Bagaimanakah pengurusan jenazah dalam Islam?
Panduan ini akan menerangkan secara lengkap tatacara pengurusan jenazah bermula dari saat seseorang itu meninggal dunia ..
… sehinggalah ke saat dia diturunkan ke liang lahad.
Apa yang penting:
Setiap proses akan diterangkan secara langkah demi langkah, dan disertakan dengan ilustrasi bergambar untuk memudahkan anda faham.
Jika anda memerlukan panduan berkaitan topik ini, mari kita mulakan..
- Pengenalan
- Gambaran Proses Pengurusan Jenazah
- Apa Yang Perlu Dilakukan Kepada Orang Yang Sedang Nazak?
- Sunah Apabila Mendengar Sesuatu Kematian
- Perkara Yang Perlu Dilakukan Sejurus Berlaku Kematian
- Tatacara Memandikan Jenazah
- Kaedah Mengkafankan Jenazah
- Panduan Mengerjakan Solat Jenazah
- Mengusung & Mengiringi Jenazah
- Tatacara Mengebumikan Jenazah
- Penutup
Pengenalan
Sebesar-besar ujian yang terpaksa dilalui oleh setiap orang adalah ujian kematian.
Lebih dirasai apabila kematian itu melibatkan insan-insan terdekat yang disayangi.
Tiada ungkapan yang dapat menenangkan melainkan kita akur untuk menyerahkan semula insan tersayang itu kepada tuannya yang asal iaitu Allah SWT.
Maka daripada Dia kita datang dan kepadaNya juga kita akan pulang. Inilah putaran alam. Inilah aturan setiap kehidupan.
Di mana kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.
— Surah al-Nisa’ 4: 78
Oleh itu, apabila berlaku kematian ke atas seorang Muslim, maka menjadi kewajipan kepada penduduk Islam setempat yang masih hidup untuk menguruskan jenazahnya.
Inilah kemuliaan sekujur jasad yang bernama manusia.
Ketika hidup dimuliakan serta diberikan hak-hak wajib kepadanya, dan apabila mati masih tertinggal hak-haknya untuk diurus oleh orang yang masih hidup.
Maka, setiap orang Islam wajib mengambil tahu urusan pengurusan jenazah, setidak-tidaknya perkara wajib iaitu asasnya sahaja.
Gambaran Proses Pengurusan Jenazah
Jenazah yang terlantar di tempat pembaringan sudah tidak mampu berbuat apa-apa melainkan hanya berserah kepada mereka yang masih hidup untuk menguruskannya.
Oleh sebab itu, Islam telah mewajibkan kepada kita yang masih hidup untuk menguruskan empat perkara bagi pihak jenazah itu:
Memandikan Jenazah
Kafankan Jenazah
Solat Ke Atas Jenazah
Kebumikan Jenazah
Inilah empat perkara yang wajib dilakukan ke atas semua jenazah Islam termasuk pelaku maksiat, bahkan mati kerana membunuh diri sekalipun, kecuali mati syahid (hanya kafan dan kebumikan sahaja).
Apa Yang Perlu Dilakukan Kepada Orang Yang Sedang Nazak?
Apa yang harus kita lakukan kepada orang yang hampir ajalnya?
Kepada orang yang menyayangi saudaranya yang hampir ajal, jika boleh halakan kakinya mengadap kiblat dengan ditinggikan sedikit pada bahagian kepala serta luangkan masa disisinya dengan melakukan perkara berikut:
1. Talkinkan
Talkin ialah mengajarkan kalimat seperti di bawah secara perlahan-lahan di telinganya:
Laa iLaHa ilLallah
Hukumnya:
Hukum talkinkan kepada mereka yang hampir ajalnya, adalah sunat.
Namun begitu, amatlah dituntut supaya tidak meninggalkannya kerana kelebihannya sangat besar.
Sekiranya orang yang hampir meninggal susah menyebutnya, usahlah didesak berkali-kali, kecuali jika dia bercakap perkataan lain selepas itu.
Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW:
Sesiapa yang mati dalam keadaan dia tahu bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah (Kalimah La Ilaha illallah) maka dia masuk syurga
(Riwayat Muslim)
Bagaimana kita tahu, orang yang hampir ajalnya itu sudah menyebut la ilaha illallah, jika dia tidak mampu bercakap lagi?
Caranya dengan melihat kepada pergerakan mulut dan lidahnya. Jika bergerak-gerak atau bergetar-getar selepas ditalkinkan, memadailah.
Begitu juga sekiranya dia telah memberi isyarat yang menunjukkan dia telah pun menyebutnya seperti mengangguk kepala.
Tujuan talkin adalah supaya orang yang hampir ajal itu sentiasa mengingati Allah SWT dalam hatinya, pada akhir hayatnya di dunia ini.
2. Membacakan Surah Yasin Kepadanya
Sabda Rasulullah SAW:
Bacakan Surah Yasin kepada orang yang mati dalam kalangan kamu.
(Riwayat Abu Daud)
Hadis ini umum, dimana Rasulullah SAW tidak menetapkan waktu-waktu bacaannya.
Oleh sebab itu, sebahagian ulama membolehkan dibacakan Surah Yasin kepada orang yang hampir mati.
Tambahan pula al-Quran itu sendiri tersirat pelbagai penawar antaranya apabila al-Quran dibacakan, para malaikat akan datang mendengar dan bersamanya rahmat.
Hukumnya:
Sunat dibacakan surah Yasin kepada yang hampir mati dan selepas matinya.
Khususkan niat bacaan agar dipermudahkan urusannya, serta dikurangkan kesakitan ketika ambang kematian.
Selain itu, surah Yasin juga boleh dibacakan kepada jenazah yang telah meninggal dunia, sama ada dibacakan sebelum dikebumikan atau selepas dikebumikan (ini juga berdasarkan umumnya hadisnya di atas)
Sunah Apabila Mendengar Sesuatu Kematian
Kepada orang yang masih hidup, apabila mendapat berita tentang sesuatu kematian, lakukanlah perkara-perkara berikut:
1. Ucapkanlah “Innalillahi Wa Inna Ilaihi RaaJi’Unn”
Inna Lillahi Wa Inna iLaiHi RaaJi’un
Maksudnya:
Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali
Hukumnya:
Hukumnya adalah sunat. Ucapan ini juga boleh digunakan dalam apa-apa jua musibah yang lain selain kematian seperti banjir, gempa bumi dan sebagainya.
Asas kepada perbuatan ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
Apabila ditimpa sesuatu musibah ke atas kamu, ucaplah Ψ₯ΩΩΩΩΩΨ§ ΩΩΩΩ ΩΩΨ₯ΩΩΩΩΨ§ Ψ₯ΩΩΩΩΩΩΩ Ψ±ΩΨ§Ψ¬ΩΨΉΩΩΩΩ
Tujuan ucapan ini adalah sebagai maklum balas dan pengakuan tentang hakikat kehidupan manusia.
Juga tanda kita redha dengan ketentuan Allah SWT yang telah memanggil balik hambaNya yang terpilih dahulu daripada kita.
Dimana sahaja tidak kira waktu berseorangan mahupun berkumpulan, mendengar sahaja berita tentang kematian seseorang, ucaplah ucapan tersebut secara bersendirian.
2. Ucapkanlah Ucapan “Takziah”
Dituntut juga kepada mereka yang masih hidup apabila mendengar kematian untuk mengucapkan takziah.
Bezanya ucapan takziah ini dengan ucapan di atas adalah ia diucapkan terus kepada keluarga si mati sama ada secara bersemuka, telefon atau apa jua wasilah yang boleh disampaikan ucapan itu kepada keluarga si mati.
Ucapan ini juga sebenarnya mampu mengeratkan hubungan silaturahim bersama keluarga si mati, sekalipun selepas ketiadaan si mati.
Inilah yang dikehendaki oleh agama kita.
Hukumnya:
Hukumnya adalah sunat. Lebih-lebih lagi jika si mati itu saudara-mara, kenalan rapat, atau sesiapa sahaja yang kita kenali ahli keluarganya.
Ucapan takziah ini juga boleh digunakan dalam apa jua musibah selain seperti ucapan di atas.
Asas kepada perbuatan ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
Sesiapa diantara orang Mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya kerana menerima musibah, maka Allah akan memakaikannya dengan pakaian kemuliaan pada hari kiamat kelak
(Riwayat Ibnu Majah)
Tujuannya adalah sebagai rasa simpati serta turut merasai kehilangan si mati.
Diharapkan dengan ucapan ini, akan menghilangkan kesedihan keluarga si mati. Oleh sebab itu, sunat ucapan ini dalam lingkungan tiga hari sahaja selepas sesuatu kematian.
Jika sudah lebih daripada tiga hari, maka tidak disunatkan lagi kerana mungkin emosi keluarga si mati semakin pulih, tiba-tiba ada lagi ucapan yang boleh mengingatkan mereka kepada si mati.
Ini sedikit sebanyak mengganggu emosi mereka.
Kecuali jika berita kematian itu lambat diterima atau seumpamanya.
2. Bawalah Makanan Ke Rumahnya
Apabila berlaku kematian, sudah pasti keluarga si mati dalam keadaan sibuk menguruskan pelbagai hal yang berkaitan dengan pengurusan jenazah.
Pada masa yang sama juga, mereka tidak mampu mengelak daripada didatangi sanak saudara, rakan taulan, atau sesiapa sahaja yang mengenali si mati.
Jadi sudah tentulah keadaan menjadi semakin sibuk, jika urusan makan minum untuk tetamu yang datang diuruskan juga oleh keluarga si mati.
Ini tentunya membebankannya.
Oleh sebab itu, Rasulullah SAW menganjurkan kepada sesiapa yang berhajat menziarahi rumah si mati untuk membawa sedikit juadah untuk dimakan bersama keluarga si mati dan tetamu yang hadir.
Hukumnya:
Sunat hukumnya, namun sebolehnya jangan ditinggalkan kerana ia pernah dibuat oleh Rasulullah SAW.
Asas kepada perbuatan ini adalah apabila datangnya berita tentang kematian Jaafar Bin Abi Thalib kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:
Hendaklah kamu sediakan makanan kepada ahli keluarga Jaafar, kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang menyibukkan (urusan kematian)
(Riwayat at-Tirmizi)
Amalan ini adalah berpaksi atas dasar tolong-menolong sesama Muslim, serta meringankan beban keluarga si mati.
Perkara Yang Perlu Dilakukan Sejurus Berlaku Kematian
Ada beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh waris si mati sejurus kematian (sebelum memulakan kewajipan yang pertama iaitu memandikan jenazah)
1. Pejamkan Mata dan Tutup Mulutnya
Tatkala telah disahkan meninggal dunia, perhatikan keadaan mata dan mulutnya.
Jika terbuka, maka tutuplah matanya dan gunakan kain sebagai tali untuk dililit dari bawah dagu dan diikat di atas kepalanya kerana mengelakkan daripada mulutnya terbuka.
Ini dilakukan sambil membaca doa:
Bismillahi Wa ‘Ala Millati Rasulillah
Sunat menutup mata dan mulut, namun amat tidak elok jika tidak ditutup keduanya.
Asas perbuatan menutup mata ini adalah berdasarkan Rasulullah SAW pernah melakukannya ke atas jenazah Abu Salamah.
Selepas menutup matanya, Rasulullah SAW berkata:
“Sesungguhnya roh apabila dicabut, pandangan matanya akan mengikut (arah keluarnya itu)”
2. Letakkan Pemberat Di Atas Perut Jenazah
Ini untuk mengelakkan daripada dimasuki angin ke dalam perut jenazah.
Hukumnya adalah sunat. Asas kepada perbuatan ini adalah berdasarkan kejadian Sayidina Anas Bin Malik RA pernah menyuruh diletakkan besi ke atas perut jenazah, beliau berkata:
Letaklah ke atas perutnya besi
(Riwayat al-Baihaqi)
3. Langsaikan Hutang Jenazah
Sekiranya waris tahu hutang-hutang si mati yang masih belum dibayar, maka ketika inilah waktu paling sesuai untuk membayarnya jika berkemampuan.
Sebelum dikebumikan, sebolehnya dilangsaikan segala hutang piutangnya.
Ini adalah salah satu cara kita menolongnya, selain daripada berdoa.
Hukumnya:
Hutang wajib dibayar, sama ada sebelum atau selepas dikebumikan, akan tetapi membayar hutang pada ketika ini sangat dituntut.
Asasnya adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Roh seseorang mukmin itu akan tergantung dengan hutangnya sehingga dilangsaikan
(Riwayat at-Tirmizi)
4. Segerakan Pengurusan Jenazah
Jangan dibiarkan jenazah terlalu lama tanpa diuruskan, contohnya seperti menunggu kepulangan seseorang yang memakan masa lebih daripada sehari semalam, atau seumpamanya.
Sekiranya meninggal pada waktu pagi atau tengah hari, maka seeloknya dikebumikan selepas asar jika berkesempatan.
Jika meninggal waktu petang atau malam, maka seeloknya dikebumikan awal pagi keesokkannnya.
- Maklumkan kepada mereka yang berkenaan tentang kematian jenazah. Tujuannya supaya didoakan dan datang bersama-sama menyembahyangkan jenazah.
- Tanggalkan pakaian yang dipakainya dengan berhati-hati, tanpa menampakkan auratnya dan ditukarkan dengan sehelai kain yang menutupi seluruh badannya.
- Letakkan kedua-dua tanganya di atas dadanya seperti mana ketika solat.
- Letakkan jenazah di tempat yang agak tinggi seperti katil dan sebagainya, kaki dilunjurkan ke arah kiblat dan kepalanya ditinggikan daripada kaki, dengan meletakkan bantal dan sebagainya.
- Sapukan minyak atau urutkan pada sendi-sendi sekiranya sukar untuk digerakkan. Ini bagi memudahkan urusan memandikannya nanti.
Tatkala semuanya sudah bersedia, barulah proses pengurusan jenazah yang pertama akan dimulakan itu memandikannya.
Tatacara Memandikan Jenazah
Tujuan disyariatkan mandi ke atas jenazah adalah untuk memuliakan dan membersihkan.
Hukumnya wajib ke atas semua jenazah orang Islam kecuali mereka yang syahid di medan peperangan.
Oleh itu, bagaimana proses untuk memandikan jenazah dalam Islam?
Di sini saya ada menyediakan panduan lengkap tatacara memandikan jenazah dalam Islam, secara langkah-demi-langkah: Panduan Cara Memandikan Jenazah
Kaedah Mengkafankan Jenazah
Selesai dimandikan, proses seterusnya ialah mengkafankannya iaitu dibaluti jenazah dengan pakaiannya yang khusus.
Adakah mengkafankan jenazah ini perlu?
Ya, jenazah wajib untuk dikafankan.
Ini kerana solat jenazah tidak sah dilakukan jika jenazah itu belum dimandikan dan dikafankan.
Ikuti proses mengkafankan jenazah secara langkah demi langkah pada pautan ini: PANDUAN MENGKAFANKAN JENAZAH
Panduan Mengerjakan Solat Jenazah
Apakah maksud solat jenazah?
Solat jenazah bermaksud solat yang dilakukan oleh orang yang masih hidup kepada orang yang mati.
Tujuan solat ini adalah untuk memohon keampunan, keredhaan serta rahmat Allah untuk si mati.
Menurut ijmak ulama, solat jenazah ke atas jenazah yang bukan mati syahid adalah fardu kifayah, iaitu perlu dilakukan oleh sebahagian orang yang masih hidup di kawasan tersebut.
Ikuti panduan lengkap Solat Jenazah secara langkah demi langkah pada pautan ini: NIAT & CARA SOLAT JENAZAH
Mengusung & Mengiringi Jenazah
Setelah selesai mengerjakan Solat Jenazah, maka tibalah masa untuk membawa mayat ke tanah perkuburan.
Perbuatan mengangkat jenazah dituntut ke atas orang lelaki walaupun mayat yang diangkat itu adalah jenazah perempuan.
Hukum perempuan mengangkat jenazah jikalau ada lelaki adalah makruh.
Terdapat juga keadaan perempuan wajib mengangkat jenazah, iaitu ketika ketiadaan orang lelaki.
Kerja mengangkat jenazah bukan sesuatu yang mengaibkan, bahkan ia adalah kerja yang mulia dan berkebajikan.
Ikuti kupasan mengenai hukum dan perkara berkaitan mengusung dan mengiringi jenazah pada pautan ini: PANDUAN MENGANGKAT & MENGIRINGI JENAZAH
Tatacara Mengebumikan Jenazah
Inilah kewajipan terakhir dalam setiap pengurusan jenazah.
Hukum mengebumikan jenazah adalah wajib (fardu kifayah).
Haram hukumnya jika sengaja membiarkan jenazah tanpa dikebumikan kerana akan mencemarkan kehormatannya sama ada baunya atau dipermainkan oleh binatang-binatang buas.
Ikuti panduan lengkap mengebumikan jenazah pada pautan ini: KAEDAH PENGEBUMIAN JENAZAH ISLAM
Penutup
Lazimnya apabila seseorang telah meninggal dunia dan jenazahnya selamat dikebumikan, tamatlah segala-galanya apa yang telah diusahakannya semasa hayatnya di dunia.
Kerana kehidupan di dunia tidak sama dengan kehidupan di alam barzakh. Dan sekarang jenazah itu sedang melalui kehidupannya di alam itu.
Bagi orang beriman kematian itu adalah rahmat dan pasport untuk bertemu dengan Allah SWT dan meraih ganjaran syurga yang sekian lama didambakan.
Sebaliknya, orang kafir meratapinya dan berharap untuk dipanjangkan umur atau dikembalikan ke dunia demi menebus segala kesalahan mereka.
Kepada kita yang masih hidup, pemergiannya ke alam barzakh belum berakhir. Kehidupan si mati memang sudah berakhir, tetapi bagi kita untuknya belum berakhir.
Ada beberapa amalan jika pernah dibuat oleh si mati semasa hidupnya, akan tetap mengalir pahala sampai kepadanya di alam barzakh.
Dan ada amalan, yang jika dibuat oleh warisnya akan tetap mengalir pahala kepadanya di sana.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Apabila mati seseorang, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”
(Riwayat Muslim, Abu Daud, at-Tarmizi dan an- Nasa’i)
Ambillah pengajaran daripada setiap kematian yang berlaku.
Jangan hanya melihat dengan pandangan kosong, pandanglah dengan penuh keinsafan dan carilah hikmah di sebaliknya.
Say berharap sekiranya para pembaca terjumpa kesalahan dapat memaklumkan saya agar memperbetulkannya sehingga ia menjadi panduan yang benar. Allah SWT juga yang membalas usaha kita semua dengan balasan yang sempurna.
Nota Rujukan
- Kitab Jihazul Madihah (Persiapan yang terpuji) — Ustaz Azhar Idrus
- Ensiklopedia Solat β Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif
- Praktik Solat Jenazah Dan Pengurusannya — Zul Aimran Omar
- Panduan Solat Jenazah dan Talqin — Ustaz Mohd Faez Mohd Shah al-Hashimi
- 50 Pencerahan Isu Jenazah & Kubur — Dr. Udah Mohsin
- Soal Jawab Fiqh Ibadah Jilid 2 (Bab Solat Musafir, Jenazah, Zakat & Puasa) — Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah Haji Hussin
Tinggalkan Komen Anda..
Salam alaik Tuan yang dirahmati Allah…Satu perkongsian ilmiah yang penting dalam cabang kehidupan sebagai seorang Islam/Muslim…Saya Mohd, dengan ini memohon izin Tuan, untuk menyalin manaΒ² artikel/terbitan spt gambar/nota dsbg dengan tujuan rujukan, pembelajaran, pengamalan dan sebaran ilmu.Terima kasih sekali lagi Tuan…Hanya Allah dapat membalasnya..Aamiin..
Allahuakbar.. sgt padat dan lengkap. Terima kasih atas infaq tuan utk kami mendapatkan panduan. izinkan sy share dgn anak murid sy murid2 sekolah rendah. semoga asbab ini tuan masuk ke syurga. aamiin
Allahuakbar, alhamdulillah. Terima kasih atas apresiasi dan doa yang baik. Saya izinkan puan untuk berkongsi panduan ini dengan anak-anak murid sekolah rendah.
Semoga perkongsian ini membawa manfaat kepada generasi muda dan menjadi amal jariah buat kita semua. Moga Allah SWT menerima usaha ini dan menjadikannya asbab untuk kita semua ke syurgaNya. Aamiin.
Assalamualaikum tuan , izinkan saya menyalin untuk membuat rujukan ..
Mantap!!!!!!