
Bagaimanakah niat solat yang betul dan sempurna?
Panduan ini akan menerangkan secara lengkap mengenai niat dalam solat yang betul dan tepat dalam solat.
Soal jawab soalan lazim berkaitan niat dalam solat juga turut disediakan bagi membantu anda.
- Maksud Niat
- Syarat Sah Niat Solat
- Makna Qashad, Ta’arrudh dan Ta’yin
- Bahagian Wajib Dan Sunat Dalam Sesuatu Niat
- Qashad Dan Ta’yin Dalam Solat Sunat
- Soal Jawab Berkaitan:
- Adakah niat adalah sebahagian daripada rukun solat ataupun syarat sah solat?
- Kita perlu niat dahulu atau takbirratul ihram dahulu?
- Mengapa kita perlu berniat? Bukankah kita berniat secara automatik apabila melakukan sesuatu perkara?
- Bolehkah angkat takbir tanpa menyebut “Usolli” terlebih dahulu?
- Saya tidak dapat melafazkan niat dalam bahasa Arab. Bolehkah saya lafaz niat dalam bahasa melayu?
- Adakah niat perlu selari dengan takbiratul ihram? Bagaimana sekiranya niat itu hadir lebih awal ataupun sedikit lewat daripada takbiratul ihram?
- Adakah sah solat jika niat tidak disertakan dengan “Lillahi Taala”?
- Saya berniat untuk solat ganti isyak tetapi berubah niat bagi melakukan solat tunai isyak. Adakah ini dibenarkan?
- Saya mengerjakan Solat Zuhur pada lewat waktu. Semasa rakaat kedua, baru saya sedar waktu tersebut sebenarnya sudah Asar. Bolehkah saya ubat niat kepada Solat Asar?
- Saya was-was sama ada sudah niat solat atau tidak ketika takbiratul ihram. Adakah saya perlu ulang semula takbiratul ihram atau berhenti solat dan ulang semula solat?
- Selesai solat, saya baru teringat yang saya tidak menetapkan jumlah rakaat dalam niat ketika takbiratul ihram. Adakah saya perlu ulang solat?
- Nota Rujukan
- Penutup
Pengenalan
Ini adalah bab 3 dari siri panduan solat sempurna.
Untuk bab ini, saya akan menerangkan mengenai rukun solat berkaitan niat dalam solat secara spesifik.
Matlamat panduan ini adalah agar kita semua tahu dan faham mengenai niat dalam solat secara sempurna seterusnya ibadah kita menjadi lebih baik.
Mari kita mulakan..
Maksud Niat
Apakah maksud niat?
Maksud niat adalah seperti berikut:
Niat ialah gerak hati sendiri untuk melakukan sesuatu bersama-sama dengan perbuatannya.
Dan perbuatannya itu bukan dilakukan dengan secara terpaksa.
Firman Allah:
Dan tidaklah mereka disuruh melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas kepadaNya dalam agama…
— Surah al-Bayyinah ayat 5
Ijmak ulama mengatakan perlunya niat dalam solat dan ibadah umum.
Tujuannya adalah untuk:
- Membezakan ibadah dengan adat
- Membezakan ibadah sama ada fardu, sunat atau nazar
- Membezakan jenis-jenis ibadah sama ada solat subuh, zuhur, asar… dll.
Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya amal-amal itu dinilai dengan niat, dan sesungguhnya untuk setiap seseorang pahalanya berdasarkan apa yang dia niatkan.
(Hadis ini masyhur riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim dan selain mereka.
Syarat Sah Niat Solat
Terdapat beberapa syarat sah bagi niat:
1. Hendaklah dilakukan dengan hati 1. Berniat ketika takbiratul ihram iaitu menghadirkan niat bermula dari huruf Alif dalam kalimah َللّٰهُ dan sebelum huruf Ra’ dalam kalimah أَكْبَرُ (disebut muqaranah kamaliyyah).Niat boleh dihadirkan di antara kedua-dua huruf itu (muqaranah ‘urfiyyah)
1. Ketika berniat, 3 perkara ini wajib ada dalam niat:- Qashad, Ta’arrudh dan Ta’yin, jika solat fardu.
- Qashad dan Ta’yin, jika solat sunat yang ada waktu
- Qashad sahaja jika solat sunat Mutlak
Makna Qashad, Ta’arrudh dan Ta’yin Dalam Sesuatu Niat
Para ulama menetapkan beberapa syarat yang perlu ada dalam niat solat.
Dalam melafazkan sesuatu niat, ia akan terdiri daripada tiga komponen.
3 komponen atau perkara ini dikenali sebagai Qashad, Ta’arrudh dan Ta’yin.
Tiga bahagian ini disyaratkan untuk solat fardu.
Untuk solat sunat pula, hanya dua sahaja bahagian yang disyaratkan.
Manakala untuk solat sunat mutlak hanya satu daripadanya disyaratkan.
Tanpa perkara-perkara ini, niat tidak sah dan tidak sempurna.
Istilah | Makna | Merujuk Kepada Sebutan |
---|---|---|
Qashad | Melakukan sesuatu kerana gerak hati sendiri | “Usholli” (Sahaja aku) |
Ta’arrudh / Fardhiyyah | Menyatakan fardu | “Fardu” |
Ta’yin | Menentukan solat fardu apa (Subuh, Zuhur …) | “Zuhri”, “Asri” |
Bahagian Wajib Dan Sunat Dalam Sesuatu Niat

Qashad Dan Ta’yin Dalam Solat Sunat
Jenis solat sunat | Contoh | Mesti ada | Contoh |
(i) Solat sunat yang mempunyai waktu (ii) Solat sunat yang mempunyai sebab | Contoh solat yang mempunya waktu: Solat sunat rawatib Contoh solat yang mempunya sebab: Solat minta hujan dan gerhana | (i) Qashad dan (ii) Ta’yin *Tidak wajib berniat ‘sunat’, tetapi sunat jika berniat ‘sunat’ | أُصَلِّى سُنَّةَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلَّهِ تَعَالَى 1) Qashad: Usolli (sahaja aku) 2) Ta’yin: Qabliyyatan (sebelum) |
Solat sunat mutlak | Solat yang tidak mempunyai waktu dan sebab, semata-mata sunat sahaja | Qashad sahaja | أُصَلِّى رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى Qashad: Usolli (sahaja aku solat) |
Soal Jawab berkaitan Dengan Niat Dalam Solat
1. Adakah niat adalah sebahagian daripada rukun solat ataupun syarat sah solat?
Menurut mazhab Syafi’e dan Maliki, niat termasuk dalam rukun hati (qalbi).
Justeru itu, solat tidak sah tanpa niat atau tanpa niat yang betul.
Sementara pada mazhab Hanbali dan Hanafi dan sebahagian Sarjana mazhab Maliki, mereka menganggapnya sebagai syarat sah solat.
Bagaimana pun, keempat-empat imam mazhab sepakat menyatakan solat tidak sah tanpa niat.
2. Kita perlu niat dahulu atau takbirratul ihram dahulu?
Niat dalam ibadah berbeza dengan rukun-rukun lain.
Ini kerana, niat adalah qasad dan kehendak bagi melakukan sesuatu ketika melakukannya.
Sekiranya niat dilakukan sebelum takbiratul ihram, ia dinamakan azam, iaitu sesuatu yang dicita-cita tetapi belum dilakukan.
Sekiranya seseorang itu bercadang untuk solat zuhur di masjid pada waktu zuhur nanti, itu adalah azam bukan niat.
Takrif niat ini dijelaskan dengan lebih sempurna dalam kitab I’anatul-Thalibin seperti berikut:
(Niat) dari segi syaraknya pula ialah keinginan bagi melakukan sesuatu dengan disertai perbuatan melaksanakan. Iaitu keinginan bagi melakukan sesuatu dalam keadaan ketika menginginkannya itu disertai dengan perbuatan bagi mendapatkan sesuatu itu.
(I’anatul-Thalibin, jilid 1, muka surat 126)
Sekiranya mendirikan solat subuh, niat atau keinginan bagi mendirikan solat subuh dua rakaat semata-mata kerana Allah, perlu hadir dalam hatinya ketika dia melafazkan takbiratul ihram.
3. Mengapa kita perlu berniat? Bukankah kita berniat secara automatik apabila melakukan sesuatu perkara?
Niat dalam ibadah berperanan membezakan sesuatu perbuatan itu sama ada ia menjadi ibadah ataupun sekadar adat kebiasaan.
Perbuatan yang dilakukan sebagai ibadah perlu dilakukan semata-mata kerana Allah, bukan kerana sebab lain ataupun kerana tidak sengaja.
Banyak perbuatan kita yang sama dengan ibadah, tetapi tidak dianggap ibadah kerana tidak dilakukan semata-mata kerana Allah.
Misalnya, mereka yang berpuasa kerana mahu menjaga bentuk badan tidak dianggap sebagai puasa sunat ataupun wajib.
Mereka yang melakukan pergerakan dalam solat yang mirip dengan pergerakan senaman, tidak dianggap ibadah jika dilakukan semata-mata demi menjaga kesihatan.
Mereka yang berada di dalam masjid kerana menunggu rakan tidak mendapat pahala iktikaf sekiranya tidak berniat melakukan iktikaf
4. Bolehkah angkat takbir tanpa menyebut “Usolli” terlebih dahulu?
Niat ialah keinginan hati yang hadir seiring dengan perbuatan.
Memandangkan ia perbuatan hati, sudah tentu empunya diri sahaja yang tahu.
Lafaz Usolli yang diucapkan sebelum takbiratul ihram hanya lafaz niat yang sunat diucapkan.
Mazhab Syafi’e dan Hanbali menghukum lafaz niat sebagai sunat yang bertujuan menetapkan niat dalam hati.
Terdapat perbezaan pendapat dalam mazhab Maliki dan Hanafi yang beranggapan lafaz niat tidak disyariatkan dalam solat.
Kecuali sekiranya, orang yang hendak mengerjakan solat itu was-was.
Oleh yang demikian, semua mazhab utama tidak melarang secara mutlak lafaz niat ini.
5. Saya tidak dapat melafazkan niat dalam bahasa Arab. Bolehkah saya lafaz niat dalam bahasa melayu?
Lafaz niat hukumnya sunat, bukan wajib.
Ia bertujuan membantu hati menetapkan niat.
Oleh itu dibolehkan mengucap lafaz niat dalam bahasa yang difahami.
6. Adakah niat perlu selari dengan takbiratul ihram? Bagaimana sekiranya niat itu hadir lebih awal ataupun sedikit lewat daripada takbiratul ihram?
Sesetengah orang mempunyai masalah sukar untuk berniat serentak dengan takbiratul ihram, sehingga menyebabkan angkat takbir berulang kali.
Berkaitan masalah ini, pendapat muktamad (yang dipegang) dalam mazhab Syafi’e ialah sunat melafazkan niat pada semua ibadah.
Ia diqiaskan kepada perbuatan Nabi SAW bertalaffuzh (melafazkan niat sebelum) ketika mengerjakan haji dan umrah, berpuasa dan berkorban.
Qias adalah salah satu sumber hukum (adillah syar’yyati) dalam mengeluarkan (istinbat) hukum dalam Mazhab Syafi’e
Rasulullah SAW pernah melafazkan niat ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah.
Daripada Anas r.a beliau berkata:
Aku mendengar Rasulullah SAW mengucapkan, ‘Labbaika, (aku menyahut seruan-Mu ya Allah) aku sengaja mengerjakan umrah dan haji.
— Riwayat Muslim1
Imam Ibnu Hajar al-Haitami mengatakan di dalam Tuhfah, bahawa Usholli ini diqiaskan kepada haji.
PENDAPAT ULAMA
Imam Ramli menyebutkan di dalam Nihayah al-Muhtaj, 1/437:
Disunatkan melafazkan apa yang diniatkan sebelum (hampir-hampir) takbiratul ihram (solat) agar lidah dapat membantu hati dan agar menghindarkan daripada was-was.
Di dalam Risalah Ketetapan Majlis Muzakarah ‘Ulama SeMalaya di Kepala Batas, Pulau Pinang setelah merujuk kepada kitab An-Nihayah, At-Tuhfah, Al-Muhazzab, Al-Mughni dan lain-lain dalam mazhab Syafi’e, sebabnya ialah:
- Ia menolong hati untuk lebih tetap untuk solat
- Menjauhkan was-was
- Memelihara qaul (pendapat) yang mengatakan wajib bertalaffuzh.
- Qias pada niat haji seperti dalam riwayat Anas di atas2
Menurut Ustaz Azhar Idrus, siapa yang kesukaran ia berniat di dalam takbir maka diberi kelonggaran atasnya bertaklid kepada pendapat imam Hanafi dan Hanbali yang mengatakan sah berniat sebelum takbir dengan masa yang sedikit.
Maksud masa yang sedikit itu ialah berniat ketika hendak mengangkat takbir.
Perkara ini adalah bersandarkan kaedah الأمر إذا ضاق اتسع yang ertinya:
Suatu perkara itu apabila sempit ia maka dilonggarkan sedikit hukumnnya.”
Maksudnya apabila seseorang itu menghadapai kesukaran untuk menghadirkan niat ketika melafazkan takbir maka diberi kelonggaran hukum baginya untuk berniat sebelum dari takbir.
Begitu juga pendapat Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, niat boleh didahulukan daripada takbir.
Begitu juga, niat tempatnya di dalam hati tetapi melafazkan dengan lidah bagi menghadirkan hati adalah dibolehkan mengikut pendapat yang masyhur di kalangan ulama’ Syafi’iyyah.
7. Adakah sah solat jika niat tidak disertakan dengan “Lillahi Taala”?
Sah solat tanpa menetapkan kerana Allah (lillahi taala), kerana semua ibadah yang kita lakukan hanya untuk Allah.
Tetapi digalakkan mengaitkan perbuatan itu kerana Allah bagi menguatkan rasa hati.
8. Saya berniat untuk solat ganti isyak tetapi berubah niat bagi melakukan solat tunai isyak. Adakah ini dibenarkan?
Tidak sah solat yang berubah daripada solat ganti kepada solat tunai.
Ini kerana, salah satu syarat niat solat adalah tetap jenis solat yang dilakukan — sama ada tunai atau qada, sunat atau fardu.
9. Saya mengerjakan Solat Zuhur pada lewat waktu. Semasa rakaat kedua, baru saya sedar waktu tersebut sebenarnya sudah Asar. Bolehkah saya ubat niat kepada Solat Asar?
Solat yang dilakukan di luar waktunya tidak sah.
Menukar niat kepada solat yang lain juga tidak diharuskan kerana niat memerlukan ketetapan jenis solat yang dikerjakan.
Ini kerana awak sudah memutuskan niat solat fardu yang pertama, sedangkan niat solat fardu yang kedua tidak dilakukan ketika takbiratul ihram.
10. Saya was-was sama ada sudah niat solat atau tidak ketika takbiratul ihram. Adakah saya perlu ulang semula takbiratul ihram atau berhenti solat dan ulang semula solat?
Solat adalah ibadah yang memerlukan niat.
Melakukan solat dalam keadaan syak dan tidak pasti menyebabkan solat tidak sah.
Ulama mazhab Syafi’e menyatakan dalam situasi ini, anda hendaklah berhenti daripada solat itu dan mengulangi semula daripada takbiratul ihram dan niat.
Ini kerana asal sesuatu perkara yang diragui dianggap seperti tiada.
11. Selesai solat, saya baru teringat yang saya tidak menetapkan jumlah rakaat dalam niat ketika takbiratul ihram. Adakah saya perlu ulang solat?
Tidak disyaratkan menetapkan jumlah rakaat setiap solat fardu yang dikerjakan, asalkan ditetapkan jenis solat itu.
Solat anda sah dan tidak perlu diulang.
Tetapi digalakkan menetapkan jumlah rakaat untuk bebas daripada perbezaan pendapat dengan ulama-ulama lain yang mewajibkannya.
Nota Rujukan
Rujukan panduan ini adalah:
- Praktikal Solat Sempurna, Ustaz Muhadir Haji Joll
- Anda Bertanya Ustaz Menjawab Mengenai Solat, Ustaz Rohidzir Rais
- Ensiklopedia Solat A-Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa
- Indahnya Hidup Bersyariat, Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid.
Penutup
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda semua dalam meningkatkan kualiti solat.
Jika ada sebarang persoalan berkaitan topik ini, bolehlah nyatakan hal tersebut pada ruangan di bawah.
Tinggalkan Komen Anda..
aslam ustaz bolehkah kita tidak meggunakan sahaja dalam semua niat………………dan bolehkah kita berniat sesuatu perkara tampa mengikut buku atau lain2
Wassalam. Ya boleh, perkataan sahaja tidak wajib.
kalau untuk sembahyang ustaz adakah wajib ada sahaja??……2)boleh kh kita qada solat dalam sehari berapa banyak kita nk contoh harini qada isyak 3 kali
Terimakasih bnyak
Assalamualaikum ustaz..boleh ka kalau saya bayangkan suatu niat dalam bentuk ayat dalam fikiran saya ketika hendak niat solat sewaktu tangan takbir sudah diangkat…kemudian saya angguk sedikit tanda itu adalah niat saya…sah atau tidak ..sebab saya memang sukar untuk berkata untuk niat solat dalam hati…mohon penjelasan…
Wassalam.
1) Boleh bayangkan ayat dalam fikiran, tiada masalah, cuma tidak perlu angguk.
2) Jika sukar untuk niat serentak dengan takbiratul ihram, boleh niat dahulu kemudian barulah angkat takbir.
Ohh .maksudnya ustaz…boleh la niat dahulu…kemudian baru gerakkan tangan ke atas then niat??sebab mazhab hanafi ngan hanbali kata niat ketika angkat??
Dan satu lagi…jika yang persoalan yang berkaitan niat dalam fikiran tu…kalau dibenarkan…mana lebih diutamakan ..yang terbayang niat dalam bentuk ayat dalam fikiran ke atau niat sebelum takbir…
Assalamualaikum Ustaz, Adakah sah solat sunat saya dimana dalam niatnya saya tambah perkataan TUNAI? kerana saya selalu menambah perkataan TUNAI dalam solat sunat terutama Terawih dan Witir.
Contohnya,
اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً لله تَعَالَى
Sahaja aku solat sunat Terawih 2 rakaat TUNAI kerana Allah Taala
Edit
Assalamualaikum,saya dulu niat aku solat Asar 4 raka,at kerana Allah,tidak jelas taarudhnya kerana tidak tahu,namun saya tidak pula niat untuk solat sunat,qadha atau solat lain ,kerana saya tahu ia solat wajib.perlukah saya qadha semua solat yang telah lakukan?adakah khilaf berkenaan hal ini?,minta pencerahan sebab banyak solat yang saya lakukan.
Lihat pembetulan
Assalamualaikum,saya nk tanya,adakah sah solat jika niat dengan menggunakan mulut tapi tidak niat dalam hati,adakah sah solat?
Wassalam. Ya sah solat.
Sebab jika sudah niat melalui mulut, maka insyaaAllah hati juga akan ikut serta.
Jika memakai telekung tidak tutup dagu dan tak tahu adakah kena qadak solat.dan apabila dah tahu kita perbetulkan
Assalamualaikum ustaz… klau sy niat aku solat fardhu subuh, tpi sy x niat sahaja yg dkt dpn tu boleh ke?
Wassalam. Ya tidak mengapa, niat itu sah