PANDUAN SOLAT WITIR (Niat, Cara, Doa Witir Rumi & PDF)

Tatacara lengkap solat Witir: niat, cara 3 rakaat dan 1 rakaat, doa Witir rumi dan audio, serta qunut Ramadan ikut mazhab Syafi’e.

Muhamad Naim Abd ManafDikemas kini 9 November 2026
Solat Witir

Panduan ini membawa anda melalui Solat Witir langkah demi langkah, dari niat hingga zikir dan doa selepasnya. Kita mulakan dengan cara yang paling lazim, iaitu tiga rakaat dengan dua salam (2 + 1), kemudian cara satu rakaat bagi yang mahu ringkas.

Setiap bacaan disertakan teks Arab, rumi, maksud dan audio. Hukum-hakam dijelaskan menurut mazhab Syafi’e yang lazim diamalkan di Malaysia, termasuk qunut Witir pada separuh akhir Ramadan.

Jika anda selalu terlepas Witir kerana tertidur, jangan risau. Witir boleh dikerjakan selepas Isyak sebelum tidur, dan satu rakaat pun sudah sah. Semoga panduan ini membantu anda, InsyaAllah.

Ringkasan

Solat Witir ialah solat sunat muakkad yang bilangan rakaatnya ganjil, dikerjakan selepas Isyak hingga sebelum Subuh. Cara yang paling lazim ialah tiga rakaat dengan dua salam: dua rakaat dan salam, kemudian satu rakaat dan salam.

  1. Waktu: Selepas solat Isyak hingga sebelum masuk Subuh. Jika bimbang tidak terjaga, kerjakan sebelum tidur.
  2. Bilangan: Sekurang-kurangnya satu rakaat dan paling banyak sebelas. Tiga rakaat lebih afdal daripada satu.
  3. Niat: Dalam hati ketika takbiratul ihram: Uṣallī sunnatal-witri rak‘ataini lillāhi ta‘ālā bagi dua rakaat, dan rak‘atan bagi satu rakaat terakhir.
  4. Surah (sunat): Al-A‘la pada rakaat pertama, al-Kafirun pada rakaat kedua, dan al-Ikhlas berserta al-Falaq dan an-Nas pada rakaat terakhir.
  5. Ramadan: Mulai malam 16 Ramadan, disunatkan membaca qunut ketika iktidal pada rakaat terakhir.

Penting: Witir dikerjakan sekali sahaja pada satu malam. Jika sudah Witir, anda masih boleh bertahajud, tetapi jangan ulangi Witir.

Mahu salinan untuk dicetak atau disimpan dalam telefon? Dapatkan PDF panduan ini secara percuma melalui emel.

Dalam mazhab Syafi’e, hukumnya ialah sunat muakkad, iaitu solat sunat yang sangat dituntut. Ia bukan solat fardu, tetapi merupakan amalan yang digalakkan untuk dijaga.

Witir disunatkan sebagai penutup solat malam. Namun, anda tidak perlu menunggu sehingga mampu bangun Tahajud untuk mengerjakannya. Jika bimbang tidak terjaga, anda boleh menunaikannya sebelum tidur.1

Video ringkas: Solat Witir, TV3MALAYSIA Official

Witir boleh dilakukan selepas Isyak walaupun anda tidak tidur atau tidak melakukan Tahajud. Pilih waktu berdasarkan kemampuan untuk bangun malam:

Keadaan andaWaktu yang disarankan
Bimbang tidak terjaga pada akhir malamKerjakan Witir sebelum tidur
Yakin dapat bangun untuk TahajudKerjakan Witir selepas selesai solat malam

Panduan ini berdasarkan hadis Nabi ﷺ yang menganjurkan Witir pada awal malam bagi orang yang bimbang tidak terjaga, dan pada akhir malam bagi orang yang yakin dapat bangun.2

Sudah Witir selepas Isyak atau Tarawih, kemudian terjaga untuk Tahajud? Anda masih boleh menunaikan Tahajud. Jangan ulangi Witir pada malam yang sama. Witir yang telah selesai tidak perlu “dibuka” atau dibatalkan.3

Jika ingin mengerjakan beberapa solat sunat pada malam yang sama, seperti Tahajud, Taubat dan Hajat, anda boleh mengakhiri solat-solat tersebut dengan Witir.

Ketika musafir atau hampir Subuh: lihat Witir selepas jamak taqdim dan Witir yang tertinggal hingga masuk Subuh.

Satu rakaat sahaja sah, manakala tiga rakaat lebih afdal berbanding mencukupkan satu rakaat sahaja.4

Bilangan ganjil ini merujuk kepada rakaat Witir sahaja. Rakaat Tahajud, Taubat atau Hajat dikira berasingan. Contohnya, selepas Tahajud empat rakaat, anda boleh mengerjakan Witir tiga rakaat.

Bagi tiga rakaat, anda boleh melakukannya dengan dua cara:

KaedahCara pelaksanaan
Tiga rakaat dua salam (2 + 1)Solat dua rakaat hingga salam, kemudian solat satu rakaat hingga salam. Lebih afdal
Tiga rakaat satu salamSolat tiga rakaat secara bersambung dan salam pada akhirnya

Panduan utama di bawah menggunakan kaedah tiga rakaat dua salam, atau mudah diingati sebagai 2 + 1. Kaedah memisahkan dua rakaat dan satu rakaat ini lebih afdal.1

Solat witir

Lafaz Arab di bawah membantu anda berniat, tetapi melafazkannya bukan syarat sah solat. Anda tidak perlu menyusun ayat Arab dalam hati. Yang penting ialah mengetahui solat yang hendak dikerjakan dan berniat melakukannya kerana Allah.5

Pilih niat anda2 rakaat pertama1 rakaat3 rakaat satu salam

Niat Solat Witir 2 Rakaat

Untuk dua rakaat pertama dalam kaedah 2 + 1. Hadirkan niat ini ketika takbiratul ihram.

Dua rakaat pertama

أُصَلِّي سُنَّةَ الْوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-witri rak‘ataini lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Witir dua rakaat kerana Allah Taala.

Lafaz yang lebih utama ialah niat dua rakaat daripada Witir:أُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ مِنَ الْوِتْرِ لِلَّهِ تَعَالَىUṣallī rak‘ataini minal-witri lillāhi ta‘ālāLafaz di atas juga sah.6

Niat Solat Witir 1 Rakaat

Untuk satu rakaat terakhir selepas dua rakaat tadi, atau apabila mengerjakan Witir satu rakaat sahaja.

Satu rakaat

أُصَلِّي سُنَّةَ الْوِتْرِ رَكْعَةً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-witri rak‘atan lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Witir satu rakaat kerana Allah Taala.

Niat Solat Witir 3 Rakaat Satu Salam

Jika memilih untuk mengerjakan tiga rakaat sekaligus (bersambung) dengan satu salam.

Tiga rakaat satu salam

أُصَلِّي سُنَّةَ الْوِتْرِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-witri ṡalāṡa raka‘ātin lillāhi ta‘ālā

Sahaja aku solat sunat Witir tiga rakaat kerana Allah Taala.

Cara lengkap tiga rakaat satu salam, termasuk soal duduk tahiyat, ada dalam panduan Solat Witir 3 rakaat 1 salam.

Jika Mengikut Imam

Hadirkan juga niat menjadi makmum dan sesuaikan bilangan rakaat dengan solat yang diikuti. Contohnya bagi dua rakaat pertama: “Sahaja aku solat sunat Witir dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.” Bagi satu rakaat terakhir, niatkan satu rakaat sebagai makmum.

Cara Solat Witir 3 Rakaat Dua Salam

Bahagian pertama: 2 rakaat

  1. Niat dan takbirNiat Witir dua rakaat ketika takbiratul ihram
  2. Rakaat pertamaDoa iftitah, Al-Fatihah, surah al-A‘lā, rukuk, iktidal, dua sujud
  3. Rakaat kedua, tahiyat, salamAl-Fatihah, surah al-Kāfirūn, kemudian tahiyat akhir dan salam

Bahagian kedua: 1 rakaat

  1. Niat dan takbir baharuNiat Witir satu rakaat ketika takbiratul ihram
  2. Satu rakaatDoa iftitah, Al-Fatihah, al-Ikhlāṣ, al-Falaq dan an-Nās. Qunut pada separuh akhir Ramadan
  3. Tahiyat akhir dan salamWitir selesai

Selepas salam

  1. Subḥānal-Malikil-QuddūsTiga kali, panjangkan pada kali ketiga
  2. Al-Fatihah dan zikirIstighfar, tahmid, tahlil dan takbir
  3. Doa Witir dan doa penutupDoa riwayat Ali RA, kemudian doa penutup

Sudah tahu cara solat? Lompat keRujukan PantasDoa Selepas WitirWitir 1 RakaatQunut Ramadan

Rakaat Pertama

1

Solat Witir Dimulakan Dengan Takbiratul Ihram dan Niat

Untuk kaedah 2 + 1, kita memulakan dua rakaat pertama dan satu rakaat terakhir dengan niat serta takbiratul ihram masing-masing. Hadirkan niat Witir dua rakaat ketika bertakbir. Lafaz berikut boleh membantu anda berniat:

أُصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-witri rak‘ataini lillāhi ta‘ālā

Atau anda boleh berniat dalam Bahasa Melayu sahaja: “Sahaja aku solat sunat Witir dua rakaat kerana Allah Taala.”

Nota Niat

Niat ialah kehendak hati, bukan bacaan yang mesti dilafazkan. Hadirkan niat ketika takbiratul ihram. Jangan sengaja menangguhkannya sehingga takbir selesai. Anda tidak perlu menyusun ayat Arab dalam hati. Bagi orang awam, memadai niat hadir pada permulaan, pertengahan atau pengakhiran takbir.5

Cara mengangkat takbir (takbiratul ihram) dalam solat

Ucapkan takbir “Allahuakbar” dengan jelas (dapat didengari oleh telinga sendiri) sambil mengangkat tangan dan berniat di dalam hati.

اَللَّهُ أَكْبَرُ

Allāhu akbar



Maksud Bacaan

Allah Maha Besar!


2

Baca Doa Iftitah (Sunat)

Selepas takbiratul ihram, baca doa iftitah secara perlahan. Ia sunat dan dibaca pada rakaat pertama sahaja. Jika tidak membacanya, solat tetap sah.7 Huraian lanjut ada dalam artikel doa iftitah.

اَللّٰهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلّٰهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللّٰهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا. وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ. إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ.

Allāhu akbaru kabīrā, wal-ḥamdu lillāhi kaṡīrā, wa subḥānallāhi bukrataw wa aṣīlā. Wajjahtu wajhiya lillażī faṭaras-samāwāti wal-arḍa ḥanīfam muslimaw wa mā ana minal-musyrikīn. Inna ṣalātī wa nusukī wa maḥyāya wa mamātī lillāhi rabbil-‘ālamīn. Lā syarīka lahū wa biżālika umirtu wa ana minal-muslimīn.



Maksud Bacaan

Allah Maha Besar dengan sebesar-besarnya, segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya, dan Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, dalam keadaan lurus dan berserah diri, dan aku bukanlah daripada golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dengan itulah aku diperintahkan, dan aku daripada golongan orang Islam.


3

Bacalah Surah al-Fatihah

Selepas doa iftitah, baca ta‘awwuz secara perlahan: A‘ūżu billāhi minasy-syaiṭānir-rajīm, maksudnya “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.”8 Kemudian baca al-Fatihah. Jika anda sudah mula membaca al-Fatihah sebelum sempat membaca iftitah, teruskan bacaan tanpa kembali kepada iftitah.9

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Ṣirāṭal-lażīna an‘amta ‘alaihim ghairil-maghḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn



Maksud Bacaan

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Selesai membaca al-Fatihah, sebut “Āmīn”. Hukumnya sunat.10


4

Kemudian, Bacalah Surah Lazim

Selepas Al-Fatihah, disunatkan membaca surah atau ayat al-Quran. Jika belum hafal Al-A‘la, anda boleh membaca surah yang dihafal, seperti Al-Ikhlas. Tidak perlu menangguhkan Witir sehingga hafal semua surah dalam panduan ini.11

Surah Yang Disunatkan Dalam Witir

Dalam Witir tiga rakaat, disunatkan membaca surah-surah berikut selepas Al-Fatihah:

  • Rakaat Pertama: Surah Al-A‘la
  • Rakaat Kedua: Surah Al-Kafirun
  • Rakaat Ketiga: Surah Al-Ikhlas

Ubay bin Ka‘ab RA meriwayatkan bahawa Nabi ﷺ membaca ketiga-tiga surah ini dalam Witir (Sunan Abu Dawud, no. 1423).12

Dalam mazhab Syafi’e, disunatkan juga membaca Al-Falaq dan An-Nas selepas Al-Ikhlas pada rakaat terakhir.13

Namun, perlu diingat bahawa membaca surah-surah ini adalah sunat dan bukan wajib. Jika seseorang tidak menghafal surah-surah tersebut atau memilih untuk membaca surah lain, solat witirnya tetap sah.

Surah Al-A‘la

سَبِّحِ ٱسۡمَ رَبِّكَ ٱلۡأَعۡلَى ١ ٱلَّذِي خَلَقَ فَسَوَّىٰ ٢ وَٱلَّذِي قَدَّرَ فَهَدَىٰ ٣ وَٱلَّذِيٓ أَخۡرَجَ ٱلۡمَرۡعَىٰ ٤ فَجَعَلَهُۥ غُثَآءً أَحۡوَىٰ ٥ سَنُقۡرِئُكَ فَلَا تَنسَىٰٓ ٦ إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُۚ إِنَّهُۥ يَعۡلَمُ ٱلۡجَهۡرَ وَمَا يَخۡفَىٰ ٧ وَنُيَسِّرُكَ لِلۡيُسۡرَىٰ ٨ فَذَكِّرۡ إِن نَّفَعَتِ ٱلذِّكۡرَىٰ ٩ سَيَذَّكَّرُ مَن يَخۡشَىٰ ١٠ وَيَتَجَنَّبُهَا ٱلۡأَشۡقَى ١١ ٱلَّذِي يَصۡلَى ٱلنَّارَ ٱلۡكُبۡرَىٰ ١٢ ثُمَّ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحۡيَىٰ ١٣ قَدۡ أَفۡلَحَ مَن تَزَكَّىٰ ١٤ وَذَكَرَ ٱسۡمَ رَبِّهِۦ فَصَلَّىٰ ١٥ بَلۡ تُؤۡثِرُونَ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا ١٦ وَٱلۡأٓخِرَةُ خَيۡرٞ وَأَبۡقَىٰٓ ١٧ إِنَّ هَٰذَا لَفِي ٱلصُّحُفِ ٱلۡأُولَىٰ ١٨ صُحُفِ إِبۡرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ ١٩

Sabbiḥisma rabbikal-a‘lā. Allażī khalaqa fa sawwā. Wallażī qaddara fa hadā. Wallażī akhrajal-mar‘ā. Fa ja‘alahū ghuṡā’an aḥwā. Sanuqri’uka fa lā tansā. Illā mā syā’allāh, innahū ya‘lamul-jahra wa mā yakhfā. Wa nuyassiruka lil-yusrā. Fa żakkir in nafa‘atiż-żikrā. Sayażżakkaru may yakhsyā. Wa yatajannabuhal-asyqā. Allażī yaṣlan-nāral-kubrā. Ṡumma lā yamūtu fīhā wa lā yaḥyā. Qad aflaḥa man tazakkā. Wa żakarasma rabbihī fa ṣallā. Bal tu’ṡirūnal-ḥayātad-dun-yā. Wal-ākhiratu khairuw wa abqā. Inna hāżā lafiṣ-ṣuḥufil-ūlā. Ṣuḥufi ibrāhīma wa mūsā



Maksud Bacaan

Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan). Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya. Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya). Dan Yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak. Kemudian Ia menjadikan (tumbuh-tumbuhan yang menghijau) itu kering – (berubah warnanya) kehitam-hitaman. Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu – dengan perantaraan jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa. Kecuali apa yang dikehendaki Allah engkau lupakan, sesungguhnya Ia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), dan yang tersembunyi. Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) Ugama yang mudah diterima oleh akal yang sihat. Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna). Kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu. Dan (sebaliknya) orang yang sangat celaka akan menjauhinya. Dia lah orang yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar (azab seksanya). Selain dari itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang. Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu – berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk). (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal. Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam Kitab-kitab yang terdahulu. Iaitu Kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.


5

Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Posisi dan cara melakukan rukuk dalam solat

Angkat kedua-dua tangan seperti ketika takbiratul ihram, dan bertakbir “Allāhu akbar” sambil tunduk untuk rukuk. Letakkan tapak tangan di atas lutut dengan jari direnggangkan. Ratakan belakang dan tengkuk, dan halakan pandangan ke tempat sujud.14

Bacaan dalam rukuk adalah sama seperti bacaan rukuk solat fardu iaitu:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-‘aẓīmi wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung, serta segala puji bagi-Nya.”


6

Kemudian Bangun Iktidal

Kedudukan ketika iktidal

Angkat kepala daripada rukuk sambil mengangkat kedua-dua tangan seperti ketika takbiratul ihram.15 Ketika bangun, baca:

سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Sami‘allāhu liman ḥamidah



Maksud Bacaan

“Allah mendengar orang yang memuji-Nya.”

Apabila sudah berdiri tegak dengan tamakninah, baca:

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Rabbanā lakal-ḥamd

“Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian.”


7

Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Turun Melakukan Sujud

Kedudukan atau posisi yang betul ketika sujud dalam solat

Turun untuk sujud sambil bertakbir “Allāhu akbar”, tanpa mengangkat tangan. Letakkan lutut dahulu, kemudian tapak tangan, kemudian dahi dan hidung.16

Wajib meletakkan tujuh anggota pada tempat sujud: dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki. Sebahagian dahi mesti terdedah menyentuh tempat sujud, seperti sejadah, dan tidak terhalang oleh kopiah, telekung atau tudung yang dipakai. Punggung pula mesti lebih tinggi daripada kepala.

Semasa sujud, bacalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


8

Kemudian Duduk di Antara Dua Sujud

Posisi istirahah atau cara duduk antara dua sujud dalam solat

Angkat kepala daripada sujud pertama sambil bertakbir “Allāhu akbar”. Duduk iftirasy, iaitu duduk di atas kaki kiri dengan kaki kanan ditegakkan, dan letakkan tangan di atas paha berhampiran lutut. Duduk dengan tamakninah.17 Duduk ini ialah rukun solat dan berbeza daripada duduk istirahat sebelum bangun ke rakaat seterusnya.

Kemudian bacalah doa antara dua sujud seperti ini:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Rabbighfir lī warḥamnī wajburnī warfa‘nī warzuqnī wahdinī wa ‘āfinī wa‘fu ‘annī



Maksud Bacaan

“Ya Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku, dan maafkanlah kesalahanku.”


9

Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Sujud kali kedua dalam solat

Selesai doa antara dua sujud, turun sujud sekali lagi sambil bertakbir “Allāhu akbar”. Lakukan seperti sujud pertama, dengan tujuh anggota menyentuh tempat sujud, kemudian baca bacaan dalam sujud.16

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


10

Angkat Kepala Sambil Bertakbir, Kemudian Duduk Istirahat Seketika

Angkat kepala daripada sujud kedua sambil mula bertakbir Allāhu akbar. Ini ialah takbir intiqalat (takbir berpindah), bukan takbiratul ihram yang baharu.

Posisi atau cara duduk istirahat
Posisi Duduk Istirahat

Disunatkan duduk istirahat sebentar sebelum bangun ke rakaat kedua. Panjangkan takbir tadi sepanjang duduk istirahat sehingga anda berdiri tegak. Duduk ini bukan rukun dan tidak ditetapkan tempohnya.

Rakaat pertama selesai

Rakaat Kedua

11

Berdiri Untuk Rakaat Kedua

Berdiri tegak untuk rakaat kedua. Takbir intiqalat yang dimulakan ketika mengangkat kepala daripada sujud tadi berakhir apabila anda sudah berdiri. Tidak perlu mengangkat tangan dan tidak perlu berniat semula.

Takbir intiqalat ialah takbir ketika berpindah antara pergerakan solat, seperti turun rukuk, turun sujud dan bangun ke rakaat seterusnya.

اَللَّهُ أَكْبَرُ

Allāhu akbar


12

Baca Surah al-Fatihah

Seperti rakaat pertama, baca ta‘awwuz secara perlahan, kemudian baca al-Fatihah.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Ṣirāṭal-lażīna an‘amta ‘alaihim ghairil-maghḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn



Maksud Bacaan

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Kemudian sebut “Āmīn” seperti rakaat pertama.


13

Seterusnya Sekali Lagi Membaca Surah Lazim

Selepas Al-Fatihah, disunatkan membaca Al-Kafirun. Jika belum hafal, anda boleh membaca surah lain yang dihafal. Pilihan surah ini bukan syarat sah Witir.

Surah Al-Kafirun

قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡكَٰفِرُونَ ١ لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ ٢ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٣ وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٞ مَّا عَبَدتُّمۡ ٤ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٥ لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ ٦

Qul yā ayyuhal-kāfirūn. Lā a‘budu mā ta‘budūn. Wa lā antum ‘ābidūna mā a‘bud. Wa lā ana ‘ābidum mā ‘abattum. Wa lā antum ‘ābidūna mā a‘bud. Lakum dīnukum wa liya dīn



Maksud Bacaan

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.


14

Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

cara rukuk solat

Angkat kedua-dua tangan dan bertakbir “Allāhu akbar” sambil tunduk untuk rukuk, seperti rakaat pertama. Ratakan belakang dan letakkan tapak tangan di atas lutut.

Seperti sebelumnya, bacaan rukuk adalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-‘aẓīmi wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung, serta segala puji bagi-Nya.”


15

Kemudian Bangun Iktidal

Posisi dan cara iktidal

Angkat kepala daripada rukuk sambil mengangkat tangan, seperti rakaat pertama. Ketika bangun, baca:

سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Sami‘allāhu liman ḥamidah



Maksud Bacaan

“Allah mendengar orang yang memuji-Nya.”

Apabila sudah berdiri tegak dengan tamakninah, baca:

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Rabbanā lakal-ḥamd

“Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian.”


16

Selepas Iktidal, Teruskan Dengan Melakukan Sujud

cara sujud dalam solat

Turun sujud sambil bertakbir “Allāhu akbar”, seperti rakaat pertama. Pastikan tujuh anggota menyentuh tempat sujud. Semasa sujud, bacalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


17

Kemudian Duduk di Antara Dua Sujud

Posisi duduk antara dua sujud

Angkat kepala sambil bertakbir dan duduk iftirasy, seperti rakaat pertama. Kemudian baca bacaan antara dua sujud:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Rabbighfir lī warḥamnī wajburnī warfa‘nī warzuqnī wahdinī wa ‘āfinī wa‘fu ‘annī



Maksud Bacaan

“Ya Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku, dan maafkanlah kesalahanku.”


18

Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Sujud kali kedua

Turun sujud kali kedua sambil bertakbir “Allāhu akbar”. Semasa sujud, bacalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


19

Bangun Dari Sujud, Terus Lakukan Tahiyat Akhir 

Posisi atau cara tahiyat akhir

Selepas sujud kedua, angkat kepala sambil bertakbir dan duduk tawarruk, iaitu punggung kiri di atas lantai dan kaki kiri dikeluarkan ke bawah kaki kanan yang ditegakkan.18 Letakkan kedua-dua tangan di atas paha. Genggam jari tangan kanan kecuali jari telunjuk, dan angkat telunjuk ketika menyebut illallāh.19 Kemudian baca tahiyat akhir dan selawat ke atas Nabi ﷺ:

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلّٰهِ. السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللّٰهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللّٰهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللّٰهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

At-taḥiyyātul-mubārakātuṣ-ṣalawātuṭ-ṭayyibātu lillāh. As-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu wa raḥmatullāhi wa barakātuh. As-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhiṣ-ṣāliḥīn. Asyhadu allā ilāha illallāh, wa asyhadu anna Muḥammadar-rasūlullāh. Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammadiw wa ‘alā āli Muḥammad, kamā ṣallaita ‘alā Ibrāhīma wa ‘alā āli Ibrāhīm, wa bārik ‘alā Muḥammadiw wa ‘alā āli Muḥammad, kamā bārakta ‘alā Ibrāhīma wa ‘alā āli Ibrāhīma fil-‘ālamīna innaka ḥamīdum majīd



Maksud Bacaan

Segala penghormatan, keberkatan, solat dan kebaikan adalah bagi Allah. Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah. Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau melimpahkan rahmat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Berkatilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau memberkati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di seluruh alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

Sebelum salam, sunat berdoa.20


20

Setelah Selesai Membaca Tahiyat, Akhiri Solat Witir Dua Rakaat Pertama Ini Dengan Memberi Salam

Akhiri dua rakaat pertama dengan memberi salam. Salam pertama ke kanan ialah rukun yang menamatkan solat, manakala salam kedua ke kiri hukumnya sunat.

memberi salam dalam solat

Pada salam pertama, palingkan muka ke sebelah kanan dan ucapkan salam seperti berikut:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

As-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh



Maksud Bacaan

Salam sejahtera ke atas kamu dan rahmat Allah.

… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

As-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh

Selesailah dua rakaat pertama. Sekarang berdiri untuk satu rakaat terakhir dengan niat dan takbiratul ihram yang baharu, seperti langkah seterusnya.

Satu Rakaat Terakhir: Mulakan Solat Baharu

21

Solat Witir Dimulakan Dengan Takbiratul Ihram dan Niat

Cara mengangkat takbir (takbiratul ihram) dalam solat

Mulakan solat satu rakaat dengan takbiratul ihram yang baharu, sambil menghadirkan niat Witir satu rakaat. Inilah rakaat ketiga dalam keseluruhan kaedah 2 + 1. Lafaz niatnya:

أُصَلِّي سُنَّةَ الوِتْرِ رَكْعَةً لِلَّهِ تَعَالَى

Uṣallī sunnatal-witri rak‘atan lillāhi ta‘ālā

Atau anda boleh berniat dalam Bahasa Melayu sahaja: “Sahaja aku solat sunat Witir satu rakaat kerana Allah Taala.”


22

Baca Doa Iftitah (Sunat)

Selepas takbiratul ihram, baca doa iftitah secara perlahan. Ia sunat dan dibaca pada rakaat pertama sahaja. Jika tidak membacanya, solat tetap sah.7 Huraian lanjut ada dalam artikel doa iftitah.

اَللّٰهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلّٰهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللّٰهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا. وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ. إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلّٰهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ.

Allāhu akbaru kabīrā, wal-ḥamdu lillāhi kaṡīrā, wa subḥānallāhi bukrataw wa aṣīlā. Wajjahtu wajhiya lillażī faṭaras-samāwāti wal-arḍa ḥanīfam muslimaw wa mā ana minal-musyrikīn. Inna ṣalātī wa nusukī wa maḥyāya wa mamātī lillāhi rabbil-‘ālamīn. Lā syarīka lahū wa biżālika umirtu wa ana minal-muslimīn.



Maksud Bacaan

Allah Maha Besar dengan sebesar-besarnya, segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya, dan Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, dalam keadaan lurus dan berserah diri, dan aku bukanlah daripada golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dengan itulah aku diperintahkan, dan aku daripada golongan orang Islam.


23

Bacalah Surah al-Fatihah

Selepas doa iftitah, baca ta‘awwuz secara perlahan, kemudian baca al-Fatihah seperti dalam dua rakaat sebelumnya.

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Ṣirāṭal-lażīna an‘amta ‘alaihim ghairil-maghḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn



Maksud Bacaan

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Kemudian sebut “Āmīn” seperti rakaat pertama.


24

Kemudian, Bacalah Surah Lazim

Selepas Al-Fatihah, disunatkan membaca Al-Ikhlas, diikuti Al-Falaq dan An-Nas dalam amalan Syafi’e. Jika hanya membaca Al-Ikhlas, solat tetap sah apabila rukun dan syaratnya dipenuhi. Tidak wajib membaca ketiga-tiga surah dan tidak perlu mengulangi Al-Fatihah sebelum setiap surah.

Surah Al-Ikhlas

قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢ لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ ٣ وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ ٤

Qul huwallāhu aḥad. Allāhuṣ-ṣamad. Lam yalid wa lam yūlad. Wa lam yakul lahū kufuwan aḥad



Maksud Bacaan

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.

Surah Al-Falaq

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلۡفَلَقِ ١ مِن شَرِّ مَا خَلَقَ ٢ وَمِن شَرِّ غَاسِقٍ إِذَا وَقَبَ ٣ وَمِن شَرِّ ٱلنَّفَّٰثَٰتِ فِي ٱلۡعُقَدِ ٤ وَمِن شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ ٥

Qul a‘ūżu birabbil-falaq. Min syarri mā khalaq. Wa min syarri ghāsiqin iżā waqab. Wa min syarrin-naffāṡāti fil-‘uqad. Wa min syarri ḥāsidin iżā ḥasad



Maksud Bacaan

Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.

Surah An-Nas

قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ ١ مَلِكِ ٱلنَّاسِ ٢ إِلَٰهِ ٱلنَّاسِ ٣ مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ ٤ ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ ٥ مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ ٦

Qul a‘ūżu birabbin-nās. Malikin-nās. Ilāhin-nās. Min syarril-waswāsil-khannās. Allażī yuwaswisu fī ṣudūrin-nās. Minal-jinnati wan-nās

Maksud Bacaan

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, -“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, – “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.


25

Selesai Membaca Surah, Teruskan Dengan Rukuk

Posisi dan cara melakukan rukuk dalam solat

Angkat kedua-dua tangan seperti ketika takbiratul ihram, dan bertakbir “Allāhu akbar” sambil tunduk untuk rukuk. Letakkan tapak tangan di atas lutut dengan jari direnggangkan. Ratakan belakang dan tengkuk, dan halakan pandangan ke tempat sujud.14

Bacaan dalam rukuk adalah sama seperti bacaan rukuk solat fardu iaitu:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-‘aẓīmi wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung, serta segala puji bagi-Nya.”


26

Kemudian Bangun Iktidal

Kedudukan ketika iktidal

Angkat kepala daripada rukuk sambil mengangkat kedua-dua tangan seperti ketika takbiratul ihram.15 Ketika bangun, baca:

سَمِعَ اللّٰهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

Sami‘allāhu liman ḥamidah



Maksud Bacaan

“Allah mendengar orang yang memuji-Nya.”

Apabila sudah berdiri tegak dengan tamakninah, baca:

رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Rabbanā lakal-ḥamd

“Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian.”


27 Khas Bulan Ramadan

Mulai Malam 16 Ramadan hingga Akhir Ramadan: Baca Qunut

doa qunut

Pada rakaat terakhir Witir, mulai malam 16 Ramadan hingga akhir Ramadan, disunatkan membaca qunut ketika iktidal, iaitu selepas bangun dari rukuk dan sebelum turun sujud. Lafaznya sama seperti qunut Subuh.

Belum hafal atau terlupa? Lihat qunut ringkas dan hukum sujud sahwi.

Bacaan Doa Qunut sebagaimana berikut:

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ. فَإِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ. فَلَكَ الْحَمْدُ عَلَى مَا قَضَيْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ. وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.

Allāhummah-dinī fīman hadait,
Wa ‘āfinī fīman ‘āfait,
Wa tawallanī fīman tawallait,
Wa bārik lī fīmā a‘ṭait,
Wa qinī syarra mā qaḍait,
Fa-innaka taqḍī wa lā yuqḍā ‘alaik,
Wa innahū lā yażillu man wālait,
Wa lā ya‘izzu man ‘ādait,
Tabārakta rabbanā wa ta‘ālait,
Falakal-ḥamdu ‘alā mā qaḍait,
Astaghfiruka wa atūbu ilaik,
Wa ṣallallāhu ‘alā sayyidinā Muḥammadin-nabiyyil-ummiyy,
Wa ‘alā ālihī wa ṣaḥbihī wa sallam.



Maksud Bacaan

“Ya Allah, berilah aku petunjuk bersama orang yang telah Engkau beri petunjuk. Kurniakanlah kesejahteraan kepadaku bersama orang yang telah Engkau sejahterakan. Peliharalah aku bersama orang yang telah Engkau pelihara.

Berkatilah apa yang Engkau kurniakan kepadaku dan lindungilah aku daripada keburukan apa yang telah Engkau tetapkan.

Sesungguhnya Engkaulah yang menetapkan, dan tiada sesiapa dapat menetapkan sesuatu ke atas-Mu. Tidak akan hina orang yang Engkau pelihara, dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi. Maha Berkat Engkau, wahai Tuhan kami, dan Maha Tinggi.

Bagi-Mu segala pujian atas ketetapan-Mu. Aku memohon ampun kepada-Mu dan bertaubat kepada-Mu.

Semoga Allah melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada junjungan kami Nabi Muhammad yang ummi, serta keluarga dan para sahabat Baginda.”


28

Seterusnya Melakukan Sujud

Kedudukan atau posisi yang betul ketika sujud dalam solat

Turun untuk sujud sambil bertakbir “Allāhu akbar”, tanpa mengangkat tangan. Letakkan lutut dahulu, kemudian tapak tangan, kemudian dahi dan hidung.16

Wajib meletakkan tujuh anggota pada tempat sujud: dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki. Sebahagian dahi mesti terdedah menyentuh tempat sujud, seperti sejadah, dan tidak terhalang oleh kopiah, telekung atau tudung yang dipakai. Punggung pula mesti lebih tinggi daripada kepala.

Semasa sujud, bacalah:

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


29

Kemudian Duduk di Antara Dua Sujud

Posisi istirahah atau cara duduk antara dua sujud dalam solat

Angkat kepala daripada sujud pertama sambil bertakbir “Allāhu akbar”. Duduk iftirasy, iaitu duduk di atas kaki kiri dengan kaki kanan ditegakkan, dan letakkan tangan di atas paha berhampiran lutut. Duduk dengan tamakninah.17 Duduk ini ialah rukun solat dan berbeza daripada duduk istirahat sebelum bangun ke rakaat seterusnya.

Kemudian bacalah doa antara dua sujud seperti ini:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَاجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَاعْفُ عَنِّي

Rabbighfir lī warḥamnī wajburnī warfa‘nī warzuqnī wahdinī wa ‘āfinī wa‘fu ‘annī



Maksud Bacaan

“Ya Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah kekuranganku, angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, berilah petunjuk kepadaku, sihatkanlah aku, dan maafkanlah kesalahanku.”


30

Kemudian Lakukan Sujud Kedua

Sujud kali kedua dalam solat

Selesai doa antara dua sujud, turun sujud sekali lagi sambil bertakbir “Allāhu akbar”. Lakukan seperti sujud pertama, dengan tujuh anggota menyentuh tempat sujud, kemudian baca bacaan dalam sujud.16

سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ

Subḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)



Maksud Bacaan

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya


31

Bangun Dari Sujud, Terus Lakukan Tahiyat Akhir 

Posisi atau cara tahiyat akhir

Selepas sujud kedua, angkat kepala sambil bertakbir dan duduk tawarruk, iaitu punggung kiri di atas lantai dan kaki kiri dikeluarkan ke bawah kaki kanan yang ditegakkan.18 Letakkan kedua-dua tangan di atas paha. Genggam jari tangan kanan kecuali jari telunjuk, dan angkat telunjuk ketika menyebut illallāh.19 Kemudian baca tahiyat akhir dan selawat ke atas Nabi ﷺ:

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلّٰهِ. السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ. السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللّٰهِ الصَّالِحِينَ. أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللّٰهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللّٰهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ. كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

At-taḥiyyātul-mubārakātuṣ-ṣalawātuṭ-ṭayyibātu lillāh. As-salāmu ‘alaika ayyuhan-nabiyyu wa raḥmatullāhi wa barakātuh. As-salāmu ‘alainā wa ‘alā ‘ibādillāhiṣ-ṣāliḥīn. Asyhadu allā ilāha illallāh, wa asyhadu anna Muḥammadar-rasūlullāh. Allāhumma ṣalli ‘alā Muḥammadiw wa ‘alā āli Muḥammad, kamā ṣallaita ‘alā Ibrāhīma wa ‘alā āli Ibrāhīm, wa bārik ‘alā Muḥammadiw wa ‘alā āli Muḥammad, kamā bārakta ‘alā Ibrāhīma wa ‘alā āli Ibrāhīma fil-‘ālamīna innaka ḥamīdum majīd



Maksud Bacaan

Segala penghormatan, keberkatan, solat dan kebaikan adalah bagi Allah. Salam sejahtera ke atasmu wahai Nabi, serta rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah. Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau melimpahkan rahmat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Berkatilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau memberkati Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Di seluruh alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

Sebelum salam, sunat berdoa.20


32

Setelah Selesai Membaca Tahiyat, Akhiri Dengan Memberi Salam

Akhiri satu rakaat terakhir ini dengan memberi salam. Salam pertama ke kanan ialah rukun, manakala salam kedua ke kiri hukumnya sunat.

memberi salam dalam solat

Pada salam pertama, palingkan muka ke sebelah kanan dan ucapkan salam seperti berikut:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

As-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh



Maksud Bacaan

Salam sejahtera ke atas kamu dan rahmat Allah.

… kemudian palingkan pula muka ke sebelah kiri dan ucapkan salam kedua:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰهِ

As-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh

Selesailah Witir tiga rakaat dengan dua salam. Teruskan dengan zikir dan doa selepas Witir di bawah.

Rujukan Pantas: Bacaan Setiap Pergerakan

PergerakanBacaan
Takbiratul ihramAllāhu akbar, dengan niat dalam hati
Doa iftitah (sunat)Allāhu akbar kabīrā…
Ta‘awwuz (sunat, setiap rakaat)A‘ūżu billāhi minasy-syaiṭānir-rajīm
BerdiriAl-Fatihah (wajib), kemudian surah (sunat)
RukukSubḥāna rabbiyal-‘aẓīmi wa biḥamdih (3x)
IktidalSami‘allāhu liman ḥamidah. Rabbanā lakal-ḥamd
Qunut (separuh akhir Ramadan)Pada iktidal rakaat terakhir sahaja
SujudSubḥāna rabbiyal-a‘lā wa biḥamdih (3x)
Duduk antara dua sujudRabbighfir lī warḥamnī wajburnī…
Tahiyat akhirAt-taḥiyyātu… dan selawat ke atas Nabi ﷺ
SalamAs-salāmu ‘alaikum wa raḥmatullāh, ke kanan dan ke kiri

Butiran setiap langkah, dengan tulisan Arab, rumi, maksud dan audio, ada di atas. Lakukan setiap pergerakan dengan tenang dan jaga tamakninah.

Wirid & Zikir Selepas Solat Witir

Selepas salam, ikut susunan di bawah. Langkah 1 dan 8 ada riwayat khusus selepas Witir. Yang lain ialah zikir umum yang lazim diamalkan.21

1

Subḥānal-Malikil-Quddūs (3 Kali)

Sebaik sahaja selesai memberi salam, baca zikir ini tiga kali.

Baca tiga kali

سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ

Subḥānal-malikil-quddūs

Maha Suci Allah, Raja Yang Maha Suci.22

Panjangkan dan kuatkan sedikit suara pada kali ketiga.


2

Sambung dengan Rabbil-Malā’ikati war-Rūḥ

Pada bacaan kali ketiga, sambung terus dengan lafaz ini.

Sambungan kali ketiga

رَبِّ الْمَلَائِكَةِ وَالرُّوحِ

Rabbil-malā’ikati war-rūḥ

Tuhan para malaikat dan Jibril.23


3

Baca Surah al-Fatihah

Kemudian baca al-Fatihah sekali.

Al-Fatihah

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤ إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Ṣirāṭal-lażīna an‘amta ‘alaihim ghairil-maghḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan Mentadbirkan Alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami Sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


4

Istighfar (3 Kali)

Kemudian mohon ampun kepada Allah.

Istighfar, 3 kali

أَسْتَغْفِرُ اللّٰهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لَا إِلٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

Astaghfirullāhal-‘aẓīmal-lażī lā ilāha illā huwal-ḥayyul-qayyūmu wa atūbu ilaih.

Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha Mentadbir, dan aku bertaubat kepada-Nya.24


5

Tahmid

Kemudian puji Allah. Bacalah sebanyak yang mampu.

Tahmid

اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ

Al-ḥamdu lillāh

Segala puji bagi Allah.


6

Tahlil

Kemudian baca tahlil, sebanyak yang mampu.

Tahlil

لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ

Lā ilāha illallāh

Tiada Tuhan melainkan Allah.


7

Takbir

Kemudian bertakbir, sebanyak yang mampu.

Takbir

اَللّٰهُ أَكْبَرُ

Allāhu akbar

Allah Maha Besar.


Doa Selepas Solat Witir

8

Baca Doa Witir

Kemudian baca doa yang dibaca Nabi ﷺ pada akhir Witir.

Doa akhir Witir

اَللّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ

Allāhumma innī a‘ūżu biriḍāka min sakhaṭik, wa bimu‘āfātika min ‘uqūbatik, wa a‘ūżu bika mink, lā uḥṣī ṡanā’an ‘alaik, anta kamā aṡnaita ‘alā nafsik.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu daripada hukuman-Mu. Aku berlindung kepada-Mu daripada-Mu. Aku tidak mampu menghitung pujian bagi-Mu. Engkau adalah sebagaimana Engkau memuji diri-Mu.25


9

Akhiri dengan Doa Penutup

Akhiri dengan doa ini, yang lazim dibaca selepas Witir di masjid-masjid kita. Jika masa terhad, cukup sampai langkah 8.26

Bahagian 1: Permohonan

بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ اللّٰهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ إِيْمَانًا دَائِمًا وَنَسْأَلُكَ قَلْبًا خَاشِعًا وَنَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَنَسْأَلُكَ يَقِينًا صَادِقًا وَنَسْأَلُكَ عَمَلًا صَالِحًا وَنَسْأَلُكَ دِيْنًا قَيِّمًا وَنَسْأَلُكَ العَفْوَ وَالعَافِيَةَ وَنَسْأَلُكَ تَمَامَ العَافِيَةِ وَنَسْأَلُكَ الشُّكْرَ عَلَى العَافِيَةِ وَنَسْأَلُكَ الغِنَى عَنِ النَّاسِ

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Allāhumma innā nas’aluka īmānan dā’iman, wa nas’aluka qalban khāsyi‘an, wa nas’aluka ‘ilman nāfi‘an, wa nas’aluka yaqīnan ṣādiqan, wa nas’aluka ‘amalan ṣāliḥan, wa nas’aluka dīnan qayyiman, wa nas’aluka al-‘afwa wal-‘āfiyah, wa nas’aluka tamāmal-‘āfiyah, wa nas’aluka asy-syukra ‘alal-‘āfiyah, wa nas’aluka al-ghinā ‘anin-nās.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu iman yang berkekalan, hati yang khusyuk, ilmu yang bermanfaat, keyakinan yang benar, amalan yang soleh, agama yang lurus, kemaafan dan keafiatan, keafiatan yang sempurna, kesyukuran atas keafiatan, dan kecukupan sehingga tidak bergantung kepada manusia.

Bahagian 2: Mohon diterima ibadah

اللّٰهُمَّ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا صَلَاتَنَا وَصِيَامَنَا وَقِيَامَنَا وَتَخَشُّعَنَا وَتَضَرُّعَنَا وَتَعَبُّدَنَا وَتَمِّمْ تَقْصِيْرَنَا يَا اللّٰهُ يَا اللّٰهُ يَا اللّٰهُ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Allāhumma rabbana taqabbal minnā ṣalātanā wa ṣiyāmanā wa qiyāmanā wa takhasysyu‘anā wa taḍarru‘anā wa ta‘abbudanā wa tammim taqṣīranā yā Allāh, yā Allāh, yā Allāh, yā arḥamar-rāḥimīn.

Ya Allah, Tuhan kami, terimalah daripada kami solat kami, puasa kami, qiyam kami, kekhusyukan kami, kerendahan diri kami dan ibadah kami. Sempurnakanlah kekurangan kami, ya Allah, ya Allah, ya Allah, wahai Yang Paling Mengasihani antara yang mengasihani.

Bahagian 3: Selawat dan penutup

وَصَلَّى اللّٰهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ العِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ وَسَلَامٌ عَلَى المُرْسَلِيْنَ وَالحَمْدُ لِلّٰهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

Wa ṣallallāhu ‘alā sayyidinā Muḥammad, wa ‘alā ālihi wa ṣaḥbihi ajma‘īn, subḥāna rabbika rabbil-‘izzati ‘ammā yaṣifūn, wa salāmun ‘alal-mursalīn, wal-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn.

Semoga Allah melimpahkan selawat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, ke atas keluarga dan sahabat baginda semuanya. Maha Suci Tuhanmu, Tuhan Yang Maha Mulia, daripada apa yang mereka sifatkan. Salam sejahtera ke atas para rasul, dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

  1. Berniat dan bertakbir. Hadirkan niat Witir satu rakaat ketika takbiratul ihram. Lafaznya ada di bahagian Niat.
  2. Berdiri dan membaca. Disunatkan doa iftitah, kemudian Al-Fatihah. Selepas Al-Fatihah, disunatkan membaca surah yang dihafal.
  3. Rukuk dengan tamakninah.
  4. Bangun iktidal dengan tamakninah. Pada separuh akhir Ramadan, disunatkan membaca qunut di sini.
  5. Sujud pertama.
  6. Duduk antara dua sujud.
  7. Sujud kedua.
  8. Duduk tahiyat akhir, baca tahiyat dan selawat.
  9. Beri salam. Witir satu rakaat anda selesai.

Bacaan rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud adalah sama seperti yang diterangkan dalam panduan tiga rakaat di atas. Ringkasan bacaan setiap pergerakan ada dalam Rujukan Pantas.

Selepas salam, selesailah Witir satu rakaat anda. Teruskan dengan zikir dan doa selepas Witir di atas.

Bacaan penuh qunut berserta rumi, maksud dan audio ada pada langkah 25 dalam panduan tiga rakaat di atas.

Malam 16 Ramadan Bermula Bila?

Malam 16 Ramadan bermula selepas Maghrib pada penghujung hari puasa ke-15.

Maksudnya, selepas berbuka puasa hari ke-15, solat Isyak, Tarawih dan Witir pada malam itu sudah berada dalam malam 16 Ramadan.

Qunut Dibaca pada Rakaat Ke Berapa?

Baca qunut pada rakaat terakhir Witir, selepas rukuk dan sebelum sujud:

Jumlah WitirTempat membaca qunut
Satu rakaatPada satu rakaat tersebut
Tiga rakaatPada rakaat ketiga
Lima rakaat atau lebihPada rakaat terakhir

Bacaan ini kadangkala disebut “qunut Tarawih” kerana didengar selepas Tarawih. Namun, dalam amalan yang diterangkan di sini, ia dibaca dalam solat Witir, bukan pada rakaat Tarawih.

Jika Belum Hafal atau Terlupa Membaca Qunut

Belum hafal qunut yang panjang? Qunut tidak terhad kepada satu lafaz sahaja. Boleh membaca doa Arab ringkas yang mengandungi permohonan dan pujian kepada Allah, contohnya اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي يَا غَفُورُ (Allāhummaghfir lī yā Ghafūr), bermaksud “Ya Allah, ampunilah aku, wahai Yang Maha Pengampun”.27

Bacalah dengan niat qunut dan sertakan selawat. Jika qunut ditinggalkan, lihat penjelasan sujud sahwi di bawah. Ketiadaan qunut semata-mata tidak membatalkan solat.

Jika qunut Witir tertinggal pada separuh akhir Ramadan, solat tetap sah, tetapi disunatkan sujud sahwi.13

Jika sudah berada dalam keadaan sujud, teruskan solat dan jangan kembali berdiri semata-mata untuk membaca qunut. Lakukan sujud sahwi sebelum salam.

Sujud sahwi juga bukan rukun. Solat tidak terbatal semata-mata kerana qunut dan sujud sahwi tidak dilakukan.

Nota

Terdapat perbezaan pandangan ulama tentang qunut Witir. Panduan ini menggunakan amalan Syafi’e. Perbezaan amalan tidak semestinya bermaksud solat seseorang tidak sah.

1. Penutup Solat Malam yang Dianjurkan Nabi ﷺ

اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

“Jadikanlah Witir sebagai solat terakhir kamu pada waktu malam.”28

Riwayat al-Bukhari, no. 998 dan Muslim, no. 751, daripada Ibn Umar RA. Status: sahih.

Sebab itu Witir dikerjakan selepas Tahajud jika anda bangun malam, atau sebelum tidur jika bimbang tidak terjaga.

2. Allah Suka kepada Witir

يَا أَهْلَ الْقُرْآنِ أَوْتِرُوا، فَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ

“Wahai ahli al-Quran, kerjakanlah Witir, kerana sesungguhnya Allah itu Witir (Maha Esa) dan Dia suka kepada witir.”29

Riwayat Abu Dawud, no. 1416 dan al-Tirmizi, no. 453, daripada Ali bin Abi Talib RA. Status: hasan menurut al-Tirmizi, sahih menurut al-Albani.

Menjaganya membantu kita membiasakan diri dengan ibadah tambahan. Selepas kesibukan harian, waktu yang singkat ini juga memberi ruang untuk memohon keampunan, mensyukuri nikmat dan berdoa kepada Allah.

3. Diwasiatkan Nabi ﷺ dan Dijaga Walaupun Bermusafir

أَوْصَانِي خَلِيلِي ﷺ بِثَلَاثٍ صِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

“Kekasihku (Rasulullah ﷺ) berwasiat kepadaku dengan tiga perkara: berpuasa tiga hari setiap bulan, solat dua rakaat Dhuha, dan berwitir sebelum tidur.”30

Riwayat al-Bukhari, no. 1981 dan Muslim, no. 721, daripada Abu Hurairah RA. Status: sahih.

Rasulullah ﷺ sendiri tetap berwitir ketika bermusafir, walaupun di atas tunggangan. Amalan yang diwasiatkan kepada sahabat dan tidak ditinggalkan Baginda ketika musafir ialah amalan yang patut dijaga setiap malam.

4. Lebih Baik daripada Unta Merah

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَمَدَّكُمْ بِصَلَاةٍ هِيَ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ وَهِيَ الْوِتْرُ فَجَعَلَهَا لَكُمْ فِيمَا بَيْنَ الْعِشَاءِ إِلَى طُلُوعِ الْفَجْرِ

“Sesungguhnya Allah telah menambah kepada kamu satu solat yang lebih baik bagi kamu daripada unta merah, iaitu Witir. Allah menjadikannya untuk kamu antara waktu Isyak hingga terbit fajar.”31

Riwayat Abu Daud, no. 1418, al-Tirmizi, no. 452 dan al-Hakim, no. 1148, daripada Kharijah bin Huzafah RA. Status: diperselisihkan. Al-Hakim menilainya sahih sanad, tetapi al-Tirmizi menyebutnya gharib dan Imam al-Nawawi menyatakan sanadnya lemah.

Unta merah ialah harta paling bernilai bagi masyarakat Arab ketika itu. Walaupun sanad hadis ini dipertikaikan, kedudukan Witir yang tinggi sudah sabit melalui hadis-hadis sahih di atas.

5. Sebahagian daripada Solat Malam yang Menghapuskan Kesalahan

عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأْبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ لِلْإِثْمِ

“Hendaklah kamu mendirikan solat malam, kerana ia amalan orang-orang soleh sebelum kamu, mendekatkan diri kepada Tuhan kamu, menghapuskan kesalahan dan mencegah daripada dosa.”32

Riwayat al-Tirmizi, no. 3549, daripada Abu Umamah RA. Status: menurut al-Tirmizi, riwayat Abu Umamah ini lebih sahih daripada riwayat Bilal RA yang sanadnya tidak sahih.

Hadis ini tentang solat malam secara umum. Witir ialah sebahagian daripada solat malam, malah penutupnya, jadi orang yang menjaga Witir turut mengambil bahagian daripada kelebihan ini.

Bolehkah terus solat Witir selepas Isyak tanpa Tahajud?

Boleh. Selepas menunaikan Isyak, anda boleh mengerjakan Witir walaupun tidak melakukan Tahajud.

Jika mengerjakan solat sunat ba‘diyah Isyak, anda boleh melakukannya dahulu sebelum Witir. Tidur dan bangun semula bukan syarat untuk menunaikan Witir.

Sudah Witir selepas Tarawih, boleh Tahajud lagi?

Boleh. Jika terjaga pada akhir malam, teruskan Tahajud tanpa mengulangi Witir.

Anda tidak perlu “membatalkan” Witir yang sudah dilakukan untuk membolehkan solat sunat yang lain.3

Lebih baik Witir bersama imam atau selepas Tahajud?

Jika mengikuti Witir bersama imam, anda masih boleh bertahajud kemudian tanpa mengulangi Witir.

Jika memilih untuk melewatkan Witir kerana yakin akan bangun, tunaikannya selepas selesai solat malam. Pilih berdasarkan kemampuan supaya Witir tidak tertinggal.

Adakah doa selepas Witir wajib?

Tidak. Doa selepas salam bukan rukun atau syarat sah Witir.

Jika tidak membaca doa panjang, solat tetap sah apabila rukun dan syaratnya dipenuhi. Anda boleh membaca zikir ringkas dan berdoa mengikut kemampuan.

Bolehkah Witir lima, tujuh, sembilan atau sebelas rakaat?

Boleh. Salah satu caranya ialah memberi salam selepas setiap dua rakaat, kemudian mengakhirinya dengan satu rakaat:

Lima rakaat: 2 + 2 + 1.
Tujuh rakaat: 2 + 2 + 2 + 1.
Sembilan rakaat: 2 + 2 + 2 + 2 + 1.
Sebelas rakaat: 2 + 2 + 2 + 2 + 2 + 1.

Bolehkah Witir selepas Isyak yang dijamak taqdim?

Boleh, apabila Isyak telah ditunaikan melalui jamak taqdim yang sah bersama Maghrib.

Dalam keadaan ini, Witir boleh dilakukan selepas Isyak tersebut walaupun waktu Isyak biasa belum masuk.33

Bolehkah Witir diqada jika tertidur atau terlupa?

Dalam mazhab Syafi’e, disunatkan mengqada solat sunat yang mempunyai waktu tertentu apabila tertinggal, termasuk Witir.34

Jika hanya terjaga selepas masuk Subuh, waktu asal Witir sudah berakhir. Witir yang dilakukan selepas itu ialah qada.

Pastikan solat Subuh ditunaikan dalam waktunya. Anda boleh menggantikan Witir yang tertinggal tanpa menunggu sehingga malam berikutnya.

Bolehkah solat Witir satu rakaat sahaja?

Boleh. Satu rakaat ialah bilangan minimum Witir dalam mazhab Syafi’e. Tiga rakaat lebih afdal berbanding mencukupkan satu rakaat sahaja.

Ikuti cara Witir satu rakaat di atas. Tidak perlu menambah dua rakaat jika anda memilih satu rakaat sahaja.

Tidak hafal Al-A‘la atau hanya membaca Al-Ikhlas, sahkah Witir?

Sah apabila rukun dan syarat solat dipenuhi. Bacaan surah selepas Al-Fatihah ialah sunat dan anda boleh membaca surah yang dihafal.

Tidak wajib membaca ketiga-tiga surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Solat tidak perlu diulang semata-mata kerana surah sunat ini tertinggal.

Bagaimana jika belum hafal atau terlupa qunut Witir?

Dalam amalan Syafi’e, qunut Witir disunatkan pada separuh akhir Ramadan. Jika belum hafal bacaan panjang, lihat contoh qunut ringkas di atas.

Jika qunut tertinggal, solat tetap sah dan disunatkan sujud sahwi. Jika sudah sujud, teruskan solat tanpa kembali berdiri semata-mata untuk membaca qunut.

Adakah Witir perlu dihentikan apabila masuk waktu imsak?

Waktu asal Witir berakhir apabila masuk waktu Subuh, bukan waktu imsak. Jika Subuh belum masuk, anda masih berada dalam waktu Witir.

Jika hanya terjaga selepas masuk Subuh, lihat penjelasan qada Witir di atas. Jaga supaya solat Subuh ditunaikan dalam waktunya.

Kulit PDF Panduan Solat Witir: Niat, Cara 1 & 3 Rakaat serta Doa

Siri Panduan Ibadah

Muat Turun Panduan Solat Witir (PDF)

Percuma. Masukkan nama dan emel anda, dan PDF akan dihantar terus ke peti masuk anda.

  • Arab, rumi dan maksud bagi setiap bacaan
  • Gambar setiap langkah, cara 2 + 1 dan satu rakaat
  • Saiz A5 dan A4, siap dengan kad rujukan untuk dicetak






Privasi anda menjadi keutamaan kami. Kami tidak bertoleransi dengan sebarang spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Mulakan pada waktu yang anda mampu jaga. Jika bimbang tidak bangun malam, kerjakan sebelum tidur. Jika mampu bangun Tahajud, akhiri solat malam dengan Witir.

Semoga Allah memudahkan kita untuk istiqamah dan menerima ibadah yang dilakukan dengan ikhlas.

Nota Kaki & Rujukan

  1. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menghuraikan kedudukan Witir sebagai penutup solat malam, keharusan menunaikannya sebelum tidur, dan tatacara yang lebih afdal, termasuk memisahkan dua rakaat dan satu rakaat dengan salam. [AL-KAFI #1393] ↩︎
  2. Hadis Jabir RA dalam Sahih Muslim menerangkan pemilihan waktu Witir: pada awal malam jika bimbang tidak terjaga, atau pada akhir malam jika yakin dapat bangun. [Sahih Muslim 755a] ↩︎
  3. Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan hukum menunaikan solat sunat selepas Witir. Penjelasan ini berkaitan persoalan meneruskan solat malam tanpa mengulangi Witir. [Taudhih al-Hukmi #86] ↩︎
  4. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan membincangkan keharusan Witir satu rakaat serta kelebihan mengerjakannya sekurang-kurangnya tiga rakaat dalam mazhab Syafi’e. [AL-KAFI #1131] ↩︎
  5. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan kedudukan niat ketika takbiratul ihram dalam mazhab Syafi’e. [AL-KAFI #1974] ↩︎
  6. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan cara berniat bagi dua rakaat pertama Witir yang dilakukan dengan dua salam. [Irsyad Hukum Ramadan #254] ↩︎
  7. Doa iftitah sunat dibaca secara perlahan selepas takbiratul ihram. Lafaz yang lazim di Malaysia menggabungkan dua riwayat sahih. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] [Sahih Muslim 601] [Sahih Muslim 771] ↩︎
  8. Selepas doa iftitah, sunat membaca ta‘awwuz secara perlahan sebelum al-Fatihah pada setiap rakaat, dan pada rakaat pertama ia lebih dituntut. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «ثم التعوذ ويسرهما ويتعوذ في كل ركعة على المذهب والأولى آكد»] ↩︎
  9. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa iftitah ialah sunat dan tidak lagi disunatkan apabila bacaan Al-Fatihah telah dimulakan. [AL-KAFI #1959] ↩︎
  10. Selepas al-Fatihah, sunat menyebut “Āmīn” dengan mim yang tidak bertasydid. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «ويسن عقب الفاتحة آمين خفيفة الميم»] ↩︎
  11. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan bahawa membaca surah atau ayat al-Quran selepas Al-Fatihah ialah sunat. [AL-KAFI #1713] ↩︎
  12. Riwayat Ubay bin Kaab RA menerangkan bacaan surah dalam Witir dan zikir “Subhanal Malikil Quddus” selepasnya. Sunan an-Nasa’i menyebut bacaan zikir ini tiga kali dengan bacaan terakhir dipanjangkan. [Sunan an-Nasa’i 1699] [Sunan Abu Dawud 1430] ↩︎
  13. Panduan Jabatan Mufti Negeri Perak menerangkan pelaksanaan Witir, qunut pada separuh akhir Ramadan dan sujud sahwi apabila qunut tertinggal. [Panduan Solat Sunat Tarawih] ↩︎
  14. Sunat bertakbir ketika mula tunduk untuk rukuk dan mengangkat tangan seperti ketika takbiratul ihram. Rukuk yang sempurna ialah meratakan belakang dan tengkuk serta memegang lutut dengan jari direnggangkan. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «وأكمله تسوية ظهره وعنقه ونصب ساقيه وأخذ ركبتيه بيديه وتفرقة أصابعه للقبلة ويكبر في ابتداء هويه ويرفع يديه كإحرامه»] ↩︎
  15. Sunat mengangkat tangan ketika mula mengangkat kepala daripada rukuk sambil membaca “Sami‘allāhu liman ḥamidah”. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «ويسن رفع يديه مع ابتداء رفع رأسه قائلا سمع الله لمن حمده»] ↩︎
  16. Sekurang-kurangnya sujud ialah sebahagian dahi menyentuh tempat sujud secara terus. Meletakkan kedua-dua tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua kaki juga wajib menurut pendapat yang dipilih al-Nawawi, dan punggung mesti lebih tinggi daripada kepala. Sunat bertakbir ketika turun tanpa mengangkat tangan, dan meletakkan lutut, kemudian tangan, kemudian dahi dan hidung. Sujud kedua dilakukan seperti sujud pertama. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «وأقله مباشرة بعض جبهته مصلاه… قلت: الأظهر وجوبه… وأن ترتفع أسافله على أعاليه في الأصح وأكمله يكبر لهويه بلا رفع ويضع ركبتيه ثم يديه ثم جبهته وأنفه», «ثم يسجد الثانية كالأولى»] ↩︎
  17. Duduk antara dua sujud yang sempurna ialah bertakbir ketika bangun, duduk iftirasy dan meletakkan tangan di atas paha berhampiran lutut. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat: «وأكمله يكبر ويجلس مفترشا واضعا يديه قريبا من ركبتيه»] ↩︎
  18. Hadis Abu Humaid al-Sa‘idi RA: pada rakaat terakhir, Nabi ﷺ memajukan kaki kirinya, menegakkan kaki kanan dan duduk di atas punggungnya. [Sahih al-Bukhari 828] [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] ↩︎
  19. Jari telunjuk kanan diangkat ketika menyebut “illallāh”, tidak digerak-gerakkan, dan dibiarkan terangkat hingga akhir tahiyat. [Tuhfat al-Muhtaj 2/80] [Sahih Muslim 580] ↩︎
  20. Imam an-Nawawi menyebut bahawa selepas tasyahhud akhir dan selawat, sunat berdoa, dan doa yang ma’thur (warid daripada Nabi ﷺ) lebih afdal. [Minhaj al-Talibin, Bab Sifat Solat] ↩︎
  21. Dalam mazhab Syafi’e, zikir yang disebut secara khusus selepas Witir ialah «سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ» tiga kali, kemudian doa riwayat Ali RA (langkah 1 dan 8). Imam al-Nawawi menyebut kedua-duanya bersandarkan dua hadis sahih dalam Sunan Abu Daud (al-Majmū‘ 4/16). Al-Fatihah, istighfar, tahmid, tahlil, takbir dan doa penutup ialah zikir dan doa umum yang lazim diamalkan. Susunannya bukan riwayat khusus daripada Nabi ﷺ, dan bacaan ini tidak wajib dihabiskan. ↩︎
  22. Hadis Ubay bin Ka‘ab RA: Nabi ﷺ mengerjakan Witir tiga rakaat, dan selepas salam baginda membaca «سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ» tiga kali dengan memanjangkan bacaan pada kali terakhir. Dalam riwayat lain, baginda menguatkan suara pada kali ketiga (Sunan al-Nasa’i, no. 1699 dan 1732; Sunan Abu Daud, no. 1430). Ibn Hajar al-Haitami menyebut sunat membacanya tiga kali selepas Witir (Tuḥfah al-Muḥtāj 2/227). [Sunan an-Nasa’i 1699] ↩︎
  23. Tambahan «رَبِّ الْمَلَائِكَةِ وَالرُّوحِ» pada bacaan kali ketiga diriwayatkan oleh al-Daraqutni daripada Ubay bin Ka‘ab RA (Sunan al-Dāraquṭnī, no. 1660). Ulama berbeza pendapat tentang kesahihan tambahan ini. Lafaz «سُبُّوحٌ قُدُّوسٌ رَبُّ الْمَلَائِكَةِ وَالرُّوحِ» pula sahih sebagai zikir rukuk dan sujud (Sahih Muslim, no. 487). [Penilaian yang menerima] [Perbincangan al-Durar al-Saniyyah] ↩︎
  24. Lafaz istighfar ini datang daripada hadis Zaid, bekas hamba Nabi ﷺ: sesiapa yang membacanya diampunkan dosanya walaupun dia pernah lari dari medan perang (Sunan Abu Daud, no. 1517; Sunan al-Tirmizi, no. 3577). Riwayat tersebut tanpa perkataan «الْعَظِيمَ». Lafaz dengan «الْعَظِيمَ» ialah sighah istighfar yang masyhur, dan disebut sebagai yang paling lengkap dalam I‘ānah al-Ṭālibīn 4/359. Hadis ini umum, tidak khusus selepas Witir. [Sunan Abu Daud 1517] ↩︎
  25. Daripada Ali bin Abi Talib RA: Nabi ﷺ membaca doa ini pada akhir Witirnya (Sunan Abu Daud, no. 1427; Sunan al-Nasa’i, no. 1747; Sunan al-Tirmizi, no. 3566). Dalam mazhab Syafi’e, doa ini dibaca selepas «سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ» tiga kali (Tuḥfah al-Muḥtāj 2/227; Nihāyah al-Muḥtāj 2/114). [Sunan Abu Dawud 1427] ↩︎
  26. Doa ini bukan lafaz daripada hadis. Ia doa umum yang lazim dibaca selepas Witir di Malaysia, terutama pada bulan Ramadan, dan isinya baik. Penutupnya ialah Surah al-Ṣāffāt, ayat 180 hingga 182. [Surah al-Ṣāffāt 37:180-182] ↩︎
  27. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan qunut boleh menggunakan lafaz yang mengandungi doa dan pujian kepada Allah, serta memberikan contoh doa ringkas. [AL-KAFI #1791] ↩︎
  28. Hadis Ibn Umar RA. Lafaz al-Bukhari: “Jadikanlah Witir sebagai solat terakhir kamu pada waktu malam.” Lafaz Muslim: “Sesiapa yang solat pada waktu malam, hendaklah dia menjadikan Witir sebagai akhir solatnya.” [Sahih al-Bukhari 998] [Sahih Muslim 751] ↩︎
  29. Hadis Ali bin Abi Talib RA, dinilai sahih oleh al-Albani. [Sunan Abu Dawud 1416] ↩︎
  30. Hadis Abu Hurairah RA dalam Sahih al-Bukhari (no. 1981) dan Sahih Muslim (no. 721). Ibn Umar RA pula meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ berwitir di atas unta ketika bermusafir (Sahih al-Bukhari, no. 999). [Sahih al-Bukhari 1981] [Sahih al-Bukhari 999] ↩︎
  31. Al-Hakim (al-Mustadrak, no. 1148) berkata: «هذا حديث صحيح الإسناد», dan al-Zahabi bersetuju. Al-Tirmizi (no. 452) pula berkata: «حديث غريب». Imam al-Nawawi menulis: «وفي إسناد هذا الحديث ضعف، وأشار البخاري وغيره من العلماء إلى تضعيفه» (al-Majmū‘ 4/18). [Sunan Abu Daud 1418] ↩︎
  32. Riwayat al-Tirmizi (no. 3549) daripada Abu Umamah RA. Al-Tirmizi meriwayatkannya juga daripada Bilal RA dan berkata sanad riwayat Bilal tidak sahih, kemudian menyatakan: «وهذا أصح من حديث أبي إدريس عن بلال». Hadis ini tentang solat malam secara umum, bukan khusus Witir. [Jami‘ al-Tirmizi 3549] ↩︎
  33. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa Witir boleh dilakukan selepas Isyak yang ditunaikan melalui jamak taqdim yang sah bersama Maghrib. [Irsyad Fatwa Ramadan #108] ↩︎
  34. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan membincangkan qada solat sunat yang mempunyai waktu tertentu, termasuk Witir yang tertinggal. [Irsyad Fatwa Ramadan #225] ↩︎

Bibliografi Tambahan

  • Dato’ Ismail Kamus, Indahnya Hidup Bersyariat.
  • Rohidzir Rais, Fuad Ismail dan Mohd Wahid Abd Hanif, Ensiklopedia Solat.
  • Dr Nik Yusri Musa, Ensiklopedia A-Z Tentang Solat.
  • Dato’ Dr. Mahmood Haji Abdul Majib dan Rohidzir Rais, Bimbingan Lengkap Solat Sunat.
  • Ustaz Mohd Faez Mohd Shah al-Hashimi, Solat Sunat Harian.
  • Ustaz Muhadir Haji Joll, 1157 Persoalan Solat.
KongsiWhatsAppTelegramFacebook

Ditulis oleh

Muhamad Naim Abd Manaf

Pengasas AkuIslam. Menulis panduan ibadah sejak 2010, dengan bahasa yang mudah dan rujukan yang disemak.

اِقْرَأْ أَيْضًا

Bacaan Berkaitan

Dipilih berdasarkan isi artikel ini

تَزْكِيَةُ النَّفْسِ

Siri Tazkiyah

Peringatan ringkas untuk hati, terus ke e-mel anda. Percuma, dan boleh berhenti bila-bila masa.

Tiada spam. Maklumat anda tidak dikongsi.

798 Komen

  1. Assalammualaikum encik..Terima kasih kerana menyediakan panduan-panduan solat ini.

    Maaf bertanya.. encik ada keluarkan buku tak untuk panduan-panduan solat ? Terima kasih.

    Balas
    • Waalaikumussalam, Zai. Terima kasih kerana bertanya. Himpunan panduan boleh dirujuk di bahagian Senarai Panduan Solat AkuIslam. Untuk bahan yang boleh dicetak, ada PDF bagi beberapa panduan, contohnya Panduan Solat Hajat. Kalau Zai sedang mencari panduan solat tertentu untuk dicetak, boleh beritahu saya tajuknya?

      Balas
      • Terima kasih encik membalas komentar saya. Sekarang saya baru mula mengamalkan Solat Tahajud dan Solat Witir. Jika PDF nya tiada, saya minta izin untuk salin semula ya encik.

        Balas
  2. Assalamu’alaikum ustaz,

    1) untuk semua solat sunat, kalau saya TAK BACA Doa iftitah , boleh ke?

    2) Membaca wirid / zikir / tasbih/tahmid/takbir/tahlil selepas solat, hukumnya harus atau sunat ya? sebab saya baca ada yang harus, ada yg sunat.

    Harus maknanya Sesuatu amalan yang tidak berpahala jika dikerjakan dan tidak berdosa apabila meninggalkannya

    Sunat pula Sesuatu yang diberi pahala jika dikerjakan dan tidak berdosa apabila meninggalkannya.

    maksudnya kalau saya baca zikir/wirid/tasbih dan sebagainya, kalau hukumnya harus, maka saya tak dapat pahala?

    terima kasih.

    Balas
    • Waalaikumussalam puan Kamariah.

      1/ Boleh. Doa iftitah hukumnya sunat dalam solat fardu dan solat sunat. Jika tidak dibaca, solat tetap sah dan tidak berdosa.

      2/ Berzikir, berwirid, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil selepas solat ialah amalan sunat yang mempunyai pahala. Perkataan “harus” yang puan temui mungkin merujuk kepada cara tertentu, seperti berzikir dengan suara kuat, bukan bermaksud semua zikir selepas solat tidak berpahala.

      Jadi, teruskan berzikir selepas solat mengikut kemampuan. Lakukan dengan tenang dan jangan sampai mengganggu orang lain yang masih bersolat.

      Wallāhu a‘lam.

      Balas
  3. Assalamualaikum Ustaz. Boleh ke kita solat witir dlm keadaan bermusafir? Adakah kita solat witir selepas solat jamak qasar takdim/takhir isyak/maghrib?

    Balas
    • Assalamualaikum ustaz. Boleh abaikan soalan saya diatas. Saya baru perasan nota yg disediakan tentang solat witir ketika bermusafir. Terima kasih.

      Balas
      • Waalaikumussalam warahmatullah Puan Nina Sabrina,

        Ya, solat witir boleh dilakukan ketika bermusafir (hukumnya sunat dan sangat digalakkan).

        Bila nak buat witir kalau jamak/qasar?

        Witir dibuat selepas selesai solat Isyak (walaupun Isyak itu diqasar 2 rakaat), kerana waktu witir bermula selepas Isyak hingga sebelum Subuh.

        • Jamak takdim Maghrib + Isyak: selesai Isyak boleh witir (atau tangguh hingga sebelum tidur / sebelum Subuh jika mahu).
        • Jamak ta’khir Maghrib + Isyak: bila sudah tunaikan Maghrib & Isyak, kemudian witir.

        Jika puan bercadang nak bangun Tahajjud, lebih baik jadikan witir yang terakhir. Tapi kalau bimbang tak sempat bangun, witir selepas Isyak pun sudah memadai.

        Dan terima kasih puan kerana maklumkan sudah jumpa nota tersebut. Tak mengapa, moga Allah mudahkan urusan musafir dan terima semua amalan puan.

        Wallahu a’lam

        Balas
    • Waalaikumussalam, Nina.

      Boleh menunaikan witir ketika bermusafir. Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, waktu witir bermula selepas menunaikan solat Isyak hingga terbit fajar, termasuk apabila Isyak ditunaikan secara jamak taqdim bersama Maghrib. Jadi, selepas selesai kedua-dua solat itu, Nina boleh berwitir tanpa menunggu masuk waktu Isyak biasa. Jika jamak takhir, witir juga dilakukan selepas selesai solat Isyak. Pastikan semuanya sebelum masuk Subuh. Wallahu a‘lam.

      Balas
        • Sama-sama, Nina. Alhamdulillah, gembira penjelasan itu membantu. Semoga Allah mudahkan Nina beribadah ketika bermusafir.

          Balas

Kongsi pandangan atau soalan anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.