Adakah anda bersikap keakuan tanpa sedar?
Bersikap keakuan atau mementingkan diri sendiri adalah sikap yang berlawanan dengan sifat manusia yang diciptakan untuk hidup bermasyarakat.
Dalam hidup ini kita tidak boleh buat hal sendiri tanpa mengambil tahu dan terlibat dengan orang lain dalam masyarakat yang kita hidup di dalamnya.
Akhirnya nanti kita akan menjadi seperti “kera sumbang” yang terasing walaupun kita tinggal dalam sebuah komuniti.
Manusia adalah insan sosial yang hidup saling bergantungan.
Setiap ahli dalam masyarakat saling memerlukan kerana walaupun kita mempunyai wang yang banyak belum tentu kita dapat memiliki semuanya kerana tidak semua benda adalah untuk dijual.
Sebahagian dari apa yang kita perlukan ada pada ahli masyarakat seperti rasa hormat, rasa diterima, kemesraan, persahabatan dan sebagainya dan untuk mendapatkannya kita perlu membuat diri kita diterima oleh mereka.
Bersikap individualistik bercanggah dengan fitrah kejadian manusia, dimana fasafah individualisme adalah sikap tidak mahu dikongkong atau dikuasai.
Sikap ini membuat kita dipulau oleh masyarakat.
Faham individualisme adalah falsafah yang tidak munasabah kerana manusia hidup saling bergantungan.
Mana mungkin seseorang itu dapat melakukan fungsi keseluruhan hidup manusia. Kita bekerja untuk orang lain dan membelanjakan pendapatan kita untuk membeli hasil kerja orang lain.
Tiada satu pun dalam hidup ini yang kita hasilkan atau miliki yang tidak melibatkan orang lain.
Oleh itu janganlah bersikap keakuan dan sombong kerana kita tidak mungkin dapat menjalankan fungsi hidup kita dengan sebenarnya tanpa wujud insan lain di dunia ini.
Oleh itu hapuskan sifat keakuan dan beralih kepada sifat kekitaan kerana seseorang individu akan merujuk dirinya berasaskan identiti masyarakat dan komuniti mereka.
Dengan semangat kekitaan ahli masyarakat akan saling melengkapi.
Melaluinya wujud pepaduan, pemuafakatan, kebajikan dan keselamatan.
Dengan semangat kekitaan seseorang akan merasa hidupnya lebih bermakna.
Hidup seolah-olah dikelilingi saudara mara kerana kejiranan yang melayan kita dengan mesra seperti saudara.
Kemesraan menyatukan ahli masyarakat.
Bak kata pepatah, “Bersatu teguh, bercerai roboh”.
Bila semuanya sepakat dan dilakukan secara bersama atau gotong royong pekerjaan menjadi mudah.
Semangat inilah yang telah semakin hilang dari masyarakat kita akibat pembangunan kebendaan yang tidak seimbang dengan pembangunan kerohanian yang mengakibatkan bertambah kuatnya sifat keakuan dalam masyarakat.
Sedangkan budaya kerjasama atau gotong royong orang Jepun yang dipanggil “ring-gi” masih diamalkan mereka.
Setiap kerja yang mereka lakukan mereka mengadakan muafakat dan melaksanakannya secara bersama.
Kerjasama atau ‘team work’ ini dipraktikkan bukan sahaja dalam masyarakat malah dalam sistem pekerjaan mereka.
Tidak hairanlah Negara mereka menjadi Negara maju.
Berbeza dengan sikap masyarakat kita enggan bekerjasama dan berkongsi kejayaan. Sebaliknya lebih bersikap keakuan dan ingin menang sendiri sahaja.
Sikap keakuan yang merasa diri sendiri istimewa dan lebih baik dari orang lain adalah dilarang oleh Islam.
Tiada sistem kasta dalam Islam.
Sebaliknya Islam menuntut umatnya hidup bemasyarakat. Firman Allah SWT yang bermaksud,
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulai-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu.”
(QS Al-Hujarat ayat 13)
Keakuan adalah sifat ego yang merasa diri sendiri istimewa dan ada kelas yang tersendiri.
Sedangkan bagi Allah manusia yang paling baik di sisinya adalah orang-orang yang bertaqwa yang hidupnya saling berkenalan dan berukhuah sesama ahli masyarakat.
Ubahlah diri kita kepada bersikap kekitaan dan menghindarkan diri kita dari sifat keakuan.
Dengan sifat kekitaan kita rasa hidup bersaudara, bekerjasama dan rasa dilindungi.
Sedangkan sifat keakuan lebih kepada menyendiri dan ‘syok sendiri’ yang sebenarnya tidak ada siapa yang peduli.
Hiduplah dalam alam yang lebih luas yang kita kongsi bersama insan lain dan jangan biarkan diri kita memencil seperti petapa yang diam di dalam gua yang terasing.
Artikel ini dikongsikan oleh Tuan Abd Rahman Bin Mat Yasin, Seorang pakar dalam bidang taksiran hartanah yang kini menetap di Batu Gajah, Perak. Semoga apa yang dikongsikan oleh Tuan Abd Rahman ini memberi manfaat dan input berguna kepada semua pembaca.
Syukran Jazilan.
Tinggalkan Komen Anda..
jika seseorang punya sifat sombong, maka manusia itu tidak akan bertahan lama, sadarlah bawa manusia itu diciptakan dari tanah.
Manusia memang manusia sosial…..tapi entah mengapa walau hidup di masyarakat manusia selalu menonjolkan keindividuannya??? mengapa ya???
keegoisan selalu di utamakan dibandingkan dengan sosialnya…hmm heran…
hmhm memang manusia tidak akan pernah bisa hidup sendirian. Manusia adalah masyarakat sosial