Hari ini dunia menyaksikan begitu ramai yang gemar berbicara.
Ada bicaranya berisi manfaat, ada yang sekadar hiburan dan ada juga isi bicara yang mampu menggugat rasa.
Jika dahulu kita hanya mampu berinteraksi dengan orang yang di hadapan kita namun kini percakapan boleh dengan mudahnya menembusi ruang jarak dan waktu.
Malah yang jauh boleh terasa dekat sekali.
Begitu sekali fitrah percakapan manusia diraikan pada zaman ini dengan ciptaan teknologi yang semakin hari semakin pelbagai rekaannya.
Kini, segalanya mampu dibicarakan pada kadar sekilip mata dengan teknologi yang serba canggih ini.
Realitinya, jika kita lihat pada musim pilihan raya yang lalu, kehebatan bicara menjadi kekuatan pada sesorang wakil rakyat tersebut.
Bagaimana calon tersebut membicarakan manifesto, membicarakan perihal dirinya serta pemikirannya menjadi antara titik tolak kepada pemilihanan wakil rakyat kelak.
Namun jika kita amati dengan baik, sebenarnya ada gaya bicara yang boleh saja menembusi hati hingga terzahir pada perbuatan malah ada yang hanya mampu singgah pada cuping telinga, lantas di bawa angin lalu.
Sebenarnya apa dan bagaimana demikian terjadi?
Apa ramuan istimewa yang ada dalam bicara yang mampu menembusi hati itu?
Antara sedar atau tidak, ada sesuatu yang senantiasa mengawal selia segala tindak tanduk kita.
Daripada apa yang dilafazkan, apa yang di lakukan dan apa yang diiyakan sebenarnya semua itu ada sesuatu yang mengawal.
Namun, adakah kita sedar akan hakikat itu?
Dan sebetulnya, apa yang mengawal bicara kita sebenarnya?
Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya mudah serta telah lama sekali diberitakan kepada umat manusia iaitu melalui sabda junjungan besar Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesunguhnya dalam tubuh badan anak Adam itu ada segumpal darah, sekiranya baik segumpal darah tersebut, maka baiklah seluruh anggotanya, sekiranya buruk segumpal darah tersebut, maka buruklah seluruh anggotanya, itulah hati”
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Maka jelas, yang mengawal perbuatan, tingkah serta percakapan kita sebenarnya adalah segumpal darah yakni hati.
Hati adalah “raja” yang memimpin kerajaan kehidupan manusia.
Bilamana raja yang bernama hati itu bersih, maka tingkah si pemilik hati itu akan turut terzahir baik dan apabila raja hati itu sakit dan kotor maka yang akan terzahir juga akan terlihat cela.
Apabila yang terzahir itu berupa akhlak mahmudah maka redha Allah mudah akan diperoleh dan apabila yang terzahir itu akhlak mazmumah, murka Allah SWT yang bakal menanti.
Begitulah peri pentingnya untuk selalu dipantau dan dirawat kesihatan hati kita agar yang memandu lisan, tingkah serta arah hidup selalu memimpin kepada redha Allah SWT.
Jika diteliti pula pada kalam suci al-Qur’an pada surah al-Syua’ra ayat ke-88 hingga 89 Allah SWT ada berfirman mengenai perihal hati yang bermaksud,
Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan Qalbun Salim (hati yang sejahtera)”
(Al-Syua’ra, 26:88-89)
Melalui ayat ni Allah SWT membangkitkan suatu frasa yakni qalbun salim yaitu hati yang sejahtera.
Menurut Ibnu Katsir, bagi Ibnu Sirin, yang diterjemahkan oleh Qalbun salim adalah dengan mengetahui Allah SWT adalah haq serta tiada keraguan.
Selain daripada itu, sebenarnya sekurang-kurangnya terdapat dua hal yang dibincangkan menepati kriteria qalbun salim iaitu pertama, hati yang bersih dari keraguan, dan kedua, hati yang selamat daripada cinta dunia.
Dua kriteria ini sebenarnya menjadi pedoman untuk insan yang ingin berusaha membersihkan hatinya.
Berbalik kepada persoalan awalnya, apa sebenarnya ramuan istimewa yang ada dalam bicara yang mampu menembusi hati itu?
Sebelumnya perlu dijelaskan, bicara itu tidak hanya pada lisan malah akhlak dan peribadi boleh saja membicarakan sesuatu kepada yang melihat dan memerhati.
Anggota lahir seperti mata, hidung, mulut, telinga serta tangan dan perut sebenarnya masing-masing berupaya untuk berbicara dengan kapasiti yang tersendiri dan pastinya yang mengawal anggota ini dalam berbicara adalah hati.
Namun rationalnya, mana mungkin bicara kita mampu menembusi hati, sedang masa kita masih terisi dengan kelalaian, perut kita masih diisi dengan yang syubhah dan mata kita masih tidak terbatas dari melihat yang batil.
Berkata seorang ahli Sufi,
Apabila makan dari yang halal maka tidak dapat tidak hati terdorong juga untuk berbuat baik. Manakala makan dari yang haram maka tidak dapat tidak, hati akan tetap terangsang melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar”.
Nah, jelas bahawa makanan yang dimasukkan kedalam badan itu tidak hanya mengisi perut bahkan lebih lagi sehingga mampu membentuk hati.
Malah, ada andaian yang menyatakan bahawa bilamana seseorang dibesarkan dengan baranagan dan makanan yang tidak halal, maka akan lebih mudah untuknya berbicara yang keji serta berbuat kemungkaran.
Jelas, bilamana aspek kehalalan sesuatu tidak diberatkan ianya boleh mendorong seseorang untuk melakukan perkara-perkara yang mungkar.
Malah, lebih daripada itu, bicara lisannya mungkin saja terdengar kasar dan bicara zahirnya pula bisa saja sehingga mengingung hati.
Maka lihat, sebenarnya ada perkaitan yang kuat dengan halal dan gaya bicara seseorang tersebut.
Penjagaan sungguh-sungguh kepada aspek kehalalan ini mampu menatijahkan bicara yang murni.
Oleh yang demikian, perhalusilah kehalalan sesuatu yang perkara agar bicara kita mampu menjadi lebih halus dan tulus.
Hal ini sama laiknya dengan menjaga mata.
Sebenarnya, pepatah Melayu ‘dari mata turunnya ke hati’ itu memberikan mesej yang menarik sekali.
Malah, isinya juga ada tersingkap mesej yang penting pada insan-insan yang berfikir.
Mana tidaknya, jika pada lazimnya kita hanya menggunakan mata untuk melihat tetapi makna tersirat daripada pepatah ini ternyata menjangkaui lebih jauh.
Mata tidak hanya berfungsi melihat malah sebenarnya dengan mata banyak perkara yang mampu disampaikan.
Mata juga mampu menggambarkan emosi suka, sedih, cinta serta duka seseorang.
Namun yang pastinya, bicara melalui mata itu adalah awalnya melalui hatinya lalu diterjemahkan.
Apabila yang dilihat oleh mata itu baik maka akan disampaikan baik dan sebaliknya.
Sama juga dengan kelalaian, bilamana tidak disibukkan dengan kebaikan pastinya hati tersebut menjadi sakit.
Begitulah sebenarnya senario hati yang punya kuasa magnet yang tersendiri.
Hati yang satu sebenarnya mampu mengawal kesemua anggota lahir.
Jika tarikan hatinya kuat kepada kutub positif, maka yang terzahir akan dibicarakan dengan baik dan sebaliknya jika kekutubannya kuat pada negatif yang terhasil juga beraura negatif.
Oleh yang demikian, caknalah dengan kesihatan hati.
Mudahan pemakanan kita selalu terjaga dari yang halalan tayyiban serta mata kita selalu terdorong melihat pada kebaikan dan masa kita selalu terisi dengan kebaikan agar kuasa magnet hati kita selalu mengarah pada kekutuban yang haq.
Sesungguhnya seketul hati itu amat besar fungsinya dan hati yang baik itu mampu menebarkan aura-aura yang baik pada yang berada di sekitarnya serta pastinya mampu menjadikan bicara empunya hati tersebut lebih berkesan.
Wallahua’lam.
Artikel ini dikongsikan oleh NUUR HUSNA BINTI KHALID, Pelajar Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam), USM.
Semoga perkongsian ilmu ini memberi manfaat kepada semua
Tinggalkan Komen Anda..
Alhamdulillah. Mohon untuk share di media sosial lain.
silakan, moga ada manfaatnya bersama, insyaAllah.
Mohon untuk share… Terima kasih
Ya betul….
Semuanya tergantung hati kita…
Terima kasih telah menginspirasi…
Semoga kita semua selalu di berkahi Allah…
Allahumma ameen. Jzkk