Solat Zohor: Niat, Cara 4 Rakaat dan Doa (Rumi)

Panduan lengkap solat Zohor mazhab Syafi'e: niat, cara 4 rakaat langkah demi langkah dengan Rumi dan audio, panduan perempuan dan doa selepas solat.

Muhamad Naim Abd ManafDikemas kini 14 November 2026
Solat Zohor: niat dan cara solat 4 rakaat

Ini adalah panduan lengkap solat Zohor, daripada lafaz niat dan waktu hingga cara solat empat rakaat langkah demi langkah, termasuk perkara khusus bagi perempuan dan doa selepas solat.

Bacaan dalam solat disertakan dengan tulisan Arab, transliterasi Rumi, maksud dan audio. Panduan ini sesuai untuk orang yang baru belajar solat, sama ada solat bersendirian, menjadi imam atau makmum.

Ringkasan Solat Zohor

Solat Zohor ialah solat fardu empat rakaat yang dikerjakan selepas matahari tergelincir di tengah hari.

  • Hukum: fardu ain bagi setiap Muslim yang baligh dan berakal.
  • Bilangan: 4 rakaat dengan satu salam, dan tahiyat awal selepas rakaat kedua.
  • Waktu: dari matahari tergelincir hingga bayang-bayang objek sama panjang dengan objek itu.
  • Bacaan: semua dibaca perlahan. Surah hanya pada rakaat pertama dan kedua.
  • Niat: Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin adā’an lillāhi ta‘ālā.

Solat Zohor ialah solat fardu empat rakaat yang dikerjakan selepas matahari tergelincir di tengah hari. Ia wajib atas setiap Muslim yang baligh dan berakal, sama seperti empat solat fardu yang lain.1

Ketika Jibril mengimami Nabi ﷺ di sisi Kaabah untuk mengajar waktu solat, solat Zohor ialah solat pertama yang dikerjakan, sebaik sahaja matahari tergelincir.2

Kelebihan Menjaga Solat Zohor

Nabi ﷺ mengumpamakan solat lima waktu seperti sungai di hadapan pintu rumah. Orang yang mandi di sungai itu lima kali sehari tidak akan tinggal kotoran pada badannya. Begitulah Allah menghapuskan kesalahan dengan solat lima waktu.3

Zohor datang ketika hari sedang sibuk dengan kerja, sekolah atau urusan rumah. Menunaikannya pada awal waktu ialah cara paling mudah untuk memastikan ia tidak terlepas.4

Solat Zohor empat rakaat dengan satu salam. Ada tahiyat awal selepas rakaat kedua dan tahiyat akhir selepas rakaat keempat.5

RakaatApa yang dibuat
Rakaat pertamaNiat dan takbiratul ihram, doa iftitah, al-Fatihah, surah, rukuk, iktidal dan dua sujud
Rakaat keduaAl-Fatihah, surah, rukuk, iktidal, dua sujud, kemudian duduk tahiyat awal
Rakaat ketigaAl-Fatihah sahaja tanpa surah, rukuk, iktidal dan dua sujud
Rakaat keempatAl-Fatihah sahaja, rukuk, iktidal, dua sujud, kemudian tahiyat akhir dan salam

Semua bacaan dalam solat Zohor dibaca perlahan, termasuk bagi imam ketika berjemaah.6

Bagi musafir yang memenuhi syarat, solat Zohor boleh diqasar menjadi dua rakaat dan dijamak dengan Asar. Penerangannya ada dalam bahagian Situasi Khas.

Waktu Zohor bermula apabila matahari tergelincir dari tengah langit ke arah barat. Ia berakhir apabila bayang-bayang sesuatu objek sama panjang dengan objek itu, ditambah bayang-bayang yang ada ketika matahari berada di tengah langit (istiwa’). Sebaik sahaja waktu Zohor tamat, waktu Asar bermula.7

PerkaraPenerangan
MulaMatahari tergelincir (zawal), sedikit selepas tengah hari
TamatBayang-bayang objek sama panjang dengan objek itu, selain bayang-bayang semasa istiwa’
Paling afdalAwal waktu, sebaik sahaja masuk waktu Zohor4
Ketika panas terikSunat dilewatkan sedikit (ibrad) bagi jemaah masjid yang datang dari jauh8

Waktu tepat berbeza mengikut zon dan tarikh. Semak jadual waktu solat zon anda di e-Solat JAKIM.

Solat Sunat Sebelum dan Selepas Zohor

Panduan penuh

Solat Sunat Sebelum dan Selepas Zohor

Niat, bilangan rakaat dan cara solat sunat rawatib Zohor.

Niat dibuat di dalam hati ketika takbiratul ihram. Bagi solat fardu, niat mesti mengandungi tiga perkara: kehendak untuk solat, penentuan bahawa ia solat Zohor, dan bahawa ia solat fardu.9 Lafaz di bawah membantu hati menghadirkan niat itu.

Solat bersendirian (tunai)

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin adā’an lillāhi ta‘ālā

“Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat tunai kerana Allah Taala.”

Imam

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً إِمَامًا لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin adā’an imāman lillāhi ta‘ālā

“Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat tunai sebagai imam kerana Allah Taala.”

Makmum

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً مَأْمُومًا لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin adā’an ma’mūman lillāhi ta‘ālā

“Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat tunai sebagai makmum kerana Allah Taala.”

Qada Zohor

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ قَضَاءً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin qaḍā’an lillāhi ta‘ālā

“Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat qada kerana Allah Taala.”

Makmum wajib berniat mengikut imam. Jika makmum tidak berniat begitu lalu mengikut perbuatan imam, solatnya batal. Imam pula tidak wajib berniat menjadi imam, tetapi ia sunat.10

Nota Niat

Jika anda tersilap menyebut “tunai” sedangkan solat itu sudah qada, atau sebaliknya, solat tetap sah.9 Yang penting, hati menentukan solat Zohor dan berniat fardu.

Rujukan Pantas: Bacaan Setiap Pergerakan

PergerakanBacaan
Takbiratul ihramAllāhu akbar, dengan niat dalam hati
Doa iftitah (sunat, rakaat 1)Allāhu akbaru kabīrā…
Ta‘awwuz (sunat, setiap rakaat)A‘ūżu billāhi minasy-syaiṭānir-rajīm
BerdiriAl-Fatihah (wajib). Surah (sunat) pada rakaat 1 dan 2 sahaja
RukukSubḥāna rabbiyal-‘aẓīmi wa biḥamdih (3x)
IktidalSami‘allāhu liman ḥamidah. Rabbanā lakal-ḥamd
SujudSubḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)
Duduk antara dua sujudRabbighfir lī warḥamnī wajburnī…
Tahiyat awal (selepas rakaat 2)Tahiyat hingga Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammad
Tahiyat akhir (rakaat 4)Tahiyat lengkap dan selawat Ibrahimiyyah
SalamAs-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh

Sudah tahu asasnya? Lompat keTahiyat AwalRakaat 3 dan 4Tahiyat Akhir

Rakaat 1 daripada 4

Rakaat Pertama

1

Mulakan dengan Niat dan Takbiratul Ihram

Berdiri tegak menghadap kiblat. Hadirkan niat solat fardu Zohor dalam hati ketika mengucapkan takbiratul ihram.

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ أَدَاءً لِلّٰهِ تَعَالَى

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin adā’an lillāhi ta‘ālā

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat tunai kerana Allah Taala.” Berniat dalam bahasa Melayu sahaja juga memadai.

Nota Niat

Niat ialah kehendak hati, bukan bacaan yang mesti dilafazkan. Hadirkan niat ketika takbiratul ihram. Melafazkannya sebelum takbir hukumnya sunat untuk membantu hati.11

Cara mengangkat takbir (takbiratul ihram) dalam solat

Angkat kedua-dua tangan dengan tapak tangan menghadap kiblat, hujung jari setentang dengan bahagian atas telinga, ibu jari setentang cuping telinga dan tapak tangan setentang bahu. Ucapkan takbir “Allāhu akbar” dengan jelas sambil berniat dalam hati.12

اَللَّهُ أَكْبَرُ

Allāhu akbar



Maksud Bacaan

Allah Maha Besar!

Selepas takbir, letakkan tangan kanan di atas pergelangan tangan kiri, di bawah dada dan di atas pusat.13


2

Baca Doa Iftitah (Sunat)

Selepas takbiratul ihram, baca doa iftitah secara perlahan. Ia sunat dan dibaca pada rakaat pertama sahaja. Jika tidak membacanya, solat tetap sah.14 Huraian lanjut ada dalam artikel doa iftitah.

اَللّٰهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلّٰهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللّٰهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا. وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ. إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ.

Allāhu akbaru kabīrā, wal-ḥamdu lillāhi kaṡīrā, wa subḥānallāhi bukrataw wa aṣīlā. Wajjahtu wajhiya lillażī faṭaras-samāwāti wal-arḍa ḥanīfam muslimaw wa mā ana minal-musyrikīn. Inna ṣalātī wa nusukī wa maḥyāya wa mamātī lillāhi rabbil-‘ālamīn. Lā syarīka lahū wa biżālika umirtu wa ana minal-muslimīn.



Maksud Bacaan

Allah Maha Besar dengan sebesar-besarnya, segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya, dan Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, dalam keadaan lurus dan berserah diri, dan aku bukanlah daripada golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dengan itulah aku diperintahkan, dan aku daripada golongan orang Islam.


3

Baca Surah al-Fatihah

Sebelum al-Fatihah, baca ta‘awwuz secara perlahan: A‘ūżu billāhi minasy-syaiṭānir-rajīm, maksudnya “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.” Ia sunat pada setiap rakaat.15

Al-Fatihah ialah rukun dan wajib dibaca dalam setiap rakaat. Baca dengan tertib dan jelas setiap hurufnya. Solat tidak sah tanpanya.16

Pada solat Zohor, al-Fatihah dan surah dibaca perlahan dalam semua rakaat, sama ada anda imam, makmum atau solat bersendirian.6

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Ṣirāṭal-lażīna an‘amta ‘alaihim ghairil-maghḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn



Maksud Bacaan

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Selesai membaca al-Fatihah, sebut “Āmīn”. Hukumnya sunat.17


4

Baca Surah Pendek

Selepas al-Fatihah, sunat membaca mana-mana surah atau beberapa ayat al-Quran pada rakaat pertama dan kedua. Untuk permulaan, surah pendek seperti surah al-Ikhlas sudah memadai.18

Surah Al-Ikhlas

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢ لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ ٣ وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ ٤

Qul huwallāhu aḥad. Allāhuṣ-ṣamad. Lam yalid wa lam yūlad. Wa lam yakul lahū kufuwan aḥad



Maksud Bacaan

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa, “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan, “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.


5

Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Posisi dan cara melakukan rukuk dalam solat

Angkat kedua-dua tangan seperti ketika takbiratul ihram, dan bertakbir “Allāhu akbar” sambil tunduk untuk rukuk. Letakkan tapak tangan di atas lutut dengan jari direnggangkan. Ratakan belakang dan tengkuk, dan halakan pandangan ke tempat sujud.19

Khusus wanita: ketika rukuk, rapatkan siku ke rusuk, dan rapatkan kedua-dua lutut dan kaki.20

Semasa rukuk, bacalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-‘aẓīmi wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung, serta segala puji bagi-Nya.”

Tuma’ninah: Jangan Tergesa-gesa

Dalam rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud, pastikan anggota badan diam dan tetap seketika sebelum bergerak ke rukun seterusnya. Ini dinamakan tuma’ninah dan ia sebahagian daripada rukun solat.21


6

Kemudian Bangun Iktidal

Kedudukan ketika iktidal

Angkat kepala daripada rukuk sambil mengangkat kedua-dua tangan seperti ketika takbiratul ihram.22 Ketika bangun, baca:

سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Sami‘allāhu liman ḥamidah



Maksud Bacaan

“Allah mendengar orang yang memuji-Nya.”

Apabila sudah berdiri tegak dengan tuma’ninah, baca:

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Rabbanā lakal-ḥamd

“Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian.”


7

Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Turun Melakukan Sujud

Kedudukan atau posisi yang betul ketika sujud dalam solat

Turun untuk sujud sambil bertakbir “Allāhu akbar”, tanpa mengangkat tangan. Letakkan lutut dahulu, kemudian tapak tangan, kemudian dahi dan hidung.23

Wajib meletakkan tujuh anggota pada tempat sujud: dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki. Sebahagian dahi mesti terdedah menyentuh tempat sujud, seperti sejadah, dan tidak terhalang oleh kopiah, telekung atau tudung yang dipakai. Punggung pula mesti lebih tinggi daripada kepala.

Khusus wanita: ketika sujud, rapatkan siku ke rusuk dan lekatkan perut pada paha. Pastikan telekung atau pakaian longgar supaya bentuk badan tidak terbentuk, dan kaki kekal tertutup.24

Semasa sujud, bacalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


8

Kemudian Duduk di Antara Dua Sujud

Posisi istirahah atau cara duduk antara dua sujud dalam solat

Angkat kepala daripada sujud pertama sambil bertakbir “Allāhu akbar”. Duduk iftirasy, iaitu duduk di atas kaki kiri dengan kaki kanan ditegakkan, dan letakkan tangan di atas paha berhampiran lutut. Duduk dengan tuma’ninah.25 Duduk ini ialah rukun solat dan berbeza daripada duduk istirahat sebelum bangun ke rakaat seterusnya.

Kemudian bacalah doa antara dua sujud seperti ini:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Rabbighfir lī warḥamnī wajburnī warfa‘nī warzuqnī wahdinī wa ‘āfinī wa‘fu ‘annī



Maksud Bacaan

“Ya Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku, dan maafkanlah kesalahanku.”


9

Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Sujud kali kedua dalam solat

Selesai doa antara dua sujud, turun sujud sekali lagi sambil bertakbir “Allāhu akbar”. Lakukan seperti sujud pertama, dengan tujuh anggota menyentuh tempat sujud, kemudian baca bacaan dalam sujud.23

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


10

Angkat Kepala Sambil Bertakbir, Kemudian Duduk Istirahat Seketika

Angkat kepala daripada sujud kedua sambil mula bertakbir Allāhu akbar. Ini ialah takbir intiqalat (takbir berpindah), bukan takbiratul ihram yang baharu.

Posisi atau cara duduk istirahat
Posisi Duduk Istirahat

Disunatkan duduk istirahat sebentar sebelum bangun ke rakaat kedua. Panjangkan takbir tadi sepanjang duduk istirahat sehingga anda berdiri tegak. Duduk ini bukan rukun dan tidak ditetapkan tempohnya.

Rakaat pertama selesai

Rakaat 2 daripada 4

Rakaat Kedua

11

Berdiri Untuk Rakaat Kedua

Berdiri tegak untuk rakaat kedua. Takbir intiqalat yang dimulakan ketika mengangkat kepala daripada sujud tadi berakhir apabila anda sudah berdiri. Tidak perlu mengangkat tangan dan tidak perlu berniat semula.

Takbir intiqalat ialah takbir ketika berpindah antara pergerakan solat, seperti turun rukuk, turun sujud dan bangun ke rakaat seterusnya.

اَللَّهُ أَكْبَرُ

Allāhu akbar


12

Baca Surah al-Fatihah

Seperti rakaat pertama, baca ta‘awwuz secara perlahan, kemudian baca al-Fatihah.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Ṣirāṭal-lażīna an‘amta ‘alaihim ghairil-maghḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

Maksud bacaan ini sama seperti dalam rakaat pertama.

Kemudian sebut “Āmīn” seperti rakaat pertama.


13

Baca Surah Pendek yang Lain

Selepas al-Fatihah, baca surah pendek yang lain, contohnya surah al-Kāfirūn. Sunat bacaan rakaat kedua lebih pendek daripada rakaat pertama.26


14

Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

cara rukuk solat

Angkat kedua-dua tangan dan bertakbir “Allāhu akbar” sambil tunduk untuk rukuk, seperti rakaat pertama. Ratakan belakang dan letakkan tapak tangan di atas lutut.

Seperti sebelumnya, bacaan rukuk adalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-‘aẓīmi wa biḥamdih (3x)

Maksud bacaan ini sama seperti dalam rakaat pertama.


15

Kemudian Bangun Iktidal

Posisi dan cara iktidal

Angkat kepala daripada rukuk sambil mengangkat tangan, seperti rakaat pertama. Ketika bangun, baca:

سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Sami‘allāhu liman ḥamidah

Maksud bacaan ini sama seperti dalam rakaat pertama.

Apabila sudah berdiri tegak dengan tuma’ninah, baca:

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Rabbanā lakal-ḥamd

“Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian.”


16

Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

cara sujud dalam solat

Turun sujud sambil bertakbir “Allāhu akbar”, seperti rakaat pertama. Pastikan tujuh anggota menyentuh tempat sujud. Semasa sujud, bacalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)

Maksud bacaan ini sama seperti dalam rakaat pertama.


17

Kemudian Duduk di Antara Dua Sujud

Posisi duduk antara dua sujud

Angkat kepala sambil bertakbir dan duduk iftirasy, seperti rakaat pertama. Kemudian baca bacaan antara dua sujud:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Rabbighfir lī warḥamnī wajburnī warfa‘nī warzuqnī wahdinī wa ‘āfinī wa‘fu ‘annī

Maksud bacaan ini sama seperti dalam rakaat pertama.


18

Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Sujud kali kedua

Turun sujud kali kedua sambil bertakbir “Allāhu akbar”. Semasa sujud, bacalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)

Maksud bacaan ini sama seperti dalam rakaat pertama.


19

Duduk Tahiyat Awal Selepas Rakaat Kedua

Cara duduk tahiyat awal dalam solat

Selepas sujud kedua pada rakaat kedua, jangan terus bangun. Duduk di atas kaki kiri, dengan kaki kanan ditegakkan dan jari kakinya menghadap kiblat. Cara duduk ini dipanggil iftirasy. Letakkan kedua-dua tangan di atas paha. Genggam jari tangan kanan kecuali jari telunjuk, dan angkat telunjuk itu ketika menyebut illallāh.27 Kemudian baca tahiyat awal hingga selawat ringkas:28

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلّٰهِ. السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللّٰهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللّٰهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللّٰهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ..

At-taḥiyyātul-mubārakātuṣ-ṣalawātuṭ-ṭayyibātu lillāh. As-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu wa raḥmatullāhi wa barakātuh. As-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhiṣ-ṣāliḥīn. Asyhadu allā ilāha illallāh, wa asyhadu anna Muḥammadar-rasūlullāh. Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammad.



Maksud Bacaan

Segala penghormatan, keberkatan, solat dan kebaikan adalah bagi Allah. Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah. Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas Nabi Muhammad.

Nota Tahiyat Awal

Tahiyat awal hukumnya sunat, tetapi sunat yang penting (dipanggil sunat ab‘ad). Bacaannya memadai hingga Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammad. Menambah selawat ke atas keluarga Nabi ﷺ tidak membatalkan solat, tetapi yang sunat ialah meringkaskannya.29

Jika terlupa dan anda sudah berdiri tegak, jangan kembali duduk. Teruskan solat dan lakukan sujud sahwi sebelum salam.30 Huraian lanjut ada dalam artikel tertinggal tahiyat awal.


Rakaat 3 daripada 4

Rakaat Ketiga

20

Bangun untuk Rakaat Ketiga

Selepas tahiyat awal, bangun berdiri. Rakaat ketiga sama seperti rakaat sebelumnya, kecuali tiada surah selepas al-Fatihah.31

  1. Bangun berdiri sambil bertakbir “Allāhu akbar”. Sunat mengangkat kedua-dua tangan seperti ketika takbiratul ihram.32
  2. Baca ta‘awwuz dan al-Fatihah sahaja secara perlahan, tanpa surah.
  3. Rukuk sambil bertakbir dan mengangkat tangan, kemudian baca Subḥāna rabbiyal-‘aẓīmi wa biḥamdih (3x).
  4. Iktidal sambil mengangkat tangan: Sami‘allāhu liman ḥamidah, kemudian Rabbanā lakal-ḥamd.
  5. Sujud sambil bertakbir, dengan tujuh anggota di tempat sujud, dan baca Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x).
  6. Duduk antara dua sujud: bangun sambil bertakbir, duduk iftirasy dan baca Rabbighfir lī warḥamnī…
  7. Sujud kedua sambil bertakbir, seperti sujud pertama.
  8. Bangun untuk rakaat keempat.

Rakaat 4 daripada 4

Rakaat Keempat

21

Rakaat Keempat: Ulang seperti Rakaat Ketiga

  1. Bangun berdiri daripada sujud sambil bertakbir “Allāhu akbar”.
  2. Baca ta‘awwuz dan al-Fatihah sahaja secara perlahan, tanpa surah.
  3. Rukuk sambil bertakbir dan mengangkat tangan, kemudian baca Subḥāna rabbiyal-‘aẓīmi wa biḥamdih (3x).
  4. Iktidal sambil mengangkat tangan: Sami‘allāhu liman ḥamidah, kemudian Rabbanā lakal-ḥamd.
  5. Sujud sambil bertakbir, dengan tujuh anggota di tempat sujud, dan baca Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x).
  6. Duduk antara dua sujud: bangun sambil bertakbir, duduk iftirasy dan baca Rabbighfir lī warḥamnī…
  7. Sujud kedua sambil bertakbir, seperti sujud pertama.
  8. Jangan bangun. Terus duduk untuk tahiyat akhir.

22

Duduk Tahiyat Akhir

Posisi atau cara tahiyat akhir

Selepas sujud kedua pada rakaat keempat, angkat kepala sambil bertakbir, kemudian duduk dengan punggung kiri di atas lantai dan kaki kiri dikeluarkan ke bawah kaki kanan yang ditegakkan. Cara duduk ini dipanggil tawarruk. Kemudian baca tahiyat akhir dan selawat ke atas Nabi ﷺ‎:33

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلّٰهِ. السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللّٰهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللّٰهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللّٰهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

At-taḥiyyātul-mubārakātuṣ-ṣalawātuṭ-ṭayyibātu lillāh. As-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu wa raḥmatullāhi wa barakātuh. As-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhiṣ-ṣāliḥīn. Asyhadu allā ilāha illallāh, wa asyhadu anna Muḥammadar-rasūlullāh. Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammadiw wa ‘alā āli Muḥammad, kamā ṣallaita ‘alā Ibrāhīma wa ‘alā āli Ibrāhīm, wa bārik ‘alā Muḥammadiw wa ‘alā āli Muḥammad, kamā bārakta ‘alā Ibrāhīma wa ‘alā āli Ibrāhīma fil-‘ālamīna innaka ḥamīdum majīd



Maksud Bacaan

Segala penghormatan, keberkatan, solat dan kebaikan adalah bagi Allah. Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah. Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau melimpahkan rahmat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Berkatilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau memberkati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di seluruh alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

Bacaan tahiyat awal dan akhir beserta huraiannya ada dalam artikel tahiyat akhir dan tahiyat awal. Selawat dalam tahiyat akhir dihuraikan dalam artikel selawat Ibrahimiyah. Sebelum salam, sunat berdoa.34 Contoh doanya ada dalam artikel doa selepas tahiyat akhir.

Perbezaan cara duduk tahiyat awal dan tahiyat akhir

Nota Tahiyat Akhir

Duduk tahiyat akhir, bacaan tahiyat dan selawat ke atas Nabi ﷺ selepasnya ialah rukun. Selawat Ibrahimiyyah secara lengkap pula sunat.35

Ketika tahiyat, genggam jari tangan kanan kecuali jari telunjuk. Angkat jari telunjuk ketika menyebut illallāh dan biarkan terangkat hingga salam.27


23

Akhiri Solat dengan Salam

Akhiri solat dengan memberi salam. Salam pertama ke kanan ialah rukun yang menamatkan solat, manakala salam kedua ke kiri hukumnya sunat.36

memberi salam dalam solat

Pada salam pertama, palingkan muka ke sebelah kanan dan ucapkan salam seperti berikut:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

As-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh



Maksud Bacaan

Salam sejahtera ke atas kamu dan rahmat Allah.

… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

As-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh

Selesailah solat fardu Zohor empat rakaat. Sunat menyambung dengan wirid dan doa selepas solat sebelum bangun.

Selepas salam, sunat beristighfar, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berdoa. Susunan wirid yang lengkap ada dalam panduan berikut.

Wirid dan Doa Selepas Solat

Panduan penuh

Wirid dan Doa Selepas Solat

Bacaan zikir selepas solat fardu dengan Rumi, maksud dan audio.

Doa Selepas Solat Zohor (Rumi dan Audio)

Doa berikut lazim dibaca di Malaysia selepas solat fardu. Ia doa umum yang boleh dibaca selepas mana-mana solat, termasuk Zohor.

Doa Selepas Solat Fardu
Doa selepas solat

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm, alhamdulillahirobbil ‘alamin, wassolatu wassalaamu ‘alaa sayyidina muhammadin ashrofil mursalin, wa’alaa aalihi wasohbihi ajma’in.
Allahumma ahyina bil iimaan, wa amitna bil iimaan, wa adkhilnal jannata ma’al iimaan, Allahummaghfirlana zunuubana waliwaa lidaina warhamhuma kamaa robbayaanaa soghiro,
Allahummakhtim lanaa bi husnil khotimah, wala takhtim ‘alaina bi suu’il khotimah, robbana laa tuzigh qulubana ba’daiz hadaitana wahablana milladunka rohmatan innaka antal wahhab.
Robbana aatinaa fiddunya hasanah wafil aakhirotihasanah waqinaa ‘azaabannar, wasollallahu ‘ala sayyidina muhammadin wa’ala aalihi wasohbihi wasallam, walhamdulillahirobbil ‘alamiin.

Maksudnya: Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, semulia-mulia rasul, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat baginda. Ya Allah, hidupkanlah kami dengan iman, matikanlah kami dengan iman, dan masukkanlah kami ke dalam syurga bersama iman. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan dosa kedua-dua ibu bapa kami, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kecil. Ya Allah, akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik, dan janganlah Engkau akhiri umur kami dengan kesudahan yang buruk. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami selepas Engkau memberi kami petunjuk, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi. Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka. Semoga Allah mencurahkan selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat baginda. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Cara solat Zohor bagi perempuan sama seperti lelaki: empat rakaat, dengan rukun, bacaan dan susunan yang sama. Semua bacaan juga dibaca perlahan. Perbezaannya hanya pada beberapa perkara berikut.

  • Aurat: seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan mesti tertutup sepanjang solat, termasuk kaki.37
  • Rukuk dan sujud: rapatkan siku ke rusuk dan rapatkan kedua-dua lutut. Ketika sujud, lekatkan perut pada paha.24
  • Haid dan nifas: perempuan yang sedang haid atau nifas tidak solat dan tidak perlu menggantikannya.38
  • Suci pada waktu Asar: jika haid berhenti sebelum matahari terbenam, walaupun hanya sempat sekadar takbiratul ihram, wajib menunaikan solat Asar dan juga solat Zohor hari itu.39
  • Hari Jumaat: perempuan tidak wajib solat Jumaat. Solat Zohor seperti biasa, dan sunat menyegerakannya.40

Panduan gerakan solat bagi wanita, termasuk pemakaian telekung dan posisi sujud, ada dalam panduan berikut.

Cara Solat Wanita yang Betul

Panduan penuh

Cara Solat Wanita yang Betul

Panduan solat fardu bagi wanita, langkah demi langkah dengan gambar.

Jadual ini menjawab situasi yang paling kerap ditanya pembaca.

SituasiApa yang perlu dibuat
Hari Jumaat (lelaki yang wajib Jumaat)Solat Jumaat menggantikan Zohor. Jika Jumaat tidak dapat didirikan dalam waktu Zohor, solat Zohor empat rakaat.40
Perempuan, musafir atau orang sakit pada hari JumaatSolat Zohor seperti biasa.40
MusafirBoleh qasar menjadi dua rakaat dan jamak dengan Asar, sama ada takdim (dalam waktu Zohor) atau takhir (dalam waktu Asar), jika cukup syaratnya.41
Sampai lewat ketika solat berjemaah (masbuk)Terus masuk dan ikut imam. Rakaat yang sempat bersama imam dikira rakaat pertama anda. Selepas imam memberi salam, bangun dan sempurnakan rakaat yang tertinggal.42
Hampir masuk waktu AsarSolat dikira tunai jika sekurang-kurangnya satu rakaat dikerjakan dalam waktu Zohor. Jika kurang daripada itu, ia dikira qada.43
Terlepas solat ZohorWajib qada secepat mungkin dengan niat qada. Sunat mendahulukannya sebelum solat Asar jika waktu Asar masih panjang.44
Terlupa tahiyat awalJika sudah berdiri tegak, jangan kembali duduk. Teruskan solat dan lakukan sujud sahwi sebelum salam.30
Ragu-ragu sudah tiga atau empat rakaatAmbil bilangan yang sedikit, tambah satu rakaat, kemudian sujud sahwi sebelum salam.45

Cara qada yang lengkap ada dalam panduan cara qada solat.

Solat Jamak Qasar Zohor dan Asar

Panduan penuh

Solat Jamak Qasar Zohor dan Asar

Niat dan cara jamak takdim dan takhir, langkah demi langkah.

KesilapanYang betul
Bertakbir dahulu, kemudian berniat beberapa saat selepasnyaNiat mesti hadir dalam hati ketika takbiratul ihram, bukan selepasnya.11
Membaca dengan suara kuat dalam solat ZohorSemua bacaan solat Zohor dibaca perlahan, termasuk bagi imam.6
Menyangka surah perlu dibaca pada rakaat ketiga dan keempatSurah hanya sunat pada rakaat pertama dan kedua. Rakaat ketiga dan keempat cukup dengan al-Fatihah.46
Menambah selawat ke atas keluarga Nabi ﷺ dalam tahiyat awalTahiyat awal sunat diringkaskan hingga Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammad. Menambahnya tidak membatalkan solat.29
Solat terlalu laju tanpa tuma’ninahBerhenti seketika pada setiap rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud. Tanpanya, solat tidak sah.21
Makmum tidak membaca al-FatihahMakmum tetap wajib membaca al-Fatihah sendiri secara perlahan dalam setiap rakaat.16
Melewatkan Zohor hingga hampir Asar tanpa sebabSunat menunaikan solat pada awal waktu.4

Berikut ialah jawapan kepada soalan yang paling kerap ditanya tentang solat Zohor.

Berapa rakaat solat Zohor?

Solat Zohor empat rakaat dengan satu salam. Tahiyat awal dibaca selepas rakaat kedua dan tahiyat akhir selepas rakaat keempat.

Apakah lafaz niat solat Zohor?

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin adā’an lillāhi ta‘ālā, maksudnya “Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat tunai kerana Allah Taala.” Niat dihadirkan dalam hati ketika takbiratul ihram, dan berniat dalam bahasa Melayu juga memadai.

Bilakah waktu solat Zohor bermula dan berakhir?

Waktu Zohor bermula apabila matahari tergelincir selepas tengah hari, dan berakhir apabila bayang-bayang objek sama panjang dengan objek itu, selain bayang-bayang semasa istiwa’. Selepas itu masuk waktu Asar. Waktu tepat bergantung pada zon, jadi semak jadual waktu solat rasmi.

Adakah bacaan solat Zohor dibaca kuat atau perlahan?

Perlahan dalam semua rakaat, sama ada imam, makmum atau solat bersendirian.

Perlukah membaca surah pada rakaat ketiga dan keempat?

Tidak. Pada rakaat ketiga dan keempat, baca al-Fatihah sahaja. Surah sunat dibaca pada rakaat pertama dan kedua.

Apakah beza cara solat Zohor lelaki dan perempuan?

Rukun, bacaan dan susunannya sama. Perempuan menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan, serta merapatkan siku dan lutut ketika rukuk dan sujud.

Adakah solat Jumaat menggantikan solat Zohor?

Ya, bagi lelaki yang wajib menunaikan Jumaat. Perempuan, musafir dan orang yang uzur menunaikan solat Zohor seperti biasa.

Bolehkah solat Zohor dijamak dengan Asar?

Boleh bagi musafir yang memenuhi syarat, sama ada jamak takdim dalam waktu Zohor atau jamak takhir dalam waktu Asar. Solat empat rakaat itu juga boleh diqasar menjadi dua rakaat.

Bolehkah solat Zohor pada pukul 3 atau 4 petang?

Boleh selagi belum masuk waktu Asar. Namun, sunat menunaikannya pada awal waktu. Semak jadual waktu solat zon anda kerana waktu Asar berbeza mengikut tempat dan tarikh.

Bagaimana niat qada solat Zohor?

Uṣallī farḍaẓ-ẓuhri arba‘a raka‘ātin qaḍā’an lillāhi ta‘ālā, maksudnya “Sahaja aku solat fardu Zohor empat rakaat qada kerana Allah Taala.” Cara solatnya sama seperti solat Zohor biasa.

Apa yang perlu dibuat jika terlupa tahiyat awal?

Jika anda sudah berdiri tegak, jangan kembali duduk. Teruskan solat, kemudian lakukan sujud sahwi sebelum salam.

Apakah doa selepas solat Zohor?

Selepas salam, sunat beristighfar, berzikir dan berdoa. Doa umum selepas solat fardu bersama Rumi dan audio ada dalam bahagian Doa dan Zikir Selepas Solat Zohor dalam panduan ini.

Berapa rakaat solat sunat Zohor?

Solat sunat rawatib Zohor dikerjakan sebelum dan selepas fardu Zohor. Bilangan rakaat dan caranya ada dalam panduan solat sunat sebelum dan selepas Zohor di AkuIslam.

Penutup: Berhenti Sejenak di Tengah Hari

Solat Zohor datang ketika hari sedang sibuk. Empat rakaat yang dikerjakan dengan tenang memberi ruang untuk berhenti seketika dan kembali mengingati Allah. Tunaikanlah pada awal waktu, dan perbaiki bacaan sedikit demi sedikit.

Jika ada soalan, tinggalkan komen di ruangan di bawah.

Semoga bermanfaat.

Nota Kaki & Rujukan

  1. Hadis Talhah bin ‘Ubaidillah RA: Nabi ﷺ menyebut lima solat sehari semalam sebagai kewajipan, dan tiada yang wajib selainnya kecuali yang sunat. [Sahih al-Bukhari 46] ↩︎
  2. Hadis Ibn ‘Abbas RA: Jibril mengimami Nabi ﷺ di sisi Kaabah dua kali. Pada kali pertama, Baginda solat Zohor ketika bayang-bayang sepanjang tali kasut, kemudian solat Asar ketika bayang-bayang setiap benda sama panjang dengannya. Al-Tirmizi menilainya hasan. [Jami‘ al-Tirmizi 149: «أمني جبريل عند البيت مرتين، فصلى الظهر في الأولى منهما حين كان الفيء مثل الشراك»] ↩︎
  3. Hadis Abu Hurairah RA: Nabi ﷺ bertanya, “Apa pendapat kamu jika ada sungai di pintu rumah seseorang daripada kamu, dia mandi di dalamnya lima kali setiap hari, adakah tinggal kotorannya?” Mereka menjawab, “Tidak tinggal sedikit pun.” Baginda bersabda, “Begitulah perumpamaan solat lima waktu. Allah menghapuskan kesalahan dengannya.” [Sahih al-Bukhari 528] ↩︎
  4. Sunat menunaikan solat pada awal waktu. [Minhaj al-Talibin, Kitab al-Solat: «ويسن تعجيل الصلاة لأول الوقت»] ↩︎
  5. Hadis ‘Aisyah RA: solat asalnya difardukan dua rakaat, kemudian dikekalkan bagi musafir dan ditambah bagi orang yang bermukim. [Sahih al-Bukhari 350] ↩︎
  6. Bacaan kuat disunatkan pada Subuh dan dua rakaat pertama Maghrib dan Isyak, manakala Zohor, Asar dan rakaat selebihnya dibaca perlahan. Makmum membaca perlahan. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan merujuk al-Fiqh al-Manhaji, 1/149. [Al-Kafi #1584] ↩︎
  7. Awal waktu Zohor ialah gelincir matahari, dan akhirnya ialah apabila bayang-bayang sesuatu sama panjang dengannya, selain bayang-bayang ketika istiwa’. Itulah juga awal waktu Asar. [Minhaj al-Talibin, Kitab al-Solat: «الظهر وأول وقته زوال الشمس وآخره مصير ظل الشيء مثله سوى ظل استواء الشمس وهو أول وقت العصر»] ↩︎
  8. Hadis Abu Sa‘id al-Khudri RA: “Tunaikanlah Zohor ketika cuaca sudah reda, kerana panas yang terik itu daripada hembusan Jahannam.” [Sahih al-Bukhari 538] Menurut pendapat al-asah, sunat ibrad ini khusus bagi negeri yang panas dan jemaah masjid yang datang dari jauh. [Minhaj al-Talibin, Kitab al-Solat: «ويسن الإبراد بالظهر في شدة الحر والأصح اختصاصه ببلد حار وجماعة مسجد يقصدونه من بعد»] ↩︎
  9. Bagi solat fardu, niat wajib mengandungi kehendak melakukan solat, penentuan solat (Zohor) dan niat fardu. Menyebut “kerana Allah” tidak wajib. Solat tetap sah jika tersilap meniatkan tunai sebagai qada atau sebaliknya. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «فإن صلى فرضا وجب قصد فعله وتعيينه والأصح وجوب نية الفرضية دون الإضافة إلى الله تعالى وأنه يصح الأداء بنية القضاء وعكسه»] ↩︎
  10. Makmum wajib berniat mengikut imam (iqtida’) atau berjemaah bersama takbiratul ihram. Jika dia tidak berniat begitu lalu mengikut perbuatan imam, solatnya batal. Imam pula tidak wajib berniat menjadi imam, tetapi sunat. [Minhaj al-Talibin, Bab Solat Jemaah: «شرط القدوة أن ينوي المأموم مع التكبير الإقتداء أو الجماعة» … «ولا يشترط للإمام نية الإمامة وتستحب»] ↩︎
  11. Niat tempatnya di hati dan wajib disertakan dengan takbiratul ihram, manakala melafazkannya sebelum takbir disunatkan supaya lidah membantu hati. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Al-Kafi #945] ↩︎
  12. Sunat mengangkat tangan ketika takbir, iaitu hujung jari setentang bahagian atas telinga, ibu jari setentang cuping telinga dan tapak tangan setentang bahu. [Tuhfat al-Muhtaj 2/18] [Sahih al-Bukhari 735] ↩︎
  13. Sunat meletakkan tangan di bawah dada, dengan tangan kanan memegang pergelangan tangan kiri. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Sahih Muslim 401] ↩︎
  14. Doa iftitah sunat dibaca secara perlahan selepas takbiratul ihram. Lafaz yang lazim di Malaysia menggabungkan dua riwayat sahih. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Sahih Muslim 601] [Sahih Muslim 771] ↩︎
  15. Selepas doa iftitah, sunat membaca ta‘awwuz secara perlahan sebelum al-Fatihah pada setiap rakaat, dan pada rakaat pertama ia lebih dituntut. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «ثم التعوذ ويسرهما ويتعوذ في كل ركعة على المذهب والأولى آكد»] ↩︎
  16. Dalam mazhab Syafi’e, al-Fatihah wajib dibaca dalam setiap rakaat oleh imam, makmum dan orang yang solat bersendirian. [al-Majmu‘ 3/364] ↩︎
  17. Selepas al-Fatihah, sunat menyebut “Āmīn” dengan mim yang tidak bertasydid. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «ويسن عقب الفاتحة آمين خفيفة الميم»] ↩︎
  18. Surah disunatkan selepas al-Fatihah kecuali pada rakaat ketiga dan keempat, menurut pendapat al-azhar. Makmum dalam solat jahar tidak membaca surah, tetapi mendengar bacaan imam. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Tuhfat al-Muhtaj 2/52] [Irsyad al-Fatwa Siri ke-308] ↩︎
  19. Sunat bertakbir ketika mula tunduk untuk rukuk dan mengangkat tangan seperti ketika takbiratul ihram. Rukuk yang sempurna ialah meratakan belakang dan tengkuk serta memegang lutut dengan jari direnggangkan. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «وأكمله تسوية ظهره وعنقه ونصب ساقيه وأخذ ركبتيه بيديه وتفرقة أصابعه للقبلة ويكبر في ابتداء هويه ويرفع يديه كإحرامه»] ↩︎
  20. Lelaki merenggangkan lutut, siku dan perut ketika rukuk dan sujud, manakala wanita merapatkan anggotanya kerana itu lebih menutup. Hukumnya sunat dan terpakai juga kepada kanak-kanak perempuan. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Tuhfat al-Muhtaj, 2/76] [Nihayat al-Muhtaj, 1/516] ↩︎
  21. Hadis Abu Hurairah RA tentang lelaki yang solat dengan tergesa-gesa: Nabi ﷺ menyuruhnya mengulang solat dan mengajarnya rukuk, iktidal, sujud dan duduk dengan tenang. [Sahih al-Bukhari 757] [Sahih Muslim 397] Ukuran tuma’ninah ialah anggota badan tetap seketika sehingga gerakan turun terpisah daripada gerakan naik. [Tuhfat al-Muhtaj 2/59] ↩︎
  22. Sunat mengangkat tangan ketika mula mengangkat kepala daripada rukuk sambil membaca “Sami‘allāhu liman ḥamidah”. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «ويسن رفع يديه مع ابتداء رفع رأسه قائلا سمع الله لمن حمده»] ↩︎
  23. Sekurang-kurangnya sujud ialah sebahagian dahi menyentuh tempat sujud secara terus. Meletakkan kedua-dua tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua kaki juga wajib menurut pendapat yang dipilih al-Nawawi, dan punggung mesti lebih tinggi daripada kepala. Sunat bertakbir ketika turun tanpa mengangkat tangan, dan meletakkan lutut, kemudian tangan, kemudian dahi dan hidung. Sujud kedua dilakukan seperti sujud pertama. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «وأقله مباشرة بعض جبهته مصلاه… قلت: الأظهر وجوبه… وأن ترتفع أسافله على أعاليه في الأصح وأكمله يكبر لهويه بلا رفع ويضع ركبتيه ثم يديه ثم جبهته وأنفه», «ثم يسجد الثانية كالأولى»] ↩︎
  24. Lelaki merenggangkan lutut, siku dan perut ketika rukuk dan sujud, manakala wanita merapatkan anggotanya kerana itu lebih menutup. Hukumnya sunat dan terpakai juga kepada kanak-kanak perempuan. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Tuhfat al-Muhtaj, 2/76] [Nihayat al-Muhtaj, 1/516] ↩︎
  25. Duduk antara dua sujud yang sempurna ialah bertakbir ketika bangun, duduk iftirasy dan meletakkan tangan di atas paha berhampiran lutut. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «وأكمله يكبر ويجلس مفترشا واضعا يديه قريبا من ركبتيه»] ↩︎
  26. Hadis Abu Qatadah RA: dalam solat Zohor, Nabi ﷺ membaca al-Fatihah dan dua surah pada dua rakaat pertama, dengan rakaat pertama lebih panjang dan rakaat kedua lebih pendek. [Sahih al-Bukhari 759] ↩︎
  27. Jari telunjuk kanan diangkat ketika menyebut “illallāh”, tidak digerak-gerakkan, dan dibiarkan terangkat hingga akhir tahiyat. [Tuhfat al-Muhtaj 2/80] [Sahih Muslim 580] ↩︎
  28. Sunat duduk iftirasy pada tahiyat awal dan duduk tawarruk pada tahiyat akhir. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Sahih al-Bukhari 828] ↩︎
  29. Tahiyat awal dan duduknya ialah sunat ab‘ad. Selawat ke atas Nabi ﷺ dalam tahiyat awal sunat, manakala selawat ke atas keluarga Baginda tidak disunatkan padanya kerana tahiyat awal dibina atas sifat ringkas. Menambahnya tidak membatalkan solat. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Tuhfat al-Muhtaj 2/81] [Minhaj al-Talibin, Bab Sujud Sahwi] ↩︎
  30. Jika terlupa tahiyat awal dan sudah berdiri tegak, jangan kembali duduk. Kembali duduk dengan sengaja sedangkan tahu hukumnya membatalkan solat. Sujud sahwi dilakukan selepas tahiyat akhir dan sebelum salam. [Minhaj al-Talibin, Bab Sujud Sahwi] ↩︎
  31. Surah disunatkan selepas al-Fatihah kecuali pada rakaat ketiga dan keempat, menurut pendapat al-azhar. Makmum dalam solat jahar tidak membaca surah, tetapi mendengar bacaan imam. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Tuhfat al-Muhtaj 2/52] [Irsyad al-Fatwa Siri ke-308] ↩︎
  32. Sunat mengangkat kedua-dua tangan ketika bangun daripada tahiyat awal. Imam al-Nawawi menegaskan pendapat yang sahih ialah tangan diangkat (al-Majmū‘ 3/462: «أن الصحيح أو الصواب أنه يرفع يديه»). Ia antara empat tempat rafa‘ dalam solat (Ḥāsyiah al-Syabrāmallisī ‘alā Nihāyah al-Muḥtāj 2/389: «إذ الرفع إنما هو في التحرم والهوي للركوع والقيام من التشهد الأول»). Hadis Ibn ‘Umar: «وإذا قام من الركعتين رفع يديه». [Sahih al-Bukhari 739] ↩︎
  33. Hadis Abu Humaid al-Sa‘idi RA: pada rakaat terakhir, Nabi ﷺ memajukan kaki kirinya, menegakkan kaki kanan dan duduk di atas punggungnya. [Sahih al-Bukhari 828] [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] ↩︎
  34. Imam an-Nawawi menyebut bahawa selepas tasyahhud akhir dan selawat, sunat berdoa, dan doa yang ma’thur (warid daripada Nabi ﷺ) lebih afdal. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] ↩︎
  35. Selawat ke atas Nabi ﷺ dalam tahiyat akhir ialah rukun, dan sekurang-kurangnya “Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammad”. Menambah selawat ke atas keluarga Baginda dan selawat Ibrahimiyyah lebih sempurna. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Tuhfat al-Muhtaj 2/86] ↩︎
  36. Salam sekurang-kurangnya “As-salāmu ‘alaikum”. Yang paling sempurna ialah “As-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh” dua kali, ke kanan kemudian ke kiri. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] ↩︎
  37. Syarat sah solat antaranya mengetahui masuk waktu, menghadap kiblat, menutup aurat, suci daripada hadas, dan suci daripada najis pada pakaian, badan dan tempat. Aurat lelaki ialah antara pusat dan lutut, manakala aurat wanita ialah seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan. [Minhaj al-Talibin, Bab Syarat Solat] [Minhaj al-Talibin, Bab Syarat Solat] ↩︎
  38. Hadis ‘Aisyah RA: wanita yang haid pada zaman Nabi ﷺ tidak diperintahkan mengganti solat yang ditinggalkan semasa haid. [Sahih Muslim 335a] ↩︎
  39. Jika haid berhenti dan masih berbaki masa sekadar takbir sebelum waktu Asar tamat, solat Asar wajib, dan solat Zohor juga wajib menurut pendapat al-azhar. [Minhaj al-Talibin, Kitab al-Solat: «ولو زالت هذه الأسباب وبقي من الوقت تكبيرة وجبت الصلاة… والأظهر وجوب الظهر بإدراك تكبيرة آخر العصر»] ↩︎
  40. Orang yang tidak wajib Jumaat menunaikan Zohor. Sesiapa yang uzurnya mungkin hilang sunat menunggu hingga Jumaat tidak lagi dapat disertai, manakala wanita dan orang yang uzurnya berterusan sunat menyegerakan Zohor. Jika waktu tidak cukup untuk mendirikan Jumaat, solat Zohor ditunaikan. [Minhaj al-Talibin, Bab Solat Jumaat: «ويندب لمن أمكن زوال عذره تأخير ظهره إلى اليأس من الجمعة ولغيره كالمرأة والزمن تعجيلها»] ↩︎
  41. Harus menjamak Zohor dengan Asar, secara takdim atau takhir, dalam perjalanan yang jauh. [Minhaj al-Talibin, Bab Solat Musafir: «يجوز الجمع بين الظهر والعصر تقديما وتأخيرا والمغرب والعشاء كذلك في السفر الطويل»] ↩︎
  42. Rakaat yang sempat didapati bersama imam dikira sebagai permulaan solat makmum yang lewat, dan dia menyempurnakan bakinya selepas imam memberi salam. [Minhaj al-Talibin, Bab Solat Berjemaah] [Al-Kafi #1309] ↩︎
  43. Jika sekurang-kurangnya satu rakaat dikerjakan dalam waktu, seluruh solat dikira tunai. Jika kurang daripada itu, ia dikira qada. [Minhaj al-Talibin, Kitab al-Solat: «ومن وقع بعض صلاته في الوقت فالأصح أنه إن وقع ركعة فالجميع أداء وإلا فقضاء»] ↩︎
  44. Solat yang terlepas hendaklah segera diqada. Sunat menunaikannya mengikut tertib, dan mendahulukannya sebelum solat semasa yang tidak dikhuatiri luput waktunya. [Minhaj al-Talibin, Kitab al-Solat: «ويبادر بالفائت ويسن ترتيبه وتقديمه على الحاضرة التي لا يخاف فوتها»] ↩︎
  45. Bercakap sedikit kerana terlupa tidak membatalkan solat. Jika ragu-ragu sama ada sudah tiga atau empat rakaat, tambah satu rakaat dan sujud sahwi. [Minhaj al-Talibin, Bab Syarat Solat] [Minhaj al-Talibin, Bab Sujud Sahwi] ↩︎
  46. Surah disunatkan selepas al-Fatihah kecuali pada rakaat ketiga dan keempat, menurut pendapat al-azhar. Makmum dalam solat jahar tidak membaca surah, tetapi mendengar bacaan imam. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Tuhfat al-Muhtaj 2/52] [Irsyad al-Fatwa Siri ke-308] ↩︎

Bibliografi Tambahan

  • al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin.
  • al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab, jilid 3.
  • Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj, jilid 2.
  • Syamsuddin al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, jilid 2.
  • Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Sunan al-Tirmizi dan Sunan Ibn Majah.
KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim Abd Manaf

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

121 Komen

  1. salam ustaz..ustaz saya nak tanya..kalau saya dah selesai rakaat pertama lalu saya berdiri nak terus kan rakaat ke 2 perlu ke takbir sebut (Allahhuakbar) sambil angkat tangan

    Balas
    • Wassalam. Bertakbir ya, tetapi tidak perlu mengangkat tangan. Dalam mazhab Syafi‘e, tangan diangkat hanya ketika takbiratul ihram, turun rukuk, bangun iktidal dan bangun daripada tahiyat awal.

      Balas
  2. Assalamualaikum..bole ke kita qada solat subuh selepas solat zohor? Atau perlu qada solat mengikut waktu masing² cth qada solat zohor dlm zohor..qada solat maghrib dlm maghrib..atau x kisah qada bila² masa pun bole?

    Balas
  3. Assalammuailaikum. Ustaz.. Saya nak Tanya. Bila Sy chek balik.. Dlm solat. Waktu tahiyat awal. Saye tak habis.. Cuma asyahaduallahilahhahillallah asyhaduhana Muhammaddarasulluallah.boleh ke ustaz. Sebab saye dah lama tingal solat dan Tak lancar

    Balas
    • Wassalam. Tahiyat awal hukumnya sunat, dan yang disunatkan ialah membacanya hingga “Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammad”. Solat tetap sah walaupun bacaan tahiyat awal belum lengkap. Teruskan belajar sedikit demi sedikit sehingga lancar.

      Balas
  4. Ustaz.. Audio surah tu.. Ustaz amik dkt mana?? Saya nk boleh?? Sbb senang nk dgr byk kali..

    Balas
  5. assalamu’alaikum.ustaz ?..bila iktiad ..ayat Rabbana lakal hamdh . ………saya selalu sebut lakal hamdu bila solat.. Skrg bru sy perasan. ?solat yg sy solat selama ni sah lagi ke ustaz?? Sy akan cuba untuk perbaiki lagi solat dan ayat dgn betul ?

    Balas
  6. Assalamualaikum Ustaz.

    Kalau solat zohor dalam tahiyat akhir boleh tak sebut “Allahuma solli ala sayidina Muhammad wa ala ali Muhammad” dan seterusnya “kama sollaita ala Ibrahim…..”

    Balas
  7. Ustaz nak tanya kalau macam kita ni habis solat dan tak baca doa lepas solat tak apa ka…bukan apa macam x ingat laa,macam mana ustaz

    Balas
  8. Assalamualaikum ustaz saya nak tanya..boleh ke kalau saya solat waktu tahiyat awal dan akhir saya lihat buku atau telefon?sebab saya tak berapa lancar baca tanpa buku atau telefon..saya baru nak belajar solat

    Balas
    • Wassalam.

      Boleh, buka siap-siap sebelum solat, dan letakkan pada tempat sujud supaya mudah dibaca.

      Gerakan mata tidak mengapa. Gerakan tangan yang sedikit untuk membelek juga dibenarkan jika perlu, asalkan tidak banyak sehingga tiga kali berturut-turut.

      Balas
  9. Sy nak tnye rakaat kedua terus tahiyat pertama ke ? Bukankah rakaat ketiga baru tahiyata pertama ? Kenapa panduan di atas tulis tahiyat awal di rakaat kedua ?

    Balas
    • Ya, tahiyat pertama (tahiyat awal) pada rakaat kedua.

      Bukan pada rakaat ketiga.

      Balas
  10. Assalamualaikum ustaz, sya nk tnya soalan selain dari solat boleh ke sbbnya sya btl2 nk tahu , jadi soalan sya boleh ke kita membaca yassin selain dari buku yasin maksud sya baca yasin dalam rumi mengunakan henfon sbbnya sya tak berapa nk lancar jika membaca yasin dlm buku jika ianya jawi .

    Balas
  11. Assalamualaikum ustaz. Saya nak tanya tentang bacaan semasa memberikan salam kanan dan kiri. Harap ustaz dapat membantu saya. 

    Balas
    • Wassalam. Maaf baru terbaca komen awak. Bacaan salam ialah “As-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh”, ke kanan kemudian ke kiri. Doa “Allāhumma innā nas’aluka riḍāka wal-jannah” dan “wa na‘ūżu bika min sakhaṭika wan-nār” bukan sebahagian bacaan salam, dan solat tidak bergantung kepadanya. Jika mahu berdoa, bacalah sebelum salam selepas tahiyat akhir, atau selepas solat.

      Balas
      • Assalamualaikum ustaz,,
        Bacaan dlm salam ni wajib di baca atau tak? Sebab selama ini sy tak penah baca pun dan tak tahu pun ada bacaan semasa beri salam?

        Balas
  12. Assalamualaikum ustaz.

    1.Saya nak tanya apabila mengucap kalimah syahadah sewaktu takhiyah akhir dan awal. Mana satu yang betul disebut “asyhadu an laa” ke atau “asyhadu allaa”.
    2. Ini juga tentang kalimah syahadah. Apabila mengucap kalimah syahadah, mana satu yang betul “Wa’asyhadu anna Muhammadar Rasulullah” atau “Wa’asyhadu anna Muhammadan Rasulullah”.

    3. Bolehkah saya membaca Allahumma solli’ala Muhammad wa’ala ali Muhammad sewaktu takhiyat awal dan akhir. Ini kerana saya melihat takhiyat awal dan akhir di atas berbeza sedikit.

    Balas
    • Wassalam. 1) Kedua-duanya merujuk lafaz yang sama. Tulisannya «أَشْهَدُ أَنْ لَا», tetapi apabila dibaca bersambung, nun dimasukkan ke dalam lam sehingga berbunyi “asyhadu allā”. 2) “Muḥammadar rasūlullāh” ialah bacaan bersambung yang betul, kerana nun tanwin dimasukkan ke dalam huruf ra’. 3) Dalam tahiyat akhir, selawat ke atas Nabi ﷺ ialah rukun, dan menambah “wa ‘alā āli Muḥammad” lebih sempurna. Dalam tahiyat awal, yang sunat ialah meringkaskannya hingga “Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammad”, tetapi menambahnya tidak membatalkan solat.

      Balas
  13. Assalamuailaikum, sya ada soalan .Kalau bekerja sebagai cashier tapi dekat kedai yng sya berkerja ada jual arak . Tapi sya pkai gloove ustaz/ustazah . Jadi soalan sya, batal tak wuduk solat kalau kita pegang arak tapi berlapik kn gloove. Sya betul2 memerlukan jawapan sbb sya was was

    Balas
  14. Alhamdulilah sholat saya yang baru mualaf boleh sempurna
    Terima kasih panduannya

    Balas
  15. 15 tahun saya hidup tak reti solat.terima kasih sangat sangat terbitkan panduan ni.semoga allah murahkan rezeki :)

    Balas
  16. Salam, ada ustaz cakap bacaan yang betul adalah “Allahu akbaru kabiro”..kalau bacaan macam diatas katanya berdosa dan haram kerana mengubah tanda bacaan.

    Balas
  17. Ni saya nak tanya bila baca doa boleh tak nak buka telekug

    Balas

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.