PANDUAN MENGANGKAT & MENGIRINGI JENAZAH

Salah satu perbuatan yang dituntut Islam dalam menguruskan jenazah adalah mengangkat, mengusung dan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Oleh itu, panduan ini akan menerangkan secara lengkap berkaitan dengan proses dan tatacara mengangkat jenazah.

Panduan ini merupakan sebahagian daripada Panduan Pengurusan Jenazah Dalam Islam

Semoga bermanfaat.

Kategori Mengiringi Jenazah

Perbuatan mengiringi jenazah terbahagi kepada dua, iaitu:

KATEGORI 1

Mengiringi jenazah dari rumahnya hingga tempat solat (masjid atau surau) kemudian bersolat jenazah.

KATEGORI 2

Mengiringi jenazah dari rumahnya, bersolat jenazah untuknya dan menunggu sehingga siap dikebumikan.

Bagaimanapun, kategori yang kedua lebih baik berdasarkan:

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

Barangsiapa yang mengiringi jenazah dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan dan dia bersamanya (jenazah) sehingga ia disolatkan dan telah dikebumikan maka dia pulang dengan mendapat pahala dua qirath, pada setiapnya seperti bukit Uhud. Dan barangsiapa yang bersolat ke atas-nya dan pulang sebelum ia (jenazah) dikebumikan maka dia pulang dengan pahala satu qirath.

Orang Yang Dituntut Bagi Mengangkat Jenazah

cara angkat jenazah

Setelah selesai mengerjakan Solat Jenazah, maka tibalah masa untuk membawa mayat ke tanah perkuburan.

Perbuatan mengangkat jenazah dituntut ke atas orang lelaki walaupun mayat yang diangkat itu adalah jenazah perempuan.

Hukum perempuan mengangkat jenazah jikalau ada lelaki adalah makruh.

Terdapat keadaan perempuan wajib mengangkat jenazah, iaitu ketika ketiadaan orang lelaki.

Kerja mengangkat jenazah bukan sesuatu yang mengaibkan, bahkan ia adalah kerja yang mulia dan berkebajikan.

Imam Nawawi menyatakan dalam Syarah Muslim,

‘Perempuan tidak dituntut mengangkat jenazah kerana dia lemah dan boleh jadi terbuka auratnya ketika mengangkat”.

Cara Mengangkat Jenazah

hantar jenazah

Perbuatan mengangkat mayat dengan kelakuan yang menghina jenazah seperti mengangkat menggunakan karung, tangan, atas bahu, ataupun dengan cara yang dikhuatiri menyebabkan jenazah terjatuh ataupun terhenjut-henjut di atas adalah haram.

Tidak boleh juga melentangkan mayat bag menghinanya melainkan jikalau takut mayat itu berubah kerana ketiadaan pengusung ataupun kerana ia dicuri orang.

Maka, tidak mengapa mayat itu diangkat dengan ditapu atas tangan ataupun dipikul.

Bagi jenazah kanak-kanak, harus mengangkat mereka dengan meletakkan jenazahnya di atas tapak tangan sekalipun terdapat pengusung.

Ini kerana, apabila cara itu dilakukan kepada jenazah kanak-kanak, ia tidak menunjukkan penghinaan.

Sunat mengangkat jenazah perempuan dengan sesuatu yang menutupi semua badannya supaya tidak menampakkan apa-apa daripada tubuhnya.

Selain itu, haram menutup jenazah menggunakan kain sutera ataupun yang berbenang emas walaupun untuk jenazah perempuan.

Ini seperti yang difatwakan oleh Ibnu Solah. Namun, tidak menjadi satu kesalahan menutup jenazah menggunakan kain yang tertulis ayat Al-Quran, tetapi tidak boleh menulis ayat Al-Quran pada kain kapan kerana ia terdedah kepada najis.

Ini termasuk juga semua Asmaul Husna, nama para malaikat, dan nama para rasul.

Mengangkat jenazah menggunakan pengusung tiga segi adalah lebih baik daripada pengusung empat segi.

Apa yang dimaksudkan dengan pengusung tiga segi adalah yang pengusung yang sempit di bahagian dua hujung di hadapan, manakala luas pada bahagian dua hujung di belakang.

Kepala jenazah diletakkan pada bahagian yang sempit dan diangkat oleh tiga orang. Seorang memegang dua kayu di hadapan, lalu dimasukkan kepalanya di antara kedua-dua kayu itu.

Kemudian, ia diletakkan di atas kedua-dua bahunya dan dia berjalan terlebih dahulu.

Manakala, dua orang lagi mengangkat dua hujung kayu bahagian belakang dengan meletakkannya di atas bahu.

Jangan biarkan seorang sahaja mengangkat dua kayu yang di belakang walaupun dia adalah seorang yang kuat.

Ini kerana, dikhuatiri dia tidak nampak jalan kerana kepalanya berada di antara dua kayu itu.

Katakan orang yang mengangkat di belakang itu mengangkat pengusung di atas kepala supaya nampak jalan, ia tidak dinamakan mengangkat, tetapi menjunjung.

Ini mampu menyebabkan mayat menggelongsor. Sudah pasti perbuatan itu dianggap sebagai menghina jenazah.

Sunat mendahulukan kepala jenazah ke hadapan menghadap jalan sama ada arah jalan itu mengikut arah kiblat ataupun tidak.

Jikalau orang yang mengangkat di bahagian hadapan itu lemah atau tidak berdaya, maka dua orang lagi akan ditambah.

Seorang memegang kayu di sebelah kanan dan seorang lagi memegang kayu di sebelah kiri. Apabila dicampur, jumlah kesemua mereka yang mengangkat jenazah adalah lima orang.

Sekiranya lima orang itu masih juga tidak mampu mengangkat jenazah, maka jumlah mereka ditambah supaya menjadi tujuh orang.

Kemudian, dijadikan sembilan orang, bergantung kepada keperluan. Bilangan mereka yang mengangkat jenazah adalah sunat dalam angka ganjil.

Kayu pengusung yang empat segi pula adalah yang sama luas pada bahagian dua hujung di hadapan dan belakangnya.

la diangkat oleh empat orang, setiap penjuru seorang.

Sekiranya empat orang tidak berdaya mengangkat jenazah, maka ditambah menjadi enam ataupun lapan orang, bergantung kepada keperluan.

Pengusung empat segi
Pengusung Empat Segi

Mereka yang mengangkat jenazah itu perlu mempunyai ketinggian yang lebih kurang sama antara satu sama lain supaya jenazah tidak tertonggeng.

Selain itu, makruh mengangkat jenazah seorang diri ataupun berdua melainkan ketika mengangkat jenazah kanak-kanak.

Makruh itu berlaku apabila terdapat orang lain di tempat itu.

Makruh juga mengiringi jenazah dengan menaiki kenderaan. Ini kerana dalam sebuah hadith ada menyebut, malaikat mengiringi jenazah dengan berjalan kaki.

Namun, sekiranya terdapat keuzuran, ia tidak menjadi makruh.

Begitu juga apabila menaiki kenderaan ketika pulang dari tanah perkuburan, ia tidak dianggap makruh kerana perbuatan seperti itu thabit daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Di samping itu, sunat berjalan di hadapan jenazah dan hampir dengannya dalam jarak kira-kira apabila seseorang berpaling, mereka dapat melihat jenazah.

Imam Ahmad merekodkan hadith bahawa Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan:

Dan yang berjalan di hadapan jenazah, dekat dengannya.

Imam Nawawi berkata, Imam Syafi’s menyebut dalam kitab Al-Majmu’,

Sesiapa yang ingin mengambil berkat daripada mengusung jenazah dari empat penjuru itu, maka mulakan dengan hujung pengusung di sebelah kiri pada bahagian hadapan.

Usungkan ia di atas bahu kanan, kemudian serahkan ia kepada orang lain.

Selepas itu, ambil pula hujung pengusung di sebelah kiri pada bahagian belakang dan letakkan di atas bahu kanan.

Kemudian, lintas dari arah hadapan jenazah untuk pergi ke sebelah kanan, jangan dari arah belakang supaya tidak dinama dengan berjalan dari arah belakang jenazah.

Ambil pula hujung pengusung di sebelah kanan pada bahagian hadapan dan letakkan di atas bahu kiri.

Kemudian, ambil hujung pengusung di sbelah kanan pada bahagian belakang dan letakkan pula di atas bahu kiri.”

Sunat disegerakan membawa jenazah, dalam gerakan berjalan dan berlari kerana ia disebutkan dalam hadith yang direkodkan oleh jemaah.

Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan:

Segerakan urusan jenazah. Sekiranya dia adalah orang soleh, kamu sudah menghampirkan dia kepada kebaikan. Dan jikalau dia bukan orang soleh, maka kejahatan sudah kamu lepaskan dari bahu-bahu kamu.

Sekiranya dikhuatiri memudaratkan jenazah, angkatlah dia secara perlahan-lahan.

Makruh membuat bising di sisi jenazah ketika membawa ataupun mengiringinya, walaupun dengan membaca zikir dan ayat Al-Quran.

Ini kerana, para sahabat tidak suka kepada suasana bising ketika membawa ataupun mengiringi jenazah.

Sunat sekiranya mendiam diri dan mengingati keadaan kematian kita kelak, fitnah kubur, semua orang yang akan binasa, dan keadaan huru-hara di Padang Mahsyar.

Oleh itu, jangan berkelakuan seperti orang awam yang jahil, menyaringkan suara dengan berzikir dan berkata-kata perihal perkara dunia, maksiat, dan bidaah.

Adab Mengiringi Jenazah

Berikut adalah beberapa adab mengiringi jenazah ke tanah perkuburan:

  • Mengebumikan jenazah dengan segera, tetapi tidak harus tergesa-gesa dengan berlari ketika mengusung jenazah. Orang yang mengiringi jenazah dengan berjalan kaki boleh berada di hadapan, di belakang atau di kiri dan kanan jenazah. Tetapi berada di belakang jenazah adalah lebih baik.
  • Sekiranya orang yang mengiringi jenazah berkenderaan, hendaklah mengiringinya dari belakang.
  • Dibolehkan berkenderaan ketika mengiringi jenazah, tetapi lebih baik berjalan kaki sebagaimana yang dilakukan Rasulullah SAW. Harus menaiki kenderaan untuk pulang selepas pengebumian.
  • Disunatkan berwuduk selepas mengusung jenazah.
  • Tidak menangis dengan kuat atau meraung, menarik pakaiannya dan berguling di atas tanah seperti orang tidak siuman.
  • Tidak menguatkan bacaan zikir atau ayat-ayat al-Quran ketika mengiringi jenazah, kerana perbuatan tersebut menyerupai orang kafir.
  • Tidak diiringi dengan paluan alat muzik seperti gendang dan loceng kerana menyerupai adat orang bukan Islam, seperti penganut Buddha mengiringi orang mati dalam kalangan mereka.

Fadilat Perbuatan Mengangkat Jenazah

Abu Ali Al-Najjar berkata,

“Pernah terjadi suatu ketika jenazah terhenti seketika dan terundur ke belakang, kemungkinan kerana kebanyakan malaikat yang di bahagian hadapan terkebelakang dan terberhenti serta meninggalkan ramai malaikat di belakangnya. Lalu, mereka mempercepatkan langkah seperti yang disebutkan dalam hadith tentang kehadiran 70 ribu malaikat pada majlis pengebumian Saad bin Muaz sehingga bergoncang Arasy disebabkan kematiannya.

Mungkin kerana mencerca nafsu bagi jasad dan mencerca jasad bagi nafsunya maka jadi bersalah-salahan, terkadang ke hadapan dan terkadang ke belakang.

Hukum sunat mengiringi jenazah adalah untuk orang lelaki.

Manakala untuk orang perempuan, hukumnya adalah makruh dan kadangkala menjadi haram jikalau beraku percampuran dengan lelaki asing, meratap, dan berhias.

wanita ikut hantar jenazah

Makruh mengiringi jenazah dengan membawa sesuatu seperti api melainkan sekiranya benar-benar memerlukannya seperti ketika dalam keadaan malam yang gelap.

Dalam keadaan itu, hukum membawa alat seperti api dan sebagainya tidak lagi makruh, terutamanya ketika memasukkan jenazah ke dalam kubur.

Pada ketika itu cahaya sangat diperlukan supaya urusan pengebumian jenazah dapat dilakukan dengan baik.

Di samping itu, tidak sunat untuk seseorang berdiri ketika jenazah dibawa lalu di hadapannya. Ini menurut pendapat Imam Syafi’i dan jumhur imam mazhab.

Sebahagian daripada imam mazhab yang lain berkata, makruh seseorang berdiri (ketika jenazah diusung) kecuali apabila dia dalam keadaan berjalan.

Pendapat ini diselisihi oleh Imam Nawawi berdasarkan kepada pendapatnya yang dipilih dalam kitab Syrah Al-Muhazzab.

Dalam Shahih Al-Bukhari ada merekodkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan:

Apabila jenazah dihantarkan, lalu orang ramai meletakkannya di atas bahu mereka. Jikalau jenazah itu orang soleh, dia berkata, “Segerakan aku.” Sebaliknya, jikalau dia bukan orang yang soleh, dia berkata kepada keluarganya, “Aduh, celakalah kamu. Ke mana kamu mahu membawa pergi dengannya?” Suara itu didengari oleh semua makhluk kecuali manusia. Jikalau manusia mampu mendengarnya, sudah pasti mereka akan pengsan.

Hukum ahli keluarga beragama Islam mengikuti jenazah keluarganya yang kafir dan menziarahi kubur mereka adalah harus.

Al-Bandaniji berkata, apabila jenazah dibawa melalui seseorang, sunat bagi mereka mendoakan jenazah, memuji (sekiranya jenazah itu berhak dipuji), dan sunat juga mengucap:

Maha suci Allah yang tidak mati.

Ataupun:

Maha suci Tuhan yang maha berkuasa lagi maha suci.

(Al-Majmu’)

Rujukan

  • Kitab Jihadul Madihah, Bab Mengangkat Jenazah, Hlm 118 — Ustaz Azhar Idrus
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

2 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Jumahin saleh
Jumahin saleh
6 bulan yang lalu

Assalamualaikum..
Sya jumahin saleh dari serawak,
Soalan saya..ape hukum kalau kita bawa loceng di dalam masjid..loceng sejenis macam loceng hiasan yang sangkut kat zip bag?