Kebijaksanaan Sulaiman Menawan Balqis

Nabi Sulaiman (a.s.) adalah salah seorang hamba Allah SWT yang terpilih di antara hamba-hamba Nya yang lain. Baginda beri kelebihan hikmah dan ilmu dengan dikurniakan mukjizat yang besar dari Allah SWT.

Antara mukjizat yang tersebut ialah boleh memahami dan berinteraksi dengan jin dan haiwan. Allah SWT juga telah menundukkan angin kencang untuk membawa Nabi Sulaiman (a.s.) ke sesuatu tempat yang diberkati Nya, menundukkan segolongan syaitan dan segolongan jin supaya berkhidmat kepada Nabi Sulaiman (a.s.). Semuanya berlaku dengan kekuasaan dan keizinan dari Allah SWT.

Pada suatu masa dahulu, Nabi Sulaiman (a.s.) dengan kekuasaan Tuhan telah menghimpunkan bala tenteranya yang terdiri dari golongan jin, manusia dan burung-burung. Maka berhimpun lah mereka mengikut tertib dalam barisan masing-masing.

Ketika memeriksa barisan tenteranya dari kalangan burung-burung, baginda menyedari bahawa Burung Hud-hud tidak hadir dalam perbarisan. Baginda berkata bahawa Hud-hud akan dikenakan hukuman atau disembelih sekiranya ketidakhadirannya tanpa alasan yang jelas.

 

Tidak lama kemudian Hud-hud pun datang dengan membawa suatu berita penting dari negeri Saba yang didakwa Hud-hud, baginda sendiri pun belum mendengarnya. Hud-hud pun bercerita lah mengenai Puteri Balqis, pemerintah negeri Saba yang dianugerahi segala apa yang dihajati serta mempunyai singahsana yang besar.

Hud-hud juga melaporkan bahawa puteri tersebut dan rakyat di bawah naungannya menyekutukan Allah SWT lalu menyembah matahari kerana mereka telah disesatkan oleh syaitan.

Baginda seraya bertitah kepada Hud-hud, “Akan kami lihat, apa kamu benar, ataukah kamu termasuk orang-orang yang berdusta. Pergilah dengan membawa suratku ini, lalu jatuhkanlah kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan.”

Maka Hud-hud pun melakukan sebagaimana yang dititahkan oleh Nabi Sulaiman (a.s.) dengan membawa sepucuk surat lalu dijatuhkan kepada Puteri Balqis. Kemudiannya Hud-hud berpaling dan mencuri dengar perbualan puteri dengan para pembesarnya.

Lalu Puteri Balqis berkata, “Hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat yang mulia. Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya: ‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahawa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang berserah diri ‘.”

Puteri Balqis kemudiannya meminta nasihat dari para pembesar negeri dalam membuat keputusan bagi menentukan tindakan yang sepatutnya diambil. Namun para pembesarnya menyerahkan pertimbangan tersebut di tangan puteri sendiri dengan berkata, “Kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan memiliki keberanian yang sangat (dalam peperangan), dan keputusan berada di tanganmu; maka pertimbangkanlah apa yang akan kamu perintahkan”.

akuislam.com

Puteri seraya berkata kepada para pembesar, “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu.”

Hud-hud pun pulang melaporkan kepada Nabi Sulaiman (a.s.) tentang apa yang telah didengarinya. Utusan dari Puteri Balqis pun tiba kepada Nabi Sulaiman (a.s.). Baginda kemudiannya membalas utusan dengan mesej berbunyi: “Apakah kamu menolong aku dengan harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikan Nya kepadamu; tetapi kamu merasa bangga dengan hadiahmu. Kembalilah kepada mereka sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala tentara yang mereka tidak kuasa melawannya, dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan-tawanan) yang hina dina”.

Setelah utusan tersebut berangkat ke negeri Saba, Nabi Sulaiman (a.s.) berbincang dengan para pembesar baginda mengenai niatnya untuk membuatkan kerajaan negeri Saba menyerah diri dan seterusnya menerima Islam. Baginda telah mempunyai rancangan yang bijaksana bagaimana hendak membuatkan Puteri Balqis mengaku kalah dengan bukti kebesaran Allah SWT.

“Hai pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri?”, tanya baginda.

Pertanyaan tersebut telah disahut oleh sejenis jin yang cerdik bernama Ifrit yang menjawab, “Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgasana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercayai”.

Jin Ifrit menganggap dirinya benar-benar kuat untuk membawa singgahsana Puteri Balqis dalam kadar yang pantas iaitu sebelum pun nabi Sulaiman (a.s.) berdiri dari keadaan duduknya.

Tiba-tiba seorang hamba Allah dari kalangan manusia yang dikurnia ilmu Allah SWT dari al-Kitab pula menyahut, “Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip”. Sebelum sempat mata Nabi Sulaiman (a.s.) berkedip, maka tersergamlah singgahsana Puteri Balqis di hadapan baginda.

Seraya baginda berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barang siapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.

Ratu Balqis adalah seorang wanita yang sangat cantik dan mempunyai akal yang cerdas, oleh sebab itulah golongan jin merasa iri hati dengannya. Mereka mengatakan bahawa Ratu Balqis itu mempunyai dua aib, pertama tubuhnya pendek dan kedua betisnya seperti betis unta.

Nabi Sulaiman sangat cerdik. Baginda menggunakan cara lain untuk memperlihatkan kekuasaan Allah kepada Ratu Balqis. Maka Nabi Sulaiman memerintahkan supaya para Jin mengubah sedikit singgahsana Ratu Balqis, lalu beliau menyuruh pula membangun sebuah mahligai yang dibuat dari kaca. Bahagian bawah mahligai tersebut dan kelilingnya mengalir sungai-sungai dengan berisikan ikan-ikan, di atas air itu dibuat sebuah jambatan daripada kaca.

Ketika Ratu Balqis dan rombongan tiba, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: “Apakah ini singgahsanamu?

Ratu Balqis menjawab: Mungkin!

Dia tidak mengatakan ya, kerana dilihatnya ada sedikit perubahan. Tetapi tidak mengatakan bukan, disebabkan ada sebahagian yang serupa dengan singgah-sananya. Dari jawapan Ratu Balqis itu, tahulah Nabi Sulaiman as bahawa ia adalah seorang wanita yang berakal sempurna serta bijaksana.

Kemudian Nabi Sulaiman as menyuruh tamunya itu masuk ke dalam istana. Ketika Ratu Balqis melihat ke dalam istana, ia melihat seakan-akan ada aliran air, sehingga ia mengangkat kainnya, sehingga betisnya tersingkap. Nabi Sulaiman as melihat betisnya itu, maka tidak ada satu aibpun seperti yang disampaikan oleh golongan jin.

Nabi Sulaiman berkata kepada Ratu Balqis: “Ini adalah sebuah mahligai yang licin, ia dibentuk daripada kaca.”

ketika Ratu Balqis menyaksikan betapa hebatnya Nabi Sulaiman, ia berkata dalam hatinya: “Walaupun kerajaanku luas, singgahsanaku indah dan megah, bala tenteraku ramai, namun jika dibandingkan dengan semua yang aku saksikan ini, seakan-akan milikku tidak bererti.


Kemudian ia berkata seperti yang diungkapkan di dalam Quran, firman Allah SWT surah An Naml ayat 44 bermaksud: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah Tuhan semesta alam.” Setelah itu Ratu Balqis pun berkahwin dengan Nabi Sulaiman as. Peristiwa pernikahan Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis ini terjadi pada hari Jumaat.

Begitu besarnya kerajaan Nabi Sulaiman as. yang mana angin sebagai kenderaannya, manusia dan jin sebagai tenteranya, burung sebagai pembantu dan teman-teman bercakapnya, binatang-binatang buas sebagai buruhnya dan para malaikat sebagai utusannya.

Nabi Sulaiman as mempunyai satu padang, sebahagian tanahnya terbuat daripada emas dan sebahagian lagi daripada perak. Jika tenteranya berbaris di padang itu, maka panjang barisan itu tidak kurang dari seratus parsakh. Sedangkan luas tempat tinggalnya adalah sebulan perjalanan.

Kemudian golongan jin membuat untuknya sebuah permaidani daripada emas dan perak. Pada permaidani tersebut terdapat dua belas ribu mihrab, pada setiap mihrab terdapat kursi daripada emas dan perak, kemudian duduk di atas tiap-tiap kursi tersebut seorang yang alim dari ulamak Bani Israil.

Pada setiap hari dimasak kira-kira seribu unta, empat ribu lembu dan empat puluh ribu kambing. Nabi Sulaiman juga mempunyai piring-piring yang besar bagaikan kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku.

Firman Allah SWT:

Para jin membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dikehendaknya dari bangunan yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku.” (Saba’: 13)

Begitu besarnya nikmat dan kelebihan Nabi Sulaiman as. Namun begitu kelebihan dan kenikmatan umat Nabi Muhammad SAW yang beriman, di dalam Syurga nanti disediakan tempat-tempat tinggal dan darjat, kebun-kebun, sungai-sungai dan buah-buahan. Di dalamnya diperolehi segala sesuatu yang menyenangkan jiwa dan mata. Di dalamnya juga terdapat sesuatu yang tidak pernah terlintas oleh fikiran manusia.

Dikisahkan bahawa serendah-rendah darjat tempat umat Nabi Muhammad SAW di dalam Syurga itu ialah seratus kali luas kerajaan Sulaiman as. Malah lebih baik, kerana Syurga adalah tempat yang abadi. Di dalamnya tidak ada matahari, kesejukan, kesakitan, kesusahan serta lain-lain penderitaan. Di Syurga adalah tempat yang abadi, kesenangan tanpa batas, pemberian tanpa dihitung, penerimaan tanpa ditolak.

Ada Syurga yang dinamakan dengan Darussalam, di dalamnya mempunyai keselamatan tanpa adanya kebinasaan, kenikmatan tanpa malapetaka, kecintaan tanpa permusuhan, kemuliaan tanpa kehinaan serta bermacam-macam lagi kenikmatan yang sukar untuk diungkapkan.

Kemudian Syurga Jannatunna’im. Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka Syurga kenikmatan. Di dalamnya para hamba-hamba-Nya bertempat tinggal, para nabi menjadi sahabatnya, tinggal kekal  dalamnya dengan kurnia yang berlimpah ruah. Tidak ada kesusahan di dalamnya, terdapat bidadari cantik dan jelita, mahligainya tinggi dan tempat yang luas.

Syurga Firdaus, disediakan bagi orang-orang yang tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu, menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat, tidak membuat kemungkaran serta menjalankan segala yang diperintahkan Allah SWT. Allah SWT menjadikan penghuni Syurga ini sebagai kekasihNya.

Di dalam Syurga Firdaus terdapat empat sungai, iaitu sungai dari air tawar, sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai dari air arak yang lazat rasanya dan sungai air madu. Di dalamnya juga diperolehi berbagai macam buah-buahan. Ada lagi empat mata air iaitu: Salsabil, Zanjabil, Rohiiq dan Tasniim. Ada lagi dua mata air yang mengalir dan dua mata air yang memancar, iaitu Al-kaafuur dan Al-kautsar. Di dalamnya juga diperolehi segala sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati.

Firman Allah SWT:

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu di dalam taman-taman dan sungai-sungai, di tempat yang disenangi di sisi Tuhan Yang Berkuasa.”
(Al-Qamar: 54-55)

Dipetik Dari Buku: 2002 Misteri Siri 2 “Himpunan Kisah-kisah Jin Iblis & Syaitan
Pengarang: Muhammad Isa Selamat.

Masukkan alamat email anda untuk subscribe / melanggani blog ini dan menerima setiap artikel baru melalui e-mel.

Join 2,156 other subscribers

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *