Maksud Munafik & Ciri-Ciri Orang Munafik

munafik

Apakah maksud munafik?

Panduan ini akan menerangkan secara lengkap makna dan maksud munafik secara lengkap.

Disamping itu, turut dinyatakan sifat dan ciri-ciri orang munafik berserta nas al-Quran

Makna Munafik

Apakah maksud atau makna munafik?

Definisi munafik dari segi bahasa dan syarak adalah:

Dari Segi Bahasa

Orang yang menyembunyikan perkara atau maksud sebenar.

Dari Segi Syarak

Seseorang yang tidak menzahirkan kekufuran dengan cara menyembunyikan di dalam hati dan pada masa yang sama menzahirkan keimanan secara berpura-pura

Munafik atau Munāfiq adalah perkataan yang berasal daripada bahasa Arab iaitu: منافق (jamak munāfiqūn)

Ia adalah kata nama dan terminologi dalam Islam yang merujuk kepada orang yang berpura-pura mengikuti ajaran agama namun sebenarnya tidak mengakuinya dalam hatinya.

Kebiasaan orang munafik ini bersifat talam dua muka dengan berpura-pura mengikut segala ajaran Islam dan mengaku mereka ialah seorang Islam, tetapi di dalam hatinya tidak dapat menerima ajaran yang suci ini.

Ciri-Ciri Orang Munafik

Terdapat beberapa tanda-tanda atau ciri-ciri orang munafik.

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda,

Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ditambah dalam riwayat Muslim : Walaupun dia berpuasa, bersembahyang dan mendakwa diri Muslim.

Antara ciri-ciri orang munafik adalah:

1. Iman Tidak Tetap dan Tidak Teguh

Orang yang sebegini dapatlah diibaratkan seperti lalang dimana ia terlalu mudah mengikut arah tiupan angin.

Orang yang tidak teguh imannya sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan.

Mereka sangat mudah terikut-ikut dan terpengaruh dengan persekitaran.


2. Tindak-Tanduk Yang Sentiasa Berubah

Orang munafik bolehlah diibaratkan sebagai pelakon yang hebat.

Ketika dia bersama orang yang sedang beribadat, dia akan turut sama melakukan ibadat tersebut walaupun hatinya terlalu susah untuk menerimanya.

Sebaliknya yang terjadi apabila dia tidak dilihat oleh khalayak, dia akan mengikut kata hatinya dengan tidak melakukan amal ibadat.


3. Tidak Tetap Pendirian

Dia sentiasa mengubah pendiriannya.

Sewaktu bersama dengan orang mukmin lainnya, dia akan memuji-muji Islam dan menyatakan ketaatannya terhadap ajaran tersebut.

Tetapi dibelakang orang Mukmin, secara senyap dia akan menghina Islam.

Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W bersabda

Kamu akan mendapati manusia yang paling jahat iaitu yang memiliki dua wajah (munafik), yang datang pada segolongan dengan satu wajah, dan datang pada golongan lain dengan satu wajah.”

Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Hibban dan Ahmad

4. Sentiasa Mengharap Kebaikannya Dibalas

Jika dia melakukan sesuatu kebaikan dan berbuat jasa, dia akan mengharapkan kebaikan itu dibalas dengan balasan setimpal seperti wang ringgit atau pangkat.


5. Jiwanya Tidak Tenteram

Dia akan sentiasa gelisah dan resah kerana terpaksa bersikap pura-pura di hadapan orang ramai dan tidak dapat melaksanakan kehendak hatinya.


6. Menjadikan Dunia Sebagai Matlamat Hidup

Mereka hanya menjadikan dunia sebagai tujuan utama dan terlalu cintakan kebendaan.

Akhirat bagi orang munafik hanyalah satu mitos dan khayalan.

Ayat-Ayat Al-Quran Yang Berkaitan Dengan Sifat Munafik

Berikut adalah beberapa ayat yang menceritakan mengenai orang munafik:

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.”

— Surah An-Nisa’ 4:61

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”

— Surah An-Nisa’ 4:142

Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka (dari kekufuran). Katakanlah (wahai Muhammad): “Ejek-ejeklah (seberapa yang kamu suka), sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut (terdedah untuk pengetahuan ramai)”

— Surah At-Tawbah 9:64

Dan di antara mereka (yang hadir di majlismu wahai Muhammad, ialah orang-orang munafik) yang mendengar ajaranmu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisimu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabatmu yang setia): “Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi?” Mereka (yang munafik) itu ialah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah atas hati mereka, dan ialah orang-orang yang menurut hawa nafsunya.”

— Surah Muhammad 47:16

Kesimpulan

Allah SWT berfirman:

Sesungguhnya orang yang munafik itu akan ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah sekali dalam neraka

(Surah an-Nisa’ ayat 145)

Bayangkanlah betapa hinanya jika tergolong dalam golongan munafik kerana segalanya penuh dengan kepura-puraan.

Tambahan pula, balasan di Akhirat amat besar.

Semoga tulisan ini memberi pencerahan kepada anda!

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments