Ulasan pengalaman umrah MK Haramain bersama pakej Saver Eco 12 hari 10 malam. Ia merangkumi harga, hotel di Madinah dan Makkah, bimbingan mutawwif, urusan Raudhah, ziarah Taif serta perkara yang perlu diketahui sebelum membuat tempahan.

Pengalaman umrah MK Haramain ini dikongsikan oleh kru AkuIslam yang berpeluang menunaikan umrah bersama MK Haramain Travel & Tours pada awal tahun 2026, menerusi Pakej Umrah Saver Eco selama 12 hari 10 malam.
Dalam perkongsian ini, kami ceritakan sendiri perjalanan kami di Tanah Suci, termasuklah bab kemudahan, pengurusan, dan bantuan yang diterima sepanjang perjalanan.
Perjalanan kami bermula di Madinah sebelum diteruskan ke Makkah, Taif, dan Jeddah. Sepanjang di sana, kami ikuti program yang dah disusun oleh pihak MK Haramain, selain berpeluang sertai beberapa aktiviti ziarah tambahan.
Antara perkara yang kami akan sentuh ialah keadaan hotel, kemudahan ulang-alik ke masjid, pengurusan perjalanan, bimbingan mutawwif, dan tahap keselesaan bila pergi umrah secara berkumpulan.
Kami juga akan kongsikan pengalaman menginap di Diyar Al Eiman (Madinah) dan Snood Ajyad Hotel (Makkah), serta beberapa perkara yang kami rasa sangat membantu sepanjang perjalanan ini.
Selain itu, kami turut berpeluang mengikuti lawatan tambahan ke Badar, beberapa lokasi menarik sekitar Madinah dan Makkah, serta ke Kota Taif bersama pasukan MK Haramain.
Tapi, tujuan utama artikel ini bukanlah untuk menceritakan sejarah setiap tempat tersebut.
Sebaliknya, kami nak kongsikan realiti pengalaman mengikut pakej MK Haramain ini, terutamanya dari segi keselesaan, kemudahan, dan tahap layanan yang diberikan kepada jemaah.
Bagi kami, nak pilih pakej umrah ini bukan sekadar tengok harga, jumlah tempat ziarah, atau jarak hotel yang tertera pada poster semata-mata.
Ada perkara yang kita cuma boleh nilai bila kita sendiri dah sampai di sana.
Contohnya, macam mana keadaan bilik lepas seharian penat beribadah? Senang tak laluan nak ke masjid? Macam mana jemaah kali pertama dibimbing? Dan paling penting, siapa yang kita boleh cari kalau perlukan bantuan?
Perkara-perkara macam inilah yang sebenarnya banyak tentukan keselesaan perjalanan kita.
Melalui pengalaman perjalanan ini, kami dapat tengok sendiri macam mana pasukan MK Haramain uruskan keperluan jemaah, bermula dari urusan pengangkutan dan penginapan sehinggalah kepada aktiviti harian.
Harapnya perkongsian pengalaman umrah MK Haramain ini dapat bantu anda yang tengah pertimbangkan untuk buat umrah bersama MK Haramain, lebih-lebih lagi menerusi pakej yang lebih menjimatkan ini.
Nota AkuIslam
Perkongsian ini berdasarkan perjalanan kru AkuIslam pada awal tahun 2026. Harga dan kemudahan pakej yang disebut merujuk kepada poster Saver Eco waktu itu. Butiran tawaran sebenar mungkin berubah mengikut musim dan tarikh berlepas.
| Agensi | MK Haramain Travel & Tours |
| Tempoh | 12 hari 10 malam |
| Laluan | KL, Madinah, Makkah, Taif, Jeddah, KL |
| Penerbangan | Saudia / Malaysia Airlines atau setaraf |
| Hotel Madinah | Deyar Al Eiman atau setaraf (±150 m) |
| Hotel Makkah | Snood Ajyad atau setaraf (±350 m) |
| Makan | Bilik sahaja (tidak termasuk makan) |
| Harga | Dari RM7,190 seorang (musim biasa, bilik berempat) |

Umrah yang tenang bermula dengan pakej yang kita faham sepenuhnya. Harga penting, tetapi bimbingan, hotel dan susunan jadual yang menentukan keselesaan sebenar.
- Mengenali Pakej Umrah Saver Eco MK Haramain
- Harga Pakej Umrah Saver Eco
- Ringkasan Pengalaman Umrah MK Haramain Selama 12 Hari
- Pengalaman Umrah MK Haramain Bermula di KLIA
- Ketibaan di Madinah dan Perjalanan ke Hotel
- Pengalaman Umrah MK Haramain di Madinah Bersama Diyar Al Eiman
- Pengalaman Beribadah di Masjid Nabawi
- Program Ziarah Madinah yang Disediakan
- Pengalaman Umrah MK Haramain Menziarahi Badar
- Persediaan Menunaikan Umrah dari Madinah ke Makkah
- Pengalaman Umrah MK Haramain di Makkah Bersama Snood Ajyad
- Pengalaman Umrah MK Haramain Bersama Bimbingan Mutawwif
- Program Ziarah di Sekitar Makkah
- Pengalaman Umrah MK Haramain Menziarahi Kota Taif
- Masa Bebas di Makkah yang Kami Hargai
- Penutup Pengalaman Umrah MK Haramain dengan Bermalam di Jeddah
- Kelebihan Pengalaman Umrah MK Haramain Berdasarkan Penilaian Kami
- Perkara yang Perlu Diketahui Sebelum Memilih Saver Eco
- Adakah Pakej Saver Eco Sesuai untuk Jemaah Kali Pertama?
- Soalan Lazim Tentang Pengalaman Umrah MK Haramain
- Kesimpulan Pengalaman Umrah MK Haramain Bersama Kru AkuIslam
Mengenali Pakej Umrah Saver Eco MK Haramain
Sebelum pergi lebih jauh, elok juga kami terangkan sikit tentang pakej yang kami ikuti ini.
Saver Eco merupakan pakej umrah 12 hari 10 malam yang ditawarkan oleh MK Haramain Travel & Tours.
Pakej ini gabungkan perjalanan ke Madinah dan Makkah, aktiviti ziarah di kedua-dua kota, lawatan ke Taif, serta penginapan satu malam di Jeddah sebelum pulang ke Malaysia.

Berdasarkan bahan promosi mereka, antara kemudahan yang ditawarkan termasuklah yang berikut.
- Penerbangan Saudia / Malaysia Airlines atau setaraf.
- Penginapan di Madinah dan Makkah.
- Bas persendirian sepanjang perjalanan.
- Bimbingan mutawwif berpengalaman.
- Kursus umrah secara privasi.
- Program ziarah sekitar Madinah, Makkah, dan Taif.
- Satu malam penginapan di Jeddah.
- Urusan visa mengikut ketetapan pakej.
Poster tersebut juga ada menyebut 25 lokasi ziarah.
Cuma kena ingat, jumlah lokasi yang banyak tak semestinya bermaksud kita akan singgah lama di setiap tempat.
Ada kawasan yang kita turun melawat, dan ada juga tempat yang kita sekadar lihat dari dalam bas.
Susunan sebenar jadual juga boleh berubah bergantung pada keadaan semasa di sana.
Bagi kami, apa yang lebih penting adalah macam mana aktiviti tu disusun. Adakah jemaah ada masa yang cukup untuk beribadah dan berehat?
Pengalaman kami tunjukkan yang jadual perjalanan ni kena dinilai secara keseluruhan.
Pakej yang jadualnya paling padat tak semestinya yang paling sesuai. Kadang-kadang, jadual yang seimbang antara waktu ibadah, ziarah, dan masa peribadi lebih buatkan jemaah rasa selesa.
Harga Pakej Umrah Saver Eco
Berdasarkan butiran pakej Saver Eco, ini adalah senarai harganya mengikut musim dan jenis bilik.
| Musim | Berempat | Bertiga | Berdua |
|---|---|---|---|
| Biasa | 7,190 | 7,790 | 8,390 |
| Pertengahan | 7,590 | 8,190 | 8,790 |
| Puncak | 8,590 | 9,190 | 9,790 |
- ✓Bimbingan mutawwif
- ✓Program ziarah mengikut atur cara
- ✓Kursus persediaan umrah
- ✕Makan sepanjang perjalanan
- ✕Perbelanjaan peribadi
- ✕Set bagasi dan insurans individu
Kira anggaran bajet anda
Belanja lain termasuk ziarah tambahan, cenderahati, insurans, pengangkutan sendiri dan wang kecemasan.PakejRM7,190MakanRM0Lain-lainRM0Jumlah anggaranRM7,190Harganya berbeza ikut bilangan orang sebilik.
Kalau pergi dengan keluarga atau kawan-kawan, bilik berempat memang lebih jimat. Tapi, bagi pasangan suami isteri atau sesiapa yang perlukan lebih privasi, bilik berdua mungkin pilihan yang lebih baik.
Satu perkara penting yang anda kena tahu, pakej ini menawarkan penginapan berkonsepkan bilik sahaja (tanpa pakej makanan).
Jadi, kos makan minum perlulah dimasukkan awal-awal ke dalam bajet perjalanan anda.
Harga juga berbeza mengikut musim. Musim biasa bermula RM7,190, musim pertengahan RM7,590 dan musim puncak RM8,590 seorang (bilik berempat). Bakal jemaah dinasihatkan untuk dapatkan sebut harga terkini terus daripada pihak MK Haramain.
Bila nak bandingkan harga pakej umrah, jangan tengok jumlah bayaran kepada agensi saja. Ambil kira juga kos makan, perbelanjaan peribadi, aktiviti pilihan, dan wang kecemasan. Pakej yang nampak murah mungkin perlukan bajet tambahan untuk perkara-perkara ini.
Nama pakej bagi musim baharu
Untuk tawaran musim baharu seperti yang dirujuk dalam artikel ini, nama pakej yang digunakan ialah Umrah Saver Eco.

Biasanya, pakej umrah akan mengalami perubahan nama atau dijenamakan semula berbanding musim lepas. Walaupun konsep perjalanannya hampir sama, butiran seperti hotel, harga, susunan ziarah, dan kemudahan mungkin berbeza.
Sebab itu, kami cadangkan pembaca rujuk butiran pakej pada poster promosi yang terkini, dan jangan anggap semua tawaran lama ada kemudahan yang sama.
Untuk artikel ini, kami gunakan nama Saver Eco seperti yang tertera pada poster rujukan kami.
Ringkasan Pengalaman Umrah MK Haramain Selama 12 Hari
Perjalanan kru AkuIslam mengikut susunan asas 12 hari 10 malam, bermula di Madinah sebelum ke Makkah.
Ini gambaran ringkas jadual kami.
Fasa 1 · MadinahHari 1 hingga 4 · 4 hari
- HARI1Kuala Lumpur → MadinahBerkumpul di KLIA kira-kira 4 jam sebelum penerbangan. Terbang terus bersama Saudia, kemudian daftar masuk di Diyar Al Eiman.
- HARI2Ibadah & kenal laluanIbadah di Masjid Nabawi dan biasakan diri dengan laluan hotel ke masjid. Krew bantu urusan Raudhah melalui aplikasi Nusuk.
- HARI3Masa bebas di MadinahIktikaf, baca al-Quran dan solat berjemaah. Ziarah Badar hanya program tambahan.
- HARI4Ziarah sekitar MadinahMasjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan ladang kurma.
Fasa 2 · Makkah & TaifHari 5 hingga 9 · 5 hari
- HARI5Madinah → Makkah, umrah pertamaNiat ihram di Miqat Bir Ali. Tawaf, sa’ie dan tahallul dengan bimbingan mutawwif.
- HARI6Masa bebas & HudaibiyahZiarah miqat Hudaibiyah. Peluang umrah tambahan (sunat) bagi yang larat.
- HARI7Ziarah Masyair & Ja’ranahJabal Thur, Jabal Nur, Arafah, Muzdalifah, Mina dan Ja’ranah.
- HARI8Ziarah Kota TaifMasjid Abdullah bin Abbas dan kereta kabel (tertakluk cuaca dan operasi).
- HARI9Masa bebas di MakkahTawaf sunat, rehat dan urusan peribadi.
Fasa 3 · Jeddah & pulangHari 10 hingga 12 · 3 hari
- HARI10Makkah → JeddahTawaf wada’, daftar keluar dan bermalam di Jeddah. Singgah Masjid Terapung Al-Rahmah.
- HARI11Penerbangan pulangBertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz.
- HARI12Tiba di Kuala LumpurAlhamdulillah, perjalanan selesai.
Jadual dalam infografik di atas adalah susunan asas. Ada beberapa aktiviti tambahan yang kami sertai (macam ziarah Badar), yang dibuat berasingan daripada tentatif biasa ini.
Secara keseluruhan, dalam pengalaman umrah MK Haramain kami, susunan perjalanan ni sangat seimbang. Ada masa untuk ibadah, ada masa untuk rehat, dan ada masa untuk ziarah.
Bukan setiap hari penuh dengan lawatan. Ada hari yang memang dikhaskan untuk jemaah buat ibadah sendiri, dan ini satu kelebihan yang sangat besar bagi kami.
Bila dah tahu susunan jadual, mudahlah kita nak buat persediaan awal, sama ada untuk ziarah, kemas barang nak pindah hotel, atau rancang masa iktikaf di masjid.
Simpan jadual perjalanan dalam telefon bimbit dan peka dengan waktu berkumpul, lokasi bas, serta nombor telefon petugas. Maklumat ini sangat berguna kalau anda terpisah dari rombongan.
Pengalaman Umrah MK Haramain Bermula di KLIA
Sebenarnya, perjalanan umrah kita dah pun bermula sebelum naik pesawat lagi.
Untuk perjalanan berkumpulan, ada banyak urusan di awal perjalanan seperti dokumen, daftar masuk, bagasi, dan taklimat jadual.
Mengikut jadual MK Haramain, kami diminta berkumpul di KLIA sekitar empat jam sebelum penerbangan.
Masa yang panjang ini sangat penting, terutamanya bila rombongan kita ramai. Ada jemaah yang dah biasa ke luar negara, tapi ada juga yang baru pertama kali menaiki penerbangan jauh.
Bagi jemaah kali pertama, suasana lapangan terbang itu boleh buat rasa kelam-kabut sikit. Nak kumpul di kaunter mana? Bagasi macam mana? Kalau ada masalah nak cari siapa?
Benda ni nampak kecil, tapi boleh buat orang risau.
Sebab itulah pentingnya ada pasukan pengurusan yang boleh uruskan kita dari awal. Bila ikut pakej berkumpulan, semuanya dah tersusun dan tak perlulah kita pening nak buat semua sendiri.
Walaupun begitu, jemaah sendiri kenalah buat persediaan peribadi. Pastikan pasport, ubat-ubatan, dan dokumen penting (rujuk checklist umrah lengkap) disimpan rapi. Janganlah terlalu bergantung pada petugas sampai terlupa jaga barang sendiri.
Kelancaran perjalanan bukan 100% atas bahu agensi, tapi perlukan kerjasama dan disiplin jemaah juga. Dari awal di KLIA lagi, kami nampak koordinasi yang baik oleh pasukan MK Haramain yang sangat melancarkan pergerakan rombongan.
Letak satu set pakaian, ubat penting, pengecas telefon, dan barang asas dalam beg kabin (bagasi tangan). Kalau ada kes bagasi besar lewat sampai, sekurang-kurangnya anda ada baju ganti dan ubat untuk sementara waktu.
Ketibaan di Madinah dan Perjalanan ke Hotel
Selesai penerbangan dari KL, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz, Madinah.
Dari situ, rombongan terus bergerak ke hotel yang dah diaturkan oleh pihak MK Haramain, iaitu Diyar Al Eiman.
Kami menetap di sini selama empat hari sebelum bertolak ke Makkah.
Bagi kami, mula perjalanan di Madinah ni ada aura dan kelebihan yang tersendiri. Kita ada masa nak rehat selepas penerbangan panjang, sesuaikan diri dengan cuaca, dan luangkan masa beribadah di Masjid Nabawi sebelum fokus umrah di Makkah.
Benda ni berbeza sikit berbanding kalau kita mendarat di Jeddah dan terus buat umrah.
Bila sampai Madinah dulu, hari-hari terawal tu boleh diguna untuk ‘panaskan enjin’. Kita sempat betulkan waktu tidur, cari jalan ke masjid, hafal kawasan sekitar, dan fahamkan rentak kumpulan.
Untuk orang yang baru pertama kali jejak Tanah Suci, tempoh ‘suai kenal’ macam ini memang sangat membantu. Teori masa kursus umrah tu tak sama dengan pengalaman sebenar bila dah pijak bumi Arab.
Bila dah mula hafal jalan, urusan harian jadi lebih tenang. Jadi, susunan masuk ke Madinah dahulu ini memang beri kami ruang bernafas sebelum masuk ke fasa ibadah umrah.
- ✓Banyak kedai makan di sekitar
- ✓Laluan ke masjid mudah diingat
- ✓Kawasan Ajyad, ada medan selera
- ✓Laluan agak sesak dan berbukit
Pengalaman Umrah MK Haramain di Madinah Bersama Diyar Al Eiman
Satu perkara yang kami nak kongsikan lebih terperinci adalah pengalaman menginap di Diyar Al Eiman. Ini adalah hotel sebenar tempat kru AkuIslam menginap di Madinah.
Dalam poster Saver Eco, hotel yang diiklankan ialah Safwat Al Madinah (atau setaraf). Tapi untuk perjalanan kami, penginapan ditukar ke Diyar Al Eiman, iaitu hotel setaraf. Butiran pakej Saver Eco terkini di laman MK Haramain kini menyenaraikan Deyar Al Eiman atau setaraf (±150 m ke Masjid Nabawi).
Kami rasa benda ni penting untuk dimaklumkan supaya pembaca jelas dan tak tersalah anggap kami duduk di hotel yang disebut dalam poster.

Keadaan bilik yang selesa
Secara keseluruhannya, pengalaman kami di Diyar Al Eiman memang memuaskan.
Biliknya sangat selesa dan cukup sesuai untuk berehat lepas penat beraktiviti seharian.
Mungkin ada yang rasa, “Alah, hotel ni buat tempat tidur sahaja, masa banyak di masjid.” Tapi percayalah, lepas beberapa hari di sana, keselesaan bilik inilah yang banyak tolong pulihkan tenaga kita.
Rutin jemaah umrah tak sama macam pergi bercuti. Kadang-kadang kita keluar awal pagi untuk Subuh, balik hotel kejap untuk tidur, lepas tu keluar balik. Ada hari yang kita berjemur keluar ziarah panjang. Dalam keadaan macam ini, bilik yang selesa memang sangat diperlukan.
Bilik tak perlukan mewah, asalkan tilamnya sedap, bilik air bersih, dan suasana tenang untuk tidur pun dah cukup.
Kategori bilik juga main peranan. Kalau ambil berempat, kena pandai bertolak ansur kongsi ruang. Kalau bawa orang tua atau nak lebih privasi, eloklah pertimbangkan bilik berdua atau bertiga.
Laluan dari hotel ke Masjid Nabawi
Satu lagi benda yang kami suka tentang Diyar Al Eiman ialah laluannya yang sangat mudah. Lepas sehari dua, kawasan hotel ni dah jadi biasa bagi kami ulang-alik ke Masjid Nabawi.
Bagi jemaah kali pertama, dataran Masjid Nabawi tu nampak sangat luas. Ada banyak bangunan, jalan, dan pintu masjid yang hampir sama.
Mula-mula tu memang kami ikut saja rombongan. Tapi bila dah biasa, nak gerak sendiri pun tak ada masalah. Boleh keluar awal sikit ke masjid atau balik sekejap ke hotel ambil barang tertinggal.
Cuma, jarak ‘dekat’ bagi orang muda tak sama dengan orang tua. Kalau jemaah sihat, jalan kaki 10 minit itu perkara biasa sahaja. Tapi kalau untuk jemaah yang ada sakit lutut atau berumur, jarak yang sama perlukan masa ekstra.
Sebab tu, sebelum pergi, rajin-rajinlah kaji sikit lokasi sebenar hotel anda, terutamanya kalau bawa mak ayah.
Hari pertama sampai, tangkap gambar papan tanda hotel dan ingat nombor pintu Masjid Nabawi yang anda masuk. Nak selamat, tandakan lokasi hotel di Google Maps supaya senang cari jalan balik.
Kemudahan mendapatkan makanan
Bab cari makan di sekitar penginapan pun sangat mudah.
Perkara ni sangat penting memandangkan pakej yang kami ambil adalah jenis bilik sahaja (tak termasuk makan). Bila kawasan sekitar hotel ni mesra pejalan kaki dan banyak kedai, senang nak rancang waktu makan.
Lepas solat, ada yang nak terus rehat. Ada yang nak bungkus makanan dulu sebelum naik bilik.
Bila banyak kedai berdekatan, kita tak perlukan masa yang lama nak pusing-pusing. Ini satu lagi benda yang anda patut nilai bila ambil pakej ekonomi. Pakej ekonomi memang jimat, tapi pastikan bajet makan dah siap-siap dalam perancangan.
Penilaian kami terhadap Diyar Al Eiman
- Keselesaan bilik4.0
- Lokasi & laluan ke Masjid Nabawi4.5
- Kemudahan makan di sekitar4.5
- Nilai berbanding harga pakej4.0
Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan Diyar Al Eiman. Bilik yang selesa, laluan yang mudah ke masjid, dan lambakan kedai makan berhampiran memang sangat memudahkan rutin kami.
Walaupun hotel yang kami dapat berbeza dari poster asal, kami nilai berdasarkan pengalaman realiti yang kami dapat.
Nasihat kami, sentiasa sahkan nama hotel, lokasi, dan jenis bilik dengan agensi sebelum berlepas. Kalau agensi letak tanda “hotel setaraf”, tanya siap-siap apa pilihan hotel pengganti yang mungkin mereka gunakan. Barulah kita boleh set jangkaan yang betul.
Pengalaman Beribadah di Masjid Nabawi
Hampir separuh masa kami di Madinah dihabiskan untuk beribadah dalam Masjid Nabawi.

Apa yang paling kami suka tentang pakej ini adalah kelonggaran masa yang diberikan. Bukannya tiap-tiap hari ada jadual ziarah yang padat.
Ada masa bebas dalam jadual yang memang disediakan supaya jemaah boleh iktikaf, baca al-Quran, dan solat berjemaah dengan tenang.
Keseimbangan ini sangat penting. Ada jemaah yang jenis nak melawat semua tempat sejarah. Tapi ada juga jemaah yang nak fokus sepenuhnya dalam masjid dan tak nak selalu keluar masuk bas.
Masa bebas ini bagi kami satu kelebihan. Jadual yang padat tak semestinya bagus. Jadual yang lebih santai memberi kita peluang betul-betul rasa kemanisan beribadah.
Bantuan Urusan Raudhah dalam Pengalaman Umrah MK Haramain
Semua orang yang ke Madinah pasti nak sangat masuk ke Raudhah.
Kalau yang dah biasa umrah, prosedur tu mungkin dah lali. Tapi untuk jemaah kali pertama, perkara ini boleh buat rasa cemas. Aplikasi apa yang perlu dimuat turun? Masuk ikut pintu mana? Apa nak buat kalau aplikasi tersangkut?
Alhamdulillah, pasukan MK Haramain banyak bantu permudahkan urusan kami. Mereka tunjuk ajar cara nak guna aplikasi Nusuk dan kongsi panduan masuk ke Raudhah, termasuk bacaan doa di Raudhah. Bantuan teknikal macam ni sangat bermakna untuk jemaah yang mungkin tak berapa mahir menggunakan telefon pintar.

Cuma kena faham, masuk Raudhah tetap bergantung kepada kelulusan dan slot kosong daripada kerajaan Arab Saudi. Bantuan agensi tak bermaksud slot itu pasti diperoleh secara automatik. Tapi sekurang-kurangnya, ada orang yang tolong uruskan.
Sebelum berlepas, pastikan anda dah muat turun aplikasi Nusuk dan masukkan butiran yang betul. Boleh minta tolong mutawwif kalau sangkut, tapi jangan anggap slot itu pasti diperoleh serta-merta.
- 1Muat turun NusukSiapkan aplikasi Nusuk sebelum berlepas dari Malaysia.
- 2Lengkapkan butiranMasukkan maklumat pasport dan visa dengan betul.
- 3Mohon slot RaudhahMinta bantuan mutawwif jika aplikasi sangkut.
- 4Tunggu kelulusanSlot bergantung pada sistem Arab Saudi dan tidak dijamin.
- 5Hadir ikut permitDatang ikut tarikh, masa dan pintu yang ditetapkan.
Bantuan Mutawwif untuk Jemaah Kali Pertama
Selain soal Raudhah, jemaah yang baru pertama kali pergi memang banyak bergantung pada mutawwif.
Mula dari nak cari jalan ke masjid, nak tahu kedai runcit di mana, sampailah ke jadual kumpul keesokan harinya. Benda kecil ni kalau tak ada orang bantu, boleh buat kita buntu.
Di sinilah kami rasa mutawwif MK Haramain memainkan peranan dengan sangat cemerlang. Mereka mudah didekati dan sentiasa bersedia membantu menjawab soalan jemaah.
Sokongan dari belakang tabir macam ini yang kita jarang nampak dalam poster promosi, tapi impaknya sangat besar bila kita berada di sana. Mempunyai krew yang boleh diharap memang menenangkan perjalanan umrah kita.
Program Ziarah Madinah yang Disediakan
Dalam pakej Saver Eco ni, ada juga selitkan lawatan rasmi sekitar Madinah (lihat juga panduan ibadah & ziarah Madinah) macam ziarah Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud, dan semestinya ladang kurma.

Kelebihan jalan berkumpulan ni kita tak payah pening cari pengangkutan. Ikut saja masa berkumpul dan naik bas yang disediakan.
Bagi kami, kualiti lawatan tu bukan dinilai dari berapa banyak tempat kita berhenti, tapi sejauh mana maklumat yang disampaikan. Penerangan mutawwif dalam bas memang jelas dan jemaah tahu apa signifikannya tempat-tempat sejarah tu.
Lawatan ke ladang kurma pula bagi peluang untuk jemaah membeli sedikit buah tangan sebelum balik.
Pengalaman Umrah MK Haramain Menziarahi Badar
Antara kenangan paling manis adalah bila kru AkuIslam dijemput untuk menyertai lawatan tambahan ke Badar.
Perjalanan ni bawa kami keluar sikit dari bandar Madinah. Kami sempat singgah di Telaga Syifa sebelum terus ke kawasan bersejarah Badar seperti Jabal Malaikat, Masjid Badar, dan perkuburan syuhada Badar.
Suasananya sangat berbeza daripada Madinah, dan kami juga sempat merasa makanan tempatan sepanjang perjalanan ini. Memang seronok sesekali dapat tukar angin berjalan luar dari rutin biasa.
Tapi suka kami ingatkan, ziarah Badar ni adalah program pilihan tambahan, bukannya automatik ada dalam semua Pakej Saver Eco. Kalau anda teringin nak pergi, tanyalah pihak MK Haramain siap-siap tentang caj dan jadualnya.
Nota AkuIslam
Ziarah Badar ini adalah program tambahan dan bukan standard untuk semua jemaah. Sila semak dengan agensi kalau nak selitkan dalam perjalanan anda.

Ziarah Tambahan di Sekitar Madinah
Selain Badar, ada beberapa kawasan yang jarang dilawati sekitar Madinah yang kami sempat lawat macam Telaga Ghars, kawasan Telaga Salman al-Farisi, Masjid Tujuh, dan beberapa tempat di kawasan Uhud (termasuk gua al-Maharis).

Ziarah tambahan macam ni sangat sesuai untuk orang yang suka mendalami sejarah dengan lebih terperinci.
Cuma kami tak nak cerita panjang sejarahnya di sini (nanti meleret pula), cukup kami katakan program tambahan begini memang berbaloi untuk siapa yang larat dan minat.
Tapi kalau anda pilih nak rehat di hotel atau beribadah di Masjid Nabawi pun tak ada masalah. Dua-dua pilihan tu ada pahala dan ganjaran tersendiri.
Persediaan Menunaikan Umrah dari Madinah ke Makkah
Masuk hari kelima, tibalah masa untuk kami beralih ke Makkah. Rombongan naik bas dan singgah di Miqat Bir Ali untuk berniat ihram.

Hari perpindahan ini sangat kritikal sebab fokus kita dah beralih kepada pelaksanaan ibadah umrah. Untuk yang dah selalu pergi, tak ada masalah. Tapi untuk jemaah kali pertama, suasana di miqat itu boleh jadi agak kelam-kabut.
Di sinilah mutawwif memainkan peranan besar membimbing jemaah tentang apa yang perlu dibuat, bila nak berniat, pantang larang ihram dan sebagainya. Penerangan langkah demi langkah mereka sangat menenangkan jemaah supaya semuanya beribadah dengan ilmu, bukan ikut-ikut saja.
Perjalanan darat ke Makkah ambil masa berjam-jam. Jadi, siap sedialah dengan air botol, snek, ubat, dan bantal leher di dalam bas supaya selesa.
Sebelum daftar keluar dari Madinah, pastikan keperluan ihram senang nak capai. Untuk jemaah lelaki, sediakan kain ihram awal-awal supaya tak gelabah nak punggah beg besar bila sampai di miqat.
Pengalaman Umrah MK Haramain di Makkah Bersama Snood Ajyad
Di Makkah pula, kami menginap di Snood Ajyad Hotel. Ini adalah hotel sebenar yang memang ada dalam poster promosi Saver Eco.
Dalam poster, jaraknya tulis lebih kurang 350 meter dari Masjidil Haram. Tapi kami nak pesan awal-awal, angka 350 meter tu atas kertas tak sama dengan realiti bila kita menapak nanti.

Laluan dari Snood Ajyad ke Masjidil Haram
Bila di Makkah, perkara paling penting adalah praktikaliti ulang-alik dari hotel ke masjid. Laluan depan Snood Ajyad nilah yang jadi laluan harian kami.
Suasana sekitar Masjidil Haram sangat padat, lebih-lebih lagi bila nak dekat waktu solat. Kadang-kadang hotel nampak dekat di Google Maps, tapi bila jalan tu berbukit sikit, sesak dengan jemaah, dan kena cari pintu masjid yang sesuai, rasa jauh juga.

Untuk orang muda, ini bukan masalah langsung. Anggap saja sebagai senaman ringan. Tapi kalau bawa warga emas atau mereka yang tak tahan jalan jauh, cabaran laluan ni kena ambil kira.
Jadi, jangan nilai Snood Ajyad semata-mata dari segi “350 meter”. Nilai sekali tahap kecerunan jalan dan pintu masjid yang paling dekat.
Masa pilih hotel di Makkah, jangan tanya berapa meter saja. Tanya sekali jalan tu berbukit tak, laluan kerusi roda senang tak. Sangat penting kalau bawa jemaah berumur!
- Jalan berbukitLaluan ke masjid tidak rata sepenuhnya.
- Lautan jemaahSesak terutama menjelang waktu solat.
- Cari pintu masukPintu terdekat kadang ditutup atau penuh.
- Usia & staminaJarak sama terasa berbeza bagi warga emas.
Jalan ke masjid berbukit? Mesra kerusi roda? Pintu masjid mana paling dekat?
Keadaan bilik dan masa berehat
Bila dah masuk Makkah, masa rehat jadi makin penting. Tenaga banyak guna untuk tawaf, sa’ie, ziarah, dan berulang alik ke masjid.
Jadi bagi kami, bilik di Snood Ajyad ini sangat penting sebagai tempat berehat dan memulihkan tenaga setiap hari. Bilik tak perlu mewah gaya istana, asalkan selesa, air laju, dan boleh simpan barang dengan selamat.
Macam biasa, kalau ambil bilik berempat, ruang bilik perlu dikongsi dengan bertolak ansur. Kalau nak selesa sikit lepas letih tawaf, mungkin bilik berdua atau bertiga lebih berbaloi.
Kemudahan mendapatkan makanan
Sama macam di Madinah, hotel Snood Ajyad ni berkonsepkan bilik sahaja (tanpa makan). Jadi urusan makan minum tu letak atas bahu jemaah sendiri.
Ini beri kebebasan untuk anda makan apa yang anda teringin. Nak bungkus nasi Arab, kebab, atau makanan segera selepas solat, semuanya atas pilihan dan bajet masing-masing.

Cuma kena pandai rancang masa supaya tak bersesak masa cari makan. Bab cari kedai, jangan risau, mutawwif sedia tunjukkan lorong kedai makan atau medan selera yang senang capai dari hotel.
Asingkan terus duit untuk makan dan duit membeli-belah. Kalau tak, takut ‘terlebih belanja’ sampai bajet makan pun terpakai sekali.
Penilaian kami terhadap Snood Ajyad
- Keselesaan bilik3.5
- Lokasi & laluan ke Masjidil Haram3.5
- Kemudahan makan di sekitar4.0
- Nilai berbanding harga pakej4.0
Secara amnya, Snood Ajyad sangat menepati piawaian pakej ekonomi. Asalkan anda jenis yang utamakan fungsi hotel untuk berehat dan larat berjalan, hotel ini sangat sesuai.
Memilih hotel umrah ni bukan setakat tengok bintang (★). Yang lebih penting adalah praktikaliti lokasi dan sejauh mana ia memudahkan ibadah harian kita. Pengalaman dengan MK Haramain memang mendidik kami untuk faham konsep ini.
Pengalaman Umrah MK Haramain Bersama Bimbingan Mutawwif
Kemuncak perjalanan semestinya pelaksanaan ibadah umrah itu sendiri.
Setibanya di Makkah, mutawwif terus bimbing rombongan kami untuk selesaikan umrah pertama bermula dari tawaf, sa’ie sehinggalah tahallul.

Bagi jemaah kali pertama, saat melihat Kaabah di depan mata bersama lautan manusia sangat mengharukan dan mendebarkan. Nak fikir rukun lagi, nak elak langgar orang lagi.
Di sinilah kami nampak betapa bernilainya ada mutawwif yang cekap memimpin jemaah. Bukan setakat jadi ‘ketua rombongan’, tapi mutawwif MK Haramain sangat pakar menenangkan jemaah supaya dapat beribadah dengan tertib dan tak gopoh.
Mutawwif ini juga tempat rujukan pada bila-bila masa. Walaupun sudah balik ke hotel, kalau ada jemaah rasa was-was pasal tawaf mereka, boleh terus mesej atau jumpa mutawwif untuk dapatkan kepastian.
Walaupun begitu, kami nasihatkan bakal jemaah supaya tetap belajar ilmu asas umrah di Malaysia dulu. Jangan pergi tanpa ilmu langsung dan serah 100% pada mutawwif. Kalau kita dah ada ilmu asas, penerangan mutawwif di sana akan rasa jauh lebih mudah difahami.
Tolong khatamkan sekurang-kurangnya bab rukun dan wajib umrah sebelum berlepas. Bila kita faham apa kita buat, ibadah rasa lebih khusyuk dan tak panik bila terpisah dengan rombongan.
Peluang Menunaikan Umrah Tambahan
Dalam pakej ini, ada disertakan lawatan ke miqat seperti Hudaibiyah dan Ja’ranah, yang beri peluang kepada jemaah kalau nak buat umrah kedua atau ketiga.
Bagi yang berniat nak buat umrah lebih, program ni dah sediakan pengangkutan, jadi sangat mudah.
Tapi pandangan kami, tak wajib pun untuk paksa diri buat semua umrah tambahan tu. Bergantung pada tenaga masing-masing. Kalau rasa badan dah letih, lebih baik duduk di masjid, buat tawaf sunat, atau rehat di bilik. Ibadah yang berkualiti lebih afdal daripada kuantiti tapi memudaratkan kesihatan.
Nota AkuIslam
Umrah tambahan tu sunat. Kalau nak buat, pastikan anda faham tatacara ihram dan minta panduan mutawwif. Jangan paksa diri kalau tak larat.
Program Ziarah di Sekitar Makkah
Jadual Saver Eco ada selitkan ziarah biasa di Makkah seperti melihat Jabal Thur, Jabal Nur, padang Arafah, Muzdalifah, Mina, dan Ja’ranah.

Semuanya menggunakan bas pakej, jadi jemaah boleh duduk santai mendengar sirah yang dikongsi oleh mutawwif dari dalam bas, atau ambil gambar kenangan di tempat persinggahan.
Ziarah tambahan yang kami ikuti
Sama macam di Madinah, kru AkuIslam juga berpeluang menyertai lawatan tambahan ke perkuburan al-Ma’la (makam Saidatina Khadijah RA), Jabal Khandamah, dan meninjau kawasan Jabal Nur dari dekat. Kami juga ada ikut program sedekah masa di Makkah.
Aktiviti macam ini memberi kelainan dan suasana yang sangat istimewa pada perjalanan kami. Tapi ingat, ini program tambahan, bukan wajib ada dalam setiap jadual. Kalau nak selit program begini, cuba tanya mutawwif anda jika mereka ada menganjurkannya semasa perjalanan anda nanti.

Pengalaman Umrah MK Haramain Menziarahi Kota Taif
Satu perkara yang sangat menarik tentang pakej Saver Eco ini ialah ziarah ke Taif memang termasuk secara rasmi dalam jadual!
Lepas berhari-hari dalam kesibukan Kota Makkah, perjalanan bas ke Taif ni memberi kami ketenangan melihat pemandangan gunung-ganang yang sejuk dan damai.
Kami dibawa melawat Masjid Abdullah bin Abbas, dengar sirah, dan yang paling seronok, menaiki kereta kabel!
Pengalaman menaiki kereta kabel
Berpeluang naik kereta kabel di Taif ini memang satu pengalaman yang menyegarkan. Dapat tengok pemandangan lembah Taif dari atas, rasa macam tengah bercuti di tempat lain. Bagi jemaah yang bawa anak-anak, ini memang memori yang mereka akan ingat.
Cuma, aktiviti naik kereta kabel ni tertakluk pada cuaca dan kelancaran operasi di sana. Kalau anda rasa nak naik sangat, semak semula dengan mutawwif awal-awal adakah tiketnya disediakan.
Lawatan ke Masjid Abdullah bin Abbas
Masjid ni antara mercu tanda sejarah utama di Taif. Dapat jejak kaki ke kawasan yang banyak kaitan dengan sirah Rasulullah SAW ni buatkan kita rasa sebak dan insaf.
Kesimpulannya, selitan ziarah Taif ni buat pakej MK Haramain ni rasa sangat berbaloi. Cuma perjalanannya jauh sikit, jadi bawa air dan sediakan ubat untuk siapa yang mudah mabuk darat.
Ziarah Taif makan masa seharian. Pakai kasut yang sedap buat menapak, bawa snek, dan semak kalau tiket kereta kabel perlukan bayaran asing.

Masa Bebas di Makkah yang Kami Hargai
Di celah-celah program ziarah dan umrah, ada hari-hari di mana jemaah dibiarkan ‘bebas’ (tiada program rasmi).

Bagi kami, inilah keistimewaan sebenar pakej ini. Setiap orang ada sasaran ibadah yang berbeza. Ada yang nak tawaf sunat, ada yang nak borong jubah di kedai bawah, ada yang nak ganti tidur lepas kepenatan.
Bila ada masa bebas, kita tak terikat. Asalkan dah biasa dengan jalan ke Masjidil Haram, anda bebas urus pergerakan sendiri. Cumanya, selalu pesan dengan rakan sebilik atau mutawwif kalau nak berjalan jauh sedikit.
Penutup Pengalaman Umrah MK Haramain dengan Bermalam di Jeddah
Selesai program di Makkah dan tawaf wada’, rombongan daftar keluar dan naik bas menuju ke Jeddah.
Menariknya pakej ini, mereka sediakan satu malam penginapan di Jeddah sebelum penerbangan pulang ke Malaysia. Susunan macam ni sangat bijak!
Kita taklah kelam-kabut terus ke lapangan terbang selepas penat bersesak di Makkah. Boleh berehat dulu, susun bagasi, dan bersedia dari segi mental untuk penerbangan panjang esok harinya.
Sempat juga kami lalu kawasan Masjid Terapung Al-Rahmah untuk bersantai dan cuci mata sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz.
Pengurusan ‘babak akhir’ perjalanan inilah yang menentukan perasaan jemaah ketika pulang. Alhamdulillah, pihak MK Haramain uruskan fasa ini dengan sangat lancar.
Pada malam di Jeddah, timbang dan kemas beg betul-betul. Asingkan air zamzam atau barang tak lepas naik kabin. Pasport sentiasa simpan dekat dengan badan!
Kelebihan Pengalaman Umrah MK Haramain Berdasarkan Penilaian Kami
Lepas lalui sendiri 12 hari, inilah rumusan kelebihan pengalaman umrah MK Haramain yang bukan sekadar tertulis di poster, tapi kualiti yang kami rasa sendiri di lapangan.
- Pengurusan logistik yang sangat mudah. Dari KL, Madinah, Makkah, Taif, sampai Jeddah, urusan pindah-randah, beg, dan bas semua sudah diuruskan. Jemaah cuma bawa diri dan fokus ibadah.
- Mutawwif dan krew yang sangat responsif. Tidak kira soal agama atau setakat nak tanya mana kedai gunting rambut, krew MK Haramain sangat membantu dan mesra, lebih-lebih lagi untuk urus jemaah warga emas.
- Bantuan padu untuk Raudhah & Umrah. Prosedur di Tanah Suci makin ketat, terutama penggunaan aplikasi Nusuk. Panduan dari krew sangat bantu hilangkan rasa gementar jemaah, terutamanya masa nak masuk Raudhah dan tawaf pertama kali.
- Hotel yang praktikal & selesa. Walau bukan taraf 5 bintang, hotel Diyar Al Eiman dan Snood Ajyad sangat menepati ciri hotel rehat yang praktikal, dekat dengan kedai makan, dan jalan yang jelas ke masjid.
- Kepelbagaian ziarah. Ziarah Taif dah masuk pakej, malah ada selitan tawaran program Badar dan ziarah tambahan untuk jemaah yang nak pengalaman ‘lebih’ dari rombongan biasa.
- Fleksibiliti ibadah. Jadual yang tak terlalu membunuh. Keseimbangan antara aktiviti wajib dan masa bebas menjadikan jemaah tak berasa ‘dikawal’ sepenuhnya.
Perkara yang Perlu Diketahui Sebelum Memilih Saver Eco
Walaupun ulasan kami sangat positif, kami nak bersikap telus. Ini beberapa perkara realiti yang anda patut tahu awal-awal supaya tak ada rasa terkilan nanti.
- 1Pakej bilik sahajaMakanan tidak disediakan. Kalau bawa warga emas yang tak larat menapak cari makan setiap kali lepas solat, pertimbangkan pakej penuh (termasuk makan).
- 2Hotel mungkin berubahHotel dalam poster boleh bertukar ikut kuota. Hotel Madinah kami sendiri ditukar. Tanya agensi pilihan hotel ganti mereka.
- 3Faham erti “jarak berjalan”350 meter atas peta nampak dekat, tetapi jalan sesak dan berbukit perlukan stamina.
- 4Ziarah tambahan bersyaratLawatan seperti ke Badar adalah program luar jadual. Tanya mutawwif awal-awal tentang kos tambahan.
Lihat 2 perkara lagiTutup
- 5Banyakkan bertolak ansurDalam satu bas, ada yang lambat siap, ada yang tertinggal barang. Banyakkan sabar dan raikan jemaah lain.
- 6Kenal tahap staminaJangan kejar semua umrah sunat dan ziarah sampai jatuh sakit. Utamakan umrah wajib, selebihnya ikut kudrat badan.
Sebelum membuat bayaran tempahan, minta jadual penuh (tentatif), nama hotel rasmi, dan senarai perkara yang termasuk dan tidak termasuk. Simpan buat rujukan kalau ada apa-apa perubahan.
Adakah Pakej Saver Eco Sesuai untuk Jemaah Kali Pertama?
Jawapan ringkas kami, sangat sesuai, dengan syarat anda tahu apa yang anda bayar.
Untuk jemaah kali pertama, bimbingan penuh dari mutawwif dan krew MK Haramain memang satu pakej penyelamat. Anda tak payah fikir bab bas atau nak tempah tiket apa-apa. Fokus ibadah saja.
Cuma, sebab ia pakej ekonomi, anda kena sediakan wang poket ekstra untuk makan hari-hari dan pastikan kaki kuat nak menapak ulang-alik ke masjid. Kalau anda sihat tubuh badan, pakej ini sangat berbaloi dengan harganya!
Bila nak pilih pakej, biarlah ikut kudrat badan, bukan harga paling murah semata-mata. Agensi macam MK Haramain yang jaga jemaah di lapangan ini nilainya lebih besar daripada harga pakej tu sendiri.
Soalan Lazim Tentang Pengalaman Umrah MK Haramain
Pakej ni berjalan selama 12 hari 10 malam (KL, Madinah, Makkah, Taif, Jeddah dan pulang ke KL).
Harga musim biasa bermula RM7,190 (berempat), RM7,790 (bertiga) dan RM8,390 (berdua). Musim pertengahan dan puncak lebih tinggi, sehingga RM9,790 (berdua). Sahkan harga terkini terus dengan pihak agensi.
Kami menginap di Diyar Al Eiman selama 4 hari (Berbeza dari Safwat Al Madinah dalam poster).
Kami menginap di Snood Ajyad Hotel (Sama seperti yang dijanjikan dalam poster).
Tidak. Pakej ini berkonsepkan bilik sahaja (tanpa makan). Jadi jemaah kena siapkan bajet makan asing.
Ya, krew sangat bantu ajar guna aplikasi Nusuk dan kongsi panduan masuk. Tapi ingat, kelulusan slot tetap dari sistem Arab Saudi.
Tak semestinya. Untuk kami, ia adalah program tambahan.
Ya, ziarah Taif dah termasuk dalam tentatif rasmi. Boleh lawat Masjid Abdullah bin Abbas dan naik kereta kabel.
Ya. Mutawwif akan bimbing secara langsung untuk umrah pertama sampailah selesai tahallul.
Bergantung pada tahap kesihatan. Kalau berkerusi roda atau tak larat jalan sikit, kena pertimbangkan faktor jarak hotel ke masjid dan ketiadaan pakej makanan.
Kesimpulan Pengalaman Umrah MK Haramain Bersama Kru AkuIslam
Rangkuman keseluruhan untuk perjalanan awal tahun 2026 ini, kru AkuIslam sangat gembira dapat merasai sendiri kualiti perkhidmatan MK Haramain Travel & Tours di Tanah Suci.

Fasa demi fasa, dari Madinah ke Makkah, Taif sehinggalah malam terakhir di Jeddah, semuanya diuruskan dengan teratur dan profesional.
- Bimbingan mutawwif5.0
- Pengurusan perjalanan & logistik5.0
- Program ziarah4.5
- Penginapan hotel4.0
- Nilai berbanding harga4.5
Bintang utama untuk pakej ini pada pandangan kami adalah mutawwif dan barisan krew mereka.
Layanan dan keprihatinan mereka melangkaui apa yang dicetak dalam poster. Bantuan di saat jemaah buntu, bimbingan ibadah, dan respon pantas mereka menjadikan perjalanan yang memenatkan ini jadi sangat tenang.
Kombinasi hotel yang mesra lokasi, masa lapang yang cukup, serta selitan ziarah Taif dan Badar menjadikan pakej Saver Eco ini bukan pakej ‘asal boleh’, tapi sangat sarat dengan kualiti.
Nasihat terakhir kami, pilihlah pakej yang padan dengan bajet, tahap kesihatan, dan keperluan keluarga anda. Kalau rasa Saver Eco ini sesuai dengan anda, lawati laman web MK Haramain Travel atau hubungi terus pihak mereka untuk menempah tempat bagi musim terbaru.
Semoga coretan ikhlas tentang pengalaman umrah MK Haramain dari kru AkuIslam ni beri pencerahan untuk anda yang sedang membuat tinjauan pakej umrah. Mudah-mudahan Allah SWT permudahkan urusan kita semua untuk ke sana dan kurniakan umrah yang mabrur. Amin!