Bagaimana Menguatkan Hati Bila Rasa Lemah Itu Menjengah?

rasa lemah

Mengapa Wujud Rasa Lemah?

Memang, rasa lemah atau down itu kadangkala menyapa diri.

Ujian-ujian yang datang bertimpa-timpa, kadang kala membuatkan kita rebah dan tersungkur.

Kadangkala, cukup satu ujian yang menerpa.

Namun, beratnya sudah cukup membuat kita hilang arah.

Jika kita berjaya bangun, dan kembali menyusun langkah, alhamdulillah.

Namun, kadang-kadang kejatuhan yang kita alami itu seakan-akan merenggut segala daya dan upaya kita.

Tenaga yang masih bersisa hilang entah ke mana, lantaran harapan buat hari esok yang semacam tiada.

Lalu, masihkah ada sinar harapan buat kita bangkit kembali?

Bagaimana kita menghadapinya?

Saya percaya, menyuruh orang bersabar tatkala diuji itu jauh lebih mudah, berbanding diri sendiri yang menghadapinya.

Benar. Memang tidak dapat dinafikan.

Saya pun pernah berada dalam keadaan itu.

Di kala, kata-kata motivasi yang kita sering laung-laungkan kepada orang lain juga ada masanya seakan tidak punya kesan terhadap diri.

Keyakinan yang selama kita ini kita pegang pun mampu tergoyah kembali.

 

Harapan Untuk Bangkit

Maka di sini, kita dapat melihat kepentingan saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran, yang ditekankanNya melalui surah al-Asr.

Seringkali, kata-kata tulus mereka itu jualah yang menyembuhkan semangat diri.

Namun bukan itu yang saya mahu sentuh di sini. Dalam konteks diri kita sendiri, bagaimana seharusnya kita berdepan dengan ujian itu.

Bagaimanakah caranya untuk kita memotivasikan diri sendiri?

Ok. Perkara ini kita perlu faham dengan jelas, supaya tatkala kita diuji nanti mudah-mudahan perkongsian ini turut mampu membangkitkan kita kembali.

Mulakanlah dengan bersangka baik kepada Allah dalam apa jua perkara.

Ya, Bersangka baiklah.

Yakinlah, Dia tidak menciptakan sesuatu ujian atau bencana itu, hanya dengan sia-sia. 

Pasti terdapat hikmah di sebalik peristiwa yang menimpa.

Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

— Surah Al-Baqarah, 2: 216

 

Kemudian, sertai kepositifan tadi (bersangka baik) dengan bersabar.

Kerana sesungguhnya, Allah itu berserta dengan mereka yang sabar.

Dan kelak, kesabaran itu pasti akan membuahkan hasil yang bermanfaat.

Agar kemudiannya kita merenung kembali hikmah yang Dia susunkan itu, sambil tersenyum.

 

Menyedari Kesilapan Kita

Ada masa kita silap.

Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat, bagaikan kita ini telah kebal dari sebarang titik-titik kelemahan.

Kita rasakan bahawa kita mampu berdiri sendiri sehinggakan kita fikir semua ujian yang datang kepada kita itu, mampu untuk kita selesaikan seorang diri.

Tidak.

Saya tidak salahkan kemahuan kita untuk hidup berdikari.

Namun, kita sering lupa bahawa hakikatnya, kita ini hanyalah makhlukNya yang serba lemah dan kekurangan.

Mampukah kita menanggung semua ujian itu dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan?

Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah.”

— [Surah An-Nisa’, 4: 32]

Ya. Manusia itu sifatnya tidak akan mampu berdiri dengan sendirinya; jika tidak dia memperoleh kekuatan itu dari Allah.

Bukankah ujian itu datangnya dari Allah?

Maka, kepada siapa lagi harus kita kembalikan jika tidak kepada Dia Yang Maha Kuasa?

Namun, silapnya pada kita.

Kita sering menyombongkan diri untuk bersimpuh memohon pertolonganNya.

Kita merasakan diri kita sudah lengkap sempurna.

Kuat, berkuasa.

Sedangkan hakikatnya, kita sedikit tidak punya daya jika Dia tidak mengizinkannya.

 

Mari Kita Bermuhasabah Diri

Manusia jarang sekali mahu bermuhasabah diri.

Tatkala disentap dengan ujian yang berat barulah wujud saat mereka kembali berfikir apakah salah silap mereka selama ini. 

Itupun jikalau mereka sedar.

Maka, salah satu hikmah dari ujian adalah wujudnya masa kita untuk bermuhasabah.

Masa untuk kita merenung kembali sejauh mana kehidupan ini telah dibawa.

Adakah kita masih berada pada landasan yang benar?

Hikmah dari muhasabah ini akan membawa kita melihat dan memikirkan pula hikmah-hikmah yang lain dari ujian tadi.

Baik, Apakah hikmah yang ingin Dia tunjukkan kepada kita melaluinya?

Manusia itu selalu bersifat lupa diri tatkala diberi nikmat.

Namun, tatkala kita diuji dengan sedemikian rupa, barulah kita bersegara kembali mencariNya. Sungguh-sungguh kita mohon padaNya agar dipermudahkan segala kesulitan yang ada.

Sedang selama ini, hendak mengingatiNya sebentar pun terasa berat. Astagfirullah, hamba jenis apakah kita ini?

Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdo’a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan.”

— Surah Yunus 10: 12

Maka, di situ ada hikmah untuk sama-sama kita renungkan.

Bersangka baiklah kepada Allah atas ujian yang menimpa kita.

Dia mahu kita kembali kepadaNya. Dia mahu kita selamat di ‘sana’. Dia mahu kita merenung sebentar dan bermuhasabah kembali.

Sekarang, jawablah dengan hati kita. . .

 

Yakinlah Janji Allah Itu Benar

Manusia itu sewajarnya sedar peranan yang perlu dia mainkan di muka bumi ini ialah sebagai khalifah; yakni dengan memakmurkan muka bumi, serta membawa manusia kembali kepada Allah, satu-satunya ‘Illah’ (Tuhan) seluruh semesta.

Setelah kesedaran, kefahaman, dan keyakinan tadi mendasar, semua permasalahan tadi pasti akan tampak lebih mudah. InshaAllah.

Wajar sahaja kita merasa sedih tatkala diuji, kerana itu merupakan lumrah seorang manusia.

Namun, amatlah tidak wajar untuk kita merasa kecewa dan berputus asa.

Sekaligus, kita tidak akan sesekali memanjangkan kesedihan yang dirasa.

Nabi Muhamad juga merasa sedih dengan pemergian Siti Khadijah, tetapi baginda tidak memanjangkan kesedihan itu.

Ya. Ia adalah atas keyakinan kita bahawa Allah itu Tuhan yang menciptakan segala.

Memperhambakan diri kepadaNya merupakan tujuan hidup kita.

Dan pasti, Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia, melainkan ada hikmahnya.

Jika kita sudah sedar akan perkara ini, maknanya, hikmah dari ujian itu seharusnya sudah nampak.

Kebangkitan yang ditunggukan-tunggukan itu juga seharusnya sudah dimulakan langkahnya.

” …Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.”

— Surah At-Talaq 65: 2-3

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

74 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
malisa
malisa
1 tahun yang lalu

alhamdulillah lepas bca ni baru tenang sikit hati.. setakat ni,ni lh yg paling best untuk di baca 🥰

DyaSW
DyaSW
1 tahun yang lalu

Terima kasih atas perkongsian anda, sungguh bermanfaat buat org seperti sy. Moga Allah selalu lorongkan saya ke jalan-Nya. Doakan saya.

His servant
His servant
3 tahun yang lalu

Sedang lemas mencari kekuatan tatkala menghadapi sikap ibu yang jarang berlembut, sentiasa berkasar sehingga kadang menguji kesabaran dan keimanan namun cuba utuh kerana keredaan Nya terletak pada keredaan ibubapa

Adam
Adam
3 tahun yang lalu

Dah 1 tahun rasanya down.allahuakbar

orang-orang
orang-orang
3 tahun yang lalu

mintak izin copy paste untuk print tampal dinding

pika
pika
3 tahun yang lalu

masih cuba mencari sisa kekuatan selepas ditinggalkan oleh sahabat yang saya amat sayangi, seminggu sebelum dia mahu putuskan persahabatan dia berjanji akan jadi sahabat saya sampai bila bila. setiap hari dia katakan dia sayangkan saya. saya pun menyayanginya dan berharap padanya, seminggu kemudian, dia putuskan persahabatan ini kerana dia rimas & tak tahan dgn saya dan saya bukan kawan yg baik. saya sedih sangat sehingga ke harini even dah 5 bulan berlalu. rasa tertipu & dikhianati oleh orang yg paling saya percaya. hari2 saya dipenuhi rasa sedih. dia kata nanti dia dah okay, dia akan cari saya semula. tapi tidak. hari isnin 15/02/2021, saya betul2 penat bertahan. saya lepaskan dia pergi. saya penat tunggu dia. dia pun dah jumpa pengganti, walau dia telah lukakan hati saya, saya masih bantu dia untuk interview dia di syarikat, belanja dia makan & minum hasil kemenangan pertandingan saya sertai, saya berikan dia hadiah paling istimewa smasa ulangtahun dia, hadiahkan dia sbuah beg tangan. Saya masih sayangkan dia. tapi dah tak sanggup dah rasa beria ni. hampir setiap mlm saya nangis mengenang terlampau besarkah dosa saya pada dia ? akhirnya isnin lalu, lps saya tahu dia ada pengganti, saya lepaskan dia. smoga saya semakin kuat. jumpa sahabat lain yg lebih menyayangi saya. tapi saya bersyukur masih ada kawan2 rapat yg sentiasa bagi sokongan utk saya kuat & bangkit. Terima kasih Allah swt. aku yakin dgn segala rancanganmu. bantu aku utk kuat dan bangkit ya tuhan

Jess
Jess
Reply to  pika
3 tahun yang lalu

15/2 bday sy pika

acap
acap
3 tahun yang lalu

alhamdulillah dengan izin Allah saya dapat muhasabah diri lepas baca artikel ini

afiq
afiq
3 tahun yang lalu

artikel yang sangatt bergunaa….alhamdulillah dengan izin Allah saya dapat berfikir dengan waras lepas baca artikel ni❤❤

monica
monica
4 tahun yang lalu

Terimakasih atas artikelnya…saya lagi menghadapi masalah dalam rumah tangga saya…dikhianati membuat saya kecewa dan hilang arah..tidak mudah memaluinya dengan membaca artikel ini…mengingatkan saya akan kebesaranNYA…dan hanya berharap pertolonganNya…??

Syafiq
Syafiq
4 tahun yang lalu

alhamdulillah saye sedikit berase lega lepas bace post ni. Mmg waktu tepat bile saye tgh down pasal keje. Hmmm terima kasih :))