Panduan Cara Memandikan Jenazah

cara memandikan jenazah

Bagaimana cara memandikan jenazah?

Ini adalah panduan lengkap tatacara memandikan jenazah dalam Islam, secara langkah-demi-langkah. Setiap langkah disertakan dengan lakaran gambar untuk pemahaman yang lebih jelas.

Mari kira mulakan..

Pengenalan

Apabila berlaku kematian ke atas seorang Muslim, maka menjadi kewajipan kepada penduduk Islam setempat yang masih hidup untuk menguruskan jenazahnya.

Hukumnya adalah fardu kifayah.

Maksud fardu kifayah adalah sekiranya ditinggalkan begitu sahaja jenazahnya tanpa diuruskan, maka berdosalah seluruh penduduk Islam yang berada di tempat tersebut tanpa terkecuali.

Ini bermakna, kewajipan mempelajari tatacara menguruskan jenazah seperti memandikan dan melakukan solat jenazah amat dituntut oleh agama.

Syarat-Syarat Tukang Mandi Mayat

tukang memandikan jenazah
  1. Jenazah lelaki dimandikan oleh lelaki, begitu juga jenazah perempuan oleh perempuan.
  2. Suami boleh memandikan jenazah isterinya dan begitu juga sebaliknya.
  3. Jika jenazah ialah lelaki dan hanya terdapat perempuan ajnabiah, wajib baginya tayamum mayat itu dengan berlapik dan begitu juga sebaliknya.
  4. Orang yang afdal memandikan mayat lelaki ialah anak, cucu, bapa, datuk, saudara, anak saudara, bapa saudara sebelah bapa dan ibu, imam dan pemerintah.
  5. Orang yang afdal memandikan mayat perempuan ialah saudara mara, wali, perempuan asing atau suaminya. 
  6. Mayat budak lelaki atau khunsa besar boleh dimandikan oleh orang lelaki, kemudian perempuan.
  7. Sunat bagi tukang mandi jenazah dalam kalangan orang faqih dan amanah.
  8. Haram memandang aurat mayat kecuali darurat.
  9. Jangan menyentuh aurat mayat kecuali berlapik.

Dua Kaedah Memandikan Jenazah

Terdapat dua kaedah untuk memandikan jenazah, bergantung kepada keadaan:

KAEDAH 1

Memandikan jenazah dengan cara yang paling mudah, terutama sekiranya kekurangan kelengkapan kerana kemiskinan atau keadaan darurat, atau kerana terlalu banyak jenazah yang perlu dimandikan, sepertimana yang berlaku kepada mangsa-mangsa tsunami dan peperangan.

Caranya:

1. Hilangkan najis yang ada pada tubuhaya. 

2 Ratakan air ke seluruh tubuhnya.

KAEDAH 2

1. Memandikan jenazah dengan sempurna dan mengikut sunah.

2. Jenazah hendaklah diletakkan di tempat yang tinggi seperti di atas papan, katil atau tempat mandi jenazah khas. Auratnya hendaklah ditutup dengan kain.

3. Orang yang memandikannya hendaklah mendudukkannya dan menahan badannya dengan tangan kanan dan menggunakan tangan kiri untuk mengurut perut jenazah bagi mengeluarkan semua najis yang ada.

Kemudian, dia hendaklah memakai sarung tangan dan membasuh kedua-dua kemaluan jenazah. Mulut, kedua-dua lubang hidung dan telinga juga dibersihkan dan dipastikan air sampai padanya.

Setelah itu diambilkan wuduk untuk jenazah sebagaimana wuduk orang hidup.

4. Kepala dan muka jenazah hendaklah dibasuh dengan sabun atau sesuatu yang boleh membersihkannya. Rambutnya disikat, dan jika tercabut hendaklah dikebumikan bersama dengannya.

5. Dibasuh dengan sempurna semua bahagian kanan bermula di bahagian tengkuknya. Kemudian bahagian kiri bermula daripada tengkuknya juga. Dengan itu semua tubuhnya telah diratai air.

Ini adalah mandian yang pertama, disunatkan mengulanginya sehingga tiga kali, atau lebih jika perlu.

Disunatkan pada mandian terakhir, mencampurkan air mandian dengan sedikit kapur, sekiranya si mati tidak berada dalam ihram.

Ini berdasarkan satu riwayat al-Bukhari daripada Ummu Atiyyah r.ha., katanya: Rasulullah SAW menemui kami ketika kami sedang memandikan anak perempuannya, sabdanya:

اغسلتها ثلاثا أو خمسا أو أكثر من ذلك إن رأيت ذلك بماء وسدر والجعلن في الآخرة كافورا أو شيئا من كافور

Maksudnya:

Mandikanlah dia sebanyak tiga atau lima kali atau lebih jika perlu, dengan air dan air bidara dan pada mandian yang terakhir dengan wangian atau sedikit daripada wangian.”

(Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, kitab Jenazah: Bab mandi dan wuduk jenazah dengan air dan air bidara)

Siapa Yang Patut Memandikan Jenazah?

Pada asalnya, hukum memandikan jenazah adalah:

  • Lelaki memandikan jenazah lelaki
  • Perempuan memandikan jenazah perempuan

Namun, untuk suami atau isteri yang meninggal maka:

  • Suami boleh memandikan jenazah isteri
  • Isteri juga boleh memandikan jenazah suaminya.

Walau bagaimanapun, dalam memilih siapa yang patut memandikan jenazah, Rasulullah SAW pernah mengingatkan agar dicari orang yang amanah.

Dalam erti kata lain, seorang yang mampu menyimpan rahsia dan tidak mendedahkan segala aib jenazah atau seumpamanya sewaktu memandikannya.

Maka, diutamakan waris-waris si mati untuk memandikannya kerana sudah tentu segala cacat cela atau aib yang terlihat akan disimpan dengan kemas supaya ia tidak diketahui umum memandangkan yang meninggal itu adalah orang yang dikenali dan hampir dengannya semasa hidupnya.

Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud:

Hendaklah orang yang mati itu dimandikan oleh orang yang amanah diantara kamu

— Riwayat Ibnu Majah

Tatacara Memandikan Jenazah

Berikut adalah tatacara memandikan jenazah lelaki dan perempuan secara langkah-demi-langkah di dalam Islam

1. Letakkan mayat di tempat mandi yang disediakan.

Apabila semua kelengkapan tersedia dan orang yang akan memandikan sudah bersedia, alihkan jenazah dari tempat pembaringan ke tempat mandian.

Jangan dimandikan di tempat yang tidak tertutup dan jangan sesekali memandikan jenazah dalam keadaan terdedah auratnya.

cara memandikan jenazah

Aurat jenazah mesti dijaga sepertimana hidupnya.

lakukan dengan penuh penghormatan, lemah lembut, dan jangan diperlakukan dengan kasar.

Begitu juga, elakkan daripada dimasuki oleh orang ramai, melainkan petugas mandian sahaja, iaitu sekitar lima orang atau kurang.


2. Orang yang memandikan mayat hendaklah memakai sarung tangan dengan kemas.


3. Siramkan mayat dengan air biasa dari hujung kepala hingga ke hujung kaki.

Mulakan dengan membasahkan seluruh badan jenazah dengan meratakan air ke seluruh badannya.

cara memandikan jenazah

4. Istinjakkan mayat terlebih dahulu.

Angkat sedikit bahagian kepalanya sehingga paras dada untuk mengeluarkan najis-najis yang berada di dalam perut.

cara memandikan jenazah

5. Tekan perutnya untuk memudahkan najis keluar.

Mengeluarkan kotoran dalam perutnya dengan menekan atau memicit-micit perutnya secara perlahan-lahan dan berhati-hati dengan menggunakan kain alas agar tidak tersentuh auratnya.

cara memandikan jenazah

Sekiranya najis keluar, bersihkan kedua-dua kemaluannya (dengan tangan secara berlapik).


6. Siram dan basuh dengan air sabun.

cara memandikan jenazah

7. Kemudian gosokkan giginya, lubang hidung, lubang telinga, celah ketiaknya, celah jari tangan, kaki dan rambutnya.

Gunakan putik kapas atau seumpamanya untuk membersihkan bahagian-bahagian tersebut.

cara memandikan jenazah

8. Selepas itu siram atau basuh seluruh anggota mayat dengan air sabun juga.

cara memandikan jenazah

Kemudian bilas dengan air yang bersih seluruh anggota mayat sambil berniat:

Lafaz Niat Memandikan Jenazah Lelaki

niat memandikan jenazah

Aku memandikan jenazah lelaki ini kerana Allah Taala

Lafaz Niat Memandikan Jenazah Perempuan

niat memandikan jenazah

Aku memandikan jenazah perempuan ini kerana Allah Taala

PERHATIAN

Lafaz niat ini tidak semestinya dilafazkan, hanya cukup perbuatan memandikan jenazah sudah dikira niat. Namun, sunat dilafazkan sepertimana di atas.


9. Telentangkan mayat, siram atau basuh dari kepala hingga hujung kaki 3 kali dengan air bersih.

Kemudian siram sebelah kanan 3 kali.


10. Siram sebelah kiri 3 kali.


11. Kemudian mengiringkan mayat ke kiri, basuh bahagian lambung kanan sebelah belakang.


12. Mengiringkan mayat ke kanan, basuh bahagian lambung sebelah kirinya pula.

Telentangkan semula mayat, ulangi menyiram dari kepala hingga hujung kaki.


13. Sediakan air kapur barus.

Campurkan sedikit kapur barus ke dalam bekas, baldi dan seumpamanya, kemudian dijirus pada keseluruhan tubuh.


14. Tutup seluruh anggota mayat dengan kain nipis (kain papan).

Siram air yang dicampur dengan kapur barus di atas kain ini dari atas kepala sehingga hujung kaki.


15. Selepas itu, wudukkan mayat:

Lafaz Niat Mewudukkan Jenazah Lelaki

Aku mewudukkan jenazah lelaki ini kerana Allah Taala.

Lafaz Niat Mewudukkan Jenazah Wanita

Aku Mewudukkan jenazah wanita ini kerana Allah Taala

Nota Tambahan

Jika jenazah kanak-kanak lelaki yang belum berkhitan, maka disunatkan untuk ditayamumkan sekiranya najis yang berada di kemaluannya tidak dapat dibersihkan dengan sempurna atau sukar untuk dihilangkan.

Lafaz niatnya:

Sahaja aku tayamumkan jenazah (lelaki) ini kerana Allah Taala


16. Lapkan dengan menggunakan tuala pada seluruh badan mayat

Selesai mandian, keringkan tubuh jenazah dengan tuala dan letakkan tuala atasnya.

Cawatkan bahagian kemaluan mayat dengan cawat yang disediakan dan ditutup seluruh tubuhnya dengan kain.


17. Setelah itu, mayat diusung ke tempat pembaringan untuk dikafankan.

Segala apa-apa yang tercabut daripada anggota mayat, hendaklah dimasukkan ke dalam kapan bersama dengan mayat (contoh: rambut, kuku dan lain-lain)

Beginilah cara mandian jenazah yang sempurna.

Tujuan disyariatkan mandi ke atas jenazah adalah untuk memuliakan dan membersihkan.

Hukumnya wajib ke atas semua jenazah orang Islam kecuali mereka yang syahid di medan peperangan.

Perhatian

  • Semasa proses memandikan jenazah, persiapan untuk mengkafankannya selepas itu mestilah berjalan serentak. Ini bagi mengelakkan jenazah tertunggu-tunggu disebabkan lewat penyediaannya.
  • Sunat hukumnya bagi orang yang memandikan jenazah untuk mandi selepas selesai urusan tugasnya dan disunatkan kepada mereka yang hanya menjadi pembantu untuk berwuduk selepas itu.

Rujukan:

  1. Praktik Solat Jenazah Dan Pengurusannya, Zul Aimran Omar
  2. Ensiklopedia Solat – Rohidzir Rais, Fuad Ismail & Mohd Wahid Abd Hanif
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

4 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Md Noor binIbrahim
Md Noor binIbrahim
6 bulan yang lalu

Assalamualaikum, terima kasih atas info yang sangat berguna dan bermanfaat. Mohon izin download.

mohd yusof bin majid
mohd yusof bin majid
1 tahun yang lalu

saya mohon download. terimakasih Tuan.