Air Mutlak, Mustakmal, Musyammas & Mutanajis (Pembahagian Air Dalam Islam)

air mutlak mustakmal mutanajis

Apakah maksud air mutlak?

Dan apakah jenis-jenis air mutlak?

Panduan ini akan menjelaskan beberapa jenis pembahagian air dalam Islam, termasuklah air mustakmal, air musyammas dan air mutanajis secara lengkap serta mudah di fahami.

Pengenalan

Air adalah anugerah Allah kepada manusia.

Dalam syariah Islam yang sangat mementingkan kebersihan, air memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan seharian dan ibadat.

Air ialah alat atau medium pembersihan dan penyucian utama dalam Islam.

Ia tidak hanya bertindak sebagai pembersih kotoran luaran seperti najis dan bangkai, tetapi juga sebagai ejen penyucian daripada hadas kecil dan besar.

Kebanyakkan ibadah khusus dalam Islam meletakkan bersuci sebagai syarat sah ibadah tersebut.

Maka dengan air tercapailah kesempurnaan bersuci baik melalui wuduk dan mandi wajib.

Pembahagian Air

Ulama fiqh membahagikan air kepada empat jenis berdasarkan kemampuannya menghilangkan hadas.

1. Air Mutlak

Air yang bersih sifatnya dan boleh digunakan untuk kegunaan biasa, membersihkan yang lain dan sah digunakan untuk mengangkat hadas.

2. Air Mustakmal

Air yang telah digunakan. Air yang bersih untuk kegunaan biasa tetapi tidak boleh digunakan untuk mengangkat hadas.

3. Air Mutanajis

Air yang bercampur dengan najis. Air ini tidak bersih dan memudaratkan untuk kegunaan biasa dan tidak sah digunakan untuk mengangkat hadas atau bersuci.

4. Air Musyammas

Air di dalam bekas besi yang terdedah kepada cahaya matahari. Air ini bersih dan boleh digunakan untuk kegunaan biasa dan mengangkat hadas, tetapi makruh menggunakannya.

Air Mutlak

Air mutlak adalah bermaksud air yang suci lagi menyucikan.

Air yang boleh diminum dan boleh pula dibuat bersuci sama ada beristinjak, berwuduk, mandi hadas, membasuh najis ataupun sebagainya.

Air yang dimaksudkan ialah air mutlak iaitu air yang benar-benar tulen yang tidak bercampur dengan benda-benda lain sama ada yang bersih seperti minyak wangi, kopi, susu atau lainnya ataupun bercampur dengan benda-benda najis.

Apabila air tulen yang melebihi daripada dua qullah (216 liter) dimasuki oleh sesuatu benda lain yang tidak mengubah sifat air, maka air itu masih lagi dianggap sebagai mutlak.

Tetapi sekiranya berubah sama ada bau, rasa atau warna, maka air itu tidak boleh lagi digunakan untuk bersuci.

Sebagai contoh, memasukkan kopi ke dalam air mutlak maka air itu tidak lagi boleh digunakan untuk bersuci, tetapi hanya boleh diminum sahaja.

Sekiranya air tersebut kurang daripada dua kolah dan dimasukkan pula sesuatu (sama ada berubah atau tidak), maka air tersebut tidak lagi boleh dibuat bersuci.

Sebagai contoh, apabila nama air itu telah berubah menjadi air teh, air tersebut tidak boleh dibuat bersuci.

 Jenis air mutlak adalah:

  • Air sungai
  • Air laut
  • Air hujan
  • Air perigi
  • Air embun
  • Air mata air
  • Air beku atau salji

Syarat-Syarat Air Mutlak

Air mutlak adalah kekal suci apabila memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Masih kekal dalam keadaan yang asal. Iaitu tidak berubah salah satu daripada tiga sifat-sifatnya; bau, rasa dan warna.
  • Berubah dengan sesuatu yang tidak menghilangkan kesuciannya seperti tanah yang suci, atau garam, atau rumpai air.
  • Belum pernah digunakan untuk mengangkat hadas kecil atau besar, jika air tersebut kurang daripada dua qullah

Air Mutlak Yang Berubah Tetapi Suci

Air mutlak yang berubah sedikit disebabkan sesuatu yang suci (bukan najis) tidak memberi kesan kepada kesucian air tersebut, walaupun perubahan itu telah lama berlaku atau perubahan yang terlalu ketara.

Begitu juga air sukatan dua kolah yang tidak berubah rasa, bau dan warna, tetap dikira sebagai suci lagi menyucikan.

Benda Yang Sukar Dihindari Daripada Bercampur Dengan Air

  1. Tanah.
  2. Kiambang atau tumbuh-tumbuhan air.
  3. Daun pokok yang tumbuh berhampiran sumber air.
  4. Sulfur dalam tanah.
  5. Kapur tohor (kalsium oksida).
  6. Air garam.
  7. Asfalt (asphalt).

Air Mutlak Yang Sifatnya Berbeza Dengan Air Mutlak Biasa

Air yang berada pada tempatnya dan mempunyai sifat-sifat semula jadi, walaupun sifat-sifatnya itu berbeza daripada air mutlak biasa.

Berbeza Rasa
  • Air laut mempunyai rasa masin yang semula jadi dan bukan kerana ditambah garam.
  • Air kolam di kawasan yang mempunyai garam bukit hingga menyebabkan airnya berasa masin.
Berbeza Warna
  • Air kolam atau air sungai yang berwarna merah, hitam atau coklat disebabkan oleh warna tanah tempat sumber air ini berada. Contohnya air di kawasan tanah gambut berwarna kuning atau perang.
  • Tasik atau kolam yang berwarna kehijauan kerana banyaknya daun daun, kiambang dan rumpai air yang ada di dalamnya.
Berbeza Bau
  • Air yang bercampur dengan daun dan ranting daripada pokok yang tumbuh di sekitar sumber air. Airnya berbau busuk kesan daripada daun daun dan ranting ranting yang mereput di dalam air.
  • Air kolam yang berada di kawasan yang tanahnya mengandungi kandungan sulfur atau belerang menyebabkan airnya berbau busuk.

Bahan Yang Mengubah Air, Tetapi Tidak Bercampur Dengannya

  1. Jenis-jenis minyak.
  2. Tar.
  3. Lilin.
  4. Kapur barus – sebatian berhablur yang keras, bergetah dan mengeluarkan bau harum menusuk yang diperoleh terutamanya daripada batang atau kulit kayu pokok kapur barus dan wujud dalam bentuk hablur berwarna putih, larut sedikit di dalam air dan larut di dalam alkohol, kloroform, eter dan karbon disulfida.
  5. Ambar — sejenis damar atau getah yang diperoleh daripada batang pokok. 
  6. Ranting kering atau basah.

Bahan-Bahan Yang Mempunyai Ciri Yang Sama Seperti Air Mutlak — Suci Dan Menyucikan

  1. Tanah, sama ada dimasukkan dengan sengaja atau tidak, kerana ia juga menyucikan seperti air. Tetapi sekiranya air yang dimasukkan atau dimasuki tanah tidak boleh dialirkan di atas anggota tubuh, tidak harus menggunakannya.
  2. Garam dalam air laut.
  3. Bahan-bahan galian, kerana ia telah bercampur dengan air dan tidak mungkin dipisahkan.

Hukum Menggunakan Air Yang Bercampur Dengan Bahan Yang Suci

Tiada khilaf di kalangan ulama dalam mengharuskan wuduk dengan air yang bercampur dengan sesuatu yang suci dan tidak mengubahnya.

Seperti jika terjatuh di dalam air itu kacang kuda, bunga mawar, safron, dan sebagainya, jika ia hanya sedikit sehingga ti dak menyebabkan perubahan bau, rasa dan warna, harus berwuduk dengannya.

Ini kerana Rasulullah SAW pernah mandi bersama isterinya dengan air daripada sebuah kolah yang terdapat di dalamnya tepung yang telah diuli.

Dalil Kesucian Air Yang Bercampur Dengan Bahan Yang Suci

Diriwayatkan daripada Ummu Hani r.ha. katanya:

Rasulullah SAW dan Maimunah pernah mandi daripada satu bekas air yang mem punyai kesan tepung yang diuli.”

(Riwayat Ibn Majah dalam Sunan Ibn Majah, kitab Taharah dan Sunat-sunatnya: Bab Lelaki dan Perempuan Mandi di dalam Bekas Air yang Sama)

Diriwayatkan daripada Abu Fakhitah r.a. hamba Ummu Hani r.ha. katanya, Ummu Hani pernah berkata:

Saya menemui Rasulullah SAW pada hari Pembukaan Makkah ketika waktu duha. Baginda meminta air, lalu saya menuangkan air ke dalam sebuah bekas dan saya melihat kesan tepung yang diuli di dalamnya. Baginda meminta kain dan menutup pandangan saya dengannya. Kemudian Baginda mandi dan bersolat sunat Duha lapan rakaat.”

(Riwayat al-Baihaqi dalam kitab al-Sunan al Kubra)

Air Mutlak Yang Makruh Digunakan

Air sedikit yang diminum oleh haiwan seperti kucing peliharaan, ayam, burung, tikus dan lain-lain.

Air bekas minuman haiwan ini menjadi najis kerana haiwan-haiwan ini biasanya memakan benda-benda yang najis seperti tahi dan bangkai dan kesan najis ini masuk ke dalam air.

Bagaimanapun, dengan sebab istihsan (اِسْتِحْسَان), air ini masih boleh digunakan untuk berwuduk atau mandi wajib.

Ini bertujuan untuk meringankan manusia, kerana haiwan-haiwan ini biasanya hidup di sekeliling manusia.

Dalil Harus Menggunakan Air Dijilat Haiwan Untuk Bersuci

Rasulullah SAW telah menetapkan bahawa air bekas minuman kucing adalah bersih. Sabda Baginda:

Sungguhnya kucing tidak najis kerana haiwan ini dari haiwan yang berada di sekeliling kamu.’

(Riwayat Abu Daud daripada Kabsyah binti Ka’ab bin Malik dalam Sunan Abi Daud, kitab Taharah: Bab bekas minuman kucing)

Diriwayatkan bahawa Abu Qatadah r.a. me nyatakan, Rasulullah SAW pernah bersabda tentang air yang diminum oleh kucing dan digunakan untuk berwuduk. Katanya:

Ia tidak najis, tetapi ia adalah haiwan haiwan yang sering berada di sekeliling kamu.”

(Riwayat al-Darimi dalam Sunan al-Darimi, kitab Bersuci: Bab apabila kucing menjilat bekas.)

Air Mustakmal

Air mustakmal adalah bermaksud air yang suci tetapi tidak menyucikan.

Maksudnya ia adalah air yang zat dan sifatnya bersih dan boleh digunakan untuk kegunaan biasa, tetapi tidak boleh digunakan untuk mengangkat hadas, membersihkan najis dan istinjak.

Juga, air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas sama ada hadas kecil (berwuduk) ataupun hadas besar (mandi wajib) adalah dikira sebagai air mustakmal.

Ini bererti air yang telah digunakan untuk membasuh anggota yang wajib wuduk sekiranya ditadah semula dan air itu tidak sampai dua qullah (216 liter), maka air itu dikira mustakmal iaitu tidak boleh dibuat bersuci.

Air ini hanya boleh dibuat minum atau makan atau membasuh benda-benda bukan najis sahaja.

Begitu juga sekiranya air basuhan wajib menitis ke dalam air yang tidak sampai dua qullah, itu dikira mustakmal.

Air mustakmal terbahagi kepada 3 bahagian:

Bahagian Pertama

Air Mutlak Yang Bercampur Dengan Bahan Lain Sehingga Mengubah Sifat

Tiga Sifat Air:

  1. BAU. Contohnya air bercampur dengan air mawar yang tidak mengubah warna dan rasanya, tetapi mengubah baunya.
  2. RASA. Contohnya air bercampur sabun, yang mengubah bau dan rasa air menjadi licin.
  3. WARNA. Contohnya air yang bercampur dengan pewarna yang tidak berperisa dan berbau tetapi mengubah warna air tersebut, seperti air kopi, teh dan susu.

Dalil Tidak Boleh Bersuci Dengan Air Yang Bercampur

Diriwayatkan daripada Atha’ bahawa: 

Sesungguhnya Baginda tidak suka berwuduk dengan susu dan perahan buah-buahan, dan Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya aku lebih sukai tayamum daripada berwuduk dengan keduanya”

(Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Bersuci: Bab berwuduk dengan perahan buah buahan)

Abu Khaladah r.a. berkata: “Saya bertanya kepada Abu al-‘Aliah tentang seorang lelaki berjunub tetapi dia tidak mempunyai air, dan hanya mempunyai perahan buah-buahan, bolehkah dia mandi dengan perahan buah-buahan?”

Jawabnya, “Tidak.”

(Riwayat Abu Daud)

Perubahan yang berlaku juga banyak hingga mengubah nama air tersebut.

Bahan yang mengubah air tersebut bukan bahan berikut; tanah, garam bukit dan air garam.

Bahagian Kedua

Air Mustakmal Yang Sedikit

aitu air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas kecil atau hadas besar. Sukatan air ini pula tidak cukup dua qullah (lebih kurang 270 liter).

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya:

Rasulullah SAW datang menziarahi saya untuk bertanyakan keadaan saya. Ketika itu saya sakit dan tidak sedarkan diri. Lalu Baginda beruruduk dan mencurahkan air wuduknya ke atas saya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, jelaslah bahawa air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas tidak najis.

Bahagian Ketiga

Air Yang Digunakan Untuk Menghilangkan Najis

Air mutlak yang digunakan untuk menghilangkan najis dihukumkan sebagai mustakmal dengan 3 syarat:

  1. Air tersebut cukup untuk mengalir di atas tempat yang bernajis. Jika air terlalu sedikit dan tidak dapat mengalir (bertakung), ia akan menjadi air yang bernajis setelah bercampur dengan najis.
  2. Air yang digunakan untuk menghilangkan najis ini tidak berubah bau, rasa dan warna setelah terpisah dari tempat yang berwarna tadi.
  3. Berat air selepas digunakan tidak bertambah.

Contoh Air Mustakmal

  • Air yang telah digunakan untuk mandi junub.
  • Air yang telah digunakan untuk mandi mayat.
  • Air yang telah digunakan untuk mandi orang gila yang baru sembuh.
  • Air yang orang telah digunakan untuk mandi kafir yang memeluk Islam.
  • Air yang telah digunakan untuk basuhan pertama anggota wuduk. Air itu hanya menjadi mustakmal setelah ia berpisah atau menitis daripada anggota tersebut. Air basuhan yang kedua dan ketiga masih kekal sebagai air mutlak dan boleh digunakan untuk membasuh anggota lain. Tetapi sekiranya air basuhan anggota wuduk yang sedikit itu menitis masuk ke dalam air mutlak yang kurang dua qullah tidak mengapa.

Air mutlak yang sedikit tidak akan menjadi mustakmal jika seorang mencelup tangannya dengan niat untuk mencedok air tersebut atau sekadar basuh tangan untuk makan.

Begitu juga orang yang sedang berwuduk mencedok air dengan tangannya ke dalam gayung, baldi dengan niat untuk mencedok air bagi membasuh anggota wuduk di luar baldi, maka air di dalam baldi itu tetap suci.

Air mustakmal yang sedikit jika dikumpulkan hingga cukup dua qullah (270 liter), menjadi air mutlak yang boleh digunakan untuk bersuci.

Air Mutanajis

Air Mutanajis bermaksud air yang mengandungi najis.

Air yang kurang daripada dua qullah dimasuki oleh najis sama ada air itu berubah ataupun tidak, dikenali sebagai “mutanajis”

Begitu juga sekiranya air yang lebih daripada dua qullah dimasuki najis lalu air itu berubah rasa, bau dan warnanya, maka air itu tidak boleh dibuat bersuci atau diminum.

Dalil Air Mutanajis Tidak Boleh Digunakan Untuk Bersuci

Imam Abu Daud, Imam al-Tirmizi, Imam al Nasa’i, Imam Ibn Majah dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah Ibn Umar r.a. katanya:

Saya mendengar Rasulullah SAW ditanya tentang air yang terdapat di padang pasir dan didatangi binatang buas dan haiwan-haiwan melata.

Baginda menjawab: 

Jika air tersebut sebanyak dua qullah, maka ia tidak bernajis.”

Difahamkan daripada hadis ini, sekiranya air kurang daripada dua qullah, ia menjadi najis walaupun tidak berubah sifat-sifatnya.

Ini dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

Apabila seseorang daripada kamu bangun tidur, jangan sekali-kali dia mencelup tangannya ke dalam bekas air sehingga dia membasuhnya tiga kali. Sesungguhnya dia tidak tahu di mana tangannya diletakkan.”

(Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW melarang orang yang baru bangun tidur daripada mencelup tangannya ke dalam bekas air yang sedikit, kerana dibimbangi najis yang tidak kelihatan pada tangan boleh mencemari air tersebut.

Ini menunjukkan bahawa air yang sedikit boleh menjadi bernajis jika dimasuki najis yang sedikit walaupun tidak kelihatan dan tidak mengubah sifat-sifatnya.

Air Musyammas

Air musyammas adalah bermaksud air yang makruh digunakan.

Air musyammas berasal daripada air mutlak tetapi terjemur di tengah panas matahari di dalam bekas yang mempunyai karat dan digunakan pula ketika air masih panas.

Walau bagaimana pun, di negara kita Malaysia (dan rantau asia tenggara) tidak menjadi makruh kerana darjah kepanasan suhunya tidak setinggi seperti di negara-negara Timur Tengah, India dan Pakistan.

Hukum Penggunaan Air Musyammas

Air ini boleh digunakan untuk mengangkat hadas, tetapi perbuatan tersebut makruh (makruh tanzih).

Hikmah daripada hukum makruh ini ialah kerana cahaya matahari yang terkena pada air seperti ini boleh menyebabkan ia mengeluarkan bahan berminyak daripada bekas logam yang busuk di permukaan air.

Jika air ini terkena pada tubuh ketika masih panas, ia boleh memudaratkannya dan menyebabkan penyakit sopak atau pelbagai penyakit kulit lain.

Hukum Air Yang Dipanaskan Api Atau Elektrik

Oleh kerana air yang dipanaskan dengan api atau elektrik atau ketuhar gelombang mikro tidak memudaratkan pengguna dan penggunaannya, maka hukumnya adalah harus.

Dalil Makruh Menggunakan Air Musyammas

Ulama hadis mengatakan bahawa tiada sandaran kuat yang boleh dijadikan hujah di dalam masalah ini.

Imam Syafi’i pernah menyebut di dalam kitabnya, Al-Umm bahawa makruh menggunakan air musyammas disebabkan akan mendatangkan penyakit sopak menurut keterangan ahli perubatan.

Namun, pengarang kitab Kifayah Al-Akhyar dan Mughni Al-Muhtaj meringkaskan bahawa air musyammas akan menghasilkan hukum makruh apabila terdapat beberapa syarat, iaitu :

  • Air berada dalam bekas yang boleh berkarat, contohnya besi dan dikecualikan emas dan perak.
  • Air yang terdedah kepada matahari di negara negara yang mengalami cuaca panas yang bersangatan seperti di Sudan. Manakala negara yang berada di kawasan bercuaca sejuk atau sederhana tidak akan menerima hukum makruh ini.
  • Digunakan ketika bersuci pada badan dan sebagainya seperti makan atau minum.
  • Digunakan ketika masih dalam keadaan panas. Jika dibiarkan sejuk dan terus digunakan, hilang hukum makruhnya.

Pandangan yang selamat apabila berhadapan dengan situasi ini ialah menjadikan penggunaan air ini akan memudaratkan secara kemungkinan (maksudnya bukan secara yakin seperti racun yang menyebabkan kematian).

Oleh itu, para ulama berpegang dengan hadis:

Tinggalkan daripada perkara yang meragukan kamu (dan memilih) kepada perkara yang tidak meragukan kamu.

(Riwayat Ahmad, Al-Tirmizi, Al-Nasa’i dan Al-Hakim)

Apabila keadaan memaksa untuk menggunakan air musyammas (jika ketiadaan air dan sebagainya) hukumnya akan bertukar menjadi wajib.

Penutup

Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.

— Surah al-Hajj 22: 5

Menurut Tafsir Jalalain, Allah menjadikan air turun dari langit dan terbit dari bumi untuk menghidupkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Ini kerana air adalah keperluan utama hidupan untuk kelangsungan hidup mereka.

Air adalah medium pembersihan paling berkesan, mudah dan meluas penggunaannya.

Oleh itu, setinggi mana pun teknologi pembersihan yang telah dicapai kini, air tetap digunakan sebagai bahan utama.

Jelaslah bahawa air adalah rahmat Allah dan sumber kehidupan kepada seluruh makhluk.

Semoga panduan ini dapat membantu anda dalam membezakan jenis-jenis air dalam Islam.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

31 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Student
Student
11 bulan yang lalu

Assalamualaikum, nak tanya , kalau masa mandi wajib air percikan dari badan masuk dalam gayung atau baldi adakah ia jadi air mutlak balik sebab saya tengok Ustaz Azhar Idrus kata macam tu kot rasanya ke saya salah

Last edited 11 bulan yang lalu by Student
Student
Student
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum, saya nak tanya

Adakah air mineral ialah air mutlak , bagaimana pula air mineral yang jenis sparkling, adakah ianya air mutlak walaupun rasanya bergas , hanya pada rasa tetapi masih air mineral

Danial
Danial
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum, saya nak tanya , bila kita dah hilang kan ain najis tu kan , contohnya cirit guna tisu sampai hilang , memang takda bekas pun dah najis dekat lantai tu takda warna dan sebagainya , lepas tu saya spray dengan air pada lantai itu kemudian lap sekali je, adakah dah suci? Dan apa hukum air tu , jadi mustakmal ke?

Edu
Edu
1 tahun yang lalu

Saya ada bekas air yang wangi tapi saya selalu tukar letak air mutlak ke dalamnya , tapi ia tetap berbau wangi sebab asal bekas nya ialah bekas febreze . Satu hari tu macam biasa tukar air lagi guna air mutlak , lepastu kucing saya kencing , saya pakai air dalam febreze ni dah spray ke arah najis hukmi tu lepas dah hilangkan ain najis , tapi air nya masih Berbau wangi sedikit la . Adakah itu masih air mutlak walaupun bekas dalam tu bau masih wangi , sebab air sebelumnya juga ialah air mutlak tetapi masih wangi

update : selepas beberapa minggu , bekas masih kuat bau wanginya , tetapi rasanya tidak effect ke atas warna air bagaimana ustaz?

Edu
Edu
Reply to  Muhamad Naim
1 tahun yang lalu

Ouh saya lupa ustaz nak bagitau, bukan warna air , maksud saya , bau bekas sahaja wangi , bau air tak berubah ustaz bila dia keluar dari botol itu , kebanyakan air takda pun bau febreze , hanya bau air sahaja , cuma botol tu wangi dalam dia lagi

Edu
Edu
1 tahun yang lalu

Saya ada bekas air yang wangi tapi saya selalu tukar letak air mutlak ke dalamnya , tapi ia tetap berbau wangi sebab asal bekas nya ialah bekas febreze . Satu hari tu macam biasa tukar air lagi guna air mutlak , lepastu kucing saya kencing , saya pakai air dalam febreze ni dah spray ke arah najis hukmi tu lepas dah hilangkan ain najis , tapi air nya masih Berbau wangi sedikit la . Adakah itu masih air mutlak walaupun bekas dalam tu bau masih wangi , sebab air sebelumnya juga ialah air mutlak tetapi masih wangi

Azhar
Azhar
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum,
saya nak tanya , saya dah bersihkan ain air kencing dalam 4 percikan begitu , tapi area disitu zahirnya lembap , saya lap dengan tisu sampai agak agak hilang , tapi kawasan situ masih la lembap , kemudian ketika alirkan air ke kawasan itu , lebihan air itu melimpah sehingga masuk ke pintu bilik , dalam 3 kali juga saya limpahkan air , saya check , air yang limpah tu jernih sahaja , takda bau atau tanda tanda najis , saya rasa suci sebab ain nya saya hilangkan sebelum limpah walaupun persekitaran tempat itu lembap dan berair , bagaimana pendapat ustaz?

Azhar
Azhar
Reply to  Azhar
1 tahun yang lalu

Maksud saya kawasan itu lembap dan berair sebelum dibersihkan kerana berdekatan dengan toilet , tapi saya dah lap pakai tisu ain air kencing tu dan kawasan yang lembap sekitar ain tu sebelum simbah dengan air 3 kali guna baldi

Muhammad Musa
Muhammad Musa
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum
Saya menyimpan air paip di dalam tong yang bertutup untuk kecemasan. Setelah disimpan sekian lama, air itu berbau dan ada sendimen – sendimen di bawah. Adakah air itu masih suci digunakan?

Ahmad
Ahmad
3 tahun yang lalu

Air dalam baldi terpercik air mandian biasa.. Adakah telah jadi mustsakmal

syah
syah
Reply to  Muhamad Naim
2 tahun yang lalu

setuju, dia tidak mengubah sifat air mutlak didalam baldi tersebut… yg tidak dibolehkan adalah, air tadahan yg digunakan utk mengambil wuduk (yg ditadah) tersebut telah berubah menjadi air mustakmal, maka ia tidak boleh digunakan utk mengangkat hadas kecil (membasuh kencing & air besar) dan mengangkat hadas besar (mandi junub).

Pz
Pz
3 tahun yang lalu

apabila mengangkat hadas besar, tangan termasuk dalam kolah dan air mengalir dari tangan turut masuk ke dalam kolah, adakah air di dalam kolah itu dikira mustakmal?

Nuramna
Nuramna
3 tahun yang lalu

Baik dan amat difahami •••Tqvm••