Syarat & Panduan Istisyarah

Bagaimana kaedah istisyarah yang betul?

Panduan ini akan menerangkan secara lengkap berkaitan istisyarah, iaitu kaedah meminta pandangan dan nasihat disamping istikharah.

Saya akan tunjukkan:

  • Kaedah membuat keputusan
  • Yang mana perlu didahulukan antara istikharah dan istisyarah
  • Syarat-syarat istisyarah

… dan sebagainya.

Semoga bermanfaat. Tanpa buang masa, mari kita mulakan..

Definisi & Maksud Istisyarah

istisyarah

Apakah maksud istisyarah?

Istisyarah dalam bahasa Arab bermaksud meminta pandangan atau meminta seseorang untuk berbincang.

Antara penggunaan kalimah ini dalam bahasa Arab adalah اِسْتِشَارَةُ طِبِّيَّة iaitu konsultasi doktor, dan juga perkataan اِسْتِشَارَةُ قَانُونِيَّة yang bermaksud konsultasi dengan peguam dalam perundangan.

Dalam konteks panduan ini, istisyarah adalah mendapatkan keputusan sesuatu isu selepas sesi perbincangan dengan orang lebih matang, pakar yang berkelayakan dalam bidang tertentu.

Dua Kaedah Membuat Keputusan Dalam Islam

Istisyarah

Melalui perbincangan para alim ulama dalam bab istikharah, disimpulkan bahawa terdapat dua jalan atau kaedah untuk membuat sesuatu keputusan.

Dua jalan tersebut adalah:

  1. Melakukan Istikharah. Iaitu kita melakukan dua rakaat Solat Sunat Istikharah dan berdoa kepada Allah SWT supaya diberikan panduan dan petunjuk dalam urusan-urusan kita.
  2. Melakukan Istisyarah. Iaitu kita menemui ahli ilmu yang amanah dan baik budi pekerti, serta meminta pendapat dan pandangan daripada mereka.

Jalan dan pilihan yang kedua ini pada hakikatnya juga mengambil saranan Allah SWT dalam al-Quran seperti berikut:

Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengatahuan jika kamu tidak mengetahui”

(Surah an-Nahl ayat 43)

Dalam petikan ayat ini, terdapat saranan Allah SWT supaya bertanyakan kepada orang-orang yang lebih berilmu dan mengetahui, sekiranya kita tidak mahir dalam perkara tersebut.

Antara firman Allah SWT yang lain pula adalah daripada Surah Ali Imran ayat ke-159 yang bermaksud:

Oleh itu maafkanlah mereka mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu, dan pohonkanlah ampun daripada mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan peperangan dan soal-soal keduniaan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya”

(Surah Ali Imran 159)

Dalam ayat ini, terdapat saranan supaya Nabi Muhammad SAW melakukan syura dalam sesuatu urusan.

Inilah saranan Allah SWT dan amalan Nabi Muhammad SAW.

Walaupun Baginda adalah seorang nabi dan rasul, Baginda tetap bermesyuarat dan bersyura bersama-sama para sahabat. Ia juga menjadi amalan para khalifah selepas Baginda.

Antara Istikharah Dan Istisyarah, Yang Mana Perlu Didahulukan?

istisyarah

Dalam hal ini, timbul satu persoalan:

Adakah seseorang itu perlu bertanya mereka yang berpengalaman dan berilmu terlebih dahulu, ataupun terus melakukan solat sunat istikharah?

Persoalan ini telah dibincangkan secara panjang lebar oleh para ulama sejak sekian lama.

Sebahagian daripada ulama’ berpendapat kita seharusnya melakukan solat sunat istikharah terlebih dahulu sebelum meminta pendapat daripada mereka yang lebih berpengalaman.

Ini kerana sebagai seorang hamba, seharusnya kita merujuk urusan kita dan mengadu segala permasalahan kita kepada Allah SWT terlebih dahulu. Apabila selesai melakukannya, barulah beralih kepada meminta pandangan daripada orang lain.

Pandangan kedua pula mengatakan sebaiknya didahulukan istisyarah sebelum kita melakukan solat Istikharah.

Apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara atau keputusan, sebaiknya dia duduk berbincang terlebih dahulu dengan orang yang lebih berpengalaman, seperti alim ulama, ibu bapa, dan lain lain.

Setelah melakukan perbincangan dan mencapai kata putus, lakukan pula solat sunat istikharah dan memohon yang terbaik daripada Allah SWT.

Persoalan ini adalah termasuk khilaf para alim ulama.

Bagi mereka yang selesa dengan pendapat yang pertama, silakan. Bagi mereka yang lebih cenderung kepada pendapat yang kedua, amalkanlah.

Di sini tidak terdapat perbezaan yang ketara antara kedua dua pendapat ini.

Apa yang lebih penting adalah kita mengikut saranan dan pesanan daripada firman Allah SWT dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Istikharah adalah satu tindakan hati dan keimanan, manakala istisyarah adalah tindakan anggota dan akal.

Tidak menjadi persoalan besar yang mana satu perlu didahulukan.

Apa yang pasti adalah kedua dua amalan ini jika diamalkan bersama-sama pasti menghasilkan sinergi yang hebat, iaitu gabungan antara tindakan iman dan hati, bersama tindakan anggota dan akal fikiran.

Syarat-Syarat Dalam Melakukan Istisyarah

Istisyarah

Berikut adalah syarat-syarat dalam melakukan istisyarah:

  1. Merujuk kepada mereka yang baik agamanya.
  2. Merujuk kepada mereka yang ahli dalam bidangnya.
  3. Proses istisyarah tidak tergesa gesa.

Walaupun proses istisyarah adalah satu proses yang penting dan ditekankan dalam agama, tidak bermakna ia boleh dilakukan begitu sahaja.

Para alim ulama telah meletakkan sedikit sebanyak syarat dan aturan, agar maksud dan tujuan istisyarah dapat dijaga dan dipelihara.

Antara syarat yang digariskan oleh alim ulama ini, saya tertarik kepada tiga syarat berikut.

Tiga syarat ini pada hemat saya memadai bagi memelihara maksud dan tujuan istisyarah, agar sentiasa bertepatan dengan kehendak syarak.

1. Merujuk Kepada Mereka Yang Baik Agamanya.

Apabila kita mahu meminta pandangan dan pendapat seseorang, ciri beragama adalah satu ciri yang sangat utama. Mengapa demikian?

Ini kerana mereka yang baik agamanya serta menjaga akhlak adalah mereka yang boleh diberikan amanah dan kepercayaan.

Sebaliknya, adakah kita akan menaruh kepercayaan kepada mereka yang tidak dapat menguruskan dirinya sendiri? Sudah tentu tidak.

Baik agamanya di sini tidak bermaksud kita hanya boleh merujuk dan meminta pandangan para alim ulama atau ahli ibadah sahaja.

Memadai jika orang yang kita rujuk itu tidak fasik dan menjaga perkara yang fardu baginya.

Syarat pertama ini adalah syarat yang paling penting, kerana apabila kita ingin meminta pandangan dan pendapat seseorang, kita mengharapkan segalanya mengarahkan kita kepada apa yang diredhai oleh Allah SWT, bukan sebaliknya.

1. Merujuk Kepada Mereka Yang Matang Atau Ahli Dalam Bidangnya.

Apa yang ingin ditekan di sini adalah keperluan untuk kita meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Syarat kedua ini meletakkan ciri berpengalaman dan berilmu sesuai pada kedudukannya.

Apabila kita ingin meminta pandangan mengenai urusan rumah tangga dan perkahwinan, siapa yang perlu kita rujuk?

Antara ahli dalam bidang ini adalah ibu bapa kita sendiri. Mereka berpengalaman luas dan sudah tentu menginginkan yang terbaik buat kita.

Pakar kaunseling pula boleh dirujuk ketika ingin menyelesaikan permasalahan antara suami isteri di rumah.

Jika urusan yang ingin dirujuk adalah mengenai pekerjaan dan pelajaran, perkara ini boleh dirujuk kepada para guru dan pensyarah kita.

Kita juga boleh merujuk kepada senior dalam bidang kita yang sudah tentu lebih berpengalaman daripada kita.

Bayangkan seandainya setiap urusan kita diserahkan kepada mereka yang tiada ilmu dan pengalaman dalam urusan itu, sudah tentu natijahnya akan menjadi huru-hara.

Kita mengharapkan mereka menunjukkan pilihan yang lebih baik, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Ini bukan bermaksud kita tidak mempercayai mereka.

Namun apabila kita hanya bertanyakan pendapat kepada ahlinya, kita sebenarnya membantu diri kita sendiri dan juga membantu mereka, iaitu membantu mereka supaya tidak memberikan pendapat yang salah dan tidak berlaku zalim kepada masa depan orang lain.

1. Proses Istisyarah Tidak Dilakukan Secara Tergesa-gesa.

Syarat yang ketiga adalah apabila kita melakukan proses istisyarah ini, ia tidak dilakukan secara tergesa-gesa dan tergopoh gapah.

Sesuatu perkara yang dilakukan secara tergesa-gesa lazimnya akan mengakibatkan sesuatu yang negatif.

Proses istisyarah seharusnya dilakukan secara berhati-hati dan tenang.

Ambil masa seberapa lama yang diperlukan, seminggu ataupun sebulan, bahkan mungkin juga setahun.

Urusan penting dan perkara yang menjadi noktah utama dalam hidup kita seharusnya difikirkan sedalam-dalamnya.

Ini kerana masa tidak boleh diputar semula dan keputusan ini tidak boleh ditarik kembali.

Umpama urusan berumah tangga. la bukan urusan yang boleh difikir dalam sehari dua sahaja.

Sesungguhnya ini adalah satu pengajaran yang penting. Ia bertepatan dengan sepotong hadis Nabi Muhammad SAW:

Sifat tenang adalah daripada Allah. dan sifat gopoh-gapah adalah daripada syaitan.”

Kepentingan Memilih Orang Yang Tepat Untuk Melakukan Istisyarah

Istisyarah

Saya analogikan begini:

Jika ada cara untuk kita mendapatkan sesuatu dengan lebih cepat dan selamat, mengapakah kita perlu mengambil jalan yang berisiko dan mengambil masa lebih lama?

Kadang-kadang, kalau hendak menuju dari tempat A ke tempat B, adalah lebih pantas dan selamat jika kita mengikut jalan yang dicadangkan aplikasi Waze walaupun hakikatnya kita tahu arah jalan menuju ke tempat B.

Hal ini kerana teknologi Waze boleh membantu kita mencari jalan paling pantas, selamat dan mengelakkan kita dari sebarang halangan semasa menuju ke sesuatu destinasi. Jimat masa kita.

Begitu juga peranan mentor (orang yang dirujuk) dalam hal istisyarah. Mereka ibarat “waze” yang membantu kita membuat keputusan tepat.

Cumanya, dalam realiti kehidupan sebenar, mencari jalan pintas itu lazimnya tidak mudah.

Di sinilah pentingnya kita memilih orang yang tepat untuk bertanya pendapat (istisyarah).

Proses membuat keputusan akan menjadi mudah apabila mempunyai mentor yang menunjukkan jalan yang betul.

Memiliki mentor dalam kehidupan ini merupakan kelebihan untuk cepat sampai ke tujuan. Yang paling penting, dapat elak masalah dan selamat.

Kita tidak perlu melalui jalan sukar atau kesilapan yang telah dilaluinya. Kurang kesilapan dan masa tidak terbuang sia-sia kerana kita boleh memilih jalan yang tepat apabila orang lain menunjukkan jalan.

Bagaimana mencari mentor yang baik? Anda boleh rujuk kembali pada bahagian syarat istisyarah di atas.

Akan tetapi, jika kita akhirnya tidak bertemu mentor yang boleh memandu kita, carilah rakan atau luaskan lagi jaringan perkenalan yang boleh memberi imput dan pandangan jujur bagi membantu kita membuat keputusan yang penting.

Kesimpulannya, memilih siapa orang yang akan berada di sekeliling kita adalah sangat penting dalam menentukan kejayaan kita.

Bacaan Cadangan

petunjuk istikharah

Memahami Petunjuk & Jawapan Istikharah

Bagaimana jawapan dan petunjuk istikharah boleh diketahui?

Panduan ini akan menjelaskan bab berkaitan petunjuk dan jawapan istikharah yang harus difahami, secara lengkap.

Penutup

Imam Hassan al-Basri pernah menyebut:

Demi Allah tidaklah berbincang (syura/ istisyarah) sesuatu kaum melainkan mereka akan mendapat petunjuk mengenai urusan mereka itu.”

Ketiga-tiga syarat yang disebut di atas merupakan tiang-tiang yang mengukuhkan istisyarah.

Pengabaian salah satu daripada tiang ini akan mengakibatkan runtuhnya peranan dan tujuan istisyarah yang sebenar.

Semoga dengan penjagaan tiga perkara ini akan membuahkan kesan istisyarah dan istikharah yang lebih baik.

Saya berharap semoga panduan ini memberi manfaat kepada para pembaca dalam proses melakukan pilihan dan keputusan penting dalam hidup.

Rujukan:

  1. Mohonlah Petunjuk Dengan Solat Istikharah — Hakim Hamidon
  2. Tentang Pilihan — Dr. Nur Aisyah Zainordin [Pautan]
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

2 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Umai
Umai
1 tahun yang lalu

Terbaik.. terima kasih atas info yg diberikn