TAHALUL UMRAH: Hukum, Syarat & Doa Semasa Tahalul

Tahalul umrah

Ini adalah panduan lengkap ibadah Tahalul khusus bagi ibadah Umrah.

Ini adalah bahagian terakhir dari Panduan Melaksanakan Umrah, iaitu Tahalul.

Seperti panduan-panduan sebelumnya, panduan ini juga disediakan secara lengkap dan terperinci kepada jemaah umrah yang menjadi tetamu Allah.

Semoga panduan ini akan membantu anda.

Maksud Tahalul

Tahallul bermaksud membebaskan diri daripada larangan yang terdapat semasa dalam ihram. Tahallul bagi ibadah umrah ialah dimana para jemaah melakukan cukur atau bergunting selepas selesainya melaksanakan rukun saie.

Justeru selepas selesainya bergunting atau bercukur ini, kita telah bebas daripada larangan dalam ihram.

Maksud tahalul

Larangan Dalam Ihram

Ketika seseorang berada dalam keadaan ihram, terdapat sejumlah perbuatan yang dilarang untuk dilakukan. Menurut Mazhab Syafie, larangan-larangan tersebut adalah sebagai berikut:

  1. Memakai pakaian yang berjahit bagi lelaki: Bagi lelaki, mereka dilarang memakai pakaian yang berjahit seperti baju, seluar, atau topi. Mereka harus memakai kain ihram yang khusus yang terdiri daripada dua helai kain tanpa jahitan.
  2. Memotong rambut atau kuku: Seseorang yang berihram dilarang memotong rambut atau kuku. Jika terjadi secara tidak sengaja, wajib membayar dam berdasarkan mazhab Syafie.
  3. Memakai wangi-wangian: Mereka yang berihram dilarang memakai minyak wangi atau apa-apa produk yang mengandungi bau harum.
  4. Berhubungan suami isteri: Bagi yang sudah berkahwin, dilarang melakukan hubungan seksual selama berada dalam keadaan ihram.
  5. Menikah atau menerima lamaran: Seseorang yang berihram dilarang menikah, menikahkan, menerima lamaran atau menjadi wali pernikahan.
  6. Melakukan pemburuan: Dilarang membunuh atau memburu binatang semasa berihram, terutama jika berada dalam kawasan tanah haram.
  7. Mencabut dan memotong pokok: Dilarang mencabut, merosakkan atau memotong sebarang tumbuhan di kawasan Tanah Haram.
  8. Menyentuh atau mencium Hajar Aswad: Menurut mazhab Syafie, menyentuh atau mencium Hajar Aswad dengan tangan atau benda lainnya adalah dilarang semasa ihram.
  9. Mencabut bulu dari mana-mana anggota badan: Dilarang mencabut sebarang bulu seperti janggut, rambut atau dari mana-mana anggota badan semasa berihram.
  10. Memakai Kasut atau Sandal yang Menutup Jari Kaki (Bagi Lelaki): Lelaki dilarang memakai kasut atau sandal yang menutup seluruh jari kaki.
  11. Melakukan tindakan atau perkataan yang boleh menggugurkan ihram: Contohnya adalah memberitahu seseorang bahawa dia tidak akan meneruskan haji atau umrah.

Hukum Tahalul Umrah

Tahalul adalah salah satu rukun dalam ibadah umrah. Jika ia tidak dilakukan, maka ibadah umrah tidak sah.

Perbezaan Tahalul Umrah & Haji

Perbezaan antara tahalul umrah dan haji

Dalam ibadah haji dan umrah, terdapat garisan-garisan yang menjadi perbezaan di antara tahallul haji dan umrah:

Tahalul Umrah

Tahallul bagi ibadah umrah ialah dimana para jemaah melakukan cukur atau bergunting selepas selesainya melaksanakan rukun saie di dalam masjid al-haram itu sendiri. Justeru selepas selesainya bergunting atau bercukur ini, para jemaah bebas daripada larangan yang terdapat sepanjang tempoh berihram.

Tahalul Haji

Talallul bagi ibadah haji pula dibahagikan kepada dua iaitu talallul awwal dan tahallul thani.

Pertama, tahallul awwal boleh dilaksanakan oleh jemaah haji apabila telah melaksanakan dua daripada tiga perkara seperti dibawah.

  1. Melontar jamrah al-kubra
  2. Tawaf rukun dan saie (jika saie masih belum dilaksanakan)
  3. Bercukur atau bergunting

Dalam melaksanakan talallul awwal, jemaah haji diberi pilihan untuk melakukan mana-mana perbuatan di atas secara mengikut turutan ataupun sebaliknya.

Kedua, tahallul thani ialah bila mana jemaah haji berjaya melaksanakan ketiga-tiga perkara yang disebutkan seperti di atas.

Perkara Sunat Semasa Tahalul

Perkara sunat semasa tahalul atau menggunting rambut ini adalah seperti berikut:

  1. Menghadap ke arah kiblat
  2. Digunting atau dicukur rambut dari sebelah kanan kepala terlebih dahulu kemudian diikuti sebelah kiri.
  3. Bagi Lelaki, Lebih Afdal Mencukur Daripada Memotong Rambut. Walaupun keduanya diperbolehkan, mencukur seluruh kepala dianggap lebih afdal bagi lelaki berbanding dengan sekadar memotong rambut.
  4. Jemaah wanita boleh menggunting rambut dari mana-mana bahagian kepala. Disunatkan untuk dilakukan di tempat yang tertutup.
  5. Sunat melakukannya sendiri jika tiada kesulitan.
  6. Membaca doa selepas selesai menggunting. Meskipun tidak ada doa khusus yang disebutkan dalam hadis untuk tahalul, memohon keberkatan dan keampunan dari Allah sambil melakukannya adalah sesuatu yang baik.

Doa Selepas Menggunting Rambut Atau Bercukur

Ketika bergunting, semasa memegang rambut di kepala, bacalah doa seperti berikut:

doa bercukur dan gunting rambut semasa tahalul

Allahu Akbaru Allahu, Akbaru Allah, Akbaru. Allahumma Hadzihi Nasiyati Biyadika Faj’al Li Bikulli Sha’aratin Nuran Yawmal Qiyaamati Wa’ghfir Li Zhanbi Ya Wasi’al Maghfirah Aamiin. Alhamdu Lillahi Alladhi Qada Anni Nusuki Atini Bikulli Sha’aratin Hasanatan Wa’mhu Anni Biha Sayyi’atan Warfa’ Li Biha Darajatan Wa’ghfir Li Walil Muhal-Liqiina Wal Muqassiriina Walajami’il Muslimiin. Allahumma Zidni Iimaanan Wa Yaqiinan Wa Tawfiqan Wa ‘Awna Wa’ghfir Lana Wa Li Ababina Wa Li Ummahatina Wa Li Azwajina Wa Li Awladina, Wa Sollallahu ‘Ala Sayyidina Muhammadin Wa ‘Ala Alihi Wa Sahbihi Wa Sallam Aamiin.

Maksudnya

Ya Allah Yang Maha Agung, Ya Allah Yang Maha Agung, Ya Allah Yang Maha Agung. Ya Allah Ya Tuhan, inilah ubun-ubunku di dalam genggaman-Mu maka jadikanlah tiap-tiap sehelai rambut it cahaya bagiku di Hari Kiamat dan ampunkanlah dosaku, wahai Than Yang Amat Luas Pengampunan, Aamin..

Segala puji-pujian tertentu bagi Allah yang telah menyempurnakan ibadat-ibadatku kurniakanlah satu kebajikan dengan tiap-tiap sehelai rambutku, hapuskanlah dengannya satu kejahatan, angkatkanlah aku dengannya darjat, ampunilah aku serta orang yang bercukur, bergunting dan sekalian orang-orang Islam.

Ya Allah Ya Tuhanku, tambahkanlah keimanan,

keyakinan, berilah taufik dan pertolongan kepadaku dan ampunilah kami serta ibu bapa kami, isteri dan anak-anak kami; selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad SAW, keluarganya dan sahabat-sahabatnya sekalian, Aamin..

Syarat Sah Tahalul Umrah

Syarat Sah Tahalul Umrah

Dalam konteks ibadah umrah, tahalul juga merujuk kepada tindakan memotong atau mencukur rambut kepala sebagai tanda seorang jemaah boleh melepaskan status ihramnya.

Berikut adalah syarat-syarat sah tahalul dalam ibadah umrah:

  1. Niat: Sebelum memotong atau mencukur rambut, seseorang harus berniat bahawa tindakan tersebut adalah sebahagian dari ibadah umrah dan bertujuan untuk keluar dari status ihram.
  2. Mencukur atau Memotong Rambut:
    • Bagi lelaki: Lebih afdal atau utama mencukur seluruh rambut kepala. Jika ada alasan tertentu, memotong rambut sepanjang satu ruas jari (2 cm) sekurang-kurangnya 3 helai juga diperbolehkan. Bagi mereka yang sudah sedia berkepala botak licin, sunat untuk melalukan mata pisau atau pencukur di atas kepala.
    • Bagi wanita: Wanita hanya memotong rambut sekitar satu hujung jari dari keseluruhan rambut mereka, dan tidak diperbolehkan mencukur seluruh kepala.
  3. Dilakukan Setelah Tawaf Umrah dan Saie: Tahalul dilakukan setelah menunaikan tawaf umrah dan saie. Ini adalah tanda penutup dari ibadah umrah.
  4. Dilakukan Di Tanah Haram: Adalah lebih baik bagi tahalul dilakukan di Tanah Haram, terutamanya di Mekah. Walau bagaimanapun, jika seseorang telah keluar dari Tanah Haram dan menyedari bahawa mereka belum melakukan tahalul, mereka masih boleh melakukannya di luar Tanah Haram.
  5. Melakukannya Sendiri: Adalah lebih afdal jika seseorang itu sendiri yang memotong atau mencukur rambutnya. Namun, jika ada kesulitan, orang lain boleh membantu melakukannya.

Setelah selesai tahalul, seseorang boleh mengenakan pakaian biasa, memakai wangian, dan melakukan aktiviti lain yang sebelum ini dilarang semasa dalam ihram.

Soal Jawab Masalah Lazim Berkaitan Tahalul Umrah

Tahalul umrah

Berikut adalah beberapa permasalahan lazim yang sering menjadi pertanyaan jemaah umrah berkaitan dengan ibadah tahalul:

Adakah Boleh Menggunting / Cukur Rambut Orang Lain Terlebih Dahulu Sebelum Rambut Sendiri?

Boleh. Tetapi lebih afdal menggunting atau bercukur rambut sendiri terlebih dahulu.

Apakah Hukum Tahalul Dengan Mencabut Rambut Sahaja? (Tidak menggunakan gunting)

Hukumnya adalah SAH dengan syarat rambut yang dicabut itu tidak kurang daripada tiga helai jumlahnya.

Apakah Hukum Orang Yang Sudah Melakukan Tahalul Tetapi Dia Lupa Bahawa Tawafnya Masih Tidak Cukup 7 Keliling?

Tawaf itu tidak sah dan dia wajib mencukupkan Tawafnya. Kemudian melakukan Saie dan bercukur atau bergunting rambut. Dan wajib ke atasnya membayar Dam Takhyir dan Taqdim kerana dia telah sempurna tawaf dan Saie menggunting rambut.

Seorang Jemaah Membuat Umrah Sebanyak 4 Kali, tetapi pada Umrah yang Pertama, Kedua dan Ketiga Dia Tidak Tahalul dan Dia Tahalul Hanya Selepas Menunaikan Umrah Yang Keempat. Berapakah Umrah Yang Sah dan Adakah Dikenakan Dam?

Umrah yang dikira sah hanya satu umrah sahaja iaitu umrah yang pertama dengan Tahalul umrah yang terakhir. Tiga umrah yang lain tidak dikira kerana dia tidak menyempurnakan Tahalul dan Dam yang dikenakan adalah mengikut kesalahan jika melanggar larangan ihram selepas niat umrah yang pertama hingga sebelum tahalul umrah yang terakhir. Dan jika tidak melanggar apa-apa larangan ihram maka tidaklah dikenakan apa-apa dam.

Apa Hukum Jika Lupa Bertahalul Selepas Saie dan Terus Pulang Ke Hotel kemudian Menanggalkan ihram?

Umrah mereka tidak batal. Namun, mereka tetap melakukan larangan ihram. Maka DAM akan dikenakan. Sekiranya mereka teringat yang mereka lupa bergunting/bercukur dalam keadaan berpakaian biasa; pada saat itu juga mereka harus menanggalkan pakaian dan berihram semula. Seterusnya, terus lakukan tahallul. Mereka akan tetap 𝐝𝐢𝐤𝐞𝐧𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐦 seekor kambing, walaupun seseorang itu terlupa

Penutup

Saya berharap panduan-panduan yang telah saya hasilkan ini telah membantu tuan-puan melaksanakan ibadah haji dengan baik dan sempurna.

Jika tuan dan puan mempunyai sebarang keraguan, anda boleh lontarkan persoalan pada ruangan komen di bawah. InsyaAllah saya akan menjawab pertanyaan tersebut.

Untuk panduan lain yang berkaitan, boleh lihat:

Nota & Rujukan

  1. Nota Kursus Asas Haji 1440H, edisi cetakan kemaskini November 2018, Bahagian Bimbingan Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji
  2. Nota Kursus Ibadah Haji & Umrah serta Ziarah Madinah, Hj. Abdul Rahman Saleh & Hj Kamaluddin Ibrahim, al-Hidayah Publication
  3. Panduan Ziarah Madinah Umrah & Haji, Ustaz Dato’ Haji Md Daud Bin Che Ngah, Pustaka Haji Abdul Majid
  4. Panduan Haji, Umrah dan Ziarah, Ustaz Ibrahim Zakaria.
  5. Panduan Ibadah Umrah & Ziarah, Ustaz Muhamad Dhiauddin, Pustaka Azhar
  6. Panduan Lengkap Haji, Umrah & Ziarah Edisi Kemaskini, Haji Abu Mazaya Al-Hafiz, Al-Hidayah House of Publisher
  7. Panduan Meraih Umrah Yang Mabrurah, Dato’ Dr Hj Zahazan B. Mohamed, Telaga Biru
  8. Soal Jawab Haji, Umrah & Ziarah, Edisi kemaskini 2020, Disemak dan diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-JAKIM) Bil 2/1440H
  9. Bimbingan Umrah & Ziarah, Ust Mohd Faez Bin Mohd Shah Al-Hashim, Pustaka al-Ehsan
  10. Soal Jawab Fiqh Ibadah Jilid 3, Bab Puasa, Haji, Korban & Akikah, Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah Haji Husin, Ikon Syabab Resources.
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

2 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Dang Mawar
Dang Mawar
2 bulan yang lalu

Apakah hukumnya jika lupa bertahallul semasa d tanah suci setelah berada di tanah air baru teringat kita belum bertahallul?