Memahami Petunjuk & Jawapan Istikharah

petunjuk jawapan istikharah

Bagaimana jawapan dan petunjuk istikharah boleh diketahui?

Panduan ini akan menjelaskan bab berkaitan petunjuk dan jawapan istikharah yang harus difahami.

Saya akan cuba meringkaskan dan menjelaskan sebaik mungkin bab ini, InsyaAllah.

Semoga bermanfaat..

Bentuk-Bentuk Tanda Jawapan Istikharah

Apabila kita sudah selesai melakukan lstisyarah (meminta pandangan) dan istikharah (memohon petunjuk daripada Allah SWT) dengan benar-benar teliti dan dengan hati yang ikhlas, apa pula langkah seterusnya yang harus kita lakukan?

Bagaimana bentuk-bentuk tanda yang diterima hasil istikharah kita?

Menurut pendapat majoriti ulama’, petunjuk atau jawapan istikharah daripada Allah SWT boleh berlaku dalam pelbagai keadaan sama ada:

  1. Gerakan dan keinginan hati yang kuat untuk melakukan atau meninggalkan pilihan tersebut.
  2. Melalui ilham atau idea yang sebelumnya berasa buntu.
  3. Melalui jalan mimpi.
  4. Dipermudahkan segala urusannya oleh Allah SWT sehingga apa yang dicitakan itu berlaku atau sebaliknya jika perkara tersebut mengandungi kemudaratan bagi dirinya.

Kelapangan Hati

Dalam kitab Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Quwaitiah terdapat satu sub topik mengenai kesan daripada istikharah.

Dalam topik ini, dihuraikan bahawa kesan penerimaan istikharah seseorang menurut ulama mazhab yang empat adalah kelapangan hati. 

Benar, tanda penerimaan istikharah adalah kelapangan hati atau hati yang tenang.

Ini bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

Kemudian lihatlah kepada apa yang mendahului di hatinya, sesungguhnya kebaikan ada di situ.”

Dalam hadis ini, apa yang dimaksudkan adalah amalan atau perkara yang ditunjuk oleh hatinya (hatinya tenang pada perkara tersebut).

Imam an-Nawawi juga pernah menyebut:

Jika seseorang melakukan istikharah. maka lanjutkanlah apa yang menjadi keinginan hatinya.”

Maksud Hati Yang Tenang

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan hati yang tenang? 

Sebahagian daripada kita mungkin tercari cari maknanya kerana ia adalah perkara yang subjektif.

Oleh sebab itu, saya selitkan di sini pendapat para ulama mengenainya.

Sebahagian ulama mendefinisikan ketenangan hati sebagai kecenderungan manusia dan kecintaannya kepada sesuatu tanpa pengaruh daripada hawa nafsu, tujuan, dan imbalan.

Dalam kata lain, apabila Allah SWT menerima istikharah kita, Dia akan memberikan kepada kita ketenangan dalam hati dan memudahkan kita dalam menjalani urusan tersebut.

Dipermudahkan Urusan

Terdapat juga pendapat para alim ulama yang berbeza.

Mereka berijtihad bahawa tidak disyaratkan ketenangan hati sebagai tanda penerimaan istikharah.

Antaranya adalah seorang ulama bermazhab Syafi’i, Imam al-Zamlakani yang mengatakan bahawa tidak disyaratkan hati yang tenang..

… tetapi jika seseorang itu melakukan solat sunat istikharah dan memohon petunjuk daripada Allah SWT, maka buatlah amalan yang dimudahkan baginya, sama ada hatinya cenderung ataupun tidak.

Apabila Kita Disukarkan Dan Dijauhkan Daripada Perkara Tersebut

Tanda istikharah tidak diterima adalah apabila kita dijauhkan daripada perkara tersebut. 

Pendapat ini adalah pendapat yang disepakati dan tiada percanggahan padanya.

Ini bertepatan dengan hadis utama yang menjadi sandaran dalam Panduan Solat Sunat Istikharah, di mana Nabi Muhammad SAW mengajar kita supaya berdoa:

Seandainya Engkau (ya Allah) mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku, dan kesudahan urusanku sama ada cepat ataupun lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya.”

Ulama menjelaskan bahawa tanda kita dijauhkan adalah apabila perkara itu tidak lagi kekal dalam hati kita selepas kita bertekad untuk melakukannya.

Hati Tenang Tapi Menghadapi Pula Pelbagai Kesukaran

Seperti penjelasan-penjelasan di atas, dapat kita simpulkan bahawa pendapat kebanyakan ulama mengenai penerimaan istikharah adalah hati yang tenang. 

Tetapi, bagaimana pula apabila terjadi situasi di mana hati seseorang itu sudah tenang, tetapi dia berdepan pula dengan pelbagai kesulitan atau kegagalan.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Bagi menjawab persoalan ini, terdapat beberapa kemungkinan yang mungkin berlaku:

  1. Dalam doa istikharah yang kita baca, antara isi utama kandungan doa itu adalah kita memohon kepada Allah SWT supaya memberi petunjuk kepada pilihan yang menguntungkan hal akhirat kita.

    Maka dapat difahami di sini. mungkin sahaja pilihan yang dibuat selepas istikharah itu menemui halangan atau kegagalan dari aspek dunia.

    Tetapi pilihannya itu menguntungkan hal akhiratnya.
  2. Apabila seseorang itu melakukan istikharah, mungkin Allah SWT memberi ilham dan ketenangan untuk dia memilih antara dua pilihan.

    Kedua-duanya mempunyai permasalahan, tetapi kita terarah kepada pilihan yang kurang mudaratnya.

    Sebagai contoh, apabila seseorang itu melakukan istikharah untuk memilih sesuatu pekerjaan, kita sudah maklum tentu ada halangan dan susah payah dalam setiap jenis pekerjaan.

    Di sini, kita memohon kepada Allah SWT supaya menunjukkan kepada kita pekerjaan yang kurang mudaratnya kepada urusan dunia dan akhirat kita.
  3. Mungkin sahaja pada hakikatnya doa dan solat istikharah seseorang itu tidak diterima oleh Allah SWT tetapi hatinya tetap tenang selepas melakukannya.

    Sebagai contoh, seseorang itu begitu berkeinginan dan berkehendak terhadap sesuatu, sehinggakan dia begitu tenang, bahkan termimpi-mimpi perkara tersebut.

    Boleh jadi sahaja sebenarnya ketenangan yang ada pada dirinya hadir daripada keinginannya, dan bukan hasil daripada istikharah yang dilakukan.

Melalui Ilham Atau Cetusan Idea

Jawapan dan petunjuk istikharah juga boleh jadi dalam bentuk ilham yang datang kepada kita.

Bagaimana ilham itu dihadirkan?

  • Ada waktunya, ilham diberikan menerusi rasa hati.
  • Ada waktunya, ilham itu dihadirkan berupa kata-kata daripada orang yang ditanyakan pendapat — maka pastikan kita meminta pendapat daripada orang yang ada kepakaran dan bidang yang digusarkan itu.
  • Ada waktunya, Allah SWT menunjukkan tanda yang tidak disangka-sangka, tetapi sudah tentu kita tahu bahawa inilah jawapan diberikan Allah SWT pada istikharah itu.

Dalam membuat pilihan, pilihlah perkara yang paling menjadikan kita bahagia.

Kebahagiaan itu merujuk kepada kepada kemuncak kebahagiaan yang terakhir, iaitu kesenangan dan nikmat yang berkekalan di akhirat.

Oleh sebab itu, penting untuk melakukan istisyarah (minta pendapat) yang berterusan dengan orang yang berilmu dan berpengalaman.

Bacaan Cadangan

istisyarah

Syarat & Panduan Melakukan Istisyarah

Bagaimana kaedah istisyarah yang betul?

Panduan ini akan menerangkan secara lengkap berkaitan istisyarah, iaitu kaedah membuat pilihan dan keputusan disamping istikharah.

Petunjuk Melalui Mimpi

Perkara ini adalah yang menjadi persoalan ramai antara kita.

Ini kerana masyarakat secara umum sering mengaitkan solat istikharah dengan petunjuk mimpi.

Kita diberitahu dan diajar supaya melakukan istikharah dan menunggu jawapan dan ilham dalam mimpi-mimpi kita selepas itu. Benarkah begitu?

Di sini, suka untuk saya mengajak kita semua untuk tidak menunggu jawapan istikharah itu melalui mimpi-mimpi kita. Apabila kita selesai melakukan solat istikharah dan memohon petunjuk daripada Allah SWT, susuli dengan amal perbuatan dan bertawakal kepada Allah SWT.

Jika perkara ini adalah yang terbaik, mohonlah agar Allah SWT memudahkan dan menunjukkan jalan untuk kita melakukannya.

Sebaliknya jika perkara ini bukan yang terbaik untuk kita, mohonlah agar Allah SWT menghindarkan kita dan menutup jalan-jalan ke arah perkara tersebut. Inilah kelebihan istikharah.

Contoh

Sebagai contoh mudah, apabila seseorang wanita itu dirisik oleh seorang lelaki, apa yang perlu dia lakukan?

Seharusnya selepas melakukan istikharah, wanita itu perlu membuat keputusan berdasarkan akhlak dan agama lelaki tersebut, dan selepas perbincangan yang teliti dengan ahli keluarganya.

Ya, tidak perlu untuk dia menunggu jawapan daripada mimpi.

Jika dia sudah tenteram dengan calon itu, berharaplah semoga Allah SWT memudahkan segala urusan sehingga halal kedua-duanya.

Andaikan mimpi-mimpi yang ditunggu tidak juga hadir. Ataupun mimpi-mimpi yang hadir langsung tidak berkaitan dengan jawapan yang kita nantikan. Sungguh sukar, bukan?

Pegang eratlah, bahawa agama itu mudah.

Adakah Mimpi Itu Benar?

Satu perkara yang perlu juga kita tekankan di sini adalah mimpi tidak boleh dijadikan hujah.

Ini kerana mimpi-mimpi kita sering dipengaruhi oleh kehendak kehendak dan hawa nafsu kita. Katakan kita sangat berminat dengan si polan ataupun si polanah, sudah tentu wajahnya yang akan selalu hadir dalam mimpi kita, bukan?

Walau bagaimanapun, jika benar jawapan itu Allah SWT hadirkan menerusi mimpi selepas melakukan istikharah, hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

Tiada yang mustahil bagi Allah SWT. Tetapi yang pasti, Allah SWT tidak sedaif itu untuk memberi petunjuk hanya melalui mimpi.

Memahami Konsep Mimpi Dalam Islam

Konsep mimpi diterangkan secara ringkas melalui hadis Nabi Muhammad SAW.

Abu Hurairah RA meriwayatkan, Baginda bersabda:

Mimpi itu ada tiga jenis, laitu mimpi yang benar berbentuk khabar gembira daripada Allah, mimpi yang disebabkan mainan jiwa seseorang, dan mimpi sedih daripada syaitan.”

Melalui hadis Baginda ini, kita dapat memahami bahawa mimpi-mimpi kita mempunyai tiga kebarangkalian.

Sama ada ia memang daripada Allah SWT, ataupun gangguan yang dititipkan oleh syaitan, ataupun sekadar mainan perasaan kita semata mata.

Oleh sebab itu, tokoh-tokoh ilmuan berpendapat bahawa mimpi manusia tidak boleh sesekali diguna pakai sebagai hujah atau dalil.

Sebagai contoh, Imam Hasan al-Banna menyebut bahawa ilham, lintasan lintasan hati, kasyaf, dan mimpi tidak boleh dijadikan hujah dan dalil, melainkan ia tidak berlawanan dengan hukum dan nas agama.

Terdapat juga pendapat alim ulama yang mengatakan mimpi tidak boleh dijadikan hujah, kerana dalam mimpi, syaitan mempunyai peluang yang besar untuk memainkan peranannya.

Oleh itu, setiap daripada kita harus berwaspada dengan perkara ini, kerana boleh jadi sahaja syaitan menggunakan mimpi untuk mempermainkan manusia.

Rumusan Mengenai Mimpi

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, kunci dan rahsia istikharah adalah dengan kita meletakkan sepenuh kepercayaan kita kepada Allah SWT.

Kita mengharapkan Allah SWT mempermudahkan jalan untuk kita melakukan urusan yang baik, dan mengharapkan agar Allah SWT menghindari kita daripada urusan yang tidak baik.

Istikharah juga berkait rapat dengan konsep redha.

Oleh itu, sama ada seseorang itu mendapat mimpi ataupun tidak selepas melakukan solat istikharah, ia tidak membawa sebarang perbezaan.

Lebih-lebih lagi, kenyataan yang mengaitkan istikharah dengan mimpi tidak mempunyai sandaran dalil yang kuat.

Mengapa Ada Urusan Masih Gagal Walaupun Selepas Istikharah?

Mungkin sebahagian daripada kita pernah melalui saat ini.

Setelah selesai istikharah, kita merasakan seperti silap telah silap membuat keputusan.

Pilihan kita itu membuatkan kita sedih atau kecewa, bahkan gagal dalam menjalani pilihan tersebut.

Setelah berkahwin, bercerai; setelah memilih tempat kerja, akhirnya tidak sesuai; atau apabila memberi kereka, banyak pula masalahnya — sedangkan segala keputusan kita itu telah pun melalui istikharah dan pandangan orang lain.

Malah perkara ini boleh sahaja terjadi kepada pilihan-pilihan hidup kita yang lain.

la meliputi urusan pendidikan, urusan rumah tangga, urusan perniagaan, dan pelbagai urusan dunia yang lain.

Kita mengharapkan yang terbaik setelah istikharah dilakukan, kita sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Timbul persoalan di sini:

Adakah mungkin bagi seseorang itu melakukan kesilapan walaupun setelah melakukan istikharah dan istisyarah dengan penuh cermat dan teliti?

Tidak Faham Konsep Istikharah Yang Sebenar

Istikharah yang dianjurkan dalam agama tidak harus difahami sebagai sesuatu yang “magis” sehinggakan kita mengharapkan berlaku keajaiban dan perkara-perkara yang luar biasa.

Ini adalah satu pembetulan konsep yang perlu kita fahami.

Kefahaman yang betul dan tepat mengenai hakikat istikharah akan membuatkan kita tidak menanti keajaiban, tetapi berusaha untuk mewujudkan keajaiban itu.

Istikharah adalah doa.

Ya, seperti juga doa-doa yang lain yang kita amalkan dalam hidup kita seharian.

Seperti mana kita membaca doa sebelum memulakan perjalanan untuk bermusafir, adakah kita 100% terhindar daripada kecelakaan jalan raya? Sudah tentu tidak.

Seperti juga seperti seorang peniaga yang membaca doa ketika awal pagi. adakah perniagaannya pasti laku dan untung? Pasti jawapannya juga tidak.

Ini adalah ketetapan oleh Allah SWT. Ini adalah rezeki.

Contoh di atas sedikit sebanyak menerangkan konsep istikharah yang sepatutnya difahami.

Istikharah adalah doa. Doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT, dan kita harapkan moga Allah SWT menunjukkan laluan kebaikan dalam hidup kita.

Istikharah bukan lampu ajaib, ia bukan magis.

Kita Gagal Menjalani Pilihan Yang Telah Dibuat Itu Dengan Baik

Seandainya kita menghadapi kesukaran kegagalan menjalani pilihan-pilihan dalam hidup, pada saya kita sudah gagal mengurus pilihan tersebut.

Kita berjaya membuat pilihan, tetapi tidak berjaya menjalani pilihan itu dengan baik.

Perlu diingat, walaupun setelah melakukan istikharah dengan segala tertib dan adabnya, seseorang itu tidak boleh mengabaikan segala asbab untuk menjayakan pilihannya itu.

Ibarat konsep usaha dan tawakal, bagi menjayakan istikharah, kita memerlukan dua komponen utama iaitu harapan daripada Allah SWT dan usaha daripada manusia.

Apa yang diperlukan oleh seorang mahasiswa untuk berjaya?

Selepas dia membuat istikharah dan memilih bidang untuk diceburi, dia sendiri perlu berusaha bersungguh-sungguh.

Hadiri kelas pengajian, sediakan nota, bentuk kumpulan belajar, dan segala yang diperlukan oleh seorang pelajar untuk berjaya.

Begitu juga dalam urusan rumah tangga.

Pasangan perlu saling memahami dan saling bertolak-ansur. Si suami perlu memimpin si isteri, mencari nafkah dan sebagainya. Si isteri juga perlu melakukan segala tanggungjawabnya dengan baik.

Selain itu, aspek pengurusan ekonomi keluarga, perancangan keluarga, dan lain-lain juga harus diberi perhatian. Istikharah adalah proses membuat pilihan. Tetapi kitalah yang perlu berusaha untuk menjayakan pilihan-pilihan itu.

Hakikatnya, tidak bermakna selepas melakukan istikharah itu, keputusan kita itu bebas daripada sebarang bentuk ujian dan masalah.

Ini kerana apa-apa yang dipohon dalam setiap pilihan kita ialah kebaikan.

Barangkali ujian itulah yang terbaik dan mengajarkan kita sesuatu yang tidak akan dapat diperoleh di tempat lain.

Barangkali ujian itulah yang menjadikan diri kita lebih baik daripada sebelumnya.

Oleh itu, walau apa pun hasil istikharah, ia akan memberikan kita ketenangan dan panduan yang amat memudahkan kehidupan kita kelak.

Memahami Konsep Qada’ dan Qadar

Dalam agama Islam yang kita imani ini, terdapat satu konsep yang sangat indah, konsep yang membuatkan hati kita diselubungi ketenangan, penuh sabar dan redha dalam menjalani hidup.

Konsep yang dimaksudkan adalah konsep qada’ dan qadar.

Hubungan konsep istikharah dan konsep qada’ dan qadar ini mempunyai hubung kait yang sangat rapat. Jika kedua-duanya diimani dan dijiwai, ia akan menghasilkan natijah yang sangat hebat.

Dengan kata lain, ketika seseorang itu sudah tekad membuat pilihan dalam hidup dengan melakukan istikharah, ia disusuli pula dengan keimanannya kepada qada’ dan qadar. Indah, bukan?

Sebagai contoh, apabila seorang jejaka ingin memilih bakal teman hidupnya dan melakukan istikharah, sehingga akhirnya kedua-duanya selamat diijab kabul, maka ketika itu tiada lagi istilah persoalan “adakah pasangan ini pasangan yang terbaik buat diri aku?” atau “adakah pilihan aku ini pilihan yang betul?”

Segala lintasan ini adalah lintasan hati yang merosakkan.

Seharusnya selepas selamat bergelar suami isteri, yakinlah bahawa si dia adalah ketetapan terbaik buat diri kita.

Yakinlah bahawa ini adalah takdir Allah SWT ke atas diri kita. Keyakinan terhadap takdir ini akan membawa kepada perasaan tenang, sabar, dan redha.

Ia juga memberikan motivasi kepada kita untuk berusaha sehabis baik untuk menjalani takdir Allah SWT ini.

Yakinlah ketetapan Allah itu adalah ketetapan yang terbaik.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap tiap sesuatu.”

(Surah ath-Thalaq ayat 3)

Berdamai Dengan Takdir Hidup..

Hidup kita sering berhadapan dengan dilema.

Dalam meneliti perjalanan hidup, kita sering disajikan dengan pilihan. Kita terpaku di tengah-tengah, sama ada mahu ke kanan ataupun ke kiri.

Sebagai seorang mukmin, setelah kita berusaha, berdoa dan bertawakkal, akhirnya kita perlu menerima apa-apa jua keputusan akhir yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Berjaya atau gagal merupakan perkara yang subjektif.

Yang penting, proses yang dilalui itu sendiri merupakan suatu kejayaan dalam pembelajaran.

Perkara ini berbeza dengan konsep reda.

Reda bermaksud, kita berserah kepada Allah SWT untuk menuntukan nasib dan keadaan setelah berusaha. Majoriti kita reda terlalu awal sebelum waktunya, tanpa mengambil usaha dan ikhtiar apabila peluang terbentang buat dirinya.

Disinilah keindahan Islam.

Disamping kita berusaha, berfikir dan bertanya, terdapat juga konsep tawakkal dan istikharah — kita sentiasa berhubung sesama manusia dan dengan Allah setiap ketika.

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada pembaca.

Rujukan

  1. Mohonlah Petunjuk Dengan Solat Istikharah — Hakim Hamidon
  2. Tentang Pilihan — Dr. Nur Aisyah Zainordin [Pautan]
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

1 Comment
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Nur Fathiah Adnan
Nur Fathiah Adnan
1 tahun yang lalu

Macam mana nak jumpa ibu dalam mimpi ya?! Atau mimpi ibu datang dengan sendiri?! Atau paksaan?!