Husnuzon: Membentuk Jiwa Bersangka Baik Kepada Tuhan

Husnuzon bersangka baik kepada Allah

Husnuzon atau bersangka baik dengan Allah merupakan perkara besar dan penting bagi setiap insan yang bergelar mukmin.

Sangkaan dengan Tuhan berkait dengan kepercayaan.

Manakala percaya itu berkaitan dengan tauhid dan iman.

Maka dengan itu siapa yang bersangka buruk dengan Tuhan, maka dia tidak beriman dengan sempurna kepada Tuhan..

.. kerana percaya dan iman itu tidak mungkin terpisah dalam menerjemahkan makna seorang mukmin yang baik.

Wasangka kita kepada Tuhan wujud dari jiwa yang halus dalam diri kita sendiri dan diterjemahkan melalui peribadi.

Allah swt tahu akan hakikat ini dan Dia akan bersama sangkaan kita kepadaNya.

Dalam hadis qursi, dari Abu Hurairah ra, ia berkata bahwa Nabi SAW bersabda, Allah SWT berfirman,

Aku sesuai dengan persangkaan hambaku kepada-Ku

Apabila kita bersangka baik kepadaNya dalam hal doa sebagai contoh.

Bilamana kita meminta “ya Allah ampunkan daku” dan disertai dengan sangkaan bahawa permintaan kita itu akan dimakbulkan.

Pecayalah ia akan dimakbulkan.

Tapi bilamana didalam lubuk hati kita timbul satu perasaan yang menyatakan “ia hanya doa semata-mata tetapi aku dapat rasakan Allah tidak makbulkan pemintaan aku”.

Hendaklah engkau tahu, permintaan engkau itu tidak dimakbulkan sama sekali kerana sangkaan buruk terhadap Allah swt.

Sebab itu amat penting bagi seorang mukmin untuk mengetahui hakikat ini.

 

Yakin Dan Tawakal Kepada Allah

Wasangka baik dengan Allah mempunyai kaitan dengan yakin dan tawakal.

Imam Nawawi dalam kitabnya Riyadus Solihin membuat satu bab iaitu yakin dan tawakal dan menjadi persoalan kita mengapa Iman Nawawi sengaja meletakkan hal yakin dan tawakal dalam satu bab?

Ini kerana kedua-duanya itu tidak dapat dipisahkan.

Allah swt menjelaskan menerusi surah Ali Imran ayat 173 hingga 174, firmanNya:

Mereka yang diberitahu oleh orang kepada mereka, ‘Kaum (kafir musyrik) mengumpulkan tentera bagi memerangi kamu, oleh itu takutlah kepada mereka.’

Maka berita itu menambahkan iman mereka lalu berkata, ‘Cukuplah Allah (penolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus.’

Maka mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia daripada Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah.

Dan Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.”

Lihat bagaimana baiknya wasangka mereka kepada Allah disertai yakinnya mereka akan pertolongan Allah.

Masalah kita sebagai insan selalu beranggapan bilamana kita di timpa masalah atau musibah maka perkara yang terbayang adalah meminta tolong pada makhluk lain.

Sedangkan jika kita lihat dalam hidup kita ini bilamana kita bergantung harap pada makhluk seringkali kita dikecewakan.

Tetapi tidak bilamana kita yakin denganNya serta meletakkan sepenuh tawakal selepas kita berusaha.

Sesungguhnya Allah swt berfirman:

… serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”

(Al-Anfaal ayat 61)

 

Dan bukankah kita mengetahui Allah swt itu sangat dekat dengan kita untuk kita bergantung harap sebagaimana firmanNya:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) dekat (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.

Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

(Al-Baqarah Ayat 186)

Oleh itu hendaklah kita yakin serta tawakal dengan sepernuhnya kepada Allah, maka dengan itu akan lahirnya satu keputusan yang barangkali pada logik akal kita tiada jalan keluar.

Tetapi Allah permudahkan kerana wasangka baik kita kepadaNya.

 

Wasangka Nabi Ibrahim Kepada Allah

Pada zaman Nabi Ibrahim terdapat raja yang bernama Namrud bin Kan’aan yang memerintah Empayar Babylon.

Beliau memerintahkan rakyatnya membuat baraan api yang dikatakan tiada burung yang mampu untuk melintasi api tersebut kerana tersangatlah besar dan api itulah yang akan membakar Nabi Ibrahim.

Ketikamana Nabi Ibrahim diletakkan di atas manjanik untuk dilemparkan, datanglah malaikat Jibril bertanya kepadanya:

Apakah engkau memerlukan sesuatu (pertolongan) dariku?”

Nabi Ibrahim menjawab:

Aku tidak memerlukan pertolonganmu. Aku hanya perlukan pertolongan Allah”

Lalu Baginda mengungkapkan satu ungkapan yang mana menunjukkan bertapa baiknya wasangkanya dan bertapa yakinnya Nabi Ibrahim yang Allah akan membantu Baginda.

Ketika mana Baginda dilemparkan ke dalam api, Nabi Ibrahim megungkapkan ucapan:

Hasbunallah wa ni’mal wakil (Cukuplah Allah bagi kami, dan ia adalah sebaik-baik tempat menyerah diri)”

(hadis Riwayat Bukhari)

Lalu Allah swt menyelamatkan kekasihnya dengan berkata:

Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!”

(Al-Anbiya ayat 69)

Dan benarlah apa yang diperkatakan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah At-Talaaq ayat ke-3:

…Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”

Lihat bagaimana wasangka baik Nabi Ibrahim kepada Allah sehinggakan Baginda pada saat yang sangat genting menolak pertolongan Malaikat Jibril sedangkan Baginda pada ketika itu sangat memerlukan bantuan.

Besarnya kebergantungan Nabi Ibrahim kepada Allah swt.

Sesungguhnya jauh sangat wasangka baik kita kepada Allah dibandingkan dengan kekasihnya Nabi Ibrahim lebih teruk lagi ada dikalangan kita terbabas dalam hal ini.

 

Mekkah, Bumi Yang Lahir Dari Jiwa Bersangka Baik Kepada Allah

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menceritakan dari sahabat nabi Ibnnu Abbas ra tentang kisah pergorbanan Nabi Ibrahim yang meninggalkan anak dan isterinya di tanah Mekah.

Tanah yang ketika itu tiada apa-apa yang boleh diharapkan untuk meneruskan kehidupan.

Nabi Ibrahim meninggalkan isterinya yang tiada kekuatan iaitu Hajar dan seorang bayi kecil yang hanya tahu menangis iaitu Ismail di tempat kering kontang bahkan tiada harapan.

Ketika isterinya melihat Nabi Ibrahim pulang, maka Hajar segera mengejarnya dan memegang bajunya sambil berkata,

Wahai Ibrahim, kamu hendak pergi kemana?”

Apakah Engkau (sanggup) meninggalkan kami di lembah yang tidak ada seorang manusia dan tidak ada sesuatu apa pun ini?”

Hajar terus saja mengulang-ulang pertanyaannya berkali-kali hingga akhirnya Nabi Ibrahim tidak menoleh lagi kepadanya.

Akhirnya Hajar bertanya, “Apakah Allah yang memerintahkan kamu atas semua ini?”

Ibrahim menjawab,“Ya.”

Hajar berkata, “Kalau begitu, Allah tidak akan mengsia-siakan kami.”

Dengan husnuzon yang tinggi kepada Allah, Hajar kembali dan Nabi Ibrahim meneruskan perjalanannya sehingga di satu bukit dan apabila Nabi Ibrahim tidak dapat melihat isteri dan anaknya.

Lalu Baginda mengangkat kedua tangannya sambil berdoa:

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya.

Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadat).

Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”

(Surah Ibrahim Ayat 37)

Selepas bekalan airnya habis, Hajar mencari air antara Bukit Safar dan Marwah sehinggakan menjadi syariat ibadat saie yang kita lakukan hari ini.

Pada akhirnya terpancut air zamzam di celahan telapak kaki Ismail yang bukan terwujud kerana mukjizat Ismail sahaja tetapi ia juga lahir dari sifat yakin dengan pertolongan Allah.

Dan itulah husnuzon yang mutlak kepada Tuhan pencipta alam.

Lihat bumi yang tiada apa-apa nilai tetapi kerana wasangka baik kepada Allah dengan sebenar-benarnya menjadikan bumi Mekah hari ini tempat yang paling bernilai dimuka bumi.

Benarlah kata ulamak yang mana Mekah itu merupakan tanah yang lahir dari jiwa husnuzon yang agong.

 

Husnuzon Dalam Kehidupan Mukmin

Wasangka baik bukan samata-mata dari kaca mata kepada Allah sahaja tetapi kepada manusia juga.

Hari ini manusia terdedah dengan pelbagai maklumat yang mana kita tidak tahu kesahihan cerita tersebut.

Wasangka baik kepada manusia juga perlu bagi mewujudkan satu masyarakat yang harmoni.

Kata guru kami ada perlunya kita melihat seseorang dari sisi Nabi Khidir yang mana pada khidmat kita berbuatan itu mungkin salah tetapi kerana kemuliaan yang terdapat pada sieseorang tersebut dapat mewujudkan prasangka yang baik kepada apa yang dia lakukan.

Kita sebagai insan sendiri melalui pelbagai perkara yang kadang-kadang menjadi salah sangka dalam masyarakat walhal niat kita baik sama juga dengan mereka.

Jika kita perhalusi kehidupan ini, dalam banyak keadaan ada benda yang kita nampak mungkin rugi atas takdir yang menimpa kita tetapi pada akhirnya kita melihat apa yang kita sangka musibah itu adalah rahmat yang sangat bernilai.

Sebab itu sentiasalah wasangka baik dengan Allah kerana Rasulullah saw bersabda:

Sesungguhnya berprasangka baik pada Allah adalah termasuk sebaik-baiknya ibadah”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Jadilah kita mukmin yang setiap langkah dalam kehidupan ini mempunyai jiwa yang sentiasa bergantung harap dengan Allah dan setiap hirupan nafas kehidupan di isi dengan keyakinan yang teguh akan ketentuan Tuhan.

Maka dengan layaknya kita bergelar mukmin sepertimana mana ukilan terakhir Buya Hamka dalam karyanya Falsafah Hidup:

…hendaklah kita percaya penuh dengan IMAM, dan baik sangka kepada TUHAN. Itulah FALSAFAH HIDUP.”

Biodata Penulis

Muhamad Syafiq Bin Salim berasal dari Johor Bahru dan sedang melanjutkan pelajaran dalam Sarjana (Master) Kejuruteraan dalam Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai.

FB: Syafiq Alfatih dan FB: Tukang Jahit Johor.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

8 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Shamsiah
Shamsiah
6 tahun yang lalu

Syukran jazilan atas peringatan . Segala bentuk ujian dlm kehidupan kita rupa rupanya tanda Allah kasih dan mahu kita berbaik sangka pd Allah agar kita mudah untuk mendapat cintanya lebih dari mengharap cinta dan penghargaan manusia.

Zaharah Husain
Zaharah Husain
6 tahun yang lalu

Alhamdulillah.. Terima kasih.., perkongsian yg sangat bermakna bagi meneruskan perjalanan hidup …sebelum dipanggil untuk pulang

Atika
Atika
6 tahun yang lalu

Kuatkanlah hambaMu ini Ya Allah

Atika
Atika
Reply to  Muhamad Naim
6 tahun yang lalu

Macamna nk kuatkn hati dan redha dia dgn prmpuan lain setelah tllu bnyk yg kita korbankn utk dia. Tdk mahu memikirkn dia tp fkiran dan hati stiap msa mmikirkan ketidakprikemanusiaan dia trhdp diri sy. Admin bntulah sy. Hati sy tdk kuat tp sy nk move on. Ya Allah

ameera
ameera
Reply to  Atika
6 tahun yang lalu

atika..situasi kita sama..sy pun mcm tu juga..cuba u try sibukkn diri..insyaAllah blh move on.