Hukum Menyetubuhi (Jimak) Isteri Yang Sedang Haid

Menyetubuhi (Jimak) Isteri Yang Haid

Apakah hukum menyetubuhi isteri haid?

Panduan ini akan menghuraikan masalah bersetubuh atau berjimak dengan isteri yang masih haid, secara lengkap.

Penulisan ini juga disokong oleh hadis-hadis dan nas al-Quran berkaitan masalah ini.

Mari kita mulakan.

Hukum Jimak Isteri Yang Sedang Haid

Orang yang sedang haid atau nifas tidak boleh bersetubuh atau disetubuhi.

Ijma’ (sepakat) semua ulama tentang haramnya menyetubuhi wanita haid atau nifas.

Ini adalah berdasarkan firman Allah:

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah ayat 222)

Orang yang mendatangi isterinya ketika haid atau nifas, bererti dia telah melakukan dosa besar.

Kalau dia menganggap perbuatannya itu halal, bererti dia sudah dianggap kafir.

Apa Yang Perlu Dibuat Bagi Menebut Kesalahan Ini?

Ada di antara ahli-ahli fiqah yang berkata, kalau ada orang yang menyetubuhi isterinya pada awal turunnya darah, sedangkan dia tidak tahu yang isterinya haid, maka dia wajib bersedekah satu dinar.

Kalau dia lakukan di akhir masa haid isterinya, maka dia wajib bersedekah setengah dinar.

Mereka mengambil dalil daripada riwayat Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Orang yang mendatangi isterinya ketika haid, bererti wajib bersedekah satu dinar atau setengah dinar.

Inilah yang disebutkan dalam kitab Nailatul Autar

Tentang masalah ini menurut Imam Syafie tidak wajib bersedekah wang dinar, kerana ini persetubuhan yang haramkan kerana penyakit, maka tidak ada kaitan kafarah dengannya.

Orang yang menyetubuhi isterinya kerana tidak tahu bahawa isterinya sedang haid, atau tidak tahu haram hukumnya tidak berdosa dan tidak wajib membayar kafarah.

Ini berdasarkan hadis berikut:

Abu Dzar al-Ghifari berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah memaafkan dari umatku sesuatu yang dilakukan kerana salah, lupa dan sesuatu yang dipaksakan kepadanya”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hukum Bersedap-Sedap Dengan Tubuh Isteri Yang Sedang Haid

Haram mengambil kenikmatan dari tubuh isteri yang haid.

Maksudnya haram mencumbui anggota badan yang diantara pusat dan lutut.

Ini sesuai dengan riwayat Mu’adz bin Jabal yang mengatakan:

Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang apa yang dibolehkan bagi seorang suami terhadap isterinya yang sedang haid. Maka baginda menjawab; “Boleh apa yang ada di atas kain (selain jimak), namun menahan diri dari hal tersebut adalah lebih utama

(Hadis riwayat Abu Daud)

Menurut satu riwayat, Aisyah r.a berkata:

Jika salah seorang dari kami (isteri-isteri Nabi) mengalami haid, maka Nabi SAW memerintahkannya untuk memakai kain sarung, kemudian Rasulullah mencumbuinya

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Menurut satu pendapat organ tubuh yang diantara pusat dan lutut itu pun boleh dicumbui kerana Rasulullah SAW ketika ditanya tentang masalah ini, baginda berkata:

lakukan segala sesuatu selain nikah (jimak)

(Hadis riwayat Abu Daud)

Menurut riwayat lain:

Lakukan segala sesuatu selain jimak

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada isteri-isteri Rasulullah SAW, kata mereka Rasulullah SAW apabila menghendaki sesuatu dari isterinya yang sedang haid, baginda menutup faraj isterinya dengan sesuatu.

Semua hadis ini menunjukkan bolehnya menikmati tubuh isteri yang haid, termasuk mencumbui apa yang diantara pusat dan lutut.

Dan ini sekali gus membantah pendapat yang mengatakan bahawa mencumbui paha isteri yang haid haram hukumnya.

Di dalam al-Quran pun yang dilarang hanya menyetubuhi tempat keluarnya darah.

Firman Allah dalam al-Quran:

Menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.

(al-Baqarah ayat 222)

Yang dimaksudkan oleh ayat ini tentunya tidak lain daripada mendatangi tempat keluar darah, iaitu faraj.

Namun yang lebih baik diamalkan ialah jangan mencumbui isteri yang haid, apalagi mencumbui antara pusat dan lututnya.

Cara ini lebih selamat daripada terjatuh kepada yang haram.

Orang yang bermain-main ditepi gaung atau lubang besar, lebih besar risiko untuk terjatuh di dalamnya.

Menyetubuhi Isteri Yang Sudah Berhenti Haid Tetapi Belum Mandi Hadas

Apabila haid sudah berhenti, haram menyetubuhinya selama belum mandi hadas.

Demikian menurut kebanyakkan ulama berdasarkan firman Allah:

Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(al-Baqarah 222)

Menurut mazhab Hanafi, boleh menyetubuhi isteri apabila darah sudah berhenti pada masanya yang paling lama, iaitu sepuluh hari atau lebih, sama ada dia sudah mandi atau belum.

Dalil mereka ialah firman Allah:

dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.

(al-Baqarah 222)

Kata mereka, pada kalimat يَظْهُرْنَ huruf Tho di situ berbaris mati yang diertikan dengan sudah suci dengan berhentinya darah pada masanya yang paling lama.

Ini kata mereka samalah dengan ayat yang mengatakan:

Maksudnya:

Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir

Ini maksudnya sesudah tergelincir matahari.

Apabila darah haid sudah berhenti dan suami ingin bersama dengannya, maka wajiblah dia mandi.

Sebenarnya sebaik sahaja darah sudah berhenti, wajiblah dia mandi untuk mengerjakan solat dan ibadah-ibadah lain.

Maka kalau suaminya ada keinginan, makan wajiblah dia mandi.

Kalau tidak sanggup mandi boleh bertayamum menurut jumhur ulama, seperti Imam Malik, Ahmad dan Syafie’.

Hanya Imam Abu Hanifah yang mengatakan boleh bersetubuh sebelum mandi.

Hikmah Larangan Menjimak Isteri Haid

Larangan Allah ini amat erat kaitannya dengan kesihatan.

Menurut para ahli perubatan, faraj perempuan diberi oleh Allah suatu zat yang dapat melindunginya daripada jangkitan kuman penyakit (infeksi).

Apabila mereka kedatangan haid, kekuatan pertahanan itu berkurang, bahkan ada juga yang hilang sama sekali.

Oleh yang demikian, apabila seseorang suami menyetubuhi isterinya dalam keadaan haid, maka si suami dapat memasukkan bakteria kedalam faraj isterinya.

Keadaan ini sering menyebabkan terjadinya penyakit radang faraj yang dikenali sebagai vaginitis.

Dengan demikian, jelaslah bagi kita bahawa larangan itu mengandungi hikmah dan kebaikan untuk manusia.


Rujukan:

  1. Ust Muhammad Uzair al-Aziz, Kaifiat Mandi Hadas
  2. Ust Azhar Idrus, Hukum Bermesra Dengan Isteri Yang Sedang Haid pada pautan ini
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments