CARA MENGKAFANKAN JENAZAH (Panduan Lengkap)

cara mengkafankan mayat

Bagaimana cara mengkafankan jenazah orang Islam?

Ini adalah panduan cara mengkafankan jenazah dalam Islam secara lengkap dan mudah.

Setiap langkah disertakan ilustrasi berkaitan bagi memudahkan pemahaman anda.

Mari kita mulakan..

Hukum Mengkapankan Jenazah

HUKUM mengkapankan jenazah adalah fardhu kifayah yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam.

Tetapi, mengkapankan jenazah tidak disyaratkan dilakukan oleh orang yang mukallaf.

Justeru, sekiranya jenazah dikapankan oleh kanak-kanak, orang gila, orang kafir, jin, ataupun malaikat, maka ia sudah memadai.

Hukum ini berbeza dengan memandikan jenazah.

Unit ini adalah sebahagian daripada modul panduan pengurusan jenazah Islam yang telah saya sediakan. Untuk melihat unit-unit yang lain seperti cara memandikan jenazah, boleh lihat pada pautan ini: PANDUAN LENGKAP PENGURUSAN JENAZAH ISLAM

Peralatan Yang Perlu Disediakan

Seperti kita yang masih hidup, usai mandian dan dikeringkan badan, kita juga akan memakai pakaian untuk menutupi tubuh badan dari terdedah.

Begitu juga halnya dengan jenazah.

Selesai dimandikan, proses seterusnya ialah mengkafankannya iaitu dibaluti jenazah dengan pakaiannya yang khusus.

peralatan mengkafankan jenazah

Untuk kesempurnaan, beberapa peralatan harus disediakan untuk mengkafankannya iaitu:

  1. Kain putih
  2. 5 utas tali
  3. Gunting
  4. Kapas
  5. Serbuk cendana
  6. Minyak attar
  7. Air mawar.

Perbezaan Kafan Lelaki Dan Perempuan

Berikut adalah perbezaan kafan jenazah lelaki dan perempuan:

Jenazah Lelaki

Bagi jenazah lelaki, disunatkan baginya tiga lapis kain.

Lapisan kain kafan bagi jenazah lelaki
Jenazah Perempuan

Bagi jenazah perempuan disunatkan baginya lima lapis kain. Secara umumnya cara kafan jenazah lelaki dan perempuan tidak berbeza.

lapisan kain kafan jenazah perempuan
Lapisan kain kafan bagi jenazah wanita

Cuma yang membezakannya ialah sunat dikafankan jenazah perempuan dengan lima lapis kain sedangkan jenazah lelaki hanya tiga lapis kain seperti yang telah disebutkan di atas.

Ukuran Kain Kapan

Jenazah Dewasa: Hendaklah dilebihkan 2 kaki panjang dibahagian kaki dan kepala.

Jenazah Kanak-Kanak: Hendaklah dilebihkan 1 kaki panjang dibahagian kaki dan kepala.

Tatacara Mengkafankan Mayat

1. Sediakan tiga atau lima utus tali yang dihamparkan di tempat perbaringan sebelum menghamparkan kain kafan.

Tali ini diambil daripada kain kafan.

Cara Mengkafankan Jenazah

2. Ketinggian jenazah diukur untuk menentukan kepanjangan kain kafan.

Cara Mengkafankan Jenazah

3. Kain kafan dipotong menjadi tiga bahagian.

Cara Mengkafankan Jenazah

4. Ketiga-tiga kain dihamparkan dalam keadaan bertindih antara satu sama lain.

Cara Mengkafankan Jenazah

5. Hamparkan kapas gulung ditengah-tengah kain memanjang ke bawah mengikut anggaran saiz jenazah.

Cara Mengkafankan Jenazah

6. Serbuk cendana ditaburkan di atas kapas yang telah dibentangkan.

Cara Mengkafankan Jenazah

7. Angkat mayat tersebut dengan berhati-hati kemudian, baringkan di atas kain kafan yang sudah dibentangkan.

Cara Mengkafankan Jenazah

Tutupkan jenazah itu dengan kapas yang telah disediakan pada bahagian-bahagian berikut:

  1. Kemaluan
  2. Wajah (muka)
  3. Kedua-dua buah dada.
  4. Kedua-dua telinga.
  5. Kedua-dua tumitnya.

8. Sekali lagi ditaburkan serbuk cendana di atas kapas yang berada di atas jenazah.

Cara Mengkafankan Jenazah

9. Kain kafan diselimutkan atau ditutupkan dari lembar yang paling atas sampai lembar yang paling bawah, satu persatu.

Cara Mengkafankan Jenazah

10. Kemudian ikatlah dengan tali daripada kain yang telah disediakan sebanyak tiga atau lima ikatan.

Cara Mengkafankan Jenazah

Bermula daripada bahagian hujung kaki, lutut dan pinggang.

Ikatan hendaklah hidup (boleh dibuka) kerana tali ini akan dibuka semula ketika di dalam kubur.


11. Biarkan bahagian muka terbuka untuk tatapan sanak saudara.

Cara Mengkafankan Jenazah
Mengkafankan jenazah

12. Tali di bahagian leher dan atas kepala diikat apabila jenazah sedia untuk diusung atau atau disembahyangkan.

Mengkafankan jenazah

13. Setelah siap diikat renjislah dengan air mawar dan sapulah minyak wangi.

Perhatian

  • Adapun urutan-urutan yang lain bermula daripada hamparan kain kafan hingga direnjis air mawar adalah sama sahaja antara jenazah lelaki dan perempuan.
  • Sekiranya sukar diperolehi kain yang banyak memandai dibalut dengan sehelai kain atau lima kain yang dibalut sekaligus semuanya tanpa perlu dibuat baju, kain, dan tudung.

Selesai dimandikan dan dilafazkan, barulah boleh disolatkan jenazah kerana solat jenazah tidak sah dilakukan jika belum dimandikan dan dikafankan.

Hukum-Hukum Berkaitan Kafan Jenazah

Mengkafankan jenazah

Berikut adalah beberapa hukum dan persoalan yang mungkin timbul semasa proses mengkafankan jenazah dijalankan:

Si Mati Berwasiat Menggunakan Kain Kapan Yang Telah Disediakannya

Bagaimana sekiranya semasa masih hidup, si mati sempat berpesan kepada warisnya supaya mengkapankan jasadnya menggunakan kain yang disediakan oleh si mati? Adakah permintaan si mati itu perlu ditunaikan ataupun tidak?

Dalam persoalan ini, terdapat beberapa perbezaan pendapat yang berlaku. Syeikh Ibnu Hajar Al-Haithami dan yang lain-lain berpendapat, si mati wajib dikapankan menggunakan kain yang diberikan.
 
Ini dibandingkan (diqiaskan) dengan situasi si mati berpesan kepada warisnya supaya membayar hutang si mati menggunakan harta pusaka si mati. Dalam keadaan ini, waris wajib membayar hutang si mati menggunakan harta pusaka si mati berkenaan.

Jenazah Yang Dikebumikan Tanpa Kapan

Sekiranya jenazah dikebumikan tanpa kain kapan dan kuburnya sudah pun dikambus, maka jangan pula kubur berkenaan digali semula hanya kerana mahu mengkapankan jenazah terbabit.
 
Jikalau kubur itu digali semula dan dapat dilihat keadaan jenazah yang tidak berkapan, sama ada kain kapannya sudah dicuri ataupun sudah hancur, maka jenazah itu wajib dikapankan dengan kain yang diambil daripada harta peninggalan si mati itu, ataupun daripada orang yang wajib memberinya nafkah, ataupun daripada harta yang diwakafkan, ataupun harta baitulmal, ataupun daripada harta orang Islam yang kaya.
 
Imam Mawardi berkata, sekiranya harta peninggalan si mati sudah dibahagi-bahagikan, maka tidak wajib kepada waris si mati mengkapankan jenazah sebaliknya, ia hanyalah sunat.
 
Sekiranya jenazah tadi masih mahu dikapankan semula, memadai dengan meletakkan kain kapan di atas jenazah ataupun menutupnya jikalau cara membungkus atau membalut jenazah tidak dapat dilakukan kerana takut jenazah menjadi hancur.
 
Jikalau jenazah sudah dimakan oleh binatang, maka meninggalkan urusan mengkapankan jenazah itu adalah lebih baik. Maka, keputusannya kembali kepada waris si mati.

Apakah Hukum Mencium Jenazah?

Sunat kepada ahli waris tetapi tidak kepada orang lain yang haram disentuhnya. Aisyah RHA pernah memberitahu bahawa Nabi SAW telah mencium Uthman Bin Mazd’un ketika ia telah mati, sehingga jelas kelihatan air matanya mengalir di muka Baginda. (Riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi)

Rujukan

  1. Praktik Solat Jenazah Dan Pengurusannya — Zul Aimran Omar
  2. Ensiklopedia Solat — Rohidzir Rais, Fuad Ismail & Mohd Wahid Abd Hanif
  3. Jihazul Madihah (Persiapan Yang Terpuji) — Ustaz Azhar Idrus
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

2 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
saharudin bin abdul rahman
saharudin bin abdul rahman
3 bulan yang lalu

assalamualaikum….terima kasih atas pencerahan ttg persoalan yg bersangkutan dgn penyelenggaraan jenazah….mohon izin nak copy bahan2 yg tuan share utk dijadikan modul kursus utk anak2 jamaah di surau…