
Bagaimana cara mengerjakan Solat Witir & Doa Witir?
Solat Witir adalah solat sunat yang istimewa dan sangat digalakkan Islam.
Oleh itu, artikel ini akan membimbing anda melaksanakan solat sunat witir secara mudah, langkah-demi-langkah dan boleh difahami oleh semua orang.
Apa yang terbaik:
Setiap bacaan juga dipermudahkan dalam transliterasi RUMI untuk membantu anda membaca teks arab.
Tanpa buang masa, mari kita ikuti panduan ini..
Pengenalan

Apakah maksud Witir?
Solat Sunat Witir bermaksud solat sunat yang ganjil kerana bilangan rakaatnya yang ganjil di mana solat ini diakhiri dengan satu rakaat untuk menjadikannya bilangan yang ganjil.
Ia bersesuaian dengan bilangan rakaat solat sunat ini iaitu satu, tiga, lima, tujuh, sembilan atau sebelas rakaat.
(Sekurang-kurangnya satu rakaat dan sebanyak-banyaknya sebelas rakaat)
Solat witir dilakukan selepas Solat Fardu Isyak. Solat Sunat Witir hukumnya muakkad, iaitu sunat yang amat digalakkan di dalam Islam.
Hukum Solat Sunat Witir

Hukum solat sunat Witir adalah sunat muakkad yakni solat sunat yang amat dituntut.
Solat ini sunat dilaksanakan secara individu tetapi ketika di dalam bulan Ramadan, pelaksanaan solat ini dituntut secara berjemaah setelah selesai menyempurnakan Solat Sunat Tarawih.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansari bahawa Nabi bersabda:
Solat witir itu adalah hak (disyariatkan) tetapi tidak wajib. Oleh itu, sesiapa yang suka untuk solat witir dengan lima rakaat, maka lakukanlah, sesiapa yang suka untuk solat witir dengan tiga rakaat, maka lakukankah dan sesiapa yang suka untuk solat witir dengan satu rakaat, maka lakukanlah.
(Hadis riwayat Abu Daud)
Daripada Ali bin Abu Talib diriwayatkan bahawa setelah Nabi selesai melaksanakan solat sunat Witir, Baginda pun bersabda:
Wahai ahli al-Quran, berwitirlah kamu kerana Allah ‘azza wajalla menyukai sesuatu yang ganjil.
(Hadis riwayat Abu Daud)
Waktu Solat Witir

Bilakah Waktu Mengerjakan Solat Witir?
Waktu mengerjakan solat witir ialah sepanjang malam, selepas Solat Isyak sehingga terbit fajar sadiq pada waktu Subuh.
Justeru itu, tidak dikira sebagai solat Witir jika dilaksanakan sebelum menunaikan solat Isyak sama ada solat Witir itu dilakukan secara sengaja ataupun terlupa kerana solat ini terkait dengan syarat iaitu pelaksanaannya adalah selepas solat Isyak.
Ini berdasarkan riwayat Amru bin al-Ash daripada Abu Basrah al-Ghifari bahawa Baginda SAW bersabda, maksudnya:
Allah menambah untuk kamu satu solat, iaitu solat witir. Oleh itu solatlah kamu di antara solat Isyak sehingga solat Subuh
— Riwayat Ahmad dalam Masnad Ahmad
Namun, bagi orang yang menjamakkan solat Isyak bersama Solat Maghrib secara jamak taqdim (Solat Isyak dalam Waktu Maghrib), maka dia boleh melakukan solat sunat Witir selepas solat jamak tersebut meskipun belum masuk waktu Isyak.
Ini kerana syarat sah solat sunat Witir adalah dilaksanakan selepas solat Isyak.
Sunat melewatkan solat Witir sebagai penutup bagi solat Tahajjud atau solat malam jika seseorang itu ingin melakukan Tahajjud sekalipun dia sudah tidur sebelum itu.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar bahawa Nabi bersabda:
Jadikanlah penutup solat malam kamu sebagai solat Witir.
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebaliknya, jika dia tidak ingin melakukan solat Tahajjud, maka sebaik-baiknya solat sunat Witir dilaksanakan selepas solat Isyak atau Sunat Ba’diyah Isyak.
Hal ini berdasarkan hadis daripada Jabir bin Abdullah bahawa Nabi bersabda:
Sesiapa yang bimbang tidak dapat bangun pada akhir malam, maka lakukanlah solat Witir pada awal malam (selepas solat Isyak) dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam, maka lakukanlah solat Witir pada akhir malam.
(Hadis riwayat Muslim)
Sebaiknya dikerjakan sebagai pelengkap dan penutup Solat Tahajjud atau Solat Tarawih.
Nota
Jika dia sudah melaksanakan solat Witir, kemudian dia melakukan solat Tahajjud atau solat sunat yang lain pada akhir malam, maka dia tidak perlu mengulangi solat Witirnya untuk kali yang kedua dan hal itu dibolehkan.
Ini kerana dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda bahawa tidak ada dua solat Witir dalam satu malam.
Jumlah Rakaat Witir
Berapakah jumlah rakaat Solat Witir?
Bilangan rakaat Solat Witir adalah dalam bilangan ganjil.
Cara mengerjakan witir ialah satu salam bagi setiap dua rakaat, dan ditambah satu rakaat dihujungnya dengan satu salam.

Maksudnya ialah:
- Satu Rakaat – 1 kali satu rakaat
- Tiga Rakaat – 1 kali dua rakaat dan satu rakaat lagi secara berasingan.
- Lima Rakaat – 2 kali dua rakaat dan satu rakaat lagi secara berasingan.
- Tujuh Rakaat – 3 kali dua rakaat dan satu rakaat lagi secara berasingan.
- Sembilan Rakaat – 4 kali dua rakaat dan satu rakaat lagi secara berasingan.
- Sebelas Rakaat – 5 kali dua rakaat dan satu rakaat lagi secara berasingan.
Dalam kitab Mughni al-Muhtaj, disebutkan bahawa bilangan rakaat Solat Sunat Witir terbahagi kepada tiga bilangan:
Rakaat Witir Paling Minimum
Sekurang-kurangnya rakaat solat witir ialah satu rakaat atau tiga rakaat menurut pendapat sebahagian ulama’ Mazhab Syafi’e
Melakukannya secara dua rakaat dengan satu salam dan satu rakaat lagi berasingan.
Rakaat Yang Dicadangkan
Boleh juga dengan lima, tujuh dan sembilan rakaat.
Rakaat Witir Yang Paling Sempurna
Sementara yang paling sempurna ialah melakukannya sebanyak sebelas rakaat dengan mengucap salam setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat.
Dalilnya adalah berdasarkan hadis:
Solat witir adalah hak setiap Muslim. Sesiapa yang mahu solat witir lima rakaat, lakukanlah. Dan sesiapa yang suka melakukan solat witir tiga rakaat, lakukanlah. Dan siapa yang suka melakukan solat witir satu rakaat, lakukanlah
(Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Solat: Bab berapa bilangan witir)
Niat Solat Witir
Oleh kerana Solat Witir dilakukan secara 3 rakaat dengan 2 salam, maka kita kita perlu niat sebanyak 2 kali.
Niat Solat Witir 2 Rakaat
Untuk bahagian solat sunat witir yang dua rakaat pertama, niatnya adalah:

Usolli Sunnatal Witri Rak’ataini Lillahi Ta’ala
Niat Dalam Melayu:
Sahaja aku solat sunat witir dua rakaat kerana Allah Taala.
Niat Solat Witir 1 Rakaat
Untuk bahagian solat witir yang satu rakaat terakhir, lafaz niatnya ialah:

Usolli Sunnatal Witri Rak’atan Lillahi Ta’ala
Niat Dalam Melayu:
Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala
Cara Mengerjakan Solat Witir
Bagaimana cara mengerjakan Solat Witir?
Cara Solat Witir dari segi pergerakan adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain.
Pertama sekali, lakukan Solat Witir secara 2 rakaat terlebih dahulu. Kemudian, barulah lakukan Solat Witir satu rakaat (rakaat ketiga)
Di bawah ini merupakan cara melaksanakan solat Sunat Witir secara langkah demi langkah:
Rakaat Pertama
1. Solat Dimulakan Dengan Takbiratul ihram.

Niat Solat Sunat Witir Dua Rakaat
Semasa mengangkat takbir, bacakan niat Solat Sunat Witir dalam hati:

Usolli Sunnatal Witri Rak’ataini Lillahi Ta’ala
Atau niat dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku solat Sunat Witir dua rakaat kerana Allah Taala
* Niat solat juga boleh dilafazkan sebelum mengangkat takbir.
2. Bacalah Surah al-Fatihah.
Pada kebiasaannya, solat sunat terus dibaca al fatihah tanpa doa iftitah terlebih dahulu.
Tetapi jika ingin membaca iftitah juga, maka ia adalah perbuatan sunat (dapat pahala membaca)

Surah al-Fatihah adalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam semua solat.

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
3. Kemudian, Bacalah Surah al-A’la
Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula surah daripada surah al-Quran.
Secara umumnya, tiada penetapan khas untuk pembacaan surah bagi solat ini. Anda bebas membaca mana-mana sahaja surah selepas al-Fatihah.
Antaranya surah yang boleh dibaca adalah al-A’la:

Maksudnya:
Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan), Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya; Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); Dan Yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak, Kemudian Ia menjadikan (tumbuh-tumbuhan yang menghijau) itu kering – (berubah warnanya) kehitam-hitaman. Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu – dengan perantaraan jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa, Kecuali apa yang dikehendaki Allah engkau lupakan; sesungguhnya Ia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), dan yang tersembunyi. Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) Agama yang mudah diterima oleh akal yang sihat. Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna); Kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu; Dan (sebaliknya) orang yang sangat celaka akan menjauhinya, Dia lah orang yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar (azab seksanya), Selain dari itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang. Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu – berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh), Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang (dengan khusyuk). (Tetapi kebanyakkan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia; Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam Kitab-kitab yang terdahulu, Iaitu Kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.
Anda juga boleh baca surah-surah yang lain selain al-A’la
4. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.
Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:

SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih
5. Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:


Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh
6. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
7. Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Baca bacaan antara dua sujud:

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni
8. Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
9. Duduk Istirahat Seketika Sebelum Bangun Untuk Rakaat Kedua.
Sebelum bangun ke rakaat kedua, duduk istirahat sebentar (lebih kurang 3 saat) sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya.

Rakaat Kedua
10. Rakaat Kedua Dimulai Dengan Lafaz Takbir intiqalat
Selepas bangun dari duduk istirahah, maka bertakbirlah untuk rakaat kedua.
(Takbir intiqalat bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).

11. Baca Surah al-Fatihah
Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah.

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
12. Seterusnya Membaca Surah Al-Ikhlas
Selesai membaca al-Fatihah, maka bacalah pula surah al-ikhlas

Qul Huwallāhu Aḥad. Allāhuṣ-Ṣamad. Lam Yalid Wa Lam Yūlad. Wa Lam Yakul Lahū Kufuwan Aḥad
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
- Seperti rakaat pertama, kita bebas untuk membaca mana-mana surah yang kita mahu dan ingat.
13. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.
Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:

SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih
14. Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:


Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh
15. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
16. Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Baca bacaan antara dua sujud:

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni
17. Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
18. Bangun Dari Sujud, Terus Lakukan tahiyyat akhir

19. Selesai Tahiyat, Solat Diakhiri Dengan Memberi Salam.
Akhir solat dengan memberi salam dua kali, bermula dari kanan kemudian memalingkan muka ke kiri.

Palingkan muka ke sebelah kanan, dan ucapkan salam seperti berikut:

Assalamualaikum Warahmatullah
Maksudnya:
Salam sejahtera untuk kamu, juga rahmat Allah dan berkatNya
… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:

Assalamualaikum Warahmatullah
Selesai memberi salam pada rakaat kedua, terus bangun berdiri untuk lakukan rakaat yang seterusnya iaitu rakaat ketiga (terakhir).
Rakaat Ketiga (Rakaat Terakhir)
20. Sama seperti permulaan solat rakaat pertama, berdirilah tegak untuk takbiratul ihram

Niat Solat Witir 1 Rakaat (Terakhir)
Semasa mengangkat takbir untuk rakaat ketiga, bacakan niat solat witir dalam hati:

Usolli Sunnatal Witri Rak’atan Lillahi Ta’ala
Niat Dalam Melayu:
Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala
21. Bacalah Surah al-Fatihah.

Seperti rakaat pertama, anda boleh memilih untuk membaca Doa Iftitah mahupun terus membaca al-Fatihah.
Seperti yang anda sudah maklum, Surah al-Fatihah adalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam semua solat.

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
22. Membaca Surah Selepas al-Fatihah
Untuk bahagian rakaat yang ketiga, selepas al-Fatihah pada kebiasaannya dibaca 3 surah ringkas.
Oleh itu, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan surah An-Nas.
Bacaan surah Al-Ikhlas:

Qul huwallahu ahad. Allahus-samad. Lam yalid wa lam yuulad. Wa lam yakul lahuu kufuwan ahad.
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”
Bacaan surah Al-Falaq:

Qul A’uzu birabbil-falaq. Min syarri maa khalaq. Wa min syarri ghasiqin izaa waqab. Wa min syarrin-naffasati fil-uqad. Wa min syarri haasidin izaa hasad.
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menguasai Subuh, Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan. Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk. Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.
Bacaan surah An-Nas:

Qul a’uzu birabbin-nas. Malikin-nas. Ilahin-nas. Min syarril-waswasil-khannas. Allazii yuwaswisu fi sudurin-nas. Minal jinnati wan-nas.
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.
23. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.
Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:

SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih
24. Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:


Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh
25. Jika Witir Ini Dilakukan Pada Malam ke-16 Bulan Ramadan, Maka Bacalah Doa Qunut
Sunat membaca Doa Qunut dalam Solat Sunat Witir bermula pada pertengahan Bulan Ramadan sehingga ke akhir bulan iaitu bermula pada malam ke-16 Ramadan hingga malam ke-29 atau 30 Ramadan.
Bacaan Doa Qunut dalam Solat Witir adalah sama seperti Doa Qunut dalam Solat Subuh sama ada pada lafaz doa, tempat berdoa dan bacaan doa yang dinyaringkan.
Dalam Solat Sunat Witir, Doa Qunut dibaca pada rakaat yang terakhir (pada bilangan ganjil).
Sekiranya Solat Sunat Witir itu dilaksanakan sebanyak 3 rakaat, maka Doa Qunut sunat dibacakan pada rakaat yang ketiga selepas bangun dari rukuk.
Bacaan Doa Qunut sebagaimana berikut:

Allahhummah Dinii Fiiman Hadait. Wa ’Aa Finii Fiiman ‘Aafait. Watawal-Lanii Fiiman Tawal-laiit. Wabaariklii Fiimaa A’thait. Waqinii Syarramaa Qadhait. Fainnaka Taqdhii Walaa Yuqdho ‘Alaik. WainNahu Laa Yadzilu-man Walait. Walaa Ya’izzu-man ‘Aadait. Tabaa-rakta Rabbanaa Wata ’Aalait. Falakal-hamdu ‘Alaa Maa Qadhait. Astaghfiruka Wa ’AtuuBu ilaik. Wasallallahu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Nabiyyil Ummiyyi, Wa ’Alaa Aalihi Washahbihi Wasallam.
26. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
27. Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

Baca bacaan antara dua sujud:

Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni
28. Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih
29. Bangun Dari Sujud, Terus Lakukan tahiyyat akhir

30. Selesai Tahiyat, Solat Diakhiri Dengan Memberi Salam.
Akhir solat dengan memberi salam dua kali, bermula dari kanan kemudian memalingkan muka ke kiri.

Palingkan muka ke sebelah kanan, dan ucapkan salam seperti berikut:

Assalamualaikum Warahmatullah
Maksudnya:
Salam sejahtera untuk kamu, juga rahmat Allah dan berkatNya
… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:

Assalamualaikum Warahmatullah
Selesai memberi salam rakaat ketiga, maka disunatkan untuk membaca zikir dan doa seperti bahagian di bawah ini
Doa Solat Witir
Selepas selesai memberi salam, disunatkan membaca zikir terlebih dahulu.
Zikir Selepas Solat Witir
1. Baca wirid ini sebanyak tiga kali:

Subhanal Malikil Quddus (3 kali)
Maksudnya:
Maha Suci Tuhan yang Maha Suci
2. Kemudian, baca pula wirid ini satu kali:

Rabbil Mala’ Ikati War Ruh
Maksudnya:
Tuhannya para malaikat dan malaikat jibril
Kemudian bacalah surah Al-Fatihah dan wirid-wirid. Perbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada Allah.
Doa Selepas Solat Witir
Pilih satu diantara dua doa witir di bawah:

Allahumma Inni ‘Auzu Biridhoka Min Sakhotika Wa Bimu’Aafatika Min ‘Uqubatika Wa ‘Auzubika Minka Laa Uhsii Tsana’an ‘Alaika Anta Kama Atsnaita ‘Alaa Nafsika.
Maksudnya:
Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, aku berlindung dengan kemaafanMu daripada BalasanMu, dan aku berlindung denganMu daripada tidak mampu memujiMu seperti Engkau memuji diriMu.

Allahumma innaa Nas’aluka iimaanan Daaimaan, wanas’aluka qalban khaasyi’an, wanas’aluka ‘ilman naafi’an, wanas ‘aluka yaqiinan shaadiqon, wanas ‘aluka ‘amalan shaalihan, wanas ‘aluka diinan Qayyiman, wanas ‘alukal ‘afwa wal’aafiyata, wanas ‘aluka tamaamal ‘aafiyati, wanas ‘alukash-syakra ‘alal ‘aafiyati, anas ‘alukal ghinaa’a ‘aninnaasi.
Allahumma RabbaNaa Taqabbal Minnaa SolaaTanaa WashiyaaManaa WaqiyaamaNaa Watakhusy-syu’anaa WataDhorru’Anaa wata’Abbadanaa Watammim Taqshiiranaa Yaa Allaahu Yaa Allaahu Yaa Allaahu Yaa Arhamar Raahimiin.
Washallallaahu ‘alaa Sayyidina Muhammadin Wa ‘Alaa Aalihi Washahbihi Ajma’iina, Subhanaa Robbika Robbil ‘izzati amma yasifun, walhamdu lillaahi rabbil ‘Aalamiina.
Maksudnya:
Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Ya Allah! Sesungguhnya kami memohon daripada Engkau keimanan yang berkekalan. Kami memohon daripada Engkau hati yang khusyuk (teguh dan sebulat hati). Kami memohon daripada Engkau ilmu yang bermanfaat. Kami memohon daripada Engkau keyakinan yang benar. Kami memohon daripada Engkau amalan yang soleh (patut). Kami memohon daripada Engkau agama yang berkualiti. Kami memohon daripada Engkau keampunan dan kesihatan. Kami memohon daripada Engkau kesihatan yang sepenuhnya. Kami memohon daripada Engkau rasa syukur ke atas kesihatan. Kami memohon daripada Engkau kekayaan. Ya Allah! Terimalah solat kami, puasa kami, solat malam kami, kekhusyu’an kami, kerendahan hati kami, ibadah kami. Sempurnakanlah kelalaian atau kekurangan kami, Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Wahai Yang Paling Pengasih di antara yang mengasihani. Selawat dan salam sejahtera Allah ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabatnya. Maha Suci Tuhan yang Maha Mulia daripada sebarang kekurangan. Salam sejahtera ke atas para rasul dan segala puji hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.
Kelebihan Solat Witir

Apakah kelebihan Solat Witir?
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Kharijah bin Hudzafah bahawa Rasulullah bersabda:
Sesungguhnya Allah telah melapangkan kamu dengan satu solat di mana ia lebih baik bagi kamu daripada unta merah iaitu solat witir. Allah telah menjadikan solat tersebut untuk kamu (dilaksanakan) antara solat Isyak sehingga terbitnya fajar (Subuh).
(Hadis riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis di atas, Nabi memberikan perbandingan bahawa solat sunat Witir itu adalah lebih baik dan lebih tinggi nilainya daripada harta yang sangat berharga bagi masyarakat Arab ketika itu iaitu unta kemerah-merahan.
Gambaran masyarakat Arab ketika itu ialah sesiapa yang memiliki unta yang terbaik akan dianggap sebagai orang yang berharta dan kaya.
Boleh diibaratkan seperti zaman sekarang ialah orang yang berstatuskan jutawan, memiliki kekayaan.
Bayangkan berapa lama untuk mengumpulkan harta sehingga menjadi jutawan dan memiliki kekayaan, adakala kita cuma perlu lakukan selama 10 tahun? 30 tahun untuk menjadi seorang jutawan?
Tetapi dengan mengerjakan witir dengan hanya satu rakaat sahaja, melebihi daripada apa yang kita idamkan iaitu menjadi jutawan dan miliki harta yang berlimpah luah.
Inilah perumpamaan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW bagi menggambarkan betapa pentingnya solat sunat Witir ini.
Tetapi ini hanyalah satu perumpamaan, apa yang diterangkan oleh Rasulullah SAW adalah untuk memudahkan fahaman kita kepada gambaran kebendaan, sedangkan di Akhirat nanti balasan yang diterima adalah berkali ganda di dalam syurga.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:
Kekasihku yakni Rasulullah telah memberi wasiat kepadaku dengan tiga perkara agar aku tidak meninggalkan perkara tersebut sehingga mati iaitu berpuasa selama tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat sunat Duha dan tidur dalam keadaan sudah melakukan solat sunat Witir.
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Menurut Ibn Battal, lazimnya Rasulullah tidak akan mewasiatkan agar bersungguh-sungguh dalam menjaga dan mempraktikkan sesuatu amalan melainkan pada amalan tersebut terdapat ganjaran yang besar.
Justeru itu, solat sunat Witir antara perkara yang terkandung dalam wasiat Baginda yang mana Baginda berpesan supaya melakukan solat sunat Witir terlebih dahulu sebelum berganjak ke tempat tidur. Pastinya pesanan Baginda ini mengandungi kelebihan dan kebaikan yang sebaik-baiknya.
Ali bin Abu Talib meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah bersabda:
Solat Witir itu tidaklah wajib sebagaimana solat-solat fardu kamu tetapi solat ini merupakan sunnah Rasulullah dan Ali berkata: Sesungguhnya Allah itu ganjil dan Dia menyukai yang ganjil, oleh itu berwitirlah wahai ahli al-Quran.
(Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Berdasarkan hadis di atas, solat sunat Witir merupakan sunnah yang menjadi amalan harian Nabi pada setiap malam meskipun solat ini tidak diwajibkan.
Justeru itu, orang yang konsisten dalam melaksanakan solat sunat Witir termasuk dalam kalangan mereka yang mengamalkan sunnah Baginda yang utama.
Dalam kitab ‘Aun al-Ma’bud, tafsiran ayat “Dia juga menyukai yang ganjil” membawa maksud Allah akan mengurniakan ganjaran kepada orang yang melaksanakan solat Witir dan menerima amalannya.
Penutup: Witir Adalah Hadiah Daripada Allah
Ternyata hadiah ini sememangnya bernilai diberikan oleh Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Terlalu mudah untuk hamba-hamba-Nya memasuki syurga tetapi hanya segelintir sahaja yang mengambil manafaatnya,
Oleh yang demikian janganlah ditinggalkan witir, kerjakanlah walaupun hanya sedikit bilangan rakaatnya tetapi berterusan.
Amalan yang berterusan tetapi sedikit adalah perkara yang disukai oleh Allah SWT.
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada semua pembaca.
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum Ustaz,
saya ingin bertanya, pada rakaat ke 3 selepas rukuk perlu ke membaca Doa Qunut? kerana saya ada terbaca waktu bulan ramadan harus disertaikan dengan bacaan Doa Qunut.. tapi kalo solat sunat witir dikerjakan pada hari² biasa adakah bacaan doa qunut juga wajib dibaca? Minta pencerahan ustaz..
Terima kasih ustaz
Wassalam. Jika hari biasa, tidak disunatkan untuk membaca qunut
Terima kasih ustaz, atas pencerahan ini..
Sama-sama tuan 😊
Assalamualaikum ustaz, alhamdullillah dan terima kasih di atas ilmu yg disampaikan.Semoga Allah swt memberi rahmat dan keredhoan serta membalas jasa baik ustaz dlm menyampaikan ilmu Allah insya-Allah, amin ya rabbal alamin.
Alhamdulillah, terima kasih atas maklumbalas dan doa yang dititipkan terhadap saya
Assalamualaikum ustaz, alhamdullillah, terima kasih di atas ilmu yg disampaikan.Semoga Allah swt membalas jasa baik ustaz dlm menyampaikan ilmu agama, insya-Allah, amin ya rabbal alamin.
Wassalam. Alhamdulillah, sama-sama. Terima kasih kerana mendoakan saya dan memberi maklumbalas.
Alhamdulillah.. terima kasih penulis. Kebanyakan setiap kali solat sunat yg sy lakukan, sy akan buka blog ini utk merujuk doa selepas solat. Semoga Allah memberikan pahala yg besar buat anda..
Alhamdulillah, gembira saya mengetahuinya. Terima kasih juga atas maklumbalas dari cik/puan.
Alhamdulillah Allah mendorongkan saya membuka blog ini yang sememangnya saya mencari-cari. Sangat jelas dan mudah difahami. Semoga Allah melimpahkan ganjaran atas usaha semua. Terima kasih.
Alhamdulillah, terima kasih maklumbalas tuan.
Dan terima kasih juga kerana sudi mendoakan kebaikan buat saya.