Apakah hukum bagi wanita berjunub namun datang haid sebelum sempat mandi?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANSeorang wanita yang berhadas dengan hadas janabah dan sebelum sempat dia mandi yang wajib dia telah kedatangan haid.
Soalan saya selepas haidnya kering nanti adakah memadai dia mandi hadas sekali sahaja atau perlu mandi dua kali dan bagaimana cara niatnya?
JAWAPAN
Perempuan yang junub kemudian haid ia maka apabila kering darah haidnya nanti hanya wajib atasnya mandi sekali sahaja.
Contoh niatnya ialah “Sahaja aku mengangkat hadas janabah dan hadas haid kerana Allah Taala.”
Dan yang mudah ialah dia berniat “Sahaja aku mandi yang wajib kerana Allah Taala” maka dengan mana-mana satu niat ini nescaya sah mandinya dan terangkat darinya hadas janabah dan hadas haid.
Telah berkata Imam As-Suyuthi :
Qaidah yang ke sembilan: Apabila berhimpun dua perkara dari jenis yang sama dan tidak bersalahan maksud keduanya nescaya masuk salah satunya ke dalam yang satu lagi pada kebiasaan.
Maka setengah dari cabang masalah yang demikian itu apabila berhimpun hadas dan janabah nescaya memadai dengan satu mandi atas pendapat mazhab seperti berhimpun janabah dan haid.”
(Kitab Al-Asbah Wa An-Nazhoir)
Dan berkata oleh Syeikh Ibnu Hajar :
Dan kalau berhimpun atas seorang perempuan mandi haid dan mandi janabah nescaya telah diputuskan memadai oleh berniat salah satunya sahaja.”
(Kitab Tuhfatul Muhtaj)
KESIMPULAN
Perempuan yang berhadas dengan hadas janabah dan hadas haid adalah diwajibkan mandi hadas sekali sahaja dan terangkatlah dua hadas yang ada padanya itu.
Begitu juga dengan hadas kecil seperti seorang yang kencing kemudian menyentuh perempuan maka hanya perlu mengambil wuduk sekali sahaja.
wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..