Doa Selepas Azan (Rumi dan Maksud), Cara Jawab Azan dan Lafaz Azan

Doa selepas azan riwayat al-Bukhari dalam tulisan Arab, rumi dan maksud. Termasuk cara jawab azan, jawab azan Subuh dan lafaz azan lengkap mazhab Syafi‘e.

Muhamad Naim Abd ManafDikemas kini 5 November 2026
Menara azan dan kubah hijau Masjid Nabawi, Madinah

Ini adalah panduan lengkap doa selepas azan, cara menjawab azan dan lafaz azan. Setiap bacaan disertakan tulisan Arab, rumi dan maksud, mengikut mazhab Syafi‘e.

Apa yang penting:

Doa selepas azan yang paling sahih ialah doa riwayat al-Bukhari. Nabi ﷺ menjanjikan syafaat baginda pada hari kiamat kepada sesiapa yang membacanya.1

Sebelum doa itu, ada dua lagi sunnah yang ramai terlepas: menjawab setiap kalimah azan dan berselawat ke atas Nabi ﷺ. Ketiga-tiganya diterangkan di bawah, termasuk cara menjawab azan Subuh.

Tanpa buang masa, mari kita ikuti panduan ini.

Inilah doa selepas azan yang ringkas (pendek) dan paling sahih. Selepas azan selesai dan anda sudah berselawat, angkat tangan dan bacalah doa ini:2

اللَّهُمَّ رَبَّ هَٰذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ

Allāhumma rabba hāżihid-da‘watit-tāmmah, waṣ-ṣalātil-qā’imah, āti Muḥammadanil-wasīlata wal-faḍīlah, wab‘aṡhu maqāmam maḥmūdanil-lażī wa‘adtah.



Maksud Bacaan

“Ya Allah, Tuhan yang memiliki seruan yang sempurna ini dan solat yang akan didirikan. Kurniakanlah kepada Nabi Muhammad al-wasilah dan kelebihan, dan bangkitkanlah baginda di tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan kepadanya.”

Ganjarannya: sesiapa yang membaca doa ini ketika mendengar azan, dia berhak mendapat syafaat Nabi ﷺ pada hari kiamat.1

“Seruan yang sempurna” dalam doa ini ialah azan itu sendiri. Al-wasilah pula ialah satu kedudukan di syurga yang hanya layak bagi seorang hamba Allah, dan Nabi ﷺ berharap baginda orangnya.3,4

Selawat Sebelum Doa Selepas Azan

Nabi ﷺ menyuruh kita berselawat dahulu sebaik sahaja azan tamat, kemudian barulah memohon al-wasilah untuk baginda. Sesiapa yang berselawat sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali.4

Apa-apa lafaz selawat sudah memadai, contohnya “Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammad”. Yang paling afdal ialah selawat yang dibaca dalam tahiyat akhir.5

Tentang Tambahan dalam Doa Selepas Azan

Doa selepas azan yang biasa kita dengar di masjid, radio dan televisyen di Malaysia lebih panjang daripada lafaz di atas. Ini lafaznya, dengan bahagian tambahan ditandakan:

Versi yang Lazim Dibaca di Malaysia

Allāhumma rabba hāżihid-da‘watit-tāmmah, waṣ-ṣalātil-qā’imah, āti sayyidanā Muḥammadanil-wasīlata wal-faḍīlah, wasy-syarafa wad-darajatal-‘āliyatar-rafī‘ah, wab‘aṡhu al-maqāmal-maḥmūdal-lażī wa‘adtah, innaka lā tukhliful-mī‘ād.

Status setiap tambahan:

  • Sayyidanā: tiada dalam lafaz hadis, tetapi baik sebagai adab memuliakan Nabi ﷺ‎.6
  • Innaka lā tukhliful-mī‘ād: ada dalam satu riwayat al-Baihaqi, bukan riwayat al-Bukhari.7
  • Wad-darajatar-rafī‘ah: menurut Ibn Hajar al-Haitami dan al-Ramli, tambahan ini tiada asal dalam riwayat hadis.8
  • Al-maqāmal-maḥmūd: lafaz al-Bukhari ialah “maqāman maḥmūdan”.9

Membaca versi yang panjang tidak menjadi dosa, kerana ia tetap doa yang baik maknanya. Namun jika mahu lafaz yang paling selamat dan tepat dengan hadis, bacalah lafaz riwayat al-Bukhari di atas.

Doa Selepas Azan Subuh dan Maghrib

Tiada doa khusus selepas azan Subuh. Doa selepas azan Subuh sama seperti doa selepas azan waktu lain, iaitu doa riwayat al-Bukhari di atas. Yang berbeza pada waktu Subuh hanyalah cara menjawab azannya.

Bagi azan Maghrib, ada satu doa tambahan yang dianjurkan oleh ulama mazhab Syafi‘e walaupun sanadnya lemah:10

اللَّهُمَّ إِنَّ هَٰذَا إِقْبَالُ لَيْلِكَ وَإِدْبَارُ نَهَارِكَ وَأَصْوَاتُ دُعَاتِكَ فَاغْفِرْ لِي

Allāhumma inna hāżā iqbālu lailika wa idbāru nahārika wa aṣwātu du‘ātika faghfir lī.



Maksud Bacaan

“Ya Allah, inilah saat datangnya malam-Mu, perginya siang-Mu dan suara para penyeru-Mu, maka ampunilah aku.”

Waktu Mustajab Antara Azan dan Iqamat

Selepas doa selepas azan, jangan terus diam. Masa menunggu iqamat ialah waktu doa yang tidak ditolak. Mintalah apa sahaja kebaikan dunia dan akhirat.11

Penerangan lanjut, termasuk doa yang diajar oleh Nabi ﷺ untuk waktu ini, ada dalam panduan lafaz iqamat dan doa selepas iqamat.

Apabila mendengar azan, sunat bagi kita mengulang setiap kalimah yang disebut oleh muazzin dengan suara perlahan.12,13 Afdalnya, jawab sejurus selepas muazzin selesai menyebut setiap kalimah.14

Pengecualiannya hanya pada “Ḥayya ‘alaṣ-ṣalāh” dan “Ḥayya ‘alal-falāḥ”. Untuk kedua-duanya, kita menjawab “Lā ḥaula wa lā quwwata illā billāh”.15,16

Muazzin menyebutKita menjawab
Allāhu akbar, Allāhu akbarAllāhu akbar, Allāhu akbar
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ
Asyhadu al lā ilāha illallāhAsyhadu al lā ilāha illallāh
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللهُ
Asyhadu anna Muḥammadar rasūlullāhAsyhadu anna Muḥammadar rasūlullāh
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
Ḥayya ‘alaṣ-ṣalāhLā ḥaula wa lā quwwata illā billāh
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ
Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah
Ḥayya ‘alal-falāḥLā ḥaula wa lā quwwata illā billāh
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ
Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah
Aṣ-ṣalātu khairum minan-naum (Subuh sahaja)Ṣadaqta wa barirta
صَدَقْتَ وَبَرِرْتَ
Benarlah engkau dan baiklah engkau
Allāhu akbar, Allāhu akbarAllāhu akbar, Allāhu akbar
Lā ilāha illallāhLā ilāha illallāh

Nabi ﷺ menjanjikan syurga kepada sesiapa yang menjawab azan dengan cara ini dengan ikhlas daripada hatinya.15

Cara Jawab Azan Subuh

Azan Subuh ada satu kalimah tambahan, iaitu “Aṣ-ṣalātu khairum minan-naum” (solat itu lebih baik daripada tidur), disebut dua kali selepas “Ḥayya ‘alal-falāḥ”.

Apabila muazzin menyebutnya, ulama mazhab Syafi‘e menganjurkan kita menjawab “Ṣadaqta wa barirta” (juga dieja “sodaqta wa bararta”), yang bermaksud benarlah engkau dan baiklah engkau,, juga dua kali. Jawapan ini tidak datang daripada hadis yang sabit, tetapi dipilih ulama kerana maknanya sesuai.17

Kalimah-kalimah lain dalam azan Subuh dijawab sama seperti azan waktu lain.

Bagi azan Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak, cara menjawabnya sama sahaja seperti dalam jadual di atas. Tiada jawapan khusus bagi waktu tertentu kecuali Subuh.

Zikir Selepas Muazzin Menyebut Dua Kalimah Syahadah

Selepas muazzin menyebut “Asyhadu anna Muḥammadar rasūlullāh”, sunat menambah zikir ini. Nabi ﷺ menjanjikan keampunan dosa bagi orang yang membacanya.18

وَأَنَا أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ رَضِيتُ بِاللهِ رَبًّا وَبِمُحَمَّدٍ رَسُولًا وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا

Wa ana asyhadu al lā ilāha illallāhu waḥdahū lā syarīka lah, wa anna Muḥammadan ‘abduhū wa rasūluh, raḍītu billāhi rabbā, wa bi-Muḥammadin rasūlā, wa bil-islāmi dīnā.



Maksud Bacaan

“Dan aku juga bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan bahawa Muhammad itu hamba-Nya dan pesuruh-Nya. Aku reda Allah sebagai Tuhan, Muhammad sebagai rasul dan Islam sebagai agama.”

Menjawab Azan dalam Situasi Tertentu

  • Sedang solat: jangan jawab. Jawab selepas memberi salam.19
  • Di dalam tandas: jangan jawab ketika di dalam. Jawab selepas keluar jika jaraknya belum lama. Baca juga hukum menjawab azan dalam tandas.20
  • Sedang membaca al-Quran atau berzikir: berhenti, jawab azan, kemudian sambung semula.20
  • Wanita haid atau orang berjunub: tetap sunat menjawab azan. Baca juga bolehkah perempuan haid menjawab azan.13
  • Mendengar beberapa azan: jawablah semuanya. Yang paling dituntut ialah azan yang pertama didengar.21

Ini lafaz azan bagi waktu Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Ruangan terakhir menunjukkan berapa kali setiap kalimah disebut.22

LafazKali
اللهُ أَكْبَرُ
Allāhu akbar
Allah Maha Besar
4
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللهُ
Asyhadu al lā ilāha illallāh
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah
2
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
Asyhadu anna Muḥammadar rasūlullāh
Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah
2
حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ
Ḥayya ‘alaṣ-ṣalāh
Marilah menunaikan solat
2
حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ
Ḥayya ‘alal-falāḥ
Marilah menuju kejayaan
2
اللهُ أَكْبَرُ
Allāhu akbar
Allah Maha Besar
2
لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللهُ
Lā ilāha illallāh
Tiada Tuhan melainkan Allah
1

Lafaz Azan Subuh

Azan Subuh sama seperti di atas, dengan tambahan “Aṣ-ṣalātu khairum minan-naum” dua kali selepas “Ḥayya ‘alal-falāḥ”. Tambahan ini dinamakan tathwib.23

LafazKali
اللهُ أَكْبَرُ
Allāhu akbar
Allah Maha Besar
4
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللهُ
Asyhadu al lā ilāha illallāh
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah
2
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ
Asyhadu anna Muḥammadar rasūlullāh
Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah
2
حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ
Ḥayya ‘alaṣ-ṣalāh
Marilah menunaikan solat
2
حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ
Ḥayya ‘alal-falāḥ
Marilah menuju kejayaan
2
الصَّلَاةُ خَيْرٌ مِنَ النَّوْمِ
Aṣ-ṣalātu khairum minan-naum
Solat itu lebih baik daripada tidur
2
اللهُ أَكْبَرُ
Allāhu akbar
Allah Maha Besar
2
لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللهُ
Lā ilāha illallāh
Tiada Tuhan melainkan Allah
1

Apa Itu Tarji‘ dalam Azan?

Dalam mazhab Syafi‘e, sunat bagi muazzin menyebut dua kalimah syahadah dengan perlahan dahulu, kemudian mengulanginya dengan suara kuat. Ini dinamakan tarji‘. Kerana disebut perlahan, kebanyakan jemaah tidak mendengarnya. Azan tetap sah tanpa tarji‘.24

Azan hukumnya sunat kifayah bagi solat berjemaah. Jika sudah ada seorang yang melaungkannya, tuntutan itu gugur bagi yang lain. Bagi orang yang solat bersendirian di rumah, azan juga sunat baginya.25

Syarat Sah Azan

  • Muazzin beragama Islam, mumayyiz dan lelaki (bagi jemaah lelaki).
  • Lafaz disebut mengikut tertib dan berturut-turut, tanpa jeda yang panjang.
  • Dilaungkan selepas masuk waktu, kecuali azan Subuh yang boleh dilaungkan lebih awal.26

Sunat dan Adab Ketika Azan

  • Berwuduk. Azan dalam keadaan berhadas tetap sah tetapi makruh.27
  • Berdiri dan menghadap kiblat.
  • Meletakkan jari telunjuk di dalam kedua-dua telinga sepanjang azan.
  • Memalingkan muka ke kanan ketika “Ḥayya ‘alaṣ-ṣalāh” dan ke kiri ketika “Ḥayya ‘alal-falāḥ”, tanpa memusingkan dada dari kiblat.28
  • Melaungkan azan dengan perlahan dan jelas (tartil), tidak tergesa-gesa.29
  • Bersuara lantang dan elok, tanpa dialunkan berlebihan sehingga mengubah makna kalimah.

Azan Bagi Wanita

Wanita tidak disunatkan azan, tetapi disunatkan iqamat ketika solat. Azan oleh wanita untuk jemaah lelaki tidak sah.30 Huraian lanjut ada dalam artikel hukum perempuan azan dan iqamah.

  1. Muazzin paling panjang lehernya pada hari kiamat. Ia gambaran kemuliaan mereka. Abu Daud menjelaskan, ketika manusia kehausan dan leher mereka tertunduk, leher para muazzin tetap tegak.31,32
  2. Semua yang mendengar suara muazzin menjadi saksi baginya. Jin, manusia dan apa sahaja yang mendengar azannya akan menjadi saksi pada hari kiamat.33
  3. Muazzin diampunkan sejauh suaranya. Dia juga mendapat pahala seperti orang yang solat bersamanya.34
  4. Azan menghalau syaitan. Syaitan lari apabila azan dilaungkan sehingga tidak mendengarnya.35
  5. Kelebihan azan sangat besar sehingga jika manusia mengetahuinya, mereka sanggup mengundi untuk mendapatkannya.36
  6. Pengembala yang azan kerana takutkan Allah. Nabi ﷺ menceritakan seorang pengembala kambing di puncak bukit yang azan dan solat seorang diri. Allah mengampunkannya dan memasukkannya ke syurga.37
  7. Syurga bagi yang menjawab azan dengan ikhlas. Kelebihan ini terbuka kepada semua orang, bukan muazzin sahaja.15

Kisah azan pertama dalam Islam dan muazzin pertama boleh dibaca dalam artikel sejarah azan pertama dan kisah Bilal bin Rabah.

Apakah doa selepas azan yang paling sahih?

Doa riwayat al-Bukhari: “Allāhumma rabba hāżihid-da‘watit-tāmmah, waṣ-ṣalātil-qā’imah, āti Muḥammadanil-wasīlata wal-faḍīlah, wab‘aṡhu maqāmam maḥmūdanil-lażī wa‘adtah.” Sesiapa yang membacanya dijanjikan syafaat Nabi ﷺ‎.1

Adakah doa selepas azan Subuh berbeza daripada waktu lain?

Tidak. Doa selepas azan Subuh sama seperti waktu lain. Yang berbeza hanya cara menjawab “Aṣ-ṣalātu khairum minan-naum”, iaitu dengan “Ṣadaqta wa barirta”.17

Adakah doa selepas azan dan doa selepas iqamat sama?

Ya. Menurut mazhab Syafi‘e, doa selepas azan riwayat al-Bukhari juga sunat dibaca selepas iqamat. Di Malaysia ada juga lafaz yang lebih pendek selepas iqamat. Kedua-duanya diterangkan dalam panduan doa selepas iqamat.

Bolehkah membaca “innaka lā tukhliful-mī‘ād” di akhir doa selepas azan?

Boleh, kerana ia terdapat dalam satu riwayat al-Baihaqi. Namun ia bukan lafaz al-Bukhari. Tambahan “wad-darajatar-rafī‘ah” pula tiada asal dalam riwayat hadis menurut Ibn Hajar al-Haitami.7,8

Apakah jawapan bagi “Ḥayya ‘alaṣ-ṣalāh” dan “Ḥayya ‘alal-falāḥ”?

Jawab dengan “Lā ḥaula wa lā quwwata illā billāh” (tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah) bagi kedua-duanya.15

Wajibkah menjawab azan?

Tidak wajib. Hukumnya sunat bagi setiap orang yang mendengar, termasuk wanita haid dan orang yang berjunub.13

Perlukah saya menjawab azan ketika sedang solat?

Tidak. Teruskan solat dan jawab selepas memberi salam. Menyebut “Ḥayya ‘alaṣ-ṣalāh” dengan sengaja di dalam solat boleh membatalkan solat.19

Berapa kali “Allāhu akbar” di awal azan?

Empat kali di awal dan dua kali di akhir, menurut mazhab Syafi‘e.22

Apakah hukum azan?

Sunat kifayah bagi solat berjemaah, dan sunat bagi orang yang solat bersendirian.25

Adakah ada doa atau bacaan khusus sebelum azan?

Tiada doa khusus sebelum azan yang diajar untuk semua muazzin. Ada riwayat Bilal membaca doa peribadi sebelum azan Subuh: “Allāhumma innī aḥmaduka wa asta‘īnuka ‘alā Quraisyin an yuqīmū dīnak.”38 Selawat yang dibaca sebelum azan pula tidak mempunyai dalil yang kukuh. Selawat yang sunnah ialah selepas azan.39

Penutup

Azan berkumandang lima kali sehari. Setiap kali itu ada peluang untuk menjawabnya, berselawat dan berdoa dengan doa yang menjanjikan syafaat Nabi ﷺ. Amalan ini hanya mengambil masa kurang daripada dua minit.

Mulakan dengan satu waktu dahulu, misalnya azan Maghrib di rumah. Lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan, InsyaAllah.

Nota Kaki & Rujukan

  1. Hadis Jabir bin ‘Abdillah: “Sesiapa yang berdoa ketika mendengar azan: Allāhumma rabba hāżihid-da‘watit-tāmmah … nescaya dia berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat.” [Sahih al-Bukhari, no. 614. Sunan Abi Dawud, no. 529] ↩︎
  2. Urutannya: menjawab azan, kemudian selawat, kemudian doa. Ketiga-tiganya sunat bagi muazzin dan setiap orang yang mendengar, dan setiap satu tetap mendapat pahalanya walaupun yang lain tidak dibuat. [Minhaj al-Talibin, hlm. 23. Tuhfat al-Muhtaj, 1/482. I‘anat al-Talibin, 1/280] ↩︎
  3. “Seruan yang sempurna” ialah azan, dan “solat yang akan didirikan” ialah solat yang bakal ditunaikan selepas azan itu. “Maqam mahmud” pula ialah kedudukan syafaat pada hari pengadilan. [al-Majmu‘, 3/117. Nihayat al-Muhtaj, 1/423] ↩︎
  4. Hadis ‘Abdullah bin ‘Amr: “Apabila kamu mendengar muazzin, ucapkanlah seperti yang dia ucapkan. Kemudian berselawatlah ke atasku, kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali. Kemudian mintalah kepada Allah al-wasilah untukku, iaitu satu kedudukan di syurga yang hanya layak bagi seorang hamba Allah, dan aku berharap akulah orangnya.” [Sahih Muslim, no. 384] ↩︎
  5. Sunat selawat terhasil dengan apa-apa lafaz selawat. Lafaz selawat dalam tahiyat akhir (selawat Ibrahimiyyah) adalah yang paling afdal. [al-Syabramallisi, Hasyiah ‘ala Nihayat al-Muhtaj, 1/422] ↩︎
  6. Lafaz dalam Sahih al-Bukhari tidak menyebut “sayyidina”. Menambahnya sebagai adab tidak menjadi masalah, tetapi lafaz asal hadis ialah tanpanya. [Sahih al-Bukhari, no. 614. al-Majmu‘, 3/116] ↩︎
  7. Lafaz “innaka lā tukhliful-mī‘ād” terdapat dalam satu riwayat al-Baihaqi. Riwayat itu juga berbeza pada beberapa perkataan lain berbanding lafaz al-Bukhari. Ia tidak disebut dalam kitab-kitab utama mazhab seperti Minhaj dan Tuhfah. [al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, no. 1933] ↩︎
  8. Ibn Hajar al-Haitami dan al-Ramli menyatakan tambahan “wad-darajatar-rafī‘ah” dan penutup “yā arḥamar-rāḥimīn” tidak mempunyai asal dalam riwayat. [Tuhfat al-Muhtaj, 1/482. Nihayat al-Muhtaj, 1/423] ↩︎
  9. Imam al-Nawawi menegaskan lafaz dalam Sahih al-Bukhari ialah “maqāman maḥmūdan”, bukan “al-maqāmal-maḥmūd” seperti yang tertulis dalam sebahagian kitab fiqh. [al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab, 3/117] ↩︎
  10. Doa ketika azan Maghrib riwayat Ummu Salamah: “Allāhumma inna hāżā iqbālu lailika wa idbāru nahārika wa aṣwātu du‘ātika faghfir lī.” Imam al-Nawawi menyebut sanadnya ada perawi yang tidak dikenali, namun ulama mazhab tetap menganjurkannya. [Sunan Abi Dawud, no. 530. al-Majmu‘, 3/116. Fath al-Mu‘in, 1/156] ↩︎
  11. Hadis Anas bin Malik: “Doa tidak ditolak antara azan dan iqamat.” Al-Tirmizi menilainya hasan. [Sunan Abi Dawud, no. 521. Sunan al-Tirmizi, no. 212] ↩︎
  12. Hadis Abu Sa‘id al-Khudri: “Apabila kamu mendengar azan, ucapkanlah seperti yang diucapkan oleh muazzin.” [Sahih al-Bukhari, no. 611. Sahih Muslim, no. 383] ↩︎
  13. Menjawab azan hukumnya sunat, bukan wajib. Ia sunat bagi setiap orang yang mendengar, termasuk orang yang berhadas, berjunub, wanita haid dan kanak-kanak, kerana ia zikir. [Minhaj al-Talibin, hlm. 23. al-Majmu‘, 3/118-119. Rawdat al-Talibin, 1/203] ↩︎
  14. Afdalnya, jawab setiap kalimah sejurus selepas muazzin selesai menyebutnya, tidak serentak dengannya dan tidak terlalu lewat. Jika terlepas, jawab segera selagi jaraknya belum lama. [al-Majmu‘, 3/118-120] ↩︎
  15. Hadis ‘Umar al-Khattab tentang menjawab azan satu demi satu kalimah, dengan “lā ḥaula wa lā quwwata illā billāh” bagi kedua-dua “ḥayya ‘alā”. Baginda menutupnya dengan sabda: “… (sesiapa yang menjawab begitu) daripada hatinya, dia masuk syurga.” [Sahih Muslim, no. 385] ↩︎
  16. “Lā ḥaula wa lā quwwata illā billāh” disebut empat kali sepanjang azan dan dua kali dalam iqamat. [al-Majmu‘, 3/118. Tuhfat al-Muhtaj, 1/481] ↩︎
  17. Imam al-Nawawi menambah jawapan “ṣadaqta wa barirta” dalam Minhaj, dan ia disebut dua kali. Ibn Hajar al-Haitami menyatakan dakwaan adanya hadis tentangnya tidak mempunyai asal, namun ia tetap sunat kerana maknanya sesuai. [Minhaj al-Talibin, hlm. 23. al-Majmu‘, 3/117-118. Tuhfat al-Muhtaj, 1/481] ↩︎
  18. Hadis Sa‘d bin Abi Waqqas: “Sesiapa yang berkata ketika mendengar muazzin: Asyhadu al lā ilāha illallāhu waḥdahū lā syarīka lah … raḍītu billāhi rabbā, wa bi-Muḥammadin rasūlā, wa bil-islāmi dīnā, diampunkan dosanya.” [Sahih Muslim, no. 386. al-Azkar, no. 210] ↩︎
  19. Jika mendengar azan ketika solat, jangan menjawabnya sehingga selesai solat. Menyebut “ḥayya ‘alaṣ-ṣalāh” atau “ṣadaqta wa barirta” dengan sengaja dan tahu hukumnya membatalkan solat. [al-Majmu‘, 3/118-119. Rawdat al-Talibin, 1/203. al-Azkar, no. 222] ↩︎
  20. Ketika di dalam tandas, jawab selepas keluar jika jaraknya tidak lama. Jika sedang membaca al-Quran, berzikir atau belajar, berhenti dan jawab azan dahulu, kemudian sambung semula, kerana menjawab azan akan terlepas sedangkan bacaan itu tidak. [al-Majmu‘, 3/118. al-Azkar, no. 222] ↩︎
  21. Jika mendengar lebih daripada satu azan, jawablah semuanya. Yang paling dituntut ialah azan yang pertama didengar. [al-Majmu‘, 3/119. Nihayat al-Muhtaj, 1/422] ↩︎
  22. Takbir pada awal azan disebut empat kali dan pada akhirnya dua kali. Jumlah kalimah azan ialah 15, atau 19 bersama tarji‘. [Nihayat al-Muhtaj, 1/408. Sunan Abi Dawud, no. 499-502. al-Majmu‘, 3/90] ↩︎
  23. Tathwib (“aṣ-ṣalātu khairum minan-naum”) sunat pada azan Subuh sahaja dan makruh pada waktu lain. Menurut pendapat muktamad, ia disebut pada kedua-dua azan Subuh jika azan dilaungkan dua kali. [Sunan Abi Dawud, no. 500. Tuhfat al-Muhtaj, 1/468. Mughni al-Muhtaj, 1/322] ↩︎
  24. Tarji‘ ialah muazzin menyebut dua kalimah syahadah dengan perlahan (didengar oleh orang berhampiran) sebelum menyebutnya dengan kuat. Hukumnya sunat dan azan tetap sah tanpanya. [Minhaj al-Talibin, hlm. 23. al-Majmu‘, 3/91. al-Azkar, no. 196] ↩︎
  25. Azan dan iqamat hukumnya sunat kifayah bagi jemaah, dan sunat bagi orang yang solat bersendirian. Ia hanya untuk solat fardu lima waktu. [Tuhfat al-Muhtaj, 1/460. Mughni al-Muhtaj, 1/318. al-Azkar, no. 202, 204] ↩︎
  26. Syarat muazzin ialah Islam, mumayyiz dan lelaki (jika azan untuk jemaah lelaki). Azan pula disyaratkan tertib, berturut-turut dan dalam waktunya, kecuali azan Subuh yang boleh dilaungkan selepas separuh malam. [Minhaj al-Talibin, hlm. 23. Tuhfat al-Muhtaj, 1/470. al-Azkar, no. 206] ↩︎
  27. Azan dalam keadaan berhadas tetap sah tetapi makruh, lebih-lebih lagi bagi orang yang berjunub. Berdiri dan menghadap kiblat ketika azan hukumnya sunat. [Minhaj al-Talibin, hlm. 23. al-Majmu‘, 3/104-106. al-Azkar, no. 203] ↩︎
  28. Muazzin meletakkan jari telunjuk di dalam kedua-dua telinga sepanjang azan, tetapi tidak ketika iqamat. Ketika “ḥayya ‘alā” dia memalingkan leher ke kanan dan ke kiri tanpa memusingkan dada dari kiblat. [Sunan al-Tirmizi, no. 197. Sunan Abi Dawud, no. 520. al-Majmu‘, 3/106-108] ↩︎
  29. Azan dilaungkan dengan perlahan dan jelas (tartil), sedangkan iqamat disebut dengan lebih cepat dan bersambung. [Minhaj al-Talibin, hlm. 23. Tuhfat al-Muhtaj, 1/468] ↩︎
  30. Wanita tidak disunatkan azan, tetapi disunatkan iqamat, sama ada berjemaah sesama wanita atau solat bersendirian. Azan wanita untuk jemaah lelaki tidak sah. [Minhaj al-Talibin, hlm. 23. Tuhfat al-Muhtaj, 1/466. al-Majmu‘, 3/100] ↩︎
  31. Hadis Mu‘awiyah: “Para muazzin ialah orang yang paling panjang lehernya pada hari kiamat.” [Sahih Muslim, no. 387] ↩︎
  32. Abu Daud menjelaskan bahawa manusia kehausan pada hari kiamat sehingga leher mereka tertunduk, sedangkan para muazzin tidak haus, maka leher mereka tegak. [al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, no. 2037] ↩︎
  33. Hadis Abu Sa‘id al-Khudri: “Tidaklah jin, manusia dan apa-apa sahaja yang mendengar sejauh suara muazzin melainkan akan menjadi saksi baginya pada hari kiamat.” [Sahih al-Bukhari, no. 609] ↩︎
  34. Hadis al-Bara’ bin ‘Azib: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas saf hadapan, dan muazzin diampunkan sejauh suaranya, dibenarkan oleh setiap yang basah dan kering yang mendengarnya, dan baginya pahala seperti orang yang solat bersamanya.” [Sunan al-Nasa’i, no. 646. Musnad Ahmad, no. 18506] ↩︎
  35. Hadis Abu Hurairah: “Apabila azan dilaungkan untuk solat, syaitan berpaling lari sambil terkentut-kentut sehingga tidak mendengar azan.” [Sahih al-Bukhari, no. 608. Sahih Muslim, no. 389] ↩︎
  36. Hadis Abu Hurairah: “Sekiranya manusia mengetahui kelebihan azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak mendapatinya kecuali dengan mengundi, nescaya mereka akan mengundi.” [Sahih al-Bukhari, no. 615. Sahih Muslim, no. 437] ↩︎
  37. Hadis ‘Uqbah bin ‘Amir tentang pengembala kambing di puncak bukit yang melaungkan azan dan solat. Allah berfirman: “Lihatlah hamba-Ku ini, dia azan dan mendirikan solat kerana takut kepada-Ku. Aku telah mengampunkan hamba-Ku dan memasukkannya ke syurga.” [Sunan Abi Dawud, no. 1203. Sunan al-Nasa’i, no. 666] ↩︎
  38. Riwayat seorang wanita Bani al-Najjar: Bilal duduk di atas rumahnya sebelum fajar. Apabila melihat fajar, beliau berdoa “Allāhumma innī aḥmaduka wa asta‘īnuka ‘alā Quraisyin an yuqīmū dīnak”, kemudian melaungkan azan. [Sunan Abi Dawud, no. 519] ↩︎
  39. Ibn Ziyad menyatakan beliau tidak menemui apa-apa sandaran bagi selawat sebelum azan, walaupun al-Bakri berpendapat ia sunat. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan selawat sebelum azan tidak bersandarkan dalil yang kukuh, dan yang sunnah ialah selawat selepas azan, dibaca perlahan supaya tidak disangka sebahagian daripada azan. [Fath al-Mu‘in, 1/157. I‘anat al-Talibin, 1/280. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad al-Fatwa siri 161, 19 Disember 2016] ↩︎

Bibliografi Tambahan

  • al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin.
  • al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab, jilid 3.
  • al-Nawawi, Rawdat al-Talibin, jilid 1.
  • al-Nawawi, al-Azkar.
  • Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj, jilid 1.
  • Syamsuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, jilid 1 (bersama Hasyiah al-Syabramallisi).
  • al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 1.
  • Zainuddin al-Malibari, Fath al-Mu‘in.
  • al-Bakri al-Dimyati, I‘anat al-Talibin, jilid 1.
  • al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra.
KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim Abd Manaf

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

54 Komen

  1. Assalamualaikum, boleh atau tidak membaca doa pendek lain ( di baca di pembesar suara oleh muazim) selepas membaca doa selepas azan. Contoh doa kepada kedua ibu bapa, Muslimin Muslimat, mukminin mukminat dan doa kebaikan dunia dan akhirat, terima kasih di atas perhatian pihak tuan.

    Balas
    • Waalaikumussalam Tuan Zaman,

      Ringkasnya doa yang dituntut (ma’thur) selepas azan ialah “Allāhumma rabba hāzihid-da‘watit-tāmah…” sebagaimana hadis sahih (riwayat Muslim). Doa ini dibaca oleh sesiapa yang mendengar azan, termasuk muazzin.

      Doa tambahan melalui pembesar suara (contoh: doa untuk ibu bapa, muslimin muslimat, kebaikan dunia akhirat) adalah harus dengan beberapa adab/syarat:

      1. Tidak diniatkan atau dipersembahkan sebagai sebahagian daripada azan atau syaratnya.
      2. Ringkas dan tidak terlalu panjang.
      3. Tidak mengganggu jemaah yang sedang solat sunat/rawatib atau berzikir, serta mematuhi SOP masjid & arahan jabatan agama/tempatan.
      4. Tidak dijadikan kewajiban tetap sehingga menimbulkan sangkaan ia sunnah yang khusus selepas azan.

      Tindakan yang lebih kemas adalah muazzin membaca doa ma’thur melalui mic, kemudian beri ruang seketika untuk jemaah berdoa secara peribadi (kerana doa antara azan dan iqamah mustajab). Jika mahu doa umum, elok ringkas dan sekali-sekala, atau dibaca oleh imam selepas solat fardu.

      Wallāhu a‘lam.

      Balas
    • Alhamdulillah, terima kasih atas doa dan kata-kata yang baik. Semoga ilmu yang dikongsi benar-benar memberi manfaat kepada semua dan menjadi asbab keberkatan untuk kita semua. Amin ya Rabbal ‘alamin.

      Balas
  2. Assalamualaikum terima kasih atas pencerahan nya,moga mendapat keredhaan Allah SWT

    Balas
    • Waalaikumussalam saudara,

      Alhamdulillah, sama-sama. Syukur kepada Allah kerana memberikan kemudahan untuk kita memahami ilmu ini. Semoga saudara juga sentiasa berada dalam keredhaan dan rahmat-Nya. Amin.

      Jika ada apa-apa soalan lagi, jangan segan untuk bertanya.

      Balas
  3. Assalamu’alaikum Tuan,
    Maaf tuan hanya utk tambah baik Tuan saja.. Dibahagian bacaan azan ada dua kali kalimah Lā ilāha illallāh
    Lā ilāha illallāh. Semoga tuan terus dpt beri manfaat kepada semua.. Aminn

    Balas
    • Maksud KakYong bahagian yg paling bawah sekali.. Terima kasih 🙏

      Balas
      • Walaikumsalam.

        Maaf saya terlepas komen KakYong sebelum ini.
        Sudah saya buat pembetulan, terima kasih kerana sudi memberi maklumbalas.

        Semoga Allah juga membalas kebaikan kepada KakYong.

        Balas
  4. Salam, sy ingin bertanya tentang laungan azan. Boleh atau tidak sebuah masjid lungkan azan lewat jam 1-2 dari waktu asal

    Balas
    • Waalaikumussalam. Azan yang lewat tidak dengan sendirinya menjadi tidak sah. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam Al-Kafi 550, azan Isyak masih boleh dilaungkan walaupun waktunya sudah lama masuk, tetapi sebaiknya azan dibuat sebagai pemberitahuan masuk waktu kepada masyarakat.

      Namun, tidak boleh memberi jawapan umum bahawa kelewatan satu atau dua jam sesuai bagi semua solat, kerana panjang waktunya berbeza. Yang penting, solat jangan dilewatkan hingga keluar waktu, dan masuk waktu tidak bergantung semata-mata pada bila azan masjid kedengaran. Boleh nyatakan solat yang dimaksudkan, lokasi dan sebab kelewatan? Untuk jadual masjid setempat, semak dengan pengurusan masjid serta pihak agama negeri.

      Balas

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.