Solat Sunat Fajar: Niat, Cara, Waktu dan Doa (Rumi)

Niat solat sunat Fajar dalam Rumi dan maksud, cara solat 2 rakaat langkah demi langkah, waktu, doa selepasnya dan amalan sebelum fardu Subuh.

Muhamad Naim Abd ManafDikemas kini 19 November 2026
Langit merah ketika waktu fajar sebelum solat Subuh

Ini adalah panduan lengkap solat sunat Fajar, iaitu dua rakaat sunat yang dikerjakan selepas masuk waktu Subuh dan sebelum solat fardu Subuh.1

Panduan ini menerangkan lafaz niat, cara solat langkah demi langkah, waktu yang betul, surah yang sunat dibaca, doa selepasnya dan amalan antara sunat Fajar dan fardu Subuh, mengikut mazhab Syafi‘e.

Setiap lafaz niat dan doa disertakan dengan tulisan Arab, transliterasi Rumi dan maksudnya. Anda boleh terus mengamalkannya walaupun belum lancar membaca tulisan Arab.

Sunat Fajar dan Qabliyah Subuh: Solat yang Sama

Solat sunat Fajar, solat sunat Subuh dan solat sunat qabliyah Subuh ialah solat yang sama, iaitu dua rakaat sebelum fardu Subuh.1 Ia tidak dikerjakan sebelum azan Subuh, kerana waktunya hanya bermula apabila masuk waktu Subuh.

Panduan yang sama menggunakan istilah qabliyah Subuh ada di panduan solat sunat sebelum Subuh. Untuk penjelasan lisan, tonton kupasan video Ustaz Jafri Abu Bakar.

Ringkasan Solat Sunat Fajar

  • Bilangan: 2 rakaat, satu salam.
  • Waktu: selepas masuk waktu Subuh (selepas azan) hingga sebelum solat fardu Subuh.
  • Hukum: sunat muakkad, rawatib yang paling dijaga oleh Nabi ﷺ.
  • Surah sunat: al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua.
  • Cara: ringkas, dibaca perlahan, dan dikerjakan sendirian.

Niat perlu menyebut solat yang dikerjakan, iaitu sunat Subuh. Oleh kerana Subuh tidak mempunyai solat sunat selepasnya, menyebut “qabliyah” tidak diwajibkan, tetapi elok disebut.2 Pilih mana-mana satu lafaz di bawah.

Lafaz Niat Solat Sunat Fajar

Lafaz 1: Sunat Fajar

أُصَلِّي سُنَّةَ الْفَجْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلّٰهِ تَعَالَى

Usolli sunnatal-fajri rak‘ataini lillahi ta‘ala.



Maksud Bacaan

“Sahaja aku solat sunat fajar dua rakaat kerana Allah Taala.”


Lafaz 2: Sunat qabliyah Subuh

أُصَلِّي سُنَّةَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Usolli sunnatas-subhi rak‘ataini qabliyyatan lillahi ta‘ala.



Maksud Bacaan

“Sahaja aku solat sunat sebelum Subuh dua rakaat kerana Allah Taala.”


Lafaz 3: Sunat Subuh

أُصَلِّي سُنَّةَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ لِلّٰهِ تَعَالَى

Usolli sunnatas-subhi rak‘ataini lillahi ta‘ala.



Maksud Bacaan

“Sahaja aku solat sunat Subuh dua rakaat kerana Allah Taala.”

Ketiga-tiga lafaz ini merujuk kepada solat yang sama. Anda juga boleh berniat dalam bahasa Melayu, kerana yang dikira ialah niat di dalam hati.

Rakaat 1 daripada 2

Rakaat Pertama

1

Mulakan dengan Niat dan Takbiratul Ihram

Berdiri tegak menghadap kiblat. Hadirkan niat solat sunat Fajar dalam hati ketika mengucapkan takbiratul ihram.

أُصَلِّي سُنَّةَ الْفَجْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلّٰهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-fajri rak‘ataini lillāhi ta‘ālā

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat Fajar dua rakaat kerana Allah Taala.” Berniat dalam bahasa Melayu sahaja juga memadai.

Nota Niat

Niat ialah kehendak hati, bukan bacaan yang mesti dilafazkan. Hadirkan niat ketika takbiratul ihram. Melafazkannya sebelum takbir hukumnya sunat untuk membantu hati.3

Cara mengangkat takbir (takbiratul ihram) dalam solat

Angkat kedua-dua tangan dengan tapak tangan menghadap kiblat, hujung jari setentang dengan bahagian atas telinga, ibu jari setentang cuping telinga dan tapak tangan setentang bahu. Ucapkan takbir “Allāhu akbar” dengan jelas sambil berniat dalam hati.4

اَللَّهُ أَكْبَرُ

Allāhu akbar



Maksud Bacaan

Allah Maha Besar!

Selepas takbir, letakkan tangan kanan di atas pergelangan tangan kiri, di bawah dada dan di atas pusat.5


2

Baca Doa Iftitah (Sunat)

Selepas takbiratul ihram, baca doa iftitah secara perlahan. Ia sunat dan dibaca pada rakaat pertama sahaja. Jika tidak membacanya, solat tetap sah.6 Huraian lanjut ada dalam artikel doa iftitah.

اَللّٰهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلّٰهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللّٰهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا. وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ. إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ.

Allāhu akbaru kabīrā, wal-ḥamdu lillāhi kaṡīrā, wa subḥānallāhi bukrataw wa aṣīlā. Wajjahtu wajhiya lillażī faṭaras-samāwāti wal-arḍa ḥanīfam muslimaw wa mā ana minal-musyrikīn. Inna ṣalātī wa nusukī wa maḥyāya wa mamātī lillāhi rabbil-‘ālamīn. Lā syarīka lahū wa biżālika umirtu wa ana minal-muslimīn.



Maksud Bacaan

Allah Maha Besar dengan sebesar-besarnya, segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya, dan Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, dalam keadaan lurus dan berserah diri, dan aku bukanlah daripada golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dengan itulah aku diperintahkan, dan aku daripada golongan orang Islam.


3

Baca Surah al-Fatihah

Sebelum al-Fatihah, baca ta‘awwuz secara perlahan: A‘ūżu billāhi minasy-syaiṭānir-rajīm, maksudnya “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.” Ia sunat pada setiap rakaat.7

Al-Fatihah ialah rukun dan wajib dibaca dalam setiap rakaat. Baca dengan tertib dan jelas setiap hurufnya. Solat tidak sah tanpanya.8

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Ṣirāṭal-lażīna an‘amta ‘alaihim ghairil-maghḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn



Maksud Bacaan

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Selesai membaca al-Fatihah, sebut “Āmīn”. Hukumnya sunat.9


4

Baca Surah al-Kafirun

Selepas al-Fatihah, baca surah al-Kafirun. Inilah surah yang sunat dibaca pada rakaat pertama solat sunat Fajar.10 Semua bacaan dalam solat ini dibaca perlahan.11

Surah Al-Kafirun

قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡكَٰفِرُونَ ١ لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ ٢ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٣ وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٞ مَّا عَبَدتُّمۡ ٤ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٥ لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ ٦

Qul yā ayyuhal-kāfirūn. Lā a‘budu mā ta‘budūn. Wa lā antum ‘ābidūna mā a‘bud. Wa lā ana ‘ābidum mā ‘abattum. Wa lā antum ‘ābidūna mā a‘bud. Lakum dīnukum wa liya dīn



Maksud Bacaan

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”


5

Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Posisi dan cara melakukan rukuk dalam solat

Angkat kedua-dua tangan seperti ketika takbiratul ihram, dan bertakbir “Allāhu akbar” sambil tunduk untuk rukuk. Letakkan tapak tangan di atas lutut dengan jari direnggangkan. Ratakan belakang dan tengkuk, dan halakan pandangan ke tempat sujud.12

Semasa rukuk, bacalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-‘aẓīmi wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung, serta segala puji bagi-Nya.”

Tuma’ninah: Jangan Tergesa-gesa

Dalam rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud, pastikan anggota badan diam dan tetap seketika sebelum bergerak ke rukun seterusnya. Ini dinamakan tuma’ninah dan ia sebahagian daripada rukun solat.13


6

Kemudian Bangun Iktidal

Kedudukan ketika iktidal

Angkat kepala daripada rukuk sambil mengangkat kedua-dua tangan seperti ketika takbiratul ihram.14 Ketika bangun, baca:

سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Sami‘allāhu liman ḥamidah



Maksud Bacaan

“Allah mendengar orang yang memuji-Nya.”

Apabila sudah berdiri tegak dengan tuma’ninah, baca:

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Rabbanā lakal-ḥamd

“Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian.”


7

Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Turun Melakukan Sujud

Kedudukan atau posisi yang betul ketika sujud dalam solat

Turun untuk sujud sambil bertakbir “Allāhu akbar”, tanpa mengangkat tangan. Letakkan lutut dahulu, kemudian tapak tangan, kemudian dahi dan hidung.15

Wajib meletakkan tujuh anggota pada tempat sujud: dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki. Sebahagian dahi mesti terdedah menyentuh tempat sujud, seperti sejadah, dan tidak terhalang oleh kopiah, telekung atau tudung yang dipakai. Punggung pula mesti lebih tinggi daripada kepala.

Semasa sujud, bacalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


8

Kemudian Duduk di Antara Dua Sujud

Posisi istirahah atau cara duduk antara dua sujud dalam solat

Angkat kepala daripada sujud pertama sambil bertakbir “Allāhu akbar”. Duduk iftirasy, iaitu duduk di atas kaki kiri dengan kaki kanan ditegakkan, dan letakkan tangan di atas paha berhampiran lutut. Duduk dengan tuma’ninah.16 Duduk ini ialah rukun solat dan berbeza daripada duduk istirahat sebelum bangun ke rakaat seterusnya.

Kemudian bacalah doa antara dua sujud seperti ini:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Rabbighfir lī warḥamnī wajburnī warfa‘nī warzuqnī wahdinī wa ‘āfinī wa‘fu ‘annī



Maksud Bacaan

“Ya Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku, dan maafkanlah kesalahanku.”


9

Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Sujud kali kedua dalam solat

Selesai doa antara dua sujud, turun sujud sekali lagi sambil bertakbir “Allāhu akbar”. Lakukan seperti sujud pertama, dengan tujuh anggota menyentuh tempat sujud, kemudian baca bacaan dalam sujud.15

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


10

Angkat Kepala Sambil Bertakbir, Kemudian Duduk Istirahat Seketika

Angkat kepala daripada sujud kedua sambil mula bertakbir Allāhu akbar. Ini ialah takbir intiqalat (takbir berpindah), bukan takbiratul ihram yang baharu.

Posisi atau cara duduk istirahat
Posisi Duduk Istirahat

Disunatkan duduk istirahat sebentar sebelum bangun ke rakaat kedua. Panjangkan takbir tadi sepanjang duduk istirahat sehingga anda berdiri tegak. Duduk ini bukan rukun dan tidak ditetapkan tempohnya.

Rakaat pertama selesai

Rakaat 2 daripada 2

Rakaat Kedua

11

Berdiri Untuk Rakaat Kedua

Berdiri tegak untuk rakaat kedua. Takbir intiqalat yang dimulakan ketika mengangkat kepala daripada sujud tadi berakhir apabila anda sudah berdiri. Tidak perlu mengangkat tangan dan tidak perlu berniat semula.

Takbir intiqalat ialah takbir ketika berpindah antara pergerakan solat, seperti turun rukuk, turun sujud dan bangun ke rakaat seterusnya.

اَللَّهُ أَكْبَرُ

Allāhu akbar


12

Baca Surah al-Fatihah

Seperti rakaat pertama, baca ta‘awwuz secara perlahan, kemudian baca al-Fatihah.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Ṣirāṭal-lażīna an‘amta ‘alaihim ghairil-maghḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn

Maksud bacaan ini sama seperti dalam rakaat pertama.

Kemudian sebut “Āmīn” seperti rakaat pertama.


13

Baca Surah al-Ikhlas

Selepas al-Fatihah, baca surah al-Ikhlas. Inilah surah yang sunat dibaca pada rakaat kedua.10

Surah Al-Ikhlas

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢ لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ ٣ وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ ٤

Qul huwallāhu aḥad. Allāhuṣ-ṣamad. Lam yalid wa lam yūlad. Wa lam yakul lahū kufuwan aḥad



Maksud Bacaan

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa, “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan, “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.


14

Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

cara rukuk solat

Angkat kedua-dua tangan dan bertakbir “Allāhu akbar” sambil tunduk untuk rukuk, seperti rakaat pertama. Ratakan belakang dan letakkan tapak tangan di atas lutut.

Seperti sebelumnya, bacaan rukuk adalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-‘aẓīmi wa biḥamdih (3x)

Maksud bacaan ini sama seperti dalam rakaat pertama.


15

Kemudian Bangun Iktidal

Posisi dan cara iktidal

Angkat kepala daripada rukuk sambil mengangkat tangan, seperti rakaat pertama. Ketika bangun, baca:

سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Sami‘allāhu liman ḥamidah

Maksud bacaan ini sama seperti dalam rakaat pertama.

Apabila sudah berdiri tegak dengan tuma’ninah, baca:

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Rabbanā lakal-ḥamd

“Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian.”


16

Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

cara sujud dalam solat

Turun sujud sambil bertakbir “Allāhu akbar”, seperti rakaat pertama. Pastikan tujuh anggota menyentuh tempat sujud. Semasa sujud, bacalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)

Maksud bacaan ini sama seperti dalam rakaat pertama.


17

Kemudian Duduk di Antara Dua Sujud

Posisi duduk antara dua sujud

Angkat kepala sambil bertakbir dan duduk iftirasy, seperti rakaat pertama. Kemudian baca bacaan antara dua sujud:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Rabbighfir lī warḥamnī wajburnī warfa‘nī warzuqnī wahdinī wa ‘āfinī wa‘fu ‘annī

Maksud bacaan ini sama seperti dalam rakaat pertama.


18

Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Sujud kali kedua

Turun sujud kali kedua sambil bertakbir “Allāhu akbar”. Semasa sujud, bacalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)

Maksud bacaan ini sama seperti dalam rakaat pertama.


19

Duduk Tahiyat Akhir

Posisi atau cara tahiyat akhir

Selepas sujud kedua pada rakaat kedua, angkat kepala sambil bertakbir, kemudian duduk dengan punggung kiri di atas lantai dan kaki kiri dikeluarkan ke bawah kaki kanan yang ditegakkan. Cara duduk ini dipanggil tawarruk. Kemudian baca tahiyat akhir dan selawat ke atas Nabi ﷺ‎:17

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلّٰهِ. السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللّٰهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللّٰهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللّٰهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

At-taḥiyyātul-mubārakātuṣ-ṣalawātuṭ-ṭayyibātu lillāh. As-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu wa raḥmatullāhi wa barakātuh. As-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhiṣ-ṣāliḥīn. Asyhadu allā ilāha illallāh, wa asyhadu anna Muḥammadar-rasūlullāh. Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammadiw wa ‘alā āli Muḥammad, kamā ṣallaita ‘alā Ibrāhīma wa ‘alā āli Ibrāhīm, wa bārik ‘alā Muḥammadiw wa ‘alā āli Muḥammad, kamā bārakta ‘alā Ibrāhīma wa ‘alā āli Ibrāhīma fil-‘ālamīna innaka ḥamīdum majīd



Maksud Bacaan

Segala penghormatan, keberkatan, solat dan kebaikan adalah bagi Allah. Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah. Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau melimpahkan rahmat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Berkatilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau memberkati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di seluruh alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

Bacaan tahiyat awal dan akhir beserta huraiannya ada dalam artikel tahiyat akhir dan tahiyat awal. Selawat dalam tahiyat akhir dihuraikan dalam artikel selawat Ibrahimiyah. Sebelum salam, sunat berdoa.18 Contoh doanya ada dalam artikel doa selepas tahiyat akhir.

Perbezaan cara duduk tahiyat awal dan tahiyat akhir

Nota Tahiyat Akhir

Duduk tahiyat akhir, bacaan tahiyat dan selawat ke atas Nabi ﷺ selepasnya ialah rukun. Selawat Ibrahimiyyah secara lengkap pula sunat.19

Ketika tahiyat, genggam jari tangan kanan kecuali jari telunjuk. Angkat jari telunjuk ketika menyebut illallāh dan biarkan terangkat hingga salam.20


20

Akhiri Solat dengan Salam

Akhiri solat dengan memberi salam. Salam pertama ke kanan ialah rukun yang menamatkan solat, manakala salam kedua ke kiri hukumnya sunat.21

memberi salam dalam solat

Pada salam pertama, palingkan muka ke sebelah kanan dan ucapkan salam seperti berikut:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

As-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh



Maksud Bacaan

Salam sejahtera ke atas kamu dan rahmat Allah.

… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

As-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh

Selesailah solat sunat Fajar dua rakaat. Kemudian, duduk sebentar dan baca doa selepas solat sunat Subuh.

Surah yang Sunat Dibaca

PilihanRakaat pertamaRakaat kedua
1 (paling masyhur)Surah al-KafirunSurah al-Ikhlas
2Al-Baqarah, ayat 136Ali ‘Imran, ayat 52

Kedua-dua pilihan ini datang daripada amalan Nabi ﷺ‎.10,22 Jika anda belum menghafalnya, bacalah mana-mana surah yang anda hafal.

Diringkaskan, Bukan Dipanjangkan

Nabi ﷺ meringankan dua rakaat ini sehingga Aisyah tertanya-tanya adakah Baginda sempat membaca al-Fatihah.23 Maksudnya bacaan dipendekkan, tetapi rukun tetap disempurnakan dengan tenang (tuma’ninah).

BilaHukum
Sebelum masuk waktu SubuhTidak sah sebagai sunat Subuh
Selepas azan Subuh, sebelum iqamatWaktu terbaik
Selepas solat fardu Subuh, sebelum matahari terbitSah dan masih dikira tunai (ada’)
Selepas matahari terbitDikira qada, tetap sunat diganti

Solat ini dikerjakan selepas masuk waktu Subuh. Di Malaysia, azan Subuh dilaungkan pada awal waktu, jadi kerjakanlah selepas azan, bukan sebelumnya.24 Wanita dan sesiapa yang solat di rumah juga mengikut waktu yang sama, iaitu selepas masuk waktu Subuh.

Waktunya berterusan selagi waktu Subuh belum habis.25 Namun, yang paling baik ialah mengerjakannya sebelum solat fardu, kerana itulah amalan Nabi ﷺ.

Sebelum Solat Subuh, Solat Apa Dahulu?

Susunannya: masuk waktu Subuh, solat sunat Fajar dua rakaat, kemudian solat fardu Subuh. Jika anda berada di masjid, gunakan masa antara azan dan iqamat untuk solat sunat ini dan berdoa.26

Doa Selepas Solat Sunat Subuh

Doa ini dibaca sebanyak tiga kali sambil duduk selepas memberi salam.27

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ وَإِسْرَافِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَمُحَمَّدٍ النَّبِيِّ ﷺ أَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ

Allahumma rabba Jibrila wa Israfila wa Mika’ila wa Muhammadin an-nabiyyi sallallahu ‘alaihi wa sallam, a‘uzu bika minan-nar.



Maksud Bacaan

“Ya Allah, Tuhan Jibril, Israfil dan Mikail, serta Tuhan Nabi Muhammad ﷺ, aku berlindung kepada-Mu daripada api neraka.”

Selepas itu, anda boleh berdoa apa sahaja hajat anda. Waktu antara azan dan iqamat ialah antara waktu doa yang tidak ditolak.26 Bacaan doa selepas azan pula ada dalam panduan doa selepas azan.

Amalan Pilihan: Doa Antara Sunat Fajar dan Fardu Subuh

Amalan ini bukan daripada hadis dan bukan wajib. Ia dinukil dalam kitab I‘anah al-Talibin sebagai amalan sebahagian ulama, dibaca 41 kali antara solat sunat Fajar dan solat fardu Subuh.28

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ، يَا بَدِيعَ السَّمٰوَاتِ وَالْأَرْضِ، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ، يَا اللّٰهُ لَا إِلٰهَ إِلَّا أَنْتَ، أَسْأَلُكَ أَنْ تُحْيِيَ قَلْبِي بِنُورِ مَعْرِفَتِكَ، يَا اللّٰهُ يَا اللّٰهُ يَا اللّٰهُ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Yā ḥayyu yā qayyūm, yā badī‘as-samāwāti wal-arḍ, yā żal-jalāli wal-ikrām, yā Allāhu lā ilāha illā anta, as’aluka an tuḥyiya qalbī binūri ma‘rifatik, yā Allāh, yā Allāh, yā Allāh, yā arḥamar-rāḥimīn.



Maksud Bacaan

“Wahai Yang Maha Hidup, wahai Yang Maha Berdiri Sendiri, wahai Pencipta langit dan bumi, wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan, wahai Allah, tiada Tuhan melainkan Engkau. Aku memohon kepada-Mu agar Engkau menghidupkan hatiku dengan cahaya makrifat-Mu. Ya Allah, ya Allah, ya Allah, wahai Yang Paling Mengasihani.”

Berbaring Sebentar di Atas Lambung Kanan

Nabi ﷺ berbaring di atas lambung kanan selepas solat dua rakaat fajar, dan menyuruh umatnya melakukan yang sama.29 Dalam mazhab Syafi‘e, perbuatan ini sunat, dan tidak berdosa jika ditinggalkan.

Tujuannya ialah memisahkan solat sunat dengan solat fardu. Jika anda di masjid dan tidak sesuai berbaring, pemisahan itu boleh dibuat dengan berpindah tempat atau bercakap sebentar.30

Iqamat Sudah Dilaungkan

Jangan mulakan solat sunat apabila iqamat sudah dilaungkan. Sertai imam dahulu.31 Selepas solat fardu Subuh, kerjakan dua rakaat itu. Seorang sahabat pernah berbuat demikian, dan Nabi ﷺ membenarkannya.32

Bolehkah Solat Sunat Subuh Selepas Solat Subuh?

Boleh. Walaupun waktu selepas solat Subuh ialah waktu yang dilarang solat sunat, dua rakaat ini dikecualikan kerana sebabnya sudah ada lebih awal. Selagi matahari belum terbit, ia masih dikira solat tunai.25,33

Terlepas Sehingga Matahari Terbit

Sunat menggantikannya (qada).34 Nabi ﷺ menyuruh sesiapa yang belum solat dua rakaat fajar supaya mengerjakannya selepas matahari terbit.35 Niatnya sama, dan menyebut qada dalam niat tidak diwajibkan.

Perlukah Solat Tahiyatul Masjid Lagi?

Tidak perlu. Jika anda masuk masjid lalu terus solat sunat Fajar, pahala tahiyatul masjid turut diperoleh dengan solat itu.36

Di Rumah atau di Masjid?

Solat sunat lebih afdal dikerjakan di rumah.37 Jika anda bimbang terlewat ke masjid, solatlah di rumah dahulu sebelum keluar. Jika sudah tiba di masjid, kerjakan di sana sebelum iqamat.

Tiada Solat Sunat Selepas Subuh

Subuh hanya mempunyai solat sunat sebelumnya. Tiada solat sunat ba‘diyah selepas Subuh, kerana waktu itu dilarang mengerjakan solat sunat tanpa sebab. Senarai rawatib setiap waktu ada dalam panduan solat sunat rawatib.

  • Lebih baik daripada dunia dan segala isinya.38
  • Solat sunat yang paling dijaga oleh Nabi ﷺ, melebihi solat sunat yang lain.39
  • Tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi ﷺ‎.40
  • Menampung kekurangan solat fardu pada hari perhitungan.41

Dua rakaat ini hanya mengambil masa dua atau tiga minit. Jadikan ia kebiasaan setiap pagi.

Solat sunat Fajar dibuat selepas azan atau sebelum azan?

Selepas masuk waktu Subuh, iaitu selepas azan Subuh dan sebelum solat fardu. Jika dikerjakan sebelum masuk waktu, ia tidak sah sebagai sunat Subuh.24

Apakah niat solat sunat Fajar?

“Usolli sunnatal-fajri rak‘ataini lillahi ta‘ala”, maksudnya: Sahaja aku solat sunat Fajar dua rakaat kerana Allah Taala. Niat dibuat di dalam hati ketika takbiratul ihram.2

Berapa rakaat solat sunat Fajar?

Dua rakaat dengan satu salam.1

Surah apa yang dibaca dalam solat sunat Subuh?

Sunat membaca al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua. Jika belum hafal, mana-mana surah pun boleh.10

Bolehkah solat sunat Subuh selepas solat fardu Subuh?

Boleh, selagi matahari belum terbit. Ia masih dikira solat tunai dan dikecualikan daripada larangan solat selepas Subuh.25,32

Apakah doa selepas solat sunat Subuh?

“Allahumma rabba Jibrila wa Israfila wa Mika’ila wa Muhammadin an-nabiyyi, a‘uzu bika minan-nar”, dibaca tiga kali sambil duduk.27

Adakah solat sunat selepas Subuh (ba‘diyah Subuh)?

Tiada. Subuh hanya mempunyai solat sunat sebelumnya.

Adakah solat sunat fajar sama dengan solat sunat Subuh?

Ya. Solat sunat fajar, solat sunat Subuh dan solat sunat qabliyah Subuh ialah solat yang sama, iaitu dua rakaat sebelum fardu Subuh.1

Jika iqamat sudah dilaungkan, bagaimana?

Jangan mulakan solat sunat. Sertai imam, kemudian kerjakan solat sunat itu selepas solat fardu Subuh.31,32

Perlukah solat tahiyatul masjid sebelum solat sunat Subuh?

Tidak. Pahala tahiyatul masjid sudah diperoleh dengan solat sunat Subuh yang dikerjakan selepas masuk masjid.36

Penutup

Dua rakaat Fajar ialah permulaan hari yang paling baik. Ringkas, mudah, tetapi nilainya melebihi dunia dan segala isinya.

Jika selama ini anda terus solat fardu Subuh sebaik bangun, mulakan esok dengan dua rakaat ini dahulu, InsyaAllah.

Nota Kaki & Rujukan

  1. Dua rakaat sebelum Subuh ialah salah satu rawatib yang muakkad. Ia juga dinamakan dua rakaat fajar. [al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, 1/36. Al-Kafi li al-Fatawi siri 1029] ↩︎
  2. Solat sunat yang mempunyai waktu wajib ditentukan dalam niat, contohnya sunat Subuh. Menyebut qabliyah atau ba‘diyah hanya wajib bagi solat yang mempunyai kedua-duanya, seperti Zohor. Niat tempatnya di hati, dan sunat melafazkannya sebelum takbir. [Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, 2/10. al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, 1/25] ↩︎
  3. Niat tempatnya di hati dan wajib disertakan dengan takbiratul ihram, manakala melafazkannya sebelum takbir disunatkan supaya lidah membantu hati. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Al-Kafi #945] ↩︎
  4. Sunat mengangkat tangan ketika takbir, iaitu hujung jari setentang bahagian atas telinga, ibu jari setentang cuping telinga dan tapak tangan setentang bahu. [Tuhfat al-Muhtaj 2/18] [Sahih al-Bukhari 735] ↩︎
  5. Sunat meletakkan tangan di bawah dada, dengan tangan kanan memegang pergelangan tangan kiri. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Sahih Muslim 401] ↩︎
  6. Doa iftitah sunat dibaca secara perlahan selepas takbiratul ihram. Lafaz yang lazim di Malaysia menggabungkan dua riwayat sahih. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Sahih Muslim 601] [Sahih Muslim 771] ↩︎
  7. Selepas doa iftitah, sunat membaca ta‘awwuz secara perlahan sebelum al-Fatihah pada setiap rakaat, dan pada rakaat pertama ia lebih dituntut. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «ثم التعوذ ويسرهما ويتعوذ في كل ركعة على المذهب والأولى آكد»] ↩︎
  8. Dalam mazhab Syafi’e, al-Fatihah wajib dibaca dalam setiap rakaat oleh imam, makmum dan orang yang solat bersendirian. [al-Majmu‘ 3/364] ↩︎
  9. Selepas al-Fatihah, sunat menyebut “Āmīn” dengan mim yang tidak bertasydid. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «ويسن عقب الفاتحة آمين خفيفة الميم»] ↩︎
  10. Nabi ﷺ membaca surah al-Kafirun dan al-Ikhlas dalam dua rakaat fajar. [Sahih Muslim, no. 726] ↩︎
  11. Semua rawatib dibaca perlahan dengan sepakat ulama mazhab Syafi‘e. [al-Nawawi, al-Majmu‘, 3/391] ↩︎
  12. Sunat bertakbir ketika mula tunduk untuk rukuk dan mengangkat tangan seperti ketika takbiratul ihram. Rukuk yang sempurna ialah meratakan belakang dan tengkuk serta memegang lutut dengan jari direnggangkan. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «وأكمله تسوية ظهره وعنقه ونصب ساقيه وأخذ ركبتيه بيديه وتفرقة أصابعه للقبلة ويكبر في ابتداء هويه ويرفع يديه كإحرامه»] ↩︎
  13. Hadis Abu Hurairah RA tentang lelaki yang solat dengan tergesa-gesa: Nabi ﷺ menyuruhnya mengulang solat dan mengajarnya rukuk, iktidal, sujud dan duduk dengan tenang. [Sahih al-Bukhari 757] [Sahih Muslim 397] Ukuran tuma’ninah ialah anggota badan tetap seketika sehingga gerakan turun terpisah daripada gerakan naik. [Tuhfat al-Muhtaj 2/59] ↩︎
  14. Sunat mengangkat tangan ketika mula mengangkat kepala daripada rukuk sambil membaca “Sami‘allāhu liman ḥamidah”. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «ويسن رفع يديه مع ابتداء رفع رأسه قائلا سمع الله لمن حمده»] ↩︎
  15. Sekurang-kurangnya sujud ialah sebahagian dahi menyentuh tempat sujud secara terus. Meletakkan kedua-dua tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua kaki juga wajib menurut pendapat yang dipilih al-Nawawi, dan punggung mesti lebih tinggi daripada kepala. Sunat bertakbir ketika turun tanpa mengangkat tangan, dan meletakkan lutut, kemudian tangan, kemudian dahi dan hidung. Sujud kedua dilakukan seperti sujud pertama. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «وأقله مباشرة بعض جبهته مصلاه… قلت: الأظهر وجوبه… وأن ترتفع أسافله على أعاليه في الأصح وأكمله يكبر لهويه بلا رفع ويضع ركبتيه ثم يديه ثم جبهته وأنفه», «ثم يسجد الثانية كالأولى»] ↩︎
  16. Duduk antara dua sujud yang sempurna ialah bertakbir ketika bangun, duduk iftirasy dan meletakkan tangan di atas paha berhampiran lutut. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «وأكمله يكبر ويجلس مفترشا واضعا يديه قريبا من ركبتيه»] ↩︎
  17. Hadis Abu Humaid al-Sa‘idi RA: pada rakaat terakhir, Nabi ﷺ memajukan kaki kirinya, menegakkan kaki kanan dan duduk di atas punggungnya. [Sahih al-Bukhari 828] [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] ↩︎
  18. Imam an-Nawawi menyebut bahawa selepas tasyahhud akhir dan selawat, sunat berdoa, dan doa yang ma’thur (warid daripada Nabi ﷺ) lebih afdal. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] ↩︎
  19. Selawat ke atas Nabi ﷺ dalam tahiyat akhir ialah rukun, dan sekurang-kurangnya “Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammad”. Menambah selawat ke atas keluarga Baginda dan selawat Ibrahimiyyah lebih sempurna. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Tuhfat al-Muhtaj 2/86] ↩︎
  20. Jari telunjuk kanan diangkat ketika menyebut “illallāh”, tidak digerak-gerakkan, dan dibiarkan terangkat hingga akhir tahiyat. [Tuhfat al-Muhtaj 2/80] [Sahih Muslim 580] ↩︎
  21. Salam sekurang-kurangnya “As-salāmu ‘alaikum”. Yang paling sempurna ialah “As-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh” dua kali, ke kanan kemudian ke kiri. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] ↩︎
  22. Ibn Abbas berkata, antara yang kerap dibaca Nabi ﷺ dalam dua rakaat fajar ialah ayat “Qulu amanna billahi wa ma unzila ilaina” (al-Baqarah, ayat 136) pada rakaat pertama, dan ayat “Amanna billahi wasyhad bi anna muslimun” (Ali ‘Imran, ayat 52) pada rakaat kedua. [Sunan Abi Dawud, no. 1259] ↩︎
  23. Aisyah berkata: “Nabi ﷺ meringankan dua rakaat sebelum solat Subuh sehingga aku tertanya-tanya, adakah Baginda membaca al-Fatihah?” [Sahih al-Bukhari, no. 1171] ↩︎
  24. Solat sunat Subuh dikerjakan selepas masuk waktu Subuh dan sebelum solat fardu Subuh. Solat sunat ini tidak sah jika dikerjakan sebelum masuk waktu. [Al-Kafi li al-Fatawi siri 1726: “Bilakah Waktu Menunaikan Solat Sunat Subuh”] ↩︎
  25. Waktu rawatib qabliyah masuk bersama masuknya waktu fardu dan berakhir apabila keluar waktu fardu. Qabliyah yang dikerjakan selepas fardu masih dikira tunai (ada’), tetapi sebaiknya tidak dilewatkan melainkan kerana solat sudah diiqamatkan. [al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, 1/36. al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 1/457] ↩︎
  26. Nabi ﷺ bersabda: “Doa antara azan dan iqamat tidak ditolak.” Al-Tirmizi menilainya hasan. [Sunan Abi Dawud, no. 521. Sunan al-Tirmizi, no. 212] ↩︎
  27. Abu al-Malih meriwayatkan daripada bapanya bahawa dia solat dua rakaat fajar, dan Nabi ﷺ juga solat dua rakaat ringan berhampirannya. Kemudian dia mendengar Baginda membaca doa ini sebanyak tiga kali sambil duduk. Al-Nawawi memuatkannya dalam bab “Apa yang dibaca selepas dua rakaat sunat Subuh”. [al-Nawawi, al-Adhkar, no. 226. Ibn al-Sunni, ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah, no. 101] ↩︎
  28. Amalan ini dinukil oleh pengarang I‘anah al-Talibin sebagai faedah daripada al-Hakim al-Tirmizi berdasarkan mimpi beliau, bukan daripada hadis. Doa ini dibaca 41 kali antara solat sunat Subuh dan solat fardu Subuh. [I‘anah al-Talibin (1/286): «فأمرني بهذا الدعاء بين سنة الصبح والفريضة إحدى وأربعين مرة. وهو هذا: يا حي يا قيوم يا بديع السموات والأرض، يا ذا الجلال والإكرام، يا الله لا إله إلا أنت، أسألك أن تحيي قلبي بنور معرفتك، يا الله يا الله يا ألله، يا أرحم الراحمين»] ↩︎
  29. Aisyah menyebut Nabi ﷺ berbaring di atas lambung kanan selepas solat dua rakaat fajar. Abu Hurairah meriwayatkan arahan Baginda: “Apabila salah seorang kamu selesai solat dua rakaat fajar, hendaklah dia berbaring di atas lambung kanannya.” [Sahih al-Bukhari, no. 1160. Sunan al-Tirmizi, no. 420] ↩︎
  30. Al-Nawawi memilih bahawa berbaring selepas sunat fajar adalah sunat, dan meninggalkannya diharuskan. Al-Baihaqi menukilkan isyarat al-Syafi‘i bahawa tujuannya ialah memisahkan antara solat sunat dan fardu, sehingga boleh juga dicapai dengan bercakap atau berpindah tempat. [al-Nawawi, al-Majmu‘, 4/29] ↩︎
  31. Apabila iqamat sudah dimulakan, jangan memulakan solat sunat, berdasarkan hadis: “Apabila solat telah diiqamatkan, maka tiada solat melainkan solat fardu.” [al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab, 3/255. Sahih Muslim, no. 710] ↩︎
  32. Qais bin ‘Amr solat dua rakaat selepas solat Subuh. Apabila ditanya, dia menjelaskan bahawa itu ialah dua rakaat sebelum Subuh yang belum sempat dikerjakannya. Nabi ﷺ mendiamkannya, tanda membenarkan. [Sunan Abi Dawud, no. 1267. Sunan al-Tirmizi, no. 422] ↩︎
  33. Solat yang mempunyai sebab terdahulu, termasuk qada sunat rawatib, boleh dikerjakan pada waktu yang dilarang solat. [al-Nawawi, al-Majmu‘, 4/170] ↩︎
  34. Rawatib yang tertinggal sunat diqada menurut pendapat yang sahih dalam mazhab Syafi‘e. [al-Nawawi, al-Majmu‘, 4/43] ↩︎
  35. Hadis: “Sesiapa yang belum solat dua rakaat fajar, hendaklah dia solat selepas matahari terbit.” [Sunan al-Tirmizi, no. 423] ↩︎
  36. Tahiyatul masjid terhasil dengan solat fardu atau solat sunat lain yang dikerjakan selepas masuk masjid. [al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, 1/36] ↩︎
  37. Nabi ﷺ bersabda: “Solat yang paling afdal ialah solat seseorang di rumahnya, kecuali solat fardu.” [Sahih al-Bukhari, no. 731] ↩︎
  38. Nabi ﷺ bersabda: “Dua rakaat fajar lebih baik daripada dunia dan segala isinya.” [Sahih Muslim, no. 725] ↩︎
  39. Aisyah berkata: “Nabi ﷺ tidak menjaga satu pun solat sunat lebih bersungguh-sungguh daripada dua rakaat fajar.” [Sahih al-Bukhari, no. 1169] ↩︎
  40. Aisyah berkata Nabi ﷺ tidak pernah meninggalkan empat rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum Subuh. [Sahih al-Bukhari, no. 1182] ↩︎
  41. Jika solat fardu seseorang berkurang, Allah berfirman: “Lihatlah, adakah hamba-Ku mempunyai solat sunat?” lalu kekurangan fardunya disempurnakan dengannya. [Sunan Abi Dawud, no. 864] ↩︎

Bibliografi Tambahan

  • al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin.
  • al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab, jilid 3 dan 4.
  • al-Nawawi, al-Adhkar.
  • Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj, jilid 2.
  • al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 1.
  • al-Bukhari, Sahih al-Bukhari. Muslim, Sahih Muslim. Abu Dawud, Sunan Abi Dawud. al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi.
  • Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi li al-Fatawi siri 1029 dan 1726.
KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim Abd Manaf

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

166 Komen

    • Wassalam Nur Saadah, alhamdulillah, terima kasih atas perkongsian yang diberikan.

      Balas
  1. Solat sunat fajar adalah solat yang sama dengan solat sunat qabliyyah subuh.
    Tetapi kenapa niatnya tak sama

    Lafaz Niat Solat Sunat Fajar

    Sahaja aku solat sunat fajar dua rakaat kerana Allah Taala”

    Niat Solat Sunat Qabliyah SubuhSahaja aku solat sunat sebelum Subuh dua rakaat kerana Allah Taala.

    Balas
  2. As salam boleh tak selit kan doa selepas solat fajar dalam bahasa rumi. Maaf saya belum paham baca jawi.

    Balas
    • Waalaikumussalam. Artikel ini sudah dikemas kini. Setiap doa kini disertakan bacaan rumi dan maksudnya.

      Balas
  3. Assalamualaikum ustaz.
    Contohnya sekarang fajar pd 5.55… jd pukul brapakah lebih kurangnya waktu menunaikan solat sunat fajar. Adakah lebih kurang 10minit sebelumnya?
    Saya bimbang masih ragu2.. jd saya pwrlukan kepastian. Terjmakasih ustaz

    Balas
    • Waktu melakukan solat sunat fajar adalah setelah masuknya waktu subuh dan sebelum menunaikan solat fardu subuh.

      Balas
  4. Asaalamualaikum, solat sunat qalbiyah subuh tu same ke macam solat sunat subuh yang di terangkan di atas ?

    Balas
    • Wassalam.

      Ya sama sahaja (cuma ada berbeza sedikit dari segi niat)

      Balas
  5. Assalammualaikum ustaz,saya mohon pencerahan tentang solat fajar.. Btul x cara saya dirikan solat fajar 10minit seblum masuk waktu dan apabila masuk waktu saya solat sunat qabliyah di ikuti solat fardhu subuh? Apa pun blog ni sangt membantu saya yang kurang arif pasal solat sunat ni..Dan alhamdulillah selepas mengikuti blog ni saya byk belajar mengenai solat2 sunat yang lain..Moga saya terus istiqomah dan moga Ustaz di rahmati oleh Allah swt..Terima Kasih untuk ilmu yg di beri Amin.

    Balas
    • Waalaikumussalam. Terima kasih, puan. Ada sedikit pembetulan.

      Solat sunat Fajar dan solat sunat qabliyah Subuh ialah solat yang sama, dan ia hanya sah selepas masuk waktu Subuh. Susunan yang betul ialah: masuk waktu Subuh, solat sunat Fajar dua rakaat, kemudian solat fardu Subuh. Dua rakaat yang dikerjakan 10 minit sebelum masuk waktu tidak dikira sebagai sunat Subuh.

      Semoga Allah memudahkan puan untuk istiqamah.

      Balas
  6. Salam.berapa lamakah jarak masa yg dibenarkan antara solat sunat subuh dan solat fardhu subuh? Kadang2 lepas solat sunat subuh menunggu orang lain bangun tidur utk solat berjemaah.

    Balas
    • Waalaikumussalam. Tiada had masa yang ditetapkan. Tuan/puan boleh menunggu ahli keluarga untuk solat berjemaah, asalkan fardu Subuh ditunaikan sebelum waktunya habis. Sementara menunggu, boleh berbaring sebentar di atas lambung kanan atau berdoa.

      Wallahu a‘lam.

      Balas
  7. Asalamualaikum ustaz waktu bila sesuai untuk kita solat sunat fajar.. Maksud sy jam berapa.. Kalau mcm subuh pukul 620 sy laku kn dlm pukul 550 boleh ke ustaz…

    Balas
    • Waalaikumussalam. Tidak boleh, tuan. Solat sunat Fajar hanya sah selepas masuk waktu Subuh. Jika waktu Subuh masuk pada 6.20 pagi, kerjakanlah selepas 6.20 dan sebelum solat fardu Subuh. Jika dikerjakan pada 5.50, ia tidak dikira sebagai sunat Subuh.

      Wallahu a‘lam.

      Balas
  8. assalammualaikum moderator. jika saya bangun lambat, adakah saya boleh melakukan solat fajar/solat sunat qobliyyah sebelum qada solat subuh?

    Balas
    • Waalaikumussalam.

      Jika puan bangun ketika waktu Subuh masih ada, kerjakan seperti biasa: solat sunat Fajar dahulu, kemudian fardu Subuh, dan jangan lengahkan sehingga waktu hampir habis.

      Jika matahari sudah terbit, kedua-duanya menjadi qada. Puan boleh mulakan dengan dua rakaat sunat, kemudian qada fardu Subuh, sebagaimana yang dilakukan Nabi ﷺ ketika Baginda dan para sahabat tertidur dalam perjalanan sehingga matahari terbit (riwayat Muslim). Segerakan qada tersebut.

      Wallahu a‘lam.

      Balas
      • Wa’alaikumsalam, utama kan solat wajib dahulu baru solat sunat yang lainnya

        Balas
  9. Assalamualaikum Ust sunat subuh dan sunat fajar ni sama ka? Kalau dh buat sunat fajar kena buat solat subuh lagi ka?

    Balas
  10. salam ustaz nk tnya apakah selepas solat sunat fajar boleh melakukn solat sunat subuh qabliyah trima kasih ustaz

    Balas
  11. Salam Ustaz
    Bole kah kita lakukan solat sunat Fajar sebelom suboh dan setelah Azan Subuh kita lakukan solat sunat suboh

    Balas
  12. Assalamualaikum wht Ustaz.
    Saya ingin bertanya tentang solat fajar. Dikerjakan selepas masuk waktu subuh ke atau bagaimana?
    Kedua, tentang niat tu, adakah hendak diniatkan Solat Fajar atau Solat sebelum subuh.
    Mohon pencerahan Ustaz, terima kasih.

    Balas
    • Wassalam.

      1. Dilakukan selepas masuk waktu subuh
      2. Kedua-duanya boleh sebab ia solat yang sama.
      Balas
  13. kebiasaannya saya solat sunat sebelum subuh tetapi pada hari ini disebabkan terlewat sikit ke surau , imam sedang solat subuh maka saya terus solat subuh bersama imam.

    saya difahamkan dalam keadaan tersebut dibolehkan solat sunat sebelum subuh yg selalu dilakukan pada kebiasaan itu selepas solat subuh, sebagaimana pernah dilakukan Rasulullah.

    Soalan saya:
    1) betul ke pandanagan ini?
    2) bagaimanakah niat ?

    tks

    Balas
    • 1) Ya, benar. Jika tuan sempat mengerjakannya sebelum matahari terbit, solat itu masih dikira tunai (ada’), bukan qada.

      Dalilnya, Qais bin ‘Amr pernah solat dua rakaat selepas solat Subuh dan menjelaskan kepada Nabi ﷺ bahawa itu ialah dua rakaat sebelum Subuh yang belum sempat dikerjakannya. Nabi ﷺ mendiamkannya, tanda membenarkan (riwayat Abu Daud).

      2) Niatnya sama seperti biasa: “Usolli sunnatal-fajri rak‘ataini lillahi ta‘ala” (Sahaja aku solat sunat Fajar dua rakaat kerana Allah Taala). Tidak perlu menyebut qada.

      Wallahu a‘lam.

      Balas
  14. Semoga Kita sma2 dlm Rahmat Allah SWT SELALU Aamiin3 YA ALLAH ❤️?

    Balas
  15. Assalamualaikum maaf bertanya saya baca dalam pengenalan mengatakan sebelum mendirikan solat fardhu subuh hendaklah kita mendirikan solat sunat fajar. Tetapi bila saya baca komen dibawah boleh kah solat sunat fajar didirikan sebelum waktu subuh. Jawapan nya tidak mana satu jawapan yang benar. Pertanyaan oleh cik sarina jawapan penulis tidak tetapi diawal pengenalan diatas mengatakan sebelum mendirikan solat subuh. Mohon penjelasan agar tidak berlaku percanggahan. Terimakasih tuan penulis

    Balas
    • Wassalam.

      Solat sunat fajar memang didirikan selepas masuknya waktu subuh

      Cuma ia dilakukan sebelum mendirikan solat fardu subuh.

      Maksudnya, selepas azan kita lakukan sunat fajar dahulu sebelum lakukan solat fardu subuh.

      Tiada percanggahan disitu.

      Balas

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.