SURAH AS-SAJDAH (Rumi, Audio Dan Terjemahan Melayu)

Surah As-Sajdah lengkap 30 ayat dengan transliterasi Rumi, audio bacaan dan terjemahan Melayu, serta penjelasan ayat dan pengajaran.

Muhamad Naim Abd ManafDikemas kini 13 Oktober 2026
Surah As-Sajdah: Bacaan Rumi dan Terjemahan Melayu — AkuIslam

Ini adalah panduan bacaan Surah As-Sajdah dengan transliterasi Rumi, audio bacaan dan terjemahan Melayu oleh Sheikh Abdullah Basmeih.

Anda juga akan dibimbing memahami kandungannya melalui penjelasan ringkas, riwayat berkaitan, panduan ayat sajdah dan pengajaran yang boleh dihayati.

Semoga panduan ini membantu anda membaca dan memahami Surah As-Sajdah dengan lebih mudah.

Terus ke bacaan

Pengenalan Surah As-Sajdah

As-Sajdah ialah surah ke-32 dalam mushaf al-Quran dan mengandungi 30 ayat. Nama As-Sajdah bermaksud sujud, merujuk kepada gambaran orang beriman yang sujud apabila diingatkan dengan ayat-ayat Allah pada ayat 15.[1]

Surah ini menegaskan kebenaran wahyu, kekuasaan Allah mencipta dan mentadbir alam, serta kepastian kebangkitan semula. Ia mempertemukan dua sikap: hati yang tunduk menerima peringatan dan hati yang berpaling daripadanya.

Maklumat Asas Surah Ini

Perkara Maklumat
Nama As-Sajdah (Sujud)
Susunan mushaf Surah ke-32
Bilangan ayat 30 ayat
Juz Juz 21
Kategori Makkiyyah; terdapat khilaf tentang beberapa ayat
Ayat sajdah Ayat 15
Tema utama Kebenaran wahyu, kekuasaan Allah dan kebangkitan semula

Surah ini umumnya tergolong sebagai Makkiyyah. Ibn Kathir menyatakan klasifikasi ini, manakala al-Qurtubi turut mencatat perbezaan pendapat tentang beberapa ayat.[2]

ARAB · RUMI · TERJEMAHAN

Bacaan Surah As-Sajdah

سُورَةُ السَّجْدَةِ

Tiga puluh ayat, disusun satu demi satu.

Terjemahan Melayu yang digunakan ialah terjemahan Abdullah Muhammad Basmeih. Rumi membantu anda mengikuti bacaan. Pelajari sebutan dan tajwid dengan bimbingan guru.[3]

1

الٓمٓ ١

Alif lām mīm

TERJEMAHAN AYAT

Alif, Laam Miim.

2

تَنزِيلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَا رَيۡبَ فِيهِ مِن رَّبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢

Tanzīlul-kitābi lā raiba fīhi mir rabbil-‘ālamīn

TERJEMAHAN AYAT

Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

3

أَمۡ يَقُولُونَ ٱفۡتَرَىٰهُۚ بَلۡ هُوَ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ لِتُنذِرَ قَوۡمٗا مَّآ أَتَىٰهُم مِّن نَّذِيرٖ مِّن قَبۡلِكَ لَعَلَّهُمۡ يَهۡتَدُونَ ٣

Am yaqūlūnaftarāh, bal huwal-ḥaqqu mir rabbika litunżira qaumam mā atāhum min nażīrim min qablika la‘allahum yahtadūn

TERJEMAHAN AYAT

(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya”. (Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.

4

ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَيۡنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰ عَلَى ٱلۡعَرۡشِۖ مَا لَكُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِيّٖ وَلَا شَفِيعٍۚ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ ٤

Allāhullażī khalaqas-samāwāti wal-arḍa wa mā bainahumā fī sittati ayyāmin ṡummastawā ‘alal-‘arsy, mā lakum min dūnihī miw waliyyiw wa lā syafī‘, afalā tatażakkarūn

TERJEMAHAN AYAT

Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?

5

يُدَبِّرُ ٱلۡأَمۡرَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ ثُمَّ يَعۡرُجُ إِلَيۡهِ فِي يَوۡمٖ كَانَ مِقۡدَارُهُۥٓ أَلۡفَ سَنَةٖ مِّمَّا تَعُدُّونَ ٥

Yudabbirul-amra minas-samā’i ilal-arḍi ṡumma ya‘ruju ilaihi fī yaumin kāna miqdāruhū alfa sanatim mimmā ta‘uddūn

TERJEMAHAN AYAT

Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.

6

ذَٰلِكَ عَٰلِمُ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ ٱلۡعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ ٦

Żālika ‘ālimul-ghaibi wasy-syahādatil-‘azīzur-raḥīm

TERJEMAHAN AYAT

Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani;

7

ٱلَّذِيٓ أَحۡسَنَ كُلَّ شَيۡءٍ خَلَقَهُۥۖ وَبَدَأَ خَلۡقَ ٱلۡإِنسَٰنِ مِن طِينٖ ٧

Allażī aḥsana kulla syai’in khalaqahū wa bada’a khalqal-insāni min ṭīn

TERJEMAHAN AYAT

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;

8

ثُمَّ جَعَلَ نَسۡلَهُۥ مِن سُلَٰلَةٖ مِّن مَّآءٖ مَّهِينٖ ٨

Ṡumma ja‘ala naslahū min sulālatim mim mā’im mahīn

TERJEMAHAN AYAT

Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang;

9

ثُمَّ سَوَّىٰهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِۦۖ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَۚ قَلِيلٗا مَّا تَشۡكُرُونَ ٩

Ṡumma sawwāhu wa nafakha fīhi mir rūḥihī wa ja‘ala lakumus-sam‘a wal-abṣāra wal-af’idah, qalīlam mā tasykurūn

TERJEMAHAN AYAT

Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

10

وَقَالُوٓاْ أَءِذَا ضَلَلۡنَا فِي ٱلۡأَرۡضِ أَءِنَّا لَفِي خَلۡقٖ جَدِيدِۭۚ بَلۡ هُم بِلِقَآءِ رَبِّهِمۡ كَٰفِرُونَ ١٠

Wa qālū a’iżā ḍalalnā fil-arḍi a’innā lafī khalqin jadīd, bal hum biliqā’i rabbihim kāfirūn

TERJEMAHAN AYAT

Dan mereka (yang kafir) itu berkata: “Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu? Betulkah demikian? ” (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.

11

۞ قُلۡ يَتَوَفَّىٰكُم مَّلَكُ ٱلۡمَوۡتِ ٱلَّذِي وُكِّلَ بِكُمۡ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمۡ تُرۡجَعُونَ ١١

Qul yatawaffākum malakul-mautillażī wukkila bikum ṡumma ilā rabbikum turja‘ūn

TERJEMAHAN AYAT

Katakanlah (wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”.

12

وَلَوۡ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلۡمُجۡرِمُونَ نَاكِسُواْ رُءُوسِهِمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ رَبَّنَآ أَبۡصَرۡنَا وَسَمِعۡنَا فَٱرۡجِعۡنَا نَعۡمَلۡ صَٰلِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ ١٢

Wa lau tarā iżil-mujrimūna nākisū ru’ūsihim ‘inda rabbihim, rabbanā abṣarnā wa sami‘nā farji‘nā na‘mal ṣāliḥan innā mūqinūn

TERJEMAHAN AYAT

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

13

وَلَوۡ شِئۡنَا لَأٓتَيۡنَا كُلَّ نَفۡسٍ هُدَىٰهَا وَلَٰكِنۡ حَقَّ ٱلۡقَوۡلُ مِنِّي لَأَمۡلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ ١٣

Wa lau syi’nā la’ātainā kulla nafsin hudāhā wa lākin ḥaqqal-qaulu minnī la’amla’anna jahannama minal-jinnati wan-nāsi ajma‘īn

TERJEMAHAN AYAT

Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)”.

14

فَذُوقُواْ بِمَا نَسِيتُمۡ لِقَآءَ يَوۡمِكُمۡ هَٰذَآ إِنَّا نَسِينَٰكُمۡۖ وَذُوقُواْ عَذَابَ ٱلۡخُلۡدِ بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٤

Fa żūqū bimā nasītum liqā’a yaumikum hāżā, innā nasīnākum wa żūqū ‘ażābal-khuldi bimā kuntum ta‘malūn

TERJEMAHAN AYAT

(Lalu dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.

15

إِنَّمَا يُؤۡمِنُ بِـَٔايَٰتِنَا ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُواْ بِهَا خَرُّواْۤ سُجَّدٗاۤ وَسَبَّحُواْ بِحَمۡدِ رَبِّهِمۡ وَهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ ۩ ١٥

Innamā yu’minu bi āyātinallażīna iżā żukkirū bihā kharrū sujjadaw wa sabbaḥū biḥamdi rabbihim wa hum lā yastakbirūn

TERJEMAHAN AYAT

Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.

Nota Sujud Sajadah

Dalam mazhab Syafi‘e, sujud tilawah hukumnya sunat. Ketika solat berjemaah, makmum mengikut imam; jangan sujud sendiri jika imam tidak sujud.[4]

16

تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمۡ عَنِ ٱلۡمَضَاجِعِ يَدۡعُونَ رَبَّهُمۡ خَوۡفٗا وَطَمَعٗا وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ ١٦

Tatajāfā junūbuhum ‘anil-maḍāji‘i yad‘ūna rabbahum khaufaw wa ṭama‘aw wa mimmā razaqnāhum yunfiqūn

TERJEMAHAN AYAT

Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

17

فَلَا تَعۡلَمُ نَفۡسٞ مَّآ أُخۡفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعۡيُنٖ جَزَآءَۢ بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٧

Fa lā ta‘lamu nafsum mā ukhfiya lahum min qurrati a‘yun, jazā’am bimā kānū ya‘malūn

TERJEMAHAN AYAT

Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.

18

أَفَمَن كَانَ مُؤۡمِنٗا كَمَن كَانَ فَاسِقٗاۚ لَّا يَسۡتَوُۥنَ ١٨

Afa man kāna mu’minan kaman kāna fāsiqā, lā yastawūn

TERJEMAHAN AYAT

(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan).

19

أَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ فَلَهُمۡ جَنَّٰتُ ٱلۡمَأۡوَىٰ نُزُلَۢا بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٩

Ammallażīna āmanū wa ‘amiluṣ-ṣāliḥāti fa lahum jannātul-ma’wā nuzulam bimā kānū ya‘malūn

TERJEMAHAN AYAT

Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.

20

وَأَمَّا ٱلَّذِينَ فَسَقُواْ فَمَأۡوَىٰهُمُ ٱلنَّارُۖ كُلَّمَآ أَرَادُوٓاْ أَن يَخۡرُجُواْ مِنۡهَآ أُعِيدُواْ فِيهَا وَقِيلَ لَهُمۡ ذُوقُواْ عَذَابَ ٱلنَّارِ ٱلَّذِي كُنتُم بِهِۦ تُكَذِّبُونَ ٢٠

Wa ammallażīna fasaqū fa ma’wāhumun-nāru kullamā arādū ay yakhrujū minhā u‘īdū fīhā wa qīla lahum żūqū ‘ażāban-nārillażī kuntum bihī tukażżibūn

TERJEMAHAN AYAT

Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: “Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu”.

21

وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنَ ٱلۡعَذَابِ ٱلۡأَدۡنَىٰ دُونَ ٱلۡعَذَابِ ٱلۡأَكۡبَرِ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٢١

Wa lanużīqannahum minal-‘ażābil-adnā dūnal-‘ażābil-akbari la‘allahum yarji‘ūn

TERJEMAHAN AYAT

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

22

وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِـَٔايَٰتِ رَبِّهِۦ ثُمَّ أَعۡرَضَ عَنۡهَآۚ إِنَّا مِنَ ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُنتَقِمُونَ ٢٢

Wa man aẓlamu mim man żukkira bi āyāti rabbihī ṡumma a‘raḍa ‘anhā, innā minal-mujrimīna muntaqimūn

TERJEMAHAN AYAT

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.

23

وَلَقَدۡ ءَاتَيۡنَا مُوسَى ٱلۡكِتَٰبَ فَلَا تَكُن فِي مِرۡيَةٖ مِّن لِّقَآئِهِۦۖ وَجَعَلۡنَٰهُ هُدٗى لِّبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ ٢٣

Wa laqad ātainā mūsal-kitāba fa lā takun fī miryatim mil liqā’ihī wa ja‘alnāhu hudal libanī isrā’īl

TERJEMAHAN AYAT

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.

24

وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِـَٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤

Wa ja‘alnā minhum a’immatay yahdūna bi’amrinā lammā ṣabarū, wa kānū bi āyātinā yūqinūn

TERJEMAHAN AYAT

Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

25

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفۡصِلُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ ٢٥

Inna rabbaka huwa yafṣilu bainahum yaumal-qiyāmati fīmā kānū fīhi yakhtalifūn

TERJEMAHAN AYAT

(Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

26

أَوَلَمۡ يَهۡدِ لَهُمۡ كَمۡ أَهۡلَكۡنَا مِن قَبۡلِهِم مِّنَ ٱلۡقُرُونِ يَمۡشُونَ فِي مَسَٰكِنِهِمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٍۚ أَفَلَا يَسۡمَعُونَ ٢٦

Awalam yahdi lahum kam ahlaknā min qablihim minal-qurūni yamsyūna fī masākinihim, inna fī żālika la’āyāt, afalā yasma‘ūn

TERJEMAHAN AYAT

Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?

27

أَوَلَمۡ يَرَوۡاْ أَنَّا نَسُوقُ ٱلۡمَآءَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ ٱلۡجُرُزِ فَنُخۡرِجُ بِهِۦ زَرۡعٗا تَأۡكُلُ مِنۡهُ أَنۡعَٰمُهُمۡ وَأَنفُسُهُمۡۚ أَفَلَا يُبۡصِرُونَ ٢٧

Awalam yarau annā nasūqul-mā’a ilal-arḍil juruzi fa nukhriju bihī zar‘an ta’kulu minhu an‘āmuhum wa anfusuhum, afalā yubṣirūn

TERJEMAHAN AYAT

Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?

28

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلۡفَتۡحُ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٢٨

Wa yaqūlūna matā hāżal-fatḥu in kuntum ṣādiqīn

TERJEMAHAN AYAT

Dan mereka bertanya: “Bilakah datangnya hari pembukaan bicara yang dikatakan itu jika betul kamu orang-orang yang benar?”

29

قُلۡ يَوۡمَ ٱلۡفَتۡحِ لَا يَنفَعُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ إِيمَٰنُهُمۡ وَلَا هُمۡ يُنظَرُونَ ٢٩

Qul yaumal-fatḥi lā yanfa‘ullażīna kafarū īmānuhum wa lā hum yunẓarūn

TERJEMAHAN AYAT

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tidak perlu diketahui masa datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa) pada hari pembukaan bicara itu, tidak ada gunanya lagi kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman, dan mereka pula tidak akan diberi tempoh (berbuat demikian)”.

30

فَأَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ وَٱنتَظِرۡ إِنَّهُم مُّنتَظِرُونَ ٣٠

Fa a‘riḍ ‘anhum wantaẓir innahum muntaẓirūn

TERJEMAHAN AYAT

Oleh itu, janganlah engkau hiraukan mereka, dan tunggulah (kesudahan mereka), sesungguhnya mereka pun menunggu (kesudahanmu).

Terjemahan yang dipaparkan bagi setiap ayat di atas bersumberkan terjemahan Bahasa Melayu oleh Sheikh Abdullah Basmeih. Terjemahan ini disertakan untuk membantu pembaca memahami maksud ayat, manakala huraian lanjut dihimpunkan dalam bahagian penjelasan selepas ini.

MEMAHAMI BACAAN

Maksud Dan Penjelasan Ringkas

Penjelasan berikut merumuskan hubungan antara ayat berdasarkan Tafsir Ibn Kathir dan al-Baghawi. Ia membantu memahami aliran surah; terjemahan Basmeih setiap ayat dikekalkan secara berasingan di atas.

Ayat 1–3

Wahyu Yang Membawa Petunjuk

Selepas huruf pembukaan Alif Lam Mim, Allah menegaskan bahawa al-Quran datang daripada Tuhan sekalian alam. Tuduhan bahawa Nabi Muhammad ﷺ mereka-rekanya ditolak. Wahyu disampaikan untuk memberi peringatan dan membuka jalan hidayah kepada kaum yang memerlukannya.

Peringatan tentang kaum yang belum didatangi pemberi amaran difahami dalam konteks tempoh sebelum kerasulan baginda, bukan penafian bahawa para nabi pernah diutus pada zaman terdahulu.[5]

Ayat 4–6

Allah Mencipta Dan Mentadbir

Allah yang menciptakan langit dan bumi juga mentadbir segala urusan. Tiada perlindungan dan syafaat yang bebas daripada kekuasaan-Nya. Pengetahuan-Nya meliputi yang ghaib dan yang nyata.

Ayat ini mengajak manusia kembali bergantung kepada Allah. Keterangan tentang masa dan urusan yang naik kepada-Nya menunjukkan kebesaran tadbir-Nya; ia tidak wajar dijadikan pengiraan sains tanpa asas.[6]

Ayat 7–9

Asal Kejadian Dan Tanggungjawab Bersyukur

Allah mencipta segala sesuatu dengan baik. Penciptaan manusia bermula dengan Adam daripada tanah, kemudian keturunannya berkembang daripada air benih. Allah mengurniakan pendengaran, penglihatan dan hati.

Nikmat ini menuntut syukur. Ilmu yang didengar, perkara yang dilihat dan pertimbangan hati sepatutnya membawa manusia mengenal Penciptanya serta mentaati-Nya.[7]

Ayat 10–11

Kematian Bukan Pengakhiran

Orang yang ingkar mempersoalkan bagaimana jasad yang telah hancur dapat dihidupkan semula. Namun, kekuasaan Allah tidak terhalang oleh perubahan tubuh menjadi tanah. Malaikat maut yang ditugaskan akan mengambil nyawa mereka, kemudian mereka dikembalikan kepada Allah.

Penolakan terhadap kebangkitan berkait dengan keengganan menerima pertemuan dan perhitungan di hadapan Tuhan.[8]

Ayat 12–14

Penyesalan Yang Sudah Terlambat

Di hadapan Tuhan, orang yang berdosa mengakui apa yang dahulu mereka nafikan. Mereka meminta dikembalikan ke dunia untuk beramal soleh, tetapi pengakuan selepas menyaksikan azab tidak mengembalikan peluang yang telah berlalu.

Ungkapan bahawa Allah “melupakan” mereka bermaksud membiarkan mereka menerima azab sebagai balasan pengabaian terhadap hari pertemuan itu. Ia tidak bermaksud Allah kehilangan pengetahuan atau terlupa sebagaimana makhluk.[9]

Ayat 15–17

Iman Yang Melahirkan Sujud Dan Amal

Orang beriman menyambut peringatan dengan merendah diri, sujud dan tasbih. Mereka meninggalkan tempat tidur untuk beribadah, berdoa dengan rasa takut serta harap, dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Allah kurniakan.

Allah menyimpan ganjaran yang tidak diketahui manusia bagi mereka. Janji ini berkait dengan iman dan amal soleh yang disebut dalam ayat, bukan jaminan ganjaran khusus semata-mata kerana membaca nama surah ini.[10]

Ayat 18–22

Dua Jalan, Dua Balasan

Orang beriman yang beramal soleh tidak disamakan dengan mereka yang memilih kefasikan dan mendustakan kebenaran. Syurga menjadi tempat tinggal bagi golongan pertama, manakala ayat-ayat ini memberi amaran keras tentang neraka kepada golongan yang ingkar.

Sebahagian azab yang lebih dekat menjadi peringatan agar manusia kembali bertaubat sebelum azab akhirat. Pengajaran ini mengajak kita bermuhasabah, bukan menetapkan bahawa musibah tertentu yang menimpa seseorang pasti hukuman bagi dosanya.[11]

Ayat 23–25

Petunjuk, Kesabaran Dan Keyakinan

Allah menyebut kitab yang diberikan kepada Nabi Musa dan petunjuk bagi Bani Israil. Dalam kalangan mereka lahir pemimpin yang membimbing dengan perintah Allah kerana kesabaran dan keyakinan terhadap ayat-ayat-Nya.

Kepimpinan dalam kebaikan memerlukan keteguhan beramal dan keyakinan kepada wahyu. Pertikaian manusia akhirnya akan diputuskan oleh Allah pada hari kiamat.[12]

Ayat 26–27

Belajar Daripada Sejarah Dan Alam

Bekas tempat tinggal umat terdahulu mengingatkan manusia bahawa kekuatan dunia tidak dapat menolak ketetapan Allah. Tanah yang kering pula dihidupkan dengan air sehingga menghasilkan tanaman untuk manusia dan haiwan.

Kedua-dua gambaran mengajak kita mendengar, melihat dan mengambil iktibar. Allah yang menghidupkan bumi menunjukkan tanda kekuasaan-Nya kepada mereka yang mahu memerhati.[13]

Ayat 28–30

Jangan Menangguhkan Iman

Golongan yang mendustakan bertanya bilakah keputusan yang dijanjikan akan tiba. Mereka diperingatkan bahawa iman tidak lagi bermanfaat apabila datang saat keputusan dan azab yang menutup peluang itu.

Para mufassir membincangkan maksud “hari pembukaan bicara” dalam ayat ini. Al-Tabari mengutamakan makna keputusan Allah terhadap mereka melalui azab. Penutup surah mengajar Rasulullah ﷺ menghadapi pendustaan dengan teguh sambil menunggu ketetapan Allah.[14]

Latar Belakang Dan Riwayat Berkaitan

Surah As-Sajdah secara umumnya digolongkan sebagai surah Makkiyyah. Syeikh Yasir Ismail Radhi tidak menetapkan satu peristiwa khusus sebagai sebab turunnya keseluruhan surah dalam Al-Bitâqât. Oleh itu, riwayat tentang amalan membaca surah ini perlu dibezakan daripada riwayat sebab penurunan.[1]

Berkaitan ayat 16, Anas bin Malik menerangkan amalan para sahabat bersolat antara Maghrib dan Isyak; al-Hasan pula menyebut qiyamullail. Riwayat ini membantu memahami ibadah yang digambarkan ayat, tanpa mengehadkan maknanya kepada satu waktu sahaja.[15]

RIWAYAT BERKAITAN

Dibaca Dalam Solat Subuh Jumaat

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Insan dalam solat Subuh pada hari Jumaat. Riwayat sahih ini menunjukkan tempat surah tersebut dalam amalan bacaan baginda.

Riwayat al-Bukhari, hadis 891.[16]

RIWAYAT BERKAITAN

Riwayat Bacaan Sebelum Tidur

Terdapat riwayat Jabir bahawa Nabi ﷺ membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Mulk sebelum tidur. Penilaian riwayat ini diperselisihkan: al-Albani mensahihkannya, manakala penilaian Darussalam pada riwayat al-Tirmizi yang dirujuk menandainya daif. Oleh itu, tarafnya tidak dinyatakan sebagai sahih tanpa penjelasan khilaf.

Rujuk al-Tirmizi 2892 dan penilaian al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah, no. 585.[17]

RIWAYAT BERKAITAN

Ganjaran Yang Tidak Terjangkau Oleh Bayangan

Dalam hadis qudsi yang diriwayatkan Abu Hurairah, Allah menyediakan bagi hamba-hamba-Nya yang soleh nikmat yang belum pernah dilihat mata, didengar telinga atau terlintas di hati manusia. Abu Hurairah menghubungkannya dengan ayat 17. Ia ialah khabar gembira untuk orang yang beriman dan beramal soleh.

Riwayat al-Bukhari, hadis 4779.[18]

Hubungan Dengan Surah Sebelumnya

Surah sebelum As-Sajdah dalam susunan mushaf ialah Surah Luqman. Pada penghujung Luqman, ayat 34 menegaskan ilmu Allah tentang perkara ghaib, termasuk kiamat, hujan, kandungan rahim, usaha esok dan tempat kematian.

Syeikh Yasir Ismail Radhi menjelaskan dalam Al-Bitâqât bahawa Surah As-Sajdah mengembangkan perhatian kepada perkara-perkara tersebut. Antaranya, ilmu Allah disebut pada ayat 6, penciptaan manusia pada ayat 7–9, kematian pada ayat 11, hari perhitungan pada ayat 12–14, dan air yang menghidupkan bumi pada ayat 27.[1]

Hubungan ini membantu kita membaca kedua-dua surah sebagai peringatan untuk mengenal keterbatasan diri dan kekuasaan Allah. Ia ialah hubungan tema dalam susunan mushaf, bukan dakwaan urutan masa penurunan kedua-duanya.

Pengajaran Dan Hikmah

Daripada penjelasan ayat-ayat di atas, beberapa pengajaran boleh dibawa ke dalam kehidupan seharian:

  1. Sambut wahyu dengan rendah hati. Apabila ditegur dengan kebenaran, utamakan keinginan untuk belajar dan membaiki diri.
  2. Syukuri pendengaran, penglihatan dan hati. Gunakan nikmat itu untuk mengenal kebaikan serta menjauhi maksiat.
  3. Pelihara ibadah malam mengikut kemampuan. Gabungkan doa dengan rasa takut kepada Allah dan harapan terhadap rahmat-Nya.
  4. Seimbangkan ibadah diri dengan infak. Sifat orang beriman dalam surah ini meliputi hubungan dengan Allah serta penggunaan rezeki untuk kebaikan.
  5. Segerakan taubat dan amal soleh. Peluang beramal terletak pada kehidupan sekarang; jangan menunggu saat penyesalan di akhirat.
  6. Bersabar dalam memimpin kepada kebaikan. Kesabaran dan keyakinan terhadap wahyu ialah sifat penting yang disebut pada ayat 24.

Rumusan pengajaran berdasarkan penjelasan ayat 1–30 di atas.

Soalan Lazim

Berapa ayat dalam Surah As-Sajdah?

Surah As-Sajdah mengandungi 30 ayat dan berada dalam juz 21. Ia ialah surah ke-32 dalam susunan mushaf.[1]

Ayat manakah ayat sajdah?

Ayat sajdah dalam surah ini ialah ayat 15. Dalam mazhab Syafi‘i, sujud tilawah hukumnya sunat. Apabila berjemaah, makmum mengikut imam dalam perkara ini.[4]

Adakah Surah As-Sajdah dibaca pada Subuh Jumaat?

Ya. Hadis sahih meriwayatkan Rasulullah ﷺ membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Insan dalam solat Subuh hari Jumaat.[16]

Bagaimana dengan amalan membacanya sebelum tidur?

Amalan itu disebut dalam riwayat Jabir bersama Surah Al-Mulk. Terdapat perbezaan penilaian hadis: al-Albani mensahihkannya, sementara penilaian Darussalam pada al-Tirmizi 2892 menandainya daif. Perbezaan ini perlu disebut apabila riwayat digunakan.[17]

Adakah Rumi menggantikan pembelajaran bacaan al-Quran?

Rumi membantu mengikuti bacaan, tetapi tidak mewakili semua perincian makhraj dan tajwid. Gunakannya bersama teks Arab dan audio, serta semak sebutan dengan guru al-Quran.

Penutup

Surah As-Sajdah mengajak kita mengenal kebesaran Allah, menerima kebenaran wahyu dan bersedia untuk kembali kepada-Nya. Semoga bacaan ini melahirkan hati yang lebih tunduk, ibadah yang lebih terjaga dan amal yang lebih ikhlas.

Teruskan latihan dengan membaca perlahan, mendengar audio ayat demi ayat dan membetulkan sebutan bersama guru. Anda juga boleh mengikuti panduan Surah Al-Mulk dan panduan Surah Yasin.

Wallahu a‘lam.

Nota Rujukan

  1. Yasir Ismail Radi, Al-Bitâqât: 114 Qur’anic Introductory Card, Dakwah Corner Bookstore, 2023, QIC 32, hlm. 88–89, menjadi rujukan asas bagi penamaan, bilangan ayat, tema, kategori surah dan hubungan dengan Surah Luqman. Hubungan tema tersebut dinisbahkan kepada huraian penulis, bukan urutan kronologi penurunan. ↩︎
  2. Ibn Kathir dalam teks Arab menyatakan Surah As-Sajdah sebagai Makkiyyah. Al-Qurtubi turut mencatat pendapat yang mengecualikan beberapa ayat. Oleh itu, klasifikasi umum Makkiyyah digunakan tanpa mendakwa tiada khilaf. [Pautan Ibn Kathir, pengenalan surah]; [Pautan Al-Qurtubi, pengenalan surah]. ↩︎
  3. Terjemahan Melayu ialah terjemahan Sheikh Abdullah Muhammad Basmeih; ejaan sumber dikekalkan. Rumi ialah transliterasi editorial AkuIslam dan bukan sebahagian daripada karya terjemahan Basmeih. ↩︎
  4. Jabatan Mufti Negeri Selangor menerangkan hukum sunat sujud tilawah dalam mazhab Syafi‘i serta kewajipan makmum mengikut imam. Rujuk [Pautan Taudhih al-Hukmi #93: Bacaan Bagi Menggantikan Sujud Tilawah] untuk syarat dan tatacara lanjut. ↩︎
  5. Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl menghuraikan bahawa al-Quran ialah wahyu daripada Allah yang memberi peringatan kepada manusia. Rujukan: Surah As-Sajdah, ayat 1–3. [Pautan Ibn Kathir, 32:1–3]; [Pautan al-Baghawi, 32:1], [Pautan al-Baghawi, 32:2], [Pautan al-Baghawi, 32:3]. ↩︎
  6. Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl menghuraikan bahawa Allah mencipta dan mentadbir alam serta mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Rujukan: Surah As-Sajdah, ayat 4–6. [Pautan Ibn Kathir, 32:4–6]; [Pautan al-Baghawi, 32:4], [Pautan al-Baghawi, 32:5], [Pautan al-Baghawi, 32:6]. ↩︎
  7. Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl menghuraikan bahawa penciptaan manusia dan kurniaan pendengaran, penglihatan serta hati menuntut kesyukuran. Rujukan: Surah As-Sajdah, ayat 7–9. [Pautan Ibn Kathir, 32:7–9]; [Pautan al-Baghawi, 32:7], [Pautan al-Baghawi, 32:8], [Pautan al-Baghawi, 32:9]. ↩︎
  8. Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl menghuraikan bahawa kematian diikuti kebangkitan dan pertemuan dengan Allah. Rujukan: Surah As-Sajdah, ayat 10–11. [Pautan Ibn Kathir, 32:10–11]; [Pautan al-Baghawi, 32:10], [Pautan al-Baghawi, 32:11]. ↩︎
  9. Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl menghuraikan bahawa penyesalan pada hari akhirat tidak mengembalikan peluang beramal di dunia. Rujukan: Surah As-Sajdah, ayat 12–14. [Pautan Ibn Kathir, 32:12–14]; [Pautan al-Baghawi, 32:12], [Pautan al-Baghawi, 32:13], [Pautan al-Baghawi, 32:14]. ↩︎
  10. Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl menghuraikan bahawa orang beriman tunduk kepada peringatan, beribadah pada malam hari dan menginfakkan rezeki. Rujukan: Surah As-Sajdah, ayat 15–17. [Pautan Ibn Kathir, 32:15–17]; [Pautan al-Baghawi, 32:15], [Pautan al-Baghawi, 32:16], [Pautan al-Baghawi, 32:17]. ↩︎
  11. Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl menghuraikan bahawa balasan bagi iman dan amal soleh berbeza daripada balasan keingkaran. Rujukan: Surah As-Sajdah, ayat 18–22. [Pautan Ibn Kathir, 32:18–22]; [Pautan al-Baghawi, 32:18], [Pautan al-Baghawi, 32:19], [Pautan al-Baghawi, 32:20], [Pautan al-Baghawi, 32:21], [Pautan al-Baghawi, 32:22]. ↩︎
  12. Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl menghuraikan bahawa kesabaran dan keyakinan berkait dengan kepimpinan yang membimbing kepada petunjuk. Rujukan: Surah As-Sajdah, ayat 23–25. [Pautan Ibn Kathir, 32:23–25]; [Pautan al-Baghawi, 32:23], [Pautan al-Baghawi, 32:24], [Pautan al-Baghawi, 32:25]. ↩︎
  13. Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl menghuraikan bahawa peninggalan umat terdahulu dan bumi yang dihidupkan dengan air mengajak manusia mengambil iktibar. Rujukan: Surah As-Sajdah, ayat 26–27. [Pautan Ibn Kathir, 32:26–27]; [Pautan al-Baghawi, 32:26], [Pautan al-Baghawi, 32:27]. ↩︎
  14. Ibn Kathir dalam Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm dan al-Baghawi dalam Ma‘ālim al-Tanzīl menghuraikan bahawa penolakan terhadap peringatan tidak menghalang datangnya keputusan Allah. Rujukan: Surah As-Sajdah, ayat 28–30. [Pautan Ibn Kathir, 32:28–30]; [Pautan al-Baghawi, 32:28], [Pautan al-Baghawi, 32:29], [Pautan al-Baghawi, 32:30]. Bagi maksud al-fath, semakan tambahan dibuat pada [Pautan Jami‘ al-Bayan oleh al-Tabari, 32:28]. ↩︎
  15. Anas bin Malik mengaitkan ayat 16 dengan amalan bersolat antara Maghrib dan Isyak; riwayat turut menyebut penjelasan al-Hasan tentang qiyamullail. Ia digunakan sebagai keterangan tafsir, bukan sebab khusus bagi turunnya keseluruhan surah. [Pautan Sunan Abi Dawud, hadis 1321]; dinilai sahih oleh al-Albani pada sumber tersebut. ↩︎
  16. Daripada Abu Hurairah, Nabi ﷺ membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Insan dalam solat Subuh pada hari Jumaat. [Pautan Sahih al-Bukhari, hadis 891]. ↩︎
  17. Riwayat Jabir tentang bacaan As-Sajdah dan Al-Mulk sebelum tidur terdapat dalam [Pautan Jami‘ al-Tirmizi, hadis 2892]. Sumber itu memaparkan penilaian daif (Darussalam) serta perbincangan sanad. Sebaliknya, [Pautan al-Durar al-Saniyyah] menukilkan penilaian sahih al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah, no. 585, dengan rujukan takhrij al-Tirmizi 3404 dalam penomboran lain. Khilaf penilaian dinyatakan, bukannya digabungkan sebagai satu hukum yang disepakati. ↩︎
  18. Hadis qudsi tentang nikmat yang tidak pernah dilihat, didengar atau terlintas di hati diriwayatkan daripada Abu Hurairah, yang kemudian merujuk ayat 17. [Pautan Sahih al-Bukhari, hadis 4779]. Ganjaran ini dikaitkan dengan hamba yang soleh, bukan direka sebagai fadilat khusus membaca surah. ↩︎
KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim Abd Manaf

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

18 Komen

  1. Ust, boleh masukkan Surah Al-Ikhsan…..suka dgr imam baca waktu solat subuh hari Jumaat….🙏🙏🙏

    Balas
    • Terima kasih Tuan Fadhli atas cadangan.

      Mungkin yang tuan maksudkan ialah Surah al-Insan, yang dibaca bersama Surah as-Sajdah dalam solat Subuh hari Jumaat. 😊

      Kami ambil maklum cadangan tuan untuk menyediakan panduan surah tersebut. Semoga Allah memudahkan kita membaca dan menghayati al-Quran.

      Balas
  2. Waalaikumussalam wbt Tuan Badrul Hisham.

    Terima kasih atas kata-kata yang sangat baik. Alhamdulillah jika usaha kecil ini menjadi sebab tuan lebih dekat dengan Al-Quran. Semuanya dengan izin Allah SWT.

    Semoga Allah SWT menerima amal tuan, melapangkan dada, memudahkan istiqamah, dan mengurniakan kebaikan yang luas kepada tuan serta keluarga di dunia dan akhirat. Amin.

    Wallahu a‘lam.

    Balas
  3. Tuan Nazli, terima kasih atas maklum balas yang baik.

    Alhamdulillah jika perkongsian di AkuIslam membantu puan belajar dan menghafal surah-surah dengan lebih mudah.

    Semoga Allah SWT memudahkan urusan puan, menetapkan hati dalam beramal, dan mengurniakan keberkatan daripada Al-Quran. Amin.

    Wallahu a‘lam.

    Balas
  4. Alhamdulillah 🤲 disini la saya dapat belajar dan menghafal bermacam-macam surah.. terima kasih buat admin

    Balas
  5. Alhamdulillah 🤲 disini la saya dapat belajar dan menghafal bermacam-macam surah.. terima kasih buat admin

    Balas
    • Tuan Nazli, terima kasih atas maklum balas yang baik.

      Alhamdulillah jika perkongsian di AkuIslam membantu puan belajar dan menghafal surah-surah dengan lebih mudah.

      Semoga Allah SWT memudahkan urusan puan, menetapkan hati dalam beramal, dan mengurniakan keberkatan daripada Al-Quran. Amin.

      Wallahu a‘lam.

      Balas
  6. Assalammualaikum wbt tuan yang saya hormati dan hargai, Alhamdulillah saya mengucapkannya kerana adanya surah2 dlm akuislam.com ini membuatkan saya lebih kerap membaca Al Quran dan mengamalkannya sebaik mungkin.
    TERIMA KASIH tuan kerana menyediakan pletform ibadah ini. Hanya Allah swt sahaja yg dapat membalas jasa2 tuan…Insya Allah

    Balas
    • Waalaikumussalam wbt Tuan Badrul Hisham.

      Terima kasih atas kata-kata yang sangat baik. Alhamdulillah jika usaha kecil ini menjadi sebab tuan lebih dekat dengan Al-Quran. Semuanya dengan izin Allah SWT.

      Semoga Allah SWT menerima amal tuan, melapangkan dada, memudahkan istiqamah, dan mengurniakan kebaikan yang luas kepada tuan serta keluarga di dunia dan akhirat. Amin.

      Wallahu a‘lam.

      Balas
  7. Terima kasih tuan kerana memudahkan semua org untuk membaca semoga Allah swt limpahkan rezeki yg luas dunia dan akhirat kepada tuan Insya-Allah amin.

    Balas
    • Terima kasih atas doa baik tuan. Saya berharap dapat terus membantu dan menyediakan maklumat yang bermanfaat untuk semua. Semoga Allah SWT juga melimpahkan keberkatan, rahmat, dan rezeki yang luas kepada Tuan dan keluarga, dunia dan akhirat. Amin. Wallahu a’lam.

      Balas
  8. Terima kasih atas perkongsian Surah dan terjemahan serta audio. Semoga perolehi pahala dan berjaya dunia dan akhirat

    Balas
  9. Assalammualaikum tuan. Mohon tuan sediakan audio untuk semua surah2 yg tuan sediakan Dalam ni. Besar sangat pertolongan tuan klu dapat sediakan audio untuk setiap surah yg telah Di sediakan.

    Balas
    • Wassalam.

      Ya tuan, surah ini memang sudah saya lakukan suntingan untuk dimasukkan audio. InsyaAllah esok atau lusa akan terpapar audio surah ini.

      Balas
  10. terima kasih tuan sudi berkongsi ilmu.. skiranya tuan ada kelapangan blh x tuan buat utk surah ad dukhan.. dlm website tuan sja sy suka bca sbb mudah dn senang utk sy belajar. trima kasih byk ya tuan

    Balas
    • InsyaAllah saya cuba usahakan. Dan terima kasih juga atas maklumbalas yang diberikan. 😊

      Balas

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.