SENARAI PANDUAN PUASA SUNAT : Jenis, Waktu & Niat Puasa

Puasa sunat

Ini adalah panduan lengkap puasa sunat.

Setiap niat dan cara mengerjakan setiap jenis puasa sunat dinyatakan secara lengkap dan terperinci untuk membantu anda.

Kelebihan berpuasa juga disertakan bersama-sama dengan dalil yang sahih.

Semoga panduan ini akan membantu anda..

Pengenalan

surah al hasyr

Memperbanyakkan ibadat sunat adalah perkara yang sangat dituntut dalam Islam.

Dalamnya terkandung pelbagai hikmah dan pengajaran, atas tujuan mendidik diri kita dan juga mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Di dalam kitab Hadis 40 karangan Imam an-Nawawi, ada direkodkan hadis berkenaan perkara ini. Hadis yang menganjurkan untuk melakukan dan memperbanyakkan amalan sunat.

Hadis tersebut telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA di mana Rasulullah SAW bersabda dalam hadis kudsi, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Aku paling suka apabila hamba-Ku mendekati-Ku dengan apa yang Aku telah fardukan ke atasnya dan hamba-Ku mash mendekati-Ku dengan pelbagai amalan sunat hingga Aku mencintainya.

(Riwayat al-Bukhari)

Kelebihan dan fadilat amalan sunat yang terdapat dalam hadis Nab Muhammad SAW di atas adalah bersifat umum dan tidak khusus pada satu jenis ibadat.

Namun, seperti yang selalu diulang-ulang oleh para ulama, ibadat puasa mempunyai kedudukan yang sangat istimewa.

Ibadat puasa adalah amalan yang selalu diamalkan oleh para Nabi, sahabat, dan orang-orang soleh.

Dalam panduan ini, perihal puasa sunat dibincangkan dan dikupas secara menyeluruh dalam bentuk yang paling ringkas. Turut diselitkan cara perlaksanaan ibadat ini dan hikmah di sebaliknya.

Pengertian Puasa

Pengertian puasa dari sudut bahasa membawa maksud menahan diri daripada sesuatu.

Makna puasa secara syarak pula ialah menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sampai terbenam matahari, kerana Allah SWT.

Senarai Puasa Sunat

Bagaimana lafaz niat dan cara puasa sunat dilakukan?

Berikut di bawah saya senaraikan panduan khas bagi setiap puasa sunat yang terdapat dalam agama Islam:

Puasa Sunat Enam Syawal

puasa sunat

Bilakah puasa ini dikerjakan?

Puasa Enam Syawal disunatkan untuk dilakukan sejurus selepas Hari Raya Aidilfitri.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan atau berkemampuan, dibenarkan untuk melaksanakan Puasa Sunat Syawal ini pada waktu lain dalam Bulan Syawal — sama ada secara berasingan atau berturut-turut.


Niat & cara melaksanakan Puasa Sunat Syawal ini boleh dirujuk pada pautan ini:

Puasa Sunat Isnin Khamis

niat puasa isnin khamis

Hari Isnin dan Khamis adalah hari yang istimewa bagi umat Islam.

Ini kerana, semua amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis. Oleh itu, sebagai orang beriman, alangkah baiknya jika kita berada dalam keadaan berpuasa ketika malaikat melaporkan amalan kita.

Selain itu, puasa ini digalakkan kerana ia adalah sunnah Nabi Muhamad SAW sendiri.


Panduan melaksanakan Puasa Sunat Syawal ini boleh dirujuk pada pautan ini:

Puasa Sunat Hari Putih (Ayyamul Bidh)

Puasa sunat Ayyamul Bidh

Apakah yang dimaksudkan dengan “puasa hari putih” atau Ayyamul Bidh ini?

Hari Putih bermaksud hari pada pertengahan bulan Islam, iaitu 13, 14 dan 15 hari bulan Qamariah.

Pada tarikh ini, kita disunatkan berpuasa sebagai tambahan kepada amal ibadah yang lain.


Panduan melaksanakan Puasa Sunat Hari Putih ini boleh dirujuk pada pautan ini:

Puasa Sunat Hari Arafah

Puasa sunat arafah

Wukuf atau Hari Arafah adalah gambaran Padang Masyhar yang semua makhluk dikumpulkan sebelum ke syurga atau neraka untuk umat manusia merenungi hari akhirat.

Ia antara hari yang dimuliakan dan di sisi Allah.

Bagi umat Islam yang tidak berkesempatan menunaikan haji, peluang tetap diberikan oleh Allah untuk mendapat ganjaran iaitu dengan berpuasa pada hari Arafah.


Panduan melaksanakan Puasa Sunat Hari Arafah ini boleh dirujuk pada pautan ini:

Puasa Sunat Asyura

Puasa sunat asyura

Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam.

Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram.

Al-Imam Abu Daud meriwayatkan di dalam Sunan-nya, bahawa Abu Qatadah menceritakan, Rasulullah bersabda:

Sesungguhnya saya mengharap kepada Allah agar menggugurkan dosa setahun yang lalu dengan puasa hari Asyura.”

(Hadis riwayat Daud)

Panduan melaksanakan Puasa Sunat Asyura boleh dirujuk pada pautan ini:

Puasa Sunat Tasu’a

Puasa sunat tasu'a

Apakah maksud Tasu’a?

Tasu’a sebenarnya berasal daripada perkataan “tis’a” yang bermaksud sembilan. 

Oleh itu,puasa sunat ini dilakukan pada setiap 9 Muharram dalam kalendar hijrah Islam.

Kebanyakan orang yang berpuasa Tasu’a adalah untuk melengkapi Puasa Asyura pada keesokan harinya iaitu pada 10 Muharram.

Seterusnya disambung lagi dengan puasa sunat pada 11 Muharram.

Ia bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal (perayaan Yom Kippur).


Panduan melaksanakan Puasa Sunat Tasu’a boleh dirujuk pada pautan ini:

Puasa Sunat Syaaban

Puasa sunat syaaban

Banyak hadis yang menceritakan tentang kelebihan bulan Syabaan ini.

Antaranya ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan Imam al-Bukhari RA melalui Aisyah RAH yang bermaksud:

Maka tidaklah aku melihat baginda SAW berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan tidaklah aku melihat baginda SAW memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban.”

(Riwayat al –Bukhari)

Pada bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam iaitu Malam Nisfu Syaaban.

Ini adalah kerana pada malam tersebut Allah SWT telah memberikan kelebihan kepada hamba-hambanya dan memberi keampunan kepada mereka kecuali yang syirik kepada-Nya.


Panduan melaksanakan Puasa Sunat Syaaban boleh dirujuk pada pautan ini:

Puasa Sunat Nabi Daud

puasa nabi daud

Puasa Nabi Daud AS adalah berpuasa selang sehari, iaitu sehari berpuasa dan sehari tidak, dengan niat beribadat kepada Allah SWT.

Puasa sunat ini adalah salah satu puasa yang disukai oleh Allah SWT.

Dalil puasa ini adalah:

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Rasulullah SAW berkata kepadanya:

Puasalah dengan puasa yang paling baik di sisi Allah iaitu puasa Nabi Daud AS AS. Baginda berpuasa sehari dan berbuka (tidak berpuasa) sehari.

(Riwayat Muslim)

Puasa sunat ini dikecualikan pada hari-hari yang diharamkan berpuasa, iaitu dua hari raya dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah)


Panduan melaksanakan Puasa Sunat Daud boleh dirujuk pada pautan ini:

Panduan Lafaz Niat Puasa Sunat

Panduan lafaz niat puasa sunat

Waktu Berniat Untuk Puasa Sunat

Waktu berniat bagi puasa fardu dan puasa sunat adalah berbeza:

  • Tidak perlu berniat pada waktu malam.
  • Boleh berniat pada siang hari asalkan sebelum gelincir matahari (masuk waktu zuhur) dengan syarat belum melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan bersetubuh.

Diriwayatkan daripada Aisyah RHA beliau berkata:

Nabi Muhammad SAW bertanya kepadaku pada suatu hari, ‘Apakah ada pada kamu sesuatu (bagi dimakan)?’

Jawab Aisyah, ‘Wahai Rasulullah SAW, kita tiada apa-apa (makanan).’

Lantas Baginda berkata, ‘Sekiranya begitu, aku berpuasa (pada hari ini).”

(Riwayat Muslim)

Niat Dengan Lafaz Atau Dalam Hati?

Niat adalah hasrat dalam hati bagi melakukan satu perbuatan.

Dengan kata lain, ia adalah lintasan hati. Antara ungkapan yang masyhur dalam kalangan para ulama adalah an-Niat Mahalluha al-Qalb, yang bermaksud niat itu tempatnya dalam hati.

Perbuatan melafazkan niat dengan lidah tidak menjadi syarat sah niat seseorang.

Seseorang itu dikira berniat apabila terdetik hasrat melakukan satu perbuatan atau ibadat.

Perbuatan melafazkan niat adalah satu usaha bagi membantu dan memudahkan amal ibadat. la bukan syarat dan juga bukan perkara yang salah.

Secara umumnya, melafazkan niat dapat membantu menetapkan niat. Hati menjadi lebih tenang kerana niat, lafaz, dan perbuatan berada dalam tujuan yang sama.

Ketika Berniat, Adakah Perlu Menyatakan Jenis Puasa Sunat?

Tidak perlu menentukan jenis puasa sunat ketika berniat.

Ini pendapat sebahagian bear ulama Mazhab asy-Syafi”i seperti dalam kitab Majmu’ oleh Imam an-Nawawi, Mazhab Maliki seperti dalam kitab Mawahib al-Jalil oleh al-Hatthab, Mazhab Hanbali seperti dalam kitab al-Mughni oleh Imam Ibnu Qudamah, dan Mazhab Hanafi seperti dalam kitab al-Hidayah oleh al- Marghinani.

Oleh itu, sekiranya mahu berpuasa sunat (semua jenis puasa sunat), adalah memadai berniat berpuasa sunat secara umum, contohnya: “Sahaja aku berpuasa sunat esok hari kerana Allah Taala.”

Namun, kita dibenarkan menentukan niat puasa sunat secara khusus.

Sebagai contoh, sekiranya mahuberpuasa sunat pada hari Khamis, dibenarkan berniat begini: “Sahaja aku berpuasa sunat Khamis esok hari kerana Allah Taala.”

Meraih Taqwa Dengan Puasa Sunat

Menurut seorang tokoh silam bernama al-Fudhail bin ‘lyadh, amalan hanya diterima oleh Allah SWT apabila tercapai dua syarat, iaitu:

  1. Amalan dilaksanakan secara ikhlas.
  2. Amalan dilaksanakan berdasarkan ajaran dan petunjuk oleh Nabi Muhammad SAW.

Tambahnya lagi, apabila amalan dilakukan secara ikhlas tetapi perlaksanaan tidak seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW, maka amalan itu tidak diterima.

Apabila amalan dilakukan menepati ajaran Nab Muhammad SAW tetapi tidak dilakukan secara ikhlas, ia juga tidak diterima.

Apabila kita beramal secara ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan menepati sunnah Nabi Muhammad SAW, maka itulah amalan yang terbaik.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata batil, melakukan kebatilan dan kejahilan maka tidak ada keperluan bagi Allah untuk ia meninggalkan makan dan minumnya (Allah tidak berhajat kepada puasanya).”

(Riwayat al-Bukhari)

Jelas menerusi hadis ini, Allah SWT tidak mengingini puasa yang semata-mata meninggalkan makan dan minum pada siang hari tetapi turut ‘berpuasa’ melakukan maksiat, menahan mata daripada melihat perkara yang haram, menahan tangan daripada menyakiti orang lain.

Dalam bahasa yang mudah, seluruh anggota badan turut berpuasa kepada Allah SWT.

Inilah puasa yang dikehendaki oleh Nabi Muhammad SAW seperti sabdanya yang bermaksud:

Bukanlah puasa itu hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum. Bahawasanya puasa itu adalah dengan meninggalkan perbuatan sia-sia dan rafats (bercakap tidak sopan ataupun mencarut). Sekiranya ada orang mencemuh kamu atau berbuat bodoh terhadapmu, maka katakanlah, “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.”

(Riwayat al-Hakim)

Moga-moga puasa kita tidak hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi dipenuhi keberkatan dan ganjaran yang baik daripada Allah SWT, dipenuhi ketakwaan dan keredhaan daripada Allah SWT. Sabda Nab Muhammad SAW yang bermaksud:

Betapa ramai daripada orang yang berpuasa, tiada ganjaran daripada puasanya melainkan lapar sahaja.

(Riwayat Ahmad)

Sungguh rugi, bukan? Sekiranya Allah SWT tidak berkenan dan menerima amalan kita, Allah SWT tidak memberikan kita walaupun sedikit pahala selepas seharian berlapar dan dahaga.

Oleh itu, berusahalah mengikat hawa nafsu. Usahalah mendidik diri sendiri.

Akhirnya, mereka yang beruntung adalah mereka yang seluruh tubuhnya turut berpuasa sehingga Allah SWT mengurniakan mereka sebaik-baik ganjaran.

Kelebihan Berpuasa

kelebihan puasa sunat

Puasa adalah ibadat yang cukup istimewa kerana padanya terdapat 1001 kelebihan.

Apabila diperhati secara teliti, kelebihan ini bersifat holistik dari pelbagai sudut. Ini disebabkan, puasa bukan sahaja berperanan sebagai ‘ibadat’ tetapi juga sebagai pendidik dan penyuci jiwa.

Puasa juga mengajar mengawal hawa nafsu, membentuk akhlak, dan turut mendidik dalam menjaga pancaindera.

Kelebihan-kelebihan in merupakan hasil produk bagi mereka yang benar-benar ikhlas berpuasa, dan bagi mereka yang tidak hanya berpuasa dengan mulut tetapi turut menghadirkan hati bersama-sama.

Kelebihan berpuasa ialah:

1. Puasa adalah jalan menuju takwa

Imam Ibnu Katsir menyatakan bahawa puasa adalah wasilah menuju takwa kerana dalam ibadat puasa, terdapat aspek penyucian jiwa dan pengawalan hawa nafsu (iaitu dengan menutup pintu-pintu yang membolehkan syaitan menghampiri diri).

2. Allah SWT Menjanjikan Kemaafan dan Ganjaran Besar

Melalui Surah al-Ahzab ayat 35, Allah SWT menjanjikan dua perkara kepada orang berpuasa, iaitu:

  • Pengampunan dosa.
  • Ganjaran yang besar. Sebahagian ulama mentafsir sebagai syurga Na’im.

3. Puasa Adalah Perisai

Terdapat beberapa hadis menyatakan fadilat ini, antaranya hadis daripada Utsman bin Abu ‘Ash, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

Puasa adalah perisai menghadang api neraka, seperti perisai kamu dalam peperangan.”

(Riwayat an-Nasa’)

4. Ganjaran Pahala Yang Unik.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Semua amalan anak Adam adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa, ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.”

(Riwayat al-Bukhari)

5. Puasa Sebagai Kafarah Dosa.

Diriwayatkan daripada Huzaifah bin al-Yamani RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Fitnah seseorang pada keluarga, harta, dan tetangganya (mampu) dihapuskan dengan solat, puasa, dan sedekah.”

(Riwayat al-Bukhar)

6. Bau Mulut Wangi di Sisi Allah SWT

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

Bau mulut orang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada harumnya bau kasturi.”

(Riwayat Muslim)

7. Orang Berpuasa Ada Dua Kegembiraan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Orang yang berpuasa ada dua kegembiraan; ketika dia berbuka, dia gembira, dan ketika dia bertemu Tuhannya, dia bergembira dengan puasanya.

(Riwayat Muslim)

8. Puasa Adalah Ibadat Eksklusif, Tiada Seumpamanya

Diriwayatkan daripada Abu Imamah al-Bahili RA. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

Hendaklah kamu berpuasa, sesungguhnya tiada yang seumpamanya.”

(Riwayat an-Nasa’i)

Imam as-Sanadi mengatakan, kemungkinan bermaksud pahala yang sangat banyak.

9. Pintu Syurga ar-Rayyan

Bagi mereka yang banyak berpuasa, Allah SWT menjanjikan mereka pintu ar-Rayyan bagi memasuki syurga. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa’d A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya di syurga terdapat satu pintu yang dinamakan ar-Rayyan, tempat masuk orang-orang yang berpuasa pada hari Kiamat. Tidak dapat masuk melalui pintu itu kecuali orang yang berpuasa. (Lalu) dipanggil (oleh penjaganya), ‘Di manakah orang-orang yang berpuasa?’ Lalu orang-orang yang berpuasa pun bangun dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja. Apabila kesemuanya telah masuk maka pintu itu ditutup dan tidak ada sesiapa yang boleh memasukinya.

(Riwayat al-Bukhari)

10. Syafaat di Akhirat

Ibadat puasa kelak menjadi pemberi syafaat kepada pelakunya pada hari Kiamat. Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Puasa dan al-Quran memberikan syafaat kepada seorang hamba (manusia) pada hari Kiamat. Puasa berkata, Wahai Tuhanku, aku sudah menghalangnya makan, minum, dan bersyahwat pada siang hari, maka berilah aku restu memberikan syafaat kepada dia.’ Al-Quran berkata, Wahai Tuhanku, aku sudah menghalangnya tidur pada malam hari, maka berilah aku restu memberikan syafaat kepada dia. ‘ Lalu kedua-duanya diberikan restu memberikan syafaat.

(Riwayat Ahmad)

Penutup

Bagaimana keadaan kita selepas berlalunya Ramadan?

Persoalan ini sepatutnya selalu berlegar dalam fikira kita sebagai usaha memperbaiki diri.

Semangat Ramadan tidak sepatutnya terhenti begitu sahaja sejurus tiba hari raya.

Sudah tentu ini bukan sesuatu yang mudah, mengekalkan tahap iman dan ibadah Ramadan dalam bulan yang lain memerlukan usaha yang sangat kuat.

Oleh itu, penyelesaian yang paling praktikal adalah ‘berterusan walaupun sedikit’. Amalan yang sedikit apabila dilakukan secara berterusan, lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi terputus-putus.

Semoga panduan ini membantu anda.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments