaat jemaah kami ini padanya. Ampunilah dosanya, luaskanlah kubur untuknya, lindungilah dia daripada azab seksa kubur.

Masukkanlah ke dalam kuburnya itu rasa ketenteraman dan kerehatan, lepaskanlah dia dari setiap halangan yang menghalanginya untuk menuju ke syurga. Tingkatkanlah darjatnya di dalam syurga illiyyin dengan rahmat-Mu ya Allah, Tuhan yang Maha Pengasih daripada segala pengasih.

Sebelum pulang, disunatkan menyiram tanah kubur tersebut dengan air, menaburkan anak-anak batu yang kecil di atasnya dan menanam sepotong ranting kayu atau dahan kecil di bahagian kepala kubur.

Penutup

Dengan berakhirnya bacaan doa dan talqin, selesailah pengurusan jenazah dan tanggungjawab orang yang masih hidup ke atas jenazah.

Apabila seseorang telah meninggal dunia dan jenazahnya selamat dikebumikan, tamatlah segala-galanya apa yang telah diusahakan semasa hayatnya di dunia.

Kerana kehidupan di dunia tidak sama dengan kehidupan di alam barzakh. Dan sekarang jenazah itu sedang melalui kehidupan di alam itu.

Sabda Rasulullah ﷺ yang bermaksud:

Apabila mati seseorang, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya

— Riwayat Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasa’i
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

12 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Kamsani Tati
Kamsani Tati
1 bulan yang lalu

AlhamduLillah; Terima kasih berkongsi ilmu dengan masyarakat. Mudah mudahan Barakah dan Rahmah Allah sentiasa mengiringi anda pada setiap masa. Ameen Ya Rabbal ‘Alamein.

Shariffudin
Shariffudin
1 bulan yang lalu

Boleh share dlmPDF

Salleh
Salleh
3 bulan yang lalu

Assalamualaikum tuan mohon shere talqin

Hasnul
Hasnul
7 bulan yang lalu

Terima kasih berkongsi talkin dengan kami semua… moga Allah merahmati tuan..

wan Hamad
wan Hamad
7 bulan yang lalu

Tuan boleh Dapatkan dlm DPF
utuk saya.

Mohd Arsyad Arase
Mohd Arsyad Arase
9 bulan yang lalu

Boleh Tuan dapatkan saya PDF talqin/doa ..

Izwan
Izwan
11 bulan yang lalu

Terbaik Tn. Mohon izin share dan amalkan

Yakup bin Daud
Yakup bin Daud
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum. Ada lebih kalau dapat down load atau disedia dalam format pdf@document.

Nawir Nanrang
Nawir Nanrang
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum boleh bagi saya pdf untuk talqin dan doa ini. Terima Kasih