RUKUN IMAN: Huraian Lengkap 6 Perkara Rukun Iman

rukun iman

Apakah rukun iman dalam Islam?

Artikel ini akan menjelaskan dan menghuraikan bab rukun iman secara lengkap dan tersusun.

Dalam panduan ini, saya juga akan memberi contoh kepada setiap rukun yang terdapat dalam rukun iman.

Semoga membantu anda mencari maklumat berkaitan topik ini..

Definisi & Maksud Rukun Iman

Apakah maksud Rukun Iman?

Secara ringkas, Rukun Iman bermaksud tonggak atau dasar utama terhadap agama Islam.

Tiang keimanan (rukun iman) ini wajib dipatuhi setiap orang yang bergelar muslim.

Setelah mengetahui tentang dua kalimah syahadah, kita perlu mengetahui pula pengertian rukun iman dan rukun islam yang menjadi mahkota kehidupan insan yang bertakwa.

Pengertian Rukun Iman Dari Sudut Bahasa

Makna Iman dari segi bahasa adalah percaya, yakin dan membenarkan.

Pengertian Rukun Iman Dari Sudut Syarak

Manakala, makna iman dari segi syarakpula adalah percaya dengan hati, mengaku iaitu percaya dengan hati, mengaku dengan lidah, dan beramal dengan anggota.

Orang lelaki yang beriman disebut sebagai Mukmin manakala orang perempuan yang beriman pula disebut Mukminah.

Senarai 6 Perkara Rukun Iman 

Berapakah Rukun Iman?

Rukun Iman terdapat 6 perkara, iaitu:

  1. Beriman kepada Allah SWT.
  2. Beriman kepada malaikat.
  3. Beriman kepada kitab-kitab.
  4. Beriman kepada rasul-rasul
  5. Beriman pada hari Kiamat.
  6. Beriman qada’ dan qadar

Huraian Setiap Rukun Iman

Pada bahagian ini, saya akan menghuraikan dengan lebih jelas mengenai setiap rukun iman.

Rukun Iman Yang Pertama

Beriman Kepada Allah

Apakah maksud percaya kepada Allah?

Maksudnya adalah:

Mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa Allah SWT yang mencipta alam ini dan Dialah Tuhan yang berhak disembah dan ditujukan segala pergantungan hidup.

Kita tidak boleh memperhambakan diri dalam segala amalan dunia atau Akhirat melainkan keranaNya.

Seterusnya mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan seperti Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Pemurah, Maha Adil dan sebagainya.

Rukun Iman Yang Kedua

Beriman Kepada Malaikat

Apakah maksud beriman kepada Malaikat?

Maksudnya adalah:

Mempercayai bahawa Allah SWT mempunyai pesuruh-pesuruh yang sentiasa patuh dan taat menjalankan segala titah perintahNya.

Mereka itulah yang disebut malaikat yang bukan manusia dan bukan binatang.

Mereka dicipta daripada cahaya dengan rupa bentuk yang tersendiri, berakal tetapi tidak mempunyai nafsu.

Mereka tetap patuh dan tidak sesekali akan menderhakai Allah SWT.

Mereka bukan lelaki dan bukan perempuan, bukan jin dan bukan syaitan.

Malaikat Yang Wajib Diketahui

Wajib bagi mukmin dan mukminah mengetahui sebanyak 10 malaikat:

Nama MalaikatTugas
1. Jibril a.sMenyampaikan wahyu
2. Izrail a.sMencabut nyawa
3. Mikail a.sMengagihkan rezeki
4. israfil a.sMeniup Sangkakala
5. Munkar a.sMenyoal dalam kubur
6. Nakir a.sMenyoal dalam kubur
7. Raqib a.sMenulis kebajikan
8. ‘Atid a.sMenulis kejahatan
9. Ridhwan a.sMenjaga Syurga
10. Malik a.sMenjaga Neraka

Rukun Iman Yang Ketiga

Beriman Kepada Kitab

Kitab ialah undang-undang dasar yang dijadikan pedoman atau pengajaran kepada manusia yang hendak dipimpin.

Kitab diberikan kepada para rasul utusan Allah.

Tetapi bagi rasul-rasul yang tidak mempunyai kitab, wajib bagi mereka mengikut dasar kitab yang terdahulu daripadanya.

Pembahagian kitab

Kitab-kitab terbahagi kepada dua:

1. Suhuf

Suhuf merupakan pedoman yang mengandungi penjelasan hukum-hakam dasar yang perlu diterangkan kepada manusia umumnya. Suhuf berjumlah 100 buah.

Pembahagian suhuf diberikan kepada:

  1. Nabi Allah Shith (a.s) 50 suhuf
  2. Nabi Allah Idris (a.s) 30 suhuf
  3. Nabi Allah Ibrahim (a.s) 10 suhuf
  4. Nabi Allah Musa (a.s) 10 suhuf

2. Kitab

Kitab ialah satu himpunan dasar lengkap untuk segala peraturan dan dasar ketuhanan yang berhubung dengan dunia mahupun dengan akhirat, yang berhubung dengan zahir mahupun dengan yang batin.

Setelah turunnya al-Quran dan terutusnya Nabi Muhammad SAW maka kitab-kitab yang terdahulu itu terbatal dengan sendirinya.

Umat Muhammad SAW hanya menggunakan peraturan dan undang-undang yang tercatat dalam al-Quran sahaja.

Kitab-kitab yang terdahulu tidak boleh dipakai lagi kerana peraturan yang tercatat dalamnya merupakan peraturan umat terdahulu.

Kitab-kitab itu hanya sesuai pada zaman itu dan telah pun diubah suai oleh orang yang berkepentingan peribadi.

Jumlah kitab ini hanya empat buah iaitu:

  1. Taurat Nabi Musa a.s
  2. Zabur Nabi Daud a.s
  3. Injil Nabi Isa a.s
  4. Al-Quran Nabi Muhammad SAW

Rukun Iman Yang Keempat

Beriman Kepada Rasul

Allah SWT mewajibkan atas setiap orang Islam supaya beriman kepada semua rasul yang telas diutuskan olehNya tanpa membeza-membezakan antara seorang rasul dengan yang lain.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 285, maksudnya:

Kami tidak membeza-bezakan antara seorang pun (dengan yang lain) daripada rasul-rasulnya.

Pengertian Nabi Dan Rasul

Maksud nabi dan rasul adalah seperti berikut:

Maksud Nabi

Seorang lelaki yang merdeka dan mendapat wahyu daripada Allah tetapi tidak ditugaskan menyampaikan kepada orang lain.

Maksud Rasul

Seorang lelaki yang merdeka dan mendapat wahyu daripada Allah dan ditugaskan untuk menyampaikannya kepada orang lain.

Tujuan Allah mengutuskan Rasul adalah untuk mengajak umatnya beribadat kepada Allah dan menegakkan agamaNya.

Jumlah Nabi

Menurut keterangan dalam riwayat oleh Abu Zarr al-Ghifari bahawa jumlah para nabi ialah sebanyak 124000 orang.

Sementara yang menjadi rasul sebanyak 313 orang sahaja.

Walau bagaimanapun, jumlah yang sebenarnya hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui.

Daripada 313 orang itu, 25 orang sahaja yang disebut dalam al-Quran yang dimulai dari Adam a.s. sehinggalah kepada Nabi Muhammad SAW.

Nama-Nama Rasul

Nama-nama rasul yang wajib diketahui oleh setiap Mukmin dan Mukminah hanya 25 orang.

Nama-nama nabi dan rasul yang wajib diketahui:

  1. Adam a.s.
  2. Idris a.s.
  3. Nuh a.s.
  4. Hud a.s.
  5. Soleh a.s.
  6. Ibrahim a.s.
  7. Lut a.s.
  8. Ismail a.s.
  9. Ishak a.s.
  10. Yaakub a.s.
  11. Yusuf a.s.
  12. Ayub a.s.
  13. Syu’aib a.s.
  14. Musa a.s.
  15. Harun a.s.
  16. Zulkifli a.s.
  17. Daud a.s.
  18. Sulaiman a.s.
  19. Ilyas a.s.
  20. Ilyasa’ a.s.
  21. Yunus a.s.
  22. Zakaria a.s.
  23. Yahya a.s.
  24. Isa a.s.
  25. Muhammad SAW

Rukun Iman Yang Kelima

Beriman Pada Hari Kiamat

Masalah yang berhubung dengan Hari Kiamat amat panjang huraiannya tetapi memadailah dalam artikel ini disentuh seimbas lalu.

Perkara-perkara yang berhubung dengan Hari Kiamat ialah bertitik tolak daripada kepercayaan kepada:

  1. Adanya mati.
  2. Pembalasan alam kubur, azab atau nikmat.
  3. Hari kebangkitan setelah dunia ini dihancurkan kesemuanya.
  4. Padang Mahsyar tempat kesemua manusia dan jin akan dikumpulkan untuk diadili.
  5. Dihisab segala amalan dan dilakukan neraca timbangan.
  6. Meniti titian (sirat).
  7. Ke Syurga atau ke Neraka.

Rukun Iman Yang Keenam

Beriman Kepada Qada dan Qadar

Perkara terakhir dalam rukun iman adalah percaya kepada qada’ dan qadar.

Pengertian Qada’ dan Qadar

Maksud Qada’ dan Qadar adalah seperti berikut:

Maksud Qada’

Kejadian, hukum yang terjadi dan yang berlaku pada diri seseorang seperti kaya, miskin, elok, buruk, untung, rugi, hidup, mati dan sebagainya.

Maksud Qadar

Ukuran dan sukatan yang ditentukan atas tiap-tiap makhluk seperti Ahmad telah ditentukan akan sakit pada 1 Muharram.

Maka apabila tiba tarikh tersebut, maka ahmad pun jatuh sakit.

Ketentuan pada 1 Muharram itulah yang dinamakan qadar atau takdir dan penyakit yang menimpa Ahmad pada 1 Muharram itu dikatakan qada’

Setiap individu mestilah beriktikad bahawa segala pekerjaan makhluk sama ada yang sengaja seperti duduk, makan, minum ataupun yang tidak sengaja seperti jatuh, terperanjat, kemalangan, kesemuanya itu berlaku dengan kehendak Allah SWT.

Kejadian-kejadian itu telah ditentukan sejak azali lagi dan dengan diketahuiNya sebelum masanya berlaku.

Justeru, setiap individu perlu berpegang teguh kepada ketentuan dan ketetapan Allah SWT.

Bersyukur segala nikmat dan insaf serta bersabar terhadap segala musibah.

Walau bagaimana pun, umat Islam dianjurkan berdoa dan berikhtiar kerana masih ada ruang ketentuan Ilahi boleh berubah.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments