SURAH AL-HASYR (Rumi, Audio & Terjemahan Melayu)

Surah Al-Hasyr: Bacaan Rumi dan Terjemahan Melayu — AkuIslam

Ini adalah panduan bacaan Surah Al-Hasyr yang dilengkapi dengan transliterasi Rumi, audio bacaan dan terjemahan setiap ayat.

Anda juga akan dibimbing memahami kandungannya melalui penjelasan ringkas, latar belakang, riwayat berkaitan dan pengajaran yang boleh dihayati.

Semoga panduan ini membantu anda membaca dan memahami Surah Al-Hasyr dengan lebih mudah.

Terus ke bacaan

Pengenalan Surah Al-Hasyr

Surah Al-Hasyr ialah surah ke-59 dalam susunan mushaf al-Quran. Surah ini mengajak kita mengambil iktibar daripada peristiwa pengusiran Bani an-Nadir, menilai sikap terhadap harta dan saudara seiman, serta menyediakan bekalan untuk akhirat. Surah ini bermula dan berakhir dengan tasbih yang menegaskan kekuasaan serta kebijaksanaan Allah.[1]

Maklumat Asas Surah Ini

Perkara Maklumat
Bilangan Ayat 24 ayat
Maksud Nama Pengumpulan atau perhimpunan
Sebab Penamaan Peristiwa pengusiran Bani an-Nadir dalam ayat 2
Nama Lain Bani an-Nadir
Kategori Madaniyyah
Tema Utama Mengambil iktibar, memelihara iman dan mempersiapkan diri untuk akhirat

Nama Al-Hasyr berkaitan dengan perhimpunan ketika pengusiran Bani an-Nadir. Riwayat dan hubungannya dengan surah lain dihuraikan selepas bahagian bacaan.

ARAB · RUMI · AUDIO · TERJEMAHAN

Bacaan Surah Al-Hasyr

سُورَةُ الْحَشْرِ

Dua puluh empat ayat, disusun satu demi satu.

Rumi membantu anda mengikuti bacaan. Pelajari sebutan dan tajwid dengan bimbingan guru.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm

Basmalah pembukaan; tidak dinomborkan sebagai ayat Al-Hasyr.

1

سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ١

Sabbaḥa lillāhi mā fis-samāwāti wa mā fil-arḍ, wa huwal-‘azīzul-ḥakīm

TERJEMAHAN AYAT

Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

2

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَخۡرَجَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ مِن دِيَٰرِهِمۡ لِأَوَّلِ ٱلۡحَشۡرِۚ مَا ظَنَنتُمۡ أَن يَخۡرُجُواْۖ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُم مَّانِعَتُهُمۡ حُصُونُهُم مِّنَ ٱللَّهِ فَأَتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِنۡ حَيۡثُ لَمۡ يَحۡتَسِبُواْۖ وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعۡبَۚ يُخۡرِبُونَ بُيُوتَهُم بِأَيۡدِيهِمۡ وَأَيۡدِي ٱلۡمُؤۡمِنِينَ فَٱعۡتَبِرُواْ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَبۡصَٰرِ ٢

Huwallażī akhrajallażīna kafarū min ahlil-kitābi min diyārihim li’awwalil-ḥasyr, mā ẓanantum ay yakhrujū wa ẓannū annahum māni‘atuhum ḥuṣūnuhum minallāhi fa atāhumullāhu min ḥaiṡu lam yaḥtasibū wa qażafa fī qulūbihimur-ru‘ba yukhribūna buyūtahum bi’aidīhim wa aidil-mu’minīna fa‘tabirū yā ulil-abṣār

TERJEMAHAN AYAT

Dia lah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab – dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.

3

وَلَوۡلَآ أَن كَتَبَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡجَلَآءَ لَعَذَّبَهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَاۖ وَلَهُمۡ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ عَذَابُ ٱلنَّارِ ٣

Wa lau lā an kataballāhu ‘alaihimul-jalā’a la‘ażżabahum fid-dun-yā, wa lahum fil-ākhirati ‘ażābun-nār

TERJEMAHAN AYAT

Dan kalaulah tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap mereka, tentulah Ia akan menyeksa mereka di dunia; dan mereka pula akan beroleh azab seksa neraka pada hari akhirat kelak.

4

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ شَآقُّواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥۖ وَمَن يُشَآقِّ ٱللَّهَ فَإِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٤

Żālika bi’annahum syāqqullāha wa rasūlahū wa may yusyāqqillāha fa innallāha syadīdul-‘iqāb

TERJEMAHAN AYAT

(Mereka ditimpakan azab) yang demikian, kerana mereka mereka menentang (perintah) Allah dan RasulNya. Dan (ingatlah), sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya.

5

مَا قَطَعۡتُم مِّن لِّينَةٍ أَوۡ تَرَكۡتُمُوهَا قَآئِمَةً عَلَىٰٓ أُصُولِهَا فَبِإِذۡنِ ٱللَّهِ وَلِيُخۡزِيَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٥

Mā qaṭa‘tum mil līnatin au taraktumūhā qā’imatan ‘alā uṣūlihā fa bi’iżnillāhi wa liyukhziyal-fāsiqīn

TERJEMAHAN AYAT

Mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah (kerana Ia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin), dan kerana Ia hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang yang fasik.

6

وَمَآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡهُمۡ فَمَآ أَوۡجَفۡتُمۡ عَلَيۡهِ مِنۡ خَيۡلٖ وَلَا رِكَابٖ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يُسَلِّطُ رُسُلَهُۥ عَلَىٰ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ٦

Wa mā afā’allāhu ‘alā rasūlihī minhum fa mā aujaftum ‘alaihi min khailiw wa lā rikābiw wa lākinnallāha yusalliṭu rusulahū ‘alā may yasyā’, wallāhu ‘alā kulli syai’in qadīr

TERJEMAHAN AYAT

Dan apajua yang Allah kurniakan kepada RasulNya dari peninggalan harta benda mereka (yang telah diusir itu, maka kamu tidak berhak mendapatnya), kerana kamu tidak memecut seekor kuda pun dan tidak menunggang seekor unta pun (untuk berperang mengalahkan mereka); tetapi Allah memberikan kekuasaan kepada Rasul-rasulNya mengalahkan sesiapa yang dikehendakiNya (dengan tidak payah berperang); dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

7

مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧

Mā afā’allāhu ‘alā rasūlihī min ahlil-qurā fa lillāhi wa lir-rasūli wa liżil-qurbā wal-yatāmā wal-masākīni wabnis-sabīli kailā yakūna dūlatam bainal-agniyā’i minkum, wa mā ātākumur-rasūlu fa khużūhu wa mā nahākum ‘anhu fantahū, wattaqullāh, innallāha syadīdul-‘iqāb

TERJEMAHAN AYAT

Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

8

لِلۡفُقَرَآءِ ٱلۡمُهَٰجِرِينَ ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِمۡ وَأَمۡوَٰلِهِمۡ يَبۡتَغُونَ فَضۡلٗا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٰنٗا وَيَنصُرُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلصَّٰدِقُونَ ٨

Lil-fuqarā’il-muhājirīnallażīna ukhrijū min diyārihim wa amwālihim yabtagūna faḍlam minallāhi wa riḍwānaw wa yanṣurūnallāha wa rasūlah, ulā’ika humuṣ-ṣādiqūn

TERJEMAHAN AYAT

(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).

9

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡهِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمۡ حَاجَةٗ مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِهِمۡ خَصَاصَةٞۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٩

Wallażīna tabawwa’ud-dāra wal-īmāna min qablihim yuḥibbūna man hājara ilaihim wa lā yajidūna fī ṣudūrihim ḥājatam mimmā ūtū wa yu’ṡirūna ‘alā anfusihim wa lau kāna bihim khaṣāṣah, wa may yūqa syuḥḥa nafsihī fa ulā’ika humul-mufliḥūn

TERJEMAHAN AYAT

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

10

وَٱلَّذِينَ جَآءُو مِنۢ بَعۡدِهِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٞ رَّحِيمٌ ١٠

Wallażīna jā’ū mim ba‘dihim yaqūlūna rabbanagfir lanā wa li’ikhwāninallażīna sabaqūnā bil-īmāni wa lā taj‘al fī qulūbinā gillal lillażīna āmanū rabbanā innaka ra’ūfur raḥīm

TERJEMAHAN AYAT

Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.

11

۞ أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ نَافَقُواْ يَقُولُونَ لِإِخۡوَٰنِهِمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَئِنۡ أُخۡرِجۡتُمۡ لَنَخۡرُجَنَّ مَعَكُمۡ وَلَا نُطِيعُ فِيكُمۡ أَحَدًا أَبَدٗا وَإِن قُوتِلۡتُمۡ لَنَنصُرَنَّكُمۡ وَٱللَّهُ يَشۡهَدُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ ١١

Alam tara ilallażīna nāfaqū yaqūlūna li’ikhwānihimullażīna kafarū min ahlil-kitābi la’in ukhrijtum lanakhrujanna ma‘akum wa lā nuṭī‘u fīkum aḥadan abadaw wa in qūtiltum lananṣurannakum, wallāhu yasyhadu innahum lakāżibūn

TERJEMAHAN AYAT

Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: “Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!” Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta.

12

لَئِنۡ أُخۡرِجُواْ لَا يَخۡرُجُونَ مَعَهُمۡ وَلَئِن قُوتِلُواْ لَا يَنصُرُونَهُمۡ وَلَئِن نَّصَرُوهُمۡ لَيُوَلُّنَّ ٱلۡأَدۡبَٰرَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ ١٢

La’in ukhrijū lā yakhrujūna ma‘ahum, wa la’in qūtilū lā yanṣurūnahum, wa la’in naṣarūhum layuwallunnal-adbāra ṡumma lā yunṣarūn

TERJEMAHAN AYAT

Demi sesungguhnya! Jika orang-orang (Yahudi) itu dihalau keluar (dari Madinah), mereka (yang munafik) ini tidak akan keluar bersama-samanya; dan demi sesungguhnya, jika orang-orang (Yahudi) itu diperangi, mereka (yang munafik) ini tidak akan membelanya; dan demi sesungguhnya, jika ditakdirkan mereka membelanya sekalipun, sudah tentu mereka (semuanya – Yahudi dan munafik) akan melarikan diri; kemudian mereka tidak akan mendapat pertolongan, –

13

لَأَنتُمۡ أَشَدُّ رَهۡبَةٗ فِي صُدُورِهِم مِّنَ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَفۡقَهُونَ ١٣

La’antum asyaddu rahbatan fī ṣudūrihim minallāh, żālika bi’annahum qaumul lā yafqahūn

TERJEMAHAN AYAT

(Kerana) sesungguhnya kamu – dalam hati mereka, – sangat ditakuti lebih dari Allah; yang demikian itu, kerana mereka ialah kaum yang tidak mengerti (akan kekuasaan Allah dan kebesaranNya).

14

لَا يُقَٰتِلُونَكُمۡ جَمِيعًا إِلَّا فِي قُرٗى مُّحَصَّنَةٍ أَوۡ مِن وَرَآءِ جُدُرِۭۚ بَأۡسُهُم بَيۡنَهُمۡ شَدِيدٞۚ تَحۡسَبُهُمۡ جَمِيعٗا وَقُلُوبُهُمۡ شَتَّىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَوۡمٞ لَّا يَعۡقِلُونَ ١٤

Lā yuqātilūnakum jamī‘an illā fī quram muḥaṣṣanatin au miw warā’i judur, ba’suhum bainahum syadīd, taḥsabuhum jamī‘aw wa qulūbuhum syattā, żālika bi’annahum qaumul lā ya‘qilūn

TERJEMAHAN AYAT

(Orang-orang Yahudi dan orang-orang munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya): permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka).

15

كَمَثَلِ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ قَرِيبٗاۖ ذَاقُواْ وَبَالَ أَمۡرِهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ١٥

Kamaṡalillażīna min qablihim qarīban żāqū wabāla amrihim, wa lahum ‘ażābun alīm

TERJEMAHAN AYAT

(Keadaan kaum Yahudi itu) samalah seperti orang-orang (dari suku Yahudi) yang terdahulu sedikit dari mereka, yang telah merasai akibat yang buruk (di dunia) dengan sebab bawaan kufur mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (pada hari akhirat kelak).

16

كَمَثَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ إِذۡ قَالَ لِلۡإِنسَٰنِ ٱكۡفُرۡ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيٓءٞ مِّنكَ إِنِّيٓ أَخَافُ ٱللَّهَ رَبَّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦

Kamaṡalisy-syaiṭāni iż qāla lil-insānikfur, fa lammā kafara qāla innī barī’um minka innī akhāfullāha rabbal-‘ālamīn

TERJEMAHAN AYAT

(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: “Berlaku kufurlah engkau!” Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: “Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam!”

17

فَكَانَ عَٰقِبَتَهُمَآ أَنَّهُمَا فِي ٱلنَّارِ خَٰلِدَيۡنِ فِيهَاۚ وَذَٰلِكَ جَزَٰٓؤُاْ ٱلظَّٰلِمِينَ ١٧

Fa kāna ‘āqibatahumā annahumā fin-nāri khālidaini fīhā, wa żālika jazā’uẓ-ẓālimīn

TERJEMAHAN AYAT

Maka kesudahan keduanya, bahawa mereka ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di dalamnya. Dan yang demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim.

18

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٞ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٖۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ١٨

Yā ayyuhallażīna āmanuttaqullāha waltanẓur nafsum mā qaddamat ligad, wattaqullāh, innallāha khabīrum bimā ta‘malūn

TERJEMAHAN AYAT

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.

19

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ نَسُواْ ٱللَّهَ فَأَنسَىٰهُمۡ أَنفُسَهُمۡۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ١٩

Wa lā takūnū kallażīna nasullāha fa ansāhum anfusahum, ulā’ika humul-fāsiqūn

TERJEMAHAN AYAT

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka.

20

لَا يَسۡتَوِيٓ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِ وَأَصۡحَٰبُ ٱلۡجَنَّةِۚ أَصۡحَٰبُ ٱلۡجَنَّةِ هُمُ ٱلۡفَآئِزُونَ ٢٠

Lā yastawī aṣḥābun-nāri wa aṣḥābul-jannah, aṣḥābul-jannati humul-fā’izūn

TERJEMAHAN AYAT

Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).

21

لَوۡ أَنزَلۡنَا هَٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ عَلَىٰ جَبَلٖ لَّرَأَيۡتَهُۥ خَٰشِعٗا مُّتَصَدِّعٗا مِّنۡ خَشۡيَةِ ٱللَّهِۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَمۡثَٰلُ نَضۡرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ٢١

Lau anzalnā hāżal-qur’āna ‘alā jabalil lara’aitahū khāsyi‘am mutaṣaddi‘am min khasy-yatillāh, wa tilkal-amṡālu naḍribuhā lin-nāsi la‘allahum yatafakkarūn

TERJEMAHAN AYAT

Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

22

هُوَ ٱللَّهُ ٱلَّذِي لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۖ عَٰلِمُ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِۖ هُوَ ٱلرَّحۡمَٰنُ ٱلرَّحِيمُ ٢٢

Huwallāhullażī lā ilāha illā huw, ‘ālimul-gaibi wasy-syahādah, huwar-raḥmānur-raḥīm

TERJEMAHAN AYAT

Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

23

هُوَ ٱللَّهُ ٱلَّذِي لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡمَلِكُ ٱلۡقُدُّوسُ ٱلسَّلَٰمُ ٱلۡمُؤۡمِنُ ٱلۡمُهَيۡمِنُ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡجَبَّارُ ٱلۡمُتَكَبِّرُۚ سُبۡحَٰنَ ٱللَّهِ عَمَّا يُشۡرِكُونَ ٢٣

Huwallāhullażī lā ilāha illā huw, al-malikul-quddūsus-salāmul-mu’minul-muhaiminul-‘azīzul-jabbārul-mutakabbir, subḥānallāhi ‘ammā yusyrikūn

TERJEMAHAN AYAT

Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.

24

هُوَ ٱللَّهُ ٱلۡخَٰلِقُ ٱلۡبَارِئُ ٱلۡمُصَوِّرُۖ لَهُ ٱلۡأَسۡمَآءُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٢٤

Huwallāhul-khāliqul-bāri’ul-muṣawwiru lahul-asmā’ul-ḥusnā, yusabbiḥu lahū mā fis-samāwāti wal-arḍ, wa huwal-‘azīzul-ḥakīm

TERJEMAHAN AYAT

Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.

Terjemahan yang dipaparkan bagi setiap ayat di atas bersumberkan terjemahan Bahasa Melayu oleh Sheikh Abdullah Basmeih. Terjemahan ini disertakan untuk membantu pembaca memahami maksud ayat, manakala huraian lanjut dihimpunkan dalam bahagian penjelasan selepas ini.

Maksud Dan Penjelasan Ringkas

Huraian berikut merangkum penjelasan Ibn Kathir dan al-Baghawi mengikut kelompok ayat. Ia membantu memahami aliran surah dan dibezakan daripada teks terjemahan di atas.

AYAT 1–5

Kekuasaan Allah Dan Iktibar Daripada Sejarah

Surah ini dimulakan dengan tasbih seluruh alam kepada Allah. Selepas itu, peristiwa pengusiran Bani an-Nadir memperlihatkan bahawa benteng dan kekuatan yang dibanggakan tidak dapat menolak ketetapan-Nya. Mereka menyangka pertahanan mereka kukuh, namun rasa takut menguasai hati mereka. Ayat 4 menerangkan bahawa penentangan terhadap Allah dan Rasul-Nya menjadi sebab hukuman itu. Ayat 5 pula menjelaskan kedudukan penebangan atau pembiaran pohon kurma dalam peristiwa tersebut.[2]

Pengajaran: Kisah ini mengajak kita mengambil pengajaran dengan hati yang sedar, bukan berasa aman hanya kerana memiliki harta atau kedudukan.

AYAT 6–7

Harta Fai Dan Ketaatan Kepada Rasul

Ayat ini menerangkan harta fai, iaitu harta yang diperoleh daripada pihak musuh tanpa pertempuran yang melibatkan pengerahan kuda dan unta. Allah menetapkan saluran pembahagiannya, termasuk kepada golongan yang memerlukan, supaya harta tidak hanya beredar dalam kalangan orang kaya. Dalam konteks ini juga, orang beriman diperintahkan menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ dan meninggalkan larangannya. Para mufassir menjelaskan bahawa tuntutan taat kepada Baginda merangkumi perintah dan larangan secara umum.[3]

Pengajaran: Harta ialah amanah. Kepentingan golongan lemah dan kepatuhan kepada petunjuk Rasul perlu didahulukan daripada keinginan menguasai manfaat untuk diri sendiri.

AYAT 8–10

Persaudaraan Yang Melampaui Kepentingan Diri

Golongan Muhajirin dipuji kerana meninggalkan kampung halaman dan harta demi mencari keredaan Allah serta menolong agama-Nya. Golongan Ansar pula menerima mereka dengan kasih sayang, tanpa iri hati terhadap pemberian yang diterima saudara mereka. Mereka mengutamakan orang lain walaupun diri sendiri memerlukan. Ayat 10 mengajar generasi kemudian agar memohon keampunan untuk diri dan saudara yang mendahului mereka dalam iman, serta memohon hati yang bersih daripada kebencian.[4]

Pengajaran: Persaudaraan iman dipelihara melalui bantuan, doa dan usaha melawan sifat bakhil serta dengki.

AYAT 11–17

Janji Palsu Dan Akibat Mengikuti Kebatilan

Allah membongkar janji golongan munafik yang kononnya mahu membantu saudara mereka daripada Ahli Kitab. Ketika bantuan itu benar-benar diperlukan, janji mereka tidak ditunaikan. Mereka kelihatan bersatu, tetapi hati mereka berpecah. Perumpamaan syaitan yang mengajak manusia kufur lalu berlepas diri memperlihatkan akibat mempercayai ajakan yang menyesatkan. Kedua-dua pihak tetap berdepan balasan atas kezaliman mereka.[5]

Pengajaran: Jangan menilai kebenaran daripada janji yang meyakinkan atau bilangan penyokong. Nilailah arah ajakan itu dan tanggungjawab yang akan ditanggung di hadapan Allah.

AYAT 18–20

Muhasabah Dan Bekalan Untuk Akhirat

Orang beriman diperintahkan bertakwa dan melihat apa yang telah disediakan untuk hari esok, iaitu kehidupan akhirat. Perintah ini mengajak setiap diri menilai amalnya sebelum berdepan perhitungan. Seterusnya, Allah melarang kita menjadi seperti mereka yang melupakan-Nya sehingga diabaikan kepentingan diri mereka yang sebenar. Penghuni neraka dan penghuni syurga tidak sama; kejayaan yang hakiki ialah kejayaan penghuni syurga.[6]

Pengajaran: Muhasabah bukan sekadar mengenang kesilapan. Ia perlu membawa kepada taubat, pembaikan amal dan persediaan yang berterusan.

AYAT 21–24

Keagungan Al-Quran Dan Nama-Nama Allah

Perumpamaan gunung yang tunduk dan pecah kerana takut kepada Allah mengajak manusia memikirkan keagungan al-Quran. Hati sewajarnya menerima peringatannya dengan rasa takut dan rendah diri. Tiga ayat terakhir memperkenalkan Allah melalui nama dan sifat-Nya yang mulia: Dia mengetahui yang ghaib dan yang nyata, memiliki kerajaan, suci daripada kekurangan, berkuasa dan mencipta segala sesuatu. Seluruh alam bertasbih kepada-Nya.[7]

Pengajaran: Mengenal nama-nama Allah sepatutnya menyuburkan pengagungan, pergantungan kepada-Nya dan kesungguhan menghayati wahyu.

Latar Belakang Dan Riwayat Berkaitan

Surah ini tergolong sebagai Madaniyyah. Ibn ‘Abbas menerangkan bahawa ia diturunkan berkenaan Bani an-Nadir. Peristiwa ini menjadi latar penting bagi ayat-ayat awal, namun tidak bererti setiap ayat hanya mempunyai satu riwayat sebab penurunan.[8]

Pohon Kurma Dalam Peristiwa Bani An-Nadir

Ibn ‘Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ menebang dan membakar pohon kurma Bani an-Nadir di al-Buwairah, lalu turun ayat 5. Riwayat ini menerangkan konteks ayat tersebut; ia tidak wajar dipisahkan daripada peristiwa dan petunjuk wahyu yang mengiringinya.[9]

RIWAYAT SAHIH

Mengutamakan Tetamu Walaupun Dalam Kekurangan

Abu Hurairah meriwayatkan kisah seorang lelaki Ansar dan isterinya yang menjamu tetamu Rasulullah ﷺ. Mereka mendahulukan tetamu itu walaupun makanan mereka sendiri terbatas. Riwayat ini dikaitkan dengan ayat 9 yang memuji sikap mengutamakan orang lain dalam keadaan memerlukan.

Sumber: Sahih al-Bukhari, hadis 4889.[10]

Kelebihan Dan Status Riwayat

Surah Al-Hasyr mengandungi peringatan tentang akhirat dan nama-nama Allah yang mulia. Bagi dakwaan ganjaran khusus membacanya, status riwayat perlu dinyatakan dengan jelas.

STATUS RIWAYAT

Riwayat Tiga Ayat Terakhir

Riwayat daripada Ma‘qil bin Yasar menyebut bacaan tertentu pada waktu pagi atau petang, tiga ayat terakhir Al-Hasyr dan ganjaran 70,000 malaikat. Riwayat ini dinilai daif dalam penilaian Darussalam yang dipaparkan bersama Jami‘ al-Tirmidhi. Oleh itu, ganjaran tersebut tidak dinyatakan di sini sebagai janji yang sahih dan pasti.

Sumber: Jami‘ al-Tirmidhi, hadis 2922; penilaian Darussalam: daif.[11]

Riwayat Surah-Surah Yang Bermula Dengan Tasbih

Syeikh Yasir Ismail Radhi menyebut dalam Al-Bitâqât riwayat anjuran membaca tiga surah yang bermula dengan tasbih dan menilainya sahih. Namun, riwayat berkaitan dalam Sunan Abi Dawud, hadis 1399, dinilai daif oleh al-Albani pada sumber yang disemak. Perbezaan penilaian ini perlu dikekalkan; riwayat tersebut tidak digunakan di sini untuk menetapkan ganjaran khusus bagi Al-Hasyr.[12]

Hubungan Dengan Surah Sebelumnya

Pada penghujung Surah Al-Mujadilah, ayat 22 menyentuh sikap terhadap mereka yang menentang Allah dan Rasul-Nya. Pada awal Al-Hasyr, ayat 4 pula menerangkan akibat penentangan itu dalam peristiwa Bani an-Nadir. Hubungan ini memperlihatkan kesinambungan peringatan tentang iman dan ketaatan.

Dalam Al-Hasyr sendiri, tasbih pada ayat 1 bertemu semula dengan tasbih pada ayat 24. Peristiwa sejarah, panduan bermasyarakat dan seruan bermuhasabah semuanya berada di bawah kekuasaan serta kebijaksanaan Allah.[13]

Pengajaran Dan Hikmah

Selepas memahami aliran surah, kita boleh membawa beberapa pengajaran ini ke dalam kehidupan. Perkara berikut ialah rumusan penghayatan berdasarkan ayat dan tafsir yang dihuraikan, bukan senarai ganjaran khusus bacaan.

  • Ambil iktibar daripada sejarah dan elakkan rasa kebal kerana harta atau kedudukan (ayat 1–5).
  • Urus amanah harta dengan mengambil kira golongan yang memerlukan dan petunjuk Rasul (ayat 6–7).
  • Suburkan persaudaraan melalui bantuan, doa dan hati yang bebas daripada dengki (ayat 8–10).
  • Berhati-hati dengan janji yang mengajak kepada kebatilan (ayat 11–17).
  • Nilai amal hari ini sebagai persediaan untuk akhirat (ayat 18–20).
  • Baca al-Quran dengan hati yang tunduk dan hayati nama-nama Allah (ayat 21–24).

Soalan Lazim

Berapa Ayat Surah Al-Hasyr?

Surah Al-Hasyr mempunyai 24 ayat dan tergolong sebagai Madaniyyah. Basmalah pembukaan dipaparkan berasingan daripada nombor ayat surah.

Apakah Maksud Nama Al-Hasyr?

Al-Hasyr membawa makna pengumpulan atau perhimpunan. Dalam konteks surah ini, nama tersebut berkaitan peristiwa pengusiran Bani an-Nadir yang disebut pada ayat 2.

Apakah Kandungan Tiga Ayat Terakhir Al-Hasyr?

Ayat 22–24 menyebut keesaan Allah, ilmu-Nya, nama-nama-Nya yang mulia serta tasbih seluruh alam kepada-Nya.

Adakah Riwayat 70,000 Malaikat Itu Sahih?

Riwayat Jami‘ al-Tirmidhi 2922 dinilai daif menurut penilaian Darussalam pada sumber yang disemak. Panduan ini tidak menyampaikan ganjaran tersebut sebagai janji yang sahih. Lihat penjelasan dan rujukan dalam bahagian Kelebihan Dan Status Riwayat.

Penutup

Surah Al-Hasyr membimbing kita mengambil iktibar, menjaga persaudaraan dan menilai bekalan untuk akhirat. Semoga bacaan ini melembutkan hati untuk menerima peringatan al-Quran serta menambah pengagungan kepada Allah.

Wallahu a‘lam.

Nota Rujukan

  1. Syeikh Yasir Ismail Radhi menerangkan bilangan ayat, penamaan, klasifikasi dan objektif Surah Al-Hasyr dalam Al-Bitâqât, QIC 59, hlm. 142–143. Maklumat asas disintesis daripada kad tersebut; status riwayat kelebihan dibincangkan secara berasingan. ↩︎
  2. Ibn Kathir dan al-Baghawi menghuraikan ayat 1–5 yang menjadi asas penjelasan “Kekuasaan Allah Dan Iktibar Daripada Sejarah”. Huraian dan pengajaran dalam panduan ini ialah ringkasan editorial, bukan petikan terjemahan Basmeih. Tafsir Ibn Kathir; al-Baghawi 59:1, al-Baghawi 59:2, al-Baghawi 59:3, al-Baghawi 59:4, al-Baghawi 59:5. ↩︎
  3. Ibn Kathir dan al-Baghawi menghuraikan ayat 6–7 yang menjadi asas penjelasan “Harta Fai Dan Ketaatan Kepada Rasul”. Huraian dan pengajaran dalam panduan ini ialah ringkasan editorial, bukan petikan terjemahan Basmeih. Tafsir Ibn Kathir; al-Baghawi 59:6, al-Baghawi 59:7. ↩︎
  4. Ibn Kathir dan al-Baghawi menghuraikan ayat 8–10 yang menjadi asas penjelasan “Persaudaraan Yang Melampaui Kepentingan Diri”. Huraian dan pengajaran dalam panduan ini ialah ringkasan editorial, bukan petikan terjemahan Basmeih. Tafsir Ibn Kathir; al-Baghawi 59:8, al-Baghawi 59:9, al-Baghawi 59:10. ↩︎
  5. Ibn Kathir dan al-Baghawi menghuraikan ayat 11–17 yang menjadi asas penjelasan “Janji Palsu Dan Akibat Mengikuti Kebatilan”. Huraian dan pengajaran dalam panduan ini ialah ringkasan editorial, bukan petikan terjemahan Basmeih. Tafsir Ibn Kathir; al-Baghawi 59:11, al-Baghawi 59:12, al-Baghawi 59:13, al-Baghawi 59:14, al-Baghawi 59:15, al-Baghawi 59:16, al-Baghawi 59:17. ↩︎
  6. Ibn Kathir dan al-Baghawi menghuraikan ayat 18–20 yang menjadi asas penjelasan “Muhasabah Dan Bekalan Untuk Akhirat”. Huraian dan pengajaran dalam panduan ini ialah ringkasan editorial, bukan petikan terjemahan Basmeih. Tafsir Ibn Kathir; al-Baghawi 59:18, al-Baghawi 59:19, al-Baghawi 59:20. ↩︎
  7. Ibn Kathir dan al-Baghawi menghuraikan ayat 21–24 yang menjadi asas penjelasan “Keagungan Al-Quran Dan Nama-Nama Allah”. Huraian dan pengajaran dalam panduan ini ialah ringkasan editorial, bukan petikan terjemahan Basmeih. Tafsir Ibn Kathir; al-Baghawi 59:21, al-Baghawi 59:22, al-Baghawi 59:23, al-Baghawi 59:24. ↩︎
  8. Ibn ‘Abbas menyatakan bahawa Surah Al-Hasyr diturunkan berkenaan Bani an-Nadir. Riwayat sahih ini menyokong latar umum surah. Sahih al-Bukhari 4882. ↩︎
  9. Ibn ‘Umar meriwayatkan penebangan dan pembakaran pohon kurma di al-Buwairah serta kaitannya dengan ayat 5. Sahih al-Bukhari 4884. ↩︎
  10. Abu Hurairah meriwayatkan kisah keluarga Ansar yang mengutamakan tetamu dan kaitannya dengan ayat 9. Sahih al-Bukhari 4889. ↩︎
  11. Riwayat Ma‘qil bin Yasar mengenai tiga ayat terakhir dan 70,000 malaikat terdapat dalam Jami‘ al-Tirmidhi 2922. Al-Tirmidhi menyifatkannya sebagai gharib; penilaian Darussalam pada sumber digital menyatakannya daif. Istilah gharib dan daif tidak disamakan secara automatik. ↩︎
  12. Syeikh Yasir Ismail Radhi menilai riwayat anjuran tiga surah yang bermula dengan tasbih sebagai sahih dalam Al-Bitâqât, hlm. 143. Riwayat ‘Abdullah bin ‘Amr dalam Sunan Abi Dawud 1399 pula diberi penilaian daif oleh al-Albani pada sumber yang disemak. Perbezaan penilaian ini dinyatakan bagi mengelakkan gambaran seolah-olah tiada khilaf. ↩︎
  13. Hubungan Al-Mujadilah 22 dengan Al-Hasyr 4, serta hubungan tasbih pada ayat 1 dan 24, diringkaskan daripada Al-Bitâqât, QIC 59, hlm. 143. ↩︎
Photo of author

Muhamad Naim

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

3 komentar pada “SURAH AL-HASYR (Rumi, Audio & Terjemahan Melayu)”

  1. Assalamualaikum, sudi kiranya Tuan masukkan audio jika ada kelapangan ..terima kasih banyak banyak Tuan.

    Balas

Tinggalkan Komen Anda..