Pernahkah anda mengayuh basikal semasa zaman kanak-kanak?
Aneh sekali jika ada yang mengatakan bahawa dia tidak pernah langsung menunggang basikal.
Ini kerana majoriti kanak-kanak dahulu pasti akan bermegah sekiranya memiliki sebuah basikal.
Mudah untuk dibawa kemana-mana. Bersama pula dengan rakan taulan, semakin ligat pula merantau sakan.
Mungkin ada juga yang kurang bernasib baik, tidak pernah memiliki basikal sendiri.
Saya tidak pula menafikan perkara ini. Bukan rezeki dia untuk memilikinya.
Namun, mengatakan tidak pernah kenal rupa bentuk basikal, itu penipu!
Paling aneh sekali, jika ada juga yang tak tahu rupa basikal sekali pun, mohon bertanyakan pada Mr. Google. Rasanya beliau tahu bagaimana hendak menjelaskan kepada anda. Heh!
Norma basikal dalam kehidupan
Basikal ini unik.
Kayuhan pedalnya sentiasa akan membawa kita ke hadapan. Hanya menggerakkan gagang (pemegang) basikal ke kanan atau ke kiri, dengan mudah kita akan berjaya mengepalai arah tunggangan mengikut kehendak destinasi kita.
Kayuhlah mengikut keperluan. Ada masanya kita perlu mengayuh laju, mengejar atau tidak dikejar.
Dalam kehidupan, selalunya kita diajar bersegera dalam mencanang kebaikan atau mengejar kejayaan, maka lakukan dengan pantas, agar bukan keburukan atau kegagalan yang selalu memintas.
Ada masanya pula kayuhan itu perlu perlahan, tanda berhati-hati menempuh halangan. Bukan beerti kita lambat, tetapi sabar mengatur langkah selamat.
Kelajuan kayuhan bergantung juga pada situasi apa yang anda berhadapan.
Jika di depan anda jalannya berbukit, mengayuh perlahan pasti membuatkan kita sakit. Sekiranya di depan anda jalannya landai tanpa berbukit, menunggang laju boleh membuatkan anda terbalik!
Anda sendiri yang menentukan selaju mana kayuhan basikal anda. Disinilah kebijaksanaan serta pengalaman perlu dipraktikkan.
Begitu juga aplikasinya dalam kehidupan seharian, bukan sekadar tahu sahaja, tetapi perlu mahu mengamalnya.
Putaran roda ibarat turun naik dalam kehidupan kita
Roda basikal selalunya berbentuk bulat.
Sesuai dengan fungsinya untuk bergerak dan berputar. Sekiranya roda ini berbentuk lain selain daripada bentuk asalnya, sudah pasti sifat asli serta fungsinya akan terganggu.
Putaran roda inilah yang sering disignifikasikan sebagai putaran kehidupan. Adakalanya kita akan berada di atas dan adakalanya kita akan berada di bawah.
- Adakah baik sekiranya kita sentiasa berada di atas?
- Adakah buruk pula sekiranya kita sentiasa berada di bawah?
Hemat saya, kedua-duanya baik. Berada di atas tiada masalah, berada di bawah pun tiada masalah.
Berada di atas tidak semestinya ampuh, kadangkala boleh tersungkur jatuh. Berada di bawah pula tidak semestinya hina, kadangkala itulah tiket untuk ke syurga.
Sebaiknya setiap posisi dan tahap keberadaan kita dalam mana-mana kedudukan sekali pun, dinilai sedalamnya akan hikmah serta kebijaksanaan yang ingin disampaikan secara tersurat oleh Allah s.w.t.
Dalam surah al-Baqarah, ayat 216, Allah berfirman;
“Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
Jadi, masih lagi ingin merasa tidak beruntung dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan?
Terasa tiada keyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai disebabkan kekurangan yang ada pada diri sendiri?
Ingin mendabik dada atas kejayaan yang telah dicapai dengan hasil tangan sendiri?
Mohon husnuzon dan muhasabah.
Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.
Apa yang akan terjadi sekiranya kita berhenti mengayuh basikal?
Ironinya, terdapat beberapa perkara yang berlaku sekiranya kayuhan ini berhenti.
Pertama, mungkin kita ingin berehat sebentar. Melepaskan lelah penat dahulu sebelum terus maju. Atur langkah ini adalah baik dalam strategi untuk mencapai sesuatu objektif.
Lumrah manusia, kita akan kepenatan sekiranya terus mengoptimumkan daya usaha kita tanpa henti sekaligus boleh menyebabkan produktiviti kita kian mundur dan lesu.
Nasihat saya, cari waktu rehat sekiranya anda mula merasa jemu untuk melakukan perkara baik.
Jalan kebaikan yang panjang tanpa mempunyai bekalan motivasi yang cukup, hati akan mudah luntur dan akan cepat membuatkan seseorang itu berpaling dari jalan kebaikan.
Kedua, berhenti terus tanpa ingin meneruskan perjalanan.
Mungkin akan berpatah semula ke belakang. Destinasi yang ingin dituju belum sampai, namun semangat untuk meneruskan perjalanan sudah mati. Dek kerana semput melayan karenah penat!
Inilah yang berlaku sekiranya hidup tanpa objektif, tanpa persediaan yang rapi untuk mencapai sesuatu matlamat.
Momentum jatuh dan stamina berada pada tahap yang cukup rendah.
Akhirnya, orang seperti ini memilih untuk mengalah dalam kehidupan tanpa berfikir sejenak akan hasil kejayaan yang bakal diperoleh sekiranya dia sabar menempuhnya.
Ketiga, berhenti apabila sudah sampai destinasi yang ingin dituju. Inilah orang tinggi motivasi dan merasai kenikmatan hasil daripada usahanya sendiri.
Padanya, lelah penat itu bukanlah satu penghalang tetapi satu cabaran yang perlu ditangani sebaiknya agar dapat menebusnya kembali apabila sudah berjaya mencapai objektif yang ingin dicapai.
Menjadi orang yang tinggi semangatnya perlu mempunyai hati yang cukup kental, berani dan tidak mudah tertipu dengan nikmat serta kesusahan dunia.
Namun, orang seperti ini seakan-akan sukar dicari dalam arus permodenan dunia kini.
Manusia lebih tega untuk memilih jalan mudah tanpa perlu menggunakan usaha yang banyak.
Padahal untuk mencapai sesuatu kejayaan, usaha yang kuat belum lagi dikira sebagai faktor yang ampuh dalam kriteria-kriteria untuk memperolehnya.
Akhir kalam: untuk mencapai sesuatu memerlukan semangat yang tinggi!
Persediaan yang rapi, motivasi yang tinggi, bekalan yang mencukupi, persekitaran yang mandiri, idea yang bervisi antara faktor pembantu dalam memandu seseorang itu ke arah kejayaan serta kemenangan yang ingin dicapainya.
Jadi, jangan mudah menunduk luluh, teruskanlah mengayuh!
Moga Allah bantu untuk insan yang terus mengayuh!
Tinggalkan Komen Anda..
Shohih .Bagus banget
T/KASIH NASIHAT YG SANGAT BAIK
Sama-sama. Moga beroleh manfaat.