Bagaimana cara mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Isyak?
Ini adalah panduan lengkap cara mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas isyak. Panduan ini ditulis secara langkah demi langkah yang ringkas.
Setiap bacaan dipermudahkan dengan trasliterasi rumi untuk membantu anda.
Semoga memberi manfaat.
Pengenalan
Solat sunat ini juga dikenali sebagai solat sunat Rawatib.
Solat sunat Rawatib adalah solat sunat yang mengiringi solat fardu lima waktu. Solat ini didirikan bagi menyempurnakan kekurangan yang ada pada solat fardu.
Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardu Isyak (Qabliyyah) adalah solat sunat tidak muakkad.
Tetapi, solat sunat dua rakaat selepas solat fardu Isyak (Ba’diyyah) adalah muakkad.
Solat sunat sebelum dan selepas solat fardu isyak dilakukan sebanyak dua rakaat.
Rasulullah SAW menyatakan:
Dua rakaat itu lebih baik bagiku daripada seluruh isi dunia
— Hadis direkodkan oleh Ahmad, Muslim dan At-Tirmizi
Panduan lengkap mengenai solat rawatib ba’diyyah & qabliyyah ini boleh dirujuk pada pautan ini: Niat & Cara Solat Sunat Rawatib Ba’diyah & Qabliyah (Panduan Lengkap)
Niat Solat Sunat Sebelum & Selepas Isyak
Bagaimana lafaz niat solat sunat sebelum dan selepas isyak?
Sebenarnya tiada lafaz khas untuk solat sunat sebelum dan selepas isyak. Kita boleh berniat solat sunat isyak dengan pelbagai lafaz.
Anda juga boleh niat solat sunat sama ada dalam Bahasa Arab atau Bahasa Melayu.
Jika anda tidak pasti, anda boleh melafazkan niat sebagaimana di bawah:
Niat Solat Sunat Sebelum Isyak
Usolli Sunnata Qoblal-isya’ Rak’ataini Lillahi Ta’ala
Niat Dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Ta’ala
Niat Solat Sunat Selepas Isyak
Usolli Sunnata Ba’dal ‘isya-i Rak’ataini Lillahi Ta’ala
Niat Dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku solat sunat selepas isyak dua rakaat kerana Allah Ta’ala
Cara Mengerjakan Solat Sunat Isyak
Di bawah ini merupakan cara melaksanakan solat Sunat Isyak secara langkah demi langkah:
Rakaat Pertama
1. Solat Dimulakan dengan takbiratul ihram.Semasa mengangkat takbir, bacakan niat solat sunat isyak dalam hati.
Sahaja aku solat sunat sebelum/selepas isyak dua rakaat kerana Allah Taala
* Niat solat juga boleh dilafazkan sebelum mengangkat takbir.
2. Bacalah surah al-Fatihah.
Pada kebiasaannya, solat sunat terus dibaca al fatihah tanpa doa iftitah terlebih dahulu.
Tetapi jika ingin membaca iftitah juga, ia adalah sunat (dapat pahala membaca)
Surah al-Fatihah adalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam semua solat.
Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
3. Kemudian, baca surah al-Kafirun
Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula surah pendek daripada surah al-Quran.
Antaranya surah yang boleh dibaca adalah al-Alkafirun:
Qul Yā Ayyuhal-Kāfirūn. Lā A‘Budu Mā Ta‘Budūn. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Wa Lā Ana ‘Ābidum Mā ‘Abattum. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Lakum Dīnukum Wa Liya Dīn
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.
4. Selesai membaca surah, teruskan dengan rukuk dan sujud sehingga selesai rakaat pertama.
Rakaat Kedua
5. Rakaat kedua dimulai dengan lafaz takbir intiqalat(takbir intiqalah bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).
6. Baca surah al-Fatihah.
Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah.
Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
7. Seterusnya membaca al-Ikhlas
Selesai membaca al-Fatihah, maka bacalah pula surah al-ikhlas
Qul Huwallāhu Aḥad. Allāhuṣ-Ṣamad. Lam Yalid Wa Lam Yūlad. Wa Lam Yakul Lahū Kufuwan Aḥad
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
8. Solat diteruskan dengan rukuk dan sujud.
Lakukanlah rukuk dan sujud seperti biasa
9. Bangun dari sujud, terus lakukan tahiyyat akhir sehinggalah selesai rakaat kedua
10. Selesai tahiyat, solat diakhiri dengan memberi salam.
Kelebihan Solat Sunat Sebelum Dan Selepas Isyak
Analogi solat sunat ini seumpama gam yang mampu menampal sesuatu benda yang bocor atau berlubang sehingga kembali menjadi sempurna dan cantik.
Dari Aisyah, Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.”
— Hadis riwayat Tirmizi
Tinggalkan Komen Anda..