
Bagaimana bacaan doa iftitah yang betul?
Artikel ini akan memberi panduan mengenai bacaan doa iftitah yang betul dan dipermudahkan dengan ejaan Rumi.
Hukum berkaitan juga turut dinyatakan.
Semoga membantu mereka yang masih baru belajar solat.
Pengenalan
Ifitah bermaksud pembuka dan dibacakan dalam mana-mana solat fardu.
Doa ini disunatkan untuk dibaca selepas mengangkat takbir (takbiratul ihram)
Terdapat lebih kurang bacaan 12 doa iftitah yang diriwayatkan dalam pelbagai hadis.
Namun dalam konteks umat Islam di Asia Tenggara, kita mengamalkan iftitah seperti dibawah ini.
Lafaz Bacaan Doa Iftitah
Bacaan doa ini adalah seperti berikut:

Transliterasi Doa Iftitah Dalam Rumi

Allaahu Akbaru Kabiiraw

Walhamdu Lillaahi KaTsiiRaw

Wa SubHaaNallaaHi Bukrataw-Wa AsiiLa.

WajjahTu WajHiya LillaDzii FaThaRas-SaMaaWaaTi Wal Ardh

Haniifam-Muslimaw Wamaa Anaa Minal MusyRikiin.

Inna SolaaTii Wa Nusukii Wa MahYaaYa Wa MaMaaTii Lillaahi Robbil ‘AaLamiin.

Laa SyariiKaLahu Wa BiDzaaLika UmirTu Wa Anaa Minal Muslimiin
Maksud Doa Iftitah
Maksudnya adalah seperti berikut:
Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah.
Maha Suci Allah pagi dan petang.
Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam.
Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya.
Tidak ada bersekutu denganNya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.
Hukum Membaca Iftitah

Adakah Wajib Membaca Doa Iftitah ketika Solat Fardu dan Solat Sunat?
Hukum membaca iftitah dalam solat adalah sunat
Ia boleh dibaca ketika solat fardu dan solat sunat.
Membaca doa iftitah setelah takbiratul Ihram merupakan satu tuntutan Nabi SAW.
Ianya merupakan satu bentuk pujian, sanjungan dan mengagungkan Allah SWT.
Terdapat sebegitu banyak hadis yang menunjukkan baginda SAW amat menitikberatkan pembacaan doa iftitah ini.
Walaupun majoriti ulama’ menyatakan membaca iftitah ini hanyalah sunat dan tidak membatalkan solat sekiranya tidak dibaca, namun bagi kita yang benar-benar ingin mengikuti sunnah Nabi SAW serta mempraktikkan suruhannya sebagaimana sabdanya:
”Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”
[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631.]
Maka sewajarnya kita tidak meninggalkan iftitah ini.
Apatah lagi memang telah ada dalil dari Nabi SAW yang menunjukkan bahawa iftitah ini adalah termasuk dalam perkara yang dapat menyempurnakan ibadah solat:
Maksud sabda nabi SAW,
Tidak sempurna solat seseorang sehingga dia menyempurnakan wuduknya sebelum dia bertakbir, memuji Allah ‘Azza wa Jalla, menyanjung-Nya, dan membaca ayat-ayat al-Qur’an yang mudah baginya (dihafalnya)…”
[Sahih: Sebahagian daripada hadis yang panjang yang dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 856.]
Secara ringkasnya, Doa Iftitah:
- Iftitah dibaca pada rakaat pertama sahaja. Kecuali terlupa.
- Iftitah dibaca setelah Takbiratul Ihram dan sebelum surah Al Fatihah.
- Jika seorang lupa membaca doa Iftitah pada rakaat pertama maka boleh membacanya di rakaat kedua.
- Bagi makmum masbuq maka dibolehkan untuk tidak membacanya.
Memahami Takbiratul Ihram

Seperti yang dinyatakan di atas, doa ini dibacakan selepas mengangkat takbir.
Namun apakah yang anda fahami mengenai takbiratul ihram?
Takbiratul ihram ialah lafaz “Allahuakhbar” yang merupakan salah satu daripada rukun solat
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib karramullahu wajhah, daripada Rasulullah bersabda:
Kunci solat itu ialah suci (daripada hadas kecil dan besar), pengharamannya (daripada perkara-perkara yang harus seperti makan dan minum) ialah ucapan takbir dan penghalalannya (melakukan perkara-perkara yang harus seperti makan dan minum) ialah ucapan salam
— Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan al-Darimi
Syarat-syarat Takbiratul Ihram adalah seperti berikut:
- Ketika melafazkan takbiratul ihram hendaklah dalam keadaan yang tetap berdiri, bukannya ketika baru hendak berdiri menunaikan solat.
- Menghadap kiblat ketika melafazkannya.
- Dilafazkan dalam bahasa Arab. Jika tidak mampu mempelajarinya hendaklah dilafazkan dalam bahasa yang mempunyai makna yang sama dengan takbiratul ihram. Tetapi, seseorang itu tetap wajib belajar melafaznya dalam bahasa Arab.
- Mendengar kesemua huruf yang dilafazkan.
- Ketika melafazkan takbiratul ihram, perlulah disertai dengan niat solat.
Was-was Dalam Takbiratul Ihram
Rasa was-was dalam takbiratul ihram merupakan permainan syaitan.
Orang yang terkena penyakit was-was disunatkan membaca “Laa ilaha illallah” sebelum melakukan takbiratul ihram, kerana syaitan akan menjauhkan diri apabila mendengarnya.
Sesetengah ulama berkata bahawa untuk menghilangkan was-was dalam solat, seseorang itu hendaklah membaca “Auuzubillahi mina syaitonirrajim” sebelum melakukan takbiratul ihram.
Soalan Lazim Berkaitan Doa Iftitah

Disini dikumpulkan beberapa soalan-soalan lazim yang berkaitan dengan doa iftitah.
Doa iftitah atau doa pembukaan bukan rukun yang wajib dilakukan. Ia adalah sunat hai’at yang anjurkan dilakukan. Seseorang yang tidak tahu membaca doa ini boleh bersolat tanpa membacanya dan solatnya sah.
Bagaimana pun, dianjurkan supaya mempelajarinya kerana ia adalah sunat hai’at yang besar kelebihannya.
Apabila sudah membaca surah al-Fatihah, tidak boleh lagi membaca doa iftitah kerana ia hanya disyariatkan selepas takbiratul ihram.
Dalam keadaan ini, anda seharusnya tidak membaca doa iftitah dan meneruskan bacaan surah al-Fatihah.
Doa iftitah hendaklah dibaca selepas takbiratul ihram dan sebelum membaca surah al-Fatihah.
Doa iftitah disunatkan dalam semua jenis solat-solat sunat.
Doa iftitah tidak lagi disunatkan sekiranya waktu solat sudah terlalu sempit.
Dalam keadaan masbuk, iaitu orang yang terlewat solat daripada imam, dia tidak lagi dikehendaki membaca doa iftitah.
Tidak disunatkan membaca doa iftitah dalam solat jenazah.
Penutup
Semoga panduan ini dapat membantu anda melaksanakan solat dengan sempurna.
Sasaran utama artikel adalah para pelajar sekolah, orang yang baru belajar solat dan muallaf yang baru memeluk Islam.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan, anda boleh meninggalkan perkara tersebut pada ruangan di bawah.
Tinggalkan Komen Anda..
saya nak tanya,apa beza bacaan musliman dan muslimaw
Salam tuan.. Sy btl2 keliru yg mne 1 bacaan yg betul.. Tlg btlkn sy..
– ALLAHU ( AKBARU ) KABIRAW-
– ALLAHU ( AKBAR ) KABIRAW-
– WALHAMDU LILLAHI ( KATHIRAW -)
– WALHAMDU LILLAHI ( KATHIRAN -)
-( WAJJAHTU ) WAJHIA LILLAZI-
-( INNI ) WAJJAHTU WAJHIA LILLAZI
Perkataan yg dlm kurungan tu..
Mohon pencerahan terima kasih
Assalam, mohon semak sebutan Allahhuakbarukabiro.. saya difahamkan ini bacaan sebenar…bukan Allahhuakbarkabiro… saya buka blog i sebab nak semak bacaan saya mungkin salah sebutan..
Di rakaat ke 2 boleh tak selepas takbir baca semula doa iftitah jika lupa di rakaat pertama ape hukum nya jika boleh apakah hadis sohehnya..
Kalau terlupa baca iftitah – tidak perlu mengulang (bacaan ifititah adalah sunat yang dituntut) Boleh refer kepada Kitab: Mughniy al Muhtaj (Imam al-Syarbini) ms.42
Doa iftitah daripada surah apa
Jazakallahu Khairan. Saya juga ingin mendengar audio doa. Bolehkah buat audio itu downloadable sudah tentu ada ramai lagi yang ingin juga. Saya juga ingin membuat request bolehkah juga tambah malumat mengenai doa ini dari nabi Ibrahim. Saya telah cari ke merata website tetapi tiada malumat mengenainya. The story behind the doa it makes learning it more memorable and interesting.
Assalamualaikum Saudara, saya amat berpuas hati dengan keterangan yang telah diberikan, cukup complete, termasuk dengan soalan , hukum etc, dan juga jelas tidak bercamuk dengan animasi. semuga Allah swt melimpah rahmat buat Saudara dan keluarga semua. Amin Ya Rabbal Alamin.
Mudah untuk anak kecil saya memahaminya. Terima kasih
Bolehkah masukkan doa iftitah dan doa qunut dlm telegram akuislam..
InsyaaAllah nanti saya masukkan.
Alhamdulillah
alhamdulillah :-)
Alhamdulillah atas penjelasan di atas