Hukum Suami Larang Isteri Ziarah Ibu Bapa

Suami Larang Isteri Ziarah Ibu Bapa

Apakah hukum suami larang isteri ziarah ibu bapa?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat

SOALAN

Suami saya selalu tidak benarkan saya keluar pergi ke rumah orang tua saya dan kadang-kadang saya nak berhubung dengan mereka pun tidak dibenarkan.

Perkara ini adalah sebab suami saya pernah bertengkar dengan bapa saya suatu masa dulu.

Soalan saya kalau suami saya tidak ada dirumah bolehkah saya pergi menjenguk orang tua saya kerana kalau saya minta izin pasti suami saya tidak benarkan.


JAWAPAN

Sebagai seorang suami memang mempunyai hak melarang isterinya keluar dari rumah walau pun hendak pergi ke rumah orang tuanya.

Jika suami melarang atau tidak memberi izin maka tidak harus isterinya itu keluar akan tetapi sebagai suami yang baik dan bertimbang rasa hendaklah membenarkan isterinya keluar ziarah akan kedua orang tuanya dan sanak saudaranya.

Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansari :

Dan harus bagi suami menegah isterinya dari keluar ziarah kedua orang tuanya dan hadir kematian keduanya dan anaknya. Dan yang eloknya ialah membenarkan isterinya keluar.”

(Kitab Asnal Matalib)

Akan tetapi suami tidak boleh menghalang isterinya berhubung atau bercakap dengan kedua orang tuanya dan suami tidak berhak menghalang ibu bapa isteri datang berjumpa dengan isterinya melainkan jika ada padanya mudarat maka tidak mengapa suami menghalangnya.

Berkata Syeikh Athiyah Saqr :

Dan telah berjalan oleh mazhab Syafie dan mazhab Hanbali kepada harus suami menghalang isterinya dan wajib isterinya taat dan isteri tidak keluar ke rumah dua orang tuanya melainkan dengan izinnya.

Akan tetapi tidak boleh bagi suami menegah isterinya itu dari bercakap dengan kedua orang tuanya dan tidak boleh menghalang kedua orang tua isteri menziarahi isterinya melainkan jika dibimbangi ada kemudaratan dengan sebab ziarah kedua orang tuanya itu maka haruslah suami menghalang keduanya kerana menolak mudarat.”

(Fatawa Al-Azhar)

Kesimpulan

Suami mempunyai hak melarang isterinya keluar dari rumah tanpa izin pada perkara yang bukan darurah sekalipun menziarahi ibu bapanya atau sanak saudaranya.

Suami tidak berhak melarang isterinya berhubung atau bercakap dengan dua ibu bapanya.

Suami juga tidak berhak melarang ibu bapa atau sanak saudara isteri datang ziarah isterinya.

Suami yang bertimbang rasa dan elok kelakuan dan adabnya tidak akan melarang isterinya keluar ziarah akan ibu bapanya dan sanak saudaranya.

Wallahua’lam

Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.