Bagaimanakah bacaan doa minum air zam-zam?
Dalam panduan ini, saya akan melampirkan doa minum air zam-zam yang dipermudahkan dengan transliterasi rumi. Selain ini, panduan ini juga menerangkan adab-adab, kelebihan dan sejarah ringkas mengenainya.
Semoga memberi manfaat
Doa Minum Air Zam-Zam
Jika anda berada di sekitar Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, anda akan menjumpai banyak tempat yang menyediakan air zam-zam secara percuma.
Oleh itu, adalah sangat tepat sekiranya anda berehat sambil menghilangkan dahaga dengan meminum air zam-zam setelah penat melakukan ibadah solat atau Tawaf serta Saie.
Meminum air zam-zam adalah disunatkan sekurang-kurangnya tiga kali tegukan. Anda boleh meminum air tersebut dari mana-mana tong air yang telah disediakan oleh pihak pengurusan Masjidil Haram ataupun mengambilnya secara terus dari paip-paip yang disalurkan dari telaga zam-zam.
Sebelum meminum air zam-zam hendaklah membaca doa seperti berikut:
Bismillahir-rahmanirrahim Allahumma Inni As-aluka ‘Ilman Naafia Wa Rizqan Waasia Wa Syifa-an Min Kulli Daak
“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Ya Allah aku mohon kepada-Mu ilmu pengeta-huan yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan dari segala penyakit.”
— Doa ini oleh Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ad-Daruqutni:
Allāhumma Innahū Qad Balaghanī ‘An Nabiyyika Annahū Qāla, ‘Mā’u Zamzama Li Mā Syuriba Lah,’ Wa Anā Asyrabuhū Li Sa‘Ādatid Duniyā Wal Ākhirah. Allāhumma Faf‘Al.
“Wahai Tuhanku, sungguh telah sampai padaku hadis dari Nabi-Mu, ia bersabda, ‘Air zamzam bermanfaat sesuai tujuan diminumnya,’
(HR Ahmad, Al-Hakim, dan Ad-Daruqutni) dan aku meminumnya untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ya Allah, terimalah,” (Syekh Sulaiman Al-Bujairimi, Hasyiyatul Bujairimi alal Iqna‘, [Beirut, Darul Fikr: 2006 M/1426-1427 H], juz II, halaman 447).
Kelebihan Air Zam-Zam
Kelebihan air zam-zam adalah seperti berikut:
1. Penawar Pelbagai Penyakit
Rasulullah SAW bersabda:
Air terbaik di seluruh permukaan bumi adalah air zam-zam, di dalamnya terdapat makanan (yang membangkitkan) selera, ubat dari pelbagai penyakit
(HR Ath-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir)
2. Air Zam-Zam Bermanfaat Bagi Tujuan Ia Diminum
Rasulullah SAW bersabda:
Air Zam-zam itu sesuai dengan niat peminumnya
(HR Ibnu Majah)
3. Hati Rasulullah SAW Dibasuh Dengan Air Zam-Zam
Anas bin Malik r.a mengatakan bahawa Jibril AS pernah mendatangi Rasulullah SAW ketika Baginda SAW tengah bermain bersama-sama kanak-kanak lain.
Lalu Jibril memegangnya dan Baginda SAW telah jatuh pengsan, kemudian Jibril mengeluarkan hati Baginda SAW, membelahnya dan mengeluarkan segumpal darah dari dalamnyaa, sambil berkata, “Ini adalah bahagian syaitan dari dirimu.”
Kemudian Jibril AS mencucinya dengan air Zam-Zam lalu memperbaikinya, kemudian mengembalikan ke tempat asalnya.
4. Tanda Terbebas Dari Kemunafikan
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
Berasa kenyang oleh air zam-zam adalah (petanda) bebas dari kemunafikan.
Sejarah Ringkas Air Zam-Zam
Para sejarawan bersepakat bahawa zam-zam adalah minuman Nabi Ismail AS dan ibunya Siti Hajar AS. Tetapi mereka berselisih pendapat mengenai sebab munculnya air itu.
Sebahagian berpendapat bahawa Ibrahim AS datang membawa Hajar dan anaknya yang sedang menyusu badan. Kemudian meninggalkan mereka dengan sedikit air.
Disebabkan bekalannya habis, Siti Hajar berusaha mencari makanan atau orang-orang yang berkemungkinan berada di sekelilingnya. Dia pun berlari ke Bukit Marwah, balik lagi ke Bukit Safa, dan kembali lagi ke Bukit Marwah.
Dia melakukan hingga tujuh kali ulang alik antara Bukit Safa dan Marwah.
Apa yang dilakukan oleh Siti Hajar itu kini menjadi salah satu rukun haji dan umrah yang wajib dilaksanakan oleh Umat Islam, iaitu Sa’ie.
Setelah penat ulang alik antara Bukit Safa dan Marwah, Hajar mendengar perintah untuk melihat puteranya yang sedang menangis dan menghentak kakinya ke tanah. Ternyata, hentakan kaki Ismail AS mengeluarkan air yang berlimpah.
Hajar pun kemudian berkata: “Zam-zam (berkumpullah)”, hingga akhirnya air berkumpul dan dinamakan zam-zam.
Kemunculan air daripada kesan hendakan Nabi Ismail ini kemudian menyebabkan hadirnya sekumpulan burung-burung disekelilingnya. Melihat adanya burung ini, para kafilah yang juga sedang mencari air segera menuju tempat burung-burung berterbangan itu.
Inilah sejarah ringkas awal mula munculnya telaga zam-zam.
Adab & Sunnah Ketika Minum Air Zam-Zam
Berikut adalah adab atau sunnah yang baik diamalkan ketika minum air Zam-zam:
- Niat: Mulakan dengan niat untuk mendapatkan manfaat dan keberkatan dari minum air Zam-zam. Dalam Islam, niat sangat penting dalam setiap amalan.
- Mengucapkan Basmalah: Ucapkan “Bismillah” sebelum memulai minum, sebagaimana anjuran dalam sunnah.
- Berdiri: Disunnahkan untuk minum air Zam-zam sambil berdiri, mengikuti apa yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.
- Minum dalam Tiga Nafas: Ambillah minuman secara bertahap, dalam tiga kali nafas, iaitu minum sedikit, berhenti untuk mengambil nafas, kemudian sambung lagi hingga tiga kali.
- Doa Minum: Ada doa yang khusus yang disunnahkan untuk dibaca semasa minum air Zam-zam, meminta kepada Allah SWT agar diberikan manfaat dari air tersebut.
- Berdoa dengan Keinginan yang Halal: Nabi Muhammad SAW mengatakan bahawa air Zam-zam itu akan bermanfaat sesuai dengan niat peminumnya. Oleh itu, ketika minum, hendaklah memohon kepada Allah untuk segala keinginan yang halal dan baik.
- Syukur: Selepas minum, ucapkanlah syukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang telah diberikan.
- Tidak Membazir: Walaupun air Zam-zam memiliki banyak keistimewaan, hendaklah kita tidak boros dan menggunakan air tersebut dengan bijaksana.
Perlu diingat bahwa adab-adab ini adalah untuk menambah keberkatan dan kesempurnaan dalam beribadah, dan seorang Muslim sebaiknya berusaha mengikuti sunnah ini sesuai dengan kemampuan dan keadaannya.
Penutup
Air zam-zam adalah adalah satu keistimewaan yang diturunkan oleh Allah terhadap bumi Mekah. Oleh itu adalah lebih baik kita membaca doa khas agar dapat memanfaat segala kelebihan dan kebaikan pada air ini.
Semoga artikel ini membantu anda.
Tinggalkan Komen Anda..