NIAT & CARA SOLAT ISTIKHARAH (Doa Istikharah Lengkap)

solat istikharah

Bagaimana niat serta cara Solat Istikharah dan bacaan Doa Istikharah?

Ini adalah panduan lengkap untuk melakukan solat sunat istikharah.

Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah sehingga selesai. Doa istikharah juga turut disediakan.

Apa yang menarik:

Panduan solat ini juga dipermudahkan dengan transliterasi RUMI untuk membantu anda yang sukar membaca tulisan arab.

Semoga bermanfaat..

Apakah Itu Solat Istikharah?

YouTube video

Solat sunat istikharah ialah solat untuk memohon petunjuk daripada Allah.

Ia dilakukan apabila seseorang itu ragu-ragu dalam membuat sesuatu pilihan atau menentukan apa yang terbaik.

Contohnya, apabila seseorang itu mencari kerja dan mendapat dua tawaran pekerjaan secara serentak, yang mana kedua-duanya dirasakan adalah bagus.

Oleh kerana keliru dalam menentukan kerja mana yang patut diterima, maka disunatkan untuk melakukan solat sunat istikharah.

Begitu juga dengan perkara-perkara lain seperti bab pemilihan jodoh, tawaran melanjutkan pelajaran dan sebagainya.

Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang disampaikan oleh Jabir bin Abdullah r.a yang bermaksud:

Rasulullah SAW mengajar kami beristikharah dalam semua perkara, seperti mengajar kami surah daripada al-Quran. Baginda berkata: “Apabila seseorang daripada kamu mahu melakukan perkara yang tidak jelas dia perlu solat dua rakaat yang bukan fardu, kemudian berdoa” 

— Diriwayatkan oleh semua kecuali Muslim

Solat sunat Istikharah dilakukan dengan mengharapkan supaya keputusan yang diambil nanti mendapat pedoman daripada Allah SWT.

Solat Istikharah hanya wajar dilakukan untuk perkara atau pekerjaan yang menepati syariat Islam.

Solat yang dilakukan ke atas perkara yang nyata bercanggah dengan agama sudah tentu tidak dipimpin oleh Allah SWT.

Maksud Istikharah

Istikharah adalah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ‘meminta penjelasan’ atau ‘panduan’. Oleh itu, Solat Istikharah ialah solat sunat yang dilakukan untuk memohon petunjuk Allah SWT dalam memilih atau melakukan sesuatu perkara atau urusan.

Ini berlaku sekiranya seseorang itu masih ragu-ragu dengan pilihannya sama ada untuk meneruskan sesuatu pekerjaan atau sebaliknya.

Syarat Untuk Melakukan Istikharah

Cara Melakukan Solat Istikharah

Adakah istikharah terikat dengan syarat-syarat tertentu?

Perincian mengenai perkara ini telah dikaji oleh para alim ulama dan agamawan sejak sekian lama.

Para ulama meletakkan beberapa syarat umum untuk amalan istikharah ini. Ia bertujuan untuk melindungi supaya amalan ini sentiasa terjaga dan baik, serta tidak dicemari dengan penambahan yang tidak sesuai (dan merosakkan)

Antara syarat-syaratnya dapat disimpulkan seperti berikut:

  1. Istikharah hendaklah dilakukan dalam perkara-perkara yang masih belum jelas sisi kebaikan padanya. Contohnya seperti perkahwinan, bermusafir, berpindah dan sebagainya.
  2. Istikharah dilakukan hanya untuk perkara yang harus, bukan dalam perkara yang wajib. Sebagai contoh, jika seseorang itu melakukan istikharah sama ada untuk berpuasa Ramadan ataupun tidak, maka istikharah sedemikian tidak dibolehkan.

    Beristikharah untuk perkara yang diharamkan juga dilarang kerana Allah SWT tidak menjadikan di dalam perkara-perkara yang dilarangNya sebagai kebaikan.
  3. Doa-doa yang dibaca semasa melakukan istikharah sebaik-baiknya adalah doa yang warid, iaitu seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

    Ini kerana doa yang diajar oleh Nabi SAW mempunyai kelebihan dan faedah. Jika tidak, tidaklah Baginda mengajarkan kepada sahabat RA dengan begitu terperinci.

    Namun begitu, kelonggaran diberikan kepada mereka yang tidak mampu menghafal lafaz doa daripada Nabi ini, atau tidak mampu membaca bahasa Arab. Mereka diharuskan membaca doa-doa yang lain.

Istikharah dilakukan dengan ikhlas dan penuh bergantungan kepada Allah SWT. Kita mengharap Allah SWT menunjukkan dan mempermudahkan kita ke arah sesuatu perkara.

Ini kerana Allah SWT lebih mengetahui perkara terbaik untuk hambaNya. Mungkin kita menyukai sesuatu perkara, tetapi pada hakikatnya ia tidak baik untuk kita, dan mungkin perkara yang kita tidak suka itu sebenarnya adalah lebih baik untuk kita.

Sebelum Solat Istikharah, Lakukan Dahulu Istisyarah

Apakah yang dimaksudkan dengan istisyarah?

Istisyarah bermaksud ‘meminta nasihat.’

Maksudnya meminta nasihat daripada mereka yang lebih berilmu dan berpengalaman mengenai masalah yang anda sedang hadapi.

Rasulullah tidak melakukan istikharah dalam beberapa situasi penting.

Hal ini kerana nabi sudah yakin pilihan itu tepat.

Contohnya dalam peperangan Badar apabila Rasulullah mahu memilih kawasan yang jauh daripada mata air.

Para sahabat pula mencadangkan supaya dipilih tempat yang dekat dengan mata air.

Selepas mendengar penerangan betapa pentingnya membuat kem berdekatan dengan mata air, Rasulullah terus menerima cadangan sahabat itu relevan dan jauh lebih baik daripada cadangan yang pertama tadi.

Ketika peperangan Khandaq pula, apabila Salman Al-Farisi mencadangkan menggali parit, Rasulullah menerimanya tanpa beristikharah.

Ini kerana cadangan itu memang adalah yang terbaik dalam pertimbangan.

Dalam situasi kita:

Berbincang dengan keluarga, minta pendapat orang-orang tua yang kita kenali, ustaz, dan ustazah yang kita rapat.

InsyaaAllah pandangan mereka mempunyai hikmah yang akan membuka minda kita.

Sekiranya sudah nampak yang mana pilihan terbaik, maka istikharah tidak diperlukan. Jikalau kita rasa tidak yakin, baru kita lakukan istikharah.

Melalui Rasulullah sendiri kita belajar.

Bacaan Cadangan

istisyarah

Syarat & Panduan Melakukan Istisyarah

Bagaimana kaedah istisyarah yang betul?

Panduan ini akan menerangkan secara lengkap berkaitan istisyarah, iaitu kaedah membuat pilihan dan keputusan disamping istikharah.

Persediaan Emosi Dan Fikiran Semasa Istikharah

Mari kita teliti persediaan istikharah melalui sudut emosi dan fikiran.

Apa yang saya maksudkan disini adalah bagaimana seharusnya keadaan emosi dan fikiran (mindset) kita semasa melakukan istikharah ini.

  1. Yakin. Perasaan percaya dan yakin bahawa Allah SWT akan membantu hambaNya yang berdoa kepadaNya. Yakin bahawa Allah SWT akan menunjukkan kita jalan yang lebih baik.

  2. Faham. Sebaiknya kita memahami setiap makna doa yang kita lafazkan. Ini kerana, hanya dengan kefahaman itu kita dapat benar-benar menjiwai doa yang kita pohon. Kefahaman ini juga adalah faktor yang sangat membantu dalam menghadirkan sifat ikhlas dalam diri kita.

  3. Kebergantungan. Hadirkan rasa kebergantungan yang tertinggi kepada Allah SWT. Iaitu perasaan betapa kerdilnya diri kita, dan kepada Allah SWT jua tempat kita kembalikan segala urusan.

    Antara usaha yang dapat dilakukan adalah dengan melazimi istikharah ini pada setiap urusan; kecil ataupun besar. Hal ini mendidik hati kita supaya sentiasa terikat dengan Allah SWT, bukan hanya ketika urusan kita sudah menjadi ‘benar-benar’ susah.

  4. Membelakangkan Hawa Nafsu. Antara adab yang utama adalah keperluan kita meletakkan hawa nafsu dan keinginan kita di belakang.

    Dengan erti kata lain, kita mengharapkan petunjuk Allah SWT dan meletakkannya di hadapan. Ini kerana Allah SWT lebih mengetahui yang terbaik buat diri kita. Mungkin sahaja kita berkenan terhadap sesuatu perkara, tetapi hakikatnya ia tidak baik untuk kita.

Tiga Kaedah Melaksanakan Istikharah

Mengenai kaedah melakukan istikharah, menurut pendapat-pendapat yang masyhur, ia terbahagi kepada tiga bentuk:

  1. Bentuk yang paling sempurna adalah melakukan dua rakaat sunat istikharah, dan membaca doa yang ma’thur seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
  2. Bentuk yang kedua pula adalah kita membaca doa sahaja tanpa melakukan solat sunat. Bentuk kedua ini diharuskan jika pada ketika itu kita tidak mampu ataupun uzur untuk melakukan solat dan doa bersama-sama. Umpamanya orang yang sakit ataupun datang haid, golongan ini harus hanya berdoa untuk beristikharah.
  3. Tahap ketiga pula adalah harus untuk berdoa selepas apa jua solat, dengan niat untuk istikharah dan memohon petunjuk daripada Allah SWT.

Waktu Solat Istikharah

solat sunat rawatib asar

Bilakah waktu yang paling sesuai untuk melakukan istikharah?

Adakah terdapat sebarang waktu yang khusus ataupun istikharah boleh dilakukan pada bila-bila masa?

Perkara ini diterangkan seperti berikut:

1. Berdoa Sahaja

Terdapat pendapat yang mengharuskan istikharah dengan berdoa sahaja tanpa melakukan solat, maka istikharah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa. Ini kerana tiada halangan untuk berdoa pada setiap masa.

2. Waktu Boleh Mengerjakan Solat Istikharah

Bagi yang melakukan dua rakaat solat sunat Istikharah, maka ia berkait dengan waktu yang dibolehkan melakukan solat sunat dan waktu yang makruh.

Solat sunat Istikharah ini harus dilakukan pada setiap masa kecuali ketika waktu makruh seperti berikut:

  1. Sesudah solat fardu subuh sehingga waktu dhuha
  2. Selepas solat fardu asar sehingga terbenamnya matahari

Hikmah larangan ini adalah untuk tidak menyerupai sebahagian orang kafir yang menyembah matahari ketika matahari terbit dan juga sujud ketika matahari terbenam.

Larangan ini bertujuan untuk menutup segala pintu ke arah perbuatan syirik dan perbuatan yang menyerupai amalan orang kafir.

3. Waktu Paling Mustajab Untuk Melakukan Solat Istikharah

Tiada dalil khusus yang menunjukkan waktu khas untuk kita melakukan solat sunat istikharah dan berdoa.

Pendapat yang paling tepat adalah kita memperbanyakkan doa pada setiap waktu terutamanya ketika waktu mustajab.

Antara waktu mustajab untuk berdoa adalah:

  1. Waktu antara azan dan iqamah
  2. Pada pertengahan malam atau satu pertiga akhir malam (qiamullail) bersama-sama Solat Tahajjud dan Solat Taubat.
  3. Ketika sujud.
  4. Pada akhir setiap kali solat, iaitu sebelum memberi salam.

Niat Solat Istikharah

lafa niat solat istikharah

Usolli Sunnatal Istikharati Rak’ataini Lillahi Ta’ala

Niat dalam Bahasa Melayu:

Sahaja aku solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Taala.

Rakaat Solat Istikharah

Solat sunat istikharah boleh dikerjakan 2 rakaat atau sehingga 12 rakaat dengan 6 salam.

Cara Solat Istikharah

Bagaimana cara mengerjakan Solat Istikharah?

Cara Solat Istikharah dari segi pergerakan adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain.

Bacaan dalam solat ini tidaklah ditentukan. Oleh itu, bolehlah dibaca mana-mana surah yang disukai.

Di bawah ini adalah panduan langkah demi langkah untuk mengerjakannya:

Rakaat Pertama

1. Solat Dimulakan Dengan Takbiratul ihram.

Niat Solat Sunat Istikharah

Semasa mengangkat takbir, bacakan niat solat istikharah dalam hati.

Usolli Sunnatal Istikharati Rak’ataini Lillahi Ta’ala

Atau boleh juga berniat dalam Bahasa Melayu:

Sahaja aku solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Taala.

takbiratul ihram

2. Kemudian, Bacalah Doa Iftitah.

Hukum membaca Iftitah adalah sunat hai’ah. Solat tetap sah jika doa ini ditinggalkan. Jika dibaca, mendapat pahala.

doa iftitah
Doa Iftitah

Allaahu Akbaru Kabiiraa-walhamdu Lillaahi Katsiiran, Wa Subhaanallaahi Bukrataw-wa’ashiila.

Wajjahtu Wajhiya Lilladzii Fatharas-samaawaati Wal Ardha Haniifam-muslimaw-wamaa Anaa Minal Musyrikiina.

Inna Solaatii Wa Nusukii Wa Mahyaaya Wa Mamaatii Lillaahi Rabbil ‘Aalamiina.

Laa Syariikalahu Wa Bidzaalika Umirtu Wa Ana Minal Muslimiin


3. Seterusnya Bacalah Surah al-Fatihah.

Surah al-Fatihah adalah sebahagian daripada rukun solat. Oleh itu ia wajib dibacakan dalam solat.

surah al fatihah

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn


4. Kemudian, Baca Surah al-Kafirun

Selesai baca al-Fatihah, maka bacalah pula ayat daripada mana-mana surah al-Quran seperti surah al-Kafirun.

surah al-kafirun

Qul yaa ayyuhal-kafirun. La a’budu maa ta’buduun. Wa la antum ‘Abiduna maa a’bud. Wa laa ana ‘Aabidum maa ‘abattum. Wa laa antum ‘abiduuna maa a’bud. Lakum diinukum wa liya diin.

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.

Pemilihan surah adalah bebas. Anda juga baca surah-surah yang lain.


5. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

rukuk solat

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan  diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.

Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:

  SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih 


6. Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:

bangun dari rukuk
rabbana lakal hamdh

 Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh 


7. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

sujud

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

  Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih 


8. Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

solat taubat

Baca bacaan antara dua sujud:

  Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni  


9. Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

 Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih 


10. Duduk Istirahat Seketika Sebelum Bangun Untuk Rakaat Kedua.

Sebelum bangun ke rakaat kedua, duduk istirahat sebentar (lebih kurang 3 saat) sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya.

solat taubat
Posisi Duduk Istirahat

Rakaat Kedua

11. Rakaat Kedua Dimulai Dengan Lafaz Takbir intiqalat

Selepas bangun dari duduk istirahah, maka bertakbirlah untuk rakaat kedua.

(Takbir intiqalat bermaksud takbir permulaan rakaat kedua).


12. Baca Surah al-Fatihah

Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah.

Seperti rakaat pertama, sekali lagi pada rakaat kedua dibacakan surah al-Fatihah.

surah al fatihah
Surah al-Fatihah

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn


13. Membaca Surah al-Ikhlas

Selesai membaca al-Fatihah, maka bacalah pula surah al-ikhlas.

surah al-ikhlas

Qul huwallahu ahad. Allahus-samad. Lam yalid wa lam yuulad. Wa lam yakul lahuu kufuwan ahad.

Maksudnya:

Katalah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

  • Seperti rakaat pertama, kita bebas untuk membaca mana-mana surah yang kita mahu dan ingat.

14. Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

rukuk solat

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan  diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.

Dalam rukuk ini, bacalah bacaan rukuk:

 SubHaaNa Rabbiyal A’zim Wabihamdih 


15. Kemudian Bangun Iktidal

Bangun dari rukuk dan berdirilah tegak (iktidal), kemudian bacalah:

bangun dari rukuk
rabbana lakal hamdh

 Sami Allahu Liman Hamidah. Rabbana Lakal Hamdh 


16. Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

sujud

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

 Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih 


17 Kemudian Duduk Diantara Dua Sujud

solat taubat

Baca bacaan antara dua sujud:

 Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa ‘AaFini Wa’fu Anni  


18 Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Semasa sujud bacakan bacaan sujud:

 Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih 

Bacaan Dalam Sujud Akhir

Semasa sujud akhir (sebelum bangun untuk tahiyat), ucapkanlah sebagaimana berikut sebanyak 40 kali:

bacaan dalam sujud solat istikharah

 Subhanaka Laa i’lma Lana illa Maa ‘AllamTana, innaka Anta ‘Alimul-hakim (40x) 

Maksudnya:

Maha Suci Engkau, tiada pengetahuan bagi kami kecuali apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.


19 Bangun Dari Sujud, Terus Lakukan tahiyyat akhir 

tahiyat akhir

20 Selesai Tahiyat, Solat Diakhiri Dengan Memberi Salam.

Akhir solat dengan memberi salam dua kali, bermula dari kanan kemudian memalingkan muka ke kiri.

salam

Palingkan muka ke sebelah kanan, dan ucapkan salam seperti berikut:

ucapan salam

 Assalamualaikum Warahmatullah 

Maksudnya:

Salam sejahtera untuk kamu, juga rahmat Allah dan berkatNya

… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:

ucapan salam

 Assalamualaikum Warahmatullah 


21 Maka Selesailah Solat Istikharah Tersebut.

Jika anda mahu menambah bilangan rakaat solat ini sehingga 12 rakaat, ulangi langkah 1-11.

Selepas salam, bacalah surah Al-Fatihah dan wirid-wirid. Perbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada Allah.

Seterusnya, lakukan doa Istikharah seperti yang dinyatakan pada bahagian di bawah

Doa Istikharah

doa istikharah

Rasulullah SAW kerap mengajar doa ini sebagaimana Baginda mengajar ayat-ayat al-Quran (Rekod Imam Al-Bukhari)

Doa ini boleh dibaca dalam bahasa arab dan bahasa melayu.

Jika sukar, berdoa sahaja dalam Bahasa Melayu, atau apa-apa sahaja bahasa yang memudahkan anda.

InsyaaAllah Allah Maha Memahami doa setiap hambaNya.

doa istikharah

Doa Istikharah Dalam Rumi

Allahumma Innii Astakhiiruka bi’ilmika

Wa Astaqdiruka Biqudrotika

Wa As-aluka Min Fadhlikal Azhiim

Fainnaka Taqdiiru Wa Laa Aqdiru

Wata’lamu Wa Laa A’lamu

Wa Anta ‘allaamul Ghuyuub

Allaahumma In Kunta Ta’lamu

Anna Haadzal Amro Khoirun Lii Fii Diinii Wa Ma’aasyii Wa ‘aaqibati Amri

Faqdurhu lii Wayassirhu lii

Tsumma Baarikli Fiihi

Wa In Kunta Ta’lamu

Anna Haadzal Amro Syarrun Lii Fii Diini

Wa Ma’aasyii Wa ‘aaqibati Amri

Fashrifhu ‘annii Washrifnii ‘anhu

Waqdur Liyal Khairahaytsu Kaana

Tsumma Aor Dhinii Bih


Maksud Doa Istikharah

Ya Allah, aku memohon agar memilih mana yang baik menurut Engkau ya Allah.

Aku juga memohon diberikan kepastian dengan ketentuanMu dan aku memohon dengan kemurahanMu Tuhan yang Maha Agung.

Sesungguhnya Engkau Tuhan yang Berkuasa, sedangkan aku tidak tahu. Engkau Tuhan yang amat mengetahui segala sesuatu yang masih tersembunyi.

Ya Allah! Jika menurut pendapatMu urusan ini (sebutkan perkara tersebut) memberi kebaikan bagiku untuk agamaku, kehidupanku, dan pekerjaanku, maka takdirkanlah ia bagiku dan berkatilah ia padaku.

Jika menurut pengetahuanMu bahawa urusan ini (sebutkan perkara tersebut) memberi keburukan bagiku untuk agamaku, kehidupanku dan pekerjaanku, maka ku mohon agar Engkau jauhkan ia daripadaku dan kurniakanlah bagiku hanya kebaikan di mana sahaja aku berada.

Jadilah aku orang yang redha atas anugerahMu.

(Rekod Imam al-Bukhari)

Bacalah doa itu di dalam bahasa apa sahaja dan ketahuilah bahawa Allah Maha Memahami segala bahasa.

Yang penting, berdoalah dengan hati yang hadir. Allah mahu mendengar rintihan dan rayuan ikhlas hambaNya kepadaNya.

Jika ianya lebih mudah untuk anda menyampaikan doa di dalam bahasa lain, maka berbuatlah demikian.

Setelah selesai melaksanakan Solat Sunat Istikharah dan berdoa, bertawakkallah dan berserahlah sepenuhnya kepada Allah SWT dengan harapan Allah SWT akan memberikan petunjuk terhadap kebimbangan dan keraguan yang kita hadapi.

Bilakah Waktu Terbaik Untuk Berdoa?

Pada ulama berbeza pandangan mengenai waktu untuk kita membaca doa istikharah ini. Secara umumnya, pendapat mereka boleh dibahagikan kepada tiga:

  1. Selepas Memberi Salam. Pendapat ini adalah pendapat kebanyakkan ulama. Doa dibaca sejurus selepas memberi salam pada rakaat kedua solat sunat istikharah.
  2. Sebelum Memberi Salam. Sebahagian pendapat lain mengharuskan kita membaca doa ketika sujud terakhir solat istikharah, atau selepas tahiyat akhir.
  3. Tiada Waktu Khas. Pendapat yang terakhir pula mengatakan tiada waktu tertentu untuk doa ini. Seseorang itu boleh berdoa sebelum memberi salam ataupun selepas selesai solat. Antara ulama yang memegang pendapat ini adalah Imam Ibnu Taimiyah.

Adakah Kita Perlu Menghafal Doa?

Bagi yang berkemampuan, sebaik-baiknya kita cuba menghafal doa yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Ini kerana kita percaya apa yang diajar oleh Baginda adalah cara yang terbaik.

Tetapi bagi mereka yang mempunyai kesulitan untuk menghafal, terdapat beberapa kelonggaran untuk mereka:

  • Keadaan pertama. Bagi mereka yang mampu membaca, tidak menjadi masalah membacanya daripada kertas, buku ataupun dari telefon.
  • Keadaan kedua. Bagi mereka yang tidak pandai membaca pula, dibolehkan untuk membaca apa-apa doa yang membawa kepada makna istikharah.

Adakah Doa Perlu Dimulakan Dengan Selawat dan Lafaz Alhamdulillah?

Imam Nawawi berpendapat, harus untuk membaca lafaz alhamdulillah dan selawat pada permulaan doa. Ini kerana terdapat hadis-hadis yang menganjurkan bacaan ini.

Namun, adalah lebih baik untuk kita mengehadkan doa tadi kepada apa yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dan tidak menambah doa itu. Ini adalah lebih afdal dan elok.

Ketika Berdoa, Adakah Perlu Menyatakan Hajat Ataupun Cukup Dengan Hanya Berdoa Dalam Hati?

Walaupun mungkin ada yang berpendapat Allah SWT mengetahui setiap isi hati kita, tetapi seharusnya kita mengamalkan istikharah sesuai dengan apa yang diajarkan oleh Nabi Muhamad SAW.

Seperti yang difahami daripada maksud hadis, Rasulullah SAW mengajar kita supaya menyebut hajat-hajat kita semasa doa istikharah.

Kemudian, diakhiri dengan memohon kepada Allah SWT supaya menunjukkan apa yang terbaik buat kita.

Bolehkah Memohon Banyak Permintaan Dalam Satu Solat Atau Doa?

Jawapan bagi persoalan ini berbeza mengikut keadaan:

  • Keadaan pertama. Jika permintaan yang ingin dipinta itu berkait antara satu sama lain, diharuskan untuk menghimpun permintaan yang banyak dalam satu solat.
  • Keadaan kedua. Bagi permintaan yang tidak berkait antara satu dan yang lain, tiada masalah untuk kita menghimpunkannya dalam satu solat. Tetapi lebih baik jika dilakukan dalam solat-solat istikharah yang berasingan.

Apa Yang Perlu Dibuat Jika Uzur & Tidak Boleh Solat?

Apabila kita tidak dapat mengerjalan solat istikharah (seperti perempuan yang haid), maka diperbolehkan untuk terus membaca Doa Istikharah.

Oleh itu, seorang wanita yang tidak solat kerana uzur shar’ie, doanya tetap sah meskipun tidak diiringi solat.

Adakah Perlu Melaksanakan Istikharah Berulang Kali?

Jawapan bagi persoalan ini terbahagi kepada beberapa pendapat:

Pendapat Pertama

Tidak disyaratkan untuk kita mengulangi istikharah berkali-kali. Pendapat ini bersandarkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW yang mengatakan solat istikharah adalah solat dua rakaat.

Pendapat Kedua

Kita dibolehkan melakukan solat sunat istikharah berulang kali. Dalil ini adalah daripada amalan para sahabat.

Antaranya adalah Ibnu Zubair yang berkata:

Sesungguhnya aku beristikharah kepada Tuhanku sebanyak tiga kali”


Ia juga pernah diamalkan oleh Sayyidina Umar al-Khattab RA ketika peristiwa penulisan hadis. Diceritakan bahawa Sayidina Umar RA telah melakukan syura bersama para sahabat yang lain, kemudian dia melakukan istikharah selama sebulan sebelum membuat keputusan.

Dan yang terakhir adalah kata-kata Sayidina Anas bin Malik:

Jika kamu berniat dalam suatu urusan, lakukanlah istikharah kepada Tuhanmu pada urusan itu sebanyak tujuh kali”

Pendapat Ketiga

Pendapat ini tidak menetapkan sebarang  bilangan. Pendapat ini mengatakan istikharah boleh dilakukan berulang kali selagi tidak mendapat jawapan.

Seandainya sudah mendapat jawapan, maka tidak perlu lagi untuk melakukan istikharah.

Bolehkah Mewakilkan Orang Lain Untuk Melakukan Istikharah?

Pendapat yang utama adalah TIDAK membenarkan perkara ini.

Mereka berpendapat tidak boleh bagi seseorang itu menunaikan solat untuk orang lain, sama ada solat yang wajib ataupun solat yang sunat, juga sama ada untuk orang yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia.

Sebahagian ulama, antaranya dalam mazhab Syafi’e pula mengharuskan seseorang itu melakukan istikharah untuk saudaranya yang lain.

Pendapat ini disandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesiapa yang mampu untuk memberi manfaat kepada saudaranya maka lakukanlah”

(Riwayat Imam Muslim)

Petunjuk Istikharah

petunjuk istikharah

Bagaimana petunjuk istikharah kita terjawab?

Apabila kita telah menunaikan solat istikharah maka hendaklah kita berserah kepada Allah Taala.

Bermohonlah kepada Allah dengan penuh keyakinan agar diberi petunjuk melalui mimpi, gerak hati (rasa lebih cenderung & kuat) dan dipermudahkan urusan yang mana baik.

Menurut Dr Ali Jum’ah:

Perlu diketahui bukanlah apabila kita sudah melakukan solat istikharah akan bermimpi atau melihat suatu kejadian yang ajaib tetapi biasanya apabila perkara yang akan kita lakukan itu elok bagi kita teruskan maka tandanya akan jadi mudah segala hal yang berkaitan dengannya dan begitu pula sebaliknya.

YouTube video

Bacaan Cadangan

petunjuk istikharah

Bagaimana jawapan dan petunjuk istikharah boleh diketahui?

Panduan ini akan menjelaskan bab berkaitan petunjuk dan jawapan istikharah yang harus difahami, secara lengkap.

Bagaimana Jika Saya Masih Belum Dapat Jawapan dan Keputusan?

Teruskan solat.

Apabila istikharah yang pertama tidak mendatangkan keyakinan, lakukan lagi untuk kali yang kedua dan ketiga.

Ini mungkin petanda bahawa Allah SWT memahukan kita untuk terus merayu kepadaNya dan meminta pertolongan daripadaNya.

Apa pun, jangan sesekali putus harapan.

Walaupun kita meminta seribu kali tanpa petunjuk yang pasti, itu bukanlah sebab untuk berhenti meminta.

Ketahuilah bahawa Allah hanya belum meletakkan kecenderungan itu di dalam hati kita.

Saya Jarang Solat. Adakah Istikharah Saya Akan Dijawab?

Allah adalah tempat bergantung kesemua makhluk.

Malah pendosa terbesar sekali pun masih boleh kembali kepada Allah dan meminta daripadaNya. Ini merupakan tanda keikhlasan dan kepercayaan kita kepada Allah.

Oleh itu, lakukanlah solat istikharah walaupun anda tidak solat sebelum ini.

Mencari Keberkatan Daripada Istikharah Yang Dilakukan

SOLAT ISTIKHARAH

Bagaimana kita boleh mencari keberkatan dari istikharah?

Dalam proses istikharah ini, tanamkan dalam hati bahawa apa yang kita harapkan daripada istikharah ini adalah agar Allah SWT sentiasa menunjukkan jalan dan memandu kita, menaungi dan memerhatikan perjalanan hidup kita, dan melimpahkan sebanyak-banyak keberkatan dan rahmat kepada diri kita.

Kita berharap agar Allah SWT tidak mengabaikan perihal diri kita, seperti sebuah doa yang diajarkan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad yang bermaksud:

“Ya Hayyu ya Qayyum, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau biarkan aku pada diriku walau sekelip mata”

Oleh itu, kita dituntut supaya melakukan setiap amal dan perbuatan kita dengan sebaik mungkin.

Semoga setiap ketekunan dan usaha kita dalam beramal dilihat oleh Allah SWT dan diberikan ganjaran dengan sebaik-baiknya.

Berusahalah menepati setiap rukun dan syarat, serta lazimi segala adab dalam setiap amal yang kita kerjakan.

Soal Jawab Masalah Berkaitan Solat Istikharah

Berikut disenaraikan beberapa soal jawab yang sering timbul berkaitan Solat Istikharah:

Penutup: Istikharah Simbolik Pergantungan Kita kepada Allah

Mengerjakan solat istikharah adalah simbolik pergantungan kita kepada Allah.

Menunjukkan bahawa kita ni adalah hamba Allah yang lemah, yang sangat memerlukan pimpinanNya.

Jadi mohonlah kepada Allah agar diberikan petunjuk dan dipermudahkan urusan.

Dan setelah keputusan dibuat, yakinlah kepada Allah setiap apa yang terjadi selepas ini adalah pasti yang terbaik untuk kehidupan kita, InsyaaAllah.

Semoga bermanfaat.

Nota Rujukan:

  1. Ensiklopedia Solat — Rohidzir Rais, Fuad Ismail, Mohd Wahid Abd Hanif
  2. Ensiklopedia A-Z Tentang Solat — Dr Nik Yusri Musa
  3. Mohonlah Petunjuk Solat Istikharah — Hakim Hamidon
  4. Bimbingan Lengkap Solat Sunat — Dato’ Dr. Mahmood Haji Abdul Majib, Rohidzir Rais [Pautan]
  5. Solat Sunat Harian — Mohd Faez B. Mohd Shah al-Hashimi
  6. Tentang Pilihan: Membentuk Kerangka Fikir Dalam Menentukan Perjalanan Hidup — Dr Nur Aisyah Zainordin [Pautan]
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

726 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Mariatul Sulaiman
Mariatul Sulaiman
1 bulan yang lalu

Alhamdulillah….terima kasih ustaz. Panduan yg sangat baik

Adza Nubli Bin Abd Aziz
Adza Nubli Bin Abd Aziz
2 bulan yang lalu

Terima kasih ustaz

Arif
Arif
3 bulan yang lalu

Assalammualaikum ustaz, nak tanya kalau doa sahaja boleh ke tk perlu solat istikharah, mohon penjelasan ustaz?

Arif
Arif
Reply to  Muhamad Naim
3 bulan yang lalu

Terima Kasih

Azeem
Azeem
4 bulan yang lalu

Salam. Sy pula nak tanya. Bukan tentang pilihan jodoh, tp menunggu jawapan utk kerja. Sudah pun sy terima tawaran itu dan membalas emel setelah mendapat offer letter, tetapi rupanya ad penapisan lagi dr pihak lain yg boleh buatkan sy di reject utk berkhidmat dlm agensi tersebut, sy mmg mengharapkan dapat kerja tersebut. Sy betul betul Mengharapkan sgt pihak penapisan itu tidak rejectt nama saya..Adakah sesuai sy istikarah?

Azeem
Azeem
Reply to  Muhamad Naim
4 bulan yang lalu

Terima kasih

Azimah Hanifa
Azimah Hanifa
6 bulan yang lalu

Terima kasih atas perkongsian yg bermanfaat. Smoga menjadi pahala jariah buat yg terlibat.

Khairul
Khairul
7 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz.. jika dia sujud rakaat kedua kita tdk baca Subhanaka Laa i’lma Lana illa Maa ‘AllamTana, innaka Anta ‘Alimul-hakim
bole ka ustaz?

Faiz
Faiz
11 bulan yang lalu

Assalammualaikum

Bagaimana saya boleh mendapatkan audio doa untuk download?

Fizie
Fizie
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum ustaz…sy xpdai nk baca Suraj…sekadar al fatihah n Al ikhlas shaja…bolehke sy bt solat istiqharah ni

Annisa binti Abdullah
Annisa binti Abdullah
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum terima kasih atas perkongsiannya.. sedang mengamalkan kerana keliru dalam hal berkait masa depan.. mudah-mudahan banyak pahala admin.. doakan juga Allah berikan petunjuk sejelas-jelasnya dan hati yang benar-benar yakin dalam menjalani apa jua pilihan yang Allah tetapkan.

Maaf tapi saya rasa ada ralat sikit pada tafsir doa tersebut.. sebelum perkataan “tsumma barikli fih”.. ada perkataan wayassirhu lii yang bermaksud “permudahkan ia bagiku” tapi takda dalam maksudnya.. mohon diperbetulkan kalau boleh hehe

FAIROLIZAM BIN SULHI
FAIROLIZAM BIN SULHI
2 tahun yang lalu

Assalammualaikum.
Ustaz, saya ada soalan.
Apakah hukum bacaan 40 kali pada sujud terakhir sebelum bangun tasyahud akhir dalam Solat Sunat Istikharah ?