Niat & Cara Solat Jenazah Di Mekah Dan Madinah

Cara Solat Jenazah Di Mekah

Bagaimana niat dan cara mengerjakan Solat Jenazah di Mekah (Masjidil Haram) & Madinah?

Ini adalah panduan lengkap mengerjakan solat jenazah di dua tanah suci tersebut. Anda akan dibimbing secara langkah demi langkah dan teratur.

Setiap bacaan juga dipermudahkan dengan transliterasi Rumi. Mudah-mudahan membantu anda yang sukar membaca teks arab.

Semoga bermanfaat.

Kelebihan Solat Jenazah Di Masjidil Haram Dan Masjid Nabawi

Kelebihan Solat Jenazah Di Masjidil Haram Dan Masjid Nabawi

Panduan ini adalah sambungan kepada panduan utama Pengurusan Jenazah Islam.

Untuk melihat panduan solat jenazah yang lebih terperinci dan lengkap, sila rujuk NIAT & CARA SOLAT JENAZAH (Panduan Lengkap)

Boleh dikatakan, Solat Jenazah pasti akan dikerjakan pada setiap masa sebaik sahaja tamat solat fardu di Masjidil Haram (Mekah) dan Masjid Nabawi (Madinah).

Hukum melakukan Solat Jenazah adalah fardu kifayah, maka jika kita sedang berada di dua tanah suci ini, marilah kita merebut peluang beribadat, terutama di tempat yang tinggi ganjarannya.

Oleh itu, tangguhkan dahulu Solat Sunat Rawatib (Ba’diyyah) dan utamakan Solat Jenazah kerana pahalanya sebesar Bukit Uhud.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tsauban R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‏ مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirath. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirath, dan satu qirath itu ganjaranya sebesar bukit Uhud.” (Riwayat Muslim no. 946)

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Ahmad, Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain”. [Riwayat Ahmad (15271)] 

Hadis ini menunjukkan keutamaan solat di Masjidil Haram, termasuk solat jenazah.

Disebabkan kebanyakkan daripada kita tidak memahami Bahasa Arab dan tidak mengetahui status mayat, maka berniatlah seperti berikut:

Niat solat jenazah di mekah dan madinah

Usolli ‘Ala Hazal-Mayyiti Man Solla ‘Alayhil Imamu Arba’a Takbiratin Fardol Kifayati Makmuman Lillahi Taala

Sahaja aku solat jenazah di atas mayat yang disolatkan oleh imam empat takbir fardu kifayah sebagai makmum kerana Allah Taala


Nota

Anda boleh berniat sama ada dalam bahasa arab atau bahasa melayu. Kedua-duanya dibolehkan dan sah solat.

Cara Mengerjakan Solat Jenazah Di Mekah & Madinah

Ringkasan Cara Melakukan Solat Jenazah Di Masjidil Haram

  • Mulakan Solat Jenazah dengan niat dalam hati, “Sahaja aku solat jenazah di atas mayat yang disolatkan oleh imam empat takbir fardu kifayah sebagai makmum kerana Allah Taala”
  • Takbir Pertama. Selepas takbiratul ihram (takbir permulaan), bacalah Al-Fatihah.
  • Takbir Kedua. Selepas takbir kedua, bacalah selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, “Allahumma Solli A’la Sayyidina Muhammad”
  • Takbir Ketiga. Selepas takbir ketiga, bacalah doa untuk si mayat, “Allahummaghfirlahum warhamhum wa ‘aafihum wa‘fu ‘anhum.”
  • Takbir Keempat. Selepas takbir keempat, bacalah doa seperti berikut “Allahumma La Tahrimna Ajrahum Wa La Taftinna Ba’-dahum”
  • Akhiri solat jenazah dengan memberi salam.

Untuk rujukan yang lebih lengkap dan terperinci termasuk transliterasi bacaannya, sila ikuti panduan langkah demi langkah di bawah ini.

1. Berdiri tegak dan berniat untuk solat jenazah

takbiratul ihram solat jenazah

Berdiri dengan tegak dan selesa. Mata memandang ke arah tempat sujud.

Semasa mengangkat takbir, bacakan niat solat dalam hati serentak, Sahaja aku solat ke atas jenazah lelaki / perempuan ini empat kali takbir fardu kifayah menjadi makmum kerana Allah Taala”

Jika anda sukar niat serentak dengan takbir, anda boleh niat dahulu sejurus sebelum takbiratul ihram

Niat boleh diucapkan dalam Arab mahupun Bahasa Melayu.


2. Membaca al-Fatihah.

Selepas selesai mengangkat takbiratul ihram, letakkan tangan di atas perut. Kemudian bacalah surah al-Fatihah.

Surah al-Fatihah

Bismillāhir-Raḥmānir-Raḥīm. Al-Ḥamdu Lillāhi Rabbil-‘Ālamīn. Ar-Raḥmānir-Raḥīm. Māliki Yaumid-Dīn. Iyyāka Na‘Budu Wa Iyyāka Nasta‘Īn. Ihdinaṣ-Ṣirāṭal-Mustaqīm. Ṣirāṭallażīna An‘Amta ‘Alaihim, Gairil-Magḍūbi ‘Alaihim Wa Laḍ-Ḍāllīn

Maksudnya:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


3. Angkat Takbir Kedua & Selawat

Setelah selesai membaca al-Fatihah, maka angkat takbir kedua.

Takbir kedua solat jenazah

Bacaan Selawat Selepas Takbir Kedua Solat Jenazah

Selepas takbir kedua, letakkan tangan kembali di atas perut.

Kemudian baca selawat ke atas Rasulullah SAW sekurang-kurangnya:

selawat ke atas nabi

  Allahumma Solli A’la Sayyidina Muhammad 

Selawat yang paling baik yang boleh dibaca adalah Selawat Ibrahimiyyah.


4. Angkat Takbir Ketiga & Baca Doa Minta Ampun Untuk Jenazah

Setelah selesai membaca selawat, maka angkat takbir ketiga.

Takbir keempat solat jenazah

Selesai takbir ketiga, bacalah doa minta ampun untuk jenazah sekurang-kurangnya:

Doa Selepas Takbir Ketiga Solat Jenazah

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ وَعَافِهُمْ وَاعْفُ عَنْهُمْ

Doa Solat Jenazah Di Mekah & Madinah

  Allahummaghfir-lahum Warhamhum Wa ‘Aafihum Wa‘fu ‘Anhum. 

Maksudnya:

“Ya Allah, ampunilah mereka, rahmatilah mereka, sejahterakanlah mereka, dan maafkanlah mereka.”


5. Angkat Takbir Keempat & Membaca Doa

Setelah selesai membaca doa jenazah, maka lakukanlah takbir keempat

Solat jenazah takbir

Selesai takbir keempat, disunatkan membaca doa berikut:

اللَّهُمَّ لا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُمْ وَلا تُفْتِنَّا بَعْدَهُمْ

  Allahumma La Tahrimna Ajrahum Wa La Taftinna Ba’-dahum 

Maksudnya: 

Ya Allah, janganlah Engkau halangi kami dari pahala mereka dan janganlah Engkau uji kami setelah mereka


6. Memberi Salam

Selesai membaca doa di atas, akhiri sembahyang jenazah dengan memberi salam.

Kemudian anda boleh menyambung solat-solat sunat lain seperti Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah.

Jika anda tidak biasa dengan Solat Sunat Rawatib Qabliyyah & Ba’diyyah, anda boleh rujuk panduan-panduan khas ini:

infografik cara solat jenazah di mekah

Info Tambahan: Bacaan Qunut Subuh & Sujud Sajadah Di Masjidil Haram

Disini saya kongsikan beberapa perkara semasa keberadaan anda di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Bagaimana Dengan Bacaan Qunut Dalam Solat Subuh?

Secara amnya, doa qunut tidak dibacakan dalam solat Subuh di Masjidil Haram di Mekah.

Amalan membaca doa qunut dalam Solat Subuh berbeza-beza mengikut mazhab dalam Islam. Sebagai contoh:

  1. Mazhab Hanafi: Mereka mengamalkan qunut dalam solat Subuh.
  2. Mazhab Maliki: Tidak mengamalkan qunut dalam solat Subuh.
  3. Mazhab Syafi’i: Mengamalkan qunut dalam solat Subuh.
  4. Mazhab Hanbali: Ada fleksibiliti, tetapi umumnya tidak mengamalkan qunut dalam solat Subuh.

Oleh itu kita ada tiga pilihan untuk dilakukan:

  • Pilihan 1: Tinggalkan langsung atau diganti dengan sujud sahwi.
  • Pilihan 2: Boleh baca doa pendek berikut, اللهُمَّ اغْفِرْ لِي يَا غَفُورُ (Allāhumma-ghfir lī yā Ghafūr)
  • Pilihan 3: Baca doa qunut seperti biasa tetapi mestilah dapat bersujud bersama imam jika tidak dapat disunatkan doa qunut tersebut.

Sujud Sajadah Pada Solat Subuh Hari Jumaat

Biasanya pada Solat Subuh pagi Jumaat, imam yang bertugas pada pagi tersebut membaca Surah as-Sajadah, maka bersedialah untuk mengerjakan Sujud Sajadah.

Penutup

Saya berharap panduan ringkas memberi sedikit sebanyak pencerahan kepada anda berkaitan tatacara mengerjakan Solat Jenazah ketika berada di Masjidil Haram Mekah dan Masjid Nabawi Madinah.

Selain dari paduan solat jenazah ini, saya juga ada menyediakan beberapa panduan berkaitan ketika berada di Tanah Suci Mekah.

Anda boleh rujuk panduan tersebut di sini:

Jika anda mempunya sebarang persoalan berkaitan topik solat jenazah ini, sila tinggalkan persoalan anda pada ruangan komen di bawah.

InsyaAllah saya akan menjawabnya secepat yang mungkin.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments