Wujudkan “Zon Selamat” Dalam Kehidupan Supaya Tidak Mudah Kecewa

zon selamatPada hujung Disember 2014, salah satu daripada banjir yang terbesar dalam sejarah negara mula memuncak..

Air di sungai-sungai utama di hulu Kelantan terutama di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai mula meningkat dengan mendadak.

Dengan hujan yang mencurah-curah tanpa henti.

Air sungai pantas melepasi paras bahaya dan melimpahi tebing dengan sekelip mata.

Banjir mula terbentuk dengan serta-merta, menenggelamkan kampung dan rumah penduduk di sekitar lembah sungai.

Banjir adalah sesuatu fenomena yang lazim pada penduduk Kelantan bila tiba musim tengkujuh.

Oleh itu ramai yang menjangkakan banjir ini adalah biasa seperti tahun-tahun yang sebelumnya, dan tidak perlu dirisaukan.

Maka disinilah bermulanya kesilapan:

Ramai orang tidak membuat persediaan yang secukupnya.

Semua orang tidak menjangkakan air akan menjadi cukup dasyat.

Air melimpah laju sehingga menenggelamkan tempat yang tidak pernah banjir sebelum ini.

— Dalam masa beberapa jam sahaja, hampir separuh dari negeri Kelantan telah lumpuh.

Seluruh bandar tenggelam dan jalan telah terputus. Ramai yang terperangkap dan tidak dapat berpindah ke tempat lain.

Ramai orang sangat terjejas dari kejadian ini.

Anda yang kehilangan rumah, perniagaan malah kehilangan ahli keluarga.

Secara kasar, kerugian dianggarkan melebihi 1 Billion Ringgit.

Ia adalah kejadian banjir yang paling buruk dalam sejarah negeri Kelantan dalam masa 100 tahun.

 

Apakah itu Zon Selamat?

Kesilapan terbesar dalam banjir 2014 adalah ramai pihak tidak membuat persiapan secukupnya.

Semua orang silap percaturan menjangkakan ini adalah banjir yang biasa.

Hasilnya, ramai orang mengalami kejutan, kerugian, dan kehilangan nyawa bila berlaku perkara diluar jangkaan seperti ini.

Dalam dunia kejuruteraan, ‘margin of safety’, iaitu satu konsep yang menerangkan kebolehan sesuatu sistem untuk menahan beban yang lebih besar dari jangkaan.

Bayangkan anda membina jambatan.

Berat maksimum sebuah lori bermuatan penuh adalah 36 Tan tetapi mana-mana jurutera yang cekap akan membina jambatan yang mampu menampung beban jauh lebih berat daripada itu.

Anda pasti tidak mahu memandu lori 80 tan untuk menyeberangi jambatan yang hanya mampu menahan berat 80.1 Tan sahaja.

Untuk memastikan keselamatan, jurutera mungkin membina jambatan yang boleh mengendalikan 5X kali beban yang dijangkakan.

Kapasiti tambahan inilah yang dipanggil margin of safety.

Dalam kehidupan sebenar, konsep margin of safety atau zon selamat ini juga boleh diaplikasikan dalam banyak perkara.

 

Mari Gunakan Konsep Zon Selamat Dalam Kehidupan Sebenar..

Ada banyak cara untuk mengaplikasi zon selamat dalam kehidupan seharian.

Idea asasnya adalah untuk melindungi diri kita daripada musibah yang tidak kelihatan dengan membina penampan atau benteng untuk menghadapi apa yang kita jangka akan berlaku dan apa yang mungkin berlaku.

Konsep ini sangat berguna dalam kehidupan seharian kerana  perkara yang tidak terjangka selalu menyelit dalam setiap sudut kehidupan. 

Mari kita lihat bagaimana kita boleh menggunakan konsep ini untuk kehidupan yang lebih baik:


Zon Selamat Dalam Pengurusan Masa

Salah satu kunci untuk menjadi seorang yang menepati waktu dan dipercayai adalah menggunakan zon selamat semasa menyusun jadual harian anda.

Jika tempoh untuk sampai ke sesuatu tempat adalah 10 minit, jangan tunggu sehingga 11 minit sebelum itu baru bergegas untuk memulakan perjalanan.

Sebaliknya, mulalah bergerak 30 minit sebelum itu.

Jika anda selalu terlewat, ia adalah kerana anda hidup tanpa mengutamakan zon selamat.

Pasti akan ada delay yang akan berlaku dalam realiti dunia nyata.

Jika anda mengharap sesuatu benda yang diusahakan akan berlaku tepat dan sempurna pada masa yang ditetapkan, selalunya perkara itu jarang untuk berlaku.

Oleh itu berikan diri anda zon selamat yang sihat.


Zon Selamat Dalam Kerjaya dan Projek

Untuk cemerlang dalam sesuatu bidang adalah membuat kerja secara bijak. Work smart.

Jika kerja anda memerlukan anda bertungkus-lumus menghasilkan kertas kerja, laporan atau dokumentasi yang penting dalam kerjaya, maka adalah bijak untuk membuat salinan pendua (backup).

Ini penting kerana bencana boleh berlaku tanpa dijangka.

Saya pernah mengalami perkara sebegini. Kerja-kerja yang penting yang dibuat secara penat lelah hilang begitu sahaja.

Dan tentulah ia membuatkan saya terduduk kecewa, dan mengambil masa yang lama untuk memulihkan kembali semangat.

Oleh itu, sentiasalah membuat salinan sokongan dalam apa-apa projek atau kerja.

Ia akan banyak membantu kita menyelesaikan masalah dan menjadi kusyen untuk menyerap perkara yang tidak dijangka.


Zon Selamat Dalam Perhubungan

Kekecewaan terbesar yang selalunya berlaku dalam hidup kita adalah meletakkan harapan dan jangkaan pada tempat yang salah.

Perkara ini selalunya berlaku apabila ia melibatkan hubungan kita sesama manusia.

Apakah yang lebih menyakitkan selain daripada dikhianati?

Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. it’s feel torn apart inside.

Kadang kala kita tidak tahu mengapa kita tiba-tiba dikhianati, tanpa sebarang ribut dan badai, sekelip mata sahaja hati kita bagai ditikam sedalam-dalamnya.

Never put the key to your happiness in somebody else’s pocket.

Apa yang kita harus simpan dalam minda adalah; hati manusia sentiasa berubah-ubah.

Oleh itu, jangan meletakkan hati dan harapan kita sepenuhnya kepada manusia.

Simpan sedikit “zon selamat” di dalam hati agar kita boleh menerima kenyataan dengan tenang jika berlaku masalah kemudian nanti.


Zon Selamat Dalam Kewangan

Jika anda perlu membelanjakan setiap ringgit daripada pendapatan anda setiap bulan, maka anda tiada sebarang zon selamat untuk berlindung dari bahana kewangan yang tidak dijangka.

Sebaliknya, jika anda mampu hidup dengan 90% daripada hasil pendapatan, kemudian 10% yang anda simpan akan menyediakan zon selamat sekiranya berlaku kecemasan.

Dan jika anda mampu untuk hidup dengan hanya 50% dari pendapatan anda, maka pasti anda akan mampu berhadapan dengan tekanan kewangan yang besar.

Bayangkan kecemasan penyakit yang memerlukan kos RM30000 untuk pembedahan segera.

Dengan simpanan yang lebih besar, kita boleh bertahan dengan kejutan seperti itu. Bila simpanan kecil atau tiada, pastinya perkara ini akan membuatkan masalah tambahan lain akan muncul.

Lebih besar zon selamat yang kita wujudkan, lebih banyak huru-hara yang kita boleh kawal.


Tinggalkan Sedikit Ruang Untuk Perkara Yang Tidak Dijangka..

Mempraktikkan zon selamat dalam kehidupan akan membantu ada dalam apa-apa jua perkara dalam kehidupan.

Setiap maklumat, orang dan perkara-tidak kira nampak sehebat mana ia boleh dipercayai – pasti akan terselit sedikit darjah kesilapan.

Masa depan adalah sesuatu yang tidak pasti.

Maka dengan mencipta zon selamat ia akan bertindak sebagai pemampan untuk menghadapi bahaya yang tidak nampak, tidak diketahui dan tidak dijangka.

Dunia sekarang adalah lebih sukar diramal berbanding sebelum ini.

Terlalu banyak maklumat untuk dihadam oleh setiap orang, terlalu banyak cebisan-cebisan kecil yang perlu kita uruskan.

Sebab inilah kelebihan terbesar mewujudkan zon selamat dalam kehidupan akan mengurangkan stress dan kekecewaan.

Memang tiada orang dapat meramalkan masa depan, tetapi dengan adanya persediaan yang dibuat, ia pasti akan memberikan kita sedikit rasa tenang untuk menghadapi masa-masa yang tidak terjangka dalam kehidupan.

Apabila anda hanya bersedia untuk menghadapi perkara yang hanya dalam jangkaan, maka anda akan ‘jahanam’ apabila berlaku perkara diluar kawalan anda.

Selalulah menjadi kuat melebihi apa yang anda rasa perlu.

Dan selalu tinggalkan ruang untuk perkara yang tidak dijangka.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

5 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
yul
yul
3 tahun yang lalu

Memang sangat berguna ilmu ni.. Cuma realitinya kita terlepas pandang hal ni. Tak semua orang mampu kawal nafsu dan keinginan diri sendiri. 

farah@ezvitamin
farah@ezvitamin
7 tahun yang lalu

Nice info, zon selamat @ org kg ckp ‘berjaga2’..nak praktikkan benda ni mmg susah tp setiap org mesti kena cuba..=)